Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘MCA tak tanding PRN untuk kendurkan ketegangan kaum’

    ‘MCA tak tanding PRN untuk kendurkan ketegangan kaum’

    NAIB Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan bagi mengendurkan ketegangan kaum.

    Beliau juga membangkitkan rasa tidak senang dengan dakwaan serangan politik dengan memomokkan dan menakutkan pengundi menggunakan isu perkauman.

    Serangan itu, katanya, sama seperti propaganda DAP sebelum ini bahawa UMNO parti perkauman yang menyebabkan masyarakat Cina membenci UMNO.

    “MCA percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasikan untuk menimbulkan kebencian semata-mata untuk mengaut undi dalam PRN enam negeri nanti,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Jsuteru katanya, MCA berkorban demi untuk kembali menjadi jambatan perhubungan etnik walaupun dibenci oleh ‘penyokong Malaysian Malaysia’.

    “Keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam persengketaan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan sebagai senjata adalah untuk merenggangkan ketegangan perkauman dan keagamaan yang semakin ketara dan mengancam ketenteraman negara,” katanya.

    MCA dan MIC, kelmarin memutuskan tidak menyertai pilihan raya negeri tetapi akan terus memainkan peranan sebagai parti komponen BN, yang kini bersekutu dengan Pakatan Harapan (PN).

    Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan tindakan itu sebagai boikot kerana jentera parti-parti itu turut digerakkan membantu calon BN di kesemua enam negeri.

    Perikatan Nasional (PN) mengaitkan tindakan itu dengan pembahagian kerusi pilihan raya dan menasihatkan parti Cina dan India itu meninggalkan BN.

    Sementara itu, Ti berkata, MCA tidak setuju dengan penggunaan ‘perpaduan’ semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiayai mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci.

    “MCA menyarankan bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia dan polemik agama dan etnik haruslah dihentikan dengan serta-merta.

    “Tumpuan sepatutnya diberi pada pembinaan negara dan bukannya pembinasaan negara. Ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggu.

    “Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah!

    “Lebih-lebih pagi penyokong Pas dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya,” katanya.

  • Jika ikhlas sertai PN, Gerakan sedia korban kerusi untuk MCA, MIC

    Jika ikhlas sertai PN, Gerakan sedia korban kerusi untuk MCA, MIC

    GERAKAN sedia mengorbankan sebahagian daripada 36 kerusinya kepada MCA dan MIC jika parti itu ikhlas menyertai Perikatan Nasional (PN) menentang Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada PRN bulan depan.

    Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong, berkata pihaknya sedia kembali ke meja rundingan jika dua parti berkenaan menerima pelawaan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Sanusi Md. Nor untuk bertanding bawah simbol gabungan itu di kerusi campuran.

    Menurut Mak, walaupun pengagihan 245 kerusi DUN di enam negeri selesai antara komponen PN “Gerakan tiada masalah bertanding sedikit kerusi kerana tujuan utama adalah memenangkan calon kita.”

    Mak percaya Sanusi ikhlas membuat pelawaan itu dan Gerakan menyambut baik saranan berkenaan, malah sedia mengorbankan kerusi ditetapkan untuknya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Cadangan itu baik, walaupun telah tetapkan tetapi kalau MCA dan MIC, keluar daripada BN masuk PN, kita boleh bincang balik bersama,” katanya kepada FMT.

    “PN ikhlas (tawarkan) dan jika mereka (MCA, MIC) datang, kita akan tawarkan (kerusi Gerakan). Saya setuju dengan cadangan tersebut,” katanya mengulas tawaran Sanusi kepada komponen BN itu bertanding di kerusi campuran pada PRN enam negeri.

    Sanusi juga tidak menolak keputusan MCA dan MIC tidak bertanding PRN sebagai isyarat bantahan terhadap Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

    PRN akan diadakan pada 12 Ogos ini di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    Bagaimanapun, pendirian Gerakan itu berbeza dengan nada Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang berkata, rundingan kerusi dengan Pejuang tidak boleh dilaksanakan kerana agihannya dengan parti komponen PN telah selesai.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sebaiknya Pejuang diketuai bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyokong calon PN jika tidak mahu undi Melayu berpecah.

  • Mahkamah Tinggi diarah dengar semakan kes rasuah Bung Moktar, Zizie

    Mahkamah Tinggi diarah dengar semakan kes rasuah Bung Moktar, Zizie

    MAHKAMAH Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri atas tuduhan rasuah.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, membuat keputusan itu secara sebulat suara hari ini.

    Hadhariah berkata, permohonan pasangan berkenaan tidak didengar oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu, kerana semakan itu ditolak atas alasan teknikal.

    “Dalam permohonan untuk semakan, mahkamah bertanggungjawab untuk mempertimbangkan meritnya.

