Author: Wartawan WartaRakyat

  • Imigresen buat laporan polis nafi gejala rasuah di KLIA

    Imigresen buat laporan polis nafi gejala rasuah di KLIA

    SATU laporan polis telah dibuat bagi menangkis dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa wujud budaya rasuah dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

    Laporan yang dibuat Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil itu menafikan dakwaan anggota Imigresen meminta wang RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan wanita dari China yang dikenali sebagai Wang Xu.

    “Semasa soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas penginapan semasa berada di Malaysia. Soal siasat serta komunikasi dengan subjek juga agak terbatas kerana subjek hanya boleh berbahasa Cina dan sukar memahami soalan yang diajukan,” kata laporan.

    Dalam pada itu, seorang wanita yang berkomunikasi dengan pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek serta memperkenalkan diri sebagai Emma memberitahu wanita itu datang dengan tujuan menjaga anaknya.

    Sementara itu, laporan memaklumkan kemasukan pelawat yang telah dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

    Dalam pada itu, Syahmi juga mendakwa pegawai bertugas juga tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri meskipun dituduh meminta wang berjumlah RM3,000 melalui ejen untuk dilepaskan.

    “Datuk Seri Tiong King Sing telah hadir ke pejabat operasi imigresen dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penolakan masuk ke atas subjek berkenaan. Beliau juga memarahi pegawai kanan serta penyelia yang menolak kemasukan subjek dan mengatakan “you are the culprit” serta membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan pegawai meminta wang sebanyak RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan subjek masuk ke Malaysia.

    “Beliau juga mengugut akan “membuang pangkat” pegawai berkenaan dan pelbagai kata-kata yang menjatuhkan air muka pegawai di hadapan pegawai lain serta orang awam yang berada dalam pejabat pada ketika itu,” tulis laporan itu, lapor Astro Awani.

    Susulan kejadian tersebut, tindakan notis penolakan masuk telah dibatalkan selaras arahan ketua pengarah dan wanita itu dibenarkan masuk sekitar jam 3 petang keesokannya.

    Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.

    Mengulas lanjut, King Sing berkata beliau hadir di pejabat Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang kelmarin itu selepas menerima terlalu banyak aduan mengenai halangan untuk pelancong masuk ke negara ini.

    King Sing juga mendakwa wanita

  • PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PAKATAN  Harapan (PH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 15 kerusi, menjelang PRN Kedah, kata Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Phahrolrazi Zawawi.

    Katanya, bagaimanapun satu lagi baki kerusi belum diputuskan.

    Beliau berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Amanah lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

    “Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN. Ketika itu Bersatu pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurut laporan itu yang memetik sumber, baki satu kerusi itu merujuk DUN Suka Menanti.

    Phahrolrazi berkata, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

    “Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” katanya.

    Beliau yang sebelum ini bekas Adun Alor Mengkudu menyerahkan kepada parti sama ada PKR akan menamakannya sebagai calon.

    Phahrolrazi sebelum ini merupakan ketua Amanah Kedah, namun dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon pada PRU15.

    “Saya tak berkecil hati (tidak menjadi calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu dimenangi Phahrolrazi pada PRU14 akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

  • Tabung Haji sekali lagi terima anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi

    Tabung Haji sekali lagi terima anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi

    Kerajaan Arab Saudi sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila menyampaikan Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.

    Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu majlis kesyukuran yang dihadiri oleh pelbagai negara di sini pada Jumaat.

    Mohd Na’im dalam pada itu berkata, sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai model terbaik di dunia dan merupakan model pengurusan haji yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa, lapor wartawan Sinar Harian di Mekah.

    “Antara kriteria dan spesifikasi untuk anugerah ini adalah penerapan teknologi untuk menyelaraskan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji, persediaan ibadat dan kursus-kursus haji.

    “Turut dinilai peratusan kadar kepuasan jemaah haji dengan perkhidmatan yang ditawarkan, penilaian perkhidmatan yang disediakan sepanjang musim haji serta penilaian persediaan urusan pra-musim haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Kata Mohd Na’im, ia dapat dilihat melalui kesiapsiagaan TH dalam aspek pengurusan haji di Tanah Suci bagi memberi perkhidmatan terbaik seperti penyediaan prasarana di bangunan penginapan jemaah haji.

    “Turut disediakan prasarana di pejabat perkhidmatan Maktab, pejabat perkhidmatan pelanggan, perkhidmatan kesihatan, penggunaan aplikasi THhujjaj untuk makluman perkembangan terkini di Tanah Suci dan perkhidmatan petugas haji dan pembimbing ibadat haji,” katanya.

