Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bot sangkut di pokok nipah, 14 pelancong terkandas 4 jam

    Bot sangkut di pokok nipah, 14 pelancong terkandas 4 jam

    SERAMAI 16 orang termasuk 14 pelancong Korea Selatan terkandas kira-kira empat jam selepas bot yang dinaiki tersangkut pada pokok nipah di Sungai Bolong, Tuaran malam tadi.

    Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika bot terbabit membawa pelancong yang terdiri daripada sembilan wanita dan empat lelaki dewasa bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki serta dua jurupandu bot.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, mereka menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.50 malam sebelum menghantar 10 anggota ke lokasi.

    Katanya, tempat kejadian itu terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Tuaran.

    “Kita memindahkan semua pelancong dan jurupandu bot ke tebing sungai menggunakan bot penduduk kampung sebelum menyerahkan kepada syarikat pelancongan bertangunggjawab untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

    Abd Qawie berkata semua mangsa disahkan selamat.

    “Operasi kemudiannya ditamatkan pada 12.57 tengah malam selepas bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.

  • Kedah boleh lebih maju dari Selangor jika ada KL- Sanusi

    Kedah boleh lebih maju dari Selangor jika ada KL- Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin Jelapang Padi Malaysia itu mampu menjadi negeri paling maju jika Kuala Lumpur berada berhampiran mereka.

    Katanya, dengan itu juga hujah bahawa Selangor menjadi negeri termaju di negara ini kerana kerajan ditadbir Pakatan Harapan (PH) dapat disangkal.

    “Selangor hanyalah ‘bertuah’ kerana kebetulan berada dekat dengan Kuala Lumpur. Selangor bertuah kerana KL berada dalam wilayah negeri Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan… segala pusat ada di Kuala Lumpur.

    “Kalau Kuala Lumpur itu ada di Kedah saya yakin (kemajuan) Selangor akan berada jauh (di belakang) dari Kedah pada waktu ini, dan (kemajuan) Kedah yang ada Kuala Lumpur di dalamnya akan melonjak lebih jauh,”

    Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian dalam wawancara khas bersama belai dalam Facebook malam tadi.

    Mengulas lanjut, Sanusi berkata Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya kerana kebijaksanaan pimpinannya memerintah.

    Sebaliknya, Sanusi berkata, Selangor hanya menumpang tuah Kuala Lumpur.

    Katanya banyak daerah dalam Selangor yang berada jauh dari bandar raya, tidak mendapat pembangunan yang pesat, malah ada yang “lebih teruk” dari negeri lain.

    “Saya rasa Selangor bukan negeri yang boleh dijadikan model kebijaksanaan PH khususnya PKR. Mereka hanya menumpang tuah dari Kuala Lumpur,” katanya.

    Untuk rekod Selangor mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi Malaysia bagi 2022 iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada 2021.

    Kedah pula merekodkan KDNK sebanyak 3.2 peratus pada 2021.

    Menurut Sanusi, meskipun jauh ketinggalan berbanding Selangor negeri-negeri pimpinan PN tetap akan membuktikan bahawa mereka mampu menarik pelaburan ke negeri masing-masing.

    Keadaan itulah, dakwa Sanusi, menjadi ketakutan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).

    Disebabkan itulah katanya, kerajaan Pusat mahu merampas negeri terbabit walau dengan apa cara sekalipun.

    “Kalau tahun 2021 kita (Kedah) terima RM28.3 bilion, untuk 2022 RM13.4 bilion dan tahun ini untuk lima bulan yang pertama kita menerima RM5 bilion tidak mustahil kita boleh cecah belasan bilion ringgit pelaburan yang akan masuk ke Kedah.

    “Kalau semua pelaburan ini telah menampakkan hasil dalam tempoh beberapa tahun ini Kedah akan melonjak sebagai kuasa besar di Utara,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Sebab itulah, katanya, serangan bertali arus dibuat ke atas Kedah untuk merampas negeri berkenaan.

    Dakwa Sanusi, Kedah seolah-olah menjadi dara pingitan yang diidamkan pihak lawan.

    Sanusi juga turut mendakwa akan berlaku banyak lagi hal besar kepada negeri Jelapang Padi itu selepas pilihan raya negeri (PRN) kelak namun tidak menjelaskan lebih lanjut hal itu.

    “Saya akan pastikan ada satu perubahan besar kepada politik Malaysia berasaskan kepada pembetulan kepada sejarah yang telah dikecohkan,” katanya yang pernah membangkitkan isu pemilikan Pulau Pinang sebelum ini.

