Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Swing besar’ atau liabiliti besar kerajaan PH-BN

    ‘Swing besar’ atau liabiliti besar kerajaan PH-BN

    Oleh DATUK MARZUKI MOHAMAD

    DATUK Seri Anwar Ibrahim membuat ramalan bahawa gabungan PH-BN bakal merampas dua negeri pembangkang dalam PRN akan datang. Negeri-negeri pembangkang ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu. Yang mana dua itu tidak dinyatakan.

    Biasanya dalam membuat ramalan keputusan pilihanraya kita lihat baseline undi bagi setiap parti, iaitu jumlah undi yang diperolehi oleh PN, BN dan PH dalam pilihanraya yang terdekat, iaitu PRU 15 pada bulan November 2022. Cuma oleh kerana PH dan BN sudah bergabung, ada dua situasi yang bakal terjadi.

    Pertama, situasi di mana berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara PH dan BN, iaitu 100% pengundi BN dalam PRU 15 akan mengundi calon-calon PH dan begitulah juga sebaliknya 100% pengundi PH akan mengundi calon PN. Dalam situasi ini baseline PH-BN ialah jumlah undi PH campur jumlah undi BN yang diperolehi dalam PRU 15.

    Kedua, tidak berlaku full-vote transferability antara PH dan BN, iaitu pengundi BN tidak semestinya mengundi calon PH dan begitulah juga sebaliknya. Dalam situasi ini baseline gabungan PH-BN agak sukar untuk diramal melainkan ada kajian khusus mengenai vote transferability di ketiga-tiga negeri ini. Yang pasti, jika inilah keadaannya, baseline gabungan PH-BN akan menjadi lebih rendah daripada jumlah keseluruhan undi yang diperolehi oleh kedua-dua parti tersebut.

    Saya tidak membuat kajian di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Jadi, saya tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan mengenainya. Namun, sekadar untuk rujukan, kajian saya di Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan tidak berlaku full vote transferability antara PH dan BN.

    Untuk tujuan penulisan ini, saya andaikan berlaku full-vote transferability antara PH dan BN supaya mudah kita buat kiraan.

    Vote transferability tidak menjadi isu bagi PN kerana PN tidak membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik lain. Jadi kita terima jumlah undi PN dalam PRU 15 sebgai baseline undi parti itu.

    Jadi, mari kita lihat apa baseline undi parti-parti ini.

    Di Kedah, jumlah undi yang diperolehi PN dalam PRU 15 ialah 664,720 (56%). Manakala undi yang diterima BN ialah 235,353 (20%) dan PH 281,523 (24%). Jumlah undi PH campur BN ialah 516, 876, iaitu kurang 147, 844 undi berbanding jumlah undi yang diterima PN. Ini bermakna, jika berlaku full vote transferability pun, gabungan PH-BN masih belum dapat tawan Kedah.

    Untuk tawan Kedah, tanpa mengira peratusan keluar mengundi dan pertambahan pengundi baharu, gabungan PH-BN perlu memastikan berlaku swing lebih kurang 75,000 pengundi PN yang beralih menyokong PH-BN, di samping memujuk 100% pengundi BN supaya mengundi PH dan 100% pengundi PH mengundi BN.

    Dalam PRK Padang Serai baru-baru ini, hal ini tidak berlaku. Yang terjadi ialah pengundi-pengundi BN mengundi calon PN menyebabkan PN menang kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti besar 16,260 undi menewaskan calon PH. Untuk rekod, Padang Serai adalah antara kubu kuat PH.

    Di Kelantan, jumlah undi yang diterima PN ialah 631,201 (64%), BN 265,666 (27%) dan PH 87,293 (9%). Di Terengganu pula, jumlah undi yang diterima PN ialah 461,509 (62%), BN 234,392 (32%) dan PH 40,645 (5%).

