Author: Wartawan WartaRakyat

  • Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

    Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

    Oleh BADLISHAH MAT

    STADIUM Darul Aman yang memiliki kapasiti kira-kira 25,000 orang hampir dipenuhi lautan manusia apabila rakyat Kedah dan negeri sekitarnya membanjiri lokasi itu bagi menyertai program Himpunan Kedah Berselawat anjuran kerajaan negeri Kedah.

    Majlis yang bermula sejak pukul 7.30 malam itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat dan doa munajat sebelum diteruskan dengan kuliah Maghrib Perdana serta solat Isyak.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara pimpinan utama yang hadir ke program itu bersama barisan Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil rakyat negeri Kedah.

    Turut hadir, tokoh ulama Kedah, Abdullah Lebai Samah yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah atau dikenali Pondok Bukit Lada; Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

    Sebanyak empat pusingan selawat dan qasidah dialunkan sepanjang himpunan tersebut sebelum Tausiah disampaikan oleh Syeikh Muhd. Zainal Asri Mohd. Romli dan diikuti ucapan Muhammad Sanusi.

    Muhammad Sanusi berkata, program berkenaan merupakan himpunan terbesar yang diadakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

    “Himpunan yang besar pernah diadakan di Stadium Darul Aman adalah Himpunan Hijau pada tahun 2012.

    “Alhamdulilah Allah beri izin dan Allah paut hati-hati kita untuk berhimpun bersama dengan para alim ulama, asatizah dan para pemimpin yang dalam tempoh bebrapa tahun ini sedaya upaya membawa kebaikan seperti mana dituntut Allah,” katanya pada program itu malam tadi.

  • Perubahan kerajaan: Segala-galanya boleh berlaku – Muhyiddin

    Perubahan kerajaan: Segala-galanya boleh berlaku – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan kerajaan Pusat sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

    Namun, Pengerusi PN itu enggan mengulas bagaimana perubahan kerajaan akan berlaku tetapi menegaskan, ia sedikit sebanyak mampu menggugat kedudukan kerajaan sedia ada jika PN menang di semua enam buah negeri tersebut.

    “Disebutkan tadi enam buah negeri berhadapan dengan PRN, ini bukan jumlah yang kecil, kalau enam buah negeri menghadapi pilihan raya dan enam-enam negeri dimenangi dan dikuasai oleh Perikatan Nasional, sudah tentunya yang duduk di Putrajaya akan goyang.

    “Agaknya sebab itu yang Azmin sebutkan tadi bulan 8. Mahu doakan bulan 8 suapaya apa yang disebutkan tadi akan dimakbulkan oleh Allah,terbentuk kerajaan yang baharu.

    “Soal macam mana saya tak nak sebutkan di sini, orang Indonesia kata segala-galanya bisa (boleh) berlaku,” katanya dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam, malam tadi.

    Pada Khamis, PN mengesahkan akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini meliputi Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

    Sebelum itu dalam ceramah sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijatuhkan sebaik sahaja gabungan tersebut menang dalam PRN Selangor lapor Astro AWANI.

  • UMNO hanya menumpang PH di Selangor- Noh

    UMNO hanya menumpang PH di Selangor- Noh

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan UMNO telah hilang kekuatannya di Selangor dan kini hanya menjadi penumpang kepada sekutu barunya, Pakatan Harapan (PH).

    Beliau berkata, kini tiba waktunya untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bangkit di Selangor.

    “Sebagai bekas pengerusi BN Selangor, saya kecewa dengan (nasib) beberapa kerusi UMNO pada PRN (pilhan raya negeri) akan datang.

    “Kalau UMNO jadi penumpang, mana kehebatan BN (Barisan Nasional)? Justeru, hari ini PN (Perikatan Nasional) mesti bangkit menggantikan BN,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Selangor Baru – Kita Bangkit di Shah Alam malam tadi.

    Turut hadir adalah Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang mengalu-alukan sokongan yang disuarakan Noh.

    Noh yang dipecat UMNO Januari lalu percaya, dengan semangat PN dan kerjasama yang ditonjolkan antara parti komponen gabungan itu, PN akan menang PRN akan datang.

