Author: Wartawan WartaRakyat

  • Covid-19:250 kematian semalam, Selangor tertinggi

    Covid-19:250 kematian semalam, Selangor tertinggi

    SEBANYAK 250 kematian akibat jangkitan Covid-19 dicatatkan di seluruh negara semalam sekali gus menjadikan kumulatif kematian wabak itu di Malaysia setakat semalam ialah sebanyak 24,931 kes.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes kematian di luar hospital (BID) dilaporkan.

    Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (24 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 91 kes kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan.

    Sementara itu, Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi dengan 65 kes diikuti Sabah (43), Johor (41), Pulau Pinang (20), Sarawak (16), Kelantan (14) dan Perak (14).

    Negeri lain merekodkan kematian di bawah paras 10 kes iaitu Pahang (9), Kedah (6), Terengganu (6), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (3) dan Perlis (3).

    Tiada kematian baru dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

  • Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Oleh:RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

    Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.

    “Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.

    “Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.

    Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

    “Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.

    Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.

    “Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.

  • [VIDEO]Gengster Delhi mati ditembak pesaingnya di mahkamah

    [VIDEO]Gengster Delhi mati ditembak pesaingnya di mahkamah

    LELAKI bersenjata berpakaian sebagai peguam menembak mati seorang gengster India terkenal di sebuah mahkamah Delhi hari ini sebelum polis membunuh kedua-dua penyerang itu.

    Memetik laporan AFP polis berkata, Jitendra Gogi, seorang samseng yang ditahan Mac tahun lalu ketika kejadian berdiri di hadapan hakim di mahkamah sebelum dua lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan.

    Saksi memberitahu media bahawa kira-kira 12 tembakan dilepaskan di dalam mahkamah.

    Tembakan itu mengenai Gogi beberapa kali sebelum peguam palsu berkenaan dibunuh oleh pegawai khas perlindungan.

    Menurut laporan media yang memetik polis, lelaki bersenjata itu merupakan geng pesaing Gogi.

    Rakaman video dari telefon bimbit mengenai insiden tembakan di mahkamah di daerah Rohini, Delhi itu menunjukkan peguam dan peguam bela berlindung di koridor di luar mahkamah ketika tembakan kedengaran.

    Gogi, sekitar 30-an dikaitkan dengan pertempuran geng, pembunuhan, rompakan dan pemerasan di Delhi dan negeri-negeri di utara India.

    Dia pertama kali ditangkap pada 2016 tetapi melarikan diri dari tahanan polis dan berjaya mengelak daripada ditangkap hingga tahun lalu.

    Reputasi ganas Gogi menjadikannya sasaran polis dan pesaingnya, dengan laporan media menyatakan geng lain marah dengan tindakannya memasuki wilayah mereka.

    Polis Delhi memberitahu, selepas penangkapannya tahun lalu, Gogi sedang dalam pertempuran sengit dengan ketua geng yang mengawal wilayah di utara India dan dikenali sebagai Tillu.

    Anggota kumpulan Tillu menyamar sebagai peguam untuk memasuki mahkamah Delhi hari ini, kata laporan media.

    Persoalan mengenai keselamatan di mahkamah India kerap kali dibangkitkan.

    Kompleks Rohini sering menangani kes yang berkaitan dengan penjenayah berprofil tinggi.

  • Panggilan telefon tak berjawab bawa penemuan mayat guru

    Panggilan telefon tak berjawab bawa penemuan mayat guru

    PERASAAN curiga seorang rakan apabila panggilan telefon dibuatnya tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang guru di rumahnya yang dipercayai sudah meninggal dunia hampir seminggu.

    Kematian guru berusia 52 tahun itu di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat, Tumpat disedari rakannya yang pergi ke rumah mangsa tengah hari semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, rakan mangsa ke rumahnya pada pukul 12.50 tengah hari semalam untuk bertanyakan mengenai status vaksinasi Covid-19.

    Menurutnya, ini selepas cubaan rakannya menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon tidak berjawab dan dia mengambil keputusan datang ke rumah guru berkenaan.

    “Namun rakannya itu terhidu bau busuk dan cuba membuka pintu untuk masuk sebelum ternampak mangsa yang sudah meninggal dunia terbaring di dalam bilik,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Razi berkata, pihak berkuasa yang dimaklumkan akan kejadian itu kemudiannya membuat ujian Covid-19 terhadap mangsa dan hasilnya negatif.

    Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

    Katanya, mengikut maklumat awal, mangsa tidak menghidap sebarang penyakit dan tiada rekod kesihatan diperoleh.

    “Kami juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” tambahnya.

  • Rumah Ikram tak perlu bayar sewa 6 bulan, morotorium PPR hingga akhir 2022

    Rumah Ikram tak perlu bayar sewa 6 bulan, morotorium PPR hingga akhir 2022

    SEMUA penerima Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia akan diberikan pengecualian bayaran sehingga enam bulan bermula daripada tarikh menerima kunci.

    Kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung kerajaan dengan melibatkan peruntukan kira-kira RM3 juta.

    ‘’Ini bagi membolehkan penerima manfaat khususnya ketua isi rumah dapat menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga,’’ katanya.

    Perkara itu merupakan antara tiga pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri di Majlis Pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia, hari ini.

    Beliau juga mengumumkan  penambahan sebanyak 1,000 unit lagi rumah tersebut menjadikan kesemuanya 2,000 yang akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 isi rumah yang memerlukan.

    ‘’Saya memahami bahawa 1,000 unit rumah di 11 kawasan PPR yang berada di bawah selia dan pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mencukupi untuk menjadi tempaty berlindung bagi Keluarga Malaysia yang terkesan akibat hilang mata pencarian. Ini kerana 139 perojek PPR lain telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri,’’ katanya.

    Perdana Menteri juga mengumumkan program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT akan diteruskan sehingga akhir tahun 2022.

    ‘’Langkah ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR dengan melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta,’’ katanya.
    Ismail Sabri berkata, agenda perumahan akan terus menjadi fokus jutama kerajaan, khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

    ‘’Program-progran kediaman mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh,’’ katanya.

    Beliau memberitahu, selaras dengan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan membantu golongan rentan serta golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti, sejajar dengan agenda Liveabli Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni.

    ‘’Oleh itu, langkah dan pendekatan yang diperkenalkan oleh KPKT melalui Rumah Ikram Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya dan merupakan langkah penampan yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat yang memerlukan.

    ‘’Rumah Ikram Keluarga Malaysia ini menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan atau mungkin juga kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang tinggi. Begitu juga ada yang terdesak menumpang di rumah saudara- mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa,’’ katanya.

  • Sajjad guna nama samaran ‘Bella’, pegang status UNCHR

    Sajjad guna nama samaran ‘Bella’, pegang status UNCHR

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang kini berada di Thailand menggunakan nama samaran Bella.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, polis masih meneruskan tindakan undang-undang bagi membawa pulang Nur Sajat, namun proses tersebut bergantung kepada pihak berkuasa Thailand bagi memenuhi permintaan tersebut.

    “Permohonan untuk membawa pulang Nur Sajat ini masih dalam proses kerana ia melibatkan Pejabat Peguam Negara, Kementerian Luar dan kedutaan kita.  Kita juga mendapat maklumat Nur Sajat sekarang telah menggunakan nama samaran Bella tetapi dia tetap orang yang sama,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Beliau berkata, Nur Sajat juga  disahkan memegang status Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

    Abdul Jalil memberitahu,  polis Thailand mengesahkan Nur Sajat telah ditangkap pada 8 September lalu di Bangkok atas kesalahan melanggar syarat-syarat imigresen negara berkenaan.

    Sehubungan itu, kata beliau, pihak imigresen Thailand telah membatalkan pemilikan pasport antarabangsa Nur Sajat.

    “Jadi, keberadaan Nur Sajat adalah tidak sah semasa di Bangkok sekali gus dia memohon status UNHCR dan berjaya mendapat status berkenaan. Dia sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga bagi membantu Nur Sajat ditempatkan di negara terbabit,” katanya.

    Pada masa sama, Abd. Jalil turut berharap keluarga Nur Sajat membantu menasihatkannya supaya pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan yang disifatkannya tidak seberat mana.

    “Kes Nur Sajat ini kecil sahaja iaitu membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis kerana telah menghalang penjawat awam. Kita yakin keluarganya boleh membantu polis untuk memujuk supaya Nur Sajat pulang,” katanya.

