Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pesuruhjaya kehakiman kes Tun M saman Anwar tarik diri

    Pesuruhjaya kehakiman kes Tun M saman Anwar tarik diri

    PESURUHJAYA Kehakiman, Jamhirah Ali menarik diri daripada membicarakan kes saman fitnah RM150 juta difailkan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri.

    Jamhirah mendedahkan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alliff Benjamin Aliff Suhaimi.

    “Demi kepentingan keadilan saya menarik diri bagi mengelak sebarang konflik,” katanya pada pengurusan kes dalam talian, lapor FMT.

    Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali berkata permohonan untuk Jamhirah mengundur diri dibuat peguam Anwar.

    “Kami tidak membantah pengunduran itu,” kata Rafique, yang turut bersama Akif Rusli.

    Peguam, Matthew Thomas Phillip dan Phoebe Looi mewakili Anwar hadir pada prosiding itu.

    Rafique berkata, satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 21 Julai sementara menunggu pelantikan hakim baharu.

    Mahathir memfailkan saman pada Mei berhubung kenyataan presiden PKR itu yang mendakwa beliau seorang rasis dan menyatakan bekas perdana menteri tersebut mengayakan keluarga ketika berkuasa.

    Beliau berkata, dakwaan itu menghakis statusnya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri.

    Mahathir menuntut Anwar menarik semua kenyataan fitnah terhadapnya dan mengemukakan perkara itu dalam media arus perdana dan media sosial.

    Mahathir berkata, kenyataan Anwar yang didakwa itu bertujuan memburukkan imejnya dalam kalangan orang awam kerana ia dilihat dan didengar pelbagai lapisan masyarakat.

    Anwar, dalam pembelaannya berkata, Mahathir berdepan masalah reputasi dan kredibiliti.

    Beliau juga berkata, saman Mahathir merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia difailkan atas tujuan dan motif tersembunyi.

  • DAP sasar PAS untuk ‘momok’, takutkan pengundi Cina, kata MCA

    DAP sasar PAS untuk ‘momok’, takutkan pengundi Cina, kata MCA

    PEMIMPIN MCA hari ini mendakwa DAP menyasarkan Pas dalam usaha ‘memomokkan’ dan ‘menakutkan’ pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada 12 Ogos depan. 

    Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam satu kenyataan di Facebook berkata, tindakan itu telah menimbulkan polarisasi perkauman dan keagamaan dengan trend pengundi Melayu akan menyokong Perikatan Nasional (PN) yang juga diterajui oleh Pas.

    Sementara pengundi bukan Melayu akan menyokong gabungan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP. 

    Tambahnya lagi, beliau yakin dan percaya bahawa polarisasi tersebut akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasi untuk menimbulkan kebencian hanya demi mengaut undi dalam PRN akan datang. 

    “UMNO dibenci oleh rakyat termasuk pengundi Melayu kerana hasutan dan hentaman bertalu-talu oleh propaganda DAP dan ini telah menimbulkan kebencian penyokong UMNO terhadap DAP dan masyarakat Cina yang rata-rata termakan hasutan DAP yang bertahun-tahun. 

    “Tiba-tiba DAP bekerjasama dengan UMNO dan menjadikan Pas sebagai sasaran mereka untuk memomokkan dan menakutkan undi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Ti, yang juga bekas timbalan menteri belia dan sukan serta perpaduan negara, berkata MCA sendiri tidak pernah menggunakan alasan Pas sebagai ‘parti ekstremis’ untuk menjustifikasikan kerjasama parti itu dengan UMNO.

    Beliau turut menegaskan bahawa MCA berbuat keputusan untuk tidak terlibat dalam persengketaan yang menggunakan agama dan sentimen perkauman sebagai senjata.

    Katanya, keputusan itu bertujuan untuk merenggangkan ketegangan kaum dan agama yang disifatkannya semakin ketara dalam negara ini serta boleh mengancam ketenteraman negara.

    “MCA tidak setuju dengan penggunaan perpaduan semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiayai mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci.

    “MCA menyarankan bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia dan polemik agama dan etnik haruslah dihentikan dengan serta-merta,” katanya lagi lapor Malaysianow. 

  • Lelaki ketuk kepala isteri bekas ADUN ditahan

    Lelaki ketuk kepala isteri bekas ADUN ditahan

    SEORANG lelaki yang disyaki menyerang dan mengetuk kepala pemilik kedai runcit di Jalan Datuk Ismail Hashim, Sungai Ara di Bayan Lepas, semalam sudah ditahan.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan polis di rumahnya di Bayan Lepas pada pukul 11.30 malam tadi.

