Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pembantu Sivarraajh buat laporan polis selepas diugut ahli MIC

    Pembantu Sivarraajh buat laporan polis selepas diugut ahli MIC

    PEMBANTU Senator Datuk C. Sivarraajh membuat laporan polis berhubung ugutan yang didakwa dibuat oleh seorang ahli MIC.

    Menurut S. Mathiswarman, dakwaan ugutan itu diterima selepas beliau membalas komen di Instagram yang menghina Sivarraajh keluar MIC minggu lalu.

    “Saya terjumpa catatan Instagram satu portal berita mengenai bos saya yang keluar MIC dan komen lelaki itu, yang merupakan bekas ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan.

    “Komen itu membawa maksud Sivarraajh sebagai seorang yang tidak mengenang budi yang telah melupakan segala bantuan yang diberikan oleh Datuk Seri (timbalan presiden MIC M Saravanan) semasa dalam MIC,” kata Mathiswarman dalam laporan yang dibuat di balai polis Bayan Baru di Pulau Pinang, semalam.

    Lelaki itu akan dirujuk sebagai ‘Aru’ memandangkan suspek jenayah tidak boleh dinamakan sebelum dia didakwa di mahkamah.

    Mathiswarman mendakwa Aru seterusnya menggesa Sivarraajh yang juga bekas Naib Presiden MIC supaya tidak gila kuasa dan insaf.

    S Mathiswarman

    Mathiswarman berkata, beliau kemudian membalas komen tersebut, membayangkan Aru tidak layak untuk memberi nasihat berkenaan sikap mengenang budi kerana dia juga pernah mendapat manfaat secara peribadi daripada Sivarraajh sebelum ini.

    “Selang beberapa minit, saya menerima panggilan daripada nombor Aru, tetapi tidak dapat menjawab kerana sibuk dengan tugasan lain.

    “Bagaimanapun, apabila saya menghubunginya kemudian, Aru mengugut untuk memukul dan mencincang saya jika dia melihat saya selepas ini,” kata Mathiswarman ketika dihubungi, lapor Malaysiakini.

    Mathiswarman yang sentiasa berulang alik antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur atas urusan kerja, membuat laporan polis itu kerana bimbang akan keselamatan dirinya.

    Beliau turut menerima beberapa panggilan daripada seorang lagi ahli MIC yang dikenalinya sebagai penyokong Saravanan tetapi tidak menjawab panggilan itu kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.

    Mathiswarman memadamkan komen balasan yang dibuatnya di Instagram tetapi kawan-kawannya tetap menasihatinya untuk berhati-hati.

    “Saya membuat laporan ini kerana bimbang keselamatan saya dan menggesa polis mengambil tindakan segera,” katanya dalam laporan itu.

    Difahamkan, suspek yang didakwa membuat ugutan terhadapnya telah ditahan di Kuala Lumpur oleh pasukan polis Pulau Pinang, hari ini.

  • Kenyataan Dr.Mahathir tidak berasas dari segi undang-undang – Ramkarpal

    Kenyataan Dr.Mahathir tidak berasas dari segi undang-undang – Ramkarpal

    KENYATAAN  bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas dari segi undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh.

    Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Undang-undang dan Reformasi Institusi itu berkata  Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 23 tahun, tidak pernah mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dalam tempoh tersebut, malah telah mengiktiraf perkara berkenaan.

    “Tambahan pula, sebagai seorang bekas Perdana Menteri selama lebih dua dekad, sudah tentunya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempunyai akses kepada nasihat guaman melalui Peguam Negara dan oleh yang demikian, sedar akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini.

    “Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya sedar akan betapa pentingnya frasa ‘unity in diversity should be our strength and not our shame’ (perpaduan dalam kepelbagaian harus menjadi kekuatan kita dan bukan keaiban kita) di Malaysia seperti mana dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali (Tan Sri) di dalam kes Indira Gandhi dan mengambil iktibar daripada frasa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

    Mengenai dakwaan Dr Mahathir terdapat desakan Malaysia tidak lagi dikenali sebagai negara Islam, Ramkarpal berkata kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan tidak pernah dipertikaikan seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

    Malah katanya Mahkamah Persekutuan dalam kes Dhinesh Tanaphll lawan Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors pada  2022 telah menyatakan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung agama merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata sebarang pindaan sedemikian yang mempunyai kesan mengubah struktur asas Perlembagaan negara adalah tidak berperlembagaan.

