Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penyanyi wanita dakwa dicabul ketika swafoto

    Penyanyi wanita dakwa dicabul ketika swafoto

    SEORANG penyanyi wanita mendakwa dicabul ketika bergambar dengan seorang lelaki selepas selesai membuat persembahan di satu festival di Dataran Nilai, Nilai malam tadi.

    Kejadian pukul 11.05 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 26 tahun berada di bilik tetamu khas di belakang pentas dataran berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malek Hasim berkata, mangsa telah didatangi suspek yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya.

    “Mangsa telah memberi kebenaran dan setelah selesai swafoto, lelaki tersebut telah menarik serta menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangannya.

    “Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa terus menjerit dan suspek kemudiannya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun katanya, suspek berjaya ditangkap oleh pihak penganjur dan telah diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di festival terbabit.

    Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

    Katanya, suspek yang merupakan warga tempatan telah direman tiga hari bermula pada Isnin sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

  • Lapan nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM1.5 juta

    Lapan nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM1.5 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara pada kedudukan 60 batu nautika dari muara Pulau Redang, kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.

    Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd. Majid berkata, menerusi
    operasi Op Kuda Laut dan Op Naga Barat itu pihaknya menahan lapan kru termasuk seorang tekong dengan hasil rampasan bernilai hampir RM1.5 juta.

    “Bot bersama semua kru berusia antara 23 hingga 55 tahun itu dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

    “Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Terengganu hari ini.

    Pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

    “Kita akan meningkatkan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

    “Sebarang maklumat berkaitan salah laku yang berlaku di perairan negara boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Wanita diperdaya RM3.5 juta bebaskan anak ditahan bawah SOSMA

    Wanita diperdaya RM3.5 juta bebaskan anak ditahan bawah SOSMA

    SEORANG lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menipu seorang wanita bagi urusan pembebasan anak perempuannya yang kini berada dalam tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 2019, ditahan polis.

    Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dengan dibantu oleh pihak JSJ Bukit Aman hasil maklumat yang diterima.

    “Polis Johor menerima aduan daripada seorang wanita warga tempatan mendakwa telah ditipu dalam urusan untuk membebaskan anak perempuannya yang sedang dalam tahanan di Penjara Kajang atas kesalahan ATIPSOM/SOSMA sejak 2019.

    “Suspek mengatakan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes bagi membebaskan anak perempuannya itu, selain menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin dengan syarat wanita berkenaan menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya.

    “Percaya dengan kata-kata suspek, wanita berkenaan telah menyerahkan wang tunai secara berperingkat kepada suspek antara Mac 2020 hingga Jun 2023 sehingga berjumlah RM3.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu oleh suspek.

    “Suspek kemudiannya telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Kesalahan Tipu Kesalahan Tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga boleh didenda,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah

    Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah

    PERGERAKAN  jemaah haji Malaysia secara berperingkat ke Arafah berjalan lancar dengan bas pertama bertolak jam 7 pagi (pukul 12 tengahari waktu Malaysia), hari ini.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dijangka sebelum Maghrib waktu Arab Saudi semua jemaah haji muassasah akan tiba di Arafah bagi persediaan Wukuf.

    Menurut beliau, secara keseluruhan 21 bas secara ulang-alik membawa jemaah haji dari sembilan maktab penginapan dengan purata sebanyak tiga trip.

    “Petugas kita akan pastikan tiada jemaah yang tertinggal kerana akan ada pemeriksaan dari bilik ke bilik dan juga di kawasan sekitar Masjidil Haram,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pergerakan jemaah di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Abraj Al Janadriyah, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Katanya, kemudahan di Arafah, Mudzalifah dan Mina lengkap sepenuhnya dengan bilik gerakan operasi  diaktifkan untuk menyambut kehadiran jemaah haji.

    “Pasukan petugas telah bergerak awal untuk membuat persiapan terakhir dari semua sudut supaya operasi Masyair kali ini berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya.

    Pada tahun ini seramai 31,600 jemaah haji Malaysia bersama-sama kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia akan berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang menjadi kemuncak ibadah haji.

    Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf adalah pada esok  manakala Aidiladha disambut pada Rabu.

    Sementara itu, 60 pesakit telah dikenal pasti untuk dibawa dengan bas khas dari Pusat Perubatan Syisyah Makkah ke Arafah melalui program Safari Wukuf.

    Pengarah Operasi (Perubatan) Makkah, Dr Amin Sah Ahmad berkata, sebanyak enam bas disediakan dan dibantu 111 petugas yang terdiri daripada doktor pakar dan jururawat.

    Katanya, pada 9 Zulhijjah jam 3 pagi pesakit terlibat akan dipersiapkan diri oleh petugas untuk mandi, memakai ihram dan menunaikan solat Subuh.

    Kata beliau, pada jam 10 pagi bas akan bergerak ke Arafah dan kira-kira jam 12.24 tengah hari pesakit akan dapat mengikuti Khutbah Arafah, solat Zohor dan Asar secara jamak tamam.

