Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bersih mohon sumbangan RM60,000 pantau PRN

    Bersih mohon sumbangan RM60,000 pantau PRN

    KUMPULAN reformasi pilihan raya, Bersih memohon sumbangan orang ramai bagi menggerakkan pasukan pemantaunya sepanjang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Bersih dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menganggarkan kos bagi keseluruhan program itu mencecah RM60,000 melibatkan 89 pemantau untuk memantau kesalahan pilihan raya di 61 Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Walaupun pemantau kami bergerak secara sukarela dan tidak mengharapkan sebarang bayaran, namun kami tetap akan menanggung kos makan minum dan kos perjalanan.

    “Justeru dalam pilihan raya kali ini, kami sekali lagi memohon sokongan daripada orang ramai untuk memberi sumbangan seberapa pun untuk kami memantau PRN dan menggerakkan rakyat keluar mengundi,” katanya lapor FMT.

    PRN pada 12 Ogos depan membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

  • Dua pencari kepah lemas dihanyut arus deras

    Dua pencari kepah lemas dihanyut arus deras

    DUA pencari kepah lemas selepas dihanyutkan arus deras di pantai Esplanade Kampung Buntal, Kuching tengah malam tadi.

    Mayat Mohamad Amin Umar, 39, ditemui pada 3.30 pagi tadi, manakala mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, ditemui pada 3.42 pagi.

    Penolong pengarah operasi bomba Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dibantu dua pegawai bomba bantuan Swart serta tiga pasukan bomba sukarela Kampung Buntal diarah ke lokasi selepas panggilan diterima pada 12.47 tengah malam.

    “Setibanya di lokasi kejadian, maklumat diterima terdapat tiga lelaki mencari kepah di pantai berkenaan, dengan dua daripadanya hilang dihanyutkan arus deras, manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.

    “Operasi pencarian yang turut disertai penduduk kampung dilancarkan dalam radius 100m di sekitar lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilihat,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa pertama ditemui terdampar di pantai oleh penduduk kampung kira-kira 400m dari lokasi dia hilang, manakala mangsa kedua ditemui anggota penyelamat terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi mayat pertama.

    Katanya, mayat dua mangsa itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Prabagaran tarik diri bertanding Timbalan Presiden Gerakan

    Prabagaran tarik diri bertanding Timbalan Presiden Gerakan

    TIMBALAN Speaker Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), V. Prabagaran membuat keputusan menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu.

    Perkara berkenaan diumumkan calon bagi jawatan Presiden Gerakan, Liang Teck Meng.

    Menurut Teck Meng, keputusan Prabagaran disebabkan pihak tertentu mahu membunuh demokrasi dalam parti.

    “Ia adalah hari yang menyedihkan bagi Gerakan. Pemimpin tertentu mahu membunuh demokrasi dalam Gerakan.

    “Kenapa mereka takut dengan pemilihan parti? Mengapa tidak bertanding secara adil dan biarkan perwakilan memilih pemimpin?

    “Mengapa berusaha keras untuk tekan rakan gandingan saya supaya berhenti di separuh jalan,” soalnya dalam satu kenyataan.

    Teck Meng tertanya-tanya apakah pihak lawannya mahu sembunyikan sesuatu dengan memastikan beliau tewas dalam pertandingan itu.

    “…Adakah parti ini sangat bergantung kepada panglima perang sehingga semangat demokrasi sedang dibunuh. Saya sedih dan saya kecewa,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan Teck Meng yang akan merebut jawatan nombor satu parti itu akan bergandingan dengan Prabagaran yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Tiga calon lain akan merebut jawatan Presiden Gerakan termasuk penyandangnya, Datuk Dr. Dominic Lau yang akan berganding dengan Timbalannya, Oh Toh Keong.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Teck Meng berkata, beliau akan terus bertanding walaupun gandingannya menarik diri.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan rundingan bagi memastikan pertarungan satu lawan satu menentang Teck Meng gagal membuahkan hasil.

    Teck Meng dipilih sebagai Presiden Gerakan pada 2018 dan akan mempertahankan gelarannya buat kali pertama.

    Kemenangan bagi jawatan itu penting kerana Presiden mempunyai kuasa untuk menentukan calon daripada parti itu bagi pilihan raya enam negeri akan datang.

  • 9 juta pengundi tentukan PN lemah atau kuat-Razali

    9 juta pengundi tentukan PN lemah atau kuat-Razali

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui pilihan raya negeri (PRN) bulan depan akan menjadi referendum untuk menentukan kelangsungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa depan, sama ada ditolak atau diterima rakyat.

    Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata undian lebih sembilan juta pengundi di enam negeri terbabit pada 12 Ogos depan bakal memberi naratif baharu sama ada gabungan Bersatu, Pas, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) “semakin lemah atau kuat.

    “PRN ini bukan referendum kepada kerajaan Pusat saja tetapi referendum kepada pembangkang. Sekiranya kita tidak dapat mempertahankan negeri kita ada (Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan ambil negeri PH (Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang) maknanya rakyat tolak kita,” katanya kepada FMT.

    Bagaimanapun Razali tidak bersetuju dengan andaian Bersatu diketuai bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu akan berkubur sekiranya gagal menawan negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, PRN akan datang tidak menentukan hidup dan mati Bersatu memandangkan ia memiliki 31 Ahli Dewan Rakyat.

    “Bersatu takkan mati dah. Cuma kesannya jika kita kalah atau menang, sama ada lemah atau kuat lagi.

    “Tetapi kalau ditakdirkan kalah (di tiga negeri PH), kita kena susun strategi baru untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16.”

    PN mempunyai 74 Ahli Parlimen yang mana 43 daripada Pas. Menteri besar di Kedah, Kelantan, dan Terengganu juga daripada parti itu.

    Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi Bersatu Selangor mengakui sukar untuk bergerak di lapangan ekoran dana terhad selepas PN tidak lagi menjadi pemerintah di peringkat Persekutuan.

    Bagaimanapun, Herman Hiew yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Shah Alam berkata, usaha mendekati pengundi lebih mudah pada PRN ini memandangkan pertandingan kali ini hanya melibatkan dua penjuru, antara PN dan PH-BN.

    “Kita akui susah nak buat program, sebab dana kita terhad… banyak akaun Bersatu disekat.

    “Tetapi dari segi gerak kerja nak fahamkan pengundi, sekarang lebih muda, kerana dulu kita perlu guna banyak bahan kempen, sekarang hanya satu lawan satu,” katanya.

  • Majlis Syura Pas lulus Nik Abduh tanding PRN

    Majlis Syura Pas lulus Nik Abduh tanding PRN

    PAS menolak dakwaan parti itu cuba menafikan Nik Mohamad Abduh peluang bertanding pilihan raya dan mematikan legasi bapanya, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pimpinan Pas Kelantan sendiri yang mencadangkan nama Nik Abduh untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Saya boleh sahkah bahawa di antara senarai calon termasuk Nik Abduh yang telah diluluskan untuk bertanding PRN. Beliau melepasi tapisan majlis syura Pas, sekaligus layak menjadi calon Pas.

    “Senarai calon yang melepasi tapisan majlis syura akan diserahkan kepada Pas negeri, yang akan tentukan kerusi mana ditandingi.

    “Kemudian tuan punya tubuh itu sendiri bersedia atau tidak nak bertanding? Kita tak paksa. Mereka layak bertanding untuk bertanding,” katanya lapor FMT.

    Sebelum ini Nik Abduh berkata, beliau akan terus bersama Pas sama ada dipilih sebagai calon atau tidak pada PRN nanti.

    Beliau menambah menjadi calon sama sekali bukan ukuran kepada legasi ayahnya.

    Anak kepada bekas Mursyidul Am itu pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas (2013–2018) dan Bachok (2018–2022).

    Beliau menolak tawaran pertahan Bachok ketika menuju Pilihan Raya Umum ke15.

  • MCA,MIC tak tanding sebab peluang UMNO menang lebih  cerah 

    MCA,MIC tak tanding sebab peluang UMNO menang lebih  cerah 

    KEPUTUSAN parti komponen Barisan Nasional (BN) MIC dan MCA untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan, bukan langkah memboikot gabungan itu dan PRN.

    Sebaliknya ia merupakan keputusan konsensus dan dibuat berdasarkan peluang calon UMNO yang dilihat lebih cerah untuk memenangi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang bakal ditandingi BN.

    Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata keputusan itu pernah dilakukan sebelum ini, iaitu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland pada 2019, yang menyaksikan kerusi tradisi MIC diberikan kepada calon UMNO dan berjaya dimenangi BN pada PRK itu.

    “Tidak timbul soal kita memboikot (PRN)…kita ambil semangat atau spirit Cameron Highland (PRK)…kita lihat peluang UMNO menang lebih cerah…jadi kita beri laluan pada mereka bertanding.