    “Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa agama selain agama Islam juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.

    Selain itu, Ramkarpal berkata Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina; dan Perkara 11 turut memberikan seorang hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

    “Kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan di atas, setelah dibaca bersama, mencerminkan pengiktirafan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang berbilang kaum, budaya dan agama,” katanya.

    — BERNAMA

  • Hancur dari pinggang hingga kepala jatuh tingkat 41

    Hancur dari pinggang hingga kepala jatuh tingkat 41

    SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan tubuhnya hancur dari pinggang hingga ke kepala, selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 41 sebuah hotel di persisiran Sungai Melaka, tengah malam tadi.

    Mayat mangsa berusia 52 tahun itu ditemui oleh seorang pengangkat barang di hadapan parkir lobi hotel berkenaan sebelum menghubungi talian MERS 999.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Melaka Tengah ke lokasi kejadian pada pukul 12.15 tengah malam.

    Siasatan awal polis mendapati si mati jatuh dari tingkat 41 bangunan 42 tingkat itu.

    “Sejurus tiba pasukan mendapati seorang lelaki dengan keadaan tubuhnya dari pinggang hingga kepala hancur akibat jatuh dari bangunan tinggi.

    “Beberapa cebisan mayat turut ditemui bertaburan di sekitar kawasan,” katanya hari ini.

    Christopher berkata, saksi kejadian yang juga pekerja pengangkut barang yang berada di tingkat bawah hadapan lobi hotel ketika kejadian mendakwa terdengar bunyi seperti tayar meletup.

    “Apabila berpusing dia ternampak mangsa dalam keadaan terlangkup dengan separuh daripada badannya hancur sebelum menghubungi penyambut tetamu hotel dan talian kecemasan.

    “Terdapat dua lagi saksi warga Bangladesh mendakwa melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan sebelum terjatuh dari bangunan itu,” katanya lapor Berita Harian.

  • Penglihatan terganggu, Zahid jalani pembedahan mata – Nurulhidayah

    Penglihatan terganggu, Zahid jalani pembedahan mata – Nurulhidayah

    PERUBAHAN wajah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi selepas pulang bercuti selama dua minggu baru-baru ini menarik perhatian ramai.

    Ada yang membuat andaian beliau melakukan rawatan bagi menegangkan kulit mukanýma. Namun apa yang menarik perhatina ialah mata Timbalan Perdana Menteri itu yang kelihatan ‘sepet’.

    Menjawab persoalan itu, anak perempuannya, Nurulhidayah Zahid hari ini menjelaskan ini kerana Presiden UMNO itu baru-baru ini menjalani pembedahan untuk memperbaiki penglihatannya yang semakin terhalang.

    “(Saraf mata) Grandpa (Zahid) sampai dah mengganggu penglihatan dan menjadi keperluan untuk melakukan pembedahan. Bila berumur saraf makin kendur dan memudaratkan penglihatan,” katanya dalam catatan di Instagram pada awal pagi.

    Nurulhidayah berkata, anaknya turut menghidap penyakit sama yang disebut sebagai “lazy eye”.

    Bagaimanapun, seorang pengulas membetulkannya dan berkata ia kemungkinan besar adalah ptosis, keadaan yang menyebabkan kelopak mata atas jatuh dan boleh menjadi lebih teruk apabila usia semakin lanjut.

    Dalam pada itu, Nurulhidayah turut menafikan Zahid menjalani pembedahan itu atas sebab kosmetik.

    “Kenapa dia nak buat (ubah) muka, dia bukan superstar. Tetapi apabila (keadaan) berbahaya, maka sesuatu perlu dilakukan,” katanya.

  • Polis serbu pusat panggilan ‘phone scam’ antarabangsa, tahan 50 warga asing

    Polis serbu pusat panggilan ‘phone scam’ antarabangsa, tahan 50 warga asing

    POLIS menumpaskan sindiket penipuan ‘phone scam’ dengan penahanan 54 individu yang sebahagian besar warga asing dalam serbuan di pusat panggilannya di kawasan Perusahaan Mergong 2, di Alor Setar.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata ,serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi pukul 6 petang kelmarin.

    “Premis itu dipercayai telah disewa dan dijadikan sebagai pusat panggilan untuk kegiatan penipuan dan dipercayai telah menjalankan operasi selama empat bulan.

