Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

    Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

    SEORANG anggota polis cedera apabila sebuah lori kontena merempuh pagar dan pondok kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Tapah, awal pagi ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada pukul 1.20 pagi.

    “Selepas sahaja menerima pangggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setiba jentera ke lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena melanggar pagar dan pondok polis IPD Tapah.

    “Terdapat seorang anggota polis yang sedang bertugas di pondok kawalan dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di Tapah.

    Katanya, ketua operasi mengaplikasikan konsep menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkaply Hamad tamat pukul 1.49 pagi, lapor Astro Awani.

  • Anwar diminta henti gurauan merendahkan wanita

    Anwar diminta henti gurauan merendahkan wanita

    AHLI Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghentikan gurauan merendahkan wanita yang membuka ruang normalisasi kepada lelaki kebanyakan.

    “Anwar sepatutnya menunjukkan watak yang terhormat kepada rakyat tidak kira umur dan latar belakang.

    “Normalisasi ini telah pun berlaku di ruang-ruang komen media sosial mempertahankan perdana menteri seterusnya menyambung lagi gurauan yang tidak beradab kepada wanita,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook miliknya.

    Dalam satu majlis bersama golongan muda di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, Anwar memuji seorang pelajar perempuan kerana kepetahannya bertanyakan soalan.

    Secara berseloroh Anwar berkata, beliau akan meminta nombor telefon daripada pelajar berkenaan sekiranya dirinya masih muda.

    Kenyataan itu menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak kerana disifatkan sebagai seksis dan merendahkan wanita.

    Mengulas lanjut, Siti Mastura yang juga adalah Ketua Pengarah Ameerah Malaysia iaitu organisasi Muslimat Muda berkata, rakyat lelaki atau wanita sepatutnya merasa selamat apabila berhadapan dengan perdana menteri menyuarakan isu-isu mereka.

    Anwar katanya, kelihatan terlalu jauh dengan watak reformis selepas menjadi Perdana Menteri.

    “Kuasa jangan sampai melupakan batas sempadan akhlak dan tatasusila,” katanya lapor Malaysiakini.

  • Mayat lelaki tertiarap dengan kesan luka ditemukan di jalan raya

    Mayat lelaki tertiarap dengan kesan luka ditemukan di jalan raya

    SATU mayat lelaki ditemui dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan di Jalan Toman 8, Seremban berhampiran sebuah hospital swasta.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan pada pukul 11.45 malam.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa berumur 39 tahun dijumpai tertiarap di jalan raya dalam keadaan tidak bernyawa.

    “Pemeriksaan awal pada anggota badan mangsa terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan.

    “Pemeriksaan pada pakaian mangsa mendapati barang peribadi masih berada dalam milikan mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat dan setakat ini punca kematian masih belum dapat disahkan lagi, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

    Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Adi Khusaini Saripudin di talian 0127702282 atau IPD Seremban 066033222.

  • PN sedia bentuk kerajaan negeri, setuju agihan jawatan-Muhyiddin

    PN sedia bentuk kerajaan negeri, setuju agihan jawatan-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah sedia membentuk kerajaan di enam negeri dan menyelesaikan agihan jawatan di kalangan komponen parti sekiranya menang pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN yang akan bertanding di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu mengelakkan pergeseran jika mereka berjaya menawan Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Pengagihan bukan hanya membabitkan jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi ahli majlis serta ketua kampung.

    “Kami bila sudah selesai rundingan kerusi, sudah mula perbincangan tentang pembentukan kerajaan (negeri),” katanya dalam temu bual ekslusif bersama FMT.

    Pada 22 Jun lalu, PN telah memuktamadkan rundingan kerusi di antara komponennya.

    Turut diputuskan calon Menteri Besar bagi Selangor dan Negeri Sembilan akan datang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pas mengetuai pentadbiran Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Pas akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) 36 kerusi.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN tidak bimbang dengan kritikan terhadap pelantikan ahli politik untuk mengetuai GLC dengan menegaskan perkara sama turut dibuat kerajaan perpaduan.

    “Kalau ada tokoh-tokoh politik berkaliber yang tidak memegang sebarang jawatan dan layak, apa salah dengannya.

