Author: Wartawan WartaRakyat

  • Muhyiddin jumpa Tun M bincang kerjasama Proklamasi Orang Melayu

    Muhyiddin jumpa Tun M bincang kerjasama Proklamasi Orang Melayu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.

    Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau membaca 12 agenda dalam proklamasi itu yang disifatkannya agak baik dan menjadi asas prinsip perjuangan parti pimpinannya.

    Menurut Perdana Menteri kelapan itu, agenda dalam perlembagaan negara, hak istimewa orang Melayu dan Islam selain memartabatkan ekonomi bangsa sudah lama diperjuangkan Bersatu, lebih awal daripada Proklamasi Orang Melayu diasaskan Dr. Mahathir, Mac lalu.

    “Pada saya tiada halangan (kepada) sesiapa pun untuk buat perkara sehaluan dengan apa kita perjuangkan,” kata Muhyiddin menjawab kesediannya bertemu Dr. Mahathir yang digantikannya sebagai perdana menteri pada 2020.

    Mahathir sebelum ini berkata, proklamasi yang diilhamkannya itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan dan ditandatangani beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas kapasiti persendirian.

    Awal bulan ini, Dr. Mahathir dilaporkan berkata sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, tiga tahun selepas hubungan mereka renggang susulan Langkah Sheraton, menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Muhyiddin menyambut hasrat untuk bekerjasama itu demi membela agama, bangsa dan negara.

    “Bila beliau (Mahathir) kata hendak bekerjasama, saya sambut baik,” kata Muhyiddin yang mengakui sudah ada perbincangan ke arah itu menerusi orang perantaraan.

    “Sekarang, Tun (Mahathir) di luar negara kalau tak silap saya. Jadi saya kata (boleh bertemu) selepas atau sebelum Hari Raya Haji (29 Jun ini) kalau beliau sudah ada masa lapang,” katanya, lapor FMT.

  • Kon Yeow bertemu Ahmad Fuzi, DUN Pulau Pinang rasmi bubar esok

    Kon Yeow bertemu Ahmad Fuzi, DUN Pulau Pinang rasmi bubar esok

    KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pagi ini bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kenderaan rasmi yang dinaiki Kon Yeow kelihatan memasuki kediaman Yang Dipertua Negeri, Seri Mutiara di Georgetown kira-kira pukul 7.53 pagi sebelum beliau meninggalkan kediaman itu kira-kira pukul 8.33 pagi.

    Turut memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar.

    Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Kon Yeow berkata, beliau telah mendapat persetujuan daripada Ahmad Fuzi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa esok.

    ”Pada pagi ini saya telah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri untuk menandatangani proklamasi untuk DUN dibubarkan bagi membuka jalan untuk PRN negeri, ia akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua negeri (yang terlibat PRN) membubarkan DUN masing-masing.

    ”Saya rasa lega selepas semua ini berakhir dan kita boleh membuat persediaan bagi mengadakan PRN,” katanya.

    Menurut Kon Yeow, beliau akan mengadakan sidang akhbar mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang kira-kira 2.30 petang hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRN diadakan serentak.

    Sehubungan itu, satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

    Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.

    PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

  • Ahli MUDA yang enggan bersama Syed Saddiq dipelawa sertai DAP

    Ahli MUDA yang enggan bersama Syed Saddiq dipelawa sertai DAP

    DAP hari ini mempelawa pemimpin dan ahli Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang tidak bersetuju dengan pendirian kepemimpinannya bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, untuk menyertai komponen Pakatan Harapan (PH).

    Ketua Biro Pilihan Raya DAP Selangor, Rajiv Rishyakaran berkata, MUDA kini berpecah dalam membuat keputusan, sama ada bersama PH atau bertanding solo.

    Susulan itu, beliau mempelawa sekiranya pihak yang menolak pendirian untuk bertanding secara solo itu, menyertai DAP menjelang PRN nanti.

    “Saya sedar kepimpinan MUDA berpecah, sama ada kekal bersama PH atau bertanding secara solo dan ia juga bukan suatu keputusan yang mudah.

    “Dengan rasminya, saya mengalu-alukan kepimpinan dan ahli MUDA yang mahu kekal bersama PH untuk menyertai DAP bagi menghadapi PRN,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing berkata, keputusan mengajak MUDA menyertai mereka itu adalah bagi memastikan undi tidak berpecah dan memberi manfaat kepada Perikatan Nasional.

    “Beberapa kerusi di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan akan dipertandingkan dengan sengit dan ia akan ditentukan oleh segelintir pengundi, untuk menentukan siapa pemenangnya.

    “Membahagikan undi akan memberi kelebihan PN,” katanya.

    MUDA hari ini menyatakan pendirian akan bertanding solo di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini secara sendirian.

    Pendirian itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, MUDA yang ketika ini berada di blok kerajaan, sudah beberapa kali memohon menyertai PH sebagai ahli gabungan tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika mengesahkan langkah terbaharu itu, menegaskan MUDA bertekad membawa suara rakyat dan memperkenalkan politik baru yang menjauhi amalan lapuk.

  • PKR Muar henti kerjasama dengan MUDA

    PKR Muar henti kerjasama dengan MUDA

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Muar hari ini membuat keputusan untuk menghentikan sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Parlimen Muar.

    Menurut Setiausaha PKR Cabang Muar, Esa Ali, ketetapan tersebut susulan keputusan MUDA untuk bertanding secara solo pada pilihan raya di enam negeri yang bakal berlangsung.

    “Justeru keputusan tersebut telah melanggar kerjasama politik Kerajaan Perpaduan berbentuk ‘electoral pact’ di antara MUDA dan PH (Pakatan Harapan),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    MUDA hari ini menyatakan pendirian akan bertanding solo dalam pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini secara sendirian.

    Pendirian itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan BN serta Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

  • Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    SEORANG wanita melalui detik cemas apabila diserang oleh seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai mahu merogolnya di kawasan tangga sebuah bangunan di Tuaran, semalam.

    Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, wanita terbabit dilihat bergelut sebelum suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang lain di kawasan itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin, suspek berusia 29 tahun dipercayai kurang siuman itu telah ditahan pukul 3 pagi semalam dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

    “Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari daerah Tuaran. Suspek tidak siuman dan merupakan pesakit yang berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

    “Suspek baru sahaja hari hari keluar dari wad hospital berkenaan dan menerima rawatan susulan setiap minggu.

    “Siasatan juga turut mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah,” ujar Noraidin dalam satu kenyataan media di Tuaran, hari ini.

    Beliau berkata, secara keseluruhan polis menerima tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga mangsa berbeza berusia dalam lingkungan 15 hingga 31 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh suspek.

    “Kesemua mangsa membuat laporan dicabul oleh lelaki tidak dikenali antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang Ahad.

    “Mangsa mengatakan suspek telah datang secara tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa,” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain mencabul, suspek turut dipercayai merampas beg tangan dan melarikan wang tunai salah seorang mangsa.

    Katanya, suspek yang ditangkap dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang.

  • Inspektor polis tular: Saya masih bujang kerana terlampau tegas

    Inspektor polis tular: Saya masih bujang kerana terlampau tegas

    OLEH kerana perwatakannya yang tegas sebagai seorang pegawai polis wanita, ‘Inspektor Sheila’ yang tular di media sosial sejak dua minggu lalu, mengakui dirinya masih belum berpunya.

    “Saya masih bujang kerana terlampau tegas…tidak banyak lelaki sukakan saya,” katanya berseloroh ketika menjawab soalan pemberita di Mahkamah Selayang, hari ini.

    Beliau ditemui selepas didakwa dengan tiga tuduhan mengugut dan mengaibkan kesopanan tiga individu, termasuk seorang anggota polis di Mahkamah Majistret, lapor Berita Harian.

    Malah, ‘Inspektor Sheila’ atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, mengakui cara percakapannya memang dalam nada yang tegas.

    “Suara saya memang begini. Cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini memang tegas orangnya.

    Inspektor Sheila Sharon dituduh atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan berkelakuan tidak sopan ditempat awam ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Ketua saya selalu menghantar saya untuk memberikan ceramah, saya sudah berkhidmat dari tahun 2017 hingga tahun 2022. Berapa banyak ceramah dalam bahasa Inggeris, berapa banyak dalam bahasa Melayu yang saya berikan.

    “Cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini dia memang orang yang suka ikut prosedur. Saya bukan seorang yang suka cakap mengarut.

    “Saya tidak ambil rasuah, tidak akan berkompromi untuk mengurangkan seksyen dalam tuduhan tetapi banyak orang cuba merasuah saya,” katanya.

    Pagi tadi, Sheila mengaku tidak bersalah mengugut seorang wanita berusia 69 tahun, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata: “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sheila turut membuat pengakuan sama terhadap tuduhan menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak, dengan maksud mengaibkan kehormatannya, juga mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

  • Wanita maut semasa hantar anak ke sekolah

    Wanita maut semasa hantar anak ke sekolah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut sementara enam cedera selepas terlibat dalam kemalangan dua kereta dan sebuah lori di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang, pukul 7.30 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, nahas melibatkan sebuah kereta Produa Axia dinaiki sebuah keluarga lima beranak dipandu seorang wanita, sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang dan sebuah lori pasir.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu lelaki bersama rakannya serta lori pasir dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam ke Simpang Renggam manakala pemandu wanita dikenali sebagai Nor Hayati, 45, datang dari arah bertentangan.

    “Sebaik sampai di lokasi, pemandu lelaki yang dikenali sebagai Adam Chua, 20, secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertembung dengan kereta dipandu Nor Hayati.

    “Akibat pertembungan itu, kereta Produa Axia dipandu oleh Adam Chua berpusing dan masuk semula ke laluan asal sebelum dilanggar oleh sebuah lori pasir yang dipandu oleh Mohamad Aidil, 20-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kejadian itu juga menyebabkan Nor Hayati maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki manakala empat anaknya berusia enam hingga 16 tahun cedera dan masing-masing dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom serta Klinik Kesihatan Simpang Renggam dekat Kluang.

    Katanya, kemalangan itu berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah berhampiran kawasan kemalangan.

    Menurut Bahrin, pemandu lelaki bersama rakannya itu turut mengalami kecederaan di dada, perut dan kaki dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Kluang untuk mendapatkan rawatan.

    Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.

  • Ahli Parlimen Bachok syorkan Anwar  kurangkan aktiviti, fokus tugas hakiki

    Ahli Parlimen Bachok syorkan Anwar  kurangkan aktiviti, fokus tugas hakiki

    Oleh MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN

    KITA sedia maklum jadual Perdana Menteri amatlah padat, dari satu program ke satu program, dari satu negeri ke satu negeri. Ada masa Perdana Menteri kelihatan menaiki pesawat, ada masa menaiki kereta, dan ada masa terpaksa berkejar berlari.

    Namun jika dilihat secara optik, penampilan Perdana Menteri sedikit lesu (fatigue), kepetahannya juga tidak seperti dahulu, malah perhatiannya mudah terganggu (distracted), petanda kondisisi Perdana Menteri sedikit terganggu.

    Dalam keadaan Ringgit dan ekonomi yang tidak menentu, semua pihak tertunggu-tunggu, apakah langkah intervensi yang bakal diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada Isnin 19 Jun, sebagaimana yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri Kewangan pada Ahad, 18 Jun. Namun yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba, dan hari tersebut berlalu tanpa sebarang langkah drastik bagi memulihkan Ringgit dan ekonomi, sehinggalah ke hari ini.

    Turut menarik perhatian, insiden Perdana Menteri teralih perhatian (distracted) sehingga ‘ter-menari’ sebelum memulakan sesi dialog bersama siswa siswi. Terbaru sekali lagi Perdana Menteri teralih perhatian sehingga ‘berseloroh’ meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan tingkatan 6 yang bertanyakan soalan ekonomi.

    Dalam hal ini, segala bentuk keletihan, kelesuan (fatigue) dan gangguan (distraction) terhadap Perdana Menteri perlu dikurangkan, supaya fokus dan perhatian dapat diberikan kepada tugasan hakiki. Justeru ada baiknya dalam tempoh beberapa hari menjelang Aidiladha ini, bolehlah dikurangkan sedikit aktiviti luar Perdana Menteri, lebihkan masa di meja Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, bagi menekuni 1001 dokumen yang pastinya sudah menanti.

    Malah sempena hari Wuquf pada 9 Zulhijjah ini, amatlah baik jika Perdana Menteri dapat tangguhkan sementara segala aktiviti, ambil peluang untuk berpuasa sehari, bertafakkur dan berzikir mohon keampunan dan petunjuk dari Ilahi.

    Semoga Allah pelihara Malaysia yang dicintai.

    *Mohd Syahir Che Sulaiman adalah Ahli Parlimen Bachok. Artikel disiarkan dalam harakahdaily.net

  • Kon Yeow jumpa Yang Dipertua Negeri esok dapat persetujuan bubar DUN Pulau Pinang

    Kon Yeow jumpa Yang Dipertua Negeri esok dapat persetujuan bubar DUN Pulau Pinang

    KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pukul 8 pagi esok bagi mendapatkan persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

    Ia sekali gus bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas Pulau Pinang tidak membubarkan DUN serentak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu.

    ”Semasa pertemuan pagi esok, saya akan memaklumkan kepada Yang Dipertua Negeri mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang dan mendapatkan persetujuan beliau.

    “Selepas itu, saya akan mengadakan sidang media pada 2.30 petang untuk mengumumkan pembubaran itu, sidang media ini juga akan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dijemput,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Selain Pulau Pinang, negeri lain yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini juga berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.

    Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, segala isu mengenai pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) negeri itu akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden.

    ”Tiada lagi rundingan dan segala keputusan eloklah diumumkan serta dimuktamadkan oleh Majlis Presiden,” katanya.

    Ditanya sasaran kerusi untuk dimenangi gabungan PH-BN dalam PRN, Kon Yeow berkata, kemenangan 30 hingga 32 kerusi DUN adalah satu pencapaian yang memuaskan.

    ”Pada pilihan raya negeri 2008, PH memenangi 29 kerusi, manakala pada 2013, kita memenangi 30 kerusi.

    ”Jadi, kalau boleh capai 30 hingga 32 kerusi (DUN) pada PRN ini ia boleh dianggap satu keputusan memuaskan,” katanya.

  • Hanya perlu 20 % undi penyokong UMNO untuk rampas NS – kata Pemuda PN

    Hanya perlu 20 % undi penyokong UMNO untuk rampas NS – kata Pemuda PN

    PERIKATAN Nasional (PN) hanya memerlukan undi kira-kira 20 peratus pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memenangi PRN Negeri Sembilan.

    Ketika melontarkan pendangan itu, Timbalan Ketua Pemuda PN negeri, Mahfuz Roslan, berkata pihaknya yakin dan percaya 20 peratus pengundi Melayu dan penyokong BN itu akan beralih kepada PN ketika PRN nanti.

    Katanya, ia berdasarkan faktor penolakan ahli akar umbi UMNO terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN.

    “Sebelum ini iaitu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) belum ada gabungan antara BN dan PH tetapi selepas pilihan raya umum November lalu, mereka bergabung. Gabungan itu mengundang rasa tidak puas hati dan kecewa dalam kalangan ramai orang Melayu termasuk penyokong BN dan UMNO.

    “Mereka (ahli UMNO) ini sayang kepada parti itu tetapi kecewa dengan penggabungan terbabit (PH-BN) dan kekecewaan itu mereka luahkan ketika jentera pilihan raya kami turun padang mendampingi mereka. Jadi, kami yakin pengundi-pengundi ini akan melakukan penolakan dan memilih PN pada PRN nanti kerana kekuatan untuk capai kemenangan masih di tangan orang Melayu,” katanya lapor Berita Harian.

    Mahfuz yang juga Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, berkata data mendapati terdapat 50 peratus pengundi orang muda sudah memilih PN pada PRU15 lalu.

    Beliau berkata, dengan penolakan sebahagian penyokong UMNO itu nanti dan ditambah pula dengan peningkatan pengundi muda, pihaknya yakin PN boleh memenangi PRN serta membentuk kerajaan negeri.

    Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui tidak kisah sekiranya ahli atau pemimpin UMNO tidak menyertai mana-mana parti komponen PN, namun sudah memadai jika mereka memberi sokongan terhadap gabungan itu ketika PRN kelak.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata, ahli serta pemimpin PN diingatkan supaya tidak memaksa ahli UMNO menyertai gabungan itu, namun sudah cukup jika mereka memberi sokongan dengan memberi undi kepada PN nanti.

    Sementara itu, Mahfuz berkata, selain isu gabungan PH-BN yang akan mempengaruhi pengundi Melayu, pelbagai isu lain termasuk soal kos sara hidup, penurunan harga ringgit dan prestasi ekonomi, dijangka memberi impak kepada pengundi.

    “Selain itu di peringkat pusat, terdapat juga isu-isu di peringkat negeri seperti soal hak milik tanah, bekalan air bersih yang tidak selesai dan lain-lain termasuk kepentingan anak muda yang dijangka turut beri kesan. Semua isu ini akan memainkan peranan penting dan mempengaruhi pengundi kerana pengundi bijak membuat pilihan. Matlamat kita (memenangi PRN) untuk mengurus dan memajukan negeri selain menyelamatkan anak bangsa kita sendiri,” katanya.

    Mengenai calon PRN, Mahfuz berkata, PN sudah menyediakan calon-calon yang berwibawa dan berkeupayaan untuk memimpin dan menguruskan pentadbiran negeri.

    Menurutnya, ia menggabungkan tokoh agamawan, golongan profesional dan pemimpin masyarakat yang disulam dengan semua kepakaran, termasuk pemimpin muda.

    “Keputusan muktamad mengenai calon ini akan dibuat di peringkat kepemimpinan tertinggi parti dan saya percaya ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), nanti,” katanya.

    Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana parti memerlukan kemenangan 19 kerusi sebagai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

    Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, memaklumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 28 Jun ini, bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan DUN pada 30 Jun ini.