    “Suspek adalah seorang wanita warga Taiwan, dua lelaki warga Bangladesh, 19 lelaki warga Taiwan, 29 lelaki warga China serta tiga lelaki tempatan yang berumur antara 20 hingga 50 tahun.

    “Sindiket ini menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguat kuasa sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.

    “Mangsa kemudian diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket dan mereka ini menyasarkan mangsa dari negara China dan Taiwan,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar hari ini.

    Menurut Fisol, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Exora, sebuah lori jenis Isuzu, komputer riba, telefon bimbit, router, mesin pencetak, kertas skrip serta kertas yang mengandungi nombor akaun bank negara China.

    Katanya, polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu pemilik premis dan pemilik syarikat kenderaan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes.

    Kesemua suspek ditahan telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 55B(1) akta yang sama.

  • Bekas ADUN Terengganu disiasat tangkap ikan guna elektrik

    Bekas ADUN Terengganu disiasat tangkap ikan guna elektrik

    SEORANG bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dipanggil memberi keterangan semalam selepas tular video beliau menangkap ikan menggunakan alat terlarang.

    Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung video tular itu pada 3 Julai lalu.

    “Kini, pihak jabatan sedang melengkapkan siasatan sebelum kita rujuk kepada penasihat undang-undang negeri,” katanya menurut Sinar Harian.

    Terdahulu, tular video 24 saat dalam media sosial memaparkan bekas Adun itu menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik di sebuah lokasi tidak dikenal pasti.

    Ruzaidi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988, iaitu menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang.

    Katanya, peralatan terlarang termasuk menggunakan racun, bahan letupan dan peralatan mekanikal atau elektrik.

    “Jika sabit kesalahan, pelaku berdepan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

  • Kos PRN di enam negeri RM420 juta – SPR

    Kos PRN di enam negeri RM420 juta – SPR

    PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dianggarkan menelan kos RM420 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    “Sebanyak 3,450 pusat mengundi dengan 17,425 saluran dibuka.

    “Sebanyak 173 pusat penamaan calon dan 186 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada PRN tersebut,” katanya
    dalam sidang akhbar PRN di Menara SPR, di Putrajaya hari ini.

    Menurut beliau, seramai 153,760 petugas dilantik mengendalikan proses pengundian manakala 3,190 pusat mengundi biasa mengandungi 17,048 saluran akan digunakan.

    “Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 saluran juga turut digunakan,” ujar Abdul Ghani lagi, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, beliau mengumumkan SPR menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

    Katanya, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

    Menurutnya, seramai lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

    “Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi dewan berikut: 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.

    “Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

    “Tarikh keluar writ pada 5 Julai; hari penamaan calon 29 Julai; hari mengundi awal 8 Ogos dan hari mengundi pada 12 Ogos,” ujar beliau.

  • Pelatih PGA yang baru melapor diri maut akibat strok haba

    Pelatih PGA yang baru melapor diri maut akibat strok haba

    SEORANG peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, meninggal dunia dipercayai akibat strok haba, semalam.

    Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam dari Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA dikatakan melapor diri sebagai peserta kursus Ahad lalu.

    Kematian pelatih berusia 21 tahun itu disahkan Ketua Polis Perak, dattuk9Mohd. Yusri Hassan Basri, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun beliau memaklumkan punca sebenar hanya dapat diketahui selepas bedah siasat dijalankan pagi ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

    Komandan PLPGA Ulu Kinta, Mohammad Hafiz Kadir, ketika dihubungi berkata berdasarkan maklumat rakan si mati, pelatih itu pada mulanya mengadu mengalami kekejangan kaki kiri sejak malam kelmarin.

    Katanya, bagaimanapun ketika mengikuti kelas petang semalam pelatih itu tiba-tiba rebah dan diserang sawan serta dalam keadaan meracau.

    “Anggota perubatan memberi bantuan awal dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan lanjut.

    “Ketika di klinik, doktor bertugas beberapa kali melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun pelatih itu disahkan meninggal dunia kira-kira 5 petang.

    “Berdasarkan laporan awal doktor di klinik kesihatan berkenaan, punca kematian pelatih itu dipercayai akibat strok haba,” katanya.

  • Azmin kesal pilih Amirudin sebagai MB di Selangor

    Azmin kesal pilih Amirudin sebagai MB di Selangor

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyuarakan penyesalannya atas keputusan menjadikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai penggantinya pada 2018.