    “Tidak semestinya orang-orang korporat sahaja,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Muhyiddin turut mengakui penting untuk PN mengambil alih pentadbiran Selangor pada PRN memandangkan statusnya sebagai negeri paling maju, menyumbang 24.8% kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) dengan nilai pendapatan RM300 bilion.

    “Kita sedar bukan mudah, kalau tanya saya dua tiga tahun lalu kalau kalau boleh ambil alih Selangor…saya kata kita cubalah.

    “Tetapi sekarang saya kata InsyaAllah kerana ada satu perubahan landskap politik selepas PRU (pilihan raya umum),” kataya merujuk gelombang rakyat yang menyaksikan PN menawan banyak kerusi Parlimen di Selangor dengan majoriti besar, November lalu.

    Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.

  • Lelaki OKU bunuh bapa direman seminggu

    Lelaki OKU bunuh bapa direman seminggu

    LELAKI berusia 22 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes seorang warga emas berusia 64 tahun yang ditemui mati di sebuah flat di Bentong pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd. Kahar memberitahu, suspek tersebut adalah anak bongsu mangsa dan semakan awal mendapati suspek memiliki kad orang kurang upaya (OKU) lembam pembelajaran.

    “Pada Ahad lalu, kira-kira pukul 11 pagi, pihak polis telah menerima satu laporan polis mengenai seorang lelaki warganegara tempatan berusia 64 tahun tahun ditemui terbaring di atas lantai di sebuah rumah flat di Bentong.

    “Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan termasuk kesan terbakar,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, isteri mangsa bersama anak kedua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun berada di Kuala Lumpur atas urusan perubatan di sebuah hospital di ibu kota sejak 19 Jun lalu.

    Mangsa ujarnya, telah ditinggalkan bersama anak bongsunya berusia 22 tahun di rumah tersebut.

    Ujar Zaiham, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222,” tambah beliau, lapor Sinar Harian.

  • ‘’Saya dilihat sebagai ‘ancaman’ lebih baik keluar parti’’ – Sivarraajh

    ‘’Saya dilihat sebagai ‘ancaman’ lebih baik keluar parti’’ – Sivarraajh

    BEKAS Naib Presiden MIC,  C Sivarraajh mengumumkan keluar dari parti itu hari ini, dua minggu selepas beliau dilucutkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Negara telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menerusi sepucuk surat bertarikh hari ini.

    Dalam surat itu, Sivarraajh berkata, beliau meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan MIC Taman Bukit Kuchai Baru dan juga keluar parti berkuat kuasa hari ini.

    ‘Walaupun berat hati, saya terpaksa akur dengan pilihan ini kerana saya berpandangan lebih baik untuk saya keluar dari MIC kerana saya ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugasan saya sebagai Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan daripada mana-mana pihak, terutama daripada kepimpinan MIC.

    “Sejak menyertai MIC hampir 20 tahun lepas, saya yakin telah menumpukan sepenuh perhatian dan memberi komitmen yang cukup tinggi terhadap perjuangan parti…atas kapasiti sebagai Setiausaha Pemuda, Ketua Pemuda, Naib Presiden, calon pilihan raya, Ahli Parlimen dan terkini sebagai Ahli Dewan Negara.

    “Malangnya, beberapa peristiwa yang berlaku seketika berkhidmat di bawah kepimpinan Tan Sri (Vigneswaran) mengakibatkan saya untuk mengambil keputusan yang cukup menyedihkan ini,” katanya dalam surat itu, lapor Malaysikini.

    Sivarraajh berkata keputusan itu adalah yang terbaik untuk diri beliau dan juga parti memandangkan beliau dilihat sebagai “ancaman” kepada kepimpinan sedia ada dalam parti.

    “Lebih buruk lagi, saya disekat dengan pelbagai cara daripda meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara. Jika ia terus berpanjangan, besar kemungkinan kelak mendorong kepada perpecahan dalam kalangan ahli parti. Sejujurnya, saya tidak hendak menjadi punca parti ini terus berpecah belah akibat perbezaan pandangan dan pendekatan,” katanya lagi.

    Beliau  juga menyuarakan harapan agar MIC terus menjadi suara masyarakat India di Malaysia. Sivarraajh dipecat daripada CWC MIC pada awal bulan ini.