    “Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan dalam kes ini apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu atas alasan peguam (pasangan terbabit) memfailkan permohonan menggunakan kaedah salah.

    “Pengurusan kes untuk permohonan semakan itu ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 14 Julai ini,” katanya lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, manakala Bung Moktar dan Zizie Izette masing-masing diwakili peguam, M Athimulan and Datuk K. Kumaraendran.

    Pada 9 Disember tahun lalu, pasangan terbabit gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah.

    Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan terbabit.

    Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Bung Moktar, 66, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah sama, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 46, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

  • Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

    Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

    SATU lagi mayat ditemukan dipercayai mangsa lemas yang dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, penemuan mayat itu menjadikan seorang lagi baki mangsa yang masih hilang.

    Jelasnya, mayat dipercayai lelaki tersebut dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sekitar pukul 9.20 pagi.

    “Mayat tersebut dijumpai dengan cukup sifat terdampar di atas beting pasir di sektor A.

    “Mayat dibawa naik dari sungai itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Bagaimanapun, identiti masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana pengecaman mayat belum dibuat waris.

    Setakat ini, lapan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

    Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

  • Bekas pemain bola sepak Liga Super ditahan terlibat kes samun

    Bekas pemain bola sepak Liga Super ditahan terlibat kes samun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut, Pontian Isnin lalu.

    Suspek, 33, diberkas selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

    Menurut sumber, lelaki terbabit diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.

    “Apabila polis cuba menahannya, suspek yang enggan memberikan kerjasama cuba bertindak agresif menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.

    “Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan,” katanya.

    Menurutnya, bekas pemain bola sepak itu bersama rakannya di tahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Abdul Hamid Abd Rahman mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan.

    Mengikut rekod, bekas pemain bola sepak terbabit pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.

    Malah juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.

    Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.

  • Dominic Lau dijangka berdepan 3 pencabar dalam Pemilihan Gerakan

    Dominic Lau dijangka berdepan 3 pencabar dalam Pemilihan Gerakan

    RUNDINGAN yang dijalankan secara dalaman bagi memastikan Datuk Dr. Dominic Lau kekal dengan jawatan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tanpa perlu bertanding dalam pemilihan parti itu nampaknya menemui kegagalan.

    Setakat ini dijangkakan ada sekurang-kurangnya tiga nama akan mengemukakan borang pencalonan esok untuk mencabar Lau.

    Mereka ialah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Lau Hoi Keong, Pengerusi Gerakan Melaka, Michael Gan, dan Bekas Setiausaha Agung parti itu, Liang Teck Meng.

    Malaysiakini difahamkan sebelum ini terdapat percubaan untuk meyakinkan ketiga-tiga mereka agar bekerjasama dengan membentuk satu pasukan bagi meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam pemilihan.

    Ketika dihubungi semalam, Hoi Keong mengesahkan beliau akan mencabar Lau.

    Beliau juga mengumumkan penyandang setiausaha agung parti berkenaan, Mak Kah Keong, sebagai pasangannya.

    sementara itu, Gan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau sudah menjadikan Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Kiew Hen Chong, sebagai regunya.

    Gan berkata, jika dipilih sebagai Presiden parti, beliau tidak akan mengubah strategi parti terbabit untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

    “Jika saya dipilih, saya akan kekalkan keputusan yang dibuat dan calon. Tiada masalah,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Gan turut berjanji akan menjemput Lau untuk membantunya semasa pilihan raya negeri.

    Sebelum ini, Lau yang mengetuai Gerakan sejak 2018 memberitahu Malaysiakini beliau mengekalkan penyandang Timbalan Presiden, Oh Tong Keong, sebagai pasangannya.

    Sementara itu Liang tidak mendedahkan siapa tokoh yang menjadi regunya dalam pemilihan kali ini.

    Lau akan mempertahankan jawatan Presiden parti buat pertama kali apabila parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu mengadakan pemilihan pada 15 Julai ini.

    Ia menarik perhatian kerana seseorang yang menjadi presiden akan mempunyai kuasa besar untuk menentukan senarai calon bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.

  • Anwar pembohong, gagal kemuka bukti seperti dijanji – Tun M

    Anwar pembohong, gagal kemuka bukti seperti dijanji – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pembohong demi kepentingan peribadi dan sejak 25 tahun lalu tidak pernah memberikan bukti kukuh menunjukkan bekas Perdana Menteri itu pernah menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan.

    Dalam sanggahan 60 halaman terhadap pernyataan pembelaan Anwar terhadap saman fitnahnya, Mahathir menegaskan, bahawa defendan merujuk kepada apa yang dipanggil dokumen sebagai bukti tetapi akan memberi alasan apabila enggan mendedahkan bukti tersebut.

