Author: Wartawan WartaRakyat

  • CEO koperasi bergelar ‘Datuk’ ditahan terima suapan RM250,000

    CEO koperasi bergelar ‘Datuk’ ditahan terima suapan RM250,000

    SEORANG  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah koperasi bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima suapan lebih RM250,000.

    Sumber berkata, suspek disyaki menerima ‘duit kopi’ berjumlah ratusan ribu itu daripada pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman.

    Kata sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika diminta hadir di SPRM Kuala Lumpur jam 5 petang Rabu.

    “Suspek telah meminta dan menerima wang suapan dengan menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman tersebut.

    “Ia sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan bagi sebuah agensi penguat kuasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu,” kata sumber lapor Sinar Harian.

    Tambah sumber, kad ATM tersebut dipercayai telah ditemui dalam kawalan orang kena tuduh (OKT), selain suspek mengakui mengeluarkan wang beberapa kali menggunakan kad berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Kerajaan Kelantan sedia  bas pelajar IPT pulang mengundi

    Kerajaan Kelantan sedia  bas pelajar IPT pulang mengundi

    KERAJAAN Kelantan menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan tersebut diuruskan Jawatankuasa Khas yang diketuai Pejabat Perbendaharaan Negeri dan diurusetiakan Pejabat Pembangunan Negeri.

    Tarikh bagi perjalanan balik bermula 6 hingga 11 Ogos 2023 dan tarikh kembali ke destinasi pada 13 hingga 15 Ogos 2023.

    “Kerajaan Kelantan sangat menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara. Penglibatan mahasiswa dan mahasiswi sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak sangat besar dalam membina negara melalui pentas demokrasi,” katanya pada kenyataan hari ini.

    Menurut beliau juga hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

    Kata beliau kos perkhidmatan pengangkutan akan meningkat dan terhad disebabkan permintaan yang tinggi pada musim pilihan raya sehingga membebankan mahasiswa, mahasiswi dan ibu bapa.

    Menteri Besar juga berkata, mahasiswa dan mahasiswi bebas menggunakan hak mereka untuk memilih mana-mana calon atau parti politik yang bertanding tanpa terikat dengan apa jua syarat.

    “Semoga perkhidmatan tersebut dapat membantu meringankan beban mahasiswa, mahasiswi serta ibu bapa,” ujarnya.

    Keterangan lanjut hubungi Pejabat Pembangunan Negeri di talian 09-748 1180. 

  • PRN: Kumpulan kongsi gelap, NGO berisiko cetus kekacauan dalam radar polis

    PRN: Kumpulan kongsi gelap, NGO berisiko cetus kekacauan dalam radar polis

    POLIS Pulau Pinang telah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong oleh kongsi gelap yang mungkin boleh mengganggu serta mendatangkan kegusaran awam ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu kelak.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sudah mempunyai data dan senarai kumpulan terbabit dan kegiatan mereka sentiasa dalam radar pemantauan polis.

    Jelas beliau, polis juga sudah mengenal pasti lokasi di mana kumpulan terbabit berisiko untuk mempengaruhi dan mengganggu perjalanan PRN terutama ketika sepanjang tempoh berkempen.

    “Sekarang kita memerhati serta menjalankan tindakan risikan supaya mereka tidak menjadi orang tengah atau menimbulkan kacau-bilau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurut Kok Chin, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu perjalanan PRN kelak.

    Jelas beliau, pihaknya akan segera bertindak dan mengambil langkah pencegahan sekiranya mengesan sebarant unsur yang boleh mencetuskan gangguan oleh kumpulan terbabit.

    ”Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga menjalankan Op Cantas iaitu sebelum, semasa dan selepas PRN nanti,” katanya.

    Dalam kata itu, Kok Chin berkata, polis turut mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang yang berisiko menjadi kawasan panas (hotspot) sepanjang kempen PRN kelak.

    Jelasnya, dua kawasan ‘hotspot’ terbabit adalah di DUN Permatang Pasir di kawasan Seberang Perai serta DUN Bayan Lepas di bahagian pulau.

    Sehubungan itu, tambahnya, polis akan memberi tumpuan di dua kawasan terbabit berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh polis dari semasa ke semasa, namun keadaan setakat ini adalah terkawal.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, seramai 5,776 anggota dan pegawai polis akan bertugas sepanjang PRN Pulau Pinang bagi memastikan perjalanan PRN lancar.

    “Secara keseluruhannya di Pulau Pinang terdapat 23 pusat penamaan calon iaitu masing-masing 14 di kawasan pulau serta sembilan di bahagian Seberang Perai,” katanya.

  • Suspek sindiket dadah ditemui mati di lokap, gantung diri guna baju

    Suspek sindiket dadah ditemui mati di lokap, gantung diri guna baju

    SEORANG lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah ditemui maut di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang awal pagi hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek warga tempatan berusia 40 tahun itu ditemui maut oleh pegawai polis yang bertugas kira-kira pukul 10 pagi selepas dipercayai menggantung diri di jeriji besi lokap berkenaan.

