Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kanak-kanak lelaki dua tahun maut dalam kebakaran

    Kanak-kanak lelaki dua tahun maut dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah flat di Taman Pantai Bersih di Butterworth, awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.29 pagi sebelum pasukan BBP Butterworth dikejarkan ke tempat kejadian.

    Jelasnya, kebakaran itu melibatkan bilik di sebuah rumah flat di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 20 peratus.

    “Kebakaran sudah dipadamkan sebelum pasukan bomba tiba dan terdapat seorang mangsa yang berada di dalam bilik berkenaan telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, proses ‘overhaul’ masih berlangsung sehingga pagi ini bagi memastikan tiada lagi risiko api menyala semula dan merebak ke tempat lain.

  • Kenyataan Guan Eng semai kebencian terhadap pemimpin politik Islam – Armada

    Kenyataan Guan Eng semai kebencian terhadap pemimpin politik Islam – Armada

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang didakwa menyatakan gelombang hijau akan memusnahkan tokong sebagai menghasut dan menyemai perasaan negatif orang bukan Islam terhadap pemimpin politik Islam.

    “Ini merupakan kenyataan biadab dan perkauman serta sangat keji dan boleh mengancam ketenteraman awam serta menggugat keamanan negara.

    “Kenyataan itu amat tidak bertanggungjawab, bersifat menghasut serta menyemai perasaan takut dan benci orang bukan Islam terhadap pimpinan serta parti-parti politik Islam yang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

    “Kenyataan Pengerusi DAP itu yang turut dilaporkan berkata ‘gelombang hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya’ adalah sangat keji, terkutuk dan boleh mengancam ketenteraman awam serta menggugat keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Ahli Parlimen Machang itu menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Bagan tersebut atas kenyataan yang dianggap bersifat perkauman dan berniat jahat.

    Wan Ahmad Fayhsal juga menggesa tindakan tegas diambil ke atas Lim kerana membuat kenyataan tidak bertanggungjawab berkenaan.

    “Armada bersama Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang kepada perpaduan semua kaum di Malaysia,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Mangsa dakwa dirogol tolak penilaian lanjut, kata pengarah kesihatan

    Mangsa dakwa dirogol tolak penilaian lanjut, kata pengarah kesihatan

    MANGSA yang didakwa dirogol namun tidak diberi bantuan segera di hospital awam di Sarawak menolak penilaian lanjut, menurut Jabatan Kesihatan Negeri.

    Ini susulan dakwaan pengguna Twitter @serensespagetthi, seorang mangsa rogol tidak dibenarkan masuk ke pusat khidmat krisis sehenti (OSCC) sebuah hospital awam dan diberitahu untuk membuat laporan polis terlebih dahulu.

    Selepas bertengkar dengan kakitangan hospital dan akhirnya dapat memasukkan mangsa ke OSCC, beliau mendakwa wanita itu tidak diperiksa, sebaliknya hanya diberi ubat perancang kecemasan dan antibiotik untuk penyakit kelamin yang mungkin terjangkit

    Menurut The Borneo Post, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck, mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah hospital awam di Sarawak sekitar 10.30 malam Rabu lalu.

    Bagaimanapun, Ooi berkata, kakitangan hospital memberikan mangsa perhatian dan rawatan sewajarnya di jabatan kecemasan, dan dia diperiksa secara menyeluruh.

    “Wanita itu mula-mula disaring oleh kakitangan kesihatan yang bertugas dan diminta membuat laporan polis di pondok polis bersebelahan Jabatan Kecemasan. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan doktor kecemasan yang bertugas, dia dihantar ke OSCC,” katanya.

    Selepas diperiksa pegawai perubatan, beliau berkata, prosedur bagi kes sebegini dijelaskan kepada mangsa, termasuk kepentingan membuat laporan polis dan memberikan kebenaran bertulis untuk penilaian lanjut.

    Ooi mendakwa, mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan atau memberikan kebenaran untuk sebarang penilaian lanjut dijalankan ke atasnya, walaupun selepas dinasihati pegawai perubatan.

    “Oleh sebab tiada kebenaran bertulis daripada pesakit terbabit, pemeriksaan lanjut tidak dapat dijalankan. Dia dinasihatkan agar kembali ke hospital untuk pemeriksaan jika berubah fikiran dalam tempoh 72 jam.”

  • Malaysia terlepas peluang jadi pusat kargo terbesar di Asia Pasifik

    Malaysia terlepas peluang jadi pusat kargo terbesar di Asia Pasifik

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan Malaysia akan terlepas peluang memiliki pusat kargo terbesar di Asia Pasifik sekiranya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak direalisasikan.

    Muhammad Sanusi berkata, ini kerana pembangunan pusat penyedia perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) yang hampir sama kini dirancang untuk diwujudkan di Kuala Namu Sumatera, Indonesia.

    “Jika kita tidak merebut peluang ini dalam kalangan pemain industri kargo antarabangsa, jika ia tidak berlaku di Malaysia pada tahun-tahun ke depan ini, (maka) ia sedang bergerak ke Sumatera.

    “Opsyen yang hampir sama dengan Kedah adalah Kuala Namu di Sumatera, kalau tak direbut (untuk) dibawa ke Kedah saya yakin satu pusat kargo terbesar di rantau Asia Pasifik akan berada di Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Negeri Kedah di Kedah Royal Club di Alor Setar, hari ini.

    Program tersebut turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Muhammad Sanusi sebelum itu mengambil kesempatan menjelaskan sekali lagi tentang kepentingan pembinaan KXP kepada penduduk Kedah khususnya.

    “Kerajaan negeri turut berharap agar pembangunan Kedah Aerotropolis diberi perhatian secara keseluruhannya termasuk cadangan pembangunan KXP yang merupakan komponen utama bagi pembangunan tersebut.

    “KXP adalah dirancang sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai sebuah lapangan terbang kargo dan bukan lapangan terbang berasaskan penumpang. Saya sudah jelaskan perkara ini kira-kira 100 kali dah,” katanya.

    Kata beliau, tanggapan bahawa KXP akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga adalah tidak berasas kerana kewujudan KXP bukan sahaja tidak akan menjadi saingan malah menjadi pelengkap kepada fasiliti di negeri jiran itu.

    “Pembangunan KXP amat signifikan lagi diperlukan dalam konteks pembangunan ekonomi negara kita khususnya di Wilayah Utara. Rakan-rakan pelabur antarabangsa yang menyatakan komitmen untuk terlibat aktif di KXP menaruh keyakinan yang tinggi bahawa KXP berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan,” katanya.

    Justeru, Muhammad Sanusi tetap berharap kerajaan negeri diberi peluang untuk menjelaskan secara terperinci kepentingan projek itu kepada rakyat dan negara secara langsung di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

  • Keputusan MUDA bertanding solo dalam PRN muktamad, kata Amira

    Keputusan MUDA bertanding solo dalam PRN muktamad, kata Amira

    KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kali ini adalah muktamad dan untuk mempertahankan prinsip parti tersebut.

    Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, parti tersebut ada menerima undangan daripada parti lain untuk bekerjasama dalam PRN namun mereka tidak akan menggadaikan prinsip untuk bekerjasama.

    “Sangat jelas keputusan untuk bertanding secara sendiri kali ini bukan semata-mata kerana kita tiada tawaran (daripada Pakatan Harapan).

    “Sudah tentu ia (tawaran) salah satu pertimbangan tapi pada masa sama, dari sudut pendirian dan juga dasar, kita sudah ada banyak perbezaan dengan PH dan Barisan Nasional (BN).

    “Jadi mungkin untuk PRN kali ini, keputusan bertanding sendiri adalah keputusan yang sudah dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aktiviti jualan meraih dana PRN Muda di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurutnya, MUDA berharap keputusan itu dapat menghantar isyarat jelas, terutama kepada PH dan BN, yang mereka perlu menunaikan janji yang telah dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15, lapor Malaysiakini.

  • Pemuda PN kerah jentera buat laporan ke atas Guan Eng

    Pemuda PN kerah jentera buat laporan ke atas Guan Eng

    SEMUA jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN)
    diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa pernah menuduh gabungan itu akan merobohkan tokong sekiranya mentadbir Pulau Pinang.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya telah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan menyifatkannya sebagai biadab dan untuk usaha menakutkan pengundi Cina dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    “Kenyataan ini adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang bakal memusnahkan kedamaian dan perpaduan rakyat hanya semata-mata takut melihat penolakan rakyat kepada kerajaan perpaduan yang penuh penipuan, manipulasi dan kegagalan yang berturut-turut selama tujuh bulan pemerintahan yang gagal ini.

    “Laporan polis akan dilakukan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap sikap perkauman pemimpin DAP ini. Pengarahan ini untuk seluruh jentera Pemuda PN di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, Lim menafikan beliau pernah membuat dakwaan itu dan sebaliknya berkata ucapannya dalam bahasa Mandarin telah diputar belit seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.

    “Ini tidak benar. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” kata Lim dalam kenyataan semalam.

    Beliau berkata, ucapan itu dibuat merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

    Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, PN mengecam keras kenyataan itu dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar untuk menutup kegagalan kerajaan mentadbir negara.

    “Hipokrit! Itu sahaja perkataan yang layak untuk diletakkan kepada para pemimpin kerajaan perpaduan apabila kononnya lantang mengecam isu 3R (royalty, religion, race) termasuk satu lagi ‘r’ iaitu region, tetapi apabila kenyataan berkaitan 4R ini dilaung oleh para pemimpin PH (Pakatan Harapan), mereka sendu seribu bahasa.

    “Para menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, sekarang apa tindakan,” soalnya, lapor Malaysiakini.

  • Bayi perempuan maut dilanggar 4×4 dipandu sepupu

    Bayi perempuan maut dilanggar 4×4 dipandu sepupu

    BAYI perempuan berusia setahun lima bulan maut dilanggar pacuan empat roda dipandu sepupunya di Kampung Darat Kolam, Kerteh, malam tadi.

    Mangsa Syaza Syazwina Zahra Mohd. Sazali yang parah di kepala disahkan meninggal di tempat kejadian.

    Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 10.30 malam.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dilanggar kenderaan dipandu sepupunya iaitu wanita berusia 19 tahun.

    “Sebelum kejadian, kenderaan itu diparkir di hadapan sebuah rumah dan pemandu kemudian memasuki kenderaan untuk bergerak ke rumah bapa mentua di Rasau, Dungun.

    “Mangsa pula yang tinggal di rumah bersebelahan keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.

    “Pemandu dikatakan terlanggar mangsa yang menyebabkan dia parah dan meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, mangsa terkena tayar sebelah kiri kenderaan dan mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pas Terengganu tawar pinjaman motosikal tanpa riba

    Pas Terengganu tawar pinjaman motosikal tanpa riba

    PAS Terengganu menawarkan kemudahan pinjaman motosikal tanpa faedah bagi individu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran pembelian motosikal tanpa faedah itu antara 10 janji manifesto Pas sekiranya parti itu berjaya mengekalkan pentadbiran pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    “Tawaran ini antara janji kerajaan Pas yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah.

    “Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, Pas Terengganu telah menunaikan kesemua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan,” katanya.

    Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika berucap sempena Program Jelajah Mega PNBEST Peringkat Negeri Terengganu di dataran jambatan angkat, di Kuala Terengganu malam tadi.

    Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha PN, Datuk Hamzah Zainuddin, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

    Turut serta pada program itu ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, parti itu sebelum telah mengemukakan lapan manifesto dalam beberapa siri program bertemu rakyat dan akan menambah dua lagi manifesto baharu sekali gus melengkapkan 10 janji yang ditawarkan kepada rakyat.

    “Dua tawaran baharu ialah meningkatkan peluang pekerjaan menerusi insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan perniagaan di Terengganu.

    “Tawaran seterusnya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    Tujuh lagi tawaran manifesto Pas Terengganu ialah menyediakan khairat kematian sebanyak RM500, menyediakan tabung geran usahawan belia sebanyak RM5 juta, menyiapkan jalan raya pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut dan menaja caruman skim keselamatan Perkeso untuk suri rumah.

    Selain itu, parti itu turut berjanji untuk menyediakan tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM5juta, mewujudkan pusat tafaqquh fiddin di setiap daerah dan menjadikan Terengganu nege inri pengeluar makanan negara dengan peruntukan sebanyak RM 100 juta.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos manakala 29 Julai hari penamaan calon dan 8 Ogos sebagai hari pengundian awal.

  • Pemandu lori ditahan selepas tular klip video maki hamun sambil pegang parang di stesen minyak

    Pemandu lori ditahan selepas tular klip video maki hamun sambil pegang parang di stesen minyak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemandu lori ditahan polis setelah klip video memaparkan beliau memaki hamun sambil memegang parang di sebuah stesen minyak, tular di media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.40 petang, 1 Julai lalu.

    Katanya, pemandu lori itu yang berusia 35 tahun bagaimanapun hanya membuat laporan polis mengenai kejadian itu semalam iaitu pukul 5.14 petang.

    “Siasatan mendapati kejadian itu bermula apabila lori tersebut keluar dari hentian Bukit Kobah di Pendang. Ketika itu, berlaku perselisihan faham antara pemandu lori tersebut dengan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

    “Akibat dari kejadian itu, pemandu Ford Ranger tersebut telah membunyikan hon kepada pemandu lori tersebut. Perselisihan faham itu bagaimanapun berpanjangan hingga kedua-dua mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah Selatan,” katanya.

    Zaidy berkata, pemandu lori tersebut mendakwa telah diugut oleh pemandu Ford Ranger menyebabkan dia mengeluarkan senjata tersebut yang disimpan dalam kenderaanya.

    “Kejadian itu kemudiannya tular semalam dan pemandu lori tersebut membuat laporan kira-kira pukul 5.14 semalam. Dia yang beralamat di Bandar Utama, Sungai Petani kemudiannya ditahan dan akan direman pagi ini.

    “Dalam masa sama kami sedang mengesan pemandu Ford Ranger serta pemilik akaun Tik Tok yang menularkan video tersebut untuk membantu siasatan. Orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • UMNO ‘rapuh’, apa sahaja boleh berlaku

    UMNO ‘rapuh’, apa sahaja boleh berlaku

    SUMBER UMNO mendedahkan betapa mereka bergelut menjelang pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos, dengan pemimpin bahagian dan ahli akar umbi mengadu mengenai perpecahan dalaman dan kekecewaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Portal FMT melaporkan seorang pemimpin bahagian berkata, UMNO rapuh dan apa sahaja boleh berlaku dalam masa beberapa minggu.

    “Fakta diketahui parti ini terbahagi kepada beberapa kem. Kami melihat keadaan semakin teruk dengan lebih ramai (ahli berpaling tadah) menentang kepimpinan,” kata pemimpin bahagian itu yang enggan dikenali.

    “Lebih baik bagi kami jika pilihan raya diadakan pada pertengahan Julai berbanding 12 Ogos,” katanya.

    Seorang lagi pemimpin bahagian berkata semakin lama menunggu pilihan raya, UMNO semakin teruk.

    “Kita sudah ada ahli UMNO, terutama akar umbi, beralih kepada Perikatan Nasional. Jika kita tunggu lagi, banyak yang perlu dilakukan dan tidak akan dapat banyak sokongan daripada pengundi tanpa akar umbi,” katanya.

    Seorang bekas ahli UMNO berkata, parti itu tidak mempunyai jumlah ahli hampir tiga juta seperti didakwa.

    “Jika anda tanya saya, hari ini jumlah itu tidak sampai sejuta dan ia akan terus menurun. Mereka tidak pernah menjelaskan bagaimana parti kalah teruk, walaupun ada tiga juta ahli.

    “Angka itu tidak benar, sebab itu UMNO tidak pernah menjalankan bedah siasat selepas pilihan raya,” katanya menambah ribuan akar umbi UMNO sepertinya keluar parti kerana kepimpinan Ahmad Zahid.

    “Ribuan menyertai PN. Walaupun tidak menyertai sebagai ahli, mereka tetap menyokong gabungan itu.

    “Saya menjangkakan ramai pemimpin dan bekas pemimpin UMNO akan menyertai PN. Akar umbi berbuat demikian sebelum PRU15 dan masih melakukannya hari ini,” kata sumber itu yang menjadi ahli UMNO lebih 15 tahun.

    “UMNO sudah hilang prinsip memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.

    “Bekerjasama dengan parti (DAP), yang selama beberapa dekad kami dipengaruhi oleh pemikiran yang mereka adalah musuh, tidak membantu mengekalkan ahli,” katanya.