Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kes adik mati dicekik : Abang mangsa buli di asrama

    Kes adik mati dicekik : Abang mangsa buli di asrama

    BAPA kepada kanak-kanak yang maut dicekik abang kandung tidak menyangka keceriaan tiga daripada empat beradik makan serta bergelak tawa sehari sebelum kejadian adalah kenangan terakhir mereka bersama.

    Najli Yakob,42, berkata, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu, namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.

    Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.

    Katanya, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik remaja terbabit sebelum berlaku tragedi hingga meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik.

    “Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur, dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat, akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya. Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu di Melaka, lapor SInar Harian.

    Katanya, meskipun reda dengan pemergian kanak-kanak, namun berharap kedua-dua pembuli itu dikenakan tindakan agar tiada lagi pelajar yang menjadi mangsa seperti yang terpaksa dilalui oleh anaknya hinggakan adik meninggal dunia.

    Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang anak berusia empat hingga 14 tahun itu, berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kelihatan lebih ceria termasuk ketika mereka bercuti bersama di Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

    “Saya rasa bersalah sebab tinggalkan mereka berdua bersama, keadaan saya lemah dan longlai selepas dihubungi isteri memaklumkan arwah telah tiada,” katanya yang bergegas pulang ke rumah dari Terengganu.

    Jenazah kanak-kanak lelaki itu dibawa ke rumah datuknya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu.

    Sinar Harian pada malam Rabu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya berusia 14 tahun dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu.

    Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

  • Parti komponen BN ganti kerusi ditandingi MCA,MIC – Zahid

    Parti komponen BN ganti kerusi ditandingi MCA,MIC – Zahid

    KERUSI  diperuntukkan kepada MCA dan MIC yang memutuskan tidak bertanding pada PRN akan ditandingi komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Bagaimanapun Zahid tidak menjelaskan lanjut sama ada kerusi itu akan ditandingi Umno atau rakannnya dikenali Friends of BN terdiri daripada Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

    Selain UMNO, MCA dan MIC, BN turut dianggotai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang bagaimanapun lebih cenderung sebagai parti tempatan bertanding di Sabah.

    Portal FMT melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 10 Julai.

    “Kita sebenarnya telah tetapkan kerusi (untuk) MCA dan MIC, kalau itu keputusan mereka…kita akan bincangkan. Kalau tak nak ambil (MCA dan MIC tidak bertanding), (kita) akan letak (tanding) bawah BN,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah.

    Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan kepada proses pengukuhan parti.

    Ahmad Zahid menafikan dua parti itu memboikot BN dan menghormati serta yakin mereka mempunyai alasan sendiri.

    “Mereka juga akan bantu kempen dan akan terus kerjasama,” katanya.

  • PRN: Tengku Zafrul tak bertanding 

    PRN: Tengku Zafrul tak bertanding 

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO  Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikatakan tidak berhasrat untuk melangkah ke gelanggang PRN, di sebalik spekulasi beliau antara pilihan sebagai menteri besar Selangor.

    Sumber parti memberitahu portal FMT bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memaklumkan perkara berkenaan pada pertemuan pemimpin tertinggi di Selangor serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

    “Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan tidak berhasrat untuk bertanding… dipercayai mahu tumpu tugas sebagai menteri. Persoalan beliau akan jadi Menteri Besar Selangor jika BN dan PH menang tidak lagi berbangkit,’’ kata sumber tersebut.

    Menurut sumber itu lagi, perkembangan ini mengurangkan kebimbangan PH tentang jawatan Menteri Besar, memandangkan Selangor dikuasai gabungan berkenaan sejak 2008.

    Naib Presiden PKR Amirudin Shari memegang tampuk kerajaan negeri sejak 2018 hingga DUN dibubarkan 23 Jun lalu.

    Spekulasi Zafrul mengintai peluang bertanding PRN di Selangor bertiup kencang apabila beliau berpindah bahagian dan menang jawatan Ketua UMNO Kota Raja tanpa bertanding pada pemilihan parti Mac lalu.

    Menurut laporan media, UMNO Kota Raja sendiri memohon pimpinan BN-PH mempertimbangkan Tengku Zafrul sebagai calon bagi DUN Sungai Kandis, yang sebelum ini disandang Zawawi Mughni dari PKR.

