Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

    Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

    PENGGUNA jalan raya yang disaman ekoran melakukan kesalahan lalu lintas di sekitar ibu negara tidak akan diberikan diskaun bayaran saman, itu ketegasan yang disuarakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain.

    Beliau berkata, perkara itu perlu bagi tujuan mendidik pengguna jalan raya di ibu kota.

    “Sepanjang saya menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak akan ada sebarang diskaun atau pengurangan.

    “Dalam mendidik, kita harus konsisten dalam apa yang kita nak laksanakan,” katanya selepas mengetuai Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, pagi ini.

    Walau bagaimanapun, Mohd. Shuhaily mengatakan apa jua keputusannya nanti, beliau akur, namun secara perbadi tiada diskaun akan diberikan.

    Polis Kuala Lumpur hari ini menjayakan operasi itu yang bermula sejak Sabtu lalu sehingga 31 Julai ini yang melibatkan 16 kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

    Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh.

    Menurut Mohd. Shuhaily, operasi itu adalah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang trafik.

    “Saya tegaskan operasi ini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya supaya kita sama-sama memartabatkan Kuala Lumpur sebagai kota yang patuh undang-undang jalan raya.

    “Jika kita dapat wujudkan satu contoh pemanduan yang baik, saya harap budaya ini dapat dipanjangkan ke negeri-negeri lain,” ujarnya.

    Tambahnya, antara tiga kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah, melanggar lampu isyarat merah, membuat pusingan-U di kawasan tidak sepatutnya, dan memberhentikan kenderaan dalam petak kuning.

    Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Seperti yang berlaku tadi, seorang pengguna menekan hon kepada seorang lagi pengguna untuk terus jalan sedangkan lampu isyarat merah dengan alasan sebelum ini boleh berbuat demikian.

    “Bagi sebilangan pengguna di Kuala Lumpur, lampu isyarat merah ibarat lampu hijau. Jadi itu apa yang kita mahu martabatkan kembali,” katanya lagi.

    Mohd. Shuhaily menegaskan, bahawa operasi yang dijalankan pada waktu puncak pagi tadi bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya yang sedang berpusu ke tempat kerja masing-masing.

    “Ini kali pertama pihak polis trafik Kuala Lumpur menjalankan operasi pada waktu puncak. Namun, pada saya kesalahan yang dilakukan pada waktu puncak adalah begitu kerap sekali.

    Sebahagian daripada motosikal yang ditahan anggota polis selepas melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita juga faham dan tidak mahu menyusahkan orang ramai pada masa yang sama. Kita perlu korbankan sedikit demi mengembalikan martabat undang-undang kita,” ujarnya.

    Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran lalu lintas ketika operasi dijalankan pada waktu puncak, pihaknya menyediakan dua pasukan iaitu pasukan penguatkuasa dan pasukan mengawal lalu lintas.

    Antara 16 kawasan itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Semarak, Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Dang Wangi, Persimpangan Jalan Raja Laut, dan Persimpangan Jalan P. Ramlee.

    Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Selain itu, Jalan Raja Chulan, Persimpangan Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Tuan, Jalan Pudu , Jalan Yap Kuan Seng dan Jalan Dewan Bahasa.

    Operasi itu berkonsepkan penguatkuasaan yang lebih tegas dan tersusun membabitkan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

  • Wanita cedera dilibas parang lelaki bertopeng

    Wanita cedera dilibas parang lelaki bertopeng

    SEORANG wanita cedera di dagu selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki bertopeng yang memecah masuk kediamannya di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pukul 12.50 tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semasa kejadian mangsa berusia 50-an sedang tidur di bilik.

    Katanya, anggota Balai Polis Teluk Sengat, Kota Tinggi menerima laporan berkaitan kejadian samun pada pukul 3.31 petang semalam.

    “Seorang suspek bertopeng memasuki kediaman dengan bersenjatakan parang dan cuba menekup mangsa.

    “Mangsa terjatuh ke lantai sebelum berlaku pergelutan hingga suspek bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa serta mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di dagu.

    “Ketika kejadian suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

    Hussin berkata, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dikenakan denda atau sebatan, lapor Berita Harian.

    Orang awam yang memiliki sebarang maklumat berkaitan suspek diminta menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek menerusi talian 017-7183778 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Hantar video lucah, bekas ahli lembaga pengarah KLSCAH didenda RM6,000

    Hantar video lucah, bekas ahli lembaga pengarah KLSCAH didenda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng kerana mengaibkan kehormatan anak seorang pemimpin veteran MCA dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas Yeo, 69, menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes pada 28 Jun lalu dan lelaki itu diperintahkan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Tertuduh membayar denda tersebut, lapor FMT.

