Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mahkamah arah bayar RM5 juta kepada budak 5 tahun lumpuh akibat kecuaian hospital

    Mahkamah arah bayar RM5 juta kepada budak 5 tahun lumpuh akibat kecuaian hospital

    MAHKAMAH Tinggi kelmarin mengarahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibayar lebih RM5 juta susulan saman ke atas doktor di sebuah hospital awam yang didakwa cuai sehingga mengakibatkan mangsa lumpuh.

    Kanak-kanak itu, Nur Adeena Mohd. Syahmir, yang dilahirkan pada 12 Mei 2020 melalui pembedahan Caesarean mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, mahkamah mempertimbangkan keterangan doktor pakar bahawa kanak-kanak itu berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun berdasarkan keadaannya dan kanak-kanak itu berhak mendapat pampasan mencukupi sepanjang hayatnya.

    “Tiada jumlah wang yang boleh mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu. Oleh itu, mahkamah hanya boleh memberikan jumlah mencerminkan kerugian dialami serta jumlah itu tidak boleh terlalu tinggi sebaliknya munasabah.

    “Mahkamah juga berpandangan jumlah ganti rugi diberikan mesti mengimbangi sebaik mungkin perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga plaintif (kanak-kanak itu),” katanya.

    Sebelum ini, hospital berkenaan menjalankan siasatan dalaman berhubung komplikasi terbabit selepas kelahiran kanak-kanak itu.

    Siasatan mendapati pegawai perubatan bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.

    Kanak-kanak itu melalui bapanya, kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan dan doktor terbabit dengan mendakwa mereka cuai serta gagal bertindak demi kepentingan mangsa.

    Akhtar berkata, mahkamah berpendirian pihaknya tidak diberi kuasa untuk menentukan tempat terbaik untuk rawatan atau cara rawatan.

    Katanya, tempat dan cara rawatan mesti ditentukan oleh penjaga dan dalam kes itu adalah ibu bapa.

    “Ibu bapa tidak boleh dibelenggu dengan beban memilih rawatan yang lebih murah berbanding rawatan yang lebih baik dan tepat pada masanya.

    “Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima dakwaan defendan (kerajaan) bahawa tempat rawatan terbaik adalah kemudahan kerajaan yang percuma atau murah.

    “Ini mungkin benar, tetapi faktor lebih penting dalam pandangan mahkamah ialah memutuskan apakah rawatan terbaik. Yang terbaik mungkin bukan yang termurah,” katanya lapor Berita Harian.

  • PRN: Tempoh paling panjang dalam sejarah selepas DUN bubar

    PRN: Tempoh paling panjang dalam sejarah selepas DUN bubar

    KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menganggap tempoh yang diberikan sebelum tarikh penamaan calon iaitu sebulan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merupakan suatu tempoh yang paling panjang dalam sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Sehubungan itu, beliau berkata, dalam tempoh itu, semua parti boleh menyempurnakan segala persiapan sebelum penamaan calon dijalankan.

    Sementara itu, bagi tempoh 14 hari untuk kempen sebelum hari pembuangan undi, Kon Yeow berkata, walaupun menyerupai tempoh yang diberikan sebelum ini, ia adalah mencukupi yang mana banyak kerja-kerja berkaitan boleh dilaksanakan sebelum tarikh penamaan calon.

    “Justeru, segala urusan penamaan calon dan lain-lain urusan berkaitan akan diselesaikan pada tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh pengundian bagi
    PRN di enam negeri diadakan serentak iaitu pada 12 ogos ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

    Sementara itu, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) negeri, Oh Tong Keong turut menyifatkan tarikh PRN yang ditetapkan SPR adalah ideal dan bersesuaian.

    “Tempoh kempen selama 14 hari juga adalah sama seperti kebanyakan pilihan raya umum sebelum ini sekali gus memberi masa yang sesuai buat pengundi untuk menentukan calon dan parti pilihan mereka,” katanya.

  • PRN: Pejuang terus berharap diterima sertai PN

    PRN: Pejuang terus berharap diterima sertai PN

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berharap Perikatan Nasional (PN) dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk parti itu bekerjasama dengan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia bagi memastikan pertandingan satu lawan satu khususnya antara gabungan PN dan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN kelak.

    Jelas beliau, Pejuang tidak mahu dilihat sebagai faktor ‘pengacau’ atau yang boleh memecahbelahkan undi khususnya undi Melayu pada PRN memandangkan penyatuan undi Melayu adalah cara terbaik untuk PN menentang PH-BN.

