Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kecoh di KLIA: KDN nafi wanita China tak keluar Malaysia

    Kecoh di KLIA: KDN nafi wanita China tak keluar Malaysia

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan laporan media bahawa wanita warga China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun, belum keluar dari negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), wanita terbabit telah meninggalkan Malaysia pada 4 Julai lalu, dengan penerbangan pada pukul 8.55 malam.

    “Sebenarnya pada 4 Julai lalu melalui penerbangan Shenzhen Airlines, ZH9030 pada pukul 8.55 malam, wanita itu telah pun dicatatkan keluar daripada rekod Imigresen.

    “Jadi apa moral pengajaran? Media kena cermat dan berhati-hati (dalam membuat laporan). Jangan petik sumber sembarangan terutamanya yang bercanggah kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    “Malangnya, dia (media terbabit) cuma memetik sumber yang tak dinamakan,” katanya dalam Sidang Media Khas di Kuala Lumpur hari ini, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, sebuah akhbar yang memetik sumber mendakwa tiada rekod yang menunjukkan wanita berkenaan telah meninggalkan negara.

    Bagaimanapun, Azam seperti dilapor berkata, dua wanita warga China sudah pulang ke negara asal pada 5 Julai.

    Akhir bulan lalu, tular dalam media sosial insiden kekecohan di KLIA apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing didakwa menceroboh masuk Balai Ketibaan Antarabangsa selepas seorang pelawat China tidak dibenarkan masuk ke negara ini oleh pihak imigresen.

    Menteri berkenaan kemudian mendakwa ada ‘budaya rasuah’ membabitkan pegawai imigresen dalam mengurus proses ketibaan warga asing di KLIA.

    Susulan itu, setakat 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan isu rasuah di pintu masuk negara.

    Azam berkata, individu tersebut termasuk King Sing, dua wanita warga China serta lapan kakitangan JIM.

  • Tiga warga Indonesia didakwa edar lebih 40kg dadah

    Tiga warga Indonesia didakwa edar lebih 40kg dadah

    TIGA warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Melaka hari ini atas pertuduhan mengedar 40 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, akhir bulan lalu.

    Tertuduh Gunawan dan Amirullah masing-masing berusia 33 tahun dan Suryadi, 31, mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Nabilah Nizam.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada ketiga-tiga tertuduh, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, mereka didapati mengedar dadah jenis methamphetamine, berat kasar 40,760 gram di pesisiran Pantai Klebang, Melaka sekitar pukul 10.30 malam pada 28 Jun lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2)Akta yang sama.

    Sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ehsan Nasarudin manakala ketiga-tiga mereka tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Ogos depan sebagai sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan kimia.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada ketiga-tiga tertuduh.

  • Dua wanita Vietnam didenda RM2,000 tawar seks kepada polis

    Dua wanita Vietnam didenda RM2,000 tawar seks kepada polis

    DUA wanita warga Vietnam yang menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lalu masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini.

    Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang masing-masing berusia 33 tahun, bekerja sebagai tukang urut, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.

    Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencari langganan bagi persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, pada pukul 6 petang, 27 Jun lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, peguam, Jasmine Faith yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda kerana perlu menanggung anak masing-masing.

    “Mereka baru sahaja mula bekerja sebagai tukang urut selama dua hari namun ekoran kesalahan berkenaan, mereka telah direman selama 15 hari, sekali gus menjadikan perkara ini sebagai pengajaran,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

  • J-KOM jadi sasaran awam selepas dakwa harga barang turun

    J-KOM jadi sasaran awam selepas dakwa harga barang turun

    KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Agus Yusoff menerima reaksi negatif di media sosial selepas memuat naik satu hantaran membandingkan harga barangan dapur yang disifatkan pengguna sebagai ‘tidak logik’ dan ‘tak masuk akal’.

    Semalam, Agus berkongsi satu infografik yang menunjukkan perbandingan beberapa item barangan dapur di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH).

