Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kerajaan sementara ‘caretaker’ perlu henti umum projek baharu – Bersih

    Kerajaan sementara ‘caretaker’ perlu henti umum projek baharu – Bersih

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan negeri yang bakal atau sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.

    Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataannya, mengingatkan kerajaan negeri berkenaan yang terdiri daripada Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu, kini hanya cuma berperanan sebagai kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.

    “Disebabkan fungsinya untuk memastikan operasi asas berjalan sehingga pembentukan kerajaan baharu, kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.

    “Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, pejabat setiausaha kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang dilakukan di peringkat Persekutuan.

    Katanya, garis panduan tersebut antara lain menyatakan kerajaan ‘caretaker’ (sementara) tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

    Selain itu, apa-apa projek kerajaan negeri yang bakal atau telah terbubar ini mahukan hanya boleh dijanjikan di dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai satu ketetapan.

    Bersihturut menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang terbabit dengan pembubaran DUN menghormati asas demokrasi.

    “Sekiranya salah laku dibenarkan kerana bias politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam,” katanya lapor Berita Harian.

    Setakat ini, beberapa negeri telah telah mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri. Ini termasuk Kelantan yang mengumumkan perkara itu pada 22 Jun lalu, manakala Selangor mengesahkan perkara sama sehari selepas itu.

    Sementara itu, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang bakal mengumumkan pembubaran DUN esok, manakala kerajaan Negeri Sembilan akan membubarkan DUN pada 30 Jun ini.

  • Tiada dosa besar,  berakhlak mulia kriteria utama calon Pas – Hashim

    Tiada dosa besar,  berakhlak mulia kriteria utama calon Pas – Hashim

    TIDAK terlibat dengan dosa besar dan berakhlak mulia menjadi kriteria utama calon Pas yang bakal dipilih bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Mursyidul Am Pas, Datuk  Hashim Jasin berkata, tapisan calon akan dibuat pada mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU) minggu hadapan.

    “Agenda utama mesyuarat Majlis Syura Ulamak minggu depan  kita akan melakukan tapisan kelayakan calon-calon yang bakal bertanding. Keutamaan calon yang bakal dipilih tidak terlibat dengan dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil serta berakhlak mulia,” katanya lapor HarakahDaily.

    Pas akan bertanding di 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN yang melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Terangganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Katanya, setiap DUN mengemukakan tiga nama calon untuk diperhalusi Majlis Syura Ulamak sebelum mempertimbang memilih mereka yang benar-benar layak untuk bertanding.

    Ditanya sama ada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan diberi peluang sebagai calon Pas, ujarnya beliau tidak ada masalah sekiranya bekas pemimpin kanan UMNO itu ditampilkan sebagai calon pada PRN nanti.

    Beliau turut memaklumkan tidak ada masalah jika bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut dicalonkan.

    “Sama seperti orang lain, kita akan mempertimbangkan. Kita tidak ada masalah Nik Abduh dicalonkan. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dia (Nik Abduh) layak bertanding di kerusi Parlimen tetapi dia tarik diri,” katanya.

    Dalam pada itu, kata beliau gelombang rakyat akan terus berlaku pada PRN termasuk boleh melakukan kejutan di Selangor. 

  • Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

    Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

    AKSI seorang pelajar sekolah ditindih, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar lain tular di laman Twitter sejak kelmarin.

    Menerusi perkongsian di laman Twitter @MALAYSIAVIRALL, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Sabah, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya dan tarikh insiden tersebut.

    Berdasarkan klip video berdurasi 1 minit 21 saat itu, kelihatan pembuli menindih, menumbuk dan menendang mangsa bertalu-talu sambil dirakam oleh beberapa rakan yang lain.

    Perkongsian itu juga kini meraih lebih 1 juta tontonan sehingga hari ini.