    “Semua proses akan berakhir pada jam 4 petang dengan semua pesakit akan dibawa semula ke wad masing-masing,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Pakar Perubatan, Dr Nabilah Salman Parasi@Sulaiman berkata, terdapat beberapa kategori pesakit yang terlibat dalam program Safari Wukuf.

    “Kategori kritikal ialah pesakit yang memerlukan obrservasi teliti yang perlukan oksigen untuk bantuan pernafasan.

    “Kategori kedua ialah semi kritikal iaitu pesakit yang baru saja alami serangan jantung, asma, jangkitan kuman dan masalah paru-paru,”katanya.

    Dr Nabilah berkata, kategori berikutnya ialah pesakit jantung yang telah menerima rawatan serangan jantung tetapi dan berada dalam keadaan stabil.

    Kata beliau, pesakit psikiatri yang stabil emosi akan diletakkan dalam satu bas dan kategori tidak kritikal ialah mereka yang alami kecederaan akibat patah dan kes jangkitan kuman.

    Program Safari Wukuf telah dilaksanakan sejak tahun 2014 bagi membolehkan jemaah haji yang sakit menyempurnakan Wukuf masing-masing.

  • Rosmah mohon tangguh pendengaran rayuan kes rasuah solar

    Rosmah mohon tangguh pendengaran rayuan kes rasuah solar

    DATIN Seri Rosmah Mansor memohon agar pendengaran rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya berkaitan kes rasuah projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dijadual Julai ini, untuk ditangguhkan.

    Pasukan pembelaannya memohon penangguhan itu bagi menunggu keputusan satu lagi rayuan berkaitan di Mahkamah Persekutuan.

    Rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Jun lalu yang menolak tindakan sivilnya bagi membatalkan kes tersebut terhadapnya.

    Ketika dihubungi media, seorang anggota pasukan pendakwaan mengesahkan permohonan penangguhan itu dan berkata, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh bagi mendengarnya.

    Malaysiakini sedang menghubungi pasukan peguam Rosmah berhubun perkara ini.

    Pada 1 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Rosmah bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

    Bagaimanapun, dia memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai.

    Berkenaan tindakan sivilnya, Rosmah berkata, kes tersebut terbatal dari awal ekoran pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mendiang Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan secara tidak sah.

  • Bekas Ahli Parlimen Labuan bebas pertuduhan salah guna kuasa

    Bekas Ahli Parlimen Labuan bebas pertuduhan salah guna kuasa

    MAHKAMAH Sesyen Kualae Lumpur hari ini membeebaskan Rozman Isli daripada pertuduhan salah guna kuasa semasa dia menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) pada 2018.

    Hakim Rozina Ayob memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ahli Parlimen Labuan itu.

    Rozman, 59, didakwa menggunakan kedudukan di LPA untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd .(LLPM).

    LLPM itu merupakan sebuah syarikat yang kepentingannya turut dimiliki bapa dan adik lelaki tertuduh.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik mesyuarat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding hari ini Rozina memutuskan saksi pendakwaan menunjukkan bahawa mesyuarat lembaga LPA tidak pernah dipengaruhi oleh Rozman yang hanya merupakan timbalan pengerusi agensi itu pada masa tersebut.

    Hakim terbabit menegaskan mesyuarat lembaga pengarah telah membuat keputusan kolektif mengenai isu kontrak itu.

    Mesyuarat tersebut dikendalikan pengerusi LPA ketika itu, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang dianggap mempunyai kuasa lebih tinggi berbanding Rozman.

    Wee kini merupakan ahli parlimen Tanjung Piai.

    “Tiada saksi pendakwaan berkata tertuduh cuba mempengaruhi mesyuarat supaya hanya LLPM akan dilantik.

    “Mahkamah ini mendapati kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Wee Jeck Seng -yang mempunyai kuasa tertinggi telah mewujudkan inferens yang buruk (terhadap kes pendakwaan),” kata Rozina, lapor Malaysiakini.

    Tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

  • Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

    Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

    HANYA kerana kad akses tidak dapat digunakan, pemandu BMW bertindak memaki hamun pengawal keselamatan di sebuah kawasan kediaman di Taman Sri Sentosa di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihaknya oleh seorang individu berusia 46 tahun.

    “Siasatan berdasarkan laporan tersebut mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai penghuni kediaman tersebut yang memandu sebuah kereta jenis BMW.

    “Suspek dikatakan telah membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan ketika kejadian.

    “Selain itu, suspek turut dilihat memarahi dan memaki pengawal keselamatan bertugas dengan perkataan yang kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan.

    Kejadian tersebut sekali gus mengakibatkan berlakunya pertengkaran antara suspek dan pengawal keselamatan di kawasan kediaman tersebut.

    “Perkara tersebut kemudiannya diselesaikan secara baik antara suspek dan pengawal keselamatan terlibat dan laporan polis yang dibuat sebelum ini turut ditarik balik,” katanya, lapor Kosmo!

