Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

    Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

    TIDAK hanya boleh merebak dalam tempoh lima hingga 15 saat serta tersebar melalui udara, kajian baharu mengenai varian Delta, mendapati varian berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian itu membiak di dalam hidung individu yang sudah divaksinasi seolah-olah dia belum mendapatkan vaksin.

    Menurutnya, virus itu yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi.

    “Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

    Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

    Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, meskipun terdapat kemungkinan varian Delta itu boleh menjangkiti orang lain, individu yang divaksin masih dapat dilindungi daripada gejala yang lebih teruk serta kematian.

    Ujar beliau, ini sekali gus mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan ICU.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berharap semua orang mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi mengelakkan risiko yang lebih tinggi terhadap jangkitan varian Delta itu.

  • Macam tak percaya “Yee” jadi PM – Abang

    Macam tak percaya “Yee” jadi PM – Abang

    MOHD LAZIM ENDUT

    ABANG kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seakan tidak percaya bahawa adiknya yang merupakan seorang budak kampung akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Malah, Abdul Manaf Yaakob, 81, menyifatkan pelantikan adik bongsunya yang mesra dengan panggilan Yee sebagai satu kejutan buat keluarganya.

    “Ya, kami rasa macam tak percaya anak kampung boleh jadi Perdana Menteri,” katanya selepas Ahli Parlimen Bera itu dilantik selaku Perdana Menteri ke-9 petang ini.

    Menurut Abdul Manaf, apa yang berlaku merupakan satu khabar gembira yang tidak terduga buat keluarganya.

    Katanya, memang pada mulanya ada rasa macam tidak masuk akal adik menjadi PM selain terkejut, namun pada masa sama tetap bersyukur dan tahu ia dalam aturan Allah SWT walaupun dilihat perjalanan karier politik adiknya itu agak mendatar.

    Bagaimanapun, Abdul Manaf tetap menaruh harapan adiknya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan sebaik-baiknya.

    “Kalau ikutkan ketokohan Yee dalam bidang politik hanya saya nampak ketika dia menuntut di Universiti Malaya (UM),” ceritanya.

    Abdul Manaf yang juga bekas ahli perniagaan itu ditemui di kediamannya di Taman Sri Semantan,Temerloh Pahang, hari ini.

    Ujar anak kedua daripada lapan beradik yang mesra dengan panggilan Abang Nik itu, sebagai anak bongsu, Ismail Sabri seorang adik yang manja dan low-profile sejak kecil.

    “Selain itu, sebagai anak kampung, yee pun macam budak lain, suka mandi sungai dan lain-lain.

    “Bila adik dah jadi menteri saya lihat dia (Yee) masih menunjukkan sifat manjanya dan masih gemar makan ketupat cicah gula kabung (nisan).

    “Saya harap Yee dapat menggalas tanggungjawab sebagai PM sebaik mungkin.

    “Jalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan amanah selain mampu mengatasi pandemik Covid-19 yang sangat diharapkan oleh rakyat di negara ini,” jelasnya.

  • Individu dakwa dirinya Sultan Melaka meninggal dunia

    Individu dakwa dirinya Sultan Melaka meninggal dunia

    INDIVIDU yang pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya sebagai ‘Sultan Melaka’, Noor Jan Tuah dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, hari ini.

    Allahyarham, 64, difahamkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi hari ini.

    Kematian Noor Jan dari Taman Seri Gombak dimaklumkan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menerusi akaun Facebook, miliknya.

    “Assalamualaikum. Dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuanku Raja Noor Jan Shah telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

    “Salam takziah buat mak engku Tuanku Zaidatul Mardiah Yussuf serta seluruh ahli keluarga dan kerabat,” katanya hari ini.

    Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda Gombak pada pukul 3 petang ini.

    Noor Jan yang mendakwa dirinya Sultan Melaka pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka pada 2016 dengan empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah.

    Noor Jan didakwa menyamar sebagai Sultan Melaka dengan mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kepada empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun, pada 28 Disember 2013.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, namun pada Julai 2018, Mahkamah Sesyen Air Keroh melepas dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan itu.

    Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, namun pada April 2019, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan Noor Jan.

    Keputusan dicapai berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berhubung empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka dan Mahkamah Rayuan Putrajaya turut mengekal pembebasan Noor Jan pada Januari tahun lalu.

