Author: Wartawan WartaRakyat

  • Usaha kesan lebih 100,000 bekas tentera tak daftar dengan JHEV

    Usaha kesan lebih 100,000 bekas tentera tak daftar dengan JHEV

    JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengesan lebih 100,000 bekas anggota dan pegawai ATM yang tidak berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara.

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata usaha itu bagi membolehkan bekas ATM menikmati segala kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan termasuk kemudahan perubatan.

    “Mungkin ada ahli keluarga yang tidak menyedari datuk atau ayah mereka adalah veteran jadi bolehlah bantu mereka untuk mendaftar secepat mungkin dengan JHEV.

    “Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 bekas anggota ATM dikenal pasti namun hanya 211,924 sudah mendaftar dengan jabatan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pusat perkhidmatan setempat JHEV ATM di Menara TH Perdana di sini hari ini.

    Beliau berkata daripada jumlah yang mendaftar JHEV, seramai 104,760 adalah anggota yang berpencen, 82,031 tidak berpencen manakala 25,133 lagi menerima pencen terbitan.

    Sementara itu, Ikmal Hisham berkata kementeriannya melalui JHEV ATM bercadang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan setempat bergerak bagi menyampaikan perkhidmatan kepada warga veteran ATM di seluruh negara.

    Menurut beliau pusat itu secara tidak langsung akan membantu dalam proses menjejaki veteran yang belum berdaftar dengan jabatan berkenaan.

    Katanya hasrat penubuhan pusat itu untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dengan lebih efektif merangkumi perkhidmatan permohonan atau semakan, faedah kematian, menguruskan kemudahan perubatan dan tanggungan serta banyak lagi.

    Beliau berkata sistem penyampaian perkhidmatan yang diintegrasikan dengan kemudahan digital bukan sahaja memudahkan para veteran serta memberi impak positif kepada JHEV tetapi juga menjimatkan masa.

    Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

  • Sultan Johor kurnia lebihan bayaran cukai kepada YSIJ untuk bantu rakyat

    Sultan Johor kurnia lebihan bayaran cukai kepada YSIJ untuk bantu rakyat

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah lebihan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM1.4 juta bagi tahun 2019 yang diterima Baginda akan dikurniakan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

    Baginda bertitah YSIJ secara aktif menghulurkan pelbagai sumbangan kepada rakyat termasuk sumbangan makanan setiap minggu dan pelbagai bantuan lain.

    Sultan Ibrahim bertitah lebih bayaran itu diserahkan kepada baginda bagi pembayaran cukai di atas syarikat-syarikat milik Keluarga Diraja Johor.

    “Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada LDHN di atas pemulangan lebihan bayaran cukai ini, di mana saya akan mengurniakan wang berkenaan kepada YSIJ.

    “Ini juga bagi membolehkan YSIJ terus menyampaikan pelbagai sumbangan untuk rakyat bagi meringankan beban mereka khususnya yang banyak terkesan akibat pandemik COVID-19,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini .

    Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Mohd Jaafar Embong dan Pengarah LHDN Johor, Encik Md Kamal Johan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

    Bermula pada April tahun lalu, Sultan Johor  secara berterusan mengurniakan bantuan bekalan makanan kepada golongan memerlukan di seluruh negeri itu setiap minggu.

    Bantuan juga disampaikan kepada mangsa-mangsa bencana alam, selain warga emas dan juga pesakit-pesakit kronik tanpa mengira agama dan bangsa.

    Selain itu, beberapa kediaman yang rosak akibat bencana alam turut dibaikpulih menerusi YSIJ bagi meringankan beban rakyat.

  • Wang kompaun Ahmad Maslan hasil kutipan daripada rakan-rakan – Peguam

    Wang kompaun Ahmad Maslan hasil kutipan daripada rakan-rakan – Peguam

    WANG sebanyak RM1.1 juta yang digunakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membayar kompaun dikutip daripada rakan-rakannya, ia selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Ahli Parlimen Pontian itu.

