Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pelajar Tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui selamat

    Pelajar Tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui selamat

    PELAJAR tahfiz yang dilaporkan hilang lebih 70 jam di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai, di sini Rabu lalu ditemui selamat.

    Mangsa, Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, ditemui anggota penyelamat sekitar jam 10.49 pagi pada Sabtu.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, remaja itu ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya pada jarak dua kilometer (KM) dari lokasi motosikal mangsa dijumpai.

    “Operasi hari ketiga telah dipecahkan kepada lapan kumpulan dengan gerak kerja dimulakan dengan melaungkan azan.

    “Mangsa berjaya dijumpai oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dua jam operasi dimulakan. Situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak ditemui sebelum ini,” katanya di Gerik, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, usaha membawa keluar mangsa sedang dilakukan untuk dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.

    “Liputan komunikasi agak terhad di lokasi kejadian. Disebabkan keadaan fizikal mangsa yang besar, kita cuba membawa mangsa keluar dengan menggunakan kenderaan. Seramai 94 anggota pelbagai operasi antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PDRM, PGA, Sapura dan orang awam menyertai operasi kali ini,” katanya.

    Media melaporkan remaja terbabit antara pelajar terbaik di maahad tahfiz tempat dia belajar dan berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun malah, sempat menjadi imam di surau kawasan rumahnya.

    Pada Khamis, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima laporan sekitar jam 1.33 pagi berhubung kejadian seorang remaja lelaki hilang.

    Mangsa kali terakhir dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam pada jam 9 pagi dikatakan mengalami gangguan emosi.

    Pencarian digerakkan keluarga dan rakan mangsa berhasil menemukan motosikal yang ditinggalkan mangsa di kawasan kebun getah sekitar jam 6 petang sebelum melaporkan kepada pihak polis.

  • ‘’Ini bukan masanya nyanyi lagu ‘Oh Azizah’’- Azmin bidas Anwar

    ‘’Ini bukan masanya nyanyi lagu ‘Oh Azizah’’- Azmin bidas Anwar

    KEGAGALAN  kerajaan pusat menyediakan hala tuju yang jelas untuk pembangunan negara menyebabkan rakyat kini semakin terbuka meluahkan rasa tidak puas hati, kata pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN).

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau memahami situasi itu kerana rakyat bawahan sudah memberikan peluang dan ruang yang cukup lama untuk melihat hala tuju kerajaan membangunkan negara.

    Bagaimanapun, selepas mereka menunggu selama lebih tujuh bulan, mereka sering disajikan dengan perkembangan yang tidak perlu selain melanggar janji sebelum pilihan raya umum.

    Menurut Azmin, dalam tempoh yang kritikal ini rakyat semakin dihimpit dengan kesusahan terutamanya melibatkan isu ekonomi dan kos sara hidup.

    Pada saat penting ini, katanya, negara memerlukan kepimpinan yang baik dan memimpin negara, bukannya seorang selebriti.

    “Ini bukan masanya nak menyanyi lagu ‘Oh Azizah.Kita nak nyanyi lagu rakyat. Rakyat sedang susah,”,” katanya, merujuk kepada lagu popular P Ramlee yang sering dinyanyikan Datuk Seri Anwar Ibrahim  untuk isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

     Beliau berkata demikian katanya dalam ucapan di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam, lapor MalaysiaNow.

    Ucapan itu kemudian diselangi dengan klip video menunjukkan Anwar yang mendendangkan beberapa lagu dalam beberapa majlis.

    Azmin berkata, rakyat kini memerlukan pemimpin yang rajin turun ke lapangan untuk mengenal pasti masalah rakyat dan seterusnya memacu ekonomi negara.

    “Bukan naik gerek (basikal) dalam pejabat.  Kita nak pemimpin yang pacu ekonomi negara. Pertumbuhan negara. Bukan naik lembu,” katanya sambil ditayangkan klip video menteri-menteri yang tular sebelum ini.

    Tayangan video-video tersebut disambut dengan gelak tawa hadirin yang berada di dalam dewan tersebut.