    Menurut beliau, suspek merupakan salah seorang daripada lima suspek warga tempatan berusia 35 hingga 58 tahun yang ditahan polis dalam operasi terancang yang dijalankan di kawasan SPS dan Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan di Kulim, Kedah.

    Katanya, suspek yang berasal dari Lunas, Kulim itu ditahan semalam dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 12 tengah hari semalam hingga pukul 7 pagi hari ini.

    ”Menerusi siasatan terdapat tiga tahanan di dalam lokap yang sama dengan suspek dan mereka didapati tidur ketika kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurut Kok Chin, siasatan mendapati tidak ada kesan kecederaan jenayah pada suspek dan rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan suspek menggantung diri menggunakan baju di jeriji besi lokap.

    Ujar beliau, pihak koroner juga telah dipanggil untuk mengesahkan kematian suspek yang turut didapati positif dadah itu dan kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut.

    Mengulas mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang turut dianggotai oleh suspek terbabit, Kok Chin berkata, polis menjalankan empat serbuan dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk seberat 12.72 kilogram bernilai RM116,000.

    Jelasnya, hasil risikan mendapati sindiket itu telah bergiat aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Ahli perniagaan mohon ketepi empat pertuduhan minta, terima rasuah RM15 juta

    Ahli perniagaan mohon ketepi empat pertuduhan minta, terima rasuah RM15 juta

    SEORANG pengarah syarikat bergelar Datuk Seri memohon untuk mengetepikan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadapinya.

    Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, selaku pemohon yang memfailkan notis permohonan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, memohon supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.

    Sim mendakwa pendakwa raya selaku responden, telah melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan siasatan kes itu tidak lengkap.

    Ahli perniagaan itu juga memohon, supaya responden menyerahkan kepadanya pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan, di bawah Seksyen 51A (1)(c) KTJ dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah, lapor Bernama.

    Menurut Sim fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei, selepas beliau didakwa pada hari yang sama.

    “Fakta bahawa kedua-dua kenyataan beramaran pemohon yang telah direkodkan pihak SPRM pada 16 dan 28 Feb 2023, masing-masing mengandungi pelbagai kenyataan yang melepaskan, yang tidak menyokong mana-mana unsur kesalahan seperti dalam setiap pertuduhan rasuah yang saya hadapi,” katanya dalam notis permohonan.

    Pada 28 Jun, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan perbicaraan kes itu selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024.

    Sim didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

    Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.

    Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep), sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

  • PRN: Anak Annuar Musa kata belum dikenali, Annuar kata anaknya penyokong kuat

    PRN: Anak Annuar Musa kata belum dikenali, Annuar kata anaknya penyokong kuat

    KETUA Pemuda UMNO Ketereh yang juga anak kepada bekas pemimpin UMNO Tan Sri Annuar Musa menegaskan dirinya masih belum dikenali ramai untuk tampil menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Afiq Amani Annuar berkata, secara jujur dia menyedari kedudukan sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian yang baru dilantik.

    “Secara jujur saya sedar kedudukan saya. Saya baru dilantik sebagai ketua pemuda dan masih ramai belum mengenali saya.

    “Di Kelantan jika mahu menang, penting calon itu terbukti khidmatnya dan dikenali pengundi. Lebih ramai yang lebih layak jika BN serius mahu menang. Kita buat yang terbaik,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini,lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyatakan dia antara 155 nama yang dihantar BN Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan nanti.

    Ketua Penerangan UMNO negeri Zawawi Othman mengesahkan nama Afiq Amani diangkat kepimpinan Umno Bahagian untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.

    Menurutnya, Afiq Amani antara orang muda yang disenaraikan nama dan terserah kepada pucuk pimpinan parti memutuskannya memandangkan lima nama yang dihantar bagi setiap DUN.

    Annuar Musa

    SEMENTARA itu, Annuar pula menegaskan, biarpun berbeza parti politik namun Afiq tetap merupakan penyokong kuatnya.

    Malah kata Annuar, tidak akan berlaku pertembungan antara beliau dan Afiq pada PRN nanti.

    “Saya akan tengok perkembangannya, tak payah kalau-kalau, itu (pertembungan) takkan berlaku. Anak saya tetap merupakan penyokong kuat saya,” tegas Annuar ketika ditemui media selepas ceramah mega ‘Ppkat Pertahan Kelantan’ peringkat parlimen Bachok, malam tadi.

  • Ahli PKR mahu jadi calon PRN, boleh hantar borang pencalonan – Rafizi

    Ahli PKR mahu jadi calon PRN, boleh hantar borang pencalonan – Rafizi

    AHLI PKR yang berminat menjadi calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini, dipelawa tampil menawarkan diri dengan menghantar borang pencalonan masing-masing.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata tawaran itu dibuat sebagai antara usaha memulakan proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif.

    Beliau berkata, ia juga dapat meyakinkan bakat-bakat dalam kalangan anggota parti dan rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat melalui platform PKR.

    “Perkara ini sebenarnya sudah bermula dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu. Proses yang telus ini juga penting bagi meyakinkan pengundi bahawa PKR sebagai sebuah parti reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan berwibawa.

