Author: Wartawan WartaRakyat

  • Usah jadikan isu, pembinaan velodrom di Dungun bukan untuk kejohanan bertaraf dunia

    Usah jadikan isu, pembinaan velodrom di Dungun bukan untuk kejohanan bertaraf dunia

    Mohd Lazim Endut

    PROJEK pembinaan velodrom berbasikal di Dungun yang dilaksanakan sejak tahun 2009 bukan bertujuan untuk penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

    Wan Sukairi Wan Abdullah

    Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia hanya ditumpukan kepada aspek pembangunan sukan berbasikal negeri.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam meminta tiada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan ia sebagai isu.

    Menurut Wan Sukairi, pembinaan velodrom tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

    Beliau berkata, ini kerana tujuan asal velodrom berharga RM11.8 juta itu dibina adalah untuk dijadikan sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal negeri berikutan Terengganu adalah ‘lubuk’ pelumba basikal negara.

    “Kita berharap isu mengenai velodrom ini dibina tidak memenuhi spesifikasi UCI bagi kejohanan bertaraf dunia tidak sepatutnya dibangkitkan apatah lagi projek di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun 2009 itu hanya membabitkan kos RM11.8 juta dan tidak menepati ciri-ciri velodrom bertaraf antarabangsa.

    “Sebelum Projek itu dimulakan, kerajaan negeri ada memohon agar ia dibina di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak mengikut spesifikasi UCI dengan kos lebih tinggi sebagaimana di Nilai, namun tidak diluluskan,” ujarnya.

    Justeru kata Wan Sukairi, hakikat itu perlu diterima dan bukannya menimbulkan pelbagai isu kurang sihat.

    Menurut beliau, isu seperti itu perlu dihentikan kerana ia
    boleh mencetuskan suasana tidak harmoni apatah lagi Datuk Azizulhasni Awang sudah melakukan pengorbanan tinggi dengan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu.

    Mengenai nama velodrom yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022, Wan Sukairi memberitahu, sehingga ini kerajaan negeri belum membuat keputusan memandangkan ia masih belum siap sepenuhnya.

    “Kita belum membuat keputusan kerana ia belum siap sepenuhnya, kita memang bercadang untuk namakan velodrom Azizulhasni Awang.

    “Marilah sama-sama kita berdoa agar ia menjadi kenyataan.

    “Sehingga ini kerja-kerja pembinaan telah siap 90 peratus dan dijangka boleh beroperasi awal tahun 2023,” jelas beliau.

  • Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    PENYANYI lagu-lagu asli, Muhammad Hanizam Azman sempat memuatnaik status terakhir di akaun Facebooknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19, Jumaat lalu.

    Lebih menyedihkan, Allahyarham, 30, memuat naik status itu kira-kira pukul 2 petang, hanya empat jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    Muhammad Hanizam Azman

    “Saya akan ditidurkan, maafkan semua,” tulis status terakhir itu.

    Allahyarham yang merupakan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009 meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Muhammad Hanizam juga pernah dinobat sebagai johan Bintang Asli Remaja anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Kedah pada 2014.

    Beberapa jam selepas meninggal dunia, masih ramai rakan dan kenalan yang belum mengetahui tentang pemergian Allahyarham, meninggalkan komen mendoakan kesembuhannya.

    Berdasarkan status di laman sosial Muhammad Hanizam, Allahyarham serta beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos lalu.

    Allahyarham menetap di Kuala Muda dan mengusahakan kedai makan dan pada masa sama menerima tawaran mengadakan persembahan.

    Muhammad Hanizam dimasukkan ke hospital tiga hari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.

  • Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    SEBANYAK lapan orang terbunuh apabila sebuah pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki semalam.

    Lapor Al Jazeera yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, pesawat Be-200 itu terhempas kira-kira pukul 3.10 petang waktu Moscow dan ia membawa lima orang kru warga Rusia dan tiga lagi orang awam Turki.

    Agensi berita Anadolu berkata, pesawat malang itu berkaitan Jabatan Perhutanan Rusia dan pasukan penyelamat sudah dikerah ke lokasi nahas di Kahramanmaras.

    Punca nahas itu bagaimanapun masih tidak diketahui.

    Gabenor Kahramanmaras, Omer Faruk Coskun berkata, satu kebakaran hutan berlaku apabila kilat menyambar pokok.

