HANYA dalam tempoh tiga jam operasi, sebanyak 219 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang terhadap 708 pemilik motosikal yang diperiksa.
Malah, dalam operasi khas Ops Motosikal di lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang yang bermula pukul 4 petang semalam itu, dua buah motosikal turut disita.
Menurut jurucakap JPJ Pulua Pinang, antara kesalahan yang dikesan dilakukan penunggang motosikal dalam operasi itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Kesalahan lain yang turut dikesan ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’, tiada cermin sisi serta melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, katanya, operasi motosikal itu diadakan bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang selain memastikan motosikal tidak diubahsuai untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.
Jelas beliau, tindakan tegas akan dikenakan termasuk motosikal disita jika didapati ubah suai untuk tujuan tersebut masih dilakukan.
“Sehubungan itu, penunggang dan pemilik motosikal dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang selain menunggang dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya,” katanya.
DUA penagih dadah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuah hotel dekat Sungai Jarom pada 15 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun daripada pekerja hotel.
Beliau berkata, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 19 tahun mendakwa telah disamun dua lelaki tempatan dan kehilangan sebuah telefon bimbit jenis Samsung.
Bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun ditahan pada pukul 2.30 petang, Khamis di sebuah rumah kosong dekat Taman Sentosa, Klang yang merupakan lokasi menagih dadah.
“Turut dirampas dua buah telefon bimbit jenis Samsung dan Vivo serta sebilah parang berhulu hijau yang digunakan ketika samun.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek ini mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tiga bulan lalu dan kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaaan, lapor Utusan TV.
SEORANG wanita maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Mersing-Jamaluang, dekat Kampung Wak Saam di Mersing, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Anuar Hussin, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sekitar 2.59 pagi tadi.
Katanya, sebuah jentera LFRT dari BBP Mersing bersama tujuh anggota kemudiannya dihantar ke tempat kejadian.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta BMW, Mitsubishi dan Perodua Myvi.
“Terdapat 16 mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, tiga lelaki daripada kereta BMW dan tiga lelaki serta dua kanak-kanak menaiki Perodua Myvi cedera.
Bagi kereta Mitsubishi pula, katanya, seorang wanita meninggal dunia, sementara empat lelaki dan dua perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan cedera.
Menurutnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Mersing, manakala mangsa korban diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
SEORANG pekerja syarikat penerbangan maut selepas ‘disedut’ enjin pesawat dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa San Antonio di Texas.
Kejadian berlaku ketika sebuah pesawat dari Los Angeles baru sahaja mendarat pada kira-kira 10.30 malam hari Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Menurut NTSB, pesawat itu milik Delta Air Lines dan pihaknya sedang berhubung dengan syarikat penerbangan berkenaan untuk menjalankan siasatan mengenai insiden itu.
Pekerja itu merupakan kakitangan Unifi yang mempunyai kontrak dengan Delta.
“Kami sedih dan berduka cita dengan kehilangan nyawa ahli keluarga petugas di San Antonio. Simpati dan doa kami buat keluarga, saudara dan rakan mangsa pada masa sukar ini,” memetik e-mel Delta.
Sementara itu, Unifi Aviation dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa insiden itu tidak berkaitan dengan proses operasi, prosedur keselamatan dan polisi Unifi.
“Doa kami buat waris mangsa dan kami akan terus memberikan sokongan kepada pekerja kami di lapangan dan memastikan mereka dalam keadaan yang baik pada masa ini,” menurut syarikat itu.
Pihak lapangan terbang akan memberikan apa jua maklumat yang diperlukan sebaik memperoleh maklumat lanjut berhubung insiden itu.
“Kami amat sedih dengan kejadian itu dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan,” menurut e-mel lapangan terbang.
UMNO kini semakin hilang kepercayaan dan sokongan rakyat serta diibaratkan seperti ais yang mudah rapuh dan semakin mengecil akibat terdedah kepada cuaca panas.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu bukan lagi seperti dahulu, sebaliknya banyak perubahan dilakukan tidak disenangi rakyat.
“Sebab itulah UMNO ini macam ais duduk (jemur) di tengah panas yang akhirnya makin kecil dan terus mengecil,” katanya ketika berucap pada Ceramah Selangor Baharu dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sabak Bernam di Markas Pas Batu 1, Tebuk Pulai, Sabak Bernam, malam tadi.
Katanya, jumlah undi popular UMNO dalam dua pilihan raya umum sebelum ini jauh lebih sedikit berbanding bilangan ahli parti itu di seluruh negara.
“Jika kita sorot PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13), undi UMNO 5.4 juta jauh lebih tinggi berbanding 3.2 juta ahli yang ada pada waktu itu,” katanya.
Namun kata Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional l, situasi itu tidak bertahan lama apabila undi popular UMNO semakin merosot.
Realitinya kata beliau, bilangan ahli UMNO lima juta, tetapi undi popular parti itu merosot satu juta pada PRU14.
