Author: Wartawan WartaRakyat

  • 17 lokaliti di 3 negeri dikenakan PKPD – Hishammuddin

    17 lokaliti di 3 negeri dikenakan PKPD – Hishammuddin

    SEBANYAK 17 lokaliti di Perak, Pahang dan Sabah akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 21 Ogos depan.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 10 lokaliti di Perak dikenakan PKPD iaitu di Pulau Pangkor melibatkan Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

    Menurutnya, lokaliti lain di Perak turut dikenakan PKPD ialah Tapak Bina Horizon, Kinta; Kampung Perlok Baru dan Kampung Perlok di Mukim Sungkai, Batang Padang serta di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Kinta.

    Beliau berkata, lokaliti di Pahang pula melibatkan Kuala Tahan, Jerantut dan tiga lokasi di Temerloh iaitu Taman Sri Layang, Taman Rimba dan Taman Tualang Indah.

    “Di Sabah, lokaliti yang terlibat ialah di University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu; serta Kampung Lohan 1 di Ranau,” ,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

  • Keputusan UMNO tangguh pemilihan tidak sah – RoS

    Keputusan UMNO tangguh pemilihan tidak sah – RoS

    KEPUTUSAN UMNO untuk menangguhkan pemilihan partinya tidak sah, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

    Ketua Pengarahnya Jasri Kasim menjelaskan ia disebabkan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

    “Berdasarkan minit Mesyuarat MKT UMNO pada 7 Julai 2021 untuk menangguhkan Pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan UMNO selama 18 bulan, JPPN berpandangan bahawa keputusan tersebut adalah tidak sah.

    “Ketetapan ini adalah kerana tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jasri menjelaskan bahawa RoS bertanggungjawab untuk memastikan semua aktiviti dan pengurusan pertubuhan berdaftar sesuai dengan perlembagaan setiap organisasi dan tidak bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 atau mana-mana undang-undang negara.

    Pada 8 Julai lalu, presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa Majlis Tertinggi parti itu telah mengesahkan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan.

    Bagaimanapun beberapa pemimpin kanan UMNO mahukan pemilihan tersebut diadakan mengikut jadual bagi membolehkan parti itu memilih barisan mantap yang tidak mempunyai apa-apa masalah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

  • Pendirian ahli Parlimen BN mampu hentikan politik politik – PM

    Pendirian ahli Parlimen BN mampu hentikan politik politik – PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini berharap pendirian ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini.

    Perdana Menteri berkata, langkah itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani Covid-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.

    ‘’Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,’’ katanya kenyataan hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa jam sebelum itu bahawa 31 ahli Parlimen BN termasuk 21 daripada UMNO kekal menyokong Kerajaan PN.

    Muhyiddin turut mengucapkan terimakasih kepada Ismail Sabri dan ahli-ahli Parlimen atas sokongan yang diberikan dan pendirian mereka bahawa keabsahan sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada September melalui usul undi percaya, bukannya kaedah lain.

    ‘’Ini selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa menghadap di Istana Negara pada Rabu lalu,’’ katanya.

  • Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

    Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

    MENAMPUNG perbelanjaan harian dan bulanan menjadi pilihan utama kira-kira 62 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menyatakan tujuan permohonan i-Citra yang dibuka Julai lalu.

    Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein berkata, pilihan kedua terbanyak ialah menyelesaikan hutang pencarum dengan 16 peratus permohonan

    Selain itu katanya, sebanyak lapan peratus permohonan i-Citra memilih tujuan membantu ahli keluarga terjejas akibat pandemik dan tujuan lain (perbelanjaan bekerja dari rumah, keusahawanan, pendidikan, bukan keperluan penting, pelaburan)

    “Baki enam peratus lagi menyatakan mereka mengeluarkan i-Citra untuk tujuan menambah simpanan kecemasan,” katanya hari ini.

    Permohonan i-Citra dibuka pada 15 Julai lalu selepas diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) 28 Jun lalu.

    Bayaran pengeluaran telah dibuat secara berperingkat bermula 2 Ogos lalu.

    Ia membolehkan ahli yang layak membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

    Dalam pada itu, Nurhisham berkata, sejumlah RM2.3 bilion pembayaran i-Citra disalurkan kepada 4.57 juta pemohon setakat 4 Ogos lalu.

    Ujar beliau, pihaknya menerima 4.62 juta permohonan membabitkan jumlah RM19.3 bilion dengan RM19.1 bilion diluluskan manakala baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

    “Sebanyak 551 permohonan bernilai RM2.16 juta pula ditolak disebabkan oleh simpanan tidak mencukupi, melebihi had usia 55 tahun dan pemohon membatalkan permohonan,” tambahnya.

  • Artikel Sarawak Report berniat jahat

    Artikel Sarawak Report berniat jahat

    SARAWAK Report terus menjadi alat kepada pihak tertentu untuk melempar fitnah kepada kerajaan apabila melaporkan  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu hanya lima minit.

