Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN: DAP pertahan kesemua kerusi DUN disandang

    PRN: DAP pertahan kesemua kerusi DUN disandang

    DAP akan mempertahankan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, kata Setiausaha Agung parti Anthony Loke.

    Loke  yang juga Menteri Pengangkutan berkata secara umumnya jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi DAP tidak berubah.

    “Jumlah kerusi (DAP bertanding) memang tidak berubah (besar), kita hanya bertanding di kerusi yang kita telah menang. DAP akan bertanding di semua kerusi penyandang dalam PRN nanti. Mengenai jumlah kerusi keseluruhannya, saya belum kira lagi, tetapi di Pulau Pinang ada 19 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau hari ini, lapor Bernama.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP menang 48 kerusi DUN dengan 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (16), Kedah (2) dan Negeri Sembilan (11).

    Sementara itu, Loke berkata ketika ini DAP Pusat masih belum menerima senarai calon daripada pimpinan negeri. 

    Katanya, kesemua isu berkaitan PRN seperti nama calon dan juga soal agihan kerusi akan diumumkan sebelum hari penamaan calon iaitu 29 Julai.

    ”Soal calon akan diumumkan kelak, senarai calon belum ada dan kami belum terima (nama calon) dari peringkat negeri lagi, mungkin mereka akan serahkan dalam masa terdekat atau sebelum penamaan calon,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

  • Dakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong: Ketua Pemuda UMNO mahu Guan Eng disiasat

    Dakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong: Ketua Pemuda UMNO mahu Guan Eng disiasat

    PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini meminta polis menyiasat kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

    Ketuanya , Dr Akmal Saleh berkata, tindakan itu sebagai amaran keras kepada semua tanpa mengira parti supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.

    “Bila kita minta jangan mainkan isu 3R, bukan hanya kepada pembangkang, tetapi juga kepada pihak kerajaan. Maka tuduhan seperti ini (kenyataan Guan Eng) sangat-sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia. Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis,” katanya dalam hantaran di Facebook

    Sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

    Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

    Dr.Muhammad Akmal menegaskan, rakyat negara ini mahukan politik yang progresif dan matang serta berbahas dengan idea, bukan sentimen yang memecahkan.

    ” Islam tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain dan itu adalah fakta,” katanya.

  • Hutang peneroka : Anwar suka berbohong tak layak jadi PM – Muhyiddin

    Hutang peneroka : Anwar suka berbohong tak layak jadi PM – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menuduh beliau  tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri. 

    ‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021. Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felduhyia,   kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Semalam, ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

    Sebaliknya, kata Anwar kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda  telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

    ‘’Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim. Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,’’ katanya.

  • PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

    PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

    PAS akan meneruskan amalan bai’ah dalam kalangan calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan , tetapi kali ini mungkin tidak serumit seperti sumpah taklik cerai talak tiga yang pernah berlaku di Kelantan sebelum ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata bai’ah wajib bagi setiap calon Pas sebelum bertanding namun kemungkinan kepimpinan akan mengubah dan menambah kandungan tertentu.

    “Jika dilihat situasi semasa juga sudah agak berbeza berbanding dulu yang mana ahli sangat setia dan walak kepada parti. Pada satu situasi, semasa di Kelantan dulu (Pilihan Raya Umum pada 2004) kita hanya ada kelebihan satu kerusi yang memerlukan bai’ah seperti sumpah taklik cerai talak tiga itu, namun situasi sekarang sudah berbeza,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, berkemungkinan bai’ah bagi calon Pas pada PRN kali ini adalah selaras di setiap negeri.

    Menjadi amalan bagi setiap calon Pas yang dipilih bertanding akan berbai’ah yang mana sekiranya calon meninggalkan atau lompat ke parti lain dengan keredaan sendiri selepas menang atau dilantik senator maka dia akan dilaknat oleh Allah, rasul serta orang beriman serta segala perbelanjaan menggunakan wang elaun dewan adalah haram.