    Katanya lagi, disebabkan perkara-perkara itu masalah sebenar yang membelenggu rakyat masih belum diselesaikan.

    ‘’Atas sebab itu, tidak menghairankan mengapa rakyat menjadi semakin “letih” dan sering marah di media sosial. Dengar tak dulu, hari ni memerintah…esok minyak turun. Dah turun ke tuan puan?

    “Kalau harga minyak tak turun, kita turunkan dia,” katanya.

  • ‘’DAP layan BN macam kain buruk…’’ – Ahmad Fadhli

    ‘’DAP layan BN macam kain buruk…’’ – Ahmad Fadhli

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan,  DAP melayan Barisan Nasional (BN) seperti kain buruk yang digunakan untuk mengelap kaki ketika basah.

    Katanya, perumpamaan yang beliau gunakan meskipun bunyinya kasar tetapi bukan bermaksud secara peribadi bermusuhan dengan rakan-rakannya dalam BN.

    Beliau menggambarkan situasi BN sekarang yang berada bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan kiasan seumpama itu, selepas ada bekas pemimpin DAP berani menggelar BN sebagai pakatan korup.

    “Percayakah kita sedang berdepan musuh teramat lemah di saat ini? Semalam bekas pemimpin DAP, Tony Pua labelkan BN sebagai pakatan korup.

    “Saya nak tanya kepada kawan-kawan ahli BN, UMNO, tak malu ke nak undi DAP di Selangor? Kalau mereka (PH) ada kekuatan mereka nak bentuk kerajaan tanpa BN.

    “Bagi pandangan DAP, BN adalah kain buruk yang diguna untuk lap kaki ketika basah. Ke bahasa saya kasar? Itu (cuma) kiasan. Kita tak bermusuhan dengan BN tetapi masalah UMNO adalah di peringkat atasan. Itu sebelum PRN. Maknanya kamu menunggu masa untuk dibuang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyan Pilihanraya PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyan Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini. Ahmad Fadhli berkata, berikutan apa yang berlaku adakah ahli BN, khasnya rakan-rakannya dalam gabungan parti itu sanggup untuk mengundi DAP pada pilihan raya nanti?

    “Untuk kawan-kawan, ahli BN dan UMNO, maka dalam PRN ini, buat pilihan yang tepat. Takkan tergamak nak pangkah logo DAP di dalamnya.

    “Mana pergi lagu anak kecil main api sehingga mengalir air mata? Bagi kawan-kawan bukan Melayu, percayalah kalau anda masih sokongan kerajaan PMX, anda memberikan sokongan selesa kepada mereka sedangkan keadaan ekonomi pun mereka tak boleh nak jaga.

    “(Nilai) ringgit menghampiri nilai rahmah RM5. Itu sebabnya kita berdepan kerajaan cukup rapuh. Insya-Allah PN, kita adalah adik-beradik dan bersatu untuk tawan Selangor,” katanya.

  • Kemalangan : Suami isteri maut di Gerik, tiga beradik terbunuh di Pekan

    Kemalangan : Suami isteri maut di Gerik, tiga beradik terbunuh di Pekan

    SEPASANG suami isteri maut manakala tiga lagi cedera setelah kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan simen di Kilometer 25, Lebuhraya Timur Barat, sebelum hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa, di Gerik hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.10 tengah hari, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi.

    Terdapat lima mangsa dalam kereta Perodua Myvi iaitu pasangan suami isteri dan tiga lagi iaitu kanak-kanak. “Seorang lelaki dan seorang wanita maut di lokasi kejadian tetapi tidak tersepit, manakala dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera.

    “Bagaimanapun pemandu treler selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya lapor Astro Awani.

    Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis untuk tindakan susulan.

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Che Ros Che Hassan itu tamat jam 2.45 petang.

    DI PEKAN, Tiga beradik berusia lima hingga 15 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7 Jalan Benta/Lamir di Pekan dekat sini, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kejadian dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari dengan semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Tiga beradik itu ialah Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, adiknya Nik Nur Faqihah, 11 dan Nik Ikram Nuqman yang berusia lima tahun, masing-masing dari Kampung Langgar di Pekan.

