SEORANG suri rumah warga Vietnam ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh seorang buruh di sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar, Manjung semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal kejadian diterima sekitar pukul 5.15 petang yang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui terbaring tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 38 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tetakan pada tubuh badannya.
“Polis turut menjumpai dua batang besi cangkuk tandan kelapa sawit, sebatang besi, satu jaring kutip buah lerai sawit, sehelai tuala serta sebuah motosikal berada berdekatan dengan mangsa.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat luka-luka kesan tetakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan di Lumut hari ini.
Katannya, luka tetakan pada bahagian kepala telah membelah tengkorak mengenai otak.
“Siasatan polis berjaya menghasilkan tangkapan terhadap suspek berusia 38 tahun sekitar pukul 3.30 pagi di Ayer Tawar. Suspek merupakan kenalan mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.
Mohd. Yusri berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.
SATU mayat seorang lelaki warga emas ditemui dengan kesan kebakaran di Batu 1,Flat Purnama di Bentong hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, terdapat kesan kebakaran pada kain yang menutupi mayat mangsa yang dikenali Kan Kok Chong, 64.
“Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 4.10 petang daripada pihak polis untuk membantu mengambil mayat tersebut dalam rumah terbabit.
“Dalam laporan polis, mayat disyaki telah dibunuh dan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba memohon bantuan pasukan penyiasatan kebakaran untuk menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
SEORANG wanita warga emas di Miri berputih mata apabila wang simpanan RM30,000 lesap selepas mendakwa ditipu tiga bomoh China.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Admad Sapri berkata, kejadian berlaku pada 19 Jun lalu, pada 7 pagi apabila mangsa yang berusia 80 tahun itu disapa tiga wanita dipercayai warga China.
“Mangsa disapa tiga wanita berkenaan di perhentian bas Jalan Raja, Miri, selepas dia turun dari bas untuk ke kawasan bersenam.
“Ketiga wanita itu dikatakan memakai pelitup muka dan tiba-tiba mengatakannya kepadanya yang dia akan ditimpa nasib malang dalam masa tiga hari.
“Seorang daripada suspek mengatakan pernah berjumpa dengan mendiang suami mangsa dan mengatakan kononnya pernah menyuruh mereka mencari mangsa untuk membuang nasib malang kerana kononnya anak lelaki mangsa akan meninggal dunia dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azman menambah suspek kemudiannya menawarkan mangsa untuk berubat dengan mereka bagi membuang nasib malang itu.
Selain itu, beliau berkata, seorang daripada suspek itu juga mengatakan perlu menghubungi kawasan mereka yang kononnya berumur 100 tahun untuk meminta nasihat dan cara berubat.
“Suspek menghubungi kawasan mereka dan bercakap dalam bahasa Cina sebelum mengarahkan mangsa untuk mengambil wang sebanyak RM4,000 dan mengeluarkan wang dari akaun banknya sebanyak RM26,000,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diarahkan masuk ke dalam sebuah kereta berwarna hitam dan kemudian menyuruh mangsa mencuci tangan serta kaki di luar kereta menggunakan air botol yang dibawa oleh mereka kononnya sudah dijampi bagi membuang nasib malang berkenaan.
Katanya, selepas mangsa mencuci tangan dan kaki, suspek menyerahkan semula barang mangsa yang dibungkus dengan surat khabar serta menyuruh mangsa beredar dari lokasi dan hanya boleh membuka bungkusan berkenaan selepas empat hari.
“Pada 23 Jun lalu, mangsa minta anak lelaki dan menantunya pulang ke rumah bagi membuka bungkusan surat khabar berkenaan.
“Apabila dibuka, ia hanya mengandungi garam kasar,” katanya, lapor Harian Metro.
BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin, akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bon dengan parti itu.
Beliau juga menyifatkan tuntutan dikemukakan sebagai ‘tidak berasas’ dan dianggap jelas bercanggah dengan hak rakyat menyertai dan meninggalkan sesuatu pertubuhan.
“Sudah menjadi hak rakyat untuk bersekutu atau berpisah, yang merupakan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya akan merayu keputusan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi demi menegakkan hak penting ini yang menjadi milik semua rakyat Malaysia.
“Ini juga bertentangan dengan dasar awam dan bertentangan dengan prinsip asas demokrasi. Juga tiada justifikasi tuntutan RM10 juta,” katanya menurut Berita Harian.
Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.
Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.
PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 Sept 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida sebagai defendan.
Parti itu mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya, seperti meletak jawatan dalam parti, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Feb 2020, Zuraida dalam kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang, iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).
PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah 5% setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Akhtar berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas.
SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh teman wanitanya dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, Ipoh pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, maklumat awal kejadian itu diterima daripada seorang wanita pada pukul 4.34 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan suami isteri di mana isteri mengalami kecederaan parah.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil.
“Mangsa berusia 24 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa mengaku memukul wanita itu dan dia ditangkap bersama tiga individu lain yang berada di lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Beliau berkata, tiga individu berusia 29 hingga 65 tahun yang ditahan itu adalah ahli keluarga suspek termasuk ibunya yang datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi lelaki terbabit.
Katanya, siasatan mendapati pasangan kekasih tersebut tinggal di tingkat atas rumah kedai itu bersama bayi lelaki mereka berusia lapan bulan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas keempat-empat suspek mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.
“Tangkapan terhadap kesemua suspek membawa kepada rampasan barang kes berupa empat unit telefon bimbit dan batang penyapu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut. Bayi lelaki mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan,” katanya lapor Utusan Malaysia.
JEMAAH haji perlu bersedia dengan pelbagai cabaran di Arafah, Mudzalifah dan Mina, kata Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji (TH), Dr. Anisah Ab. Ghani.
Jelasnya yang juga Ketua Pakar Rujuk, ini kerana lokasi berkenaan menjadi tumpuan tiga juta umat Islam untuk melaksanakan ibadah haji.
“Setiap jemaah juga perlu mendidik emosi mereka supaya sentiasa sabar kerana berada semasa operasi Masyair boleh diibaratkan seperti di Padang Mahsyar kecil.
“Keadaan khemah yang tak selesa kerana terpaksa duduk dalam keadaan sempit, kadang-kadang panas dan bilik air yang tak sempurna.
“Jemaah kena didik daripada awal emosi macam mana nak hadapi keadaan macam itu kerana dalam bahasa Arab kerja haji diibaratkan seperti kusut masai,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dr. Anisah Ab. Ghani – Foto Sinar Harian
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Abraj Janadriyah, di Makkah mengenai persiapan jemaah sebelum ke Arafah bermula esok (Isnin).
Dr. Anisah berkata, jemaah haji juga perlu menginsafi diri bahawa kemuncak ibadah ini bukanlah tempat untuk bersenang-lenang.
“Anggap kita nak berdepan dengan Allah bukannya nak makan sedap, tempat tidur yang selesa dan sebagainya,” katanya.
Kata beliau, masa yang ada juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya tidak terisi dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan kemabruran haji.
“Kena ada perancangan apa yang kita nak minta daripada Allah, doa untuk diri sendiri, isteri atau suami, anak-anak, kawan-kawan dan jiran,” katanya.
Selain berdoa, Dr. Anisah turut menasihatkan jemaah haji supaya memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan amalan-amalan sunat lain.
Ibadah itu katanya, dapat mengelakkan jemaah daripada membuang masa berbual kosong, mengumpat, bertengkar dan perkara lagha yang sia-sia.
Jemaah perlu membanyakkan doa memohon keampunan daripada Allah. – Foto Sinar Harian
“Dalam sahih Muslim daripada Aisyah RA Nabi Muhammad bersabda: Tidak ada hari yang lebih banyak Allah membebaskan seorang hamba dari neraka dibanding pada hari Arafah.
“Maka rebutlah peluang yang ada kerana belum tentu kita akan dapat hadir lagi selepas ini,” katanya.
Menyentuh mengenai ilmu berkaitan haji, Dr. Anisah berkata masih belum terlewat untuk mengukuhkan pengetahuan supaya dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna semasa Masyair.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.
SEBANYAK 54 buah motosikal disita manakala 290 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis Pulau Pinang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, Butterwoth lewat malam tadi hingga pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU bermula pukul 11.45 malam sehingga 10 pagi.
Jelasnya, terdahulu pihaknya menahan pemilik motosikal terbabit yang berusia antara 18 sehingga 30-an untuk pemeriksaan kerana didapati melepak dan membuat bising di kawasan terbabit.
“Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan ialah motosikal turut diubah suai selain penunggang tidak memiliki lesen yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Tambah beliau, operasi seumpama itu juga akan giat dilakukan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan yang menjurus kepada budaya samseng jalanan daripada terus menular.