    Semuanya nampak biasa apabila harga-harga bahan masakan seperti bawang, minyak masak dan ayam dibandingkan dengan kadar harga yang hampir sama dengan harga jualan di pasaran.

    Bagaimanapun, ruangan komen dalam Facebook Agus didapati ramai pihak yang mempertikai perbandingan harga cili merah.

    Menurut infografik itu, beliau menyatakan harga cili merah di zaman PN dijual pada harga RM50 hingga RM100 sekilo manakala RM12 hingga RM15 di bawah pentadbiran kerajaan campuran.

    Rata-rata pengguna Facebook mempersoalkan fakta yang dikemukakan oleh bekas pensyarah itu mengatakan beliau tidak boleh cuba berbohong mengenai harga barangan tersebut memandangkan rakyat kebanyakan membeli barangan dapur hampir setiap hari.

    “Prof, jangan letak maklumat taraf profesor kangkung.

    “Kami ni rakyat marhean, hari-hari beli barang di pasar. Janganlah nak tunjuk buat kerja tapi nampak b**** sangat,” tulis Ahmad Ismail Man.

    “Nampak sangat harga rekaan, bila masa pula cili sampai harga RM50?” soal Mat Jusoh Dollah.

    Sementara itu, terdapat juga pengguna Facebook yang turut mengadu harga barangan lain tidak sama dengan harga yang dinyatakan dalam infografik dimuat naik oleh Agus.

    Kata mereka, harga ayam di Sabah contohnya sudah mencecah sehingga RM13.90 sekilo berbanding harga RM9 sekilo yang ditunjukkan dalam hantaran Agus itu.

    “Kedai mana yang jual ayam harga tu? Saya nak cari,” tulis Amirah Nadzali.

    Agus bersara daripada menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Julai 2022.

    Semasa Pilihan Raya ke-15 (PRU15) lalu, Agus dalam nota persaraannya secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

    Selain itu, Agus juga mempertahankan penglibatannya dengan kumpulan profesor Melayu yang secara terbuka menyokong Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri melalui dokumen ‘Deklarasi Profesor Melayu G70’ ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 sedang berlangsung.

    Sehingga kini, hantaran Agus itu terus dibanjiri oleh komen pengguna media sosial dan mendapat ratusan perkongsian.

    Dalam hantaran tersebut, Agus berusaha untuk melawan naratif dengan mempersoalkan kembali dakwaan mengenai kos sara hidup menjadi tinggi di bawah kerajaan campuran.

    Katanya, naratif tersebut dibawa oleh pihak PN sebagai satu strategi untuk menakut-nakutkan rakyat.

    “Selain tunggang agama dan bangsa, guna pula isu kenaikan harga barang dan harga keperluan harian rakyat.

    “Beras, gula, telur dikatakan naik. Ini harga kawalan mana boleh naik begitu? Ada aktanya yang mengawal.

    “Realitinya, lihat carta yang saya sertakan. Lihat juga maklumat dan data dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN),” katanya dalam hantaran itu.

    Bagaimanapun, cubaan Agus dilihat lemah apabila komen-komen terus mempersoalkan ‘data sahih’ tersebut.

    Seorang pengguna Facebook, Iqbal Idham memberikan komen mengatakan soal kos sara hidup tidak melibatkan dakyah politik parti sebaliknya pengalaman yang dilalui oleh rakyat saban hari.

    “Mereka melaluinya. Berpadalah bila mengurus persepsi, khuatir kita tak sedar sedang memperkecil apa yang dilalui rakyat,” ujarnya, lapor MalaysiaNow.

  • Menteri: Polis tahan sekutu Jho Low, Jasmine Loo

    Menteri: Polis tahan sekutu Jho Low, Jasmine Loo

    POLIS telah menahwan Jasmine Loo Ai Swan, iaitu sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Loo ditahan pada Jumaat lalu.

