Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ismail zahir sokongan kepada Muhyiddin, taat setia kepada Agong

    Ismail zahir sokongan kepada Muhyiddin, taat setia kepada Agong

    AHLI  Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.

    Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pendirian tersebut ditunjukkan seperti mana sokongan beliau kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kerajaan kerana amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

    Beliau yang merupakan salah seorang daripada Ahli Parlimen daripada UMNO turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.

    “Sesungguhnya patik merafak sembah mohon menyembah taat setia patik yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dari dulu sehingga akhir hayat patik.

    “Patik juga akan sentiaa menjaga dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selagi nyawa dikandung badan. Patik turut menzahirkan sokongan penuh patik kepada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan Malaysia sebagaimana sokongan patik kepada Perdana Menteri sebelum ini dan juga kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau  membuat kenyataan tersebut beberapa jam selepas Muhyiddin memaklumkan masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

    Ismail menambah cara pemerintahan Al-Sultan Abdullah memberikan keinsafan kepadanya mengenai tanggungjawab yang dipikul.

    “Keprihatinan Tuanku terhadap apa juga isu telah membuatkan rakyat jelata turut terdidik dengan sifat-sifat mulia dan berhemah tinggi,” ujar beliau.

    Ismail telah berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen Maran.

  • Vaksinasi: MB Kedah beri jaminan PATI tak akan ditangkap – MB

    Vaksinasi: MB Kedah beri jaminan PATI tak akan ditangkap – MB

    KERAJAAN negeri Kedah memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pendatang asing yang tinggal di Bukit Malut di Langkawi, yang keluar untuk menerima suntikan vaksin bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

    Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata tiada sebarang diskriminasi dalam program vaksinasi dan semua pihak akan diberi layanan yang sama termasuk pendatang tanpa izin.

    “Saya beri jaminan kepada semua bahawa mereka akan diberi vaksin secara percuma… Mungkin ada kebimbangan kalau keluar suntik vaksin akan kena tangkap, saya beri jaminan mereka tidak akan ditangkap.

    “Semua patut terima vaksin kerana kalau tidak diberi vaksin, kita takut mereka akan menjadi pembawa (virus COVID-19) dan memang dalam program vaksinasi ini ia sudah mengambil kira penduduk warganegara dan bukan warganegara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

    Muhammad Sanusi Md Nor

    Beliau berkata bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Bukit Malut yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak juga telah dilaksanakan di penempatan berkenaan.

    “PPV bergerak diperlukan kerana kesukaran untuk mereka keluar ke PPV awam dan PPV integrasi atas beberapa faktor termasuklah kediaman yang berhimpit (terlalu rapat)… saya difahamkan rekod terkini penduduk di Bukit Malut sudah melebihi 10,000 orang.

    “Ada yang bukan warganegara tapi mereka tetap diberi suntikan vaksin untuk elakkan jangkitan merebak dan hari ini sahaja ada tiga kematian penduduk di Bukit Malut dan saya ucapkan takziah. Justeru penduduk dimohon beri kerjasama penuh kepada agensi yang sedang laksanakan PKPD dan buat pendaftaran suntikan vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata keluarga kepada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia terutama di daerah Kuala Muda dan Kota Setar tidak lagi boleh memilih tanah perkuburan untuk mengebumikan ahli keluarga masing-masing.

    “Kena ikut apa yang diputuskan kerajaan, kena redha sebab ia akan menjejaskan kesegeraan pengebumian jenazah lain. Sebelum ini sehari kita boleh kebumikan dalam lima jenazah sahaja sedangkan kadar kematian harian agak tinggi antara 10 hingga 12 jenazah sehari.

    “Setiap pengebumian perlu ada inspektor kesihatan dan kita kekurangan pegawai yang uruskan jenazah COVID-19, prosedur operasi standard proses pengebumian adalah lapan hingga 12 jam tapi ada yang sampai 20 jam sebab pergerakan petugas ke kawasan yang agak jauh ikut permintaan keluarga,”  katanya.

    Selepas ini setiap kariah akan bergilir-gilir menerima jenazah COVID-19 bagi membolehkan urusan pengebumian dapat disegerakan mengikut syarak, sekali gus mengurangkan tempoh keberadaan jenazah di rumah mayat hospital yang kini menggunakan kontena sejuk beku.

  • Ahli politik perlu taat perkenan Agong kepada Muhyiddin

    Ahli politik perlu taat perkenan Agong kepada Muhyiddin

    PENARIKAN  sokongan beberapa Ahli Parlimen masih tidak cukup untuk memperkukuhkan persepsi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan Muhyiddin meneruskan pentadbiran negara.

     “Apa yang dinyatakan sokongan atau tarik balik sokongan, itu tidak menjadi bukti yang kukuh untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.

    “Itu penting untuk kita selesaikan persepsi bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.

     “Dari segi undang-undang, penarikan balik sokongan itu bukanlah satu-satunya cara apabila berlaku di luar Dewan Rakyat, seperti yang dinyatakan dalam Perutusan Khas Perdana Menteri tadi.

    “Perdana Menteri juga menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti dari segi dokumen iaitu akuan bersumpah (SD) bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

    “Jadi di sini memerlukan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan apabila dinyatakan dalam Perutusan Khas itu bahawa Tuanku telah perkenan Perdana Menteri kekal mengendalikan pentadbiran, itu seolah-olah telah diterima dan diperkenan oleh baginda,” katanya kepada AWANI.

    Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, ahli-ahli politik perlu mentaati titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Muhyiddin untuk terus mentadbir negara ketika ini.

    Pada masa sama, beliau yang juga pakar Perlembagaan berkata, Perdana Menteri juga perlu untuk membawa Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat pada September depan, walaupun dinamika politik mungkin berlaku dalam tempoh sebulan ini.

    “Baginda telah memperkenankan supaya Usul Undi Percaya itu dibawa pada September.

    “Saya seru kepada semua orang politik ini supaya mentaati titah Tuanku, jikalau kita kata, kita menjunjung titah Agong yang memperkenankan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan tugas sebagai ketua kepada Jemaah Menteri.

    “Ini termasuk juga menunggu saat di mana usul tersebut akan difailkan. Kita mengharapkan juga kepada Perdana Menteri, apa yang dinyatakan hari ini akan diteruskan, walaupun senario perubahan berlaku seperti penarikan balik sokongan atau penambahan balik sokongan.

    “Walaupun perubahan senario itu berlaku, kita pegang kepada perutusan Perdana Menteri yang dibuat pagi tadi,” katanya.

  • Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    ARAB Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara tersebut.

    Saudi Gazette melaporkan, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi legkap dengan vaksin yang diluluskan oleh kerajaan itu.

    Katanya, ini sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu.

    Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik bermula awal tahun lalu, Arab Saudi telah membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian.

    Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan Umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

    Selain Malaysia, warga dari negara berikut layak mendapatkan visa pelancongan: Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania dan Luxembourg.

    Turut layak ialah Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino , Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), serta Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

    Sebelum ini Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan bermula 1 Ogos, negara ini membuka kembali pintu negara kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong.

    Namun kata kementerian itu, pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dengan dos vaksinasi di https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

    Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti memberikan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Arab Saudi: dua dos vaksin Oxford/Astra Zeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson and Johnson.

    Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Arab Saudi.

  • DUN Melaka bersidang 6 September – Speaker

    DUN Melaka bersidang 6 September – Speaker

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadual berlangsung pada 6 hingga 10 September ini selepas selepas mendapat izin daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persidangan DUN Melaka selama lima hari itu akan membawa semua usul untuk dimuktamadkan.

    “Kita akan bangkitkan semua sekali (isu) yang memerlukan perhatian kerajaan untuk kebaikan dan keharmonian rakyat dalam menangani wabak COVID-19,” katanya, hari ini.

    Sebelum ini sidang DUN Melaka dijangka dilaksanakan pada pertengahan Julai sebelum kali terkahir bersidang pada awal Disember tahun lalu.

    Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, UMNO Melaka menyokong penuh keputusan dibuat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

    “Semalam keputusan bersama telah dimuktamadkan dan Perhubungan UMNO Negeri menyokong keputusan dibuat pucuk pimpinan dalam menangani isu politik hari ini.

    “Kedudukan Melaka juga masih sama memandangkan tiada mana-mana wakil rakyat yang bergabung dengan UMNO mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan ini maknanya kita (kerajaan) masih seperti dahulu,” tambahnya.

    Untuk rekod, pada Mac tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri baharu.

    Daripada 28 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) Melaka mempunyai 14 kerusi, Bersatu (2 kerusi), PH (11 kerusi) dan Bebas (1 kerusi).

    Semalam, MKT UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan tidak menerima sebarang makluman mengenai desas-desus yang mengatakan beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang baharu.

    “Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita yang disebarkan sejak semalam,” kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad itu di laman Twitter beliau hari ini.

    Beliau pada masa sama turut berkongsi artikel media tempatan yang menyiarkan berita mengenai pelantikan itu.

    Portal media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Padang Terap itu dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagi menggantikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletak jawatan serta merta, semalam.

    Menurut Shamsul Anuar, keputusan meletak jawatan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

    “Sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli.

    “Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.

  • Penjelasan PM bukti hubungan Kerajaan dengan Agong kekal baik – Nazri

    Penjelasan PM bukti hubungan Kerajaan dengan Agong kekal baik – Nazri

    HUBUNGAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Yang di-Pertuan Agong masih kekal baik dan tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya berlaku penderhakaan.

    Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz  berkata, penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadap di Istana Negara pagi tadi merungkai banyak perkara khususnya berhubung isu derhaka yang dimainkan Ahmad Zahid sebagai alasan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN.

    “Tapi dengan pertemuan yang dilakukan pada pagi ini dan jelas iaitu apabila Perdana Menteri memohon kepada Tuanku untuk menyelesaikan masalah keabsahan ini di Dewan Rakyat pada bulan September.

    “Itu jelas menunjukkan hubungan baik, hubungannya baik. Kalau tidak sudah tentu Perdana Menteri keluar mungkin dengan perasaan dukacita permohonannya tidak diperkenankan. Tapi hari ini kita tahu bahawa Agong membenarkan untuk disahkan keabsahan ini di Dewan Rakyat,” kata Nazri kepada Agenda Daily .

    Nazri membidas tindakan Ahmad Zahid yang membuat tuduhan derhaka terhadap kerajaan walhal umum mengetahui UMNO juga adalah sebahagian daripada kerajaan sedia ada ketika ini dengan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas sama sekali.

    “Tuduhan derhaka terhadap mana-mana Ahli-ahli Parlimen. Itu adalah tuduhan yang cukup berat, cukup-cukup berat.

    “Dan apabila semalam ada Mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) sudah putuskan kemudian diumumkan oleh Ahmad Zahid bercakap tentang isu derhaka ini saya rasa tersinggung. Dan saya rasa tuduhan itu berat dan tidak sepatutnya ditujukan kepada mana-mana Ahli Parlimen apatah lagi ditujukan kepada kerajaan yang saya adalah sebahagian daripada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ini,” katanya lagi.

    Beliau menegaskan, Ahmad Zahid tidak berhak untuk membuat tuduhan derhaka terhadap mana-mana individu kerana beliau bukan wakil kepada Yang di-Pertuan Agong dan memuji kebijaksanaan Tuanku yang tidak mudah menghukum rakyat dengan sewenang-wenangnya.

    “Jadi, sebenarnya soal derhaka ke tidak, derhaka ini hanya Istana sahaja (boleh tentukan).

    Yang boleh mengeluarkan kenyataan hanya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku seorang individu yang bijaksana dan sebagai raja tidak mudah seorang raja hendak menghukum rakyat.

    “Tapi kita tengok Presiden UMNO melakukan perkara itu. Masa bila dia (Ahmad Zahid) mewakili istana untuk menghukumkan mana-mana individu atau institusi itu derhaka atau tidak,” ujarnya lagi.

    Nazri berkata pendirian Yang di-Pertuan Agong dapat meredakan suhu politik negara susulan kekecohan yang dicetuskan oleh kumpulan dalam UMNO yang memihak kepada Ahmad Zahid.

    “Saya rasa Insya-Allah ia dapat meredakan (suhu politik) selepas pertemuan PM dengan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

  • Lelaki guna forklift pecah masuk pasar raya, bawa lari 30 telefon bimbit

    Lelaki guna forklift pecah masuk pasar raya, bawa lari 30 telefon bimbit

    SEORANG lelaki nekad memecah masuk sebuah pasar raya dengan melanggar pintu kaca premis itu menggunakan jentera pengangkut barang atau ‘forklift’ sebelum melarikan 30 telefon bimbit dalam satu kejadian di Kompleks Tok Arau, Perlis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian pecah masuk itu berlaku pada pukul 4.06 pagi dan berlaku dalam tempoh 15 minit sahaja.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat seorang lelaki memandu sebuah ‘forklift’ milik pasar raya terbabit sebelum melanggar pintu masuk kaca sehingga ia terbuka.

    “Suspek kemudian masuk dan menggeledah kedai telefon bimbit dan aksesori yang terletak bersebelahan pintu masuk utama pasar raya.

    “Dia kemudian mengumpil rak kaca kedai itu lalu mencuri 25 telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Nanda berkata, suspek kemudian naik ke tingkat satu pasar raya dan menuju ke sebuah lagi kedai telefon bimbit dan aksesori.

    Ujarnya, lelaki itu turut mengumpil dan mencuri lima telefon bimbit yang dihantar pelanggan untuk dibaiki dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM600.

    “Suspek kemudian melarikan diri dan kejadian hanya disedari jam 9.15 pagi semasa pengawal keselamatan masuk untuk memulakan tugasnya,” katanya.

    Sementara itu, Nanda memberitahu, pihaknya menganggarkan nilai kerugian berjumlah RM13,680.

    Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan perbuatan dilakukan oleh orang dalam dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • Rekod harian Covid-19: 19,819 kes baharu, 5 negeri lebih 1,000 jangkitan

    Rekod harian Covid-19: 19,819 kes baharu, 5 negeri lebih 1,000 jangkitan

    KES baharu Covid-19 melonjak kepada 19,819 kes dalam tempoh 24 jam lalu, tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara, Februari tahun lalu.

    Kes baharu yang tertinggi pernah direkodkan adalah pada 31 Julai lalu dengan 17,786 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebook berkata, perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2,714 kes berbanding 17,105 kes direkodkan semalam.

    Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 1,183,110 kes.

    Dr Noor Hisham berkata, Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan kes tertinggi dengan lebih separuh penularan direkodkan di Lembah Klang.

    Selangor merekodkan 8,377 kes dan Kuala Lumpur, 2,467 kes.

    Selain itu, terdapat tiga lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Kedah (1,371 kes), Johor (1,162 kes) dan Kelantan (1,003 kes).

    Ini diikuti Sabah dengan 949 kes, Pulau Pinang (867 kes) dan Negeri Sembilan (800 kes).

    Semua negeri kecuali Perlis, Labuan dan Putrajaya mencatatkan lebih 400 kes.

    Sementara itu, kes harian terendah hari ini dicatatkan di Labuan dengan lima kes manakala Perlis, 11 kes.

  • Zafrul harap kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik

    Zafrul harap kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik

    “PADA saat kritikal di mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang.

    “Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat tersebut, bagaimanakah perasaannya melihat keadaan ini.’’

    Itulah analogi yang digunakan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menyeru semua pihak mengenepikan perbezaan dan bersatu dalam usaha melawan pandemik Covid-19 dengan penularan varian yang lebih ganas kini.

    Zafrul berkata, nyawa rakyat harus diutamakan berbanding perbalahan politik yang tiada kesudahan.

    Dalam satu kenyataan beliau berkata, jangkitan Covid-19 kini semakin parah bukan sahaja di Malaysia malah di negara yang sebelum ini berjaya mengawal pandemik ini.

    “Banyak negara, termasuk Malaysia, yang tahun lalu telah berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, hari ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 akibat munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda,” katanya.

    Justeru beliau menegaskan, adalah penting Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin dengan penyertaan pihak pembangkang dan pakar.

    “Atas semangat kesepakatan inilah saya telah mengundang ahli-ahli politik parti pembangkang untuk menyertai mesyuarat penyelarasan PPN, baik wakil dari Pakatan Harapan dan Warisan, termasuklah parti Pejuang. Malangnya, parti Pejuang sudahpun menolak undangan tersebut secara rasmi.

    “Kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN? Sememangnya, PPN adalah harapan terbaik kita, satu penyelesaian yang merangkumi kepelbagaian suara, untuk membawa kita keluar dari krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat.

    Zafrul berkata usaha mengenepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna semua dasar dikemukakan kerajaan harus dipersetujui sebaliknya setiap pihak harus tahu garis pemisah untuk hentikan percanggahan.

    “Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan,” katanya.

    PPN merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi; membuat keputusan berpandukan sains dan data; mengambil pendekatan ‘seluruh negara’ (whole-of-nation); mewujudkan pelan yang dinamik dan memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.