    Dalam pada itu, beliau menyifatkan maklum balas yang diterima daripada pemimpin PN untuk parti tersebut menyertai gabungan parti politik berkenaan sebagai tidak konsisten (pasang surut).

    “Respon pasang surut daripada PN, pada mulanya saya sendiri ada berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “Memang dari awal kami optimistik dan menerima respon positif, jadi apabila kami mohon sertai PN dan ditolak, kami rasa kecewa.

    “Tetapi sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia yang disampaikan oleh Prof. Dr. P. Sivamurugan di Universiti Sains Malaysia (USM), George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan hampir dua jam di rumah Dr. Mahathir di Kuala Lumpur bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.

    Menurut Mukhriz, pihaknya beranggapan penyatuan undi Melayu akan menjadi formula terbaik untuk memastikan kemenangan apabila berhadapan dengan gabungan PH-BN.

    “(Tetapi) buat masa ini, belum ada lagi keputusan dan kita menantikan kalau ada berita baik setelah Dr. Mahathir berjumpa Muhyiddin semalam,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, Pejuang juga tidak bercita-cita untuk menguasai politik negara atau membentuk kerajaan secara bersendirian kerana menyedari kemampuan mereka ketika ini.

    “Kita juga tidak bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar atau kerajaan secara bersendirian, kita mesti bergabung dengan pihak lain dan kita nampak PN adalah gabungan terbesar yang dapat beri saingan sengit kepada PH-BN dan Kerajaan Pusat,” katanya.

  • KDN serah nama pegawai JPN didakwa minta sogokan kepada SPRM

    KDN serah nama pegawai JPN didakwa minta sogokan kepada SPRM

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyerahkan nama seorang pegawai Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) yang dipercayai terlibat meminta sejumlah wang yang besar untuk kelulusan permohonan warganegara.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aduan berhubung salah laku itu dilaporkan terus kepada beliau.

    “Nama pegawai JPN yang meminta sogokan itu akan diserahkan kepada SPRM hari ini.

    “Sekarang ini ada aduan yang spesifik meminta wang daripada orang yang memohon warganegara yang apabila diketahui telah diluluskan maka diminta sejumlah wang dan itu perbuatan yang salah.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jadi bila ada aduan spesifik begitu dengan nama dan sebagainya, saya serah supaya berlaku adil, biar prosesnya mengambil tempat, SPRM siasat.

    “Kita tak boleh buat spekulasi bahawa ini satu-satu aduan, adakah seorang, tak bolehlah begitu.

    “Saya cuma sebut bahawa ini adalah aduan spesifik yang sampai kepada saya, segera saya adu kepada SPRM,” katanya pada sidang media khas di KDN, Putrajaya hari ini.

    Saifuddin menjelaskan, tidak ada sebarang pembayaran dikenakan dalam urusan permohonan kewarganegaraan dan pemohon tidak perlu melayan sebarang bentuk permintaan pembayaran.

    “Bagi permohonan kewarganegaraan ini ada satu ‘committee’ yang akan membuat pertimbangan dan akan mengesyorkan sama ada ia lulus atau tidak.

    “Pemohon akan dimaklumkan tentang kelulusan permohonannya dan tidak ada sebarang bayaran dikenakan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya amalan salah laku dalam kalangan pegawai JPN berhubung permohonan kewarganegaraan.

  • Pemimpin PH-BN gugup gelombang sokongan kepada PN – Idris

    Pemimpin PH-BN gugup gelombang sokongan kepada PN – Idris

    PEMIMPIN  Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dilihat sedang gugup mendepani situasi politik semasa dan gagal dalam tadbir urus pemerintahan kerajaan.

    Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad mengulas reaksi beberapa pemimpin PH-BN yang mendakwa mempunyai sokongan kuat untuk mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Malah, mereka menyatakan dengan begitu yakin akan dapat memberikan tentangan sengit serta berpotensi merampas Kedah dan Kelantan daripada dominasi PN dalam PRN enam negeri nanti.

    Pun begitu, mereka dilihat memberi motivasi palsu dengan janji akan mendedahkan data mengenai perkara itu, sedangkan para penganalisis politik menunjukkan dapatan kajian sebaliknya.

    Idris berkata,  PH-BN sebenarnya gugup dengan gelombang sokongan semasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) yang ditunjukkan menerusi undian atas talian dan kajian pakar-pakar.