    Yeo didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Wong Pei Huan, 53, di Suite 5.05-5.10, Tingkat 5, Plaza Imbi antara 23 Mei dan 16 Jun 2021, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala tertuduh diwakili peguam Kitson Foong.

  • Kumpulan anti tembakau, hak asasi kanak-kanak saman menteri kesihatan

    Kumpulan anti tembakau, hak asasi kanak-kanak saman menteri kesihatan

    BADAN pemikir kesihatan dan hak asasi kanak-kanak memfailkan saman terhadap Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa dan kerajaan kerana menyahsenaraikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 walaupun mendapat bantahan keras daripada penyokong dasar kesihatan awam. 

    CodeBlue melaporkan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), yang mewakili lebih 40 pertubuhan, Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA), dan Voice of the Children (VoC) memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun.

    Mereka memohon perintah untuk membatalkan nyahsenarai cecair nikotin sebagai racun berjadual.

    Mereka juga memohon penangguhan prosiding atas perintah itu, sementara menunggu pendengaran. 

    Mereka juga mendakwa bahawa Zaliha melanggar Akta Racun dengan mengenepikan Lembaga Racun berhubung perkara itu, dan menyahsenaraikan cecair nikotin cecair adalah bertentangan dengan objektif dasar Kementerian Kesihatan sendiri, dikenali sebagai Rang Undang-undang ‘generasi penamat’ yang melarang produk tembakau, rokok elektronik dan vape dijual kepada mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007.

    Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang dibentangkan Khairy Jamaluddin sebelum ini masih belum diluluskan di Parlimen.

    Menurut MCTC, MGLA, dan VoC dalam pemfailan mahkamah mereka adalah ‘tidak jelas’ bila rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua atau diluluskan, tambah CodeBlue.

    Mendakwa penyahsenaraian cecair nikotin akan ‘menghalalkan’ mana-mana tahap kandungan nikotin dalam vape dan e-rokok memandangkan kekurangan perundangan mengenai perkara itu, mereka juga berkata perintah yang diwartakan oleh Zaliha serta kuasa untuk berbuat demikian tidak mengikut Perlembagaan.

    Mereka juga berkata, penyahkawalseliaan cecair nikotin melanggar komitmen antarabangsa Malaysia, memetik Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak.

    Zaliha mengumumkan pengecualian itu pada 30 Mac, sekali gus berdepan bantahan daripada Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Galen Centre.

    Industri vape dianggarkan bernilai RM2.49 bilion setakat Februari tahun ini, dan dijangka terus berkembang. 

    Pada 13 Jun lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 merekodkan peningkatan dalam vape atau penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.

    Ia berkata peningkatan ketara itu turut direkodkan dalam kalangan remaja perempuan, daripada 2.8% pada 2017 kepada 6.2% pada 2022 lapor Malaysianow.

  • PM perlu minta maaf gagal turun harga minyak – Nazree

    PM perlu minta maaf gagal turun harga minyak – Nazree

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memohon maaf kepada rakyat kerana gagal menurunkan harga minyak seperti mana yang pernah dijanjinya sebelum ini.

    Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, tidak ada alasan lagi untuk Anwar menunaikan janjinya kerana beliau kini sudah menjadi Perdana Menteri yang diidam-idamkan selama ini.

    “Kalau dia (Anwar) bagi tempoh 24 jam nak turun minyak jika berkuasa dan malam ini (Ahad) kita bagi dia tempoh 24 jam mesti mohon maaf kepada rakyat kerana gagal tunai janji.

    “Ia kerana dua alasan diberi. Pertama dia sebut jika menang akan turun harga minyak 24 jam, tapi bila ditanya dulu, dia jawab belum menang lagi.

    “Pada 2018, Pakatan Harapan(PH) menang, dia jawab dia bukan Perdana Menteri dan apabila sudah menang dan jadi Perdana Menteri dan jadi Menteri Kewangan pula, apa lagi alasan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Markas Pas Port Dickson malam tadi.

    Ujar Mohd. Nazree, meskipun sudah masuk lapan bulan memerintah negara, namun sehingga kini tiada satu pun janji popular yang dilaungkan sebelum ini telah dilaksanakan.

    Beliau turut menuntut Perdana Menteri memaklumkan kepada rakyat tentang formula menurunkan harga minyak dan bila ia boleh dilaksanakan.

  • Tragedi kepala air: 7 lagi mayat ditemukan

    Tragedi kepala air: 7 lagi mayat ditemukan

    TUJUH lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air di Sungai Teladas, Air Putih, Chukai, ditemui hari ini.

