Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai – SPR

    PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai – SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

    “Seramai lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

    “Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi dewan berikut: 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.

    “Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

    “Tarikh keluar writ pada 5 Julai; hari penamaan calon 29 Julai; hari mengundi awal 8 Ogos dan hari mengundi pada 12 Ogos,” katanya dalam sidang akhbar PRN di Menara SPR, di Putrajaya hari ini, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhjaya itu penerimaan notis pembubaran rasmi DUN keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

    Sebelum ini, media melaporkan Selangor membubarkan DUN secara rasmi pada 23 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.

    Sementara, Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing pada 28 Jun; sementara Negeri Sembilan pada 1 Julai.

    Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertanding pada PRN kali ini.

  • Pengarah syarikat didakwa culas selenggara buku stok

    Pengarah syarikat didakwa culas selenggara buku stok

    SEORANG pengarah syarikat pemborong minyak diesel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian Mac lalu.

    Tertuduh, Tan Kok Keong, 69, yang merupakan pemilik syarikat membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemborong nombor lesen PB 05000183 gagal untuk menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian barang berjadual iaitu minyak diesel yang tidak mengandungi harga jualan, harga belian dan alamat pembeli yang telah melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2023 pada pukul 10.32 pagi di Kuala Sawah, Rantau.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM5 juta.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan sama yang mana ketika kesalahan itu dilakukan tertuduh merupakan pengarah syarikat.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Janawatul Fieza Hamisan dan tertuduh diwakili peguam, Eric Yeow Kok Heng.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 9 Ogos ini.

  • Pekerja kilang berputih mata rugi RM87,400 diperdaya ‘scammer’

    Pekerja kilang berputih mata rugi RM87,400 diperdaya ‘scammer’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja kilang kerugian RM87,400 selepas tertarik dengan tawaran pulangan pelaburan yang tinggi dalam tempoh masa singkat menerusi skim pelaburan saham yang tidak wujud, bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima suatu laporan berkaitan kes pelaburan tidak wujud itu berkenaan daripada mangsa berusia 40-an yang merupakan pekerja kilang.

    “Pengadu mendakwa menyertai suatu skim pelaburan saham menerusi kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai Kem Latihan Amali Untung Stabil Pasaran Saham pada 4 Mei lalu.

    “Mangsa mula membuat pelaburan pada 12 Jun lalu. Dalam tempoh sebulan menyertai pelaburan berkenaan, pengadu dimaklum bahawa keuntungan pelaburan dilakukan bertambah sebanyak RM180,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, apabila pengadu mahu mendapatkan keseluruhan keuntungan pelaburan, dia diarahkan untuk membayar cukai sebanyak RM24,000.

    “Selepas membuat bayaran cukai bagi mendapatkan keuntungan dijanjikan, pengadu tidak dapat berhubung dengan suspek menerusi WhatsApp dan pengadu terkilan apabila disingkir daripada kumpulan berkenaan.

    “Pengadu menyedari tertipu semalam dan mendakwa mengalami kerugian sejumlah RM87,400 termasuk nilai pelaburan yang dilakukan.

    Rahmat berkata, setakat ini, itu merupakan laporan kes pertama yang diterima berkaitan skim pelaburan berkenaan.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam membuat pelaburan. Jangan mudah gelap mata dan tamak dengan tawaran dijanjikan dan mengambil mudah dalam meraih keuntungan lumayan. Rujuk ke balai polis berhampiran sekiranya berdepan sebarang kekeliruan atau dapatkan nasihat lanjut dari bank negara berhubung skim pelaburan,” katanya.

  • MASA serah laporan pertama UPR kepada UNHRC

    MASA serah laporan pertama UPR kepada UNHRC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) hari ini menyerahkan laporan pertamanya untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pusingan Ke-4 bagi Malaysia kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd. Amin berkata, langkah itu selepas MASA selaku badan pemikir bebas telah menjalankan kajian bagi mengenal pasti dan mengetengahkan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya (ESCR) berhubung impak projek mega penambakan laut terhadap komuniti pesisir pantai di Pulau Pinang.

    “Walaupun projek tambakan laut membawa naratif untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, natijahnya ia membawa kesan berpanjangan terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk nyawa, ekonomi dan alam sekitar yang mungkin menghalang aspek ESCR.