    Tuan-tuan boleh kira sendiri jumlah undi gabungan PH-BN dan berapa jumlah ‘swing vote’ yang diperlukan untuk mereka tawan Kelantan dan Terengganu. Soalnya, jika berlaku sekalipun full-vote transferability antara PH dan BN (yang saya sangsi), adakah akan berlaku swing pengundi PN kepada PH-BN?

    Yang kita dengar ialah ramai orang UMNO tidak puas hati dengan kepimpinan parti mereka sendiri membentuk kerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP. Kemungkinan berlaku undi protes dalam kalangan penyokong UMNO dalam PRN nanti tidak boleh ditolak.

    Selain itu, tidak ada apa-apa ‘feel good factor’ yang boleh menjadi sebab swing pengundi PN kepada PH. Masalah kenaikan harga barang dan inflasi, kenaikan tarif elektrik, kenaikan OPR, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain yang berkaitan dengan ekonomi dan kos sara hidup rakyat masih tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN.

    Rakyat masih belum nampak perancangan jelas kerajaan PH-BN untuk mengatasi masalah ekonomi yang membelenggu rakyat dan negara pada masa ini. Ini liability paling besar PH-BN.

    Justeru, apa pun yang diramal oleh Perdana Menteri, saya sangsi ada swing besar pengundi PN kepada PH-BN yang membolehkan gabungan parti itu menawan Kedah, Kelantan atau Terengganu dalam PRN nanti.

    Penulis adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan

  • ‘’Kementerian Kewangan pernah tekan saya gugurkan nikotin daripada Akta Racun’’ – dedah Khairy

    ‘’Kementerian Kewangan pernah tekan saya gugurkan nikotin daripada Akta Racun’’ – dedah Khairy

    KHAIRY Jamaluddin mendedahkan ketika menjadi Menteri Kesihatan, beliau pernah ditekan oleh Kementerian Kewangan supaya mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    “Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan mengutip cukai,” katanya dalam episod terbaru audio siar “Keluar Sekejap” yang dihoskan bersama Shahril Hamdan.

    Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mengutamakan keselamatan dan kesihatan awam berbanding mengutip sedikit cukai.

    “Saya dahulu (ketika menjadi menteri) diberi tekanan daripada Kementerian Kewangan (untuk nyah senarai produk nikotin), sebab bila kita nyah senarai, boleh kutip cukai.

    “Tetapi sebagai menteri kesihatan, kita kena ‘stand our ground’. (Kita harus) pastikan kita jaga keselamatan dan kesihatan awam yang (boleh) mengundang kos yang lebih besar sekiranya vape, hisap rokok dibenarkan berleluasa,’’ katanya lapor FMT.

    Khairy berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga NGO kesihatan dan kepentingan kanak-kanak mengemukakan permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Malaysian Green Lung Association dan Voice of the Children memfailkan permohonan itu melalui firma guaman, Kanesalingam & Co pada Jumaat, dengan menamakan menteri kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

    Khairy menyifatkan tindakan undang-undang itu sesuatu yang “mengejutkan”.

    Di Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu, Zaliha berkata, pengecualian cecair nikotin daripada senarai racun ialah “proses wajar” kerajaan bagi membenarkan duti eksais dikenakan ke atas rokok elektronik dan cecair vape mengandungi nikotin.

  • Letupan bom di Kem Syed Sirajuddin:Tunggu hasil siasatan

    Letupan bom di Kem Syed Sirajuddin:Tunggu hasil siasatan

    KEMENTERIAN Pertahanan masih menunggu laporan penuh siasatan kejadian letupan bom lempar ketika sesi latihan di Gemas, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

    Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan kes terbabit kini dikendalikan Lembaga Siasatan Dalaman Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Sebarang dapatan berhubung kes letupan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin dekat Negeri Sembilan, akan dimaklumkan selepas siasatan terperinci mengenainya selesai.

