Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki kejam, tanam 7 bayi dakwa ‘diperintah’ dukun kalau nak kaya-raya

    Lelaki kejam, tanam 7 bayi dakwa ‘diperintah’ dukun kalau nak kaya-raya

    SEORANG lelaki yang dikenali sebagai R, 57, dipercayai telah membunuh dan menanam hidup-hidup tujuh mayat bayi di satu kawasan hasil daripada perlakuan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri.

    Memetik laporan Kompas, kejadian ini berlaku daripada tahun 2013, 2015, 2016, 2018, 2019, 2020, dan akhir sekali pada tahun 2021 di Banyumas, Jawa Barat, Indonesia.

    Mengikut siasatan, polis mendakwa tujuh daripada bayi yang dibunuh terdiri dari empat bayi perempuan dan tiga bayi lelaki.

    Kata Ketua Polis Banyumas, Agus Supriadi Siswanto, R terkenal dalam kalangan penduduk setempat sebagai dukun.

    “Aktiviti sehariannya adalah memancing selain mengubat orang,” katanya kepada media tempatan.

    R difahamkan memiliki tiga isteri, bagaimanapun isteri pertama dan keduanya telah diceraikan. Sementara E merupakan anak pertama daripada isteri ketiga R.

    Hubungan sumbang mahram antara R dan E pula diketahui oleh isteri ketiga R namun tidak berani melaporkan kepada pihak berkuasa kerana diancam bunuh.

    Menurut laporan media tempatan lagi, R dikatakan melakukan ritual (pembunuhan) itu atas perintah dari seorang pengamal paranormal yang ditemuinya ketika bekerja sebagai buruh binaan pada 2011.

    “Jika kamu ingin kaya, anak kamu ‘digauli’ sampai tujuh kali,” kata R yang meniru ucapan dukun terbabit.

    Ditanya adakah sudah kaya, jawab R ringkas; “Belum.”

    R tidak mempunyai rumah dan tinggal bersama-sama anaknya, E di sebuah pondok berdekatan tempat mayat-mayat bayinya ditanam.

    Kes ini bermula apabila dua pekerja pembersihan tanah telah menemui objek yang disyaki sebagai tulang manusia pada 15 Jun lalu sewaktu pembersihan kawasan di lakukan.

    Sehingga kini, pihak polis masih lagi menjalankan operasi untuk mengesan saki baki peninggalan tulang daripada tujuh rangka bayi manusia yang dikatakan di tanam di sebuah lokasi di Jawa Tengah, Indonesia.

    Pihak polis juga percaya bahawa pelaku tidak bertindak keseorangan dalam melakukan perkara terkutuk itu.

    Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan sama ada itu adalah motif pelaku atau hanya sekadar alasan semata-mata.

  • Tun M umum tak akan bertanding pilihan raya

    Tun M umum tak akan bertanding pilihan raya

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya tidak akan bertanding pada sebarang pilihan raya akan datang.

    Beliau menjelaskan, ketika ini hanya memberi tumpuan kepada perjuangan Proklamasi Orang Melayu (POM) serta mempertahankan hak dan kaum Melayu di negara ini.

    “Kalau orang Melayu ingat kita nak berjuang kerana nak jadi Perdana Menteri, tidak, bukan sebab itu.

    “Saya tidak berniat nak bertanding tetapi saya harap ada orang lain yang akan bertanding dan seluruh orang Melayu yang sayangkan negara dan bukannya sayang kepada duit, tolak korupsi, rasuah.

    “Jangan kerana dapat RM100, kita jual undi,” katanya pada sidang akhbar khas di Sepang hari ini.

    Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, orang Melayu perlu sedar bahawa setiap undi pada mana-mana pilihan raya bakal menentukan masa depan kaum tersebut.

    “Ini perjuangan kumpulan POM, insya-Allah kalau kita dapat sokongan, kita akan letak cukup calon supaya boleh jadi kerajaan.

    “Keterangan lanjut (mengenai POM) akan diberikan dengan lebih terperinci supaya orang Melayu sedar bahawa mereka hampir hilang negara di waktu ini dan masa hadapan.

    “Saya minta supaya orang Melayu sedar bahawa ini negara kita, (walaupun) sanggup kongsi dengan orang lain, jangan kongsi sampai nak hapuskan negara, nak jadikan milik orang lain, itu tidak boleh terima,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Anak kapak ibu mengaku tak salah, diarah jalani rawatan mental

    Anak kapak ibu mengaku tak salah, diarah jalani rawatan mental

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dengan menggunakan kapak di Taman Temiang Utama, Muar pada 18 Jun lalu.

    Lim Seng Chai, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

    Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahakamh Tinggi.

    Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani rawatan psikiatrik selama sebulan di Hospital Permai, Johor Bahru selepas pihak pendakwaan memohon mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh ibunya, Tan Choo Gek, 73, menggunakan kapak di alamat No 28, Taman Temiang Utama antara pukul 7 hingga 8.20 malam, 18 Jun lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang dikenakan hukuman mati.

    Ibu tertuduh yang juga warga emas ditemukan mati dengan berlumuran darah disyaki ditetak oleh anak lelakinya menggunakan kapak di ruang tamu rumahnya.

    Kejadian berlaku disebabkan mangsa memarahi anaknya kerana membuat bising sebelum bertindak mengambil senjata tajam itu lalu menetak berkali-kali di kepala ibunya.

    Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki rekod lampau rawatan psikiatrik, ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan.

    Polis turut menemui senjata iaitu kapak dan pisau yang disyaki digunakan tertuduh dalam kejadian itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan.

    Pada 19 Jun lepas, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilapor berkata seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang ditegur mangsa kerana membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah.

    Raiz Mukhliz dipetik berkata wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher kerana dipercayai dipukul oleh anaknya yang didapati mempunyai rekod psikiatri lampau dengan menggunakan senjata tajam.

  • Taktik BN ‘takutkan’ pengundi Terengganu tak berkesan – Penganalisis

    Taktik BN ‘takutkan’ pengundi Terengganu tak berkesan – Penganalisis

    PENGANALISIS menolak ‘taktik menakut-nakutkan yang tidak berkesan’ oleh seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan mendakwa negeri itu akan ketinggalan dari segi pembangunan seperti Kelantan, jika pengundi terus menyokong Pas.

    “Terengganu mempunyai asas ekonomi lebih kukuh daripada Kelantan, oleh itu ia jauh lebih kaya,” kata Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, lapor FMT.

    Statistik kerajaan menunjukkan Terengganu mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.9% (RM32,199 per kapita) pada 2022 berbanding 3.7% pada 2021.

    Pertumbuhan KDNK Kelantan pula ialah 4.5% (RM16,567 per kapita) untuk 2022 dan 2.4% pada 2021.

    Azmil berkata, pengundi hanya akan menyokong parti lain jika kerajaan negeri pimpinan Pas gagal menguruskan ekonomi Terengganu dan jika UMNO melakukan perubahan besar bagi mendapatkan sokongan semula.

    Berbanding Kelantan, katanya, ramai pemimpin Pas di Terengganu mempunyai latar belakang profesional dan teknokrat, sekali gus secara teknikalnya lebih berkemampuan mentadbir kerajaan negeri.

    Beliau mengulas dakwaan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang berkata, Terengganu akan ketinggalan daripada segi pembangunan seperti Kelantan, jika pengundi terus mengundi Pas pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Ahmad berkata, rakyat Kelantan tidak peduli dengan kurang pembangunan di negeri itu kerana ramai yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan Selangor untuk mencari pekerjaan.

    Tetapi di Terengganu, penduduk jarang berhijrah dan “akhirnya menjadi mangsa kurang pembangunan”.

    Beliau menggesa pengundi di negeri itu menyokong BN pada PRN akan datang bagi memastikan pembangunan berterusan di Terengganu.

    Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menyarankan Pakatan Harapan (PH) dan BN mengambil pendekatan ‘menyerang’ bagi menembusi kubu kuat Pas, bukannya ‘taktik menakut-nakutkan pengundi’ untuk menawan Terengganu.

    “Sebagai contoh, BN atau PH belum dapat menembusi institusi agama di negeri (diterajui Pas) seperti masjid dan surau,” katanya sambil menambah ia adalah tempat parti Islam itu menyebarkan naratifnya.

    Beliau berkata, PH-BN tidak memanfaatkan pengaruh di platform media sosial seperti YouTube dan TikTok serta guru agama muda (asatizah) bagi mencabar naratif pesaing.

    Katanya, PH-BN perlu menjelaskan kepada pengundi Terengganu mengapa mereka memerlukan ahli gabungan perpaduan dalam kerajaan negeri serta rancangan mereka untuk membangunkan negeri jika menang PRN.

    Beliau berkata, PH dan BN perlu mula berfikir secara ‘en bloc’, bukannya terjerat dalam butiran pengagihan kerusi parti.

    Pada PRU14, Pas merampas kembali Terengganu daripada BN selepas memenangi 22 kerusi, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi. Pas memerintah negeri itu selama satu penggal dari 1999 hingga 2004.