    Perkara itu dijelaskan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq iaitu peguam mewakili Ahmad dalam satu kenyataan hari ini yang berkata wang tersebut hasil kutipan rakan-rakan yang menyokong perjuangan Ahmad.

    Berikut kenyataan penuh Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq

    HARI ini telah ditetapkan untuk satu pengurusan kes melibatkan pertuduhan pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Bin Maslan. Sebutan kes tersebut telah dibuat di hadapan Yang Arif Dato’ Ahmad Shahrir Bin Mohd Salleh di Mahkamah Tinggi 5, Mahkamah Kuala Lumpur.

    Pada hari ini, Datuk Seri Ahmad Bin Maslan telahDILEPASKAN DAN DIBEBASKAN daripada kedua-dua pertuduhan yang telah dipertuduhkanke atas beliau. Perintah pelepasan dan pembebasan ini adalah suatu perintah yang perlu di hormati oleh semua pihak kerana ianya adalah suatu perintah mahkamah yang dikeluarkan hari ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Untuk makluman, perintah Mahkamah yang telah melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Maslan daripada pertuduhan-pertuduhan tersebut  telah diberikan selepas pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah berkenaan dengan satu proses penyelesaian melalui  pembayaran kompaun yang  telah diselesaikan oleh beliau bagi tujuan penyelesaian kes ini dan Pendakwaan juga telah menyatakan bahawa pihaknya tidak akan meneruskan pertuduhan tersebut ke atas anakguam kami.

    Untuk makluman semua, proses penyelesaian ini bukan satu proses baru. Malah proses penyelesaian ini telah mengambil masa hampir setahun lebih sebelum ia diterima dan direkodkan di Mahkamah pada hari ini.

    Beberapa siri representasi juga telah dimasukkan ke Jabatan Peguam Negara sepertimana pengetahuan umum yang dilaporkan di dalam media. Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan,perbincangan timbang tara antara pihak-pihak yang berkenaan dan hanya direkodkan di Mahkamah selepas dimuktamadkanoleh pihak-pihak.

    Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberikan komitmen masing- masing terhadap terma penyelesaianyang dipersetujui. Garis masa ringkas kes ini adalah seperti berikut.;

    Pada 20.01.2020. Datuk Seri Ahmad Maslan telah dituduh di MahkamahSesyenDi Kuala Lumpur dengan dua pertuduhandi bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)XC) AMLTFA 2001. Anakguam sehingga kini mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan tersebut.

    Seawal 4 Februari 2021 (sebelum kes dipindahkanke Mahkamah Tinggi) Pasukan Pembelaantelahpun menulis suatu surat kepada SuruhanjayaPilihan Raya bag mendapatkan penjelasan berkenaan status Ahli Parlimen dan kelayakan bertanding pilihan rayaanak  guam selaras dengan Artikel48A(1)e) Perlembagaan Persekutuan bagi isu pembayaran kompaun yang dikenakan ke atasnya.

    Di peringkat ini jelas Anakguam bukan sahaja bersedia untuk menghadapi perbicaraan keatasnya dan membuktikan ketidakbersalahannya di Mahkarmah, malah anakguam juga mencari jalan agar suatu jalan penyelesaian menang-menang boleh dicapai.

    Suruhan Pilihan Raya menjawab surat tersebut pada 9 Februari 2021 dengan menyatakan bahawa mereka akan merujuk untuk pandangan daripada Jabatan Peguam Negara.

     Surat jawapan dari Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan inkuiri kami diatas dijawab pada 5 Mei 2021 dengan jawapan yang positif bahawa anakguam di dalam membuat pembayaran kompaun (bukan denda mahkamah) tidak akan menjejaskan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dan tidak akan hilang kelayakan untuk bertanding kerusi parlimen pada Pilihan Raya akan datang.