  • Mahkamah benar permohonan Rosmah tangguh rayuan rasuah projek solar

    Mahkamah benar permohonan Rosmah tangguh rayuan rasuah projek solar

    MAHKAMAH Rayuan minggu depan membenarkan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan Hakim Zaini Mazlan daripada kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion sudah dikosongkan.

    Mahkamah pada mulanya dijadualkan mendengar rayuannya terhadap hukuman dan sabitan dibuat Zaini susulan perbicaraannya tahun lalu.

    Panel tiga hakim diketuai Azizah Nawawi berkata, mahkamah berhasrat membenarkan penangguhan itu kerana ini permohonan pertama Rosmah untuk penangguhan.

    Katanya, pihak pendakwaan juga tidak membantah penangguhan itu, lapor FMT.

    Terdahulu, peguam Jagjit Singh berhujah penangguhan itu perlu kerana Rosmah sudah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan perbicaraan dengan mendakwa pelantikan pendakwa raya ad hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak sah.

  • Bertanding untuk kalah? Memang wajar MCA, MIC tidak bertanding – Sanusi

    Bertanding untuk kalah? Memang wajar MCA, MIC tidak bertanding – Sanusi

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Sanusi Md. Nor mencadangkan MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta menyertai gabungan pembangkang itu yang sedia menawarkan kerusi campuran kepada mereka pada PRN di enam negeri.

    Memetik laporan Malaysiakini, Sanusi berpendapat MCA dan MIC memutuskan tidak menyertai PRN di enam negeri disebabkan layanan tidak adil, khasnya membabitkan kerusi campuran yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).

    “Pada pandangan saya, bila BN berada bersama parti bukan Melayu dalam PH, khususnya DAP, jadi kerusi campuran ini terpaksa diberikan kepada PH dan kerusi untuk MCA, MIC tak ada lagi. Oleh kerana tidak diberi kerusi boleh menang, jadi bertanding untuk kalah lebih baik MCA dan MIC tak bertanding.

    “Saya rasa hal ini perlu dilanjutkan lagi dengan MCA dan MIC keluar BN. Ini lebih munasabah dan saya rasa kerusi campuran boleh diwakili MCA dan MIC kalau mereka jadi komponen PN,” katanya dalam wawancara khas di Facebook malam tadi.

    Sanusi juga tidak menolak keputusan MCA dan MIC tidak bertanding PRN sebagai isyarat bantahan terhadap Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

    Kelmarin, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan proses pengukuhan parti serta persediaan menghadapi PRU16.

    Tetapi, Zahid semalam menafikan dua parti komponen itu memboikot Barisan Nasional (BN), sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen untuk membantu jentera BN pada PRN di enam negeri.

    Sanusi yang juga Menteri Besar edah mendakwa Selangor maju bukan kerana ditadbir PH, tetapi disebabkan lokasinya berdekatan ibu negara, Kuala Lumpur.

    Justeru katanya, Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya disebabkan kebijaksanaan pemimpin yang memerintah kerana ia sekadar menumpang tuah daripada Kuala Lumpur.

    “Selangor bertuah kerana KL dekat dengan Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan, segala pusat ada di Kuala Lumpur.”

    Katanya, negeri lain termasuk Kedah boleh maju seperti Selangor jika ia terletak berdekatan ibu negara.

  • Isu integriti, rasuah kian parah bawah Anwar, kata Sanusi

    Isu integriti, rasuah kian parah bawah Anwar, kata Sanusi

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa masalah integriti dan budaya rasuah di negara ini lebih berleluasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Jelas Menteri Besar Kedah tersebut, dakwaan itu berdasarkan maklumat yang diberikan beberapa ahli perniagaan yang ditemuinya.

    Sanusi berkata, apa yang didengarnya itu sama sekali berbeza dengan apa yang dilaungkan Anwar yang bertekad untuk membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa.

    “Kalau bercakap soal integriti, rasuah, saya sebagai Menteri Besar bertemu dengan ramai ahli perniagaan, yang mana ahli perniagaan terpaksa bertemu dengan pemimpin politik dari kerajaan persekutuan.

    “Mereka beritahu saya keadaan yang berlaku dulu (rasuah, masalah integriti) tak pernah surut, malah makin ganas.

    “… walaupun di pihak Perdana Menteri (Anwar) bercakap berdegar-degar di khalayak awam (tentang rasuah) tetapi di keliling Perdana Menteri keadaan (rasuah, masalah integriti) masih berlaku.