“Jumlah undi popular UMNO semakin merosot pada PRU15 apabila dianggarkan dua daripada tujuh juta ahli mereka meninggalkan parti itu.
“Saya ini agak lewat sikit meninggalkan UMNO berbanding rakan UMNO lain yang sudah menyertai PN (Perikatan Nasional),” ujar beliau.
Jelas beliau, rakyat mula meninggalkan UMNO kerana mereka sedar dasar parti itu tidak selari berbanding semasa zaman kegemilangannya dahulu.
“Rakyat sedar yang mereka hendak ikut bulan soal parti kerana ia ciptaan manusia, tetapi mereka sokong (sesebuah parti politik) atas dasar yang dibawa parti berkenaan” jelas beliau, lapor Sinar Harian.
SEGALA kuasa-kuasa, hak dan keistimewaan seorang pegawai polis percubaan dikenali sebagai Inspektor Sheila digantung sehingga diputuskan pihak berkuasa tatatertib (PBT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, Inspektor Sheila atau nama penuhnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, telah diperintah tahan kerja.
Katanya, perintah tahan kerja itu mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967.
“Pada 26 Jun 2023, Inspektor Percubaan Sheila Sharon Steven Kumar telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dengan tiga pertuduhan jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Perintah tahan kerja di bawah Seksyen 78 Akta Polis 1967 telah pun disempurnakan ke atas subjek.
“Sehubungan itu, segala kuasa-kuasa, hak dan keistimewaan subjek sebagai seorang pegawai polis adalah tergantung sehingga diputuskan oleh PBT,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.
Inspektor Sheila Sharon dituduh atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan berkelakuan tidak sopan ditempat awam ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Pagi tadi, Inspektor Sheila didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.
Tertuduh bagaimanapun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nor Hafizah Rajuni.
Mengikut kertas pertuduhan, Sheila didakwa telah didapati menyebut berkenaan pangkat dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatan anggota itu.
Sementara itu, dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret Chai Guan Hock, Sheila turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat menghina kesopanan seorang lelaki berbangsa India berusia 41 tahun.
Mengikut pertuduhan itu , Sheila telah berkata “kamu tengok badan kamu, gemuk, botak dan badak sumbu” terhadap pengadu tersebut.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Sheila didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga lima tahun atau denda, atau keduanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, pegawai polis yang berkhidmat selama tujuh tahun itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berbangsa India berusia 69 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada pengadu tersebut.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan adalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya, jika sabit kesalahan.
MEMPERKENALKAN semula kad diskaun untuk pelajar kolej dan universiti miskin bukan penyelesaian jangka panjang terhadap isu kemiskinan pelajar, kata seorang pakar ekonomi.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pengenalan kad diskaun tidak akan menyelesaikan isu struktur yang menyebabkan kemiskinan pelajar.
Isu struktur ini termasuk perbelanjaan seperti yuran pengajian, penginapan dan makanan, pelajar tidak dapat bekerja ketika belajar, peluang pekerjaan terhad dan bergaji rendah serta latihan industri wajib yang selalunya tidak dibayar.
Katanya, tanpa menangani isu struktur terlebih dahulu, kad diskaun hanya akan memanfaatkan vendor dan pembekal, termasuk pembekal kad serta syarikat kewangan.
Pada 17 Jun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula kad diskaun kepada pelajar institusi pengajian tinggi bagi mengurangkan beban mereka.
Williams berkata, kerajaan sebaliknya perlu menangani kos pendidikan tinggi secara langsung, dengan membantu mengurangkan yuran atau menjadikannya percuma, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Awal bulan ini, Anwar dilaporkan berkata, beliau percaya pendidikan tinggi sepatutnya percuma untuk semua rakyat Malaysia, kecuali golongan kaya, tetapi kerajaan belum dapat melaksanakannya akibat kekangan kewangan.
“Ada skim berdaya maju untuk mengurangkan kos pengajian tinggi dan kerajaan sedang memulakan proses ini, contohnya pengaturan pengajian fleksibel bagi universiti awam.
“Ini patut diperluaskan ke universiti swasta juga, dengan mengubah peraturan bagi membolehkan mereka memberi pilihan pengajian lebih murah.”
Syed Zuliqbal Syed Abd Halim, pengarah operasi NGO kebajikan pelajar, Persatuan Kasih Mahasiswa menyambut baik inisiatif itu dengan berkata, tumpuan perlu diberikan kepada kekangan kewangan dihadapi pelajar.
“Tetapi, satu kebimbangan saya ialah pembaziran. Kami sudah ada Kad Prihatin Siswa (KPS), berapa banyak kad yang kami perlukan? Lebih baik kerajaan semasa memfokuskan apa yang kami ada dan memperluaskannya,” katanya kepada FMT.
KPS ialah inisiatif Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menyediakan aplikasi e-dompet dan turut memberi tawaran istimewa kepada pemegang kad.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin petanda awal ‘Gelombang Perikatan Nasional’ yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berterusan pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyuarakan keyakinan tersebut berikutan sambutan hangat daripada empat himpunan gabungan parti itu yang diadakan di Selangor, Kedah dan Kelantan, semalam.