    Susulan tersebarnya rakaman tersebut, rata-rata pengguna Twitter berang dengan kejadian itu menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Pelajaran (KPM) dan Polis Diraja Malaysia menyiasat perkara terbabit segera.

    “PDRM, KPM, apa lagi? Siasat nak tangkap pembuli. Makin hari makin ramai gengster sekolah,” seru @Jacknenas.

    “Bagus budak zaman sekarang. Buli terus rakam, lepas itu muat naik di media sosial, senang bagi polis buat kerja. Otak separuh sangat,” ciap @aiyysie.

    “Kes buli makin menjadi-jadi. Rasanya KPM boleh buat satu video tutorial khas tunjuk lepas buki masuk penjara, kena hukum. Biar ada insaf mereka ini,” cadang seorang pengguna Twitter, lapor Kosmo!.

  • 261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

    261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 261,060 kilogram (kg) baja bernilai RM104,424 dirampas dari sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar, Kedah semalam kerana disyaki cuba diseleweng pihak tertentu bagi meraih keuntungan mudah.

    Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya menerima serahan kes tersebut daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi yang membuat serbuan di lokasi tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Katanya, seramai lapan individu terdiri daripada enam warganegara tempatan dan dua warga asing berusia antara 18 hingga 57 tahun, ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

    “Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

    “Susulan itu sebanyak 261,060 kg baja, sebuah lori, sebuah mesin jahit, sebuah alat timbang, empat jentera pengangkut, dan satu ikatan plastik baja yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan barang kawalan itu turut dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM269,174,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk pertuduhan kedua,” katanya.

    Menurutnya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan sedemikian.

    “Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan
    1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

    “Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang terlibat boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya.

  • Majoriti bukan Islam faham peraturan, isu dicipta bagi persepsi negatif – Pegawai MB Kelantan

    Majoriti bukan Islam faham peraturan, isu dicipta bagi persepsi negatif – Pegawai MB Kelantan

    MAJORITI bukan Islam termasuk mereka yang bekerja dan berniaga faham peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.

    Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua, berkata ini termasuk isu membabitkan etika pakaian di tempat awam serta premis perniagaan.

    “Bukan Islam di Kelantan sebenarnya faham setiap peraturan. Cuma yang jadi isu, mereka nak cipta persepsi negatif…itu sahaja.

    “Dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tertakluk bawah peraturan dan undang-undang. Sudah dijelaskan pakaian untuk orang yang bekerja dalam premis perniagaan mesti sopan.

    “Tetapi apabila pekerja itu berpakaian tak sopan, tidak menjadi kesalahan dia disaman (kompaun),” katanya, lapor FMT.

    Beliau menjelaskan peraturan mengenai pakaian terpakai kepada semua termasuk Islam dan bukan Islam di negeri ditadbir Pas itu.

    Media semalam melaporkan seorang peniaga wanita bukan Islam berusia 35 tahun dikompaun kerana ‘berpakaian tidak sopan’, ketika pegawai penguat kuasa MPKB melakukan pemeriksaan mengejut di premis miliknya, kelmarin.

    Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin berkata, wanita itu didapati berseluar pendek di tempat awam, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja bukan Islam mereka perlu ‘berpakaian sopan’.

    Mengulas lanjut, Lau berkata kompaun itu dikenakan kerana individu terbabit ‘berpakaian seolah-olah tidak berseluar’.

    “Dia pakai seluar kecil sampai orang ingat dia tak pakai seluar, pakai baju sahaja. Kemudian dia tukar seluar, tunjuk gambar dia kena saman (jadi tular).

    “Cuba tipu masa kena saman pakai seluar lain, lepas kena saman pakai seluar lain. MPKB sebelum nak saman dia tangkap gambar dulu,” katanya.

    Katanya, isu itu tular selepas ia sengaja diperbesarkan pihak tertentu untuk memberi imej buruk kepada kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan politik.

    “Bukan Islam di Kelantan tidak ditekan atau ditindas, tidak sama dengan persepsi dicipta sesetengah pihak. Kami diberi kebebasan selagi tidak bertentangan undang-undang.

    “Kalau mana-mana pihak tidak mendapat gambaran sebenar silalah datang ke Kelantan, lihatlah sendiri betapa harmoninya kehidupan bukan Islam di sini,” katanya.

  • Warga emas mati dalam longkang, sepasang kekasih didakwa di mahkamah

    Warga emas mati dalam longkang, sepasang kekasih didakwa di mahkamah

    SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret, di Melaka hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di tepi jalan di Ayer Keroh, April lalu.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, dan teman wanitanya, Noorbaizura Mohd Fuad, 34, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mereka didakwa secara bersama-sama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki, Tan Kue Seng, 71, kira-kira pukul 7 pagi sehingga 9 pagi di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh di Melaka pada 9 April lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Muhammad Faris didakwa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merompak warga emas berusia 69 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera dan melarikan beg tangan seorang wanita berusia 34 tahun.

    Kesalahan itu dilakukan di Taman Kota Laksamana pada 22 Mac 2023 dan di Taman Kesidang, di Melaka pada 8 April lalu.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat bagi hukuman di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

    Sinar Harian pada 11 April lalu melaporkan kebimbangan keluarga terhadap seorang lelaki warga emas yang tidak pulang ke rumah berakhir apabila ditemui mati dalam longkang di Jalan Gapam.

    Mayat Tan Kue Seng ditemukan oleh warisnya bersama motosikal jenis Demak EX90 yang ditunggang mangsa ketika keluar dari rumah di Taman Ozana Impian, Bukit Katil, di sini pada jam 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kehilangan warga emas itu, mangsa sempat memberitahu anaknya mahu ke sebuah kedai kopi di Bemban Jasin untuk bersarapan.

  • Syeikh Zainul Asri beri penjelasan isu ‘musuh Allah’

    Syeikh Zainul Asri beri penjelasan isu ‘musuh Allah’

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENCERAMAH bebas, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli tampil membuat penjelasan berhubung ucapannya yang menyebut ‘musuh Allah’ semasa Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, pada Sabtu lalu.

    Syeikh Muhd. Zainul Asri, 54, berkata, isu berkenaan telah disalah tafsir walaupun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

    “Sebelum itu saya memohon maaf tidak terhingga kepada muslimin dan muslimat serta seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung dan tersentuh terhadap ucapan yang berbangkit.

    “Sesungguhnya saya tidak menyasarkan ucapan itu kepada mana-mana kumpulan dan tidak menyebut kepada mana-mana parti politik atau sesiapa sahaja,” katanya dalam klip video di Instagram miliknya.

    Pada Sabtu lalu, ketika menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat, Syeikh Muhd. Zainul Asri berharap agar ‘Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah Swt’.

    Jelas pengasas dan Penasihat Madrasah Darul Sajidin (Darsa) Kuala Nerang itu, beliau merujuk firman Allah ketika mengungkapkan ucapan itu.

    “Tidak akan meredhai golongan yahudi dan golongan nasrani sehinggalah kamu mengikut jejak langkah kehidupan mereka.

    “Jadi itulah yang menjadi tujuan ucapan saya pada malam itu kerana Islam adalah agama yang konsisten dan istiqomah dengan akidah perjuangannya dan menolak sebarang bentuk dakyah dan juga usaha daripada musuh-musuh Islam iaitu yang dimaksudkan dengan golongan yahudi dan nasrani.

    “Mudah-mudahan pencerahan ini akan beri seribu keharmonian kepada kita semua umat Islam dan rakyat malaysia. Marilah kita sama-sama bersatu dan berpadu untuk menjaga agama kita dengan sebaik-baiknya,” katanya.

  • Siasatan kes rasuah lima bekas pegawai menteri di peringkat akhir – Azam Baki

    Siasatan kes rasuah lima bekas pegawai menteri di peringkat akhir – Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir menyelesaikan kertas siasatan berkaitan skandal rasuah isu pengambilan pekerja asing membabitkan pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh dua minggu.