    “Saya yakin keadaan ini diketahui oleh perdana menteri tetapi untuk memaparkan bahawa mereka ini kumpulan menentang rasuah, tapi sebaliknya keadaan berlaku lebih ganas lagi,” dakwanya dalam wawancara khas yang disiarkan melalui Facebook malam tadi.

    Mengulas lanjut, Sanusi turut mendakwa Anwar gagal memberi fokus kepada tugasnya sebagai Menteri Kewangan dalam usaha membawa negara mendepani krisis ekenomi.

    Sebaliknya, kata Sanusi, Anwar lebih gemar melakukan siri jelajah dengan menyampaikan ceramah-ceramah politik dan melontarkan propaganda agar rakyat menerima kerajaan yang disifatkan sebagai ‘kakistokrasi’ itu.

    Kakistokrasi bermaksud sebuah sistem kerajaan yang ditadbir oleh satu golongan yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa sebagai pemerintah.

    “Ketika rakyat sedang menghadapi krisis yang semakin hari semakin parah nampaknya Menteri Kewangan sedang menggelak untuk mengambil tanggungjawab itu.

    “Sebaliknya (dia) lebih berminat untuk menyampaikan ceramah dan di semua ceramah yang disampaikan dia mengambil kesempatan untuk melancarkan kempen bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang dan melontarkan propaganda bagi orang dapat terima kakistokrasi yang sedang mengisi kerajaan hari ini.

    “Rakyat Malaysia perlu membuat desakan habis-habisan supaya Menteri Kewangan mengambil tanggungjawab secara serius dalam isu-isu kewangan yang sedang dihadapi negara pada masa ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Senarai tular calon PAS Kelantan palsu, kata Tuan Ibrahim

    Senarai tular calon PAS Kelantan palsu, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan senarai nama calon parti itu bagi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan yang tular di media sosial sejak semalam palsu.

    “Apa yang saya boleh katakan, senarai berkenaan tidak betul sama sekali dan ia mula tular sejak semalam.

    “Biasalah, kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kira undi.

    “Namun, saya sahkan senarai berkenaan tidak betul dan palsu. Kita tidak tahu apa motif maklumat yang tidak betul itu disebarkan,” katanya menurut Harian Metro selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Kubang Kerian, malam tadi.

    Terdahulu, tular senarai nama dikatakan calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding di PRN Kelantan bulan depan.

    Dalam senarai itu, Tan Sri Annuar Musa yang juga pengerusi Muafakat Nasional dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, manakala Datuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula dikatakan bertanding di DUN Kijang.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula dikatakan akan mempertahankan kerusi masing-masing di DUN Pasir Pekan serta Panchor.

  • PAS mahu negeri terlibat PRN tiru Kelantan sedia bas percuma

    PAS mahu negeri terlibat PRN tiru Kelantan sedia bas percuma

    PAS mencadangkan agar semua kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah diambil oleh kerajaan Kelantan menyediakan kemudahan itu wajar ditiru oleh semua negeri.

    “Saya fikir tindakan itu sepatutnya ditiru oleh semua negeri.

    “Bukan (sogokan), bukan parti yang buat tapi kerajaan sediakan (kemudahan) dan tidak hadkan kepada penyokong parti, sesiapa saja.

    “Kita pun tak tahu mereka balik undi siapa,” katanya ketika ditemui media selepas program Ppakat Pertahan peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, malam tadi.

    Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan parti lawan yang menyatakan kemudahan bas disediakan kerajaan Kelantan kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi merupakan sejenis kempen.

    Isu tersebut timbul selepas kenyataan dibuat Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang memaklumkan tiket bas ke Kelantan habis dijual selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh berlangsungnya PRN.

    Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati dakwaan itu tidak benar apabila penjualan tiket bas ekspres baru sahaja dibuka mulai semalam.

    Susulan itu juga kerajaan Kelantan kemudiannya mengumumkan mereka menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi di negeri itu.

    Sementara itu Tuan Ibrahim mengalu-alukan negeri lain turut mengambil langkah yang sama bagi memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

    “Saya mengalu-alukan kalau boleh negeri lain juga, SPR pun nak tengok peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

    “Jadi segala elemen ke arah itu patut dipermudahkan,” ujarnya.