    Ahli politik veteran berusia 97 tahun itu menegaskan pembelaan Anwar tidak mengandungi sebarang bukti walaupun pengerusi PH itu pada 7 April lalu dilaporkan media sebagai berkata, sedia untuk mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap plaintif.

    Mahathir mendakwa ia bertentangan dengan pendapat Anwar tentang kerajaan menyelamatkan KPB (kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd), sebuah syarikat yang anak plaintif, Mirzan, adalah pemegang saham majoriti dan pengarah.

    Defendan sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu (Mac 1998) memberitahu media bahawa ia bukan langkah penyelamatan tetapi sekadar ‘keputusan perniagaan’.

    Mahathir berkata Anwar yang merupakan sebahagian daripada jemaah menteri pada awal dan pertengahan 1990-an berada di Parlimen pada 1997 untuk memberitahu Ahli Parlimen Lim Guan Eng bahawa penjualan saham Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam MISC Bhd kepada Petronas bukanlah satu tindakan ‘bailout’.

    Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan Anwar ketika itu memberitahu Dewan Rakyat perjanjian tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran ketika itu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana perniagaan milik keluarga yang meminta bantuan kerajaan.

    “Ini jelas menunjukkan defendan mempunyai ciri-ciri pembohong. Ini kerana defendan mempunyai pendirian yang berbeza (pada 1990-an) daripada apa yang dinyatakan dalam pembelaannya hari ini.

    “Begitu juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini untuk mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

    “Ini menunjukkan defendan akan berkata sesuatu dan kemudian mengubah pendiriannya sambil memfitnah asalkan ia memenuhi faedah peribadi defendan,” kata Mahathir, lapor Malaysiakini.

  • Kerajaan tiada hala tuju ekonomi, PM ‘sibuk dengan rakan kongsi baru’, kata Azmin

    Kerajaan tiada hala tuju ekonomi, PM ‘sibuk dengan rakan kongsi baru’, kata Azmin

    KEPIMPINAN Putrajaya dilihat masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam mengemudi ekonomi negara ketika situasi ekonomi tempatan semakin mencabar, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Katanya, keadaan itu mengakibatkan kemarahan dan kebangkitan rakyat yang semakin memuncak terhadap kerajaan, membabitkan golongan kelas berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

    “Apabila kadar polisi semalaman (OPR) dinaikkan pada 3 Mei lalu, kos pinjaman di bank-bank akan menjadi lebih mahal daripada sebelum ini.

    “Kita juga melihat pelabur asing tidak yakin dengan kepimpinan Putrajaya kerana mereka melihat tiada kebijakan ekonomi komprehensif,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

    Media melaporkan pelabur asing menjual RM4.19 bilion saham di Bursa Malaysia dalam masa enam bulan pertama tahun ini.

    Rabu lalu Bursa Malaysia ditutup pada 1,389.90 mata, susut dua 2.59 mata.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan sebelum ini mengakui sanggup untuk mengambil tindakan ‘flip-flop’ demi rakyat, apabila mengumumkan tidak akan menarik semula subsidi ayam dan telur, meskipun diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu penarikan di Dewan Rakyat.

    Azmin, yang merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dipecat berkata, pengakuan itu adalah perkara serius yang memberi kesan aspek kepastian dalam satu-satu dasar.

    “Apabila kerajaan mengakui ini adalah kerajaan ‘flip-flop’, pelabur-pelabur asing bimbang pelaburan mereka dalam jumlah yang besar akan terkesan.

    “Jika pelabur-pelabur asing tinggalkan (negara), peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda akan terkesan,” katanya.

    Kritikan turut dilempar pengkritik kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung kejatuhan bursa saham dan nilai ringgit.

    Rafizi berkata, nilai ringgit yang merudum membawa kebaikan kepada negara.

    Selain itu, beliau juga berkata Bursa kurang berkilau, ketika mengulas mengenai pasaran saham tempatan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, penurunan nilai ringgit menyebabkan negara menjadi semakin tidak kompetitif.

    “Antara komponen besar import negara adalah ‘intermediate goods’. Sebahagiannya bahan-bahan mentah berkualiti yang tiada dalam negara. Kita akan pasang dan beri nilai tambah sebelum mengeksport semula.

    “Jadi apabila barangan-barangan ini menjadi semakin mahal, kita tidak akan mampu mengimport,” katanya.

    Baru-baru ini, Anwar mendedahkan ‘geng kaya’ yang ingin berkomplot menjatuhkan pentadbiran beliau.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun tidak mendedahkan siapa yang dimaksudkan dengan golongan kaya.

    Namun bagi Azmin, kenyataan seperti itu tidak wajar diucap oleh seorang Perdana Menteri.