    “Semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau berkait jenayah atau dadah.

    “Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu diperintah reman selama tiga hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 kanun yang sama.

    Semalam akhbar Kosmo! melaporkan, isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz itu diserang seorang lelaki di sebuah kedai runcit di Bayan Lepas, Balik Pulau petang semalam.

    Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu berlaku apabila wanita tersebut berada di dalam premis berkenaan lalu didatangi seorang lelaki berbaju-t dan berseluar pendek.

    Azrul berkata, kejadian berlaku selepas isterinya menegur seorang pelajar sekolah yang disyaki mencuri barangan makanan di dalam premis berkenaan.

    “Isteri pada mulanya curiga lihat seorang budak sekolah memasukan barang di dalam beg. Ketika sedang beri nasihat, budak perempuan tersebut sudah melarikan diri.

    “Dalam tempoh 10 minit, seorang lelaki disyaki bapa kepada budak berkenaan masuk ke kedai lalu menyerang isteri.

    “Isteri saya mengadu yang lelaki itu ada mengetuk kepalanya dan perbuatan itu dapat dilihat menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

  • Altimet, Hans sama-sama minat jadi calon PRN

    Altimet, Hans sama-sama minat jadi calon PRN

    DUA selebriti terkenal yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun lalu menyatakan secara terbuka minat masing-masing untuk dicalonkan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

    Bagaimanapun di sebalik ‘persaingan’ tersebut Altimet dan Hans Isaac menyatakan mereka terbuka dengan pelbagai kemungkinan termasuk diketepikan kali ini.

    Bagi mereka, nasib dan masa depan mereka dalam politik khususnya pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini terletak di tangan pucuk pimpinan parti.

    Atimet berkata, memang berminat untuk bertanding sebagai calon tetapi pada masa sama beliau tetap akur terhadap ketentuan takdirnya pada qada dan qadar.

    Ketua PKR Ampang itu berkata, sebagai orang yang masih baru dalam politik kepartian, keputusan sama ada akan menjadi calon atau tidak sepatutnya diputuskan tidak lama lagi.

    “Saya tak tahu apa-apa lagi keputusan setakat ini. Sebagai orang baru dan tak ada jawatan tinggi, bukan hak saya untuk beri kata putus, tapi mereka (pemimpin parti) tahu saya tinggal di Bukit Antarabagsa.

    “Sebagai orang Islam, saya percaya qada dan qadar. Kalau tak dipilih tentu ada sebabnya. Jadi jika sekiranya tak dipilih, itu tak mengapa,” katanya kepada Malaysiakini.

    Altimet, 45, juga menegaskan selain berminat menjadi calon dia juga sudah membuat persediaan jika terpilih, namun tidak dapat memberikan penjelasan di mana dia mungkin dicalonkan.

    “Saya ikut (keputusan pucuk pimpinan) saja,” katanya.

    Sementara itu ditanya kemungkinan beliau akan bersaing sekali lagi dengan Hans Isaac kali ini untuk menjadi calon PRN, seniman bernama asal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, hal tersebut tiada dalam pengetahuannya.

    Kata penyanyi Amboi dan Kalau Aku Kaya itu dia tidak pasti siapa lagi yang berminat untuk menjadi calon dalam kawasan berkenaan.

    “Tapi kalau ada orang lain yang berminat, kita biarkan pucuk pimpinan putuskan,” ujarnya.

    Untuk rekod sebelum ini Altimet dan Hans Isaac pernah bersaing apabila kedua-dua mereka bertanding untuk mengisi jawatan ketua cabang PKR di Ampang.

    Altimet akhirnya diumum sebagai pemenang sekali gus mengetepikan bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu serta tiga calon lain.

    Bagaimanapun undian menunjukkan Hans Isaac hanya dibezakan dengan sembilan undi berbanding Altimet yang memperoleh 743 undi.

    Di sebalik kekalahan itu Hans Isaac berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk sesi 2022-2025.

    Penyanyi rap itu memperoleh 720 undi dalam pemilihan yang diadakan pada Julai tahun lalu.

    Menurut Altimet sejak menjadi ketua cabang di Ampang selama sembilan bulan, beliau bekerja sebagai penyelaras bagi kawasan DUN Lembah Jaya yang merupakan salah satu kawasan terletak di bawah parlimen Ampang.