    Sementara itu, Azmin berkata, pihaknya menyambut sokongan Noh walaupun bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu pernah menyerangnya ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

    “Masa saya jadi Menteri Besar, dia (Noh) hantar Jamal. Ingat Jamal,” kata Azmin merujuk bekas Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos dikenali dengan gimik politiknya yang mengundang perhatian.

    Azmin antaranya mengimbas kembali tindakan Jamal yang pernah mendakwanya gagal menguruskan isu bekalan air Selangor dan muncul di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan hanya bertuala pada 2016.

    “Rupa-rupanya di belakang Jamal, ada Noh. Tetapi sekarang dia sudah insaf. Kami dulu di zaman jahiliah. Dia dalam UMNO, saya dalam PKR (Parti Keadilan Rakyat). Tetapi sekarang kami bergabung tenaga untuk Selangor baru,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

    PN memulakan kempen di Selangor semalam menerusi pelancaran jenteranya.

    Antara yang hadir adalah pemimpin tertinggi PN iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, serta barisan pemimpin peringkat negeri.

  • ‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

    ‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

    KERAJAAN Perpaduan yang sebenar ialah ketika Malaysia ditadbir oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Menurut bekas ahli Parlimen Tanjong Karang itu, pentadbiran Muhyiddin lebih menggambarkan Kerajaan Perpaduan apabila semua parti yang terlibat dalam kerajaan pada ketika itu hanya bekerjasama di peringkat Persekutuan meskipun mempunyai hala tuju masing-masing di peringkat negeri.

    Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang berlangsung pada 2021 adalah contoh terbaik apabila UMNO bertembung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas meskipun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memegang portfolio menteri Kabinet.

    “Saya pelik melihat pemimpin UMNO (sekarang). Kerajaan Perpaduan ini meskipun yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, saya percaya dan yakin Kerajaan Perpaduan waktu Muhyiddin paling berjaya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baru Kita Bangkit Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi.

    “Ketika itu, kita (UMNO) bersama PN (Perikatan Nasional) . Saya masih ingat di peringkat Pusat. Saya pun menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun menteri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga menteri.

    “Bayangkan apabila sampai PRN Melaka dan Johor, pada Rabu kami hadir mesyuarat Kabinet. Habis saja mesyuarat, sebelah malam kita berperang.”

    Noh berkata demikian bagi mengulas kerjasama BN-PH yang bercadang untuk mengagihkan kerusi bagi memastikan tiada pertembungan pada pilihan raya yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

    Dalam pada itu, Noh yakin PN mampu merampas Selangor sekiranya berlaku persaingan satu lawan satu antara PN dan PH atau BN.

    “PH mesti dikalahkan. Itulah cita-cita saya selama tiga penggal sejak 2008. Tetapi BN hanya tinggal harapan.

    “Sebab apa? Sebab Selangor ini lain dari negeri lain. Kita jangan bertembung tiga penjuru, kalau tak PH akan berjaya. kita harap Selangor akan bertembung dua penjuru (satu lawan satu),” tambahnya, lapor MalaysiaNow.

  • PRN: Muhyiddin ingatkan jentera PN jangan pinggirkan kawasan hitam

    PRN: Muhyiddin ingatkan jentera PN jangan pinggirkan kawasan hitam

    PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa jentera parti tidak meminggirkan kawasan hitam di sesuatu kawasan pilihan raya dengan anggapan kawasan tersebut tidak mempunyai potensi memberikan undi kepada parti.

    Menurutnya, dalam situasi semasa politik hari ini tidak mustahil pengundi di kawasan hitam itu mampu memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN).

    “Sebab itu saya tidak mahu kita (jentera) membuat kesimpulan awal. Oleh kerana kawasan tersebut kawasan hitam, kawasan kelabu, kita tak payah pergi. Biar dia gelap selama-lamanya. Terutamanya masa ini di kawasan UMNO. Dulu mungkin itu kawasan kuat UMNO tapi kali ini mungkin tidak lagi,” katanya berucap pada Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

    Muhyiddin berkata, peluang tersebut perlu direbut lebih-lebih lagi UMNO kini berada dalam keadaan ‘hancur’ di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, Muhyiddin mengakui tidak kisah sekiranya ahli atau pemimpin UMNO tidak menyertai mana-mana parti komponen PN dengan alasan sudah memadai jika mereka menyatakan sokongan terhadap gabungan itu.

