Author: Wartawan WartaRakyat

  • Cuping telinga putus digigit rakan ketika sedang mengaji

    Cuping telinga putus digigit rakan ketika sedang mengaji

    SEORANG remaja lelaki di Indonesia putus cuping telinga kiri selepas digigit rakan ketika kedua-duanya sedang mengaji.

    Lapor media tempatan, insiden itu berlaku di Kecamatan Bugul Kidul, Kota Pasuruan, Jawa Timur.

    Akibat perbuatan suspek, mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

    Ketua Perhubungan Awam Jabatan Polis Kota Pasuruan, M. Junaidi berkata, insiden itu berlaku sekitar jam 4 petang (waktu tempatan) pada Rabu.

    Menurutnya, mangsa dan suspek yang berusia 12 tahun sedang mengikuti kelas mengaji sebelum berlaku pertengkaran.

    “Ustaz menyuruh anak muridnya membaca dibaca (tradisi membaca atau melantunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW).

    “Oleh kerana bacaan terlalu panjang, dia membahagikan tugas menyaksikan mangsa dan suspek diminta membacanya secara berganti-ganti.

    “Kedua-dua remaja itu juga diminta mendengarkan bacaan masing-masing,” ujar M. Junaidi.

    Tambahnya, pergaduhan tercetus apabila suspek enggan mendengar bacaan mangsa dan situasi itu menjadi tegang sehingga suspek menggigit cuping telinga rakannya sehingga putus.

    “Kejadian ini sudah dilaporkan oleh keluarga mangsa dan kita membuka kertas siasatan.

    “Apa pun, kes ini masih diteliti kerana kedua-duanya masih di bawah umur,” katanya, lapor Agensi.

  • Najib sekali lagi gagal gantung bicara kes 1MDB

    Najib sekali lagi gagal gantung bicara kes 1MDB

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal menggantung perbicaraan 1MDB dihadapinya selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhannya.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata mereka bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa tidak ada keadaan khas untuk menggantung perbicaraan.

    “Kami juga tidak bersetuju dengan peguam (Tan Sri Shafee Abdullah) bahawa rayuan Najib agar hakim perbicaraan menarik diri akan menjadi batal jika penangguhan tidak dibenarkan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

    Beliau berkata, tiada sebab kukuh untuk menangguhkan perbicaraan dan oleh itu, permohonan itu tidak mempunyai merit.

    Hadshariah menambah bahawa kepentingan awam menuntut perbicaraan itu perlu diteruskan.

    “Perbicaraan itu di peringkat lanjut kerana terdapat 173 hari prosiding dengan 46 saksi pendakwaan dipanggil setakat ini,” katanya, lapor FMT.

    Perbicaraan yang kini berada di penghujung kes pendakwaan, akan disambung semula pada Isnin.

  • Nk Persekutuan dengar permohonan Rosmah rayu batal kes rasuah solarnya pada 29 November

    Nk Persekutuan dengar permohonan Rosmah rayu batal kes rasuah solarnya pada 29 November

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 29 November untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes hibrid solarnya.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh itu.

    Tarikh pendengaran itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Faezahnoor Hassan hari ini. 

    Pada 22 Julai lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah, 72, atas alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.

    Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lepas bagi memohon kebenaran memulakan semakan kehakiman.

    Beliau menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan (mendiang) Gopal Sri Ram sebagai responden. Sri Ram meninggal dunia pada 28 Januari lepas.

    Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang. 

    Beliau turut memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung dari 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah dan beliau telah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan namun turut ditolak.

    Beliau kemudian memfailkan permohonan pada 5 Julai lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. 

    Menerusi permohonan itu, Rosmah meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan lima persoalan undang-undang. 

    Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. 

    Rosmah kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta.

  • PH-BN berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram

    PH-BN berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram

    PAKATAN Harapan (PH) berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram pada PRK kali ini, kata penganalisis yang menjangkakan peralihan sokongan dalam komuniti Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

    Peralihan itu didorong oleh ketidakpuasan hati terhadap situasi ekonomi semasa, dan bukannya sokongan tulen terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.

    Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan di kerusi yang dimenangi oleh Parti Amanah Negara (Amanah) sejak dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

    “Simpang Jeram agak kritikal. PH tak mustahil hilang kerusi jika lihat perkembangan sekarang,” katanya kepada FMT, sambil menarik perhatian kepada kedudukan DUN itu yang berdekatan Parlimen Pagoh dan kubu kuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    DUN Simpang Jeram yang terletak dalam Parlimen mempunyai sekitar 55% pengundi Melayu. Pernah dimenangi Pas pada PRU12 dan PRU13, PH merampasnya pada PRU14 dengan majoriti 7,687 undi. Usaha mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor 2022 menyaksikan kelebihan undi berkurangan, kepada 2,399 undi.