    Tanggungjawab itu pun, katanya, boleh diibaratkan sebagai seorang wakil rakyat kepada parti kerajaan.

    “Cuma saya tak pergi DUN dan tiada gaji penuh. Fokus saya banyak ditumpukan pada masalah akar umbi dan menyalurkan bantuan serta memaklumkan skim-skim kerajaan Selangor kepada rakyat,” katanya.

    Lembah Jaya dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 pada 2018 melalui calon gabungan itu, Haniza Talha.

    Bagaimanapun pada 2020 Haniza meninggalkan PKR untuk mengikuti jejak langkah Datuk Zuraida Kamaruddin yang menjadi Ahli Parlimen Ampang ketika itu.

    Kata Altimet, semasa PRU lalu beliau menolak untuk menjadi calon kerana beranggapan dirinya masih belum bersedia.

    Sementara itu Hans Isaac menafikan sedang giat melobi untuk menjadi calon seperti sangkaan sesetengah pihak.

    Pun begitu pelakon dan pengarah terbabit menjelaskan, beliau bersedia untuk diturunkan sebagai calon parti jika dirasakan sesuai oleh pucuk pimpinan.

    “Semua orang tahu saya mahu bertanding di (Parlimen) Ampang (pada PRU lalu) tapi kerusi tersebut diberikan kepada YB Rodziah (Ismail) dan saya menyokong dia hingga akhir (menang),” katanya.

    Dihubungi Malaysiakini Hans Isaac berkata, dalam keadaan tidak mendapat apa yang diingini itu pun dia tetap memberikan sokongan kepada calon yang dinamakan parti.

    Justeru dalam PRN mendatang, kata pelakon filem J Revolusi itu, sikap itu akan dikekalkan iaitu menyokong penuh sebarang keputusan pemimpin tertinggi parti.

    “Saya berkhidmat selama tiga tahun di Ampang dan sekiranya diberikan peluang (bertanding), saya bersedia.

    “Saya sentiasa meletakkan parti dan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

  • Azmin nafi tanding kerusi DUN Hulu Kelang

    Azmin nafi tanding kerusi DUN Hulu Kelang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menafikan akan bertanding di Hulu Kelang pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Azmin yang juga Ketua Penerangan PN berkata, beliau ada ditawarkan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi untuk bertanding, namun keputusan muktamad diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi.

    “Hulu Kelang merupakan kampung halaman sejak saya berusia empat tahun, sejak 1968. Ya, saya ada menerima permintaan bertanding di sana (Hulu Kelang), tetapi saya juga ada terima tawaran daripada beberapa kawasan lain.

    “Saya ditawarkan kerusi di Hulu Kelang, Morib, Batu Tiga, dan beberapa kawasan lain. Saya tidak bertanding di Hulu Kelang semata-mata ia ‘kampung’ saya,” katanya menurut The Star.

    Terdahulu, FMT memetik sumber sebagai berkata Azmin hampir pasti bertanding di Hulu Kelang pada PRN Selangor.

    Sumber itu berkata, Azmin mempunyai hubungan rapat dengan kawasan berkenaan kerana buat kali pertama dipilih menjadi wakil rakyat dalam PRU10 pada 1999.

    Sumber berkata, Azmin, yang juga bekas Menteri Besar Selangor bermula 2014 hingga 2018, sudah melakukan persiapan bertanding di kawasan Hulu Kelang dengan membuka pusat khidmatnya di sana.

    Dalam maklum balasnya, Azmin berkata, naif untuk mendakwa beliau bertanding di Hulu Kelang memandangkan pembukaan pusat khidmat dalam kawasan itu, sambil merujuk ia juga boleh digunakan sebagai bilik operasi.

    “Janganlah beranggapan banyak sangat berkenaan pusat khidmat menjadi bilik operasi kerana ia berlaku di seluruh Selangor sejak 23 Jun, selepas Dewan Undangan Negeri bubar.

    “Kita sudah menukar semua pusat khidmat kepada bilik operasi sebagai persediaan berdepan pilihan raya. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan berterusan mengganggu kita dengan merampas bendera dan khemah,” katanya.

  • Keyakinan Anwar bertentangan realiti semasa-Mas Ermieyati

    Keyakinan Anwar bertentangan realiti semasa-Mas Ermieyati

    KEYAKINAN gabungan PH-BN untuk merampas dua negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri bulan depan bertentangan dengan realiti semasa.

    Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kenyataan itu juga amat longgar dan menimbulkan kemusykilan kerana biasanya ramalan atau jangkaan dibuat berdasarkan undian yang diterima pada pilihan raya yang lepas.

    “Kalau bercakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN sapu bersih atau mendahului di ketiga-tiga negeri pembangkang iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

    “Di kubu kuat PH pun iaitu di Padang Serai PN berjaya merampas kerusi. Jadi, saya musykil bagaimana Perdana Menteri boleh nyatakan perkara tersebut tambahan pula keadaan hari ini jelas menunjukkan ramai yang tidak berpuas hati dengan pencapaian Kerajaan Perpaduan dalam tadbir urus negara,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas menyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa PH-BN akan merampas dua negeri pembangkang pada PRN tidak lama lagi.

    Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan dua negeri tersebut.

    Mas Ermieyati berkata, rakyat sebenarnya telah mula hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan kerana kecamukan yang berlaku dalam parti itu.

    Tambahnya, keadaan itu tetap berlaku waima pucuk pimpinan atas masih bersungguh-sungguh menafikan hakikat berkenaan.

    “Pucuk pimpinan bersungguh-sungguh kata ‘okay’ tetapi sebenarnya masing-masing main drama, tunjuk wayang walhal ia tidak dirasai oleh orang bawah,” katanya.

    Sementara itu Mas Ermieyati juga menolak andaian pengundi PN akan memberi undi kepada gabungan PH-BN.

    “Saya tidak nampak perlunya pengundi PN sebelum ini untuk beralih arah kepada PH, ia tidak mungkin berlaku tetapi orang PH-BN dijangka bertukar pendirian atas faktor kegagalan tersebut, orang UMNO tidak akan mengundi Kerajaan Perpaduan.

    “Baru-baru ini saya ada turun Negeri Sembilan, saya dengar banyak keluhan daripada akar umbi, mereka jelas kecewa dengan apa yang berlaku waima PH dan BN sudah berkahwin,” jelasnya.

  • Campak 2 anak dari tingkat atas rumah dalam kebakaran

    Campak 2 anak dari tingkat atas rumah dalam kebakaran

    SEORANG bapa bertindak mencampak dua anak lelakinya dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap dalam kebakaran deretan rumah kedai di Pekan Lenga, Bukit Kepong, Pagoh, Muar pukul 4.30 pagi tadi.

    Zamirul Suahimi, 30, mencampak Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, empat tahun, dari tingkat atas premis sebelum dua beradik itu berjaya disambut dua pekerja kilang yang kebetulan berada di lokasi.

    Bagaimanapun, Zamirul yang terjun selepas itu tercedera pada tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata, mulut selain bengkak di tengkuk.

    Isteri Zamirul, S’biha Bahari, 39, berkata, sebelum kejadian dia menghubungi suaminya beberapa kali namun tiada jawapan.

    “Tidak lama kemudian dua pekerja kilang terbabit menjawab telefon suami dan memaklumkan kedai makan milik kami terbakar.

    “Menjadi kebiasaan bagi suami dan anak tidur di kedai kerana dia akan masak juadah pagi. Saya pula tidur di rumah ibu tidak jauh dari kedai makan.

    “Suami terus bangun apabila mendengar jeritan sebelum mencampakkan anak dari tingkat atas kedai,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya lagi, suaminya itu kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

    Dalam kejadian itu, 10 buah rumah kedai terbakar antaranya kedai runcit, kedai motosikal, kedai perkakas rumah, kedai motosikal dan sebuah rumah.

  • Selepas bidas kerajaan Selangor, pusat khidmat ADUN Bersatu cuba dirobohkan

    Selepas bidas kerajaan Selangor, pusat khidmat ADUN Bersatu cuba dirobohkan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham mendakwa kerajaan Selangor cuba meroboh pusat khidmatnya selepas gagal melaksanakan perintah pengusiran.

    Beliau mendakwa, kerajaan negeri kini menyedari alasan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak munasabah untuk memaksanya mengosongkan premis itu.

    “Maka, mereka ingin mengambil tindakan meroboh serta memusnahkan premis Pusat Khidmat DUN Gombak Setia yang dibangunkan sejak 2008,” katanya di Facebook.

    Hilman berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan notis pendudukan tidak sah atas tanah kerajaan mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara semalam.

    Seksyen 426A(1)(c) memberi kuasa kepada pihak berkuasa berkaitan merobohkan mana-mana bangunan didirikan atas tanah negeri akibat pendudukan haram.