    “Dua siasatan mengenai kes ini sedang dilakukan PDRM dan Lembaga Siasatan Dalaman TUDM. Justeru, lebih baik kita tunggu laporan jawatankuasa siasatan dalaman berkenaan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

    “Kejadian malang ini memang tragis. Bagi kami apabila hilang satu jiwa dalam angkatan tentera ia adalah tragedi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penyampaian Dermasiswa Premium dan Sumbangan Komputer Riba di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hadir sama, Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

    Media baru-baru ini, melaporkan dua maut membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, pada 25 Jun lalu.

    Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Laskar Udara 1, Mohd. Iqmal Masdi, 22; manakala, jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd. Syuib Bidin, 33.

    TUDM dalam kenyataan Ahad lalu, memaklumkan pihaknya akan menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota terbabit.

  • Tok Mat Hasan beri bayangan bertanding pertahan kerusi DUN Rantau

    Tok Mat Hasan beri bayangan bertanding pertahan kerusi DUN Rantau

    TIMBALAN Presiden Datuk Seri  Mohamad Hasan memberi bayangan akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN akan datang.

    “Insya-Allah (akan bertanding),” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, lapor portal FMT.

    Pengarah Pilihan raya BN itu berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada beliau akan mempertahankan kerusi tersebut.

    Mohamad yang juga Menteri Pertahanan sebelum itu secara berseloroh berkata, jika wartawan mahunya kekal di Rantau, maka beliau akan bertanding di kawasan tersebut.

    “Apa pendapat wartawan, nak saya bertanding atau tidak? Perlu kalau begitu saya isytiharkan akan bertanding di DUN Rantau,” katanya.

    Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu adalah penyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004.

    Sementara itu, Mohamad yakin BN-PH mampu memenangi Kedah dan Terengganu pada PRN berdasarkan gerak kerja jentera parti di negeri berkenaan.

    “Tapi peluang menang di Kedah dan Terengganu itu ada. Di Kelantan boleh tambah kerusi jika kita bersungguh-untuk menang di kawasan masing-masing. Terpulang kepada pemimpin tempatan untuk mereka pastikan kerusi yang kalah selama ini untuk kita menang,” katanya.

    Mengenai pemilihan calon BN pula, Mohamad berkata ketika ini ia belum dimuktamadkan.

    Menurutnya, pemilihan calon pada PRN kali ini tidak menggunakan formula jumlah muka baharu sebaliknya calon boleh menang.

    “Yang penting masuk PRN ini nak menang, jadi calon yang boleh memenangkan itu penting. Kita tak letak ratio (calon) muka baharu, muka lama. Kalau muka lama, kalau saya boleh bertanding takkan nak buang saya kan,” katanya.

  • 4 maut minum wain beras mengandungi kadar metanol tinggi

    4 maut minum wain beras mengandungi kadar metanol tinggi

    EMPAT orang maut di wilayah Ratanakiri di timur laut Kemboja selepas meminum wain beras yang mengandungi kadar metanol yang tinggi, kata pegawai hari ini.

    Insiden itu berlaku di sebuah kampung di Sre Angkrong daerah Kon Mom selepas mangsa, pekerja di sebuah syarikat ladang pisang, meminum wain beras yang dibeli dari kedai runcit, kata Gabenor Wilayah Ratanakiri, Nhem Sam Oeun.

    “Menurut angka yang direkodkan Jabatan Kesihatan Wilayah Ratanakiri, empat lelaki disahkan meninggal dunia dan seorang dimasukkan ke hospital selepas meminum wain yang tercemar,” katanya kepada Xinhua.

    Beliau berkata, ujian yang dilakukan oleh pihak makmal mendapati kematian itu berpunca daripada paras metanol yang tinggi dalam wain.

    “Keputusan ujian mengesahkan bahawa wain yang tercemar itu mengandungi paras metanol antara 8.21 dan 18.8 peratus, jauh lebih tinggi berbanding paras biasa 0.15 peratus,” kata Sam Oeun.