    “Misalnya undian dibuat Sinar Harian menunjukkan 63 peratus sokongan kepada PN, 23 peratus PH dan 2 peratus untuk MUDA. Dia (PH) kata dapat tawan negeri-negeri diperintah PN, itu biasalah.

    “Masa PRU15 yang lalu pun dia (menerusi) INVOKE kata begitu juga. Tetapi hasil keputusan akhir adalah sebaliknya,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, lapor HarakahDaily.

    Menurutnya, PH terlalu gusar kerana hanya 11 peratus orang Melayu mengundi mereka pada PRU-15 lalu dan penipuan yang dibuat mereka pasca-PRU-15 telah memberi keraguan dalam kalangan penyokong PH.

    Tegas beliau, pengundi PH terutamanya masyarakat kaum Cina merasakan mereka ditipu antaranya berkaitan menentang rasuah dan korupsi UMNO, tetapi akhirnya undi PH akan dapat UMNO juga.

    “Jadi mereka (pemimpin PH) cuba untuk alih perhatian dengan idea kononnya mereka ada sokongan. Indikator mana mereka guna? Sumber kajian mana mereka rujuk? . Kalau lihat di lapangan pun mereka jauh ketinggalan dalam mendapatkan sokongan,” ujarnya mencari rasional terhadap dakwaan para pemimpin PH yang dilihat terdesak menjelang PRN enam negeri.

    Begitu juga kata beliau reaksi penafian para pemimpin PH-BN yang menerajui kerajaan dengan mendakwa keadaan ekonomi negara ketika ini bukan disebabkan faktor dalaman, tetapi adalah kerana situasi luaran atau global.

    Ustaz Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan penafian seperti itu menunjukkan kerajaan ketika ini gagal mencerap situasi sebenar dihadapi oleh rakyat.

    Kata beliau, kos sara hidup ketika ini begitu menekan di mana banyak harga barangan telah naik, termasuk terbaharu harga beras yang menuntut pemantauan ke lapangan diperluaskan oleh menteri-menteri berkaitan.

    “Jangan pergi hypermarket sahaja. Pergi turun tengok sendiri di pasar-pasar (harian), buat ukuran dan bandingan. Di situ yang jadi denyut nadi rakyat, di situ rakyat mendapatkan barang keperluan,” tegasnya.

  • Sanusi tempelak Saifuddin lebihkan politik berbanding kerja hakiki

    Sanusi tempelak Saifuddin lebihkan politik berbanding kerja hakiki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana dilihat terlalu memberi fokus kepada politik sedangkan kementerian tersebut berdepan terlalu banyak cabaran kebelakangan ini.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau secara peribadi tidak tahu bila masanya Saifuddin melaksanakan tugasnya selaku menteri kerana Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu banyak berada di Kedah.

    “Saya tak tahu bila beliau buat kerja sebagai menteri kerana banyak berada di Kedah hingga orang boleh masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jerkah Imigresen. Imigresen itu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), jadi saya nasihat agar beliau beri fokus kepada agensi di bawah KDN yang sedang berdepan banyak cabaran.

    “KDN ini kementerian yang ‘powerful’ dan ada pelbagai isu di melibatkannya seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kemasukan pelancong China yang tak balik ke negara itu dan sebagainya. Saya rasa tugas hakiki beliau sangat banyak.

    “Kalau nak berkempen boleh tetapi datanglah pada waktu malam atau hari cuti. Hari bekerja, pergila buat kerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Menjawab dakwaan Saifuddin baru-baru ini kononnya kerajaan negeri ditipu berkaitan projek melibatkan sebuah projek di Langkawi hingga Muhammad Sanusi terpaksa menipu rakyat Kedah, Menteri Besar itu berkata, perkara itu sudah dijelaskan berkali-kali sebelum ini bahawa projek tersebut adalah dijalankan oleh pihak swasta dan bukannya kerajaan negeri.

    “Dalam isu pelaburan Widad Langkasuka khususnya di kawasan seluas 768 hektar di Langkawi, tugas kerajaan negeri adalah meluluskan permohonan tanah dan syarikat itu kemudiannya membayar premium, yuran komitmen serta cukai tanah. Apa yang berlaku selepas itu adalah urusan syarikat swasta tersebut.

    “Syarikat ini berstatus ‘listed company’ dan bukan ‘cokia’. Mereka bukan milik kerajaan negeri serta berpangkalan di Kuala Lumpur dan apabila pada masa itu Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta kerajaan negeri yakin dnegan kemampuan, kita berilah syarat dan mereka perlu bayar premium tersebut.