    • TIADA KERUSI UNTUK MIC DI PRN SELANGOR

    SEMENTARA itu, TIMBALAN Presiden MIC M Saravanan hari ini menafikan laporan bahawa parti itu akan diperuntukkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor  tidak lama lagi.

    Katanya, llaporan sebelum ini  yang menyatakan bahawa parti itu akan diberi kerusi pada PRN Selangor adalah tidak tepat.

    “Laporan MIC diberi kerusi bertanding tidak tepat. MIC sebelum ini minta DUN Sentosa yang (kita) mempunyai peluang untuk menang. Namun, setelah rundingan antara PH dan BN, kerusi itu dikekalkan dengan PKR. Jadi, sehingga kini, MIC tidak dijanji mana-mana kerusi untuk bertanding di Selangor,” katanya lapor Malaysiakini.

    Semalam, MIC Selangor mendakwa parti itu akan diberi kerusi DUN.

    Bagaiamanapun, Pengerusinya, MB Raja berkata, parti itu belum dapat memastikan berapa jumlah kerusi yang bakal  diperuntukkan.

  • Tuntutan Sulu: Mahkamah The Hague tolak permohonan Kumpulan Sulu

    Tuntutan Sulu: Mahkamah The Hague tolak permohonan Kumpulan Sulu

    MAHKAMAH Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

    Penghakiman itu memaklumkan, ‘mahkamah menolak permintaan warga Filipina’ untuk menuntut melaksanakan anugerah timbang tara itu.

    Pada tahun lalu, individu yang mendakwa waris Filipina kepada Sultan Sulu terakhir dianugerahkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) oleh mahkamah timbang tara Paris dalam pertikaian dengan Malaysia sejak sekian lama berhubung perjanjian tanah pada zaman penjajah.

    Mereka berusaha merampas aset Kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg dan Belanda, dalam usaha untuk menguatkuasakan anugerah itu. – REUTERS

  • Pentadbiran Anwar ‘bakul sampahkan’ reformasi institusi-MUDA

    Pentadbiran Anwar ‘bakul sampahkan’ reformasi institusi-MUDA

    PARTI Ikatan Demoktratik Malaysia (MUDA) mendakwa pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mengabaikan reformasi institusi dan pembangkang yang banyak bermain sentimen sebagai sebab ia akan menentang semua parti pada PRN akan datang.

    Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi ketika ditanya mengenai keputusan parti tersebut bertanding solo berkata, langkah itu mahu menyedarkan negara tentang isu melanda pentadbiran Anwar.

    Beliau menyenaraikan isu seperti melantik orang politik dan ahli keluarga ke syarikat berkaitan kerajaan dan mendiamkan kritikan terhadap dakwaan rasuah dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN).

    Turut disorot mengekalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) tanpa usaha untuk mansuh atau pinda serta menggunakannya; dan tiada pendakwaan berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), dan tindakan speaker Dewan Rakyat menolak usul Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membahaskan isu itu.

    Amir Hariri berkata, reformasi institusi termasuk lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Parlimen yang mereka disuarakan dulu dibakul sampahkan.

    “Akhirnya Tan Sri Azam Baki yang ditentang dahulu dilantik semula. Siapa yang boleh nafikan perkara-perkara ini? Silakan.”

    Amir berkata, MUDA mahu menjadi alternatif kepada Pakatan Harapan (ph), BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dibidas kerana banyak bermain sentimen.

    “Kita tidak punya pembangkang berkesan; pembangkang hari ini lebih banyak memainkan sentimen melalui isu kaum, agama, dan raja secara melampau berbanding isu-isu dasar. Mereka juga tidak ‘subscribe’ (tidak berpegang) dengan agenda reformasi.

    “Lalu rakyat perlu diberi pilihan yang lain, selain satu tamparan perlu diberi kepada yang berkuasa.”

    Ditanya mengenai perbelanjaan untuk PRN, Amir berkata, calon yang bertanding bertanggungjawab menyediakan duit sendiri.

    MUDA juga ujar beliau, terpaksa meminimumkan perbelanjaan dengan majoriti kempen dijalankan secara dalam talian.

