Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video bogel

    Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video bogel

    SEORANG mekanik kerugian RM200,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya oleh seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Yaya’ di Kuala Kangsar semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang berusia 30 tahun mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.

    Beliau berkata, suspek meminta mangsa menerima panggilan video dengan alasan ingin menunjukkan sesuatu ‘istimewa’.

    “Setelah menerima panggilan itu, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan bogel dan melakukan aksi ghairah.

    “Mangsa yang terpengaruh turut sama berbogel dan melakukan aksi tidak senonoh bersama suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mangsa tidak menyedari perbuatannya itu dirakam hinggalah suspek menghantar rakaman itu sebelum menamatkan panggilan.

    “Mangsa diugut supaya memberikan wang dan sekiranya enggan, suspek akan menyebarkan video rakaman itu di media sosial.

    “Mangsa kemudiannya memindahkan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian ke lima akaun berbeza,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baharu dikenali di media sosial dan seterusnya menjadi mangsa jenayah pemerasan.

  • Tuduhan melampau, macam saya bunuh isteri saya-Shuib

    Tuduhan melampau, macam saya bunuh isteri saya-Shuib

    PELAWAK dan penyampai radio Shuib menyifatkan tuduhan mengenai isterinya Allahyarham Siti Sarah yang ditidurkan sebagai salah satu agenda Freemason adalah fitnah melampau sehingga memberi kesan terhadap anak-anak dan keluarganya.

    Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, bagaimanapun bertindak memaafkan salah seorang individu yang memfitnah iaitu Zulhairi Othman, 35, yang mencetuskan isu tersebut pada sidang media tergempar di Cheras, hari ini.

    Jelas Shuib, dakwaan yang mengatakan dia memaksa Siti Sarah ‘ditidurkan’ atas arahan dakyah organisasi tertutup Freemason adalah satu tuduhan bersifat dangkal.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media bersama pengguna media sosial, Zulhairi Abu Osman berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya masih boleh terima bila dituduh ahli Freemason walaupun tuduhan itu tak betul 100 peratus.

    “Bila pemfitnah itu libatkan pula arwah isterinya ‘ditidurkan’ atas arahan pertubuhan itu, ia tuduhan sangat bodoh dan melampau.

    “Tuduhan itu akan mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai sedangkan saya yang menghantar arwah ke hospital dan saya jugalah yang menjadi orang terakhir melihat arwah sebelum ditutup dengan pembungkus plastik mayat.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media bersama pengguna media sosial, Zulhairi Abu Osman berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Arwah dia dijaga baik oleh doktor dan jururawat. Jadi macam mana pula boleh timbul isu saya bunuh Sarah?,” katanya lapor Utusan TV.

    Sidang media yang berlangsung hampir sejam itu pada awalnya sedikit tegang dan Shuib dilihat agak beremosi namun mampu dikawal selepas melihat Zulhairi yang menunjukkan kekesalan atas khilaf yang dilakukan.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tambah Shuib, beliau membuat keputusan untuk menerima permohonan maaf Zulhairi disebabkan sifat ikhlas pemuda itu.

    “Saya maafkan dia kerana dia berani, ‘gentle’ dan ada usaha untuk mencari saya serta mengaku kesalahan dia.

    “Semalam dia pun mahu mencari saya. Lepas saya hubungi dia, saya nampak dia seorang yang naif.

    “Kalau ikutkan memang saya marah tapi saya ada sifat perikemanusiaan. Saya pun fikir dia ada anak-anak dan isteri serta kerjaya.

    “Saya maafkan dia dan beri peluang untuk dia jelaskan apa tujuan di sebalik hantaran yang dia lakukan itu,” katanya.

  • Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

    Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

    SEORANG wanita terkejut dan tidak menyangka bunyi kuat yang disangkanya daripada budak bermain mercun rupanya beberapa das tembakan yang dilepaskan ke rumahnya di kediamannya di Bagan Serai, awal pagi tadi.

    “Saya sangkakan budak nakal main mercun tapi takkan pada waktu pagi,” kata pemilik rumah berusia 50-an itu yang enggan dikenali.

    Dalam kejadian 2.50 pagi itu, mangsa baru keluar dari bilik air sebelum terdengar bunyi letupan di pekarangan rumah yang sangkanya ada orang bermain mercun.

    Dia berkata, sebaik melihat keluar tingkap, mendapati seorang lelaki bertopeng dan memegang senjata dipercayai pistol melepaskan tembakan rambang.

    “Saya segera mengejutkan suami yang tidur dan menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya ditemui pagi tadi, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, suaminya juga berusia 50-an adalah pengusaha kerang dan tidak mempunyai sebarang musuh.

    Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

    “Turut ditemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm. Dalam kejadian itu, mangsa tinggal bersama suami dan empat anak,” katanya.

    Beliau berkata, suspek yang menunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa dan polis masih menyiasat motif kejadian.

    “Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di nombor talian 0132604403 atau balai polis berhampiran,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

  • Polis cari lelaki lepaskan tembakan di kawasan perumahan

    Polis cari lelaki lepaskan tembakan di kawasan perumahan

    POLIS sedang menjejaki seorang lelaki tidak dikenali, yang dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah rumah di kawasan perumahan Kuala Gula, dekat Kerian, awal pagi ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik rumah berkenaan mengenai kejadian tersebut, kira-kira pukul 3 pagi.

    Menurutnya, hasil siasatan di lokasi, mendapati pengadu, seorang peniaga kerang yang berusia 56 tahun, tinggal di rumah itu bersama isteri dan empat anaknya.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

    “Mangsa dan keluarga bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di Kerian, Perak, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mohd. Yusri berkata, pemeriksaan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mendapati beberapa kesan tembakan dan menjumpai lima kelongsong peluru kaliber 9mm.

    Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek adalah seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal, telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

    Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan mendalam mengenai motif kejadian itu dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.

    Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Kerian, Inspektor Mohd Zulhimi Dohan di talian 013-260 4403 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

  • Koperal didenda RM30,000 terima rasuah

    Koperal didenda RM30,000 terima rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3,600.

    Mohd. Hanif Mohamad, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh di Melaka, antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan penjawat awam dan perlu menjaga nama baik kerajaan.

    Peguam bela tertuduh, Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman denda dikenakan atas alasan tertuduh perlu menyara isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu yang uzur dan adik beradik yang masih belajar selain tertuduh hanya bekerja sebagai penjual ikan selepas ditahan.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda itu, lapor Sinar Harian.

  • ‘Saya bukan boneka sesiapa’- Anwar balas dakwaan Tun M kerajaan akur pada DAP

    ‘Saya bukan boneka sesiapa’- Anwar balas dakwaan Tun M kerajaan akur pada DAP

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membalas semula kenyataan yang membayangkan beliau tunduk kepada mana-mana pihak.

    Ini setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan pimpinan Anwar terikat dengan DAP kerana parti itu memiliki anggota parlimen yang ramai.

    “Ada dibahaskan (kata) kita tunduk kerana dokongan parti berasaskan Cina, DAP yang menguasai (kerajaan).

    “Perdana Menteri adalah saya, saya bukan boneka sesiapa.

    “Alhamdulillah umur (saya) akan cecah 76 tahun. Saya tak boleh dibeli dengan wang ringgit, kalau boleh dibeli saya dah melencong lama dah,” katanya dalam forum di Putrajaya, hari ini, lapor Malaysiakini.

  • Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

    Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

    SEORANG kerani wanita terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, melepas dan membebaskannya daripada tujuh pertuduhan mengedar 59.98 gram dan memiliki lebih 0.5 kilogram dadah berbahaya, tiga tahun lalu.

    Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Siti Aisah Noordin, 35,.

    Ketika membaca keputusan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Azhar berkata, mahkamah mengambil kira keterangan saksi-saksi pendakwaan berhubung maklumat serbuan kejadian.

    “Bagaimanapun, pihak pendakwaan didapati gagal untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi sedangkan dia ditangkap bersama tertuduh, ini menyebabkan kelompangan dalam kes.

    “Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sejurus keputusan, dia yang memakai baju hitam dalam keadaan bergari, kelihatan tersenyum selepas dibenarkan keluar dari kandang tertuduh.

    Mengikut satu pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 59.98 gram.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati.

    Bagi enam pertuduhan lain, dia didakwa ada dalam milikannya dadah jenis ketamine seberat 407.22 gram, MDMA (0.76 gram), Nimetazepam (1.1 gram), Methamphetamine (16.86 gram) dan Clozapine (90.98 gram).

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Dia juga boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat antara tiga hingga sembilan kali.

    Pertuduhan turut dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Semua kesalahan didakwa dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara di Kuala Lumpur, pada 20 April 2020 lalu.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala tertuduh diwakili peguam, Maanveer Singh.

    Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sejak prosiding perbicaraan bermula 29 Mei lalu.

  • Calon lama tarik diri, beri laluan orang muda-Samsuri

    Calon lama tarik diri, beri laluan orang muda-Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan terdapat calon lama yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Jelas beliau yang merupakan Menteri Besar Terengganu, ini bagi memberi laluan kepada muka baharu.

