PENYEBARAN senarai nama calon Pas Kelantan yang palsu tidak menjejaskan gerak kerja jentera parti itu untuk pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, senarai palsu tersebut dipercayai dibuat oleh pihak yang mempunyai banyak masa lapang dan bukan pertama kali dihadapi pihak parti itu.
“Bagi saya senarai nama palsu itu, orang yang tak ada kerja buat, saja-saja. Apabila tak ada kerja, dia buat senarai dan edar.
“Bagi kami, tak beri kesan apa-apa dan tak menjejaskan gerak kerja PRN. Sebab, kami dah lalui tiap-tiap kali pilihan raya, kadang-kadang ada sampai sepuluh senarai palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi di Kompleks Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali, di Pasir Puteh hari ini.
Akhbar sebelum itu melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan senarai nama calon tersebut yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.
Sementara itu, menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Pas akan menampilkan 50 peratus calon muka baharu pada PRN pada 12 Ogos ini.
Katanya, calon muka baharu itu kelak akan meliputi calon dalam kalangan veteran, orang muda, wanita dan ulama.
Jelas beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, amalan Pas setiap kali pilihan raya ialah akan kemukakan muka baru dalam 30 peratus.
“Kali ini, kalaulah senarai diluluskan oleh Majlis Syura dan mendapat pengesahan daripada Pas Pusat, kita akan tengok hampir 50 peratus muka baru,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohd Amar bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut berkaitan ura-ura nama beliau yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar negeri itu.
BEKAS ahli UMNO, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang dipecat daripada parti pada Januari lalu kini secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau dijangka menerima watikah keahlian daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.
Tun Faisal yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya berkata, beliau memilih menyertai Bersatu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu.
“Saya ialah orang yang percaya kepada jemaah atau bekerja dalam organisasi, jadi saya perlu berada dalam satu-satu organisasi untuk membantu perjuangan yang saya percaya.
“Sebenarnya bagi saya, Pas atau Bersatu, sama saja kerana kedua-duanya berada di bawah PN. Bagaimanapun, melihat kepada aspek di Putrajaya, tempat yang saya sudah biasa, Ahli Parlimennya ialah daripada Bersatu (Datuk Radzi Jidin).
“Jadi, saya percaya boleh memainkan lebih banyak peranan dalam Bersatu berbanding Pas, terutama dalam memberikan input berkaitan isu tempatan dan pada masa sama, memperkukuh Bersatu di kawasan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Tun Faisal dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada Januari lalu selepas diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Tindakan itu diambil selepas Tun Faisal yang lantang mengkritik kepemimpinan UMNO, dikatakan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.
KETUA Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan sistem kuota pelajar bumiputera dalam pendidikan.
Dalam catatan di Facebook, Nicole menyifatkan kenyataan Anwar sebagai langkah mundur yang menyebabkan masyarakat Cina berasa ‘tertipu’.
“Walaupun MCA adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan, kita sama sekali tidak boleh bersetuju dengan kenyataan Anwar.
“Kenyataan ini membuatkan rakyat Malaysia berasa seperti kita telah mundur ke tahun 1960-an dan 70-an dan menenggelamkan semua kemajuan yang telah kita capai,” katanya.
Beliau mendakwa universiti-universiti di Malaysia tidak dapat meningkatkan kedudukannya di peringkat global disebabkan sistem kuota berkenaan.
Diminta mengulas mengenai perkara itu hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Nicole adalah disebabkan salah tafsir.
“Saya rasa dasar itu sangat terbuka dan ia akan berdasarkan merit. Sudah tentu ada kuota, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan kita, tetapi kita tidak menafikan kemasukan etnik Malaysia lain untuk mendaftar ke universiti awam,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) 2023 dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Dataran Merdeka hari ini.
Semalam, Anwar berkata sistem kuota pelajar bumiputera akan dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar daripada kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menjawab soalan pelajar berhubung sistem kuota dan meritokrasi dalam sistem pendidikan negara semasa program Temu Anwar di Kedah, Perdana Menteri berkata, jika sistem kuota itu tidak dikekalkan, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam jumlah pelajar Melayu dan bukan bumiputera.
Perdana Menteri berkata, walaupun sistem itu dikekalkan, ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan, dan jika ada pelajar daripada kalangan anak-anak bukan Melayu dan bumiputera yang cemerlang, kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan.
Tegasnya, sekiranya kerajaan mengambil tindakan mengenepikan dasar kuota, ia akan menimbulkan ketegangan dan dijadikan isu politik oleh pihak tertentu.
Sementara itu, mengulas mengenai pelawaan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kepada MCA dan MIC untuk menyertai gabungan mereka, Zahid berkata, beliau yakin parti komponen BN tidak akan menerimanya.
“Dalam mana-mana pilihan raya, sama ada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum, tawaran seperti ini akan dibuat oleh mereka (PN).
“Tetapi saya yakin MCA dan MIC akan kekal dalam BN,” katanya, lapor Malaysiakini.
AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi jaminan bahawa ketua menteri Pulau Pinang akan dikekalkan selepas pilihan raya negeri (PRN) sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang di negeri itu.
Cabaran itu selepas Loke memberitahu bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu supaya ‘tidak menjaga tepi kain orang’, sebagai menjawab dakwaan Wan Saiful mengenai perbalahan antara kem dalam DAP.
“Saya cabar kalau betul saya salah, Anthony Loke daripada buat jawapan politik macam itu, cuba bagi jaminan bahawa ketua menteri sekarang akan dikekalkan.
“Saya ada rekod, track record saya masa PRN Melaka dulu, saya antara yang paling awal kata ketua menteri Melaka pada masa itu, sebelum PRN itu, akan bertukar dengan orang lain.
“(Pada masa itu) Orang yang diuar-uarkan akan jadi ketua menteri Melaka takkan jadi ketua menteri sebab ada orang lain yang akan jadi, dan betul bertukar,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.
Terdahulu Wan Saiful mendakwa terdapat usaha mahu meletakkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai calon di kerusi DUN Pulau Pinang dalam PRN 12 Ogos depan bagi menggantikan penyandang ketua menteri, Chow Kon Yeow.
Loke kemudiannya mengingatkan Wan Saiful supaya tidak campur tangan dalam urusan parti lain, sebaliknya fokus kepada urusannya sendiri.
“Adakah Wan Saiful setiausaha agung DAP ke? Saya tanya, adakah dia setiausaha agung DAP dia boleh tentukan calon kita.
“Jadi, tak payahlah nak jaga tepi kain orang, dia sibuk dengan hal dia sendiri,” katanya.
Wan Saiful kemudian membalas kenyataan itu dengan mengatakan ‘sampai mati’ pun dia tidak teringin menjadi setiausaha agung DAP.
Loke hari ini menyatakan tiada sesiapa pun menjemput Wan Saiful menyertai DAP, sebaliknya ia hanyalah sendiran.
“Hello Wan Saiful, janganlah perasan sangat. Tiada siapa pun jemput hang masuk DAP, apatah lagi jadi setiausaha agung.
“Takkanlah tahap pemahaman bahasa Melayu hang begitu lemah? Yang tanya hang setiausaha agung DAP ka itu adalah bahasa sindiran,” katanya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih mengesan individu yang dikatakan bertindak sebagai ejen kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini individu terbabit dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga asing.
“Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan individu yang dilaporkan menerima bayaran sebanyak RM18,000 untuk membawa masuk wanita warga China menerusi KLIA adalah lelaki bukan warganegara Malaysia.
“Kita sudah mempunyai butiran mengenainya namun kita belum dapat mengesan kedudukannya pada masa ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pihaknya juga tidak mempunyai maklumat sama ada ejen terbabit masih berada di dalam negara ini atau berada di negara lain.
Katanya, maklumat itu diperoleh daripada siasatan awal yang dijalankan sebelum ini hasil rakaman percakapan daripada wanita warga China yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
“Beri kami (SPRM) ruang untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Sebelum ini Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk negara KLIA.
Beliau mendedahkan perkara itu selepas mengakui dirinya adalah individu yang terbabit dalam insiden kekecohan di KLIA, selepas dikatakan cuba ‘melepaskan’ masuk seorang wanita warga China yang dilarang memasuki negara ini oleh pegawai imigresen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengakui budaya rasuah masih berlaku dalam kalangan penguat kuasa tetapi hanya membabitkan segelintir mereka di KLIA.
DAP tidak pernah meminta MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos ini.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, DAP tiada kuasa untuk berbuat demikian kerana segala perbincangan berhubung kerusi yang dipertandingkan hanya dibincangkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Menerusi Kerajaan Perpaduan, perbincangan tidak dibuat terus antara DAP dengan MCA atau MIC,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ultimate MMA Fitness & Self Defence, Indahpura, Kulai, hari ini.
Rabu lalu, MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding di dalam PRN meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.
Beliau berkata, DAP tidak mempunyai maklumat terperinci di sebalik keputusan MCA dan MIC tidak tanding sebaliknya menghormati keputusan parti komponen dalam BN.
“Walaupun mereka (MCA dan MIC) umum untuk tidak bertanding pada PRN di enam negeri tersebut, kita berharap mereka dapat mendukung semangat Kerajaan Perpaduan dengan menyokong mana-mana calon parti yang bertanding,” katanya.
Nie Ching juga menafikan timbul isu perebutan kerusi memandangkan pembahagian kerusi adalah berdasarkan parti yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terus bertanding di kerusi berkenaan.
Katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, keputusan MCA dan MIC itu tidak boleh dikatakan laluan mudah kepada DAP.
Menurutnya, ini kerana mereka kini berada dalam Kerajaan Perpaduan dan bukan sebagai lawan seperti PRU15 lalu.
“Dulu kita bertanding sebagai lawan, tetapi sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan. Jika mereka bertanding sekali pun, mereka tidak akan bertanding di kerusi DAP.
“Jadi saya tidak rasa keputusan mereka untuk tidak bertanding pada PRN ini memberi laluan mudah atau kelebihan kepada DAP.
“Kami tidak akan bertembung, sekiranya ada wakil BN tiada wakil PH, begitu juga sebakiknya. Jika tidak bertanding itu harap mereka beri semangat dengan membantu satu sama lain,” katanya, lapor Berita Harian.
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) melihat sokongan rakyat terhadap gabungan itu bukan saja masih kekal, malah semakin meningkat.
Pengerusi PN itu melihat sokongan khususnya orang Melayu kepada PN seperti mana yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih kekal.
“Sokongan yang diberikan rakyat juga menunjukkan peningkatan berdasarkan situasi sekarang.
“Jika kita lihat program yang PN anjurkan, kehadiran dan sokongan begitu luar biasa sekali gus memberi mesej yang jelas sokongan tanpa belah bahagi.
Ribuan rakyat hadir dalam Jelajah Mega PN Best di Kuala Terengganu malam tadi
“Malah, jika kita tengok kehadiran malam ini (semalam) juga sangat luar biasa,” katanya ketika berucap dan merasmikan Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat, di Kuala Terengganu, malam tadi.
Selain Muhyiddin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyampaikan ceramah pada himpunan itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan PRN kali ini amat penting dan berharap rakyat terus memberikan mandat kepada PN mentadbir Terengganu, Kelantan dan Kedah selain menawan tiga negeri yang lain.
Kehadiran memberangsangkan dalam Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat, di Kuala Terengganu, malam tadi.
“Kita berbangga dengan kerajaan Terengganu yang berjaya melaksanakan 20 manifesto kepada rakyat di negeri ini seperti mana yang diumumkan Menteri Besar (Ahmad Samsuri),” katanya lapor Harian Metro.
Sebab itu katanya, keputusan PRN di Terengganu amat penting dan pihkanya mahu kerajaan yang dipimpin hari ini kembali memerintah.
SEORANG lelaki tergamak membelasah isterinya di sebuah rumah di Jalan Tasik Tambahan di Ampang, pada Khamis kerana marah selepas isteri tidak memaklumkan untuk membawa anak mendapatkan rawatan di klinik.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pertengkaran antara suspek dan mangsa warga Myanmar itu berlaku kira-kira jam 2 petang ketika berada di rumah.
Beliau berkata, suspek dipercayai berang kerana mangsa tidak memaklumkan kepadanya kerana membawa anak mereka mendapatkan rawatan.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik leher dan menumbuk kepala serta badan mangsa mengakibatkan mangsa sakit di seluruh badan.
“Susulan kejadian tersebut, suspek yang juga warga Myanmar berumur 41 tahun diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Jumaat.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing didapati negatif dadah.
“Hasil pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi sebelah kiri, atas dahi, lengan tangan sebelah kiri dan bahagian leher,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati suspek dan mangsa masing-masing merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Ampang bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya, lapor Sinar Harian.
MASYARAKAT Terengganu khususnya yang tinggal di kawasan perkampungan nelayan tidak pernah berasa jemu atau muak untuk memakan sotong.
Seperti juga keropok, boleh dikatakan sotong juga seakan menjadi makanan rutin bagi penduduk di negeri ini.
Walaupun dinikmati setiap hari, mereka tidak pernah menolak sekiranya dihidangkan menu berasaskan sotong.
Antara menu yang popular dan menjadi kegemaran ramai termasuklah sotong celup tepung, ketupat sotong, gulai sotong, goreng sotong, tumis sotong dan singgang sotong.
Selain itu ada juga menu yang diperbuat daripada sotong kering, di mana para penggemarnya makan begitu sahaja selepas digoreng ranggup.
Bercakap mengenai sotong, penulis sejak zaman kanak-kanak lagi telah terdedah dengan makanan dan hidupan laut ini.
Malah, nama-nama sotong seperti Torak, Jarum, Mengabang, Cumi-Cumi, Kurita dan Katak merupakan antara yang sentiasa dicandat oleh nelayan di kampung penulis.
Setiap kali tiba musim mencandat sotong, suasana laut di Terengganu khususnya di daerah Marang bagaikan pesta disimbahi cahaya lampu neon daripada bot-bot nelayan.
Ketika itu Pulau Kapas yang terletak sekitar tiga kilometer daripada Kuala Marang masih belum diisytiharkan sebagai pulau pelancongan.
Namun, pulau yang terletak berhampiran ‘Kandang Ular’ ini, iaitu lubuk yang menjadi lokasi sotong bertelur masih berpenghuni dan dimana ia didiami beberapa keluarga.
Memandangkan rata-rata nelayan ketika itu akan keluar ‘berpesta’ di lubuk sotong, maka harga pasaran sotong juga sentiasa murah dan ada kalanya langsung tiada nilai.
Sebab itulah, sebaik sahaja membawa pulang hasil tangkapan, mereka akan menjadikan ia sebagai sotong kering untuk dimakan pada musim tengkujuh.
Sewaktu penulis memasuki alam remaja, harga sotong Jarum hanyalah sekitar RM1.50 sekilogram dan sotong Torak RM2 sekilogram.
Sotong Mengabang dan sotong Katak pula bukan pilihan dan ia dijadikan sebagai sotong kering.
Sekarang ini kedua-dua jenis sotong tersebut turut dijadikan sotong celup tepung dan harga mentahnya telah melebihi RM20 hingga RM30 sekilogram.
Kini, musim mencandat sotong kembali lagi dimana suasana laut Terengganu sejak bulan April lalu terus bertukar menjadi umpama pesta.
Selain nelayan tempatan, para pelancong turut ‘berkampung’ di ‘kandang ular’ bagi melakukan aktiviti berkenaan yang kini semakin mendapat perhatian ramai.
Sejak tiga bulan lalu aktiviti mencandat sotong di perairan Marang terus mendapat sambutan hangat dimana setiap tiba hujung minggu terutama cuti umum semua bot sama ada bot pelancong mahupun bot nelayan sentiasa penuh ditempah orang ramai.
Dalam tempoh berkenaan juga kebanyakan nelayan berjaya meraih hasil candat sotong yang banyak, iaitu antara 10 hingga 50 kilogram.
Ini menyebabkan pemborong termasuk daganan, peraih dan peniaga tersenyum lebar kerana memperoleh pendapatan agak lumayan.
Namun, yang menjadi mangsa keadaan adalah nelayan dan para pengguna?
Ini kerana sekalipun terdapat banyak lambakan sotong, harga makanan laut itu yang dijual di pasar-pasar awam di negeri ini masih lagi mahal dan dikatakan melampau.
Apa yang menghairankan, ada beberapa pasar awam di sekitar daerah ini menjual sotong Torak dengan harga RM34 hingga RM38 sekilogram.
Sotong paling kecil pula iaitu sotong Jarum pula dijual antara RM16 hingga RM20 sekilogram.
Harga ini agak melampau kerana ada pengguna yang sanggup berada dimuka kuala menunggu nelayan pulang dari mencandat sotong dapat membeli terus dengan harga RM14 sekilogram (sotong tmTorak) dan RM6 sekilogram (sotong Jarum).
Maka itu, sudah sampai masanya kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berperanan serta memandang serius terhadap masalah ini.
Kita tidak mahu apabila berlakunya lambakan sotong, harganya masih tinggi dan mahal.
Apa yang menyedihkan, kehidupan nelayan yang keluar mencandat sotong sejak waktu petang sehingga awal pagi masih tidak berubah, tetapi yang meraih keuntungan besar ialah orang tengah dan peniaga.
Begitu juga dengan para pengguna khususnya penggemar sotong.
Sampai bilakah mereka akan berhadapan dengan harga tidak masuk akal ini terutama ketika semua barangan keperluan naik harga, menyebabkan kos sara hidup semakin meningkat.
SEORANG lelaki warga Myanmar tergamak menikam rakannya menggunakan gunting pemotong dahan dalam satu pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Jalan Renggam-Kluang, Kluang pada petang Jumaat lalu.
Kejadian tersebut berlaku di rumah kongsi pekerja ladang pisang selepas suspek dipercayai cemburu dengan mangsa.
Anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima panggilan dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang pada pukul 12.55 tengah malam memaklumkan kematian mangsa tersebut yang merupakan warga Myanmar berusia 30-an.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, sebelum itu mangsa dihantar ke HEBHK oleh rakannya selepas mendapatinya mengalami kecederaan.
“Hasil siasatan polis telah mengenal pasti lokasi kejadian iaitu di rumah kongsi terbabit yang berada dalam ladang berkeluasan 8 hektar.
“Suspek merupakan lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pekebun bersama-sama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menurut isteri mangsa, suspek dan suaminya bertengkar mulut pada pukul 7.40 petang Jumaat sebelum berlaku pergelutan.
Katanya, suspek kemudian menikam mangsa dengan menggunakan gunting pemotong dahan sehingga cedera parah.
“Motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati mangsa sentiasa rapat dengan majikan,” ujar beliau.
Pada pukul 5 petang Sabtu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah IPD Kluang telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 30-an.
Menurutnya, pada pukul 9 malam hari yang sama pihak polis menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 40-an di sebuah ladang pisang di Ladang Bukit Benut, Pontian.
“Turut dirampas dua buah telefon bimbit daripada kedua-dua suspek berkenaan. Pihak IPD Kluang masih lagi mengesan seorang lagi suspek utama yang masih bebas bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada serta menyalurkan maklumat menerusi talian 07 7784222 atau ‘direct line’ 07 7766822 atau 014 3656822.