    Pada Februari yang lalu, TH telah memenangi Anugerah Labbaittom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam dari Kerajaan Arab Saudi.

    Turut hadir semasa penyampaian anugerah itu ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta Pengurusan TH di Makkah.

  • Jemaah Malaysia selesai laksanakan haji 

    Jemaah Malaysia selesai laksanakan haji 

    SETELAH  menempuh cabaran dan dugaan ketika berada di Tanah Suci, kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia berjaya menyempurnakan ibadah masing-masing pada Sabtu.

    Waktu kemuncak haji iaitu Wukuf di Arafah pada Selasa lalu, kemudiannya bermabit di Mudzalifah dan Mina, melontar di Jamarat, tawaf, saie dan tahalul semuanya berlangsung dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

    Pada musim haji 1444 hijrah ini, sebanyak 50 peratus atau kira-kira 15,800 jemaah Malaysia melakukan Nafar Awal pada Jumaat manakala bakinya melakukan Nafar Thani pada Sabtu, lapor wartawan Sinar Harian di Mekah.

    Nafar Awal ialah (melontar Jamarat pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani ialah (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

    Pada tahun ini, peratusan melakukan Nafar Awal ditingkatkan kepada 50 peratus bagi mengurangkan kesesakan di khemah penginapan jemaah di Mina.

    Selepas ini jemaah akan mula meninggalkan Mekah untuk kembalti ke tanah air dengan penerbangan pertama akan berlepas 5 Julai manakala penerbangan terakhir ialah pada 31 Julai dari Madinah.

    Apabila pulang kelak, jemaah membawa pulang pengalaman cukup berharga dan paling penting ialah kemabruran haji yang paling diimpikan setiap jemaah yang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    Pengurus Ibadah dan Ziarah Tabung Haji (TH), Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman berkata, definisi haji mabrur ialah ibadah yang tidak bercampur dengan perbuatan dosa.

    Beliau berkata, bagi mendapatkan ganjaran haji mabrur, setiap jemaah haji hendaklah mengambil perhatian mengenai apa yang perlu dilakukan selepas menyempurnakan ibadah itu.

    “Bagi mengekalkan kemabruran haji, setiap individu perlu menjauhi perbuatan buruk sama ada dari segi perbuatan yang boleh menyakiti orang lain, menghilangkan keharmonian masyarakat atau menjejaskan alam sekitar dan sebagainya.

    “Mereka juga wajib memelihara lidah masing-masing seperti daripada mengeluarkan ucapan yang buruk, mengadu domba, sumpah palsu, memfitnah, menipu dan mengumpat,” katanya.

    Beliau berkata, haji yang mabrur turut menekankan aspek menghindari perkara yang bersalahan dengan prinsip agama.

  • Hassan minta dedah siapa ‘mafia politik’

    Hassan minta dedah siapa ‘mafia politik’

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan “geng kaya” yang mengugut dan mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan seperti yang didakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai “mafia politik”.

    Hassan berkata, walaupun ugutan itu boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah tetapi beliau mencadangkan perdana menteri tidak perlu menggunakan menggunakan polis dan undang-undang untuk berdepan mereka.

    “Sebaliknya dedahkan mereka ke pengetahuan umum untuk dinilai rakyat,” katanya menurut Berita Harian.

    Katanya, Anwar perlu mendedahkan siapa “geng kaya” itu dan bagaimana mereka boleh memperoleh kekayaan yang luar biasa.

    “Adakah mereka kapitalis kroni? Adakah mereka pemilik monopoli permit import (AP)? Adakah mereka dalam senarai Pandora Papers dan Panama Papers?

    “Adakah mereka pemilik syarikat besar yang pernah di’bailout’ oleh kerajaan? Adakah mereka ada rekod lari dan mengelakkan diri dari membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri? Adakah mereka ada kes rasuah?” katanya.

    Dalam satu ucapan di Pulau Pinang semalam, Anwar mendedahkan ada ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

    “Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya

  • UMNO berada dalam kegelapan selama-lamanya – Khairy

    UMNO berada dalam kegelapan selama-lamanya – Khairy

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan UMNO adalah tempat paling gelap dan parti itu tidak mungkin pulih daripada keadaannya buat masa sekarang.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, parti yang pernah disertainya lebih 20 tahun lalu juga disifatkan berada dalam kegelapan selama-lamanya.