  • Suami isteri ditahan edar dadah lebih 10kg, nilai setengah juta ringgit

    Suami isteri ditahan edar dadah lebih 10kg, nilai setengah juta ringgit

    SEPASANG suami isteri ditahan kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan polis merampas pelbagai jenis bahan itu yang dianggarkan seberat lebih 10 kilogram (kg) dengan nilai setengah juta ringgit di Ipoh, pada Isnin.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suami warga tempatan yang berusia 39 tahun sementara isterinya, warganegara China berusia 37 tahun masing-masing ditahan di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh, pada pukul 7.45 malam.

    “Hasil serbuan pertama pihaknya menemukan dadah disyaki jenis ketamin anggaran berat 8.5 gram (g), lapan biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 3.3g; lima biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 1.35g; dan serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 22.4g,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Ipoh, hari in.

    Katanya susulan itu Jabatan Siasat Jenayah Narkotik Kontinjen Perak menyerbu sebuah lagi rumah pada hari sama di Jalan Medan Ipoh yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan dan membungkus dadah pada pukul 10.25 malam.

    Katanya, hasil serbuan pihak polis menemukan dadah disyaki dadah jenis ketamin 757g; 2,765 biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 1,088g; 15,250 biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 4.33kg; serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 1.02kg; 141 paket serbuk minumam disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 3.43kg.

    Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM538,646 selain turut dirampas adalah sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

    Tambahnya lagi, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan wang tunai turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM41,200.

    Mohd. Yusri berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek suami positif dadah jenis Ketamin, sementara hasil semakan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

    Berdasarkan siasatan yang dijalankan katanya, kedua-dua suspek mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.

    “Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 40,000 orang penagih dadah.

    “Suami isteri itu yang juga penganggur berperanan membungkus dadah berkenaan yang dipercayai diperoleh dari selatan tanah air untuk diedarkan,” jelasnya lagi, lapor Astro Awani.

    Tambahnya kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua saspek direman selama tujuh hari mulai 27 Jun bagi membantu siasatan.

  • ‘Politik ini habis duit, bukan untuk kaya’ – Tuan Ibrahim kenang nasihat Nik Aziz

    ‘Politik ini habis duit, bukan untuk kaya’ – Tuan Ibrahim kenang nasihat Nik Aziz

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Aman pada awalnya sukar membuat keputusan untuk terjun ke bidang politik secara penuh masa atau tidak.

    Menurut bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu berada, bagi memastikan pilihannya tepat beliau meminta nasihat bapa saudaranya, tidak lain dan tidak bukan bekas Mursyidul Am parti itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas lebih sedekad menjadi pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengimbas kembali perbualan mereka yang terjadi menjelang pilihan raya umu (PRU) pada 1999 dalam satu ceramah di Shah Alam, semalam.

    “Saya jumpa Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Minta nasihat, kebetulan pak saudara. Saya kata ‘tok guru tolong nasihatkan saya parti arahkan bertanding. (Dia kata) Tak apa insya-Allah dan nasihatkan saya dua perkara.

    “Yang pertama masuk politik jangan niat nak jadi kaya. Nak kaya (pergi) meniaga, politik (ini untuk) perjuangan. Kita akan habis duit, habis masa, tenaga kita, tak macam orang lain,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

    Tuan Ibrahim Tuan Man

    Menurutnya, Nik Aziz memberitahunya agar bersedia dengan ‘ujian fitnah, serangan, penghinaan, kutukan’ selepas masuk politik.

    “Yang kedua, berjalan di mana-mana biar ada duit dalam poket, boleh tolong orang lain waktu dia tengah susah.

    “Ini dua pesanan daripada Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Sebab itu bagi kita politik ini bukan medan untuk cari kekayaan peribadi.

    “Ya, bukan medan untuk kita kaut keuntungan. Politik ialah perjuangan. Perjuangan kita untuk sama-sama dengan rakyat yang susah…,” katanya lagi.

    Tuan Ibrahim bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka pada PRU 1999 dan menang dalam pilihan raya tersebut. Beliau kini menjadi ahli parlimen Kubang Kerian.

    Pas dan gabungannya, Perikatan Nasional (PN) kini dalam usaha merampas Selangor yang ditadbir PH sejak 2008.

    Selangor serta lima lagi negeri – Negeri Sembilan, Kedah, Penang, Terengganu and Kelantan bakal mengadakan pilihan raya negeri tidak lama lagi, di mana PN dijangka memberi saingan sengit terhadap kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

  • Bicara kes rasuah RM15 juta ‘Datuk Seri’ berkait projek KDN tahun depan

    Bicara kes rasuah RM15 juta ‘Datuk Seri’ berkait projek KDN tahun depan

    PERBICARAAN kes seorang ‘Datuk Seri’ yang dituduh meminta dan menerima RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditetapkan Mei tahun depan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan 6 hingga 17 Mei bagi perbicaraan terhadap Sim Choo Thiam yang didakwa atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada bulan lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta RM15 juta daripada Hep Kim Hong di Jalan Dutamas 1 di Kuala Lumpur pada Jun 2021, lapor FMT.