    Justeru, beliau mengingatkan kepada ahli serta pemimpin PN supaya jangan memaksa ahli UMNO untuk menyertai gabungan itu.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden BERSATU tetap menaruh harapan kepada pemimpin UMNO supaya meninggalkan parti itu dengan beralih menyatakan sokongan kepada PN.

    “Orang UMNO memang tidak akan berganjak kerana kita pun tidak akan lari dan tinggalkan parti kerana ia sudah sebati dengan hidup kita.

    “Hari ini, sudah pun ramai yang meninggalkan UMNO. Pemimpin besar, pemimpin sederhana mahupun pemimpin kecil, bawahan mengisytihar sokongan kepada PN. Terima kasih Tan Sri Noh Omar dan banyak lagi. Saya tak payah sebut di sini.

    “Yang lain kata dia tak kena keluar dulu tetapi dia tetap sokong PN. Tak apa, jangan paksa suruh masuk mana-mana parti, asalkan dia sokong (PN).

    “Saya percaya kali ini sebab yang menyokong UMNO dulu akan meninggalkan UMNO dan menyokong PN, Insya-Allah,” katanya ketika Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

    Pada majlis sama, Muhyiddin menyentuh mengenai pemilihan calon PN untuk pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau menegaskan calon yang disenaraikan oleh pucuk pimpinan parti dalam gabungan itu wajib diterima.

    “Ramai calon berkelayakan (dalam PN). Di Selangor khususnya sudah diteliti.

    “Pucuk pimpinan putuskan (siapa dipilih jadi calon)… (maka) wajib terima calon itu…setuju?” katanya.

    Mengulas manifesto PN, Muhyiddin berkata ia akan dilancarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

  • ‘’Jangan layan kenyataan Tony Pua’’ – Zahid

    ‘’Jangan layan kenyataan Tony Pua’’ – Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua pemimpin parti itu supaya tidak melayan atau memberi sebarang reaksi terhadap kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.

    Ahmad Zahid berkata, ini kerana kenyataan itu bukan pandangan rasmi daripada kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Saya nak bagi pandangan, mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang ada pandangan berbeza kami tidak akan layan. Ini kerana itu bukan pandangan rasmi dari kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan dan saya telah beritahu jangan ada reaksi untuk membalas dan sebagainya dari pihak kita,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini,

    Turut hadir, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    Menurut Ahmad Zahid, jika isu tersebut terus ditimbulkan, ia akan menampakkan seolah-olah ia masalah besar.

    Katanya, kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua itu bukannya menjadi dasar, pegangan atau ketetapan kepimpinan mana-mana parti.

    “Pegangan kami, perundingan diadakan antara BN dan PH. Jadi saya berterima kasih kepada Anthony Loke Siew Fook yang telah keluarkan kenyataan yang beliau tidak ‘endorse’ pandangan berbeza sebagai pandangan parti. Kami juga berpendirian marilah kita ‘move forward’. Jangan nak membaling batu di rumah kaca,” katanya.

    Tony pada Jumaat menggelar BN yang kini bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.

    Sehubungan itu, Tony menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

  • ‘Gelombang Hijau ‘ taktik Kit Siang takut-takutkan pengundi bukan Melayu terhadap Pas – Azmin

    ‘Gelombang Hijau ‘ taktik Kit Siang takut-takutkan pengundi bukan Melayu terhadap Pas – Azmin

    ISTILAH  “Gelombang Hijau” merupakan taktik dan perangkap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang untuk mencipta persepsi negatif terhadap Pas, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Azmin Ali.

    Beliau berkata, permainan politik itu kononnya untuk memberi gambaran bahawa akan berlaku gelombang kebangkitan PAS yang dituduh sebagai satu kumpulan berfikiran radikal.