    Ini menjadikan keseluruhan mangsa ditemui setakat ini adalah sembilan orang termasuk dua beranak yang ditemui semalam.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, penemuan tujuh mayat itu di sektor A dan B kawasan pencarian.

    Harian Metro semalam melaporkan, dua beranak ditemui mati lemas sementara lapan lagi mangsa hilang dalam kejadian kepala air dipercayai berlaku petang kelmarin.

  • Guru rugi RM30,000 rantai emas diragut

    Guru rugi RM30,000 rantai emas diragut

    SEORANG guru kerugian RM30,000 selepas rantai emasnya diragut lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Mok Hee Kiang, Mentakab.

    Bagaimanapun, mangsa wanita berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan, dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari semalam.

    Timbalan Ketua Polis Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan bersama anaknya menuju ke kereta diletakkan di tepi jalan sebaik selesai membeli barang.

    Katanya, mangsa kemudian dihampiri lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis Yamaha Y16 sebelum meragut rantai emas dipakainya.

    “Selepas meragut barang kemas mangsa, suspek yang berpakaian jaket hitam dan bertopi keledar kelabu segera melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan, suspek menggunakan motosikal Yamaha Y16 warna perak namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.

    “Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • SPR mesyuarat Rabu bincang tarikh PRN

    SPR mesyuarat Rabu bincang tarikh PRN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini bagi membincangkan tarikh PRN enam negeri.

    SPR dalam satu kenyataan memberitahu, mesyuarat akan diadakan di Putrajaya itu dipengerusikan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

    Mesyuarat itu turut menyentuh tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

    “Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut,” menurut kenyataan itu, lapor FMT.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Enam negeri itu masing-masing membubarkan DUN iaitu Kelantan pada 22 Jun, Selangor (23 Jun), Kedah dan Pulau Pinang (28 Jun), Terengganu 30 Jun dan Negeri Sembilan (1 Julai).

  • Kenyataan biadab:Zaki Yamani mohon maaf

    Kenyataan biadab:Zaki Yamani mohon maaf

    INDIVIDU yang tular dengan ciapan biadab mendoakan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, tampil membuat permohonan maaf.

    Pengguna Twitter, Zaki Yamani menulis permohonan maaf terbuka kepada isteri dan keluarga Abdul Hadi.

    “Mengambil perhatian ciapan PM @anwaribrahim dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini menggores perasaan,” katanya menerusi ciapan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin, Zaki menulis ciapan biadab terhadap kesihatan Abdul Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kesal dengan tindakan seorang pengguna media sosial berkongsi ciapan berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi yang merosot dan sedang dirawat di hospital.

    Dalam sebuah ciapan di Twitter, Anwar menggesa pengguna berkenaan, Zaki Yamani memohon maaf atas hantarannya itu.

  • Ahli UMNO akan sokong PN di enam negeri dalam PRN

    Ahli UMNO akan sokong PN di enam negeri dalam PRN

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin ahli UMNO akan menyokong kuat Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri(PRN) di enam negeri nanti.

    Jelasnya, ini kerana ramai yang masih tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan UMNO sekarang.

    “Kedah, Kelantan dan Terengganu, orang UMNO tidak akan menyokong UMNO sendiri, tapi sokong PN. Di situ, kita akan menang cantik.

    “Di Selangor, UMNO akan sokong PN dan Pulau Pinang pun kita sedang bertarung hebat. Tak akan bagi ‘can’ punya. Silap-silap kita memerintah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Markas Pas Port Dickson semalam.

    Beliau turut menyatakan keyakinan sama yang senario itu akan berlaku di Negeri Sembilan.

    Jelas Shahidan, ia terbukti berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu apabila beliau menang 31,458 undi yang mana selebihnya diundi oleh ahli UMNO.

    “Di Arau, Perlis ahli Pas 11,000 dan Bersatu 3,000 dan saya dapat 31,458. Siapa yang sokong saya? Di anggar yang menyokong hebat adalah orang UMNO.

    “UMNO sekarang sedang dihina oleh rakyat. Bila bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kata UMNO parti korup, hampa tak malu ke,” soalnya.

    Beliau turut mempunyai anggapan sama dan mendakwa menerima mesej rintihan daripada rakan-rakannya daripada parti UMNO yang kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti itu sekarang.

    Malah katanya, UMNO sebenarnya tahu akan keadaan itu tetapi berada dalam sindrom penafian dan mengeluarkan kenyataan kononnya ahli mereka sudah menerima sekadar untuk menyedapkan hati.

    “Untuk berada dalam Kerajaan Madani ini pun bukan kerelaan mereka, ramai tak setuju. Hati mereka sangat sakit dan saya minta janganlah menipu diri,” katanya, lapor Sinar Harian.