    “Kerajaan negeri tak tanggung apa-apa kerugian malah memperolehi pendapatan kerana syarikat tersebut setiap tahun akan membayar cukai tanah berkenaan. Lagi pun syarikat itu mengumumkan jumlah pelaburan RM40 billion adalah untuk tempoh 15 tahun dan bukannya boleh dapat duit itu dalam tempoh sehari lepas umum pelaburan,” katanya.

    Beliau bagaimanapun mengalu-alukan kehadiran Saifuddin ke Kedah kerana Menteri Dalam Negeri itu juga merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri bagi Kedah dan tidak pernah sekali pun mengadakan mesyuarat lagi.

    “Dalam mesyuarat beliau sepatutnya mempengerusikan dan saya pengerusi bersama. Jadi beliau kena panggillah buat mesyuarat tetapi tak pernah pun buat begitu.

    “Kalau fokus banyak sangat pada politik, jadi begitulah. Jika mesyuarat itu dijalankan, semua perkara dapat diperincikan termasuklah 23 projek bagi Kampung Iboi di Baling yang terjejas dalam kejadian banjir sebelum ini.

    “Tetapi beliau kira nak main politik saja, lancar sana dan sini sambil kata orang itu dan ini tetapi kerja tak jalan,” katanya.

  • Muhyiddin-Mahathir setuju kukuhkan perpaduan Melayu, tingkatkan sokongan kepada PN

    Muhyiddin-Mahathir setuju kukuhkan perpaduan Melayu, tingkatkan sokongan kepada PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr.Mahathir Mohamad bersetuju pada  dasarnya untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

    Selain itu menurut Muhyiddin yang mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu malam tadi, mereka juga bersetuju untuk berusaha  meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi.

    ‘’Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua. Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus,’’ katanya dalam Facebook beliau.

    Dalam satu kenyataan semalam Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu.

    “Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.

    “Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pertemuan selama satu jam 45 minit itu, kata Khairuddin, merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.

  • Empat ditahan babit penemuan mayat lelaki Indonesia dalam bonet City

    Empat ditahan babit penemuan mayat lelaki Indonesia dalam bonet City

    TIGA lelaki bersama seorang wanita warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat di dalam bonet Honda City.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, mayat tersebut ditemui di tepi jalan Taman Sri Orkid, Seksyen 30 dalam keadaan berbungkus plastik hitam dan terikat.

    Beliau berkata, kejadian disedari oleh orang awam yang terhidu bau busuk dari kereta tersebut pada pukul 3.25 petang semalam.

    “Kereta tersebut telah diparkir di tempat kejadian selama dua ke tiga hari.

    “Siasatan polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama mangsa.

    Ramsay berkata, empat suspek masing-masing berusia lingkungan 40-an itu direman bermula hari ini sehingga Isnin.

    “Kejadian disyaki bermotifkan cemburu, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025.

  • Tinjauan dapati PN mampu tawan Selangor dengan 39 kerusi DUN

    Tinjauan dapati PN mampu tawan Selangor dengan 39 kerusi DUN

    TINJAUAN terbaru kebimbangan terbesar kepada UMNO menjelang enam pilihan raya negeri bulan depan, bahawa pengundi Melayu di Selangor yang menyokong parti itu pada pilihan raya lepas lebih cenderung mengundi calon Perikatan Nasional (PN).

    Dalam laporan tinjauan terbaru yang diterbitkan oleh ISEAS Perspective, jurnal dari Institut Kajian Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, seorang penganalisis politik dan ketua badan pemikir juga mendapati 39% pengundi Melayu yang mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas berkata mereka akan mengundi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Sementara itu, hanya 15% berkata mereka akan mengundi Pakatan Harapan (PH), yang menandatangani perjanjian dengan sekutunya di peringkat Persekutuan, BN untuk mengelakkan pertembungan pada pilihan raya.

    “Ini bermakna tidak ada perpindahan undi yang ketara antara pengundi Melayu PH dan BN di Selangor walaupun hakikatnya kedua-dua gabungan itu adalah rakan kongsi dalam kerajaan campuran di peringkat Persekutuan,” tulis Marzuki Mohamad, seorang penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa dan Khairul Syakirin Zulkifli, penyelidik sosio ekonomi di badan pemikir Institut Masa Depan Malaysia. 