    “Kita mengerahkan sebuah pesawat ke lokasi namun terputus hubungan dan ia terhempas.Kita menghantar sebanyak mungkin unit bantuan ke lokasi nahas,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menzahirkan ucapan takziah dan bersedih dengan kematian yang berlaku dalam insiden berkenaan.

    Turki memadamkan lebih 300 kebakaran hutan dalam tempoh 16 hari lalu, yang turut menyaksikan lapan nyawa terkorban.

    BE-200 merupakan pesawat dua enjin yang digunakan di Rusia dan negara lain untuk memadamkan kebakaran hutan.

    Ia mampu melepaskan sehingga 270 metrik tan air menerusi beberapa kali perjalanan dalam satu misi.

  • Arab Saudi rancang benarkan 120,000 orang jemaah tunai umrah sehari

    Arab Saudi rancang benarkan 120,000 orang jemaah tunai umrah sehari

    ARAB Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 orang sehari berbanding 60,000 orang ketika ini.

    Saudi Gazette melaporkan, Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Abdulaziz Wazan berkata, terdapat usaha segera meningkatkan kapasiti umrah harian kepada 90,000 orang jemaah sehingga jumlahnya mencapai 120,000 orang jemaah.

    “Ia akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak yang berkeupayaan,” katanya dalam satu wawancara televisyen, kelmarin.

    Abdulaziz berkata, beliau menjangkakan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah tahun ini.

    Ujarnya, permit umrah yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi meliputi solat di Masjidilharam di Mekah, ziarah Masjid Nabawi di Madinah selain menunaikan solat di Al Rawda Al Sharifa di dalam masjid berkenaan.

    “Syarikat Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah umrah telah bersiap sedia memberikan kualiti perkhidmatan terbaik mereka,” tambahnya.

    Arab Saudi mula menerima permohonan umat Islam dari luar negara yang lengkap divaksin untuk menunaikan umrah bermula 9 Ogos lalu.

    Malaysia antara negara yang termasuk dalam senarai diberikan kebenaran untuk menunaikan umrah oleh Arab Saudi.

  • Vaksinasi Covid-19: 10.4 juta populasi negara lengkap divaksin

    Vaksinasi Covid-19: 10.4 juta populasi negara lengkap divaksin

    SEBANYAK 31.9 peratus atau 10,425,300 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai 16,868,615 orang atau 51.7 peratus populasi negara pula telah menerima dos pertama.

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara semalam. Foto Twitter Dr Adham Baba

    Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 27,293,915 dos.

    “Selain itu, sebanyak 72.1 peratus populasi dewasa telah mendapat dos pertama vaksin manakala 44.5 peratus populasi dewasa lengkap divaksin,” katanya menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.

    Sementara itu, Dr Adham berkata, vaksinasi harian mencatatkan 442,150 dos diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 161,049 penerima mendapat dos pertama manakala 281,101 lagi adalah dos kedua.

  • Labuan catat kes baharu sifar hari ini

    Labuan catat kes baharu sifar hari ini

    JUMLAH kes Covid-19 terus menurun di Labuan ke paras yang tidak pernah dicatatkan sejak akhir Februari tahun lepas, pada ketika Wilayah Persekutuan itu melaksanakan vaksinasi kepada kesemua orang dewasa dan melaksanakan sekatan pergerakan, yang akhirnya menunjukkan kesannya.

    Labuan mencatatkan kes baharu sifar hari ini, pertama kali sejak pandemik itu melanda pulau bebas cukai tersebut. Dengan perkembangan baik ini, kes di Labuan  sehingga hari ini kekal pada 9,740 kes dengan 149 kematian.

    Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, Labuan mencatatkan kes pertama pada 18 Feb 2020 yang melibatkan satu pasangan suami isteri.

    Isteri pasangan itu, berusia 22 tahun berasal dari Shandong, China.

    Seperti yang dilaporkan Bernama, pasangan itu telah ditahan sebaik tiba dari Kuala Lumpur, selepas pihak imigresen mendapati mereka telah melawat China, beberapa hari sebelum pulang ke Labuan.

    Sebaik pemeriksaan oleh pegawai kesihatan, mereka telah disyaki mempunyai gejala virus itu dan telah dirujuk ke hospital dan dikuarantin.

    Berdasarkan kepada siasatan, pasangan itu pulang ke Malaysia dari Xiamen, China pada 17 Feb 2020 dan menaiki penerbangan ke Labuan pada keesokkan harinya, dan bermula dari hari tu kes jangkitan harian di Labuan berterusan meningkat dan tidak pernah mencatatkan kes sifar sejak itu.