    Sumber Pejabat Perdana Menteri berkata, artikel Sarawak Report tersebut berniat jahat dan bertujuan memberi gambaran tidak baik mengenai hubungan baik Seri Paduka dengan Perdana Menteri.

    “Paling ketara mengatakan Perdana Menteri mengadap Baginda Tuanku selama 5 minit, padahal ia berlangsung selama 45 minit. Hubungan di antara Baginda Tuanku Agong dan YAB Perdana Menteri amat baik..

    ”Baginda Tuanku seorang yang bijaksana dan memahami keperluan sebuah kerajaan yang stabil. Mengatakan Baginda Tuanku murka pada Perdana Menteri juga tidak betul, kerana Baginda Tuanku telah memperkenan cadangan Perdana Menteri,’’ kata sumber tersebut.

    Sumber itu menjelaskan,  Perdana Menteri juga telah menyebutnya semasa mesyuarat Kabinet tentang baginda Tuanku berkenan undi percaya terhadap beliau dibawa ke Parlimen.

    ‘’Majlis menghadap berlangsung dalam suasana yang mesra dan berterus terang. Perkara-perkara ini biasanya dicatatkan dalam minit mesyuarat Kabinet yang juga akan dibaca oleh baginda Tuanku. Tak mungkin Perdana Menteri mahu  berbohong kepada Kabinet mengenai butiran perbincangan beliau dengan Baginda Tuanku.”

    Sumber itu Penyebaran berita palsu dan pembohongan ini sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

  • Vaksinasi harian kembali ke angka lebih 500,000, hampir 8 juta terima 2 dos

    Vaksinasi harian kembali ke angka lebih 500,000, hampir 8 juta terima 2 dos

    SELEPAS empat hari mencatatkan pemberian vaksin Covid-19 pada paras angka 400,000, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kembali merekodkan vaksinasi melebihi setengah juta dos, semalam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebanyak 514,674 dos vaksin berjaya diberikan semalam.

    Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 220,839 dos vaksin diberikan kepada penerima pertama manakala 293,835 dos lagi kepada penerima yang melengkapkan suntikan vaksin mereka.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 23,161,255 dos vaksin telah diberikan dengan jumlah penerima dos pertama ialah sebanyak 15,162,464 orang.

    “Daripada jumlah itu, 7,998,831 orang telah menerima dos kedua,” katanya menerusi ciapan di akaun rasmi Twitter beliau hari ini.

    Melalui infografik yang dikongsikan beliau, dari segi jumlah populasi seluruh negara, 46.4 peratus telah mendapat dos pertama vaksin manakala 24.5 peratus populasi lengkap divaksin.

    Tambahnya, dari aspek populasi dewasa, sebanyak 64.8 peratus sudah mendapat dos pertama manakala 34.2 peratus lagi mendapat 2 dos vaksin.

  • Agong santuni, kurnia sumbangan 10 keluarga di Rompin

    Agong santuni, kurnia sumbangan 10 keluarga di Rompin

    KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap nasib rakyat memerlukan di negara ini terserlah apabila Seri Paduka berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga yang memerlukan bantuan di Kampung Gading, Rompin, Pahang, semalam.

    Menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 10 keluarga itu yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas serta ibu tunggal.

    Al-Sultan Abdullah meluangkan masa bersama penerima dan ahli keluarga penerima sumbangan di Rompin, semalam. – Foto FACEBOOK ISTANA NEGARA

    Dalam lawatan selama dua jam itu, Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa di setiap rumah dan menyantuni ahli-ahli keluarga tersebut yang mencerminkan keperibadian tinggi Baginda terhadap golongan yang memerlukan.

    “Semoga sumbangan Seri Paduka ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutamanya dalam menghadapi tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu yang dilaksanakan oleh kerajaan,” menurut hantaran itu yang turut memuat naik beberapa keping gambar lawatan tersebut.

    Keberangkatan Seri Paduka itu diiringi Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

  • Ivermectin terhad untuk tujuan klinikal sahaja

    Ivermectin terhad untuk tujuan klinikal sahaja

    AHLI farmasi berlesen di negara ini diarahkan agar menghentikan aktiviti pengimportan, pengilangan dan penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk yang mengandungi Ivermectin bagi tujuan rawatan jangkitan Covid-19 serta merta.

    Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berkata, sebarang pengimportan atau penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk mengandungi Ivermectin perlu mematuhi semua keperluan perundangan dan regulatori ditetapkan bagi tujuan itu.

    “Pengiklanan produk racun termasuk Ivermectin tidak dibenarkan sama sekali kerana bertentangan dasar Lembaga Iklan Ubat (LIU),” kata kenyataan itu, semalam.

    Senarai edaran itu turut menyebut, ia merujuk kepada dasar Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan media pada 16 Mei lalu.