Justeru beliau mahu seluruh kepimpinan, ahli dan jentera parti mengukuhkan perpaduan dan semangat kerjasama dalam parti sepanjang kempen nanti.
“Ini penting bagi membolehkan jentera PN berfungsi dengan baik, licin dan lancar.
“Alhamdulillah semalam saya hadir dua acara besar iaitu Konvensyen PN Selangor, disusuli Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit PN yang mendapat sambutan hangat apabila ribuan rakyat datang.
“Bukan itu saja, saya dimaklumkan dua lagi acara besar turut berjalan serentak di Kedah dan Kelantan iaitu Himpunan Kedah Berselawat Berbusana di Stadium Darul Aman, dan Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kelantan.
“Saya juga difahamkan kedua-dua acara ini mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat dua negeri terbabit.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras bagi memastikan kelancaran tiga acara besar yang berjalan serentak pada malam tadi sehingga mencetusksn kebangkitan sokongan rakyat kepada PN,” katanya dalam hantaran menerusi akaun dalam Facebook miliknya, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan bendera Perikatan Nasional kepada Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir ke Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Shah Alam, semalam
GAMBAR: Warta Rakyat
PN sebelum ini mengesahkan akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.
Bersatu akan bertanding di 83 kerusi DUN manakala Pas di 126 kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (36 kerusi).
Walaupun gagal membentuk kerajaan Pusat pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, PN merekodkan pencapaian cemerlang apabila memperoleh 74 daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya yakin sokongan padu rakyat kepada PN dalam PRN nanti akan menjadi referandum rakyat kepada kerajaan Pusat.
Katanya, PN bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat perkara yang akan dilaksanakan sebagaimana terkandung dalam manifesto, jika diberi peluang mentadbir nanti.
“Pengalaman sewaktu menjadi kerajaan ketika krisis kesihatan dan ekonomi memuncak beberapa tahun lalu, adalah bukti bahawa PN mampu menjadi kerajaan yang baik.
“Kita bukan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini masih gagal menunaikan janji pilihan raya mereka walaupun sudah tujuh bulan memerintah.
“Rakyat masih dihimpit dengan beban kenaikan kos sara hidup, harga barang keperluan yang meningkat setiap hari, inflasi serta masa depan ekonomi negara yang tidak nampak hala tuju,” katanya, lapor Berita Harian.
MISTERI bau busuk dari sebuah rumah dalam proses ubah suai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, Tumpat, rupanya bau mayat seorang lelaki.
Mangsa tanpa identiti yang berusia dalam lingkungan 40-an ditemukan kira-kira pukul 3 petang tadi dalam keadaan kedua kaki dan tangan terikat serta ada kesan darah di lantai selain sudah dihurung lalat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia tidak lebih daripada tiga hari.
“Mayat ditemukan pekerja yang membuat kerja ubah suai rumah itu berikutan bau busuk sebelum memaklumkan kepada pemilik seterusnya pihak polis dihubungi.
“Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
Sementara itu, pemilik rumah, Ho Wei Jiat, 34, berkata, dia ke rumahnya kira-kira pukul 3 petang tadi berikutan pekerja mengadu mengenai bau busuk yang datang dari tingkat atas.
“Sebenarnya bau itu dihidu sejak semalam lagi dan kami menyangkakan ia bangkai binatang tapi sebaik diberitahu sekali lagi oleh pekerja, saya memberanikan diri naik ke tingkat atas menuju ke stor.
“Saya membuka pintu dan ternampak kotoran berwarna coklat di lantai sebelum kelihatan sepasang kaki manusia dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena, saya segera menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di Tumpat.
Wei Jiat berkata, baik pulih rumahnya sudah dimulakan sejak setahun lalu dan dia juga ingin membersihkan bahagian stor kerana mahu menempatkan beberapa lagi pekerja untuk kerja ubah suai kediamannya itu.
Katanya, walaupun terkejut dengan penemuan mayat itu, dia tetap akan meneruskan kerja ubah suai rumah namun belum memutuskan sama ada untuk menetap di situ atau tidak.
“Memang terkejut dengan kejadian ini tapi proses ubahsuai rumah tetap akan diteruskan cuma kami masih berkira-kira untuk menetap atau tidak kerana bimbang ibu bapa akan takut,” katanya, lapor Harian Metro.
SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Besut kerana merogol anak sepupunya empat tahun lepas.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Fadhli selepas mendapati tertuduh berusia 70 tahun itu didapati bersalah atas tuduhan dikenakan.
Tertuduh didakwa merogol mangsa, yang ketika kejadian berusia 15 tahun lapan bulan, di sebuah rumah di Besut, pada pertengahan Mac 2019.
Menurut Harian Metro, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama pada akhir Mac dan Jun 2019.
Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, dan dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap tuduhan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dengan jaminan RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiah Soupy, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Wan Haron Syukri & Nordin.