  • SPRM buru ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SPRM buru ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi ejen membawa masuk warga China semasa insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak menolak ejen yang meminta suapan sebanyak RM18,000 itu masih berada di dalam negara.

    Beliau berkata, pihaknya sedang giat memburunya dan suspek juga dipercayai bekerja dengan sebuah syarikat menguruskan kemasukan pelancong yang bertempat dalam premis KLIA.

    Beliau berkata, syarikat ejen pelancongan tersebut dipercayai telah beroperasi di dalam premis KLIA sejak 2017 bagi menguruskan tiket kapal terbang dan makan minum kepada kumpulan pelancong yang hadir ke Malaysia.

    “SPRM mengesyaki ejen yang menguruskan kemasukan warga China tersebut juga adalah dari negara China kerana menggunakan bahasa mereka sendiri dan berhubung secara WeChat.

    “Sehubungan itu, SPRM sedang berusaha keras untuk memburu ejen tersebut yang dipercayai masih berada di dalam negara. Namun pelancong wanita China yang menimbulkan kekecohan semasa ingin masuk ke negara ini telah pulang kembali ke negaranya bersama seorang rakan senegara,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023 dan majlis pelancaran aplikasi TikTok SPRM, di Putrajaya.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menahan kepulangan pelancong wanita China tersebut ke negaranya kerana dia bukan suspek untuk kes yang berlaku.

    Namun begitu kata beliau, wanita China itu telah diambil keterangan sebagai saksi berhubung kejadian tersebut sebelum berlepas pulang.

    Menurut beliau, selain wanita itu yang dipercayai mahu masuk ke negara ini sebagai pelancong, sekurang-kurangnya 14 orang termasuk seorang menteri telah diambil keterangan oleh SPRM.

    Selain itu tegas beliau, SPRM akan meneliti semua prosedur dan tatacara daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung kelulusan masuk ke Malaysia.

    Jelas beliau, semua perkara perlu diambil kira dan disiasat berhubung insiden yang berlaku di KLIA itu.

    “SPRM juga akan menyiasat syarikat ejen pelancongan yang beroperasi di dalam premis KLIA. Kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal berhubung kejadian ini kerana SPRM perlu melakukan siasatan secara adil dan profesional. Selain isu governance, SPRM juga perlu melihat jika terdapat pelanggaran peraturan atau tidak semasa insiden tersebut,” ujarnya.

  • Kanak-kanak 4 tahun maut dicekik abang

    Kanak-kanak 4 tahun maut dicekik abang

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik abang sulungnya berusia 14 tahun di Melaka.

    Dalam kejadian jam 12 tengah hari di Bukit Piatu itu, jiran mangsa dikenali sebagai Ain, 31, berkata, dia dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung daripada empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

    Menurut suri rumah itu, ibu mangsa menyedari insiden terbabit selepas melihatnya di telefon bimbit melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah sewa mereka.

    Katanya, mangsa tidak ke sekolah kerana mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya yang dipercayai mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu.

    “Abangnya pula seperti tidak sedar apa yang sedang dilakukan dan masih mencekik adiknya hingga beberapa jiran lain datang membantu,” katanya  lapor Sinar Harian.

    Katanya, remaja lelaki itu baik dan sering bermain dengan anak-anak jiran, namun keadaan dikatakan berubah selepas pulang dari sekolah tahfiz tempatnya belajar.

    Menurutnya, remaja itu didakwa pernah mengalami trauma seperti dirasuk baru-baru ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan perkara itu dan kejadian sedang dalam siasatan.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

  • Jangan seret KSN dalam ‘hal politik yang jelas’   – Bersatu ingatkan Anwar

    Jangan seret KSN dalam ‘hal politik yang jelas’   – Bersatu ingatkan Anwar

    BERSATU  hari ini mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkan pegawai tertinggi penjawat awam, Tan Sri Zuki Ali sebagai saksi kepada pendirian DAP mengenai program Melayu di mesyuarat Kabinet, menuduh Perdana Menteri cuba mengheret Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu ke dalam “hal politik yang jelas”. 

    Sasha Lyna Abdul Latif dari Biro Perlembagaan dan Undang-Undang Bersatu berkata kenyataan Perdana Menteri bahawa Zuki boleh membuktikan fakta DAP tidak pernah mempersoalkan program sedemikian adalah tidak wajar dan bertentangan dengan sikap berkecuali dalam perkhidmatan awam.