    Mengikut kertas pertuduhan, rasuah itu bertujuan sebagai dorongan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd, dalam mendapatkan projek daripada kementeriannya.

    Sim turut dihadapkan atas tiga pertuduhan lain membabitkan penerimaan wang tunai RM15 juta daripada Hep antara 19 Julai dan 31 Julai 2021.

    Tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon, Low Wei Loke dan Hannah Kam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad.

  • MUDA dakwa disisihkan Anwar, PH-Syed Saddiq

    MUDA dakwa disisihkan Anwar, PH-Syed Saddiq

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyangkal dakwaan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa mereka membuat keputusan tergesa-gesa dan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution telah mengabaikan tiga surat berkenaan permintaan parti itu untuk mesyuarat ringkas.

    “Namun, bukan sahaja kami dibiarkan tergantung, malah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung Pakatan Harapan menjawab bahawa beliau tiada masa untuk membaca surat kami.

    “Ini di sebalik hakikatnya, pejabatnya pada mulanya bersetuju untuk berjumpa tetapi kemudian membatalkannya sekali lagi pada saat-saat akhir,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan.

    Kaatnya, beliau juga telah cuba menghubungi Anwar dan pegawainya beberapa kali tetapi tidak berjaya.

    “Kami bukan meminta jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang lumayan seperti kebanyakan yang lain dalam kerajaan hari ini. Kami bukan meminta kontrak.

    “Kami hanya mahukan satu mesyuarat supaya kami boleh mencadangkan jalan bergerak ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar berbilang kaum, agama, sederhana dan berpaksikan reformasi.

    “Kamu mahu pembaharuan, Tan Sri? MUDA juga mahukannya,” kata Syed Saddiq.

    Semalam, Lim berkata Muda tidak patut terlalu tergesa-gesa dan seharusnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos nanti bagi memastikan usaha reformasi dapat diteruskan.

    Kenyataan Lim itu susulan pengumuman Syed Saddiq bahawa partinya akan bertanding pada PRN secara solo sekali gus bermaksud MUDA akan bertembung PH dan Barisan Nasional (BN).

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan Anwar tidak mempamerkan pembaharuan, justeru MUDA terpaksa berperanan lebih besar dalam semak dan seimbang.

    Katanya, kepincangan masih belum ditangani dengan jawatan GLC masih digunakan sebagai ganjaran politik dan tiada peruntukan yang adil untuk semua ahli Parlimen.

    Menurut Syed Saddiq kerajaan masih belum menetapkan had penggal untuk Perdana Menteri dan tiada pemisahan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Monopoli dan konsesi utama, katanya, berterusan manakala undang-undang yang menindas masih dikekalkan.

    “Senarai janji-janji palsu tidak berkesudahan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

    Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

    SEORANG bapa bersama anak lelakinya berusia 10 bulan maut dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

    Dalam nahas kira-kira 1.15 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun dari dari Pasir Gudang, Azirul Azeem Mazri meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala, selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

    Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

    Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, yang juga guru dilaporkan selamat.

    Katanya, pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuantan.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah Kuantan menghala Johor Bahru,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat pemandu kereta yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Polis tahan 3 lelaki simpan pelbagai senjata api

    Polis tahan 3 lelaki simpan pelbagai senjata api

    POLIS menahan tiga lelaki kerana menyimpan pelbagai senjata api, peluru, bom asap, bom ikan, gari dan peralatan membuat senjata di Kampung Gemencheh Ulu, Kuala Pilah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, pada 6.30 pagi Isnin lalu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD )Kuala Pilah melakukan serbuan di sebuah rumah di kampung berkenaan susulan maklumat dadah.

    “Menerusi serbuan itu seorang lelaki berusia 30-an berjaya ditangkap.

    “Susulan daripada serbuan pertama itu, pada pukul lebih kurang 7.30 petang sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol dan membuat tangkapan dua lelaki lingkungan usia 40-an.

    “Pemeriksaan ke atas kesemua tangkapan berkenaan menjumpai pelbagai senjata api turutan, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Amran berkata, hasil pemeriksaan dan rampasan membabitkan dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, satu pucuk pistol angin , 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua butir peluru hidup saiz .0.38 special, satu pasang gari, satu butir bom asap, satu butir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan untuk membuat senjata.

    Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan selanjutnya dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya, lapor Harian Metro.