    Situasi lebih baik bagi PH di Parlimen Pulai, yang dijangka akan dapat mempertahankan kerusi itu namun dengan majoriti undi yang lebih kecil.

    Mazlan berkata, peratusan pengundi bukan Melayu mengatasi pengundi Melayu yang membentuk sekitar 44% pemilih akan memberi kelebihan kepada PH.

    “Sebahagian undi BN akan beralih kepada PN. Majoriti 33,000 mungkin berkurang,” katanya.

    “Jika lebih 80% pengundi bukan Melayu keluar mengundi, peluang PH pertahan tinggi.”

    Salahuddin merampas Pulai daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dengan kelebihan 28,924 undi.

    Pada PRU15, beliau menewaskan dua pencabar lain dengan 33,174 undi.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, trend sokongan pengundi kepada PN, dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun seperti yang ditunjukkan pada PRU15 dan PRN enam negeri baru-baru ini, akan menjadi cabaran buat PH-BN.

    “Sebab penolakan kepada UMNO dan kerajaan perpaduan adalah kerana mereka masih angkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara,” katanya kepada FMT, dan menambah mereka tidak nampak usaha perubahan berlaku dalam parti itu.

    Keduanya, kata ketua badan penyelidikan itu, kerajaan perpaduan tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu.

    “Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui mahasiswa di kampus, selebihnya tak ketara.”

    Hisomuddin meramalkan PH akan hanya dapat mempertahankan Pulai sekiranya pengundi bukan Melayu keluar mengundi.

    “Di Simpang Jeram, PH terdedah kepada boleh hilang kerusi.”

  • Lelaki gelandangan ditemui mati dalam longkang

    Lelaki gelandangan ditemui mati dalam longkang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki gelandangan ditemui sudah meninggal dunia dalam longkang di Jalan Sultanah, bandar Batu Pahat pukul 5 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam memaklumkan kepada anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berkenaan penemuan mayat tersebut.

    Susulan itu katanya, pihak polis dengan bantuan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat kemudian mengeluarkan mangsa.

    “Hasil pemeriksaan fizikal pada tubuh mangsa, mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsur jenayah. Si mati dipercayai telah jatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit di tempat kejadian dan lemas akibat pengaliran air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat orang awam, mangsa merupakan seorang gelandangan yang sering kelihatan di kawasan tersebut.

    Katanya, siasatan lanjut BN dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Pihak polis meminta orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak polis. Maklumat boleh juga disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat melalui talian 07-4363300.

  • Beri peruntukan sama rata kepada semua ADUN Selangor, saran Naib Pengerusi PKR

    Beri peruntukan sama rata kepada semua ADUN Selangor, saran Naib Pengerusi PKR

    NAIB Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyarankan supaya kerajaan perpaduan Selangor memberi peruntukan secara sama rata kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.

    R. Sivarasa menggesa kerajaan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan pemberian sama rata itu dan langkah tersebut selaras prinsip Pakatan Harapan (PH).

    “Secara prinsip saya sokong bahawa hak peruntukan sama rata mesti diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang,” katanya memetik laporan FMT.

    Menurut Sivarasa, sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal sejak 2008, isu peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat di peringkat Persekutuan seringkali dibangkitkan, namun belum dilaksanakan secara menyeluruh.

    “Perdirian ini saya utarakan lama, semasa jadi Ahli Parlimen lagi, tapi malangnya tidak dilakukan,” katanya.

    Seusai Pilihan Raya Umum ke-15 peringkat DUN Selangor, kedudukan di DUN menyaksikan kerusi pembangkang bertambah kepada 22 DUN.

    Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan baru-baru ini mengumumkan peruntukan sama rata akan diberikan kepada semua ADUN.

    Parti pemerintah di Kedah dan Perlis turut memberi jaminan ia akan berlaku adil kepada pembangkang.

  • Terengganu pertimbang wujudkan ‘pembangkang’ bukan macam UMNO

    Terengganu pertimbang wujudkan ‘pembangkang’ bukan macam UMNO

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Terengganu mahu mewujudkan kumpulan ‘pembangkang’ yang bukan macam UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Razali Idris berkata, parti pemerintah sedang mempertimbangkan untuk melantik empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam kalangan profesional, golongan minoriti bukan Islam, orang kurang upaya (OKU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai bidang.

    “Pembangkang yang kita nak wujudkan ini sudah tentu mereka yang membangkang untuk membetulkan kerajaan, bukan pembangkang yang bermatlamat macam UMNO dulu di Terengganu untuk meruntuhkan kerajaan,” kata Razali memetik laporan FMT.