    “Kes sudah di peringkat akhir siasatan. Di peringkat kami apabila sudah selesai dalam tempoh terdekat mungkin dalam tempoh dua minggu,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Hari Integriti 2023, di Dewan Tun Hussien Onn World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata, apa yang penting SPRM tidak melengahkan siasatan kepada mana-mana pihak pun.

    Pada 9 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak.

    Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai ada ahli politik menaungi kegiatan judi di negara ini, Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan awal.

    “Kita sedang menyiasat perkara ini dan laporan baru dibuat dalam bulan lalu. Kita masih lagi mengumpul maklumat.

    “Jadi saya tak boleh dedahkan siapa-siapa ahli politik yang berkenaan tetapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Jika terbukti, ia adalah satu kesalahan,” katanya.

    Ditanya adakah pembabitan itu membabitkan ramai ahli politik, Azam tidak memberikan jumlah inndividu.

    “Adalah dalam beberapa kalangan mereka. Tak boleh kata ramai atau tidak. Nanti akan jadi satu spin off dari banyak pihak pula,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PN tawar lebih banyak inisiatif jika menang PRN Selangor

    PN tawar lebih banyak inisiatif jika menang PRN Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) berikrar memperkenalkan lebih banyak inisiatif rakyat sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan parti itu mempunyai kewibawaan membawa Selangor pada landasan lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Malah, katanya, rata-rata pemimpin PN termasuk beliau sendiri selaku bekas Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi yang ketika itu Exco negeri telah merangka pelbagai inisiatif membantu rakyat.

    “Kami ada pengalaman (mentadbir) di negeri ini contohnya dulu di Selangor apabila meninggal dunia sahaja, waris akan menerima RM2,500.

    “Semua agama dapat tak kira (waris penerima) Melayu, Cina dan India bagi meringankan kesedihan dan kesusahan keluarga,” katanya ketika berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18. di Shah Alam malam tadi

    Katanya, pelbagai pihak tertarik dengan tawaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diperkenalkan kerajaan Selangor pada masa itu.

    “Ada orang Johor hubungi saya bertanya adakah betul jika berlaku kematian di Selangor mereka layak mendapat RM2,500.

    “Saya beritahu betul, maka berduyun-duyun orang datang ke Selangor bukan hendak mati, tetapi hendak melihat (keberkesanan) skim itu,” jelas beliau.

    Bagaimanapun, Mohamed Azmin menjelaskan, skim itu tidak lagi dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.

    Tambahnya, semasa pentadbiran beliau juga turut diberikan pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kos rendah, kampung tradisi, bagan dan kampung baru.

    “Minggu lepas kerajaan Persekutuan baru mengumumkan cukai taksiran untuk rumah kos sederhana (mampu milik) turun kepada 25 peratus.

    “Kita dah buat lama, kami dulu bukan beri 25 peratus, tetapi 100 peratus potongan cukai taksiran termasuk kepada penjaja tepi jalan tidak perlu membayar lesen perniagaan pada ketika itu,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, kerajaan di bawah pentadbiran beliau juga sebelum ini melaksanakan pemberian rawatan melalui skim peduli sihat.

    Katanya, sebanyak RM125 juta diperuntukkan bagi skim itu dengan setiap anak negeri boleh membuat pemeriksaan di 1,000 klinik kesihatan swasta.

    “Menteri Kesihatan baru umum skim perubatan madani beri RM250 sebulan kepada rakyat, tetapi kita dulu beri RM700 kepada rakyat,” jelas beliau.

    Sehubungan itu, katanya, rakyat di negeri ini diharap bijak membuat keputusan untuk memberi peluang kepada PN mengambil alih pentadbiran kerajaan Selangor.