    “Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki tiga beradik itu dari arah Kampung Lamir ke Kampung Langgar terbabas ke laluan bertentangan, lalu merempuh MPV menghala Kuantan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

  • Adakah DAP akan khianati BN – Ka Siong

    Adakah DAP akan khianati BN – Ka Siong

    SELEPAS pemimpin UMNO mengecam Tony Pua kerana me label BN sebagai pakatan korup, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pula mempersoalkan kenyataan pemimpin DAP itu yang mencadangkan supaya PH memerintah secara solo selepas PRU-16.

    Dalam kenyataan melalui Facebook, Ka Siong berkata, adakah kenyataan itu bermaksud PH akan mengkhianati BN yang kini bersama mereka dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Bukankah itu bermaksud BN akan dikhianati oleh PH? DAP akan ‘tikam belakang’?” katanya.

    Tony menjadikan majlis makan kutipan dana DAP malam tadi di Petaling Jaya untuk melabek BN sebagai pakatan korup dan berharap PH akan memerintah secara bersendirian selepas PRU-16.

    Ka Siong seterusnya mempersoalkan, jika Tony sudah mengkritik BN korup,kenapa pula DAP mahukan sokongan BN untuk tubuhkan kerajaan?

    Beliau turut mengingatkan bahawa beberapa pemimpin DAP merupakan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan, yang tertubuh dengan sokongan BN.

    “Saya selar Pua sebagai ‘mulut celupar dan  kenyataan beliau  tidak menggambarkan ‘semangat kebersamaan’ dalam Kerajaan Perpaduan, serta akan mengelirukan penyokong.

    Terdahulu, MCA mencabar Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook memecat Pua yang juga penasihat dasarnya.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki  menghantar mesej protes secara rasmi kepada DAP berhubung kenyataan  Tony.

    UMNO kata beliau, turut mendesak supaya Tony tidak dipertaruhkan sebagai calon oleh DAP dalam PRN.

    “Saya telah menghantar mesej protes kepada kepimpinan tertinggi DAP dan desak mereka untuk jangan sesekali meletakkan beliau (Pua) sebagai calon dalam PRN akan datang jika mahu keharmonian gabungan kerajaan perpaduan Malaysia ini berkekalan.

    “Lagi pun beliau sendiri masih bermimpi di siang hari sehingga terlupa bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan PH tetapi gabungan besar BN, PH, GPS, GRS dan Warisan yang didalamnya terdiri daripada 19 parti politik.

    “Apa yang diucapnya hanya menyerlahkan kedangkalannya sendiri,” katanya.

  • Gelombang rakyat jadi tsunami dalam PRN di enam negeri – Tuan Ibrahim

    Gelombang rakyat jadi tsunami dalam PRN di enam negeri – Tuan Ibrahim

    MOMENTUM gelombang rakyat di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dilihat bakal menjadi tsunami yang akan menyebabkan perubahan besar dari PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menghuraikan petanda tersebut dalam ucapannya pada Ceramah Himpunan PERIKATAN NASIONAL (PN) BEST, di Tasek Gelugor malam tadi.

    “Sebab itu bagi kita PRN enam negeri ini ialah satu referendum rakyat walaupun Perdana Menteri menyebut apa jua keputusan PRN enam negeri ini tidak akan menggugat Kerajaan Persekutuan. 

    “Dari segi politiknya yang jelas adalah penolakan rakyat. Bayangkan kalau Selangor kita (PN) ambil alih, Negeri Sembilan tumbang kepada PN, Kedah kita pertahankan. Kita menang Kelantan di Terengganu di Pulau Pinang. 

    “Enam-enam negeri ini menjadi satu gelombang. Akhirnya yang duduk di atas itu kepanasan, takkan lama mereka akan turun atau diturunkan insya-Allah,” ujarnya membongkar kegelisahan sedang melanda Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

    Harakahdaily.net melaporkan, Tuan Ibrahim berkata, kajian pelbagai pihak melihat gelombang kali ini lebih besar berbanding PRU15 lalu kerana rakyat selaku pengundi merasa ditipu oleh para pemimpin PH-BN yang melanggar sumpah dan janji mereka.