  • Kerjasama Pejuang bersama PN perlu diputuskan Majlis Presiden

    Kerjasama Pejuang bersama PN perlu diputuskan Majlis Presiden

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HASRAT Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menjalin kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditentukan oleh Majlis Presiden PN yang dianggotai semua presiden parti dalam gabungan tersebut.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau secara peribadi bagaimanapun merasakan bahawa parti itu yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir seharusnya menyokong PN dengan mengundi gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Keputusan diterima atau tidak Pejuang menyertai PN, itu saya tak mahu jawab kerana tertakluk di bawah Majlis Presiden PN. Kalau ikut saya, saya suruh beliau (Mukhriz) sokong PN saja dan undi PN pada PRN ni. Kalau beliau undi diri sendiri pun kalah juga. Untuk mengelak kerugian itu, undilah PN dan supaya tidak rugi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Operasi kepada 237 wakil Institusi Pendidikan Agama di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Sungai Petani, hari ini.

    Ketika ditemui pemberita di Pulau Pinang semalam, Mukhriz menzahirkan harapan agar pimpinan Perikatan Nasional (PN) dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu menyertai atau bekerjasama dengan gabungan tersebut.

    Katanya, Pejuang tidak mahu dilihat sebagai pengacau yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN kerana penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik bagi parti itu serta PN berdepan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, senarai nama calon Pas bagi PRN kali ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Saya ingat dalam dua tiga hari sebelum penamaan calon, kita akan umumkan senarai nama tersebut. Esok (Jumaat) kita akan hantar senarai di Majlis Syura Ulama Pas dan lusa (Sabtu), jawatankuasa pusat akan pilih daripada senarai tersebut,” ujarnya.

  • Yasin disahkan ada penyakit ‘bipolar disorder’, tidak waras ketika kejadian

    Yasin disahkan ada penyakit ‘bipolar disorder’, tidak waras ketika kejadian

    PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman disahkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak mempunyai  dan ‘hyperthyroidism’ selain tidak waras ketika melakukan kesalahan kes dadah, pada Mac tahun lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan perkara itu ketika membaca laporan hospital berhubung keadaan mental Yasin semasa prosiding kes di hadapan Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad.

    Sinar Harian melaporkan Ahmad Zuhaini berkata, terdapat tiga kesimpulan bahawa, tertuduh menghidap penyakit kecelaruan efektif atau bipolar disorder dan ‘hyperthyroidism’.

    “Tertuduh didapati tidak waras ketika kejadian namun kini, keadaan mentalnya bertambah baik, maka dia layak untuk dibicarakan serta mampu untuk membela diri.

    “Ini merupakan perkembangan baharu, jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes, bagi mendapatkan arahan baharu daripada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

    Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili penyanyi berusia 48 tahun itu berkata, susulan laporan kesihatan tersebut, pihak pembelaan percaya perbicaraan kes boleh diteruskan seperti mana yang ditetapkan ketika prosiding lalu.

    “Kami juga memohon suatu perintah dapat dikeluarkan iaitu pesakit ini dihantar semula ke hospital untuk diubati sehingga disahkan sihat oleh pihak perubatan.

    “Kami tidak membantah permohonan pasukan pendakwaan untuk mendapatkan arahan AGC tetapi bagi menjimat masa, kami cadang tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nik Nasimah menetapkan sebutan kes pada 9 Ogos depan manakala perbicaraan kes 28 dan 29 bulan sama.

    Dalam prosiding 8 Mei lalu, Nik Nasimah memerintah penyanyi yang popular dengan lagu ‘Mimpi Laila’ itu dihantar ke hospital bahagia selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

    Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi ini dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

    Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

    Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

    Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

  • Yasin semakin berisi, kesihatan bertambah baik

    Yasin semakin berisi, kesihatan bertambah baik

    ABANG  penyanyi nasyid dan komposer memaklumkan, Muhammad Yasin Sulaiman kelihatan semakin berisi selepas menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak selama dua bulan.

    Zain Sulaiman, 51, berkata, tahap kesihatan adiknya bertambah baik berbanding dua bulan lalu.

    “Dulu, berat badan dia hanya 48 kilogram, sampai nampak tulang tapi sekarang dia semakin baik, bertambah berat malah kami sekeluarga tengok kesihatannya semakin pulih. Alhamdulillah, setelah dirujuk ke hospital itu dan dibekalkan beberapa jenis ubat, dia kelihatan memberangsangkan, itu yang penting untuk keluarga,” katanya selepas prosiding kes dadah yang dihadapi Yasin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, lapor Sinar Harian

    Dalam prosiding 8 Mei lalu, Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad memerintah penyanyi yang popular dengan lagu ‘Mimpi Laila’ itu dihantar ke hospital bahagia selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

    Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi ini dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

    Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

    Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

    Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.