    [Berita lanjut menyusul]

  • Lelaki Bangladesh menyorok dalam mesin ditemui maut

    Lelaki Bangladesh menyorok dalam mesin ditemui maut

    SEORANG pekerja kilang warga Bangladesh ditemui maut dalam mesin ketika cuba menyembunyikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen di kawasan perindustrian Rawang pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.27 pagi.

    “Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam mesin tersebut.

    “Mangsa merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berumur lingkungan 30 tahun dipercayai bertindak menyembunyikan diri dalam mesin berkenaan ketika operasi imigresen pada malam Sabtu,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum pihak bomba tiba.

    “Mayat kemudian dikeluarkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pengetua kekal lepas, bebas tuduhan amang seksual pelajar

    Pengetua kekal lepas, bebas tuduhan amang seksual pelajar

    MAHKAMAH Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang yang melepas dan membebaskan seorang pengetua sekolah menengah, Zainuren Mohamed, 59, yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada 2018.

    Hakim Fathiyah Idris menolak rayuan pendakwaan selepas berpuas hati bahawa Hakim Perbicaraan membuat penelitian yang maksima dan sewajarnya atas semua keterangan saksi pendakwaan.

    Ketika prosiding kes, Fathiyah memberitahu wujud percanggahan dalam pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas.

    “Wujud alegasi siri kejadian amang seksual, tetapi apabila disoal balas, mangsa mengakui kejadian-kejadian itu tidak berlaku.

    “Mahkamah Tinggi menyatakan perkara ini hanya boleh dikenal pasti oleh mangsa sendiri namun mangsa sendiri tidak dapat memastikan perkara berikut.

    “Justeru, berlaku percanggahan keterangan dan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran, Audrey Wee Li Ye dan S. Vikneshwaran.

    Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan Zainuren daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

    Sebelum itu, pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya berusia 11, 13 dan 14 tahun serta minta dibicarakan bagi pertuduhan berkenaan.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

  • Bapa ditahan selepas dipercayai rogol 2 anak usia 12, 15 sehingga hamil

    Bapa ditahan selepas dipercayai rogol 2 anak usia 12, 15 sehingga hamil

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang bapa selepas dipercayai merogol dua anaknya, yang berusia 12 dan 15 tahun di rumah mereka di Jeram, Muar.

    Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan semalam di rumahnya yang dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2017 dengan kejadian terakhir dikatakan berlaku awal bulan ini.

    Difahamkan suspek didakwa merogol seorang mangsa sejak berusia sembilan tahun dan perbuatan berkenaan dikatakan kerap kali berlaku di rumah mereka.

    Sepanjang tempoh berkenaan, dua beradik itu sering dijadikan hamba seks bapa mereka.

    Mangsa tidak berani menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa sehingga perbuatan bapanya itu terbongkar pada Isnin, selepas mangsa berusia 15 tahun mengadu sakit dada sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, hasil pemeriksaan pegawai perubatan di hospital terbabit mendapati mangsa sebenarnya sedang hamil.

    “Berikutan itu satu laporan polis dibuat dan suspek ditangkap semalam untuk siasatan lanjut.

    “Suspek direman seminggu bermula semalam. Polis sedang merekodkan keterangan mangsa untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

  • Zuraida mohon batal perintah bayar RM10 juta kepada PKR

    Zuraida mohon batal perintah bayar RM10 juta kepada PKR

    DATUK Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi membatalkan perintah membayar RM10 juta dikenakan terhadapnya kerana berpaling tadah selepas memenangi kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada 2018.

    Peguam bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Nizamuddin Abdul Hamid mengesahkan kepada Malaysiakini hari ini bahawa notis rayuan itu difailkan dua hari lalu.

    Nizamuddin berkata, rayuan itu adalah terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun yang membenarkan tuntutan RM10 juta daripada PKR.

    Hakim Akhtar Tahir turut memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR, lapor Malaysiakini.