    Seorang penjual wain beras tempatan telah disoal siasat berhubung kejadian itu, katanya.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Ratanakiri, Ung Ratana, yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa mengalami gejala, seperti sakit perut, kerengsaan mata, muntah, kesukaran bernafas, pening dan keletihan.

    Wain beras popular di kawasan luar bandar di negara Asia Tenggara kerana ia murah. Bulan lalu, wain beras bercampur metanol meragut nyawa seorang penduduk kampung dan menyebabkan 27 yang lain dimasukkan ke hospital di wilayah Pursat.

  • Mangsa kelapan:Mayat Putri Alleya Maisarah dijumpai

    Mangsa kelapan:Mayat Putri Alleya Maisarah dijumpai

    MAYAT kelapan mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih, Chukai, Kemaman ditemukan pukul 3 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan di kawasan beting.

    “Mayat mangsa ditemukan berhampiran mangsa kedua yang ditemui kelmarin,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Setakat ini, tujuh orang sudah ditemui iaitu Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4, Putri Nurerina Natasya, 10, dan Putri Balqis Izzati, 18.

  • Jika sama rata kaum lain dengan orang Melayu, kenyataan Tun Mahathir ada kebenaran – Pakar Perlembagaan

    Jika sama rata kaum lain dengan orang Melayu, kenyataan Tun Mahathir ada kebenaran – Pakar Perlembagaan

    USAHA menyamaratakan kemajmukan rakyat negara ini dengan kaum Melayu dan unsur kemelayuan yang menjadi teras identiti bangsa Malaysia, sememangnya bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

    Justeru, kebimbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai usaha promosi negara berbilang kaum sehingga mengenepikan unsur kemelayuan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ada kebenaran.

    Berita Harian melaporkan, Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata perlu difahami bahawa istilah orang Melayu mengikut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan bangsa Melayu kerana Perjanjian Persekutuan Melayu 1948 memperluaskan takrifan bangsa Melayu apabila menerima kemasukan kaum bukan bangsa asal Tanah Melayu sebagai warga negara Persekutuan.

    Namun, Perlembagaan memelihara jati diri bangsa asal yang beridentiti unsur kemelayuan dalam peruntukan Perlembagaan.

    Justeru, katanya warga negara Malaysia adalah bangsa Melayu yang terdiri pelbagai kumpulan etnik, iaitu orang Melayu dan orang bukan Melayu, pelbagai anutan agama yang menghormati kedudukan agama Islam dan pendokong jati diri watan di Semenanjung Tanah Melayu, dan Borneo.

    “Dengan itu, kebebasan beragama tidak bersifat paksaan kepada penganutan agama Islam, kedudukan Bahasa Kebangsaan tidak menafikan penggunaan bahasa lain dalam urusan bukan rasmi, sebaliknya jati diri watan Tanah Melayu prasyarat seorang warga negara, malah sehingga kini masih terpelihara dan menjadi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    “Prinsip Keluhuran Perlembagaan meletakkan jati diri watan Tanah Melayu di tempat tinggi dan tidak boleh dilihat sebagai diskriminasi kepada mana-mana pihak,” katanya kepada BH.

    Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan usaha mempromosi negara berbilang bangsa sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

    Dr Mahathir menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum, sebaliknya menekankan kemelayuan Malaysia.

    Ahmad Fauzi berkata, perlu difahami bahawa suatu bangsa itu tidak terikat pada darah keturunan, perbezaan etnik atau ras sebaliknya bangsa dan ke’bangsa’an itu adalah kewarganegaraan atau kerakyatan.

    “Pada satu sisi lain, Malaysia berakar pada ‘Malay’ iaitu Melayu, dan Malaysia dirujuk sebagai gugusan kepulauan Melayu atau Tanah Melayu dalam wilayah Alam Melayu.

    “Sering dibangkitkan bahawa warga negara kita terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan lain-lain bangsa. Untuk menyatakan bangsa Melayu itu warga negara Malaysia jawabnya tidak salah kerana bangsa Melayu ialah warga negara Persekutuan Tanah Melayu yang bersekutu dengan Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak untuk membentuk ‘supra-nation’ Malaysia,” katanya.