    Selain itu, calon juga bersumpah meletak jawatan apabila keluar atau dipecat oleh parti.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah memaklumkan bahawa bai’ah itu adalah sebagai janji setia terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

    Bai’ah cerai talak tiga pernah dilaksanakan di Kelantan apabila Pas berada dalam keadaan genting sehingga memaksa Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah boleh gugur talak tiga ke atas isteri calon PAS bagi memastikan mereka yang menang tidak mengkhianati parti.

    Menjelang PRU tahun lalu, Abdul Hadi pernah menyatakan bahawa amalan bai’ah hanya diamalkan dalam Pas dan tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

  • Tiada elemen rasuah dalam kes kekecohan di KLIA 

    Tiada elemen rasuah dalam kes kekecohan di KLIA 

    TIADA elemen rasuah ditemui dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung insiden membabitkan seorang menteri di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 29 Jun lalu.

     Sumber berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan oleh imigresen memasuki negara ini.

    Sumber itu memberitahu, kekecohan berpunca daripada kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong dengan “orang tengah” atau “ejen” yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

    Mereka yang terkandas dihubungi ejen menggunakan WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

    “Semakan di WeChat ada menyatakan amaun mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.

    “Disebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen) telah menimbulkan salah faham konon berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini,” kata sumber itu, lapor Utusan Malaysia.

    Minggu lalu sebuah portal berita melaporkan kekecohan di KLIA melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, didakwa cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sejurus tiba.

    Kejadian itu turut tular di media sosial apabila Tiong didakwa masuk ke ruang balai ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

    Tiong kemudian mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

    Katanya, wanita itu memaklumkan ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” merujuk kepada sogokan.

    Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut mendakwa ada pegawai meminta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan, RM3,000 lagi jika ingin masuk semula, selain RM12,000 bagi kos memproses visa.

    Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata individu diambil keterangan termasuk seorang menteri, lapan kakitangan imigresen serta wanita warga China bersama rakannya.

    Azam turut memaklumkan wanita China dikaitkan dalam kekecohan itu bersama seorang rakannya sudah pulang ke negara asal pada 5 Julai.

  • Pas tak buat rayuan, sedia hadapi PRK Kuala Terengganu

    Pas tak buat rayuan, sedia hadapi PRK Kuala Terengganu

    PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu yang diputus Mahkamah Pilihan Raya Terengganu baru-baru ini.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meski pun keputusan mahkamah tersebut tidak menyebelahi Pas, namun pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

    Katanya Perikatan Nasional (PN) tidak akan membuat petisyen bagi mempertikaikan keputusan pilihan raya walaupun jumlah undi membabitkan parti yang mewakili kerajaan tidak begitu besar.

    “Kes Kuala Terengganu kita tidak akan merayu, kita sedia menghadapi pilihan raya sekali lagi. Kita kalau nak pertikaian keputusan boleh sangat, Presiden UMNO pun menang 300 undi kita tidak buat petisyen pun, sedangkan di Kuala Terengganu kita menang lebih 30,000 mereka masih tidak puas hati lagi,” katanya, lapor HarakahDaily.

    Beliau berkata demikian pada majlis Dialog Isu Semasa anjuran Pas Kota Bharu di Kota Bharu Trade Center (KTC) malam tadi.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menyatakan bahawa Kerajaan Madani menggunakan jentera kerajaan untuk memberi gambaran kononnya pimpinan tertinggi PN melakukan salah guna kuasa.

    Beliau berkata, petisyen yang dikemukakan pihak lawan membabitkan beberapa kawasan parlimen di Kelantan, Terengganu dan Melaka sebenarnya cuba mengambarkan penyelewengan dilakukan PN.

    Begitu juga kes membabitkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin cuba digambarkan mereka menyalahguna kuasa semasa pemerintahan PN.

    “Bila PN gunakan slogan PN Best, mereka cuba bawa Tan Sri Muhyidin ke mahkamah, begitu juga Dato Seri Hamzah sebagai strategik untuk memburukkan PN,” katanya.