    Ini kerana Anwar sebagai Perdana Menteri harus bertanggungawab menjaga pelabur-pelabur asing dan tempatan.

    “Mereka tidak harus diberikan tanggapan negatif seperti ini.

    “Sekiranya benar beliau diugut oleh golongan kaya, bukti harus dikemukakan kepada pihak berkuasa.

    “Tidak boleh sewenang-wenangnya beliau wujudkan satu persepsi negatif,” katanya.

    Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu juga berkata, Anwar harus meletak jawatan jika ditolak oleh golongan kaya dan miskin.

    Beliau merujuk kepada dakwaan Anwar sebelum ini mengenai orang miskin yang diupah untuk membuat kekacauan.

    “Kalau orang miskin tolak beliau, orang kaya tolak beliau, eloklah letak jawatan.

    “Beliau hari ini terlalu sibuk untuk menjaga rakan-rakan kongsi baru dalam kerajaan campuran.”

    Azmin berkata, Anwar kini tersepit antara rakan-rakan gabungan dalam kerajaan campuran.

    “Beliau kena jaga hati Ahmad Zahid Hamidi dan tuntutan daripada DAP.

    “Maka beliau hilang fokus dan pertimbangan untuk memberi tumpuan kepada persoalan ekonomi, hubungan antarabangsa dan keperluan rakyat hari ini.”

  • Azmin kembali bertanding di DUN Hulu Kelang?

    Azmin kembali bertanding di DUN Hulu Kelang?

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali didakwa akan bertanding di DUN Hulu Kelang untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada bulan depan.

    Spekulasi berkenaan perkara tersebut didakwa selepas bekas Menteri Besar Selangor itu aktif di DUN Hulu Kelang menjelang PRN.

    Sumber PN memaklumkan, bekas Menteri Besar Selangor itu membuka pusat di DUN Hulu Kelang dan sudah memulakan gerak kerja.

    Seawal Februari lalu Azmin mengumumkan ‘berehat sebentar’ daripada politik dan mahu membuat perancangan baharu.

    Pada konvensyen jentera PN Selangor di Shah Alam bulan lepas, beliau menyatakan sedia untuk bertanding PRN sekiranya diarah parti.

    “Kemungkinan besar dia calon di Hulu Kelang,” kata sumber berkenaan kepada FMT.

    DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.

    Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket Pas mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang, kerana masalah kesihatan.

    Sumber menyifatkan Azmin sebagai seseorang yang ‘dekat’ dengan DUN Hulu Kelang.

    “Dia memang orang Hulu Kelang. Kalau ikut sejarah dia, pada 1999 pertama kali dia menang adalah sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Hulu Kelang. Jadi PRN kali ini dia kembali ke Hulu Kelang.”

    Pada PRU15, Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga anak didiknya.

  • PRN:PN usah rasa selesa dengan gelombang hijau- Sanusi

    PRN:PN usah rasa selesa dengan gelombang hijau- Sanusi

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan semua kepimpinan dan jentera Perikatan Nasional (PN) terutama Pas diingatkan untuk tidak berasa selesa dengan tsunami gelombang hijau yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ini kerana pola pengundian boleh berubah-ubah.

    “Apa yang penting ketika ini ialah kerja keras bagi mengekalkan momentum yang ada dalam berdepan pilihan raya di enam negeri.

    “Kemenangan besar dicapai Pas terutama di Terengganu pada PRU15 tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk PRN kali ini.

    “Justeru saya harap jentera daripada PN, Pas dan lain-lain supaya tidak berasa selesa dengan kedudukan yang ada, dengan momentum yang ada.

    “Kita teruskan… Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan yang lebih baik berbanding pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan PN mempunyai strategi tersendiri dan tidak gentar terhadap keyakinan BN bersama rakan gabungannya untuk menawan Terengganu dan Kedah pada PRN kali ini.

    “Masa PRU 2018 dikatakan Pas hanya menang satu kerusi di Kelantan dan akan lenyap di Terengganu tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Jadi saya tak ambil ‘port’ apa yang dikatakan oleh mana-mana sama ada Pakatan Harapan (PH) atau BN yang mengatakan mereka mendapat momentum.

    “Bagi kami, kita ada kerja-kerja yang perlu dibuat dihadapan. Ada kajian yang dibuat dan kita tidak ‘syok sendiri’ dengan kajian-kajian itu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Selasa lalu, Pengarah Pilihan Raya Barisan BN, Datuk Seri Mohamad Hasan optimis gabungan BN dan PH mampu merampas Terengganu dan Kedah daripada pembangkang.

    Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO itu berkata hasrat itu perlu diikuti dengan gerak kerja yang betul dan strategi yang baik bagi merealisasikan kemenangan.