    Azmin antara Menteri Besar pertama yang mengangkat sumpah selepas pilihan raya umum (PRU) 2018.

    Bagaimanapun beliau dilantik menjadi menteri Kabinet 10 hari kemudian dan perlu melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 2014.

    Dalam wawancara bersama Malaysia Now yang disiarkan hari ini, Azmin berkata, beliau mencalonkan Amirudin sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad.

    “Mungkin saya tersilap pilih ketika itu, tetapi asasnya saya memikirkan Selangor memerlukan Menteri Besar yang muda dan progresif yang mampu meneruskan dasar-dasar yang telah berjaya sebelum ini.

    “Malangnya andaian saya silap. Kegagalan dia untuk meneruskan agenda kepedulian rakyat. Prestasi ekonomi Selangor semakin buruk,” katanya seperti dipetik.

    Amirudin, 43, dahulu dilihat sebagai protege kepada Azmin.

    Bagaimanapun beliau membuktikan kesetiaannya kepada PKR dengan menewaskan Azmin di kerusi Parlimen Gombak yang dipegang Azmin selama tiga penggal pada PRU lalu.

    Sebagai pengerusi PN Selangor, Azmin akan sekali lagi berdepan dengan Amirudin pada pilihan raya negeri (PRN) kali lini.

    Dalam wawancara itu, Azmin turut mengkritik pencapaian Amirudin sebagai Menteri Besar, dengan mendakwa Selangor menduduki tempat ketiga dalam pelaburan bagi suku pertama tahun ini.

    Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor berada di tempat kedua pada 2022.

    Azmin berkata, jumlah pelaburan di Selangor semasa pentadbiran Amirudin tidak boleh dibandingkan dengan pentadbiran terdahulu ketika Selangor dianggap sebagai ‘negeri pembangkang’.

    Azmin juga menuduh Amirudin cuba meraih nama daripada pelaburan Amazon Web Services (AWS) berjumlah RM25 bilion di Selangor.

    “AWS ketika itu melihat kemungkinan untuk melabur ke Melaka, tetapi saya berikan hujah-hujah dan saya rasa AWS wajar diletakkan di Selangor,” katanya.

    AWS menyatakan komitmen untuk membuka pusat data di Malaysia semasa Azmin menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Azmin bertemu wakil AWS di San Francisco, Amerika Syarikat pada Mei 2022.

    Beliau turut mengkritik keputusan penggantinya itu yang mahu menamatkan subsidi bekalan air untuk 20 meter padu pertama.

    “Hari ini atas nama penjajaran semula, Amirudin kononnya berikan kepada golongan B40. Tetapi dia lupa, akibat pandemik golongan M40 pun sudah jadi B40,” katanya.

    Azmin juga menyangkal hujah penyokong Pakatan Harapan (PH) bahawa rizab Selangor telah meningkat di bawah Amirudin.

    “Apa makna rizab besar yang digembar-gemburkan? Saya guna rizab untuk perbelanjaan pembangunan. Bukan kerja kerajaan untuk simpan rizab,” katanya lagi.

  • Rosmah cabar kes rasuah solar di mahkamah Persekutuan

    Rosmah cabar kes rasuah solar di mahkamah Persekutuan

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan bagi mencabar kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Peguamnya dari firma guaman Akberdin & Co memfailkan permohonan itu di mahkamah persekutuan semalam.

    Menurut salinan kertas kausa, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara itu mengemukakan enam persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

    Antaranya, jika Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 21 Mei 2021 kepada bekas hakim mahkamah persekutuan, mendiang Tan Sri Gopal Sri Ram, sebagai timbalan pendakwa raya kanan kes rasuahnya, yang berkuat kuasa 15 Nov 2018.

    Pasukan peguam Rosmah berhujah bahawa ini adalah isu kerana Idrus hanya dilantik sebagai peguam negara pada 2021, lapor Malaysiakini.

    Pada 22 Jun, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan kes rasuahnya.

    Asas untuk semakan kehakiman itu adalah bahawa kes rasuah terhadapnya adalah terbatal dari awal kerana dakwaan pelantikan ketua pendakwa kes solar itu, Gopal adalah tidak sah.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas menafikan permohonan kebenaran semakan kehakiman kepada Rosmah.