    Beliau menjelaskan, satu perkara yang tidak boleh diabaikan adalah taat setia setiap warganegara kepada elemen watan Tanah Melayu sebagai kewajipan kewarganegaraan.

    Katanya, perkara itu membabitkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, institusi Raja Melayu, bahasa Melayu termasuklah tulisan Jawi, adat resam Melayu, serta kedudukan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan orang Asli sebagai bangsa asal.

    “Kedudukan elemen watan tidak patut dipertikai kerana itulah syarat perlu dipenuhi sebelum seseorang itu diterima sebagai warga negara.

    “Dari sudut ini, penerimaan kaum pendatang atau bangsa asing sebagai bangsa Melayu (warga negara Persekutuan Tanah Melayu) perlu disertai kefahaman bahawa mereka hendaklah mentaati prinsip Keluhuran Perlembagaan.

    “Ini termasuk mengasimilasi atau sekurang-kurangnya mengakomodasi jati diri watan Tanah Melayu dan seorang warga negara Malaysia tidak mungkin boleh mengekalkan kebangsaan lain, sama ada China, India, Arab atau Eropah, namun pengenalan etnik boleh dikekalkan,” katanya.

  • Mahathir dakwa visi ‘negara berbilang kaum’ tiada beza dengan Malayan Union

    Mahathir dakwa visi ‘negara berbilang kaum’ tiada beza dengan Malayan Union

    TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan konsep kepelbagaian budaya yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH) hari ini tidak jauh beza dengan rancangan Malayan Union yang diperkenalkan penjajah British.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata kedua-duanya menjurus ke arah menghapuskan identiti Semenanjung Tanah Melayu dengan menafikan hak orang Melayu sebagai penduduk asal.

    Dr. Mahathir berkata PH mempromosikan konsep yang akan menyaksikan Malaysia terhakis sebagai Tanah Melayu, dengan mengatakan ia adalah falsafah yang sama di sebalik Malayan Union era kolonial dan slogan “Malaysian Malaysia” yang dibawa mendiang bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew ketika republik itu menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

    Tidak pernah terjadi pendatang asing atau keturunan mereka yang diberi suaka di sesuatu negara menuntut supaya negara yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar supaya dijadikan negara kaum pendatang, iaitu negara berbilang kaum.

    “Itulah maksud ‘Malaysian Malaysia’. Negara Melayu hendaklah ditukar menjadi negara berbilang kaum ‘Malaysian Malaysia’. Tanah Melayu dihapuskan dan diganti dengan negara berbilang kaum ‘Malaysian Malaysia’,”kata Mahathir, dalam kenyataan terbarunya berhubung konsep berbilang kaum sejak melancarkan Proklamasi Melayu, sebuah dokumen bagi memulihkan hak orang Melayu yang merosot sejak beberapa dekad, lapor MalaysiaNow.

    Beliau berkata konsep “Malaysian Malaysia” yang dibawa Lee ditolak pada Pilihan Raya Umum 1964, setahun sebelum Singapura keluar dari Malaysia.

    “Sekarang DAP dengan disokong oleh Parti Keadilan Rakyat dan Amanah sekali lagi memperkenal matlamat yang sama iaitu Malaysia bukan negara yang asalnya tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara berbilang bangsa.”

    Beliau berkata jika perubahan itu berlaku, orang Melayu tidak lagi mengawal jentera pentadbiran, serta polis dan angkatan tentera.

    “Di masa yang sama bidang ekonomi (perniagaan dan perusahaan) akan kekal sebagai bidang yang orang Melayu tidak mendapat tempat,” tambahnya.

    Beliau berkata, Proklamasi Melayu bukan kerana hak orang lain, tetapi hanya mahu mengembalikan bahawa Semenanjung adalah tanah milik orang Melayu, yang menyerap pendatang Arab, India dan Indonesia sehingga mereka dikenali sebagai Melayu. 

    Beliau berkata ini kerana masyarakat ini menganuti budaya dan bahasa Melayu.

    “Bagi pendatang dan keturunan mereka yang ingin kekal identiti mereka dengan negara asal mereka, layanan terhadap mereka tentulah berbeza dengan layanan terhadap penduduk asal serta mereka yang menerima penuh bahasa dan budaya kebangsaan,” kata Mahathir.

    Mahathir berkata ramai orang Melayu beranggapan slogan untuk berbilang kaum hanya dicerminkan dalam pengagihan kaum yang sama rata dalam politik.

    “Mereka tidak terfikir berkenaan perubahan-perubahan lain.

    “Kata Hang Tuah Melayu tak akan hilang di dunia. Tetapi Melayu sudah hilang banyak wilayah. Aliran sekarang menunjuk Melayu tidak akan kekal sebagai satu bangsa.

    “Melayu akan hilang negara mereka dan akan hilang di dunia,” katanya.

  • JIM serah siasatan kakitangan terbabit rasuah di KLIA kepada SPRM

    JIM serah siasatan kakitangan terbabit rasuah di KLIA kepada SPRM

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan sepenuhnya siasatan dakwaan segelintir kakitangannya terbabit rasuah serta pelanggaran integriti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk beberapa laporan berita diterbitkan hari ini, yang mengaitkan dakwaan itu.

    Jelasnya, JIM sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

    “Dalam konteks ini, JIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terbabit dengan salah laku rasuah sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana pejabat imigresen seluruh negara.

    “Jika terdapat pegawai Imigresen didapati bersalah dengan dakwaan berkenaan, JIM tidak akan melindungi mereka.

    “Malah, kami akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

    “JIM komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pelawat warga asing yang memasuki Malaysia,” katanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden membabitkan seorang warga China di KLIA, baru-baru ini.

    Menurut sumber yang dipetik berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara itu dengan tiga keterangan saksi termasuk Menteri yang terbabit dan dua orang saksi utama warga China sudah diambil pihak SPRM.

    Katanya, beberapa pegawai Imigresen yang terbabit juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.

    Malah, SPRM sudah mengenal pasti seorang individu disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes membabitkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan JIM.

    Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, menerusi kenyataan, menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan selain mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

    Malah, King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

  • Wanita ditahan rosakkan dinding balai bomba

    Wanita ditahan rosakkan dinding balai bomba

    SEORANG wanita tempatan berusia 53 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga esok selepas disyaki memasuki kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, George Town, Pulau Pinang serta memecahkan logo agensi tersebut di balai itu semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.43 pagi tadi oleh seorang pegawai bomba dari sebuah balai bomba di dalam daerah Timur Laut.

    Jelasnya, laporan itu menyatakan pihak bomba menahan seorang wanita tempatan kerana telah memecahkan logo agensi tersebut di dalam kawasan balai bomba.

    “Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal polis mendapati dia juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, tular klip video di media sosial yang memaparkan seorang wanita merosakkan bahagian dinding di BBP Bagan Jermal menggunakan penukul.

    Menurut Soffian, suspek yang disyaki mengalami masalah mental itu telah dirujuk dan ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut.

    Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak polis menasihati orang ramai tidak menularkan sebarang gambar dan rakaman video berkenaan kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, wanita tersebut datang ke balai itu pukul 11.45 malam semalam.

    Jelasnya, berdasarkan keterangan pegawai dan anggota bomba yang bertugas di BBP Bagan Jermal, mereka tidak mengenali wanita terbabit dan telah cuba menghalangnya daripada merosakkan sudut ‘wow faktor’ di balai tersebut, namun suspek tidak mengendahkannya.

    “Pegawai bomba yang bertugas terus menghubungi pihak polis sebelum datang dan menahan wanita tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.