    “Oleh itu bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri pada Ogos ini, saya menjemput mana-mana anggota PKR yang ingin menawarkan diri sebagai calon untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Parti,” katanya lapor Berita Harian

    Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, berkata mana-mana ahli yang berminat boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org.

    Katanya, borang itu boleh diakses bermula Khamis sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai 2023, jam 5 petang.

    “Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah individu yang memohon mestilah anggota PKR yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis yang telah disahkan oleh Jabatan Insolvensi dan tidak memiliki rekod jenayah, selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat.

    “Mereka juga mesti mengisytiharkan harta serta bersedia untuk menandatangani bon ikrar setia sebagai wakil rakyat PKR,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Rafizi berkata, kepimpinan PKR di semua peringkat juga boleh menamakan calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

    Katanya, proses itu terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi PKR, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR.

    “Memahami sentimen pengundi yang mahukan parti menampilkan calon yang berkualiti, kita juga menetapkan proses saringan calon yang adil dan telus. Proses saringan ini akan dikendalikan Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan saya selaku Pengarah Pilihan Raya dan dianggotai tujuh Naib Presiden PKR.

    “Seperti termaktub dalam perlembagaan parti, kuasa memilih calon adalah hak mutlak presiden. Justeru, Jawatankuasa Calon bertanggungjawab membuat penapisan dan menyenarai pendek tiga calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden PKR yang akan memuktamadkan satu nama sebagai calon,” katanya.

  • ”Sebaiknya Mukhriz sokong PN kalau tak mahu Melayu berpecah” – Tuan Ibrahim

    ”Sebaiknya Mukhriz sokong PN kalau tak mahu Melayu berpecah” – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada masalah untuk Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Pejuang pada PRN namun menegaskan permintaan mendapatkan kerusi tidak boleh dipenuhi kerana agihannya telah selesai.

    Timbalan Presiden Pas itu berkata sebaiknya Pejuang yang diketuai bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyokong calon PN sekiranya tidak mahu melihat undi Melayu berpecah.

    “Kita menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin mengadakan kerjasama politik dengan PN bagi mempastikan kita berjaya dalam PRN ini. Namun soal kerusi yang akan dipertandingkan, kita telah selesai mengagihkan kerusi di kalangan Pas, Bersatu dan Gerakan (pada 26 Jun),. Sekiranya melibatkan kerusi untuk pertandingan, ia sukar dirombak,” katanya kepada portal FMT.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengulas kenyataan Mukhriz semalam bahawa partinya masih berharap dapat bekerjasama dengan PN pada PRN.

    Harapan itu dizahirkan Mukhriz susulan pertemuan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu yang bersetuju mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada PN pada PRN 12 Ogos depan.

    Merujuk keputusan PN menolak permohonan penyertaan Pejuang pada 21 Mac lalu, Mukhriz berharap komponen itu kali ini dapat mempertimbangkan sewajarnya kerjasama untuk mengelak pertembungan dan mewujudkan situasi satu lawan satu dengan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

    Beliau yang juga bekas wakil rakyat DUN Jitra mencadangkan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dapat disatukan bersama PN dalam berdepan PRN.

  • ‘’Muhyiddin-Mahathir bersekongkol pertahan cara,harta mereka’’ – Anwar

    ‘’Muhyiddin-Mahathir bersekongkol pertahan cara,harta mereka’’ – Anwar

    GABUNGAN  Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak akan terjejas, walaupun wujud kerjasama antara dua bekas perdana menteri, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Mengulas pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merintis kerjasama untuk gerakan Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata ia bukanlah suatu perkara yang baharu.

    “Kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka dan harta mereka. Jadi, kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara tercinta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Social Wellbeing Conference 2023 di sini hari ini, lapor BERNAMA.

    Mengenai keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding bagi PRN yang diadakan Ogos ini, Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh kedua-dua presiden parti berkenaan.

    “Mereka menyatakan peringkat ini tidak akan bertanding namun menyatakan sokongan…Saya mengucapkan terima kasih atas kesediaan mereka untuk membantu dan mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

    PRN yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

  • Rasuah,ubah wang haram : Bekas Setiausaha Bahagian KBS dihukum penjara 15 tahun, denda RM284.2 juta

    Rasuah,ubah wang haram : Bekas Setiausaha Bahagian KBS dihukum penjara 15 tahun, denda RM284.2 juta

    BEKAS Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd dihukum penjara 15 tahun dan didenda RM284.2 juta oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas 32 tuduhan rasuah dan 64 tuduhan pengubahan wang haram.

    Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati Otman bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan yang dilakukan sejak tahun 2012.

    Kamarudin membuat keputusan itu selepas memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, di akhir pembelaan, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun, Kamarudin membenarkan Otman yang diwakili peguam Rafique Rashid Ali menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan syarat wang jaminan ditambah RM300,000 dengan seorang penjamin.

    Beliau juga mengarahkan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk pelupusan tertakluk kepada rayuan dan permohonan dari mana-mana pihak.

    Mahkamah sementara itu membenarkan permohonan pendakwaan supaya semua harta dibenarkan dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Pada 31 Mac 2016, Otman mengaku tidak bersalah di atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil,  antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

    Pada 21 April 2016, Otman juga mengaku tidak bersalah atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.