    “Saya tak tahu mengenainya (peluang cerah jika menunggu memasuki semula UMNO atau menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi saya rasa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal. Saya tak pasti (UMNO) dapat pulih daripada (keadaan) ini. Sudah pasti itu parti dekat di hati kerana saya bersamanya lebih daripada 20 tahun, tetapi saya percaya parti itu berada dalam kegelapan selama-lamanya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika hadir program Future Leaders Empowerment Series (FLES) di UCSI University di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

    Khairy turut berkongsi pengalaman memasuki universiti di United Kingdom pada era 1990-an dan bersama dalam program bual bicara itu, Ketua Pengarah Youth Beyond Boundaries, Kingsly Cheah.

    Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.

    Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Khairy hanya menjawab perkara itu sudah dijawab sebelum ini.

    “Saya sudah bercakap mengenainya sebelum ini,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai BERSATU buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

    Khairy bagaimanapun dilaporkan akan memberi sokongan kepada PN, termasuk membantu pakatan politik itu berkempen dalam pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan.

    Sementara itu, Khairy hanya mengatakan beliau akan melihat terlebih dulu ketika ditanya mengenai kemungkinannya bersara daripada dunia politik.

    “Tunggu dan lihat,” katanya ringkas.

  • Ringgit mata wang paling lemah di Asia tahun ini

    Ringgit mata wang paling lemah di Asia tahun ini

    RINGGIT mencatatkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023 sekali gus mendahului kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia, manakala ekuiti negara ini dan Thailand adalah yang terburuk dalam pasaran campuran.

    Sinar Harian yang memetik Reuters melaporkan, berdasarkan rekod pada Jumaat, kebanyakan mata wang Asia pulih daripada kerugian awal, dengan peso Filipina dan baht Thailand mendahului peningkatan dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4 peratus.

    Bagi separuh pertama 2023, ringgit mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara sedang pesat membangun Asia apabila susut 5.8 peratus disebabkan oleh aliran keluar modal.

    Kali terakhir diniagakan adalah pada 4.670 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menghampiri paras terendah dalam lapan bulan.

    “Ringgit mencatatkan prestasi yang kurang baik di Asia berikutan aliran keluar ekuiti asing yang berterusan. Begitupun, peningkatan dari segi pertumbuhan boleh mengubah sentimen dan kita boleh melihat ringgit berbanding dolar AS mengukuh sekitar paras 4.60 hingga 4.70 pada separuh kedua 2023,” kata Ahli Strategi Makro DBS Bank, Wei Liang Chang.

    Pasaran saham tempatan jatuh sehingga 7.7 peratus dalam tempoh sama dan antara negara yang mencatatkan prestasi terburuk di rantau ini.

    Pada minggu depan, Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermesyuarat untuk membuat keputusan berkenaan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Penganalisis di Barclays menjangkakan, bank pusat akan mengekalkan dan tidak mengubah kadar penanda arasnya.

    Sementara itu, baht Thailand jatuh juga hampir tiga peratus tahun ini dan ketika ini berada di paras terendah dalam tujuh bulan.

    Ia kekal berada di bawah tekanan kerana ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu mengalami keadaan tidak menentu untuk memilih Perdana Menteri baharu.

    “Punca utama (kelemahan mata wang Asia berbanding dolar AS) adalah Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), (Jerome) Powell terus membayangkan retorik kadar faedah tinggi, dengan memberikan isyarat sekurang-kurangnya dua kali lagi kenaikan kadar,” kata Ahli Strategi Kanan Asia ANZ, Irene Cheung.

    Sementara itu, yuan China turut susut kepada 7.2615 setiap dolar pada hari Jumaat yang juga merupakan paling lemah sejak 10 November lalu.

  • Kesatuan Imigresen sifatkan kenyataan King Sing hanya mahu alih isu

    Kesatuan Imigresen sifatkan kenyataan King Sing hanya mahu alih isu

    KESATUAN Perkhidmatan imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyifatkan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang  mendakwa berlaku budaya rasuah di pintu masuk negara bertujuan mengalih tumpuan, bagi mengaburi tindakannya mengganggu tugas penjawat awam.

    Presidennya Khairul Niza Khairuddin berkata, bukan sahaja dakwaan dibuat “tidak berasas”, malah sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, King Sing tidak sepatutnya mengganggu tugas penjawat awam.

    Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, yakin pegawai imigresen bertugas mengetahui lebih jelas berhubung “situasi sebenar” yang berlaku.

    Katanya, jika benar dakwaan bahawa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbabit dengan rasuah, ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Ianya bukan dengan membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan sebagai ‘diversion’ atau mengalihkan tumpuan dari isu utama. Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.

    “Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, KPISM bertegas tiada mana-mana pihak seharusnya terbabit dan mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh imigresen dan mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

    “KPISM tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama seperti ini berlaku. Kita juga bersetuju dengan tindakan pihak imigresen yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan,” katanya.

    Semalam, Tiong berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.

    Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

    Katanya, semua maklumat berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.

  • ’Tolong jangan merepek’’ – King Sing bidas desakan Pemuda UMNO mahu beliau dipecat

    ’Tolong jangan merepek’’ – King Sing bidas desakan Pemuda UMNO mahu beliau dipecat

    ISU kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing semakin panas apabila beliau berbalas hujah dengan Ketua Pemuda UMNO Dr.Muhamad Akmal Saleh.

    Ia berikutan tindakan Dr.Muhammad yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat King Sing, bagaimanapun King Sing dalam reaksi menasihatkan pemimpin Pemuda UMNO itu supaya jangan merepek.

    “Jika dia dapat menjadi seorang ahli politik yang baik untuk membantu negara, saya sangat menghargainya. Tetapi jika dia tidak tahu cara menjadi seorang ahli politik, tolong jangan cakap merepek,” kata beliau lapor Malaysiakini.

    King Sing berkata, antara ciri seorang ahli politik yang baik adalah yang dapat menjaga ekonomi negara.

    “Jika anda tidak tahu keseluruhan cerita tentang apa yang sedang berlaku, jangan hanya mengikuti media sosial. Saya patut menuntut supaya dia meminta maaf kepada saya, beritahu dia itu,” katanya semalam.

    King Sing menegaskan, bersedia untuk berdepan dengan Jemaah Menteri susulan dakwaannya mengenai rasuah melibatkan pegawai imigresen.

    “Ya, tiada masalah. Saya boleh katakan, saya tiada isu. Saya tidak mempunyai sebarang agenda. Kerana yang pertama kita mesti memberi keyakinan kepada pelancong dari seluruh dunia untuk datang,” katanya.

    , Dr Muhamad Akmal Saleh

    *Menteri mesti tahu sidang kuasa masing-masing – Dr.Akmal*

    SEMENTARA itu dalam kenyataan terbarunya, Dr.Muhamad Akmal  menasihatkan setiap menteri perlu mengetahui bidang kuasa masing-masing dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan tanpa bukti kukuh.

    Kata beliau, menteri terbabit sewajarnya membawa isu amalan rasuah yang didakwa melibatkan pegawai imigresen ke Jemaah Menteri dan bukan mengambil tindakan sendiri.

    “Dan sekiranya ada sekali pun unsur-unsur rasuah, menteri seharusnya mempunyai banyak cara dan yang paling berkesan adalah boleh terus berhubung dengan menteri Kementerian Dalam Negeri dan bawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

    “Bukan masuk dan marah sesuka hati pegawai yang sedang bertugas dan menuduh pegawai tanpa bukti yang kukuh. Mereka juga ada hati dan perasaan yang perlu dijaga,” katanya.

  • Hujan lebat; beberapa kawasan di Pulau Pinang banjir kilat, pokok tumbang

    Hujan lebat; beberapa kawasan di Pulau Pinang banjir kilat, pokok tumbang

    BEBERAPA kawasan di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilanda kejadian banjir kilat dan pokok tumbang awal pagi ini akibat hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sejak tengah malam tadi.

    Antaranya kawasan yang terjejas adalah di kawasan Flat Indah di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang yang mana hujan lebat bermula pukul 3.30 pagi tadi itu menyebabkan air sungai yang terletak bersebelahan dengan flat tersebut melimpah.

    Selain kawasan flat itu, beberapa buah rumah di kawasan perumahan kampung nelayan di situ turut dilanda banjir kilat.

    Bagaimanapun banjir mula surut sepenuhnya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, namun penduduk masih dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan masih berterusan.

    Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan memaklumkan, kira-kira pukul 9 pagi tadi, beberapa tempat di sekitar daerah Timur Laut mengalami kenaikan paras air dan air bertakung disebabkan hujan berterusan sejak semalam.

    Antara kawasan terlibat, katanya, adalah di Jalan P. Ramlee; Jalan Langkawi (Kebun Lama); Taman Rampas (Sungai Pinang); Jalan Perak; Lilitan Stadium dan Persiaran Perak (Astaka Stadium).

    “Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan dan berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

    Selain itu, MBPP memaklumkan turut berlaku kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan antaranya di kawasan Jalan Loh Poh Heng, Paya Terubong serta laluan di sebelah Recsam menghala ke Jalan Tun Sardon.

    ”Tindakan segera sedang dijalankan dan laluan tersebut akan dibuka kepada kegunaan orang awam dalam masa terdekat setelah kerja-kerja pembersihan selesai dan selamat,” katanya.