    “Keputusan ini ialah soal kemenangan BN… kemenangan BN lebih penting daripada kemenangan parti secara individu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, lapor BERNAMA.

    Saravanan berkata walaupun MIC dan MCA tidak bertanding, namun sebagai parti komponen BN, jentera masing-masing akan menyokong dan membantu sepenuhnya kempen calon UMNO, bagi memenangi PRN itu.

    Senada dengan beliau, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon juga menegaskan MCA akan terus menyokong calon BN dan memastikan kemenangan di setiap kerusi DUN yang ditandingi.

    Terdahulu, mesyuarat berlangsung selama lebih sejam itu, dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin tertinggi BN, antaranya Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan beberapa pemimpin tertinggi parti komponen gabungan itu.

    Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan depan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

    Sementara itu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan sejurus tamat mesyuarat itu memaklumkan, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN menghormati keputusan dan komitmen parti komponen BN bagi memastikan kemenangan di semua kawasan yang ditandingi.

    Beliau berkata kerjasama di antara parti komponen Kerajaan Perpaduan juga akan diperkukuh dan dipertingkatkan.

    “BN juga mengarahkan persiapan dan memperkukuhkan semua jentera parti di setiap peringkat bagi menghadapi PRN ini. BN bersama-sama dengan Pakatan Harapan akan mengadakan Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kedah pada 15 Julai, Pulau Pinang (16 Julai) Kelantan (23 Julai) Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lepas, mengumumkan PRN di enam negeri itu dijalankan secara serentak, dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

  • Allahyarham Pahamin dikebumikan di London

    Allahyarham Pahamin dikebumikan di London

    JENAZAH  bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Abdul Rajab akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di kota London, Britain.

    Menurut anaknya, Armin Baniaz Pahamin, keputusan untuk mengebumikan bapanya di sana dicapai oleh seluruh ahli keluarganya.

    “Keluarga memutuskan untuk kebumi jenazah ayahanda kami di London dan untuk itu kami sekeluarga akan berlepas ke London untuk urus pengebumian ayah,” kata Armin Baniaz dalam rakaman video yang dikongsi di akaun media sosial abang iparnya yang juga pelakon Azhar Sulaiman, lapor Astro Awani.

    Dalam video berkenaan, Armin Baniaz berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirim ucapan takziah serta mendoakan roh ayahnya.

    Armin Baniaz turut memohon maaf bagi kepada mana-mana pihak yang mungkin terguris sekiranya Allahyarham ayahnya ada melakukan kesilapan atau tersalah cakap semasa hayatnya.

    “Sekiranya ayah ada melakukan kesalahan, kami minta maaf dan sekiranya ayah ada berhutang dengan anda, bolehlah berhubung dengan salah seorang daripada ahli keluarga kami,” kata Armin Baniaz lagi.

    Allahyarham Pahamin yang berusia 77 tahun menghembuskan nafas terakhir dalam pesawat ketika dalam perjalananke kota London pada Sabtu lalu.

    Kata Armin Baniaz, sebelum itu, ayahnya pengsan ketika berada dalam bilik air pesawat.

    “Krew dan doktor-doktor yang ada dalam pesawat telah cuba membantu menyelamatkan ayahanda lebih sejam, namun, sudah sampai masanya ayahanda saya (meninggal dunia) dan berikutan itu juruterbang telah mendapat keizinan untuk mendarat lebih awal di Heathrow, London. (Justeru), kami putuskan untuk kebumikan ayahanda di London dan kami sekeluarga akan berlepas ke sana untuk urusan pengebumian,”ujar Armin Baniaz lagi.

    Sehari sebelum berlepas ke London, Allahyarham Pahamin kembali dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah haji.

    “Ayah balik daripada haji pada hari Jumaat… kami sekeluarga sempat makan malam bersama dia dan pada pagi keesokan harinya (hari Sabtu) pukul 6 pagi dia bertolak ke London,” jelas Armin Baniaz.

    Dalam masa sama, Armin Baniaz berjanji akan memaklumkan perkembangan semasa urusan pengebumian Allahyarham ayahnya dari semasa ke semasa.

  • Demi keadilan…ini masa sesuai semakan kehakiman kes liwat – Fadli

    Demi keadilan…ini masa sesuai semakan kehakiman kes liwat – Fadli

    Oleh AHMAD FADLI SHAARI

    AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mencadangkan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani mengusahakan semakan semula terhadap sabitan kes rasuah dan liwat yang pernah dikenakan ke atas Anwar.