    Dr Ismuni berkata, Labuan akan bertukar ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan jumlah telah divaksinasi 91.57 peratus mereka yang layak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

    “Labuan sebelum ini menjadi negeri dan Wilayah Persekutuan dilanda kes Covid-19 paling teruk, dengan mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di negara dan melibatkan kes varian Delta,” katanya lapor Bernama.

    Sementara itu Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Facebook mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan yang diketuai Rithuan Ismail dan Dr.Ismuni serta Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila atas usaha gigih memerangi pandemik tersebut terutama ketika Labuan dilanda varian Delta.

    ”Terima kasih dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan hadapan yang menjadikan pencapaian ini satu realiti,” kata kenyataan itu.

  • Awang Sariyan rayu Agong timbang gencatan politik

    Awang Sariyan rayu Agong timbang gencatan politik

    PROFESOR Datuk Seri Dr.Awang Sariyan hari ini merayu Yang di-Pertuan Agong menimbang dan mempertahankan rayuan 175 pertubuhan bukan kerajaan agar Seri Paduka menimbangkan gencatan politik dalam keadaan negara masih dilanda wabak Covid-19.

    Beliau berkata, tumpuan perhatian para pemimpin dan ahli Parlimen  wajar diberi perhatian bagi pada menangani wabak tersebut.

    ‘’Dan sebarang rancangan pertukaran kerajaan wajar ditangguhkan kepada waktu yang lebih sesuai demi maslahah, kesejahteraan dan kesihatan rakyat seluruhnya.

    ‘’Sembah harapan patik ini berlunaskan kedudukan dan martabat Tuanku sebagai payung negara yang Insha-Allah dapat merungkaikan sebarang kemelut dan khilaf yang berlaku dalam kalangan pihak-pihak tertentu

    ‘’Patik yakin bahawa Tuanku merupakan wibawa yang paling tepat dalam memberikan pimpinan kepada patik-patik rakyat Tuanku sekaliannya,’’ kata beliau dalam kenyataan hari ini.

  • Belia sambut baik pengumuman PM, bosan mainan politik berlebihan

    Belia sambut baik pengumuman PM, bosan mainan politik berlebihan

    GOLONGAN belia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan perlaksanaan Undi 18 dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya DUA (2) penggal.

    Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah, Marjohan Amin, berkata penglibatan lebih ramai anak muda dalam menentukan kepimpinan negara akan memberi ruang dan peluang menyampaikan aspirasi dan pandangan mereka.

    ‘’Pengumuman Perdana Menteri semalam memperlihatkan kesediaan kerajaan bekerjasama dengan semua pihak.

    “Keputusan untuk membawa semua parti politik terutamanya pembangkang memperlihatkan kesediaan kerajaan membawa aspirasi semua pihak demi rakyat,” katanya dalam sebuah kenyataan.

    Marjohan berkata, dalam memerangi pandemik Covid-19 yang memuncak, semua pihak perlu untuk bekerjasama tidak kira kerajaan atau pembangkang demi rakyat.

    “Gencatan politik dan kerjasama dwipartisan perlu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada kerajaan melaksanakan segala perancangan untuk melandaikan statistik dan bilangan mangsa-mangsa Covid-19 ini.

    “Golongan belia sudah bosan dengan permainan politik berlebihan. Kami menyeru agar semua pihak bekerjasama dan membantu rakyat dalam menghadapi kepayahan dan kesukaran ketika ini yang dibawa oleh pandemik ini,” katanya.

    Beliau berkata, dalam suasana pandemik dan politik ketika ini, pertukaran kerajaan dan kepimpinan negara tidak akan menjamin kestabilan dan kejayaan dalam peperangan dengan Covid-19 ataupun memanfaatkan rakyat.

  • PBS sokong Rang Undang-Undang Anti Lompat

    PBS sokong Rang Undang-Undang Anti Lompat

    PARTI Bersatu Sabah (PBS ) menyokong pengumuman  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkenal dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat sekiranya mendapat sokongan rentas parti dalam undi percaya di Parlimen nanti.

    Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki berkata, RUU Anti Lompat merupakan perkara yang telah lama dibawa dan dicadangkan oleh PBS.