    “Kita tahu taktik dan perangkap Lim Kit Siang untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan menguar-uarkan gelombang hijau seolah-olah akan berlaku satu gelombang kebangkitan Pas yang dituduh sebagai satu kumpulan radikal,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di Shah Alam, Labor MalaysiaNow.

     Azmin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa berkata, persepsi yang cuba dihasilkan Lim itu selepas mendapati sokongan bukan Melayu terhadap PN meningkat.

    Katanya, kehadiran bukan Melayu pada konvensyen yang diadakan hari ini serta majlis yang diadakan di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini jelas menunjukkan sokongan terhadap PN semakin kukuh.

    Beliau berkata, ditambah dengan sokongan Melayu yang semakin kuat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lalu memberikan petanda positif bahawa PN mempunyai peluang cerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

    “Ini membuktikan mereka meletakkan keyakinan PN mampu bawa perubahan dalam PRN akan datang,” tambah Azmin.

    Dalam pada itu, Azmin turut mendedahkan PN juga bakal akan meletakkan beberapa muka baru di Selangor yang terdiri daripada golongan muda berlatarbelakangkan profesional.

    “Itu yang dikehendaki rakyat, maka kita tunaikan. Selain itu, PN juga akan meletakkan calon dalam kalangan kaum India dan Cina,” katanya.

  • ”Tony Pua kata BN korup.Macam mana nak kata kerajaan ini perpaduan” – Muhyiddin

    ”Tony Pua kata BN korup.Macam mana nak kata kerajaan ini perpaduan” – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar kerajaan campuran susulan kenyataan bekas setiausaha publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai parti rasuah dan korup.

    Menurut Muhyiddin, apakah tindakan saling menyerang dan menggelar rakan gabungan sendiri layak dipanggil sebagai “kerajaan Perpaduan”?

    “Tony Pua kata BN korup. Suruh parti dia keluar (kerajaan). Macam mana nak kata kerajaan ini perpaduan? Takrif perpaduan tak sama,” katanya dalam ucapan di skonvensyen sempena pelancaran jentera PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Shah Alam, hari ini, lapor MalaysiaNow

    Katanya, situasi itu jelas menunjukkan tiada kesepakatan dalam gabungan kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, perkara itu turut terserlah apabila beliau hadir ke Parlimen kerana mendapati riak wajah para menteri dan ahli Parlimen di blok kerajaan tidak berseri.

    Sebaliknya, Muhyiddin berkata mereka sering kali terlihat seperti bersedih.

    “Kerana jiwa tak berada di situ.”

    Semalam, Pua sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyuarakan agar Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

    Dalam pada itu, Muhyiddin juga sempat mengingatkan para jentera dan kepimpinan parti yang hadir supaya bersedia untuk melakukan kerja dan tugas masing-masing menjelang PRN di negeri itu.

    Beliau juga memberitahu proses penyediaan manifesto PN untuk PRN Selangor dijangka siap dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang.

    Manakala bagi penamaan calon-calon yang akan diumumkan kelak, Muhyiddin berharap setiap anggota parti bersetuju dengan pilihan pimpinan dengan hati terbuka.

    “Pokoknya bila pucuk pimpinan putuskan, wajar, maka hukumnya wajib terima calon itu. Terima siapa sahaja calon yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan,” katanya.

  • Golongan radikal, pelampau sudah lama keluar Pas – Idris

    Golongan radikal, pelampau sudah lama keluar Pas – Idris

    NAIB Presiden Pas Datuk Idris Ahmad menyangkal dakwaan segelintir pihak yang berterusan menuduh parti itu sebagai “radikal” dan pelampau agama, mengatakan golongan tersebut sudah lama meninggalkan perjuangan parti.

    Berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), di Shah Alam hari ini, beliau berkata parti itu kini diketuai oleh pemimpin yang neutral dalam pemikiran dan kepimpinannya iaitu Presiden Pas Abdul Hadi Awang. 