    Katanya, ia berikutan kenyataan Anwar bahawa terdapat hakim-hakim yang sebelum ini membuat keputusan yang menyimpang dari unsur-unsur keadilan terutama melibat Ahli politik.

    ‘’Adalah kurang jelas hakim mana yang dirujuk oleh Perdana Menteri yang dikatakan membuat keputusan menyimpang dari lunas-lunas keadilan. Namun, menyedari bahawa beliau pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan liwat sebelum ini, dapatlah dibuat kesimpulan mudah bahawa kemungkinan besar proses perbicaraan dan penghakiman itulah yang dirujuk oleh beliau,’’ katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, keadilan wajib ditegakkan semula jika benar ada hakim yang bertindak di luar lunas-lunas keadilan. Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan secara umum sehingga boleh mendatangkan salah faham terhadap bidang kehakiman dalam negara kita.

    Berikut kenyataan penuh Ahmad Fadhli :

    Saya membaca kenyataan YAB Perdana Menteri yang memuji Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (yang pernah dimohon oleh Datuk Seri Najib Razak agar menarik diri dari mengadili kesnya) yang disifatkan berani dalam mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa terdapat hakim-hakim yang sebelum ini membuat keputusan yang menyimpang dari unsur-unsur keadilan.

    “Pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, telah menyaksikan serangan yang kejam terhadap badan kehakiman. Ia memuncak dengan kemerosotan proses kehakiman itu sendiri, terutamanya kes melibatkan ahli politik yang telah menimbulkan ancaman serius kepada kuasa yang ada. Akibatnya, ada hakim-hakim tertentu membuat keputusan kehakiman yang benar-benar menyimpang daripada unsur-unsur keadilan dan cetusan hati nurani yang baik,” katanya.

    Ini merupakan petikan kata-kata beliau seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian di pautan : https://www.sinarharian.com.my/article/267504/berita/nasional/anwar-puji-tengku-maimun

    Adalah kurang jelas hakim mana yang dirujuk oleh Perdana Menteri yang dikatakan membuat keputusan menyimpang dari lunas-lunas keadilan.  Namun, menyedari bahawa beliau pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan liwat sebelum ini, dapatlah dibuat kesimpulan mudah bahawa kemungkinan besar proses perbicaraan dan penghakiman itulah yang dirujuk oleh beliau.

    Saya sebenarnya bimbang dengan kenyataan beliau ini sebagai Perdana Menteri. Adakah selepas ini ramai lagi penjenayah yang akan mempertikaikan hakim-hakim dan bidang kehakiman dengan beralasan bahawa mereka sebenarnya dijatuhkan hukuman oleh hakim-hakim yang tidak adil?

    Saya ingin mencadangkan agar sekarang merupakan masa yang sesuai untuk Perdana Menteri dan kerajaan Madani mengusahakan semakan semula terhadap sabitan kes rasuah dan liwat yang pernah dikenakan terhadap Perdana Menteri sebelum ini. 

    Perlu diingatkan bahawa pengampunan Yang di-Pertuan Agong ke atas beliau tidak pernah membawa maksud bahawa sabitan terhadap beliau diketepikan.

     Inilah yang ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 10 Januari 2023 bahawa dokumen Lembaga Pengampunan tidak merujuk kepada maksud bahawa sabitan terhadap Anwar bagi kesalahan liwat, diketepikan. 

    Panel tersebut membuat keputusan ketika menolak permohonan peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz untuk mencabar kesahan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya. 

    Keadilan wajib ditegakkan semula jika benar ada hakim yang bertindak di luar lunas-lunas keadilan. Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan secara umum sehingga boleh mendatangkan salah faham terhadap bidang kehakiman dalam negara kita.

    Jika kerajaan pernah membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan pada tahun 2008 dengan maksud bahawa pemecatan atau perbehentian mereka pada tahun 1989 adalah ‘tidak sah’, maka tiada sebab keadilan tidak boleh diberikan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan atas sifatnya sebagai Perdana Menteri tetapi atas sifatnya sebagai manusia, seorang rakyat Malaysia.

    Jika tidak, seluruh institusi kehakiman sebenarnya sedang tercemar dengan ‘pujian berlapik’ Perdana Menteri terhadap Ketua Hakim Negara itu.   Saya mohon mencadang.