  • PRN: Muda bergerak secara ‘solo’

    PRN: Muda bergerak secara ‘solo’

    MUDA akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi secara sendirian, umum presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Menurut laporan FMT, parti itu akan bertembung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun Muda menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

    Sebelum PRU15 November lalu, Muda beberapa kali memohon menyertai PH tetapi gabungan itu belum memberi sebarang maklum balas.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • KJ bersama atau tidak, PN yakin tetap menang PRN di 6 negeri

    KJ bersama atau tidak, PN yakin tetap menang PRN di 6 negeri

    SAMA ada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memilih bersama Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya, gabungan parti politik itu akan tetap berjaya menguasai pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri akan datang.

    Keyakinan itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditanya mengenai status penyertaan Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan bersama PN.

    Bagaimanapun, tambah Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pihaknya amat berharap Khairy menyambut baik pelawaan yang dibuat sendiri oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memandangkan penyertaan beliau ke dalam PN turut mendapat sokongan penuh penyokong parti tersebut.

    “Sekarang keputusannya di pihak Khairy, sudah tentu saya sebagai orang yang sudah lama mengikuti ketokohannya mengharapkan beliau boleh bersama dengan kita (PN).

    “Meskipun begitu, beliau bersama dengan kita atau tidak, kita tetap akan menang dalam PRN di enam negeri nanti.

    “Ia sama ada anda (Khairy) mahu menyertai kumpulan kita, atau mahu ditinggalkan daripada kumpulan, itu pilihan beliau, tetapi kita berharap Khairy mahu menyertai kumpulan kita,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang pesakit kencing manis di Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.

    Ditanya perkembangan terkini berhubung kedudukan Khairy itu, Wan Saiful berkata, setakat ini tiada perkembangan lanjut mengenai keputusan pelawaan tersebut dan kata sepakat kini terletak di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi PN dan Khairy.

    “Setakat ini belum ada apa-apa perkembangan lagi, tapi Tan Sri (Muhyiddin) ada memberikan penjelasan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi tentang perbincangan beliau, (dan) saya rasa biar perbincangan itu antara mereka.

    “Malah, Majlis (Pimpinan Tertinggi) memang setuju sepenuhnya dengan apa yang disuarakan oleh Tan Sri (Muhyiddin),” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas beliau dipecat daripada UMNO, Januari lalu.

    Malah, Khairy turut mengesahkan mengenai tawaran daripada Muhyiddin itu dan menjelaskan memerlukan sedikit masa untuk menyatakan pendirian meskipun mengakui sudah mempunyai jawapan berhubung pelawaan tersebut.

    Habis///

  • Pelabur asing 10 minggu berturut-turut jual saham tempatan

    Pelabur asing 10 minggu berturut-turut jual saham tempatan

    JUALAN bersih oleh pelabur asing diteruskan untuk minggu ke-10 berturut-turut apabila mereka sekali lagi muncul sebagai penjual bersih bernilai RM240 juta pada minggu lalu.

    Menurut MIDF Research, sepanjang 10 minggu lalu, aliran keluar asing bersih secara keseluruhan berjumlah RM2.06 bilion.

    Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing sebagai penjual bersih pada setiap hari minggu lalu, sekali gus muncul sebagai penjual bersih untuk sembilan hari dagangan berturut-turut.

    Ia berkata, pelabur asing muncul sebagai penjual bersih sebanyak RM19.9 bilion pada Isnin, RM91 juta pada Selasa, RM17.7 juta pada Rabu, RM15.2 juta pada Khamis dan RM96.2 juta pada Jumaat, menjejaki sentimen lemah di Wall Street.


    Menurutnya, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lalu adalah hartanah (RM14.5 juta), perkhidmatan kewangan (RM14.1 juta) dan teknologi (RM11.5 juta).

    Sektor yang merekodkan aliran keluar terbesar pula, katanya adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM92.2 juta), tenaga (RM47.2 juta) dan perindustrian (RM34.5 juta).

    “Setakat ini, warga asing telah menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.83 bilion,” katanya dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 23 Jun.

    Sementara itu, MIDF Research berkata pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan nilai RM250.3 juta di Bursa Malaysia pada minggu lalu.

    Menurutnya, pelabur tempatan menjadi pembeli bersih pada setiap hari berjumlah RM31.8 juta pada Isnin, Selasa (RM67.1 juta), Rabu (RM34.4 juta), Khamis (RM23.1 juta) dan RM94 juta pada Jumaat.

    “Berbanding pelabur asing, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.45 bilion,” katanya.

    Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit tempatan pula berdepan minggu dagangan yang bercampur-campur yang berakhir dengan jualan bersih RM10.3 juta.

    “Mereka muncul sebagai pembeli bersih bernilai RM23.9 juta pada Selasa dan RM2.3 juta pada Jumaat, manakala sebagai penjual bersih bernilai RM11.9 juta pada Isnin, RM16.7 juta pada Rabu dan RM7.9 juta pada Khamis,” katanya lapor BH.

    Setakat ini, menurutnya pelabur runcit berperanan sebagai pembeli bersih untuk tempoh 13 daripada 25 minggu berjumlah RM381.6 juta.

    Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit (-10.3 peratus), institusi tempatan (-19.6 peratus) dan pelabur asing (-31 peratus).