BERAT mayat lebih 100 kilogram dan keadaan cuaca yang kurang baik menyebabkan pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di hutan kelmarin.
Mayat lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun itu hanya dapat dikeluarkan dari hutan Borneo Timber Sungai Pinangah pada Sabtu selepas pasukan bomba melalui pelbagai cabaran di kawasan berkenaan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 pagi kelmarin.
“Menurut panggilan, terdapat seorang mangsa sakit di dalam hutan dan memerlukan bantuan untuk dihantar ke hospital.
“Menurut maklumat pemanggil, mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mendaki dan mengkaji hutan, namun mengalami sakit badan sehingga tidak mampu meneruskan perjalanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Edoen berkata, seramai tiga anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 132 kilometer dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, pasukan bomba yang dalam perjalanan ke lokasi kemudian menerima panggilan susulan pada pukul 2.25 petang dan dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurutnya, sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring di khemah dan dipercayai tidak sedarkan diri.
“Pada pukul 6.21 petang hari yang sama, pasukan bomba memulakan operasi dengan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan ‘scoop stretcher’ tetapi ditangguhkan akibat cuaca hujan yang menyebabkan laluan bukit yang curam menjadi licin selain keadaan yang gelap turut menyukarkan operasi,” katanya.
Tambah Edoen lagi, operasi mengeluarkan mangsa disambung pada pukul 5 pagi Sabtu dengan dibantu oleh pasukan BBP Sook.
“Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari hutan dan diserahkan kepada pihak polis sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Edoen memaklumkan disebabkan tiada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian menyebabkan maklumat sukar disalurkan.
“Operasi ditamatkan pada pukul 11.20 malam tadi, bagaimanapun maklumat mengenai operasi itu hanya disalurkan pada pukul 12.30 tengah malam tadi berikutan keadaan yang dihadapi,” katanya.
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf berikutan tindakannya meminta nombor telefon seorang pelajar tingkatan enam dalam satu program baru-baru ini.
Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, tindakan Anwar itu disifatkan sebagai tidak menghormati kaum wanita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu mendakwa, tindakan Perdana Menteri itu juga telah memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat.
Tambahan menurut Amira, Anwar mewakili kumpulan yang mempunyai pangkat dan kedudukan.
“@anwaribrahim kena minta maaf secara terbuka sebagai contoh yang baik pada lelaki lain.
“Buat mereka faham bahawa kelakuan ini tidak baik. Terutama datang dari seseorang yang mempunyai kedudukan kuasa.
“Jika anda kagum dengan gadis itu, puji sahaja dia tanpa membuat komen yang mengganggunya,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Kata Amira Aisya, adalah sesuatu yang malang apabila golongan lelaki berusia menganggap tindakan meminta nombor telefon seorang wanita sebagai bahan gurauan.
Menurut Amira Aisya, tindakan Anwar akan menyebabkan lebih ramai golongan lelaki akan melakukan perbuatan tersebut.
“Wanita melihat ini setiap hari dan kita sentiasa perlu menjelaskan setiap kali kita tidak tersenyum atau ketawa pada ‘gurauan’”.
“Melihat DSAI melakukannya dalam skala yang lebih besar akan mengekalkan kepercayaan ini,” katanya, katanya lapor MalaysiaGazette.
Dalam ciapan tersebut Amira Aisya turut berkongsi laporan media yang memaparkan Anwar berseloroh meminta nombor telefon daripada seorang pelajar tingkatan enam SMK Tunku Ampuan Durah, Adriana ketika bertanya soalan kepadanya.
“Saya bangga dengan Adria ini. Tingkatan enam pun bertanya soalan yang begitu kemas.
“Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon,” seloroh Anwar yang memuji pelajar tersebut ketika bertanya soalan kepadanya.
Jawapan Perdana Menteri mendapat sorakan pelajar yang terhibur dengan kata-kata yang dilemparkan Anwar.
Kejadian yang disiarkan secara langsung dalam program ‘Temu Anwar Negeri Sembilan’ di Universiti Sains Islam Malaysia.
Pelajar berkenaan ketika itu melontar dua soalan antaranya berkaitan sama ada Malaysia boleh menjadi negara dunia pertama dan mengenai kedudukan ringgit yang merosot .