    Namun Ahmad Samsuri tidak memperincikan latar belakang calon berkenaan dan memberitahu ia masih dalam pertimbangan kepimpinan tertinggi parti.

    “Ada di sesetengah tempat, saya tak boleh sebutlah di mana tapi calon yang dah jadi ADUN menawarkan untuk tidak bertanding bagi memberi ruang kepada muka-muka baharu.

    “Bagi saya ia adalah sesuatu yang unik sebab di sesetengah tempat orang duduk berebut-rebut nak jadi calon. Syukurlah kita di Terengganu wujud budaya yang lebih harmoni,” katanya.

    Beliau berkata demiian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit di Kuala Nerus hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan calon muka baharu dan muka lama pada PRN kali ini.

    Namun, katanya, setakat ini senarai calon belum dimuktamadkan dan akan diputuskan tidak lama lagi.

    “Saya sendiri pun tak tahu (sama ada dicalonkan ke tak) walaupun saya Naib Presiden Parti.

    “Apa yang penting kita masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menang besar dan mentadbir dengan penuh yakin,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan sepanjang tempoh mentadbir Terengganu.

    “Ahli-ahli MMKN kita cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan portfolio yang dipegang serta tahu bagaimana bekerja sebagai sebuah pasukan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar pada 28 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.

  • Polis nafi anak ahli politik PH ditahan kes dadah di Langkawi

    Polis nafi anak ahli politik PH ditahan kes dadah di Langkawi

    POLIS menafikan terdapat anak seorang ahli politik kanan ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Langkawi, minggu lepas.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari mengesahkan terdapat serbuan dibuat.

    Bagaimanapun, katanya, hanya dua individu ditahan.

    “Dalam pemeriksaan tersebut dua orang lelaki tempatan ditahan kerana positif dadah dan dua lelaki tempatan ini tiada hubungan keluarga dengan mana-mana ahli politik di Malaysia.

    “Saringan air kencing ke atas lain-lain pengunjung adalah negatif dan mereka tidak ditahan di lokap,” katanya.

    Beliau tidak mengulas soalan sama ada anak menteri turut terlibat.

    Penjelasan itu dibuat selepas media sosial Edisi Siasat memuat naik dakwaan laporan polis mendakwa anak seorang menteri antara yang ditahan.

    Edisi Siasat mendakwa ia adalah platform pembocor maklumat berkaitan hal ehwal pasukan polis.

    Dakwaan itu antaranya menyebut anak lelaki menteri berumur 34 tahun dan tiga individu lagi berada dalam bilik orang kenamaan (VIP), tempat polis menjumpai ganja dan kokain.

    Malaysiakini telah menghubungi ahli politik Pakatan Harapan (PH) itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

  • ‘Swing’ PN mula reda, data tunjuk saingan sengit di Kedah dan Kelantan, dakwa Rafizi

    ‘Swing’ PN mula reda, data tunjuk saingan sengit di Kedah dan Kelantan, dakwa Rafizi

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa ‘swing’ yang diterima Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah mula mereda pada kadar yang signifikan.

    Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa, corak perubahan itu berdasarkan data kajian setakat Jun lalu, yang mana data tersebut, katanya akan didedahkan dalam masa terdekat menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Data ini menunjukkan bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada dalam keadaan selesa.

    “Data setakat bulan Jun menunjukan ia semakin mereda. Jadi kalau berdasarkan angka itu dia (PN) tidak banyak kredibiliti kalau PN ingin mendakwa bahawa mereka semakin hampir ambil alih Kerajaan Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang.

    “Setakat ini, data-data seperti ini tidak berbeza dengan keputusan-keputusan pilihan raya yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi bersama Warga Kementerian Ekonomi di Putrajaya hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa data tersebut juga menyaksikan keadaan sengit dijangka berlaku di dua negeri pembangkang iaitu Kedah dan Kelantan pada PRN akan datang.

    “Sebab itu saya ingat sebahagian dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh PN ini adalah juga untuk menutup kebimbangan mereka sendiri bahawa keadaan itu sebenarnya yang akan sengit bukan di Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang, tetapi sebenarnya di Kedah dan Kelantan,” tambah Rafizi.

    Sebelum ini, Astro Awani melaporkan Rafizi akan mengemukakan data bagi membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) lebih mendapat sokongan berbanding PN.

    Katanya, data yang bakal didedahkannya itu sekali gus akan membuktikan bahawa dakwaan yang dibuat oleh PN adalah tidak berasas.

    Daripada enam negeri yang bakal mengadakan PRN, tiga negeri di bawah pentadbiran PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala tiga negeri lagi dikuasai oleh pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN di enam negeri selepas Mesyuarat Khas esok.