  • 22,262 kes baharu Covid-19, kumulatif 1.53 juta jangkitan

    22,262 kes baharu Covid-19, kumulatif 1.53 juta jangkitan

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan sedikit penurunan hari ini apabila merekodkan sebanyak 22,262 kes berbanding 23,564 kes semalam.

    Bagaimanapun, angka itu kekal tinggi apabila sudah empat hari jangkitan harian Covid-19 di negara ini berada dalam lingkungan lebih 20,000 kes.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,535,286 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 7,011 jangkitan baharu, diikuti tujuh negeri lain yang mencatatkan lebih seribu kes.

    Sabah dan Sarawak terus konsisten di tempat kedua dan ketiga apabila masing-masing mencatatkan 2,651 kes dikuti
    Sarawak 1,964 kes, sedikit penurunan berbanding semalam.

    Selain itu, antara negeri dengan lebih seribu kes harian pula ialah Kedah (1,880 kes) diikuti Johor (1,558 kes); Pulau Pinang (1,459 kes), Kuala Lumpur (1,220 kes) dan Kelantan (1,039 kes).

    Perak, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing hanya merekodkan kes kepada tiga digit sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu sembilan jangkitan diikuti Perlis (38) dan Putrajaya (41 kes).

  • Gerakan harap PM baharu terus ambil berat Pulau Pinang

    Gerakan harap PM baharu terus ambil berat Pulau Pinang

    PARTI Gerakan Rakyat Pulau Pinang berharap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dapat terus mengambil berat permintaan dan keperluan penduduk negeri itu.

    Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah penting dan amat diperlukan supaya pelbagai masalah di negeri itu dapat ditangani khususnya dalam kerja mengawal penularan Covid-19.

    Menyifatkan Ismail Sabri berdepan cabaran berat, tambah beliau, Perdana Menteri baharu itu perlu berganding bahu dengan setiap kerajaan negeri untuk meredakan keadaan Covid-19 di negara ini.

    Dalam masa sama jelasnya, Ismail Sabri juga perlu memastikan pelabur asing terus melabur di Malaysia untuk mengelakkan kemerosotan ekonomi susulan daripada ketidakstabilan politik dan keadaan Covid-19 sebelum ini.

    “Pelantikan Perdana Menteri kesembilan kini telah muktamad.

    “Dengan itu, kami menggesa semua pemimpin politik sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang hentikan perbalahan politik dengan segera, tumpukan usaha mengekang penularan Covid-19 dan memacukan semula ekonomi negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dalam masa sama, tambah Tong Keong, Ismail Sabri juga perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menarik pelabur asing ke Malaysia khususnya dan Pulau Pinang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengatasi masalah pengangguran.

    “Beliau juga harus mengambil berat isu kritikal yang dihadapi penduduk Pulau Pinang dan memberi bantuan dalam menangani masalah-masalah itu.

    “Sebagai contoh keadaan Covid-19 di Pulau Pinang ketika ini masih serius selain terdapat masalah kekurangan bekalan vaksin untuk negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, beliau turut berharap Pakatan Harapan (PH) khususnya Kerajaan PH Negeri Pulau Pinang mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan keutamaan membantu rakyat.

    “Mereka perlu memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu dan bersama-sama mengekang pandemik Covid-19 serta membantu rakyat mengharungi cabaran ini,” katanya.

  • Pantau harga, ketulenan produk ‘pulse oximeter’ di pasaran

    Pantau harga, ketulenan produk ‘pulse oximeter’ di pasaran

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyelesaikan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai harga dan kualiti produk ‘pulse oximeter’ yang ketika ini semakin popular di pasaran.

    Pegawai Pendidikannya N. V. Subbarow berkata, pihaknya mendapati produk itu dijual secara dalam talian dan di banyak tempat tanpa sekatan termasuk oleh mereka yang tidak mengetahui apa-apa mengenai perubatan.

    Jelasnya, perkara itu meletakkan pengguna dalam risiko kesihatan yang besar apabila mereka membeli instrumen perubatan tersebut di kedai yang tidak diketahui yang mungkin palsu dan cenderung dijual pada harga lebih tinggi.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna membeli alat pemeriksaan diri tersebut atas cadangan doktor yang menjualnya dengan betul di farmasi.

    “Instrumen itu adalah alat elektronik yang mengukur oksigen dan nadi pengguna. Jika jika jumlah yang ditunjukkan salah disebabkan produk dibeli adalah palsu, maka ia boleh membahayakan nyawa.