    “Dari dulu lagi apabila berlakunya macam-macam reformasi, perarakan dan sebagainya Tuan Guru Haji Hadi kata boleh buat. Tapi ada hadnya,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut, Idris turut mengimbas kembali kepada peristiwa Pas menolak untuk menyertai himpunan Bersih 4 pada Ogos 2015 yang turut menyaksikan jumlah kehadiran merosot berbanding siri-siri himpunan sebelumnya.

    Ini kerana katanya, Pas menjadi pihak yang menggerakkan orang ramai dan peserta dari peringkat bawah.

    Katanya, peserta dari kawasan pendalaman seperti di Jeli, Gua Musang dan Baling mengambil masa satu bulan untuk kumpul duit hanya kerana mahu menyertai demonstrasi di Kuala Lumpur.

    “Begitu juga yang kata Pas suka kafirkan orang. Dah keluar Pas dah. Mereka cuba nak gambarkan kononnya Pas tak boleh berkawan dengan orang.

    “Dua hari lepas menteri dalam negeri, bukan orang lain kawan universiti saya beri amaran kepada pembangkang (supaya) jangan main isu 3R,” katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang memberi peringatan kepada parti politik tidak berpolitik gaya 3R. 

    Bagaimanapun, Idris mempersoalkan apa yang menjadi masalah apabila pihak pembangkang membangkitkan isu agama (Religion), kaum (Racist) mahupun mengenai kuasa Raja-raja Melayu (Royalist) kerana sudah jelas perkara-perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

    Ini termasuklah agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa orang Melayu.

    “Mereka tahu dalam isu ini, mereka terkebelakang,” katanya.

  • PRN: PN Selangor tak serang peribadi, fokus  selesai masalah rakyat

    PRN: PN Selangor tak serang peribadi, fokus selesai masalah rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor tidak akan menyerang peribadi mana-mana pihak atau individu termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pengerusi PN negeri itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, PN Selangor akan memberi fokus kepada tiga perkara antaranya menyelesaikan permasalahan rakyat di negeri berkenaan.

    Katanya, Amirudin merupakan sahabat lama beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah mengakui beliau membawa nama ‘anak didiknya’ itu untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

    “Ya beliau merupakan seorang sahabat lama saya dalam Keadilan (PKR), beberapa tahun (lalu) dan saya memang membawa nama beliau untuk diangkat menjadi Menteri Besar Selangor.

    “Ini kerana ketika itu kita memerlukan seorang tokoh muda yang dapat membawa perubahan drastik kepada negeri Selangor namun pada hari ini kita tidak mahu meremehkan atau melontarkan (serangan peribadi) kepada mana mana individu atau mana mana pihak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamed Azmin menambah, fokus pertama PN Selangor pada PRN pada kali ini adalah mengukuhkan iltizam, kepimpinan dan anggota PN negeri berkenaan.

    “Kedua, PN Selangor akan meneruskan kerja kuat kami untuk mengangkat umat dan memakmurkan negeri Selangor dan ketiga untuk memberikan penyelesaian kepada pemasalahan rakyat pada hari ini,” katanya.

    Beliau berkata, ketika ini rakyat sedang marah kerana tidak ada penyelesaian daripada kerajaan Persekutuan dalam isu ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup, inflasi, ringgit yang semakin lemah dan tiada penyelesaian sehingga kini.

    “Oleh kerana kerajaan negeri pada hari ini bersekongkol dengan kerajaan Persekutuan sudah tentulah rakyat Selangor juga terkesan kerana rakyat Selangor mahukan penyelesaian yang tidak dapat diberikan.

    “Maka kemarahan hari ini sudah menjadi satu gelombang maka mereka meletakkan satu harapan yang begitu menggunung kepada PN kerana telah melihat keupayaan dan prestasi kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun ketika itu negara menghadapi krisis tetapi kita mampu memberikan penyelesaian dalam keadaan gawat begitu.

    “Apabila negara menghadapi krisis kita memerlukan kepimpinan bersih, bertanggungjawab dan itu ada dalam PN sebab itu gelombang kebangkitan rakyat pada hari ini tidak boleh ditahan lagi dan kami ini hanya memudah cara supaya peralihan kerajaan negeri kali ini berjalan dengan lancar demi rakyat di negeri Selangor,” tambahnya.