    *Ahmad Fadhli Shaari adalah  Ahli Parlimen Pasir Mas. I

  • Anwar puji Ketua Hakim Negara, berjanji pertahan kebebasan badan kehakiman

    Anwar puji Ketua Hakim Negara, berjanji pertahan kebebasan badan kehakiman

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang disifatkan berani dalam mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman.

    Beliau turut terima kasih kepada pendirian teguh Tengku Maimun terhadap kebebasan badan kehakimanan dan hakim secara keseluruhannya, dalam menghadapi serangan tanpa henti.

    Menurutnya, di bawah nakhoda beliau, hasrat untuk melihat kebebasan kehakiman yang berterusan kelihatan semakin bertambah cerah dan menjanjikan yang terbaik.

    “Pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, telah menyaksikan serangan yang kejam terhadap badan kehakiman. Ia memuncak dengan kemerosotan proses kehakiman itu sendiri, terutamanya kes melibatkan ahli politik yang telah menimbulkan ancaman serius kepada kuasa yang ada.

    “Akibatnya, ada hakim-hakim tertentu membuat keputusan kehakiman yang benar-benar menyimpang daripada unsur-unsur keadilan dan cetusan hati nurani yang baik.

    “Bagaimanapun berdiri saya di sini hari ini, saya boleh katakan dengan pasti bahawa sejak saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, bukan sahaja saya tidak menceroboh walau sejengkal pun institusi kehakiman ini, malah saya akan mempertahankan dengan apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman,” katanya lampor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di Hotel Shangri-La, di sini pada Isnin.

    Turut berangkat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

    Hadir sama, Presiden Pengasas Institut Demokrasi (IDEAS), Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn.

    Menurut Anwar, apabila bercakap tentang kebebasan badan kehakiman, ia bermakna hakim hendaklah memutuskan hukuman secara saksama, berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang, tanpa sebarang sekatan, pengaruh yang tidak wajar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan.

    “Dalam erti kata lain, badan kehakiman yang bebas, tidak berat sebelah dan cekap adalah asas kepada kedaulatan undang-undang serta menimbulkan keyakinan orang ramai. Kita boleh katakan ia adalah benteng keadilan itu sendiri. Di atas kertas ia memang kedengaran mudah, namun dari sudut empirikal, melihat kembali kepada tahun-tahun tertentu pada masa lepas, kebebasan seperti itu mungkin tidak begitu jelas.

    “Disebabkan pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, kita telah menyaksikan serangan ketara dan ganas terhadap badan kehakiman,” katanya.

  • Kemalangan : Suami isteri maut di Gopeng, warga emas terbunuh di Jerantut

    Kemalangan : Suami isteri maut di Gopeng, warga emas terbunuh di Jerantut

    SUAMI isteri maut, manakala dua lagi termasuk kanak-kanak parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Kota Bharu dekat Gopeng, Ipoh.

    Pengarah Jabatan Bomba Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 4 petang oleh orang awam.

    Beliau berkata mangsa yang maut Mohd Ramddan Abd Rahim, 44 dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43. Dia dilaporkan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dikeluarkan anggota bomba, manakala tiga lagi dikeluarkan orang ramai.

    “Dua mangsa yang cedera parah adalah wanita warga emas berusia 63 tahun serta kanak-kanak berusia tujuh tahun, telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya lapor Bernama.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    DI JERANTUT, seorang warga emas maut, manakala empat termasuk bayi lima bulan yang dipercayai sekeluarga parah dalam nahas di KM12, Jalan Jerantut-Maran, berdekatan Sungai Salan.

    Nahas melibatkan sebuah pelbagai guna (MPV) Proton Exora itu dikatakan gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori lalu terbakar. Akibat pertembungan berkenaan, mangsa berusia 83 tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Jerantut Mazlan Hassan, berkata hasil siasatan mendapati kenderaan MPV yang dipandu suri rumah berusia 25 tahun bersama empat penumpang dipercayai sekeluarga beralamat di Felda Gelanggi Satu, Jerantut.

    “Pemandu kenderaan MPV dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkan bertembung dengan lori jenis Isuzu. Akibat kemalangan itu, MPV terbabit terbakar keseluruhannya selepas berlaku pelanggaran, semua mangsa dalam kenderaan itu berjaya dibawa keluar oleh orang awam,” katanya lampor  Berita Harian.

    Mazlan berkata, empat mangsa yang cedera parah termasuk bayi berusia lima bulan dirawat di Hospital Jerantut.

    “Kemalangan disiasat mengikut bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Mayat mangsa akan dibedah siasat,” katanya.