    Semasa perbicaraan pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan, Zuraida memenangi kerusi Ampang kerana bertanding di bawah bendera parti dan bukannya kekuatan dirinya sendiri.

    Pada 30 Mac pula, Zuraida memberi keterangan bahawa beliau tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu kerana didakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding.

    Zuraida bersama 11 ahli Parlimen lain diketuai Datuk Seri Azmin Ali meninggalkan PRK pada Feb 2020 untuk menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO-BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui pilihan raya negeri (PRU) ke-14.

    Pada September tahun yang sama PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta ke atas Zuraida kerana meninggalkan parti.

    Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Kemudiannya pada Disember tahun lalu juga, beliau dan 10 ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman PBM yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.

    Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan Presiden Muafakat Nasional.

    Pada PRU ke-15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.

    Bagaimanapun beliau yang pernah menjadi ketua Wanita PKR gagal dan hilang deposit manakala kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.

  • Sindrom ‘penafian’ UMNO beri kelebihan pada PN

    Sindrom ‘penafian’ UMNO beri kelebihan pada PN

    BEKAS Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat tindakan kepimpinan UMNO yang kini berada dalam sindrom penafian berhubung penolakan ahli akar umbi terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, ahli UMNO kini terpecah kepada dua kategori iaitu di kalangan mereka yang menyokong kepimpinan Zahid sebagai Presiden UMNO dan sebaliknya.

    “Kalau kita lihat melalui ceramah atau kenyataan dikeluarkan orang seperti Datuk Lokman Adam misalnya, jelas menunjukkan UMNO berada dalam sindrom penafian daripada realiti sebenar. Keadaan ini tentunya akan memberi kelebihan kepada PN (Perikatan Nasional).

    “Saya sendiri menerima respon baik daripada ahli akar umbi selepas pengumuman menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Sebahagian ahli mereka memang tak keluar parti tetapi sudah buat keputusan untuk tidak lagi mengundi UMNO atau Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN).

    “Selain itu, ada juga kumpulan yang menunggu masa sesuai dan akan turunkan Zahid. Keyakinan yang diberikan oleh pimpinan UMNO sekarang hanyalah keyakinan palsu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Tun Faisal berkata demikian sebagai mengulas sejauh mana beliau melihat keyakinan UMNO bahawa mereka mendapat sokongan ahli akar umbi berbanding realiti sebenar dihadapi parti itu.

    Terdahulu, Tun Faisal dilaporkan meninggalkan UMNO dengan menyertai Bersatu sebagai wadah baru dalam karier politiknya selepas dipecat UMNO.

    Mengulas pilihannya yang tidak mengikuti langkah bekas bosnya Tan Sri Annuar Musa menyertai Pas, Tun Faisal berkata, beliau bukanlah penyokong tegar Annuar seawal penglibatan dalam politik.

    Jelasnya, beliau mula berkhidmat dengan bekas menteri UMNO itu pada 2020.

    “Saya asalnya bukan daripada ‘circle’ Annuar tetapi berkhidmat dengannya sebagai setiausaha akhbar ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

    “Jadi apabila Tan Sri menyertai Pas dia ajak juga saya dan saya kata nanti dulu. Saya ambil masa untuk tengok kesesuaian dan dalam konteks Putrajaya, memandangkan saya duduk sini dan bekas timbalan Ketua UMNO bahagian.

    “Kalau dengan Pas pun saya okay, tetapi Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin perlukan bantuan untuk memperkemaskan lagi pengaruh Bersatu di Putrajaya dan saya rasa lebih sesuai dengan Bersatu selain struktur organisasinya dan template seperti UMNO,” katanya.

    Tun Faisal turut menafikan langkahnya menyertai parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bertujuan untuk menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Saya lebih kepada mahu membantu Bersatu berdasarkan pengalaman saya dalam bidang komunikasi dan strategi.

    “Memang tak ada sebarang tawaran untuk jadi calon dan bukan itu hasrat saya,” jelasnya yang juga bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).