    “Kita akan fokus menyediakan tawaran dan dasar, berbanding mengira berapa bendera dan sepanduk yang digantung,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, Anwar memberitahu Dewan Rakyat akan ada pendakwaan peringkat kedua berhubung isu pembinaan LCS dan semua pihak mesti menerima pendakwaan dibuat oleh Peguam Negara.

    Speaker Tan Sri Johari Abdul ketika menjelaskan penolakan usul Syed Saddiq berkata, ia ditolak kerana perbahasan akan dibenarkan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporannya.

    Berhubung pelantikan Azam, Anwar berkata, khidmatnya diteruskan kerana beliau menjalankan tugas dengan memuaskan, tanpa memilih puak atau parti.

  • Wan Saiful mohon batal tuduhan rasuah Jana Wibawa

    Wan Saiful mohon batal tuduhan rasuah Jana Wibawa

    AHLI Parlimen Tasek Datuk Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengetahui sama ada dia berjaya atau gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa pada 21 Julai depan.

    Memetik laporan MalaysiaKini, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur petang ini menetapkan tarikh keputusan permohonan bekas ketua penerangan Bersatu itu yang mendakwa alasan pertuduhan itu ‘cacat’.

    Hakim mahkamah jenayah Rozina Ayob awal hari ini mendengar hujahan lisan daripada peguam Wan Saiful Amer Hamzah Arshad dan timbalan pendakwa raya Rashidah Murni Adzmi.

    Semasa perbicaraan awal hari ini, Amer berhujah pertuduhan adalah cacat kerana ia tidak menyatakan dengan betul tarikh spesifik kesalahan yang didakwa.

    Peguambela itu menambah bahawa mereka tidak memohon pembebasan penuh terhadap Wan Saiful, tetapi tertuduh diberi pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA) dalam kes itu.

    Bagaimanapun, Rashidah membalas bahawa pertuduhan itu dirangka dengan betul kerana ia cukup untuk memberi notis kepada tertuduh mengenai jenis kesalahan yang didakwa.

    Menerusi permohonannya, Wan Saiful antara lain menegaskan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 adalah cacat.

    Wan Saiful mendakwa pertuduhan tidak menyatakan masa dan tarikh spesifik kesalahan yang didakwa dilakukannya, sekali gus melanggar Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

    Katanya, pertuduhan itu tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi untuk memberikan notis yang mencukupi kepadanya mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya, sekali gus melanggar Seksyen 154 CPC.

    Pada 21 Feberuari, Wan Saiful dibicarakan atas dua pertuduhan – pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai 2022 dan 30 Sept 2022.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta rasuah daripada seorang Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek yang dipanggil “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan persekutuan melalui pra-kelayakan.

    Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

    Pertuduhan kedua menuduh Wan Saiful menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

    Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai dorongan.

    Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu penyelesaian kes.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

    Wan Saiful, 48 juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek sama.

    Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

    Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu kes selesai.

    Jana Wibawa, akronim untuk Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, merupakan program rangsangan Covid-19 untuk kontraktor bumiputera.

    Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkannya pada November 2020.

    Parlimen diberitahu minggu lalu bahawa pentadbiran semasa telah membekukan projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion, sementara menunggu siasatan.

  • Wanita mengandung 7 bulan mengaku tidak bersalah rompak warga emas

    Wanita mengandung 7 bulan mengaku tidak bersalah rompak warga emas

    SEORANG ibu mengandung tujuh bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan cuba merompak terhadap seorang wanita warga emas, 22 Jun lalu.

    Tertuduh, Nor Fahtihah Ahmadi, 34, yang juga suri rumah membuat pengakuan itu atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Idzham Naim Che Ani.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan iaitu menjerut leher dan mengacukan pemutar skru serta cuba merompak kepada seorang wanita, Ramainor Daud, 64.

    Perbuatan itu dilakukan di Kampung Tanjung Chat, Kota Bharu antara 10 pagi hingga 11 pagi, pada 22 Jun lalu, lapor Harian Metro.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Siti Aisyah Abdul Manah, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.

    Terdahulu, Siti Aisyah mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh, manakala Syed Muhammad Syafiq memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada tertuduh kerana wanita itu sedang mengandung.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

    Difahamkan, wanita berkenaan membayar jumlah jaminan yang ditawarkan itu.