    “Cadangan dan tindakan ini amat baik dan bertepatan sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Julita berkata, beliau juga secara peribadi menyokong cadangan itu atas keyakinan bahawa ia boleh membawa kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

    “PBS turut menyokong penuh cadangan dan langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran yang akan dibuat sekiranya mendapat sokongan rentas parti undi dua pertiga di dewan rakyat dan dewan negara, kebajikan dan kepentingan rakyat harus mendapat keutamaan,” katanya yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri dan ADUN Matunggong.

    RUU Anti Lompat merupakan antara tujuh perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

    Julita berkata, RUU ini adalah antara perkara terpenting yang harus disambut baik dan disokong sepenuhnya oleh semua Ahli Parlimen kerana impaknya bersifat kekal kepada kestabilan negara dan melindungi suara serta kehendak rakyat yang mengundi wakil rakyat mereka.

    “Saya tidak hairan melihat reaksi parti-parti politik pembangkang dari Sabah yang menolak cadangan Perdana Menteri khususnya RUU Anti Lompat ini kerana mereka tidak dapat menyokong sesuatu yang merugikan mereka atau menghalang mereka untuk berkuasa dengan apa cara sekalipun,” katanya.

  • Tawaran PM bertanggungjawab, tidak ‘lepas tangan’ demi rakyat – Syed Ali

    Tawaran PM bertanggungjawab, tidak ‘lepas tangan’ demi rakyat – Syed Ali

    TAWARAN rentas politik yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ikhlas, berani dan bertanggungjawab demi menyelamat dan membebaskan negara daripada krisis Covid-19.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika benar Perdana Menteri bermain politik, beliau sememangnya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

    Ujarnya, ia juga selari seperti yang didesak blok pembangkang termasuk UMNO sendiri.

    “Bagaimanapun, Muhyiddin tidak berbuat demikian kerana menyedari sekarang ini bukan waktu ketika kerajaan sedang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan negara, sebaliknya beliau memberi bayangan PRU-15 akan diadakan Julai tahun depan.

    “Begitu juga desakan supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas dakwaan hilang majoriti. Saya berpendapat beliau sendiri sudah mengambil maklum keadaan tersebut dengan mengemukakan cadangan diadakan usul percaya terhadapnya di Parlimen tidak lama lagi.

    “Di sinilah saya melihat Muhyiddin mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Walhal beliau boleh bila-bila masa meletakkan jawatan dan ‘lepas tangan’ tetapi saya yakin beliau lebih memikirkan nasib rakyat dan negara di samping amanah yang beliau pikul,” katanya lapor Astro Awani.

    Disebabkan itu kata Syed Ali, Muhyiddin memilih jalan mengadakan undi percaya dan menjanjikan melaksanakan PRU-15 selewat-lewanta Julai tahun hadapan dengan mengambil kira suasana semasa pandemik Covid-19.

    Beliau juga menyifatkan, pemimpin UMNO yang masih kekal berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah mereka yang setia kepada perjuangan parti demi kepentingan rakyat khususnya orang Melayu dan negara Melayu-Islam.

    “Untuk mengkhianati kepada masa depan orang Melayu dan negara Islam, kesemua mereka (menteri dan timbalan menteri UMNO) boleh meletakkan jawatan daripada Kabinet, tetapi apakah tindakan mereka itu akan memberi keselesaan kepada orang Melayu dan UMNO khususnya yang sekarang ini dilanda dengan krisis keyakinan dan kepimpinan?

    “Apalah sangat untuk menteri dan timbalan menteri daripada UMNO itu mengambil sedikit masa untuk kekal menyokong Muhyiddin sehingga PRU15 daripada akan dikenang sebagai kumpulan petualang yang bertanggungjawab menumbangkan sebuah kerajaan Melayu Islam.

    “Saya tetap beranggapan bahawa Muhyiddin telah menjalankan tanggungjawab yang ikhlas danterbaik selaku seorang Perdana Menteri dalam menangani situasi yang amat getir ini tanpa memikirkan serangan politik bertali arus, manakala pemimpin UMNO dalam kerajaan PN diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuktikan mereka adalah pejuang UMNO sejati dan bukannya pengkhianat kepada masa depan orang Melayu,” ujarnya.

    Beliau berkata, rakyat sendiri yang akan menentukan keabsahan sesebuah kerajaan itu menerusi PRU akan datang dan hak serta kebebasan mereka memilih sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab membina masa depan yang lebih gemilang khususnya untuk bangsa Melayu berteraskan sebuah kerajaan Melayu-Islam amnya