    Jawapan yang positif ini yang membawa kepada keputusan anakguam untuk menilai pembayaran kompaun sebagai jalan penyelesaian yang terbaik bagi kes terhadap beliau.

    Bermula daripada itu, beliau telah dikehendaki untuk hadir ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk beberapa sesi penyerahan dokumen dan pengurusan kes.

    Kemudian pasukan pembelaan juga telah membuat permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi pada 28.06.2021 dan permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Yang Arif Tuan Collin Lawrence Sequerah pada 13.07 2021 memandangkan kes-kes seumpamanya juga telah dipindahkan dan didengar oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi.

    Semenjak daripada tarikh pertuduhan, pasukan pembelaan telah membuat pelbagai persiapan untuk tujuan perbicaraan. Persiapan yang dibuat oleh pasukan pembelaan bagi tujuan perbicaraan ini adalah temasuk membuat beberapa permohonan dan mendapatkan klarifikasi daripada agensi-agensi yang terlibat untuk memastikan hak Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil terbela.

    Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada kes ini bermula daripada proses penyiasatan sehingga selesai kes ini pada hari ini.

    Berkenaan dengan penyelesaian ini, Pembelaan perlu menegaskan beberapa perkara;

    Pertama, penyelesaian ini adalah bukan pengakuan bersalah Datuk Seri Ahmad Maslan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

    Kedua, proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus dan teratur. Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi. Siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat.

    Ketiga, penyelesaianini adalah satu penyelesaian yang menang-menang (win-win situation) bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang.

    Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah menyelesaikan komitmen beliau bagi tujuan penyelesaian ini iaitu melunaskan pembayaran kompaun sepertimana yang telah dipersetujui oleh Pendakwaan dan Pembelan.

    Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM 1,100,000.00 adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Datuk Seri Ahmad Maslan sepanjang perjuangan beliau.

    Diharapkan dengan adanya pengenalan suatu Akta baru berkenaan Pendanaan Politik, garis panduan berkenaan apakah itu Dana Politik, bilakah ianya menjadi Dana Politik dan sebagainya akan lebih memanfaatkan semua dan tiada lagi pendakwaan atau apa-apa tindakan dikenakan berkenaan penerimaannya di mahkamah pada masa hadapan.

    Keputusan banyak kes oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang melepaskan wang yang telah disitadi dalam kes-kes sitaan yang mana bersumber dari dana politik yang sama adalahadil.

    Datuk Seri Ahmad Maslan  berharap agar suatu masa nanti, kes yang dikompaun juga akan dibebaskan.

    Kesimpulannya, pasukan pembelaan, bagi pihak Datuk Seri Ahmad Maslan,merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan agensi siasatan atas kerjasama dalam memuktamadkan penyelesaian ini.

    Sekian terima kasih.

  • CEKD catat premium 12 sen di awal dagangan

    CEKD catat premium 12 sen di awal dagangan

    CEKD Bhd., mencatat premium 12 sen di awal dagangannya di Papan ACE Bursa Malaysia hari ini.

    CEKD Bhd adalah penyedia rumusan acuan pemotong serta pengilang acuan pemotong dan pedagang barangan pengguna berkaitan, alat-alat dan aksesori.

    Saham CEKD dibuka pada 60 sen, iaitu premium 12 sen atau 25 peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 48 sen, dengan jumlah dagangan sulung sebanyak 6,286,100 saham.

    Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif CEKD Berhad, Datuk Zulkifli Adnan berkata, pihaknya cukup gembira dengan prestasi hari pertama penyenaraian syarikat ini di Papan ACE dan berbesar hati dengan penerimaan para pelabur terhadap IPO CEKD.

    “Syarikat ini adalah peneraju dalam penyediaan rumusan bagi acuan pemotong di Malaysia, dan kami percaya IPO ini akan memberi kumpulan ini lebih keterampilan dan membantu perluasan perniagaan kami.