    Kebolehpindahan undi dilihat sebagai kunci untuk memastikan kejayaan pakatan PH-BN, di mana penyokong setiap gabungan mesti membalasnya untuk menafikan kemenangan kepada PN.

    “Jika terdapat ‘full vote transferability’, kedua-dua parti akan menikmati keuntungan besar dalam pilihan raya. Tetapi jika tiada pemindahan undi, tidak banyak yang diperoleh parti daripada kerjasama itu,” tambah mereka. 

    Tinjauan itu melibatkan 1,200 pengundi dalam temu bual bersemuka yang dijalankan antara 1 Mac dan 20 April tahun ini.  Orang Melayu membentuk kira-kira 54% daripada penduduk Selangor, diikuti Cina (32%), India (13%) dan kaum lain 1%. 

    Komposisi etnik bagi kajian itu ialah 69% Melayu, 18% Cina dan 12% India, mencerminkan demografi pengundi di 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu yang menjadi tumpuan tinjauan.  Sebanyak 24% daripada sampel adalah dari kawasan luar bandar Selangor, 35% bandar dan 41% separa bandar. 

    Kumpulan umur mereka juga mencerminkan konfigurasi pengundi semasa, dengan 46% daripada mereka berumur antara 21-35 tahun. 

    Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, dan oleh kerana itu ia dilihat sebagai pusat pilihan raya, yang akan menyaksikan pengundi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos ini bagi memilih kerajaan negeri.  

    Dengan 56 kerusi untuk direbut, sebuah parti mesti menang sekurang-kurangnya 29 kerusi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

    Marzuki dan Khairul berkata meskipun negeri itu mungkin mengalami “angin perubahan” selepas satu setengah dekad di bawah PH, ia masih bergantung kepada kekuatan PN untuk menukar keadaan bagi manfaat mereka. 

    Mereka berkata fakta bahawa sebahagian besar responden yang “tidak pasti” atau tidak menunjukkan siapa yang akan mereka undi – kira-kira 46% – tidak mengejutkan dalam trend pilihan raya Malaysia.

    “Adalah satu peraturan tidak bertulis bagi pemilih Malaysia untuk memperuntukkan kepada parti pembangkang peratusan yang lebih besar daripada mereka dalam kategori ‘pengundi tidak pasti’ atas beberapa sebab,’’ katanya.

  • PRN : ”Nak kempen apa lagi…sekarangpun dah mula kempen” – Sanusi

    PRN : ”Nak kempen apa lagi…sekarangpun dah mula kempen” – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan tempoh berkempen selama 14 hari pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi sebagai berlebihan ketika pihak-pihak tertentu sudah pun memulakan gerak kerja kempen sejak kebelakangan ini.

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, sekarang ini pun pihak tertentu sudah memulakan kempen termasuk dengan melaksanakan fitnah dan mereka cerita tidak betul.

    “Saya rasa rakyat dah tahu apa yang sedang berlaku, jadi nak kempen apa lagi? Sekarang pun dah dimulakan (kempen) tetapi kalau mula dengan fitnah dan cerita tak betul, saya takut habis tempoh berkempen nanti masuk neraka semuanya. Mereka kata tak boleh bercakap tentang agama. Saya nak beri ingatan bahawa politik pun ada urusan agama juga. Ada dosa serta pahalanya dan kalau cakap tak betul atau fitnah orang lain, akan masuk neraka kalau tuhan tak ampunkan.

    “Takkan yang itu pun tak boleh bercakap? Kalau tak boleh teruklah kerana memisahkan agama dan politik seolah-olah dah jadi sekular. Macam zaman revolusi di barat sekularkan semua urusan kehidupan dan kita tak boleh buat begitu.

    “Dalam urusan politik, rumah tangga, ekonomi, Pejabat Menteri Besar dan pentadbiran, semuanya ada dosa pahala. Tak boleh pisahkan dan tak boleh larang orang bercakap benda itu kerana kita perlu ingatkan orang bahawa buat fitnah adalah dosa. Di akhirat nanti tunggulah, ada balasan dia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman Alor Setar hari ini.

    Beliau mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) serentak di enam negeri pada 12 ogos ini manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

    Mengulas lanjut Sanusi berkata, tarikh pengundian yang ditetapkan pada 12 Ogos itu cukup sesuai dan jemaah haji juga sudah pulang ke tanah air.

    “Lagi pun saya rasa mereka (Pemimpin kerajaan) perlukan masa kerana belum habis pusing di institusi pengajian tinggi (IPT) lagi,” katanya sinis.