    “Kami tekad untuk membina Selangor baharu dalam PRN ini dan akan menjelajah ke 56 DUN di Selangor kerana nampak persepsi dan dukungan rakyat cukup baik bagi menyokong PN,” tambah beliau, lapor Sinar Harian.

  • BN-PH kerajaan rapuh, kenyataan Tony Pua burukkan keadaan – Pemuda UMNO

    BN-PH kerajaan rapuh, kenyataan Tony Pua burukkan keadaan – Pemuda UMNO

    Oleh BADLISHAH MAT

    ISU bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang melabel Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ membahayakan kedudukan gabungan itu bersama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan Madani yang disifatkan sebagai rapuh dan mudah retak.

    Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun yang juga Bendahari Pemuda UMNO Kedah, Nazri Arshat dalam kenyataannya berkata, Tony bertindak songsang dan tidak berfikir panjang kerana bersikap biadab meretakkan perpaduan Malaysia Madani yang sedang dibina BN-PH.

    Katanya, situasi itu memberi gambaran buruk terhadap kerjasama yang sedang disemai kerana bekas Ahli Parlimen Damansara itu ibarat melakukan khianat dengan meletakkan racun di sumur yang subur, sedangkan BN-PH bertungkus-lumus membajai agar sumur tersebut menghasilkan nikmat kepada rakyat dan negara.

    “Biarpun menyedari bahawa kerajaan perpaduan BN-PH adalah rapuh dan mudah retak pada bila-bila masa, namun Tony tidak segan silu bertindak biadab dengan menghamburkan penghinaan terhadap rakan kerjasama kerajaan Perpaduan, iaitu BN.

    “BN sebelum ini telah berlapang dada, rela hati berkorban dan sanggup bersama PH untuk membentuk kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong setelah PH mahupun Perikatan Nasional (PN) gagal meraih majoriti bagi membentuk kerajaan,” katanya.

    Nazri berkata, sekiranya DAP tidak bertindak memecat Tony, ia menandakan parti itu bersetuju dengan kenyataan bekas Setiausaha Publisitinya dan bakal melahirkan persepsi buruk terhadap kerjasama BN-PH.

    “Apatah lagi kebiadapan Tony berlaku menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi, semestinya ia memberi impak negatif kepada imej dan reputasi BN-PH kelak.

    “Saya akui BN tidak bersifat ‘maksum, suci dan tulus’, namun yakinlah bahawa kepimpinan kami kini sedang serius berusaha menghapuskan korupsi sama ada di dalam parti mahupun kerajaan, bagi membina semula keyakinan rakyat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad menyifatkan kenyataan Tony yang terang-terangan menyerang BN menunjukkan pendekatan tidak bermaruah dan tidak patut dilakukan oleh pemimpin politik yang mana kepimpinan tertinggi organisasinya adalah sebahagian kerajaan yang dibentuk hari ini.

    Menurutnya, kenyataan seperti itu jelas menunjukkan sikap yang tidak beradab dan tidak membina suasana politik yang sihat, apatah lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat yang agak rapuh selepas kemelut politik.

    “Beliau sepatutnya menggunakan platformnya untuk membawa perdebatan yang bermutu dan mencari penyelesaian bagi isu-isu yang dihadapi oleh negara kita. Namun, tindakan menyerang BN secara terbuka tanpa sebarang bukti kukuh hanya mencerminkan kelemahan dalam argumen beliau.

    “Ia juga mencalarkan hubungan baik antara ahli parti komponen kerajaan perpaduan. Selain itu, kenyataan Tony juga menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dalam mencetuskan kebencian politik dalam suasana politik yang sudah cukup tegang,” katanya.

    Justeru, Mohd. Farhan berharap Tony dan pemimpin politik lain menghentikan pendekatan biadab dalam perdebatan politik. Sebaliknya, berfikir secara matang, membina argumen yang kukuh dan mengamalkan cara yang bermaruah dalam mencapai matlamat politik masing-masing.