    Semalam, Abd. Jalil dalam kenyataan memaklumkan polis sedang dalam proses permohonan untuk membawa pulang Nur Sajat dengan usaha tersebut akan dibuat dalam tempoh terdekat.

    “Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan,” katanya.

  • 119 bot asing lebih RM179 juta dilupus jadi tukun tiruan

    119 bot asing lebih RM179 juta dilupus jadi tukun tiruan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 119 buah bot nelayan asing bernilai lebih RM179 juta telah dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu sejak tahun 2010 sehingga sekarang.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memberitahu, di pantai timur, bot-bot yang disita dan dilupus akan ditenggelamkan untuk dijadikan sebagai tukun tiruan di sekitar pulau-pulau berhampiran Kelantan dan Terengganu.

    Menurut Muhammad Suffi, kawasan tukun tiruan memberi kesan jangka panjang sebagai satu habitat baharu untuk ekosistem marin, selain menjadi peranti pemuliharaan biodiversiti marin dan tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut.

    Malah katanya, tukun tiruan ini juga sebahagian daripada sumbangan Maritim Malaysia kepada perairan negara apabila bot yang dirampas akan ditenggelamkan.

    “Ini kerana tukun-tukun tersebut akan menjadi tarikan di kawasan taman-taman laut di pantai timur Semenanjung, sekaligus dapat merancakkan lagi sektor pelancongan,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, antara lokasi bot-bot nelayan asing ditenggelamkan sebagai tukun tiruan ialah di sekitar Pulau Redang sebanyak enam bot, perairan Pulau Bidong (dua), perairan Batu Burok (enam), perairan Kuala Nerus (empat), Pulau Kapas (tiga) dan Pulau Susu Dara di Kelantan (13 bot).

    Katanya, majoriti jumlah bot nelayan asing yang ditahan dan dilupuskan ialah dari Vietnam, dilucut hak atas kesalahan menceroboh serta melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan negara sejak 2019 sehingga September tahun ini.

  • [VIDEO]Pemandu lori terbalik positif dadah

    [VIDEO]Pemandu lori terbalik positif dadah

    PEMANDU lori yang video kenderaan itu dirakam dari lorong kanan, kemudian terhuyung-hayang sebelum terbabas memasuki lorong kiri, lalu terbalik didapati positif dadah.

    Video kemalangan berdurasi 3 minit yang dirakam orang awam itu tular dan berlaku di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi.

    Menurutnya, lori dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun itu hilang kawalan secara tiba-tiba kerana pemandunya dipercayai tertidur lalu terbabas berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

    “Sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah yang sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan (tiada dalam rakaman) selang beberapa minit kemudian.

    “Namun lelaki itu hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ramsay berkata, ujian saringan air kencing pula mendapati pemandu lori terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

    Ujarnya, suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.

    Sementara itu, Ramsay berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 bagi membantu siasatan.

  • Pegawai kanan SPRM ditahan miliki dadah, senjata api, peluru

    Pegawai kanan SPRM ditahan miliki dadah, senjata api, peluru

    SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat dengan kes kehilangan wang bernilai AS$6 juta dolar (kira-kira RM25 juta) ditahan polis, kelmarin.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek ditahan bagi tujuan siasatan berhubung kesalahan memiliki dadah, senjata api dan peluru.

    Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka berikutan tangkapan itu iaitu mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Terdahulu, Abd Jalil dilaporkan berkata, polis akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh suruhanjaya itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang terbabit.

    Polis juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    Sebelum ini, tular laporan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

    Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

    SPRM Isnin lalu mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

  • Kerajaan laksana NJCSP perkasa tenaga kerja Malaysia

    Kerajaan laksana NJCSP perkasa tenaga kerja Malaysia

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

    Perdana Menteri berkata, NJCSP akan disokong oleh lima petugas khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara.

    Beliau berkata, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu:
    *Meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik
    *Memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri
    *Memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa
    *Memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan
    *Memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden
    *Mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

    “Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung mesyuarat NEC kali ketiga yang diadakan semalam.

    Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, antara cadangan NJCSP adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program dan peluang yang ditawarkan.

    Ujar beliau, ini bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

    Menurutnya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.

    “Mesyuarat (NEC) juga bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

    “Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,” katanya.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada PERKESO.

    Beliau menambah, bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.