    Hilman berkata, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian dan akan terus menyalurkan bantuan kepada pengundinya sehingga hari pengundian.

    Pada 28 Jun lalu, Hilman membidas kerajaan Selangor kerana mengeluarkan perintah pengusiran ke atas pusat khidmatnya yang menuntut premis itu dikosongkan ‘segera’.

    ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta MPS ke premis tersebut untuk mengusirnya, tetapi gagal berbuat demikian kerana tiada perintah mahkamah.

    Beliau menegaskan alasan pengusiran bahawa tiada kelulusan kerajaan negeri diberikan untuk penggunaan tanah itu sebagai pusat khidmat ‘benar-benar mengarut dan bodoh’.

    Hilman mendakwa pusat khidmat itu beroperasi di tanah itu lebih lima tahun, dengan pengetahuan penuh kerajaan Selangor.

    Katanya, perintah pengusiran itu tidak mematuhi prosedur undang-undang sewajarnya, termasuk tidak ditandatangani pentadbir daerah dan tanah Gombak, sebaliknya oleh timbalannya yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan.

    “Tindakan desperado ini bermotifkan salah guna kuasa, ugutan dan ‘vendetta’ politik oleh kepimpinan kerajaan Selangor yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang PRN Selangor,” katanya lapor FMT.

  • Pas jamin Annuar, anak tak bertembung dalam PRN

    Pas jamin Annuar, anak tak bertembung dalam PRN

    PAS memberi jaminan akan memastikan Tan Sri Annuar Musa tidak bertembung anaknya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika menjadi calon parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu tidak akan meletakkan bekas Ahli Parlimen Ketereh untuk berdepan anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Afiq Amani.

    Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan berhubung pencalonan Annuar mewakili Pas dalam PRN pada 12 Ogos ini hanya akan diputuskan Majlis Syura Ulama Pas.

    “Apa yang saya boleh sahkan hari ini adalah nama Annuar ada dalam senarai calon dikemukakan kepada Majlis Syura baru-baru ini.

    “Namun, sama ada beliau boleh bertanding bawah tiket PAS bergantung kepada keputusan akan dibuat Majlis Syura,” katanya menurut Berita Harian.

    Afiq dilaporkan antara 155 nama dihantar Barisan Nasional (BN) Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN.

    Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Zawawi Othman, mengesahkan Afiq antara nama dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam sebuah DUN bawah Parlimen Ketereh.

  • Hala tuju Gerakan kini jelas bersama PN, kata Dominic Lau

    Hala tuju Gerakan kini jelas bersama PN, kata Dominic Lau

    DATUK Dr. Dominic Lau memulakan kempennya untuk dipilih semula sebagai Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dengan menggesa ahli memilih kesinambungan dan kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

    Menerusi klip video pendek yang dimuat naik ke Facebooknya semalam, beliau berkata, hala tuju parti itu kini jelas selepas pilihan raya umum (PRU) November lalu.

    “Saya menjadi presiden parti ketika parti berada pada tahap yang paling rendah. Walaupun saya mahu memimpin parti keluar dari kemerosotan, parti kita terpaksa mencari kedudukan politik yang paling sesuai kerana kemelut politik bertahun-tahun.

    “Selepas PRU ke-15, saya percaya hala tuju kita sangat jelas melalui jatuh bangun bersama PN (Perikatan Nasiobnal).

    “Saya kini berhasrat untuk dipilih semula (sebagai presiden parti). Saya harap semua rakan seperjuangan dapat mengamanahkan saya tiga tahun lagi, memberi saya masa untuk menyelesaikan tugas yang ada dan bertanggungjawab kepada parti, ahli parti, dan diri saya sendiri,” katanya.

    Lau mengucapkan terima kasih kepada ahli parti kerana menyokongnya sejak 2018 dan memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukannya.

    Gerakan akan mengadakan pemilihan parti untuk jawatan kepimpinan penting pada 15 Julai, hampir dua minggu sebelum parti itu menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN).

    Pencalonan pemilihan pucuk pimpinan akan berlangsung esok.

    Penyandang presiden parti itu dijangka dicabar oleh Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Lau Hoi Keong, Pengerusi Gerakan Melaka, Michael Gan dan bekas setiausaha agung parti, Liang Teck Meng.

    Pemilihan kepimpinan sepatutnya berlangsung pada 2021.

    Bagaimanapun, selepas rayuan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan membenarkan parti itu menangguhkan pemilihan sehingga lapan bulan daripada pilihan raya Parlimen.