    Perkembangan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 peringkat DUN Terengganu menyaksikan PN menawan semua 32 kerusi undangan negeri.

    Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata, undang-undang tubuh kerajaan Terengganu membolehkan kerajaan negeri melantik ADUN sekiranya ada kelompok tertentu tidak ada perwakilan.

    Razali berkata, pelantikan ADUN lantikan itu sudah dibincangkan namun masih lagi dalam penelitian.

    “Keputusan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.

    Ditanya sama ada pemerintah sedia melantik ahli politik parti yang tewas pada pilihan raya negeri (PRN) lepas, Razali berkata, keutamaan kepada golongan profesional yang bebas dari pengaruh politik.

    “Pembangkang yang kalah itu tak perlu. Mereka kena muhasabah diri kenapa rakyat tolak mereka. Tak pernah ada dalam sejarah Terengganu rakyat tolak 40-0… 32 DUN, lapan Parlimen,” katanya.

    Sebelum ini, bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyarankan kerajaan Terengganu melantik 10 Adun dalam kalangan NGO dan golongan minoriti yang akan berfungsi sebagai pembangkang.

  • Qari OKU Malaysia johan tilawah antarabangsa

    Qari OKU Malaysia johan tilawah antarabangsa

    QARI berstatus orang kurang upaya (OKU) dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, dinobat johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M, malam ini.

    Qayyim yang cacat penglihatan berasal dari Kelantan memperoleh markah 94.96%.

    Menurut Utusan Malaysia, Sara Belmamoun dari Maghribi pula dinobatkan sebagai johan tilawah kategori qariah.

    Sementara itu, Omar Toure dari Guinea dan Tebani Cheyma Enfal dari Algeria dinobatkan sebagai johan bagi kategori hafazan lelaki dan wanita.

    Keempat-empat mereka membawa pulang hadiah emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai, piala iringan, dan sijil.

    Hadiah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

  • Pembantu penguat kuasa CIDB didakwa terima suapan RM2,000

    Pembantu penguat kuasa CIDB didakwa terima suapan RM2,000

    SEORANG pembantu operasi unit penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Selangor didakwa di Mahkmah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,000 pada Ogos, tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Razif Rosli, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, pagi ini, lapro Utusan TV.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang ejen kepada CIDB iaitu pembantu operasi unit penguatkuasaan lembaga itu telah secara rasuah menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki berbangsa Cina berusia 37 tahun menerusi akaun bank milik tertuduh.

    Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan mengeluarkan notis kompaun terhadap sebuah syarikat pembinaan yang memiliki lesen pendaftaran CIDB yang telah tamat tempoh.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2022.

    Justeru, Mohd. Razif didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan agar tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

    Bagaimanapun, peguam Mohd. Shahril Madisa memohon agar mahkamah mempertimbangkan cadangan jaminan pihak pendakwaan itu direndahkan kepada RM2,000 memandangkan tertuduh menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah selain mempunyai bapa yang menghidap penyakit jantung.

    “Saya turut difahamkan bahawa tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang proses siasatan dan menghadirkan diri ke mahkamah hari ini dengan rela hati,” kata peguam itu.

    Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

  • Penagih dadah bakar rumah keluarga berang tidak dapat rokok

    Penagih dadah bakar rumah keluarga berang tidak dapat rokok

    BERANG tidak diberikan rokok, seorang penagih bertindak membakar rumah keluarganya dalam kejadian di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, suspek berusia 47 tahun yang baru keluar penjara didakwa mengamuk selepas adiknya enggan memberikan rokok kepadanya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Assisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, adiknya yang tidak tahan dengan amukan suspek kemudiannya ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan.

    Bagaimanapun, tambah beliau, ketika dalam perjalanan ke balai polis, dia dihubungi jiran yang memaklumkan rumah dua tingkat didiami mereka terbakar.

    “Jirannya memberitahu suspek telah membakar rumah terbabit, malah berjaya ditangkap di lokasi kejadian.

    “Suspek tinggal di rumah itu bersama ibu serta adiknya, namun ketika kejadian, ibu mereka berada di Balik Pulau,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, rumah dua tingkat itu dilengkapi lima bilik, dua bilik air dan ruang tamu dengan bahagian atas rumah adalah kayu manakala bahagian bawah simen.

    Ujarnya, kebakaran itu menyebabkan kemusnahan sebanyak 95 peratus termasuk empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

    “Kediaman jiran berhampiran turut disambar api dan terbakar di bahagian dinding dapur,” katanya.

    Mohd. Asri menambah, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku membakar langsir rumah dengan menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sendiri sehingga api marak dan membakar keseluruhan rumah.

    Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan memiliki 14 rekod kesalahan lampau.

    “Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.