Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki swafoto selepas tumbuk pekerja kedai mengaku tak salah

    Lelaki swafoto selepas tumbuk pekerja kedai mengaku tak salah

    PENYELIA tapak pembinaan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi atas tuduhan mencederakan seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Semenyih, minggu lalu, dalam kejadian tular di media sosial.

    Tertuduh, U.S. Divagaran, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas lelaki berusia 18 tahun di sebuah kedai serbaneka di Ecohill Taipan, Semenyih, 5 pagi, 20 Jun lalu.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

    “Jika mahkamah benarkan jaminan, syarat tambahan tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

    “Mohon satu tarikh untuk serahan dokumen dan laporan perubatan,” katanya menurut Berita Harian.

    Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, V. Vickneswari memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung perbelanjaan dan keperluan ibu bapa yang sudah tua.

    Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan laporan perubatan.

    Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun didatangi lelaki berkenaan yang ingin membeli minuman.

    Lelaki itu kemudian mengambil tiga payung dan keluar dari premis tanpa membuat bayaran sebelum berlaku pertengkaran serta menumbuk muka mangsa.

    Dia turut mengambil swafoto bersama mangsa selepas mencederakannya sebelum beredar meninggalkan premis.

  • Bekas setiausaha politik Wan Azizah pula dilantik ketuai syarikat Kementerian Kewangan

    Bekas setiausaha politik Wan Azizah pula dilantik ketuai syarikat Kementerian Kewangan

    BEKAS Setiausaha Politik kepada isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai pengerusi Cyberview Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang juga diketuai oleh perdana menteri, dalam satu lagi lantikan politik.

    Datuk Romli Ishak sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Beliau kemudiannya menjadi setiausaha politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan selepas kerajaan PH tumbang, lapor MalaysiaNow.

    Cyberview ditugaskan untuk membangunkan Cyberjaya, bandar yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Mahathir untuk menarik syarikat teknologi pada akhir 1990-an.

    Pelantikan Romli, yang merupakan sebahagian daripada Majlis Pimpinan Pusat PKR, diumumkan pada hari yang sama Anwar melantik bapa kepada salah seorang setiausaha politiknya untuk mengetuai MyHSR Corporation Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat milik Kementerian Kewangan.

    Bekas ahli Parlimen PKR, Fauzi Abdul Rahman, adalah bapa kepada Farhan Fauzi – setiausaha politik Anwar di Pejabat Perdana Menteri.

    “Dengan lebih tujuh tahun pengalaman dalam tadbir urus korporat dan 15 tahun sebagai usahawan teknologi, semangat Dato’ Romli untuk keusahawanan dan pembangunan bakat telah menjadikannya mentor dan penasihat yang dicari-cari dalam industri teknologi dan inovasi,” menurut Cyberview dalam satu kenyataan sewaktu mengalu-alukan pelantikan Romli semalam.

  • Rusuhan kuil Seafield 2018: 17 lelaki dibebaskan

    Rusuhan kuil Seafield 2018: 17 lelaki dibebaskan

    MAHKAMAH majistret di Petaling Jaya hari ini membebaskan 17 lelaki tanpa memanggil mereka membela diri terhadap tuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 2018.

    Majistret Iskandar Zainol memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berhubung kejadian pada November tahun itu yang menyaksikan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

    Peguam 17 individu berkenaan, S. Kirthiraj mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi, sambil menambah bahawa mahkamah jenayah mendapati saksi pendakwaan gagal mengenal pasti tertuduh berikutan kesukaran membuat pengecaman pada kejadian yang berlaku pada awal pagi tersebut.

    Peguam itu berkata, mahkamah mendapati bukan sahaja tiada pengecaman positif oleh saksi, malah keterangan mereka semasa peringkat perbicaraan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak konsisten, lapor Malaysiakini.

  • Lelaki pedofilia didakwa 4 pertuduhan jenayah seksual terhadap anak saudaranya

    Lelaki pedofilia didakwa 4 pertuduhan jenayah seksual terhadap anak saudaranya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bekas mekanik kapal di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan berkait jenayah seksual terhadap anak saudara perempuannya, lima tahun lalu.

    Lelaki pedofilia tersebut yang berusia 41 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim V. M. Mabel Sheela.

    Bapa tiga anak itu didakwa merogol, menghasilkan video pornografi kanak-kanak dan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 7 tahun sembilan bulan di sebuah rumah, di Jalan Rawa 1, Taman Perling, Johor Bahru pada pukul 1.30 pagi, 1 Ogos 2018.

    Dia juga dituduh memiliki pelbagai video dan gambar pornografi kanak-kanak di sebuah rumah di Taman Nusantara, Iskandar Puteri, pada 24 Mei lalu, pukul 9 malam.

    Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 5 Akta Kesalahan Kanak-kanak 2017(Akta 792), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Dia boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Baharudin Baharim.

    Jaminan ditetapkan RM8,000 dan kes disebut semula 24 Julai.

  • Inspektor polis percubaan didakwa terima suapan RM3,000

    Inspektor polis percubaan didakwa terima suapan RM3,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG inspektor percubaan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah bernilai RM3,000 daripada seorang wanita, tahun lepas.

    Tertuduh, Basree Ibrahim, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Dalam pertuduhan dibacakan itu, dia didakwa menerima rasuah daripada wanita berusia 35 tahun tersebut sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Rasuah itu didakwa diterimanya sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8.30 malam, 17 September 2022 di sebuah restoran dekat Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Terdahulu Mohd. Zulfadli mencadangkan agar mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 buat tertuduh dengan seorang penjamin.

    Tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan dikurangkan dengan alasan anaknya masih bersekolah. Hakim lalu menetapkan kadar jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam dengan tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

  • Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

    Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

    SEORANG lelaki maut akibat tersepit dalam treler muatan pasir yang terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter di Kilometer (KM) 43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi di sini hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.45 pagi.

    “Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

    “Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan hidraulik dan tali,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya lapor Sinar Harian.

  • Pas nafi kenyataan ‘hanya bela nasib Melayu-Islam saja’

    Pas nafi kenyataan ‘hanya bela nasib Melayu-Islam saja’

    PAS menafikan mengeluarkan kenyataan media ‘hanya membela nasib kaum Melayu dan Islam sahaja’.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan bertarikh 24 Jun itu adalah palsu dan fitnah, selain cuba memburukkan parti itu.

    “Kenyataan media bertajuk ‘PAS akan terus mempertahankan dan membela nasib kaum Melayu dan Islam sahaja’ bertarikh 24 Jun 2023 adalah palsu dan fitnah semata.

    “Ia nyata cubaan pihak tertentu untuk memburukkan Pas dan mempunyai niat yang tidak baik,” katanya menerusi Facebook miliknya, lapor FMT.

    Sebaran palsu memetik kenyataan Takiyuddin mendakwa parti itu akan terus memperjuangkan nasib Melayu dan Islam, susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang sebelum ini, orang bukan Islam punca gejala rasuah berleluasa dalam negara.

    Kenyataan itu juga mendakwa kaum Cina, India dan Bumiputera banyak mendatangkan mudarat kepada masyarakat sehingga menjejaskan ekonomi negara.

  • Ahmad Samsuri menghadap Sultan Terengganu mohon perkenan bubar DUN

    Ahmad Samsuri menghadap Sultan Terengganu mohon perkenan bubar DUN

    MENTERI Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini, bagi memohon perkenan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu tiba di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 8.38 pagi untuk sesi menghadap berkenaan lapor Berita Harian.

    Beliau sempat membuka cermin kereta dan melambai tangan ke arah pengamal media yang berkumpul di luar istana.

    Dijangka tiada sidang media khas mengenai pengumuman tarikh pembubaran DUN hari ini, sebaliknya menteri besar hanya akan mengeluarkan kenyataan bertulis setelah selesai sesi menghadap.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

    Tempoh mandat bagi DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

    Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

    DUN Kelantan dibubarkan pada 22 Jun manakala DUN Selangor sehari selepas itu.

    DUN Kedah dan Pulau Pinang masing-masing akan dibubarkan esok manakala DUN Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada 30 Jun.

  • MIC sahkan dapat kerusi di Selangor, MCA pula gagal dijejaki

    MIC sahkan dapat kerusi di Selangor, MCA pula gagal dijejaki

    MIC Selangor mengesahkan akan diberi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pengerusinya, M.B. Raja bagaimanapun berkata, parti itu belum dapat memastikan berapa jumlah kerusi yang akan diperuntukkan.

    “Sebenarnya, apa yang Pengerusi BN (Barisan Nasional) beritahu dia akan maklumkan kepada Presiden kita, ada kerusi untuk kita tapi tak tahu berapa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa BN negeri Selangor di bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, lewat malam tadi.

    Raja berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran kerusi yang diberikan kepada MIC Selangor dalam PRN akan datang.

    Diminta mengulas lanjut, Raja berkata, soal pembahagian kerusi DUN hanya akan dimuktamadkan oleh pengerusi parti masing-masing dalam tempoh seminggu lagi.

    Sementara itu, pembahagian kerusi untuk parti MCA pula masih menjadi teka-teki.

    Ini selepas Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Selangor, Ng Chok Sin gagal dijejaki meskipun difahamkan menghadiri sesi mesyuarat hampir 3 jam itu yang bermula sejak 8.30 malam tadi.

    Sementara itu, dalam reaksi awalnya, Pengerusi UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya meraikan semua permintaan atas semangat kepartian.

    Namun tegasnya, faktor utama ialah sejauh mana calon parti komponen itu boleh meraih kemenangan bagi setiap kerusi yang ingin ditandinginya.

    “Permintaan kita raikan atas semangat BN, tapi tak bermaksud satu, atau tak ada langsung atau lebih (kerusi yang akan diberikan). Jadi, ini tertakluk kepada perbincangan.

    “Kita mesti lihat kemenangan. Jadi, kita akan pergi lebih lanjutlah dan itu tak ada masalah,” katanya.

    Bagaimanapun, Megat Zulkarnain berkata, segala ketetapan akan diputuskan oleh presiden parti masing-masing.

    “Mereka boleh mohon dan minta tetapi bukan saya yang akan putuskan. Ini akan diputuskan oleh diperingkat kepimpinan tertinggi.

    “Maknanya, jawapan yang paling bagus adalah akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BN negeri Selangor, di Shah Alam, lewat malam tadi.

    Awal Jun lalu PH dan BN Selangor dilaporkan masih dalam proses rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Perkara ini selepas BN meminta PH menambah jumlah kerusi yang ditawarkan sebelum ini.

    Beberapa sumber daripada PH dan BN memberitahu Malaysiakini, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN.

    Namun, gabungan itu meminta PH Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari agar menambahkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi menjelang PRN yang dijangkakan pada hujung bulan Julai ini.

    Difahamkan, selain empat kerusi yang disandang oleh UMNO, PH menawarkan enam kerusi yang masing-masing dimenangi oleh Pas dan lima daripada enam kerusi yang dimenang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU 14 yang lalu kecuali DUN Dengkil.

    Namun, beberapa sumber BN berkata, gabungan itu tidak berpuas hati dengan tawaran 10 kerusi berkenaan dan menyifatkan angka tersebut terlalu kerdil kerana sasaran mereka adalah 7 kerusi termasuk MCA dan MIC.

    Pada PRU14, gabungan PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN yang ditandingi.

    UMNO menang empat kerusi manakala Pas pula hanya menang satu di Sijangkang.

  • Minta UMNO tak tanding di Gombak, kerusi itu sinonim dengan PKR

    Minta UMNO tak tanding di Gombak, kerusi itu sinonim dengan PKR

    TIMBALAN Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Gombak, Zainol Abidin Mohamed menggesa UMNO memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Gombak Setia yang menyandang kerusi itu sebelum ‘dilarikan’, selain sinonim sebagai kubu kuatnya.

    Menurutnya, PH difahamkan UMNO sedang mengintai kerusi Gombak Setia yang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dimenangi Hilman Idham, sebelum beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam episod Langkah Sheraton pada 2020.

    Difahamkan, nama Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin disebut-sebut bertanding di kerusi itu sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan PH untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Beliau yang juga ketua UMNO Gombak tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada PRU14 dengan majoriti12,399 undi.

    “Asasnya kita menang kerusi di Gombak Setia jadi pada pendapat saya, elok untuk memastikan kestabilan itu diteruskan di Selangor.

    “Mungkin UMNO/BN boleh intai kerusi lain macam Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa tetapi biarlah kerusi Gombak Setia yang sinonim dengan kubu PKR dikekalkan pada PKR,” katanya kepada FMT.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata DUN Gombak Setia dan Kota Damansara, antara kerusi masih dibincangkan antara PH dan BN yang bakal diputuskan pucuk pimpinan parti.

    Mengulas lanjut, beliau memahami DUN Gombak Setia mungkin menjadi pilihan BN kerana ia boleh dikatakan kerusi selamat, namun kedudukan PKR sebagai tunjang di Selangor harus diakui.

    “Saya tak nampak ada masalah pengagihan, tapi mana-mana parti politik berbeza saya nampak kita baru dalam gabungan, jadi dia nak kerusi, dia nak kerusi tu biasalah dalam proses mana-mana parti politik.

    “Tetapi tak sampai peringkat berbalah, bergaduh dan tidak menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan, tuntut itu biasalah mana-mana parti,” katanya.