    Antara lain, KKM menyatakan tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal di Malaysia.

    Surat edaran itu menamakan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG), Presiden Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA).

    Sehubungan itu, ahli farmasi diarah menghentikan pengiklanan produk itu dan tidak diulang siar dalam mana-mana media.

    Persatuan farmasi juga perlu memastikan ahli masing-masing mematuhi undang-undang dikuatkuasakan serta dasar KKM dalam usaha pencegahan penggunaan tidak sah produk Ivermectin.

    Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan sebarang penjualan atau pembekalan serta pengiklanan ubat tertakluk kepada kawalan bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, bakal berdepan dengan tindakan penguatkuasaan.

  • Kecelaruan politik ganggu usaha tangani Covid – Tuan Ibrahim

    Kecelaruan politik ganggu usaha tangani Covid – Tuan Ibrahim

    PAS berpendirian kecelaruan politik di Malaysia ketika ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengganggu usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik Covid-19, kata Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Justeru, katanya, Pas yang tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpandangan setiap ahli politik sepatutnya memberi perhatian kepada masalah bencana wabak dan isu ekonomi yang sedang melanda negara.

    Beliau berkata usul hilang kepercayaan terhadap perdana menteri boleh dikemukakan pada persidangan Parlimen, September ini.

    “Namun, masalahnya nanti apa akan terjadi selepas itu? Seandainya berlaku hilang kepercayaan atau tidak sokong (Muhyiddin), maka tidak ada pihak pun akan dapat majoriti kalau sekiranya mahu melantik orang lain sebagai perdana menteri.

    “Pilihan Raya Umum (PRU15) pun semakin hampir, oleh itu, tidak padan kalau kita nak tukar perdana menteri dalam masa beberapa bulan sahaja. Keutamaan sekarang adalah beri perhatian kepada isu yang sedang melanda negara,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia, di sini hari ini.

    Muhyiddin dalam perutusan khas semalam, berkata beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan membenarkan suatu usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

    Sementara itu, ditanya mengenai keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN, Tuan Ibrahim mengakui PAS berasa dukacita berhubung perkara itu.

    “Sebelum ini, UMNO bersama-sama membentuk kerajaan PN dan kita letak sasaran bahawa kerajaan ini akan bertahan sehingga Parlimen dibubarkan (secara rasmi). Bagaimanapun, PAS menghormati pendirian UMNO,” katanya yang berpendapat kerajaan PN adalah yang terbaik ketika ini.

    Pada Selasa lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pendirian Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

  • PKPD di enam lokaliti babit empat negeri – Hishammuddin

    PKPD di enam lokaliti babit empat negeri – Hishammuddin

    SEBANYAK lima lokaliti di Sabah, Kelantan, Kedah dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Sabtu ini hingga 20 Ogos depan.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, terdapat tiga lokasi dikenakan PKPD di Sabah dengan dua darinya di Tawau melibatkan Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik.

    Katanya, satu lagi lokaliti dikenakan PKPD di Sabah ialah di Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod.

    Selain itu katanya, lokasi lain dikenakan PKPD ialah di Kampung Morak, Mukim Kebakat, Tumpat, Kelantan diikuti pula Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, Langkawi, Kedah.

    “Satu lagi lokaliti di Pahang dikenakan PKPD membabitkan FELDA Sungai Koyan 1 dan 2, Lipis,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

    Selain itu kata Hishammuddin, PKPD yang dilaksanakan sebelum ini di tiga lokaliti iaitu di Mukim Sura, Dungun, Terengganu melibatkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan hingga 16 Ogos.

    Pada masa sama katanya, PKPD di Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong, Pahang serta Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang, Kelantan dilanjutkan hingga 20 Ogos.

    Menurut Hishammuddin, setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di beberapa lokaliti di tiga negeri akan ditamatkan esok.

    Ujarnya, di Pahang, kawasan terlibat dengan penamatan PKPD ialah 14 lokaliti di Temerloh membabitkan Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts dan seluruh Kampung Padang Lalang.

    Lokaliti lain yang terlibat adalah Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh FELDA Lakum, Kampung Paya Keladan dan Taman Keladan Indah.

    Di Sabah pula, dua lokaliti terlibat penamatan PKPD ialah di Tuaran membabitkan Kampung Pukak, Mukim Tengah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria, Mukim Berungis; Kampung Gumandang, Kudat; Kampung Lumatai Ulu, Beaufort; serta tiga lokaliti di Sipitang iaitu Kampung Banting, Kampung Kawang dan Kampung Ulu Bole.

    Selain itu, penamatan PKPD turut membabitkan Kampung Dewan Besar, Labok, Machang, Kelantan.

    Menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, beliau berkata 71 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, seramai 240 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 14 lagi direman manakala dalam Op Benteng, 23 pendatang tanpa izin ditahan serta enam kenderaan darat dirampas.