WALAUPUN pelbagai cara dan pendekatan telah diambil oleh pihak berkuasa bagi mengatasi masalah kemalangan di jalan raya, namun jumlah kematian yang dilaporkan berlaku akibat perkara tersebut masih lagi tinggi.
Boleh dikatakan saban hari berlakunya kemalangan sama ada melibatkan pejalan kaki, penunggang motosikal, kenderaan persendirian hinggalah kepada pengangkutan awam lain dan juga kenderaan perdagangan.
Suami isteri maut, dua anak parah kereta terbabas di LPT2; Dua maut bas persiaran terbabas di LPT2; suami isteri maut kereta bertembung bas dan Dua penunggang motosikal maut kemalangan jalan raya.
Begitulah antara tajuk-tajuk berita disiarkan akhbar tempatan setiap hari melaporkan mengenai kejadian kemalangan yang meragut nyawa di Terengganu sepanjang minggu lalu.
Apa yang dikesalkan apabila kemalangan terus berlaku ketika kerajaan melalui pelbagai agensi penguatkuasaannya telah menghabiskan wang jutaan ringgit bagi menangani masalah tersebut.
Aktiviti seminar, kempen, pameran dan operasi bersepadu dilakukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, pendekatan aktiviti juga turut dilaksanakan di sekolah-sekolah dalam usaha memberi kesedaran mengenai peraturan dan keselamatan pengguna jalan raya di peringkat awal usia remaja.
Sementara di sepanjang jalan jalan raya dan juga lebuh raya utama di negara ini pula, pelbagai papan tanda seperti had laju kenderaan, selekoh berbahaya, haiwan melintas, jalan sempit serta kanak-kanak melintas di kawasan sekolah turut di letakkan di lokasi-lokasi tertentu di negara ini.
Bagaimanapun, setiap usaha berkenaan dianggap sebagai sia-sia sahaja kerana 1001 kesalahan masih dilaporkan berlaku membabitkan pengguna jalan raya.
Antara kesalahan yang sering direkodkan ialah memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, perlumbaan motosikal secara haram, keluar simpang secara tiba-tiba dan membelok serta membuat pusingan U secara tiba-tiba dan menggunakan telefon sewaktu memandu.
Ini belum termasuk kesalahan asas seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan kenderaan tamat tempoh dan tidak memakai tali pinggang keledar.
Paling membimbangkan ialah ada segelintir sikap pengguna jalan raya yang bertindak memecut kenderaan ketika lampu isyarat berwarna merah.
Kebanyakan tindakan ini menyebabkan berlakunya kemalangan maut.
Kenapakah perkara ini masih berlaku adakah ia berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan atau sikap dan kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri?
Apa yang pasti, di sebalik pelbagai kempen dilakukan pihak berkuasa, ada golongan sasar terus mengulangi kesilapan sama sewaktu menunggang motosikal, memandu kereta, lori atau bas.
Memandangkan jumlah kenderaan semakin bertambah sehingga jalan-jalan raya turut menjadi sesak terutama ketika waktu puncak menyebabkan kadar kemalangan juga turut meningkat.
Ini kerana sikap pemandu yang lebih mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan pengguna lain sememangnya berlaku sepanjang masa, seolah-olah menjadikan jalan raya itu sebagai milik mereka.
Sebagai contoh, pada minggu lalu penulis memandu kenderaan dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu dan sebaik tiba di lampu isyarat Seberang Marang penulis terpaksa member hentikan kenderaan kerana lampu isyarat bertukar menjadi kuning.
Malangnya beberapa kenderaan di belakang terus membunyikan hon manakala yang berada di sebelah kiri pula terus memecut laju ketika lampu isyarat telah bertukar merah.
Kebanyakan kenderaan dari arah simpang kiri pula terus bergerak tanpa mempedulikan kenderaan lain yang memecut.
Beginilah antara sikap dan gelagat tidak bertanggungjawab segelintir pemandu kenderaan yang sedang memenuhi jalan raya kita sekarang.
Berdasarkan sikap tidak sabar dan pentingkan diri sendiri itulah, ia turut menyumbang kepada kes-kes kemalangan jalan raya yang semakin berleluasa sekarang ini.
Oleh itu, sudah sampai masanya pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas termasuk menggantung lesen terhadap pemandu yang didapati melakukan kesalahan berulang khususnya yang boleh mengancam nyawa orang lain.