    Katanya,  rakyat sedang mengimbas semula segala kenyataan yang kononnya dari pakar berupa formula penyelesaian kepada masalah-masalah, namun sedang menimpa negara kini adalah sebaliknya.

    “Rakyat monitor melihat seolahnya negara ini dipimpin oleh seorang manusia. Mari soalan kementerian apa pun dia yang jawab. Kadang-kadang jawapannya sekejap macam ini, kejap macam ini, berubah-ubah, flip flop,” tegasnya.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut juga berkata, kekuatan gabungan dan nilai integriti yang dimiliki oleh PN cuba dirosakkan dengan tuduhan palsu kononnya melakukan rasuah, manakala akaun bank disekat.

    Hal tersebut ujarnya, menyebabkan anak muda merasa bosan dengan kemelut politik dicipta itu lalu mereka mahukan barisan kepimpinan yang meyakinkan dan bukannya hanya sekadar bercakap dan berteori.

    Tegasnya, beliau menyokong penuh agresif Perdana Menteri untuk memerangi rasuah, tetapi mestilah dengan tindakan dan disertakan bukti, bukan hanya menjadi cakap politik untuk memburukkan PN.

    Sedangkan rakyat ujarnya, mengadakan perbandingan dengan melihat teladan telah dibawa pada pemerintahan kerajaan seperti di Kelantan tidak sebagaimana tuduhan yang dibuat itu.

  • ’’Tiada abang besar, abang kecil dalam PN’’ – Muhyiddin

    ’’Tiada abang besar, abang kecil dalam PN’’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan tiada “abang besar atau abang kecil” dalam gabungan itu walaupun Pas mendapat kerusi terbanyak untuk PRN.

    Katanya juga Presiden Bersatu berkata secara fakta memang diakui Pas mempunyai lebih kerusi daripada parti pimpinannya, selain telah lama wujud dan menguasai beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu serta Kedah.

    “Kita tak panggil ‘abang besar’ ke ‘abang kecil’. Saya Presiden Bersatu dan pengerusi PN disokong oleh Pas. Tak kisah siapa memimpin asalkan kita mempunyai tekad dan azam sama,” katanya pada sidang media di Pagoh, lapor FMT.

    Beliau mengulas dakwaan Pas kini menjadi “abang besar” dalam PN kerana mendapat agihan kerusi terbanyak berbanding Bersatu dan Gerakan, rakan dalam komponen PN.

    Khamis lalu, Muhyiddin mengumumkan PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi.

    Perkembangan ini di sebalik pengumuman Muhyiddin bahawa PN akan mengangkat Menteri Besar daripada Bersatu di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala di Pulau Pinang bergantung kepada bilangan kerusi yang dimenangi.

    Muhyiddin berpendapat pembahagian kerusi dalam PN dibuat secara adil dan Pas banyak bertanding banyak kerusi di Pantai Timur serta Kedah.

    “Di Selangor dan Negeri Sembilan, Bersatu lebih… begitu juga di Pulau Pinang. Bagi kami tak jadi masalah dan sudah diputuskan dengan baik (pembahagian kerusi PN),” katanya.

  • 245 calon PN akan tandatangan aku janji – Muhyiddin

    245 calon PN akan tandatangan aku janji – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, 245 calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menandatangani   aku janji untuk berpegang teguh dengan dasar gabungan itu.

    Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi PN berkata,  aku janji tersebut tidak meletakkan sebarang nilai denda sebagaimana yang dilakukan sesetengah parti sebelum ini.

    “Kita tidak buat begitu kerana yakin calon-calon PN berpegang kepada aku janji dan angkat sumpah. Aku janji sudah dibuat pada PRN) Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Aku janji ini biasanya untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan rasuah dan berpegang kepada perlembagaan serta undang-undang. Kita harap mereka berpegang teguh kedudukan mereka itu atas dasar PN,” katanya lapar SINAR HARIAN.

    Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 52 lembu sempena Program Korban Perdana Parlimen Pagoh di Bukit Pasir, di sini, pada Sabtu.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menambah semua calon PN juga perlu menjalani tapisan untuk memastikan mereka ‘bersih’ daripada sebarang kesalahan dengan pihak berkuasa termasuk tidak muflis.

    “Sebelum pemilihan dibuat, semua bakal calon perlu melalui proses saringan dengan teliti serta diperhalusi bagi memenuhi kriteria ditetapkan.

    “Proses tapisan dijalankan bagi memastikan mereka tidak ada rekod polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Insolvensi.

    “Ini sudah dijadikan panduan, pendek kata kita sudah bersedia lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum tarikh penamaan calon,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut melahirkan keyakinan PN mampu menyapu bersih kerusi di sesetengah negeri pada PRN negeri.

    “Tiga negeri bawah pentadbiran PN yang dipimpin oleh Pas sebagai Menteri Besar akan kekal pada PRN ini.Malah jumlah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi juga akan meningkat,” katanya.

  • 31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

    31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

    SERAMAI 31,600 jemaah haji mula bergerak ke Arafah esok bagi menyempurnakan ibadah yang paling penting dalam Rukun Islam kelima itu.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji akan bergerak dari Mekah ke Arafah bermula jam 7 pagi hingga selepas Zohor melibatkan laluan sejauh 21.9 kilometer.

    Katanya, sebanyak 21 bas disediakan untuk membawa 3,000 jemaah dengan keseluruhannya 63 trip perjalanan untuk satu maktab.

    “Petugas akan buat pemeriksaan di 12 penginapan jemaah, di setiap tingkat dan juga di Masjidilharam supaya tiada jemaah yang tertinggal,”katanya pada taklimat operasi Masyair di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah.

    Wartawan SINAR HARIAN melaporkan dari Mekah, pada tahun ini kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina bagi menyempurnakan ibadah haji masing-masing.

    Syed Saleh berkata, pada hari wukuf iaitu Selasa 9 Zulhijjah, jemaah haji akan mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf dengan ibadah masing-masing seperti doa,berzikir dan membaca al-Quran.

    Kata beliau, sebelum Maghrib kira-kira jam 6.30 petang semua jemaah haji perlu berada di dalam bas yang ditetapkan untuk bergerak ke Mudzalifah melibatkan jarak lapan kilometer.

    “Apabila masuk Maghrib, jemaah akan dibawa dengan tujuh bas secara ulang-alik dari Arafah ke Mudzalifah dan perlu menunggu separuh malam pada 11.45 malam.

    “Duduk seketika di Mudzalifah pada separuh malam dikira memenuhi syarat bermabit seperti yang ditetapkan pakar rujuk,” katanya.

    Tambah Syed Saleh, dari Mudzalifah jemaah akan bergerak ke Mina dengan jarak perjalanan tujuh kilometer menggunakan sembilan bas selepas jam 11.45 malam.

    “Jemaah haji akan berada di Mina pada 10 Zulhijjah hingga 12 Zulhijjah atau sehingga 13 Zulhijjah, berpandukan kepada Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

    Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa, ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.

  • Tindakan Tony Pua label ‘BN pakatan korup’ tak wakili DAP – Anthony Loke

    Tindakan Tony Pua label ‘BN pakatan korup’ tak wakili DAP – Anthony Loke

    TINDAKAN bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan BN-UMNO ‘pakatan korup’ ternyata mencetuskan kebimbangan kepemimpinan parti itu, tambahan pula menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Dalam reaksinya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. 

    ‘’Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti. 

    ‘’Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Tony Pua pada majlis makan malam mengumpul dana PRN DAP di Petaling Jaya kelmarin.

    Dalam ucapannya, Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.

    Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sewaktu berucap pada majlis tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

    Sehubungan itu, Tony Pua menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Mengulas lanjut, Anthony berkata, kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

    ‘’Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,’’ katanya.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran. 

    ‘’Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,’’ katanya.