    “Seorang KSN bukan sahaja berkhidmat dengan kerajaan hari ini tetapi juga ketua kepada semua 1.7 juta penjawat awam di Malaysia. Peranan terpenting dimainkan oleh ketua setiausaha negara ialah dia menjadi, dan dilihat sebagai, tidak berat sebelah terhadap mana-mana parti atau tokoh politik. Daripada banyak-banyak orang, Perdana Menteri tidak boleh menjejaskan perkara ini,” katanya lapor Malaysianow.

    Mengulangi kenyataan KSN mesti kekal tidak berpolitik pada setiap masa, beliau berkata ia adalah “membelakangkan pentadbiran yang baik dan cekap untuk menjejaskan kesamarataan perkhidmatan awam”. 

    “Sebagai pemimpin politik kanan yang berpengalaman bertahun-tahun dalam kerajaan, Anwar sepatutnya tahu apa yang beliau lakukan,” Penyampaian perkhidmatan kepada rakyat adalah bergantung kepada perkhidmatan awam yang berfungsi dengan baik yang mengatasi politik kepartian,” tegasnya.

    Beliau juga mempersoalkan sejauh mana Zuki, yang juga pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, boleh tidak bersetuju dengan Perdana Menteri sekiranya berlaku ketidaktepatan. 

    “Sebagai seorang yang berada dalam jawatan di mana survival jawatannya adalah berdasarkan saranan perdana menteri, bolehkah beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan Perdana Menteri jika Perdana Menteri salah atau tidak tepat mengenai isu itu?

    “Anwar telah meletakkan orang nombor satu dalam perkhidmatan awam dalam keadaan serba-salah.”

  • 2 nelayan Vietnam ditembak, seorang pegawai APMM parah ditetak di perairan Terengganu

    2 nelayan Vietnam ditembak, seorang pegawai APMM parah ditetak di perairan Terengganu

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu terpaksa melepaskan tembakan susulan diserang kru bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri.

    Dalam serangan itu pada 11.30 pagi itu, seorang pegawai, Shakir Zufayri Azizul, 27, parah di kepala selepas ditetak dengan parang.

    Pengarah APMM Terengganu, Khairulanuar Abd Majid, berkata tekong dan dua awak-awak cedera di bahagian lengan kiri dan dua belah paha akibat terkena tembakan.

    Katanya, bot nelayan Vietnam yang dinaiki seorang tekong dan 15 awak-awak ditahan ketika operasi dijalankan melibatkan 18 lagi pegawai serta anggota APMM di lokasi 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.

    “Semua kru bot telah mengambil tindakan nekad dengan menyerang pegawai serta anggota APMM Terengganu yang berada dalam bot mereka. Turut cedera dalam kejadian itu ialah tekong dan dua lagi awak-awak nelayan Vietnam. Kedua-duanya cedera di bahagian lengan kiri dan kedua-dua belah paha akibat terkena tembakan,” katanya lapor Bernama.

    Khairulanuar berkata, mangsa termasuk nelayan Vietnam cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan segera.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bot berkenaan tidak memiliki permit, lesen sah serta dokumen pengenalan diri.

    “Semua nelayan asing telah ditangkap di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya.

  • Ugut pecah cermin kereta jiran, buruh dihadapkan ke mahkamah

    Ugut pecah cermin kereta jiran, buruh dihadapkan ke mahkamah

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut mahu memecahkan cermin kereta jirannya, pada Jumaat lalu.

    Ramlan Mohd Sanusi, 39, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada Hussin @Mohd Hussin Jaapar, 55, dengan kata-kata ugutan “aku lama berdendam dengan kau” dan mengugut akan memecahkan cermin kereta sambil memegang sebatang besi pencakar tanah.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Duyong Indah di Melaka pukul 4 petang pada 30 Jun lalu.

    Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding kes berlangsung.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Malik memohon jaminan rendah diberikan terhadap tertuduh yang perlu menanggung enam orang anak dengan pendapatan bulanan RM1,500.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • MCA,MIC buat keputusan tak tanding PRN

    MCA,MIC buat keputusan tak tanding PRN

    DUA parti komponen utama Barisan Nasional (BN) MCA dan MIC hari ini membuat keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

    Setiausaha Agung Chong Sin Woon berkata MCA membuat keputusan itu selepas mengambil kira “situasi politik semasa”.