    “Sekiranya pengguna mahu mendapatkan alat tersebut adalah lebih baik membelinya di farmasi atau di kedai ubat terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, dengan membelinya di farmasi, pengguna boleh mendapatkan penerangan tentang cara mengendalikannya dan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada ejen jualan.

    Selain itu tambah beliau, CAP turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga alat ujian kendiri itu memandangkan setiap kedai menjualnya pada harga yang berbeza.

    Jelasnya, peranti ini sepatutnya hanya boleh dijual di farmasi atau kedai ubat sekali gus dapat memastikan keaslian produk selain harga berpatutan dapat dijamin kepada para pengguna.

  • Atuk lebih handsome daripada ayah hari ini

    Atuk lebih handsome daripada ayah hari ini

    BAHANG majlis angkat sumpah jawatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini turut dirasai ahli keluarga Naib Presiden UMNO itu.

    Menerusi perkongsian Instagram, pereka fesyen terkenal dan juga menantu Perdana Menteri, Datuk Jovian Mandagie berkongsi gambar beliau sedang membantu bapa mertuanya bersiap ke majlis itu.

    Namun pada kapsyen gambar itu, Jovian berkongsi perbualan anak perempuannya, Jeannelle Mika Mandagie, 3, bersama datuknya yang dipanggil Atuk.

    “J berkata, Atuk lebih handsome daripada ayah hari ini,” tulis Jovian.

    Nyata anak kecil itu sudah berasa teruja dan memahami detik bersejarah yang akan dilalui datuknya.

    Sejak status itu dimuatnaik, ia telah menerima lebih 47,000 tanda suka oleh warganet.

    Jeannelle merupakan satu-satunya anak Jovian hasil perkahwinannya dengan puteri tunggal Ismail, Nina Sabrina Ismail Sabri, 34, lapan tahun lalu.

    Sementara itu, Ismail Sabri hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, kira-kira pukul 2.20 petang.

    Ismail Sabri mengangkat sumpah pada pukul 2.28 petang.

    Jovian juga merupakan pemilik perniagaan busana Jovian Ready-To-Wear (RTW).

  • Mesyuarat khas MKT UMNO malam ini tangguh

    Mesyuarat khas MKT UMNO malam ini tangguh

    MESYUARAT khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang djadualkan berlangsung malam ini ditangguhkan.

    Memetik laporan UMNO Online, perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan hari ini.

    Walau bagaimanapun, laporan tersebut tidak menjelaskan sebab mesyuarat khas MKT UMNO itu ditangguhkan.

    Tujuan mesyuarat itu ingin diadakan pada mulanya juga tidak diketahui.

    Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    Menurutnya, Naib Presiden UMNO itu akan memulakan tugas dengan tanggungjawab yang sangat berat dan mencabar dalam waktu yang sangat luar biasa.

    “Insya-Allah seluruh kepimpinan parti akan membantu dan mendukung dengan sebaiknya kepimpinan beliau.

    “Selamat memulakan tugas Perdana Menteri,” katanya melalui hantaran Facebook.

    Ismail Sabri hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  • Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri Kesembilan

    Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri Kesembilan

    Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, kira-kira pukul 2.20 petang.

    Ismail Sabri mengangkat sumpah pada pukul 2.28 petang.

    Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

    Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Ismail Sabri, 61, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

    Upacara itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Selain itu yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

    Turut hadir empat anak dan menantu Ismail Sabri iaitu Datin Nina Sabrina dan suaminya Datuk Jovian Mandagie, Gadaffi, Nashriq dan isterinya Aiman Shaheerah Faeiz, serta Iqbal.

    Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

  • Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    MOHD LAZIM ENDUT

    UMNO Kelantan berharap barisan Kabinet baharu yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

    Selain perhatian kepada aspek ekonomi dan kesihatan, tumpuan juga perlu diberikan kepada kebajikan rakyat.

    Sambil menyambut baik pelantikan tersebut, pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO Kelantan bersatu hati dalam memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

    “Kita sentiasa konsisten dengan prinsip dan pendirian kepatuhan kepada parti dan juga pucuk pimpinan.

    “Malah, kita mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan UMNO serta seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di atas keputusan sebulat suara bagi menyokong pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ahmad Jazlan, pada masa sama UMNO Kelantan juga berharap agar Ismail Sabri akan dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, penuh bertanggungjawab, amanah dan berintergriti.

    “Apa yang penting ialah agar beliau dapat memacu negara ke arah lebih baik termasuk dari segi ekonomi, kesihatan dan kebajikan rakyat,” jelas beliau.