    “Seramai 10 penyelidik yang pakar dalam bidang masing-masing dari universiti tempatan, pengamal undang-undang, penganalisis dan aktivis telah berkumpul dan menyumbang idea serta pandangan dalam penyediaan laporan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, laporan itu mengetengahkan tema, memperluaskan ruang demokratik, memperkukuh kedaulatan undang-undang, mempromosi rasa hormat dan melindungi hak-hak asasi manusia di Malaysia.

    Jelasnya, projek mega di Pulau Pinang itu adalah contoh ketidakadilan ruang (spatial injustice) bila mana perspektif ruang kritikal serta dimensi ESCR tidak diambil kira dan mendapat perhatian saksama yang sewajarnya dalam proses perancangan projek berkenaan.

    Dalam hal ini katanya, MASA mengambil tanggungjawab untuk mengetengahkan dimensi ekonomi dan sosial kesan daripada pengambilan ruang awam di bandar, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelbagai pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan laut tersebut.

    Katanya lagi, laporan UPR itu adalah seiring dengan matlamat MASA untuk mempromosikan kemakmuran dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan tidak ada yang ketinggalan seperti termaktub dalam tiga
    teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

    Jelasnya, wawasan itu merangkumi pembangunan untuk semua, mencapai taraf hidup selesa dan agihan saksama ke arah negara yang makmur, bersatu serta bermaruah.

    “Matlamat ini juga bertepatan dengan prinsip dan pendekatan MASA sejak penubuhannya pada 2019 untuk menyediakan penyelidikan berkualiti, cadangan polisi dan analisis isu-isu dasar awam berpandukan data, berpaksikan nilai-nilai kemakmuran bersama.

    “Ini juga selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Deklarasi Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) 1990, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

    Penyertaan MASA dalam Proses UPR kata Azril, akan memperkukuhkan suara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) membangkitkan isu ESCR dalam rangka kerja yang tepat dan berwibawa.

    MASA akan mempergiatkan usaha untuk mempertahankan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat Malaysia berdasarkan acuan sendiri, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024, katanya.

  • Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

    Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

    SEKUMPULAN 125 banduan di sebuah penjara dekat utara Semenanjung yang mendakwa didera warden, menandatangani petisyen bagi menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan.

    Memetik laporan FMT hari ini, ini kali kedua petisyen seumpama itu dihantar berikutan timbul dakwaan penderaan di satu lagi fasiliti itu di negeri sama.

    Banduan terbabit menulis draf petisyen itu lalu menyerahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid, menerusi dua rakan yang dibebaskan dari penjara baru-baru ini.

    Tahun lalu, Husaini pernah membuat laporan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap banduan tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara sampai ke hari ini belum memberi sebarang maklum balas.

    Menurut dua banduan yang dibebaskan, mereka mendakwa didera dengan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul kerana berbual serta kononnya ingkar ketika hadir sesi perhimpunan.

    Banduan terbabit turut mendakwa pihak warden bertindak menyembunyi paip berkenaan sewaktu lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke fasiliti itu.

    “Jika mereka mendengar Suhakam atau orang lain mahu datang membuat pemeriksaan, mereka menyorok paip-paip itu,” dakwanya.

    Selain dikenakan hukuman kerana berbual, mereka juga mendakwa tahanan reman sering kali dilayan dengan diperiksa di bahagian rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.

    “Kami diarahkan baring secara berbogel di atas lantai untuk ‘kopek durian’ (mengepak punggung),” dakwanya sambil menjelaskan layanan buruk itu dialami mereka yang dalam tahanan reman.

    Bekas banduan itu turut mendakwa bekalan air terhad dalam penjara menyebabkan mereka tidak dapat mandi selama lapan hari, termasuk sukar membersihkan diri selepas membuang air besar dan mengambil wuduk.

    Mereka mendakwa makanan dihidangkan atas pinggan berkulat dan diberikan nasi basi dan sepotong kecil ikan kukus.

    Jika ada tahanan yang mengadu, mereka mendakwa akan dihukum oleh warden penjara sama ada dipukul atau dikurung seorang diri.

    Dakwaan lain adalah mereka dinafikan waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sewajarnya jika sakit.

    Ketika artikel ini disiarkan, FMT telah menghubungi pengarah penjara negeri terbabit termasuk Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad untuk mendapatkan maklum balas.

  • Mayat lelaki dengan tangkal ditemukan terapung

    Mayat lelaki dengan tangkal ditemukan terapung

    MAYAT seorang lelaki ditemui orang awam terapung di kawasan Buwan Dive Resort, Kampung Tampi Tampi, Semporna pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 7.41 pagi sebelum menghantar sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapat lelaki tersebut berketinggian kira-kira 167 sentimeter, manakala wajahnya sudah mereput dan tidak dapat dikenali serta perut mangsa sudah mengembung.

    “Polis juga tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat yang memakai seluar panjang berwarna hitam serta baju memakai baju hitam bercorak biru.

    “Mayat turut tersebut turut memakai gelang getah hitam serta memakai tali berupa tangkal berwarna kuning,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mayat seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Semporna untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Ketua Balai Polis Semporna, Inspektor Mustapha Majid ditalian 010-551 7617 atau 089-782020.

  • 60 peratus kes profil tinggi rasuah babit ahli politik-SPRM

    60 peratus kes profil tinggi rasuah babit ahli politik-SPRM

    LEBIH 60 peratus daripada 156 kertas siasatan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang dibuka oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2020 hingga 8 Jun 2023, adalah melibatkan ahli politik.

    Pengarah Kanan BOK Tan Kang Sai berkata daripada jumlah itu, seramai 211 individu telah ditahan dengan 91 orang daripadanya dituduh di mahkamah membabitkan 454 pertuduhan.

    “Dalam tempoh sama, SPRM turut menyita wang tunai sebanyak RM51,132,539, melucut hak harta dan wang tunai berjumlah RM10,465,873.39 serta mengeluarkan kompaun berjumlah RM128,968,750,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Menurutnya mengendalikan siasatan melibatkan golongan berprofil tinggi dan kes berkepentingan awam mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya dalam menyiasat transaksi kewangan membabitkan bank dan institusi kewangan luar negara.

    Beliau berkata tugas menyiasat jejak kewangan menjadi sukar apabila wang berkenaan dipindahkan ke akaun di luar negara kerana setiap negara mempunyai undang-undang berlainan bagi melindungi sistem perbankan mereka.

    Menurutnya, bank dan institusi kewangan terlibat mempunyai hak untuk tidak bekerjasama dan tidak menyerahkan maklumat mengenai akaun yang disiasat.

    “Berikutan itu, kita dapat lihat kebanyakan bukti berkaitan jejak kewangan yang dibawa ke mahkamah hanya melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan sahaja,” katanya.

    Tan berkata antara kes berprofil tinggi berjaya disiasat oleh BOK termasuk Op Mitra, Op Hire dan Op Marii melibatkan penyalahgunaan dana berjumlah ratusan juta ringgit yang disediakan oleh kerajaan bagi pembangunan masyarakat India, pekerja dan industri automotif negara.

    Selain itu, katanya antara cabaran lain turut dihadapi oleh BOK ialah apabila sesuatu kes disensasikan oleh pihak media dan ahli politik sebelum penyiasatan berjalan atau selesai menyebabkan pihak terlibat mengambil kesempatan menghapuskan dokumen-dokumen penting seperti transaksi kewangan, malah ada yang melarikan diri.

    “Kecanggihan teknologi masa kini juga memberi cabarannya tersendiri iaitu transaksi kewangan boleh dilakukan dengan hanya menggunakan telefon bimbit melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan malah institusi kewangan luar negara.

    “Berikutan cabaran ini, SPRM telah mengorak langkah untuk menggunakan tenaga pakar dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan undang-undang sebagai sebahagian daripada pasukan siasatan BOK untuk memastikan kertas siasatan yang dihasilkan lengkap dan kukuh untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Menurut Tan, selain menggunakan khidmat pakar, pihaknya juga menggunakan kaedah Model Pengurusan Penyiasatan Berpasukan (MTI) bagi memastikan kertas siasatan dapat dilengkapkan dengan berkualiti dan efisyen.

    Katanya, MTI mempunyai lapan peringkat iaitu yang pertama melibatkan menganalisis aduan dan hala tuju siasatan, siasatan awal, penyediaan perintah operasi dan pelaksanaan operasi.

    “Seterusnya ia melibatkan proses semakan dan kolaborasi keterangan, penilaian dan pengukuhan keterangan, tindakan lanjut siasatan dan pengurusan akhir kertas siasatan,” katanya.

    BOK merupakan bahagian siasatan khas SPRM yang ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes berprofil tinggi, kes berkepentingan awam dan keselamatan negara.

    Ia ditubuhkan pada 2010 dan merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi SPRM bagi mencapai objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan kes-kes rasuah berskala besar, perolehan dan penguatkuasaan.

  • ‘Orang politik’ kini ada PhD, boleh ketuai GLC jika layak

    ‘Orang politik’ kini ada PhD, boleh ketuai GLC jika layak

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mempertahankan perancangan Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan pelantikan orang politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan syarat individu itu berkelayakan.

    Jelasnya, tidak salah melantik seseorang ahli politik mengetuai GLC sekiranya perniagaan atau urusannya berkaitan dengan kepakaran dimiliki individu terbabit.

    “Orang politik dahulu tidak sama macam masa kini, tidak kira sama ada dalam parti atau tidak… jika layak boleh pegang jawatan dalam GLC.

    “Sekarang kebanyakan berkelulusan doktor falsafah (PhD), ada (profesional) doktor dan jurutera,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau berkata, ini berbeza dengan amalan kerajaan perpaduan yang melantik orang politik tidak berkelayakan dalam GLC dan memungkiri manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berhubung perkara itu.

    Beliau mengulas kritikan Pengerusi Bersih, Thomas Fann terhadap kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa komponen itu telah selesai mengagih jawatan termasuk ketua GLC jika menang PRN di enam negeri.

    Fann mengingatkan Muhyiddin bahawa syarikat GLC bukan ‘mesin pengeluaran wang (ATM)’ bagi membayar gaji penyokong setianya.

    Pada Mac, Fann turut membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan amalan melantik pemimpin politik untuk mengetuai GLC di sebalik desakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi melaksanakan reformasi sejak dua dekad lalu.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Pengerusi Mara) dan Ahli Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik daripada PKR (pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd) antara pemimpin politik mengetuai GLC.

  • Pelaburan di Selangor : Azmin persoal dakwaan Amirudin

    Pelaburan di Selangor : Azmin persoal dakwaan Amirudin

    BEKAS  Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar dakwaan penggantinya mengenai pembangunan ekonomi negeri itu, sambil berkata Selangor kini berada di tempat ketiga di belakang Wilayah Persekutuan dan Johor dari segi pelaburan setakat suku pertama 2023. 

    Beliau turut mempersoalkan dakwaan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang lebih berjaya daripadanya dalam membawa masuk pelabur. 

    Azmin, yang menerajui kerajaan negeri dari 2014 hingga 2018, berkata perbandingan yang dibuat oleh Amirudin adalah meleset.

    Ini kerana katanya, jumlah pelaburan yang dibawa ke Selangor tidak boleh dibandingkan dengan yang dibawa ketika Selangor masih dianggap sebagai “negeri pembangkang”. 

    Beliau merujuk kepada pelaburan RM25 bilion di Selangor oleh syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) Amazon Web Services (AWS), yang diumumkannya ketika mengetuai delegasi Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa ke AS pada Mei 2022.

    “Dia nak dakwa itu usaha dia?” AWS ketika itu melihat kemungkinan untuk melabur ke Melaka, tetapi saya berikan hujah-hujah dan saya rasa AWS wajar diletakkan di Selangor,’’ katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow .

    Selangor sentiasa menjadi negeri paling maju di Malaysia selama beberapa dekad sejak era Barisan Nasional, apabila ekonomi negara menjurus ke arah menarik gergasi perindustrian dunia untuk menubuhkan pangkalan. 

    Azmin dilantik semula sebagai menteri besar pada 2018 tetapi mengosongkan kerusinya selepas dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi oleh Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

    Susulan itu, PKR mencalonkan Adun Ijok Dr Idris Ahmad sebagai menteri besar, namun Sultan Selangor akhirnya memilih calon yang dicadangkan Azmin.

    Mengimbas kembali keputusannya ketika itu, Azmin berkata beliau mungkin tersilap memilih Amirudin sebagai penggantinya.

    “Mungkin saya tersilap pilih ketika itu, tetapi asasnya saya memikirkan Selangor memerlukan menteri besar yang muda dan progresif yang mampu meneruskan dasar-dasar yang telah berjaya sebelum ini.  Malangnya andaian saya silap. Kegagalan beliau untuk meneruskan agenda kepedulian rakyat. Prestasi ekonomi Selangor semakin buruk,” katanya.

    Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014, selepas kekosongan berikutan penyingkiran Khalid Ibrahim. 

    Khalid dipecat oleh PKR sebagai sebahagian daripada episod Langkah Kajang, rancangan yang bertujuan untuk meletakkan isteri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

    Pemecatan itu membawa kepada perpecahan antara DAP dan PAS, dan gabungan itu akhirnya berpecah sebelum kembali membentuk PH. 

    PH ketika itu terdiri daripada PKR, DAP, dan Amanah, parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti. 

    Azmin kekal sebagai menteri besar Selangor sehingga 2018, apabila beliau dilantik menganggotai Kabinet PH yang pertama. 

    Sementara itu, Azmin berkata banyak dasar yang diperkenalkannya sebagai menteri besar telah dihentikan oleh Amirudin. 

    Ini termasuk Skim Mesra Usia Emas untuk warga emas, di mana kerajaan negeri memberikan sehingga RM2,500 kepada keluarga yang mengalami kematian ahli keluarga. 

    Ia kemudiannya dirombak untuk menyediakan bayaran kurang RM500.

    Azmin turut mempersoalkan langkah menghentikan dasar membekalkan 20 meter padu air percuma kepada semua isi rumah di Selangor.

    “Hari ini atas nama penjajaran semula, Amirudin kononnya berikan kepada golongan B40. Tetapi beliau lupa, akibat pandemik golongan M40 pun sudah jadi B40,” katanya.

    Azmin juga mengambil tindakan terhadap hujah berterusan penyokong PH bahawa rizab negeri telah meningkat di bawah Amirudin.

    “Apa makna rizab besar yang digembar-gemburkan? Saya guna rizab untuk perbelanjaan pembangunan. Bukan kerja kerajaan untuk simpan rizab.”

    Azmin juga berkata kepimpinan adalah faktor penting dalam menentukan prestasi mana-mana kerajaan negeri, tanpa mengira parti.

    “Sekarang Amirudin masih dalam PKR dan PH, tetapi reputasi tidak seperti saya ketika saya berada dalam PH.  Ia bukan soal gabungan atau parti. Ia soal bagaimana menteri besar dapat mengemukakan satu kebijakan ekonomi. Sama ada rakyat ingin kreditkan kepada PH atau saya, itu saya serahkan kepada rakyat Selangor,” tambahnya.

  • Proklamasi Orang Melayu : Muhyiddin dan Dr.Mahathir adakan perbincangan

    Proklamasi Orang Melayu : Muhyiddin dan Dr.Mahathir adakan perbincangan

    SELEPAS tiga tahun “bersengketa” angkara Langkah Sheraton, dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi bertemu untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.

    Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu.

    “Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.

    “Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” kata beliau dalam kenyataan.

    Pertemuan selama satu jam 45 minit itu, kata Khairuddin, merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.

    “Sesungguhnya, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu-individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.

    “Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan satu daya-usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal-pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggui kita selama ini,” jelas Khairuddin lagi.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan Dr. Mahathir berkait Proklamasi Orang Melayu selepas sambutan Aidiladha.

    Katanya, beliau membaca 12 agenda dalam proklamasi itu yang disifatkannya agak baik dan menjadi asas prinsip perjuangan parti pimpinannya.

    Menurut Muhyiddin , agenda dalam perlembagaan negara, hak istimewa orang Melayu dan Islam selain memartabatkan ekonomi bangsa sudah lama diperjuangkan Bersatu, lebih awal daripada Proklamasi Orang Melayu diasaskan Mahathir, Mac lalu.

    Dr. Mahathir sebelum ini berkata, proklamasi itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan dan ditandatangani beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas kapasiti persendirian.

    Awal Jun, Mahathir dilaporkan berkata sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, tiga tahun selepas hubungan mereka renggang susulan “Langkah Sheraton”, menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.