    “Keputusan ini dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis, serta mengambil kira situasi politik semasa, di mana parti akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula,” katanya dalam kenyataan, tanpa huraian lanjut, lapor FMT.

    Beliau berkata, MCA akan memainkan peranan sebagai komponen BN untuk membantu calon gabungan itu pada PRN kelak.

    Dalam pada itu, Chong berkata MCA akan lebih menumpukan persediaan berdepan PRU-16.

    Beliau berkata, MCA menegaskan berpegang teguh kepada falsafah penubuhan partinya, iaitu mana-mana keputusan diambil parti harus selari prinsip Perlembagaan Persekutuan.

    “…yang menjamin kesederhanaan, kebebasan, dan demokrasi, di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” katanya.

    Pada 27 Jun, Pengerusi BN Zahid Hamidi beri jaminan MCA dan MIC akan diberi kerusi pada PRN di enam negeri.

    Katanya, jika ada sebarang desas desus mendakwa ada peminggiran dalam kalangan komponen BN perlu dihentikan, sambil menambah MCA dan MIC akan diberi kawasan sesuai dan “boleh menang”.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung, RT Rajasekaran, berkata keputusan sebulat suara itu susulan perbincangan lebih empat jam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, yang diadakan pada 30 Jun.

    “Keputusan ini telah dicapai selepas perbincangan selama lebih kurang 4 jam, setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC,” katanya dalam kenyataan.

    Terdahulu, pengundi di enam negeri Semenanjung akan memilih wakil masing-masing pada 12 Ogos, sementara pengundian awal pada 8 Ogos.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh, mengumumkan hari penamaan bagi PRU15 peringkat negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu pada 29 Julai.

    Ghani berkata, tempoh berkempen selama 14 hari bermula 29 Julai hingga 11 Ogos.

  • Kecoh di KLIA: SPRM mula siasatan penuh-Saifuddin

    Kecoh di KLIA: SPRM mula siasatan penuh-Saifuddin

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan penuh berhubung dakwaan berlakunya kegiatan rasuah di pintu masuk negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi pertemuan singkat hari ini.

    Saifuddin mengakui komitmen dan tahap perkhidmatan yang baik dilaksanakan sebahagian besar anggota dan pegawai Jabatan Imigresen.

    Namun katanya, dalam masa sama, jemaah menteri tidak menafikan penglibatan pegawai terbabit rasuah seperti insiden yang didakwa.

    “Jadi kami beri kerjasama penuh kepada SPRM meneruskan siasatan sehingga selesai untuk sahkan sama ada berlaku atau tidak,” katanya pada sidang media Khas di Putrajaya hari ini.

    Pada masa sama, Saifuddin berkata, barisan kabinet turut mengarahkan agar peranan sebuah syarikat yang dilantik bagi menguruskan pengembara yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) diteliti semula.

    Jelas beliau, syarikat yang dilantik sejak 2015 itu bertanggungjawab dalam menguruskan proses penghantaran pulang pengembara dikenakan NTL.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Misalnya urusan tiket kapal terbang untuk balik. Mungkin apabila diminta untuk membayar kos tiket, ia seolah-olah dianggap imigresen minta duit.

    “Jemaah menteri tadi minta Menteri Pengangkutan melihat aspek ini adakah ini amalan biasa atau bagaimana,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau juga menjelaskan, sejak Januari hingga Jun 2023, hanya 0.07 peratus NTL dikeluarkan terhadap pengembara dari China, berbanding sejumlah 592,490 kemasukan yang direkodkan.

    Katanya, angka tersebut amat kecil berbanding pengembara China yang dibenarkan masuk ke negara ini.

    “NTL juga dikenakan terhadap pengembara dari negara lain dan lebih tinggi berbanding NTL dikenakan terhadap warga China.

    “Ini gambaran lebih jelas menunjukkan jika sekatan dikenakan, pasti ada sebabnya,” katanya.

    Baru-baru ini tular mengenai kekecohan tercetus di KLIA apabila seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong dari China.

    Mengakui dirinya yang dikaitkan dengan kejadian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara.