Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tun Faisal, Ras Adiba sedia jadi calon PRN Bersatu

    Tun Faisal, Ras Adiba sedia jadi calon PRN Bersatu

    BEKAS Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan bekas penyampai berita, Datuk Ras Adiba Radzi yang secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malam tadi tidak menolak untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili parti itu.

    Bagaimanapun, bagi Tun Faisal, menjadi calon PRN bukan menjadi keutamaannya ketika ini apatah pula melobi bagi mendapatkan kerusi.

    Namun jika diberi sebarang tanggungjawab katanya, akan dilaksanakan sebaik mungkin.

    “Insya-Allah saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin seperti mana saya pernah diberi tanggungjawab dalam BN dan kerajaan sebelum ini,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian, hari ini.

    Bagi Ras Adiba pula, terpulang kepada pimpinan parti untuk membuat sebarang keputusan.

    “Saya bersedia (menjadi calon), tetapi tidak kisah dicalonkan ataupun tidak,” katanya kepada ahkbar berkenaan.

    Kedua-dua bekas ahli UMNO itu ditemui pada pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi,

    Bagaimanapun Tun Faisal berkata, beliau mahu mengelak daripada menjadi calon payung terjun kerana percaya di setiap kawasan sudah ada pemimpin dan tokoh tempatan sendiri.

    “Saya bukan jenis orang masuk kawasan mengganggu gugat melainkan jika saya benar-benar diperlukan dan mereka rasa ada kemahiran dan kepakaran serta kelebihan saya boleh membantu pengundi dalam kawasan itu,” katanya.

  • Jika Pas mahu buat zalim, sudah lama berlaku di Kelantan, kata Idris

    Jika Pas mahu buat zalim, sudah lama berlaku di Kelantan, kata Idris

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sekiranya Pas mahu membuat zalim kepada orang bukan Islam, perkara itu sudah lama dilakukan di Kelantan.

    Katanya, meskipun hanya 10 peratus penduduk bukan Islam yang tinggal di negeri itu, namun mereka hidup dalam keadaan aman dan baik.

    “Kalau kami nak buat zalim kepada orang bukan Islam, dulu 33 tahun Kelantan diperintah oleh Pas, setitik darah seorang Cina pun kami tak bunuh, seorang India pun kami tak tikam dan seorang Siam pun kami tak sembelih.

    “Boleh pergi melawat sana (Kelantan), ada tiga berhala. Bukan setakat berdiri, tidur pun ada. Tapi tiba-tiba kamu reka cerita dan kalau kami nak buat zalim pun, lebih baik kami buat kaum minoriti di Kelantan, bukan di Pulau Pinang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Media Sinar semalam melaporkan Lim Guan Eng disiasat berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman dalam sebuah program di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

    Timbalan Pengarah (Forensik dan Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. Suresh Kumar berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima beberapa laporan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP itu.

    Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar bahasa Mandarin melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

  • Anwar disaran tidak berpolitik macam zaman TV hitam putih-Idris

    Anwar disaran tidak berpolitik macam zaman TV hitam putih-Idris

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan tidak berpolitik seperti berada pada zaman televisyen hitam putih.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana hari ini semua maklumat berada di hujung jari dan boleh diulang siar.

    “Dia (Anwar) isytihar pelupusan hutang Felda RM8.3 bilion. Tuan-tuan, dia boleh cakap itu biarlah, zaman hari ini maklumat di hujung jari.

    “Hari ini orang boleh tengok di Internet, bukti semua itu dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika jadi Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Sembilan, di Seremban semalam.

    Justeru katanya, tidak hairanlah orang muda hari ini memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap gabungan itu.

    “Ada hikmah PN tidak berjaya membentuk kerajaan kerana boleh melihat kelemahan kerajaan hari ini di bawah pentadbiran Anwar. Ada pepatah Arab menyebut, kalau kamu sembunyi macam mana pun akan diketahui suatu hari nanti.

    “Rupanya sejak zaman reformasi 1998, sehinggalah dia (Anwar) menjadi Perdana Menteri, kita tak tahu pun sehinggalah Tan Sri Rais Yatim menulis kalau boleh jangan pilih pemimpin yang tahu bercakap,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau berkata, Pas selama ini tidak pernah menganggap UMNO sebagai lawan berbahaya, sebaliknya memberitahu penyokong musuh parti itu adalah Pakatan Harapan (PH).

  • Najib dibenar hadir rayuan batalkan kelayakan firma Thomas

    Najib dibenar hadir rayuan batalkan kelayakan firma Thomas

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri perbicaraan rayuannya esok berhubung penafian mahkamah sivil terhadap permohonannya untuk melucutkan kelayakan firma guaman Tommy Thomas daripada bertindak bagi bekas peguam negara itu berhubung saman pendakwaan salah bekas Perdana Menteri itu.

    Panel tiga orang hakim yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md. Said membenarkan permohonan peguamnya, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin semasa prosiding melalui dalam talian dengan zoom pagi ini.

    Sehubungan itu, pegawai Penjara Kajang akan membawa Najib untuk perbicaraan secara fizikal di Mahkamah Rayuan esok berhubung rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 19 Ogos tahun lalu yang menolak permohonannya untuk menghalang firma guaman Tommy Thomas daripada mewakili dirinya, lapor Malaysiakini.

    Najib juga mempunyai rayuan yang masih tertangguh di Mahkamah Rayuan pada 4 Oktober berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 November tahun lepas yang menolak saman sivilnya terhadap Thomas berhubung dakwaan pendakwaan berniat jahat yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.

    Sementara itu, Bernama melaporkan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, dibenarkan hadir ke mahkamah esok untuk mengikuti prosiding rayuan yang berkaitan dengan samannya terhadap bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas kerana didakwa melakukan penyelewengan dalam jawatan awam.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan ex-parte Najib untuk pihak penjara membawanya ke Mahkamah Rayuan esok bagi mengikuti prosiding mahkamah.

    Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu mahkamah bahawa kehadiran bekas Perdana Menteri itu ke mahkamah adalah penting bagi membolehkan peguambela mendapat arahan yang sewajarnya daripadanya (Najib) berhubung rayuan itu.

    Beliau juga berkata Najib mempunyai hak sebagai seorang yang menfailkan saman itu, untuk menghadiri prosiding di mahkamah esok.

    Najib, 69, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy Thomas dalam saman Najib terhadap bekas peguam negara itu.

    Najib mendakwa pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.

    Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib berkata beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Thomas merupakan peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

    Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

    Pada 25 Nov lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas Perdana Menteri itu kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 22 Dis lepas.

    Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Okt untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan samannya terhadap Thomas.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

  • PRN: Nama Annuar Musa, Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura

    PRN: Nama Annuar Musa, Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO yang baru menyertai Pas, Tan Sri Annuar Musa dan anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz merupakan antara individu yang telah melepasi proses tapisan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mengesahkan perkara berkenaan memberitahu, keputusan itu dibuat oleh Majlis Syura Pas dalam mesyuarat yang diadakan di Kuala Terengganu kelmarin.

    Mesyuarat tersebut katanya turut dihadiri Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan pemimpin-pemimpin Pas dari negeri-negeri terlibat PRN.

    “Annuar dan Nik Abduh merupakan antara beratus senarai calon yang dikemukakan dari enam negeri yang bakal menghadapi PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulai Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Nama Annuar dan Nik Mohamad Abduh adalah dua nama yang dicadangkan oleh Pas Kelantan dan Majlis Syura sudah membuat keputusan dalam proses tapisan.

    “Terserah kepada Pas Kelantan untuk membuat keputusan selepas ini bagi menentukan kedua-duanya bakal mewakili Pas atau tidak dalam PRN pada Ogos depan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Difahamkan, Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok bakal diletakkan sebagai calon sama ada di kawasan Dewan Undang Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pengkalan Chepa ataupun Kota Bharu.

    Bagaimanapun, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh dilaporkan berkemungkinan tidak akan bertanding pada PRN kali ini.

    Abdul Hadi dilaporkan berkata, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu juga difahamkan tidak berhasrat bertanding pada PRN kerana lebih sesuai berperanan di peringkat Pusat.

  • ‘Datang pun tak tapi cakap macam-macam’, pegawai MB ajak pengkritik datang ke Kelantan

    ‘Datang pun tak tapi cakap macam-macam’, pegawai MB ajak pengkritik datang ke Kelantan

    PERSEPSI buruk terhadap Kelantan ditiup oleh seteru Pas memburukkan lagi prasangka rakyat yang tidak pernah rasai kehidupan di negeri itu.

    Pegawai khas kepada Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan tiada masalah dengan dasar kerajaan negeri walaupun setelah lebih 33 tahun ditadbir Pas.

    “Yang banyak bercakap kata ‘itu tak betul’, ‘ini tak betul’ mereka yang tak duduk di negeri ditadbir Pas. Datang pun tidak tapi cakap macam-macam.

    “Orang politik tak sehaluan dengan kita menakutkan orang bukan Islam dengan Pas sebab nak menang pilihan raya,” katanya memetik laporan FMT.

    Lau berkata, masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan mereka dan membina rumah ibadat.

    “Rumah ibadat terutama kuil-kuil Buddha yang didirikan di atas tanah kerajaan sekarang sudah diwarta menjadi tempat amalan agama. Satu-satu kawasan itu bukan kecil – ada 10 ekar, lebih 10 ekar. Tak payah bayar cukai pun,” katanya.

    Menurutnya lagi, kerajaan negeri memberi layanan baik kepada masyarakat bukan Islam, “tak ada seorang pun bukan Islam dinafi hak, diusir dan sebagainya.”

    Lau menggesa mana-mana pihak yang meragui dasar pentadbiran Pas di Kelantan untuk datang sendiri ke negeri itu.

    Sebelum ini, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengakui dasar Pas di negeri ditadbirnya membimbangkan orang bukan Islam, yang diburukkan lagi dengan persepsi dicipta lawan menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, perkara itu sedikit-sebanyak menyukarkannya meraih sokongan pengundi segmen berkenaan, terutama di Pulau Pinang.

  • Sertai Bersatu bukan untuk jadi calon PRN – Ras Adiba

    Sertai Bersatu bukan untuk jadi calon PRN – Ras Adiba

    BEKAS Senator, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan untuk menjadi calon pilihan raya negeri PRN yang akan berlangsung pada bulan depan.

    Sebaliknya kata beliau, penyertaannya bagi menyokong perjuangan Perikatan Nasional (PN) membela nasib rakyat, khasnya orang kurang upaya (OKU).

    Anak jati Seri Menanti di Kuala Pilah ini juga ingin membantu PN menawan Negeri Sembilan pada PRN Ogos ini.

    “Saya akan memberikan sokongan 500% kepada sahabat dalam Bersatu untuk membantu memastikan PN dapat membentuk kerajaan negeri dalam PRN nanti,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau dilantik ahli Dewan Negara mewakili OKU pada Mei 2020 di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan merupakan ahli UMNO sehingga akhir tahun lepas, sebelum menyertai Bersatu berikutan perubahan senario politik.

    “Saya sudah memikirkan beberapa minggu untuk menyertai Bersatu, walaupun sebelum ini ramai sahabat handai mempelawa untuk menyertai Bersatu.

    “Selepas mengamati keadaan politik di negara kita, saya yakin dengan kepimpinan di bawah Muhyiddin akan memberikan sokongan penuh sebagai anak Negeri Sembilan untuk berjuang bersama Bersatu dalam PN.”

    Ras Adiba menerima watikah keahlian Bersatu malam tadi, bersama bekas timbalan ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pada Majlis Pelancaran Jentera PRN PN Negeri Sembilan di Taman Warisan Puteri Sikamat, Seremban.

    Dua lagi individu yang menerima watikah keahlian ialah bekas ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas ketua PKR Jelebu, Mazmi Ahmad Yusof.

  • Retak dalam gabungan kerajaan makin ketara, kata anak bekas Presiden MIC

    Retak dalam gabungan kerajaan makin ketara, kata anak bekas Presiden MIC

    KEPUTUSAN MCA dan MIC untuk tidak menyertai pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini secara tidak langsung mendedahkan keretakan dalam gabungan kerajaan.

    Sunther, anak kepada bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang membuat dakwaan tersebut berkata, keputusan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan bantuan MCA dan MIC untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu.

    Beliau percaya DAP yakin dapat menarik undi Cina tanpa sokongan MCA, seperti yang ditunjukkan menerusi corak pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

    “Begitu juga PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP, yang tidak memerlukan sokongan MIC untuk menarik pengundi India. Mungkin ini juga boleh menjadi suatu pernyataan bahawa undi India tidak penting di enam negeri (yang mengadakan PRN). PH hanya sangat memerlukan UMNO untuk memperoleh undi Melayu.

    “Walau apa pun, keretakan yang nyata dilihat dalam kerajaan perpaduan berikutan keputusan MCA dan MIC (untuk tidak bertanding pada PRN). Mereka harus segera baiki keretakan itu jika mahu kekal teguh,” katanya memetik laporan FMT.

    MCA hanya memperoleh 665,436 (4.29%) daripada 15.5 juta undi pada PRU15 November lepas, manakala MIC memperoleh 172,176 undi (1.11%).

    Kedua-dua parti itu mengumumkan minggu lepas bahawa mereka tidak akan bertanding pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditetapkan pada 12 Ogos.

    Mereka berkata, mereka mahu menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU akan datang, yang dijangka diadakan menjelang 2027.

    Sunther, yang meninggalkan MIC pada 2018 dan menyertai Warisan tahun lepas berkata, tiada komponen mana-mana gabungan patut dilayan dengan teruk, termasuk MCA dan MIC.

    “Mana-mana pihak yang dilayan dengan teruk mestilah akan mempertimbangkan untuk meninggalkan gabungan. Kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti ambil tahu perkara ini,” katanya.

    Walaupun MCA tegas enggan menyertai Perikatan Nasional (PN), Sunther menegaskan bahawa MIC masih belum menjawab pelawaan oleh Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Nor.

  • `Rakyat kata hujan saja yang turun, harga barang naik’ – Muhyiddin

    `Rakyat kata hujan saja yang turun, harga barang naik’ – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kajian empirikal yang dilakukan sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati, masalah yang paling ketara dihadapi rakyat ketika ini adalah kos sara hidup.

    “Apabila ditanya kepada orang ramai, jawapan yang paling jelas adalah masalah kos sara hidup, harga makanan yang tidak berhenti-henti, bekalan makanan tak cukup, sampai telur pun tak cukup.

    “Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun saya, satu hari 40 biji telur. Saya nak tunjuk boleh selesai masalah kalau kita usahakan sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, di Seremban malam tadi.

    Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung Ps, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kepemimpinan tertinggi PN yang lain.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun mengakui bukan semua berkemampuan atau mempunyai kawasan yang boleh menternak 30 hingga 40 ekor ayam pada satu-satu masa.

    Katanya, ketika beliau membuat tinjauan di beberapa gerai di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini, ramai peniaga dan orang ramai merungut mengenai kenaikan harga barang.

    “Saya tanya (harga barang) bagaimana..mereka kata semuanya naik, saya tanya lagi apa yang turun, dia kata hujan yang turun.

    “Harga ayam berapa? RM10 lebih sekilogram, zaman saya jadi menteri dulu RM6.40. Dia cakap itu zaman Tan Sri dulu, ada naik (tetapi) naik sekarang RM10 sekilo,” katanya lapor Berita Harian.

  • Polis buru suspek seksa anjing dengan kayu hingga mati

    Polis buru suspek seksa anjing dengan kayu hingga mati

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan suspek lelaki dipercayai warga tempatan yang disyaki menyeksa seekor anjing menggunakan kayu sehingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu artikel serta video tular berkenaan kejadian itu yang memaparkan dua lelaki sedang menyerang sesuatu (anjing) menggunakan kayu di kawasan semak tular di dalam media sosial.

    Jelasnya, seorang pengadu turut membuat laporan polis dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, kira-kira pukul 8.38 malam kelmarin.

    ”Menurut saksi kejadian, dia melihat dua suspek lelaki tempatan yang tidak dikenali disyaki tinggal berdekatan tempat kejadian sedang menyerang seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Video yang tular di media sosial Twitter itu memaparkan dua lelaki terbabit bertindak memukul anjing tersebut menggunakan batang kayu.

    Menerusi laporan media sosial tersebut, difahamkan anjing itu dilanggar motosikal berkenaan ketika melalui jalan di kawasan tersebut yang agak gelap dan suram.

    Menurut Kamarul Rizal, saksi kejadian turut bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit miliknya dan menghantar rakaman itu kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya sebelum ditularkan melalui akaun Twitter.

    ”Usaha untuk mengesan suspek terlibat masih diteruskan dan polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

    Tambah beliau, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan munasabah.

    ”Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan lagi video berkenaan,” katanya.