    Baru-baru ini Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim dengan alasan berlaku kes sogokan.

    Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril pada keputusannya memberitahu pihak pempetisyen, calon BN Datuk Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku bagi mempengaruhi pengundi pada PRU15.

  • ‘’Doa UMNO bertanding solo termakbul’’ – Shahidan

    ‘’Doa UMNO bertanding solo termakbul’’ – Shahidan

    KEPUTUSAN  MCA dan MIC tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan doa untuk UMNO berjuang solo, sudah termakbul.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata walaupun MCA dan MIC tidak banyak kerusi, ia adalah komponen yang hebat.

    “Sekarang UMNO bertanding solo. Sebab dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid) berdoa untuk solo, Allah makbulkan. Orang MIC dan MCA tak akan sokong UMNO. Jadi saya menyeru kepada mereka untuk sokong PN (Perikatan Nasional). Kita akan menegakkan keadilan tanpa was-was,” katanya pada sidang media di sini selepas hadir dalam program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa di Dataran Kijang, Pasar Kedai Buloh di KOTA BHARU, lapor Berita Harian.

    Kelmarin, MCA menerusi kenyataan dikeluarkan setiausaha agungnya, Datuk Chong Sin Woon memaklumkan, parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.

    Sebaliknya, MCA akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

    Selang beberapa jam selepas itu, MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam enam PRN berkenaan selepas meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

    Dalam perkembangan sama, Shahidan berkata, keputusan UMNO untuk bertanding di tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dianggap sebagai tamparan memandangkan semua negeri itu adalah lubuk PN.

    Katanya lagi, walau pelbagai formula dibuat, kebarangkalian UMNO untuk kalah adalah tinggi kerana pengikut parti itu sendiri sudah beralih arah.

    “Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah lubuk PN, UMNO nak bertanding buat apa? Bertanding pun kalah, buat malu saja, nanti hilang benih.

    “Walaupun dia buat formula, UMNO campur PH (Pakatan Harapan), maka jumlahnya dia menang tapi dia lupa orang UMNO bagi (undi) masa tu, masa dia kata ‘No Anwar No DAP tapi sekarang dia duduk dengan DAP dan orang UMNO tak setuju,” katanya.

    Ditanya mengenai bantuan yang akan diberikan kepada enam negeri yang bakal mengadakan PRN pada Ogos ini, Shahidan berkata, sudah menyediakan jentera sendiri untuk membantu dalam gerak kerja.

    Menurutnya lagi, sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan akan hadir di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang difikirkan perlu menjelang serta pada hari pengundian.

    “Saya guna jentera sendiri iaitu sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan dan penyokong PN yang selama ini kita sudah terbabit dengan hampir 60 Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

  • Anwar tetap pertahan DAP, tidak setuju UMNO diharamkan

    Anwar tetap pertahan DAP, tidak setuju UMNO diharamkan

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mempertahankan DAP dan UMNO yang kini menjadi sekutu dalam politik.

    Berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PH dan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri Selangor, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, meskipun DAP sering menjadi sasaran pembangkang, parti itu tidak pernah membantah segala keputusan kerajaan untuk memberi bantuan kepada Melayu dan Islam.

    “Malah DAP sentiasa menyokong usaha itu demi kepentingan negara, termasuk usaha terbaru untuk menyelesaikan hutang peneroka Felda serta peruntukan untuk agama Islam.

    “Tak habis mantera mereka (kata) DAP, temberang sana sini. Kita tambah peruntukan untuk Islam, tiada bantahan pun, malah (DAP) beri kerjasama.

    “Malah ketika saya bentang dalam Kabinet, Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) memang setuju, tetapi (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke pun sokong,” katanya berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Bangi, Selangor, malam ini.

    Dalam pada itu, Anwar tidak bersetuju dengan tindakan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang didakwa berusaha untuk mengharamkan UMNO.

    “Masa berkuasa sita akaun UMNO, tetapi kini marah akaun mereka disita.

    “Tetapi ada orang UMNO suka sangat dengan mereka,” katanya dipercayai merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Pada Disember tahun lalu, Ahmad Zahid mendakwa terdapat usaha untuk mengharamkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Bagaimanapun Ahmad Zahid mendedahkan cubaan itu tidak menjadi kenyataan apabila ia ‘diselamatkan’ oleh seseorang, tanpa menamakan individu terbabit.

    Mengulas lanjut, Anwar mahu jentera PH dan BN bersama-sama berusaha untuk mencapai kemenangan pada enam pilihan negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

    Anwar menegaskan, usaha itu penting untuk tidak membiarkan negara ini ditadbir golongan pelampau dan ‘pengkhianat’.

    Katanya, sepanjang lapan bulan menerajui kerajaan, Malaysia menunjukkan pertumbuhan ekonomi malah keyakinan pelabur mula bertambah baik.

    “Saya boleh terima (kritikan) dasar ekonomi tak betul, tapi jangan dengan fitnah,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • MCA, MIC tak tanding PRN, ini mungkin penamat BN, kata Shahril Hamdan

    MCA, MIC tak tanding PRN, ini mungkin penamat BN, kata Shahril Hamdan

    KEPUTUSAN MCA dan MIC tidak bertanding pilihan raya negeri (PRN) bulan depan mungkin menjadi titik permulaan kepada penamat ‘hayat’ Barisan Nasional (BN), kata bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

    Menurutnya, pendirian dua parti itu berkemungkinan diambil kerana merasakan dipinggirkan UMNO selepas BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, termasuk kerjasama bersama bekas musuhnya Pakatan Harapan (PH).

    “Malah UMNO dilihat lebih gemar bersama DAP berdasarkan kepada perbincangan yang kerap di antara dua parti itu berbanding dengan MCA dan MIC,” katanya.

    Menjawab soalan Khairy Jamaluddin dalam Podcast Keluar Sekejap sama ada perkembangan baharu BN berkenaan boleh menjadi penamat buat komponen berusia 50 tahun itu, Shahril berpendapat, ‘kemungkinan’ itu ada.

    “Kalau saya hendak buat spekulasi, mereka akan menolak MCA dan MIC sampai satu keadaan tiada pilihan buat keduanya seperti MUDA (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) ditolak PH (Pakatan Harapan).

    “MUDA sendiri keluar dan nampak tamak dan gelojoh, kalau MCA dan MIC keluar itu naratif pertama akan dimainkan UMNO,” katanya, memetik laporan FMT.

    Rabu lalu MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

    Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menafikan dua parti komponen itu memboikotnya, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen membantu jentera gabungan tersebut pada PRN.

    BN ditubuhkan pada 1973 untuk menggantikan Perikatan dengan parti komponen utamanya terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.

    Bagaimanapun sejak pilihan raya umum 2008, sokongan terhadap parti itu semakin berkurangan terutama segmen pengundi bukan Melayu dan mencatat keputusan terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila hanya menang 30 kerusi.

  • Bolehkah sesiapa menekan KJ, soal Tengku Zafrul berkait isu nikotin

    Bolehkah sesiapa menekan KJ, soal Tengku Zafrul berkait isu nikotin

    BEKAS Menteri Kewangan, Datuk Sri Tengku Zafrul Aziz berkata, beliau tidak mengetahui dakwaan Khairy Jamaluddin bahawa kementeriannya diketuainya dahulu itu mendesak supaya nikotin dikeluarkan daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    “Saya tidak tahu mengenainya. Bolehkah sesiapa menekannya (KJ)? Adakah beliau boleh ditekan,” soal Tengku Zafrul yang kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri kepada pemberita selepas satu majlis, lapor FMT.

    Khairy dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap Selasa lalu mendedahkan ketika menjadi Menteri Kesihatan, beliau pernah ditekan oleh Kementerian Kewangan supaya mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    “Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan mengutip cukai,” katanya.

    Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mengutamakan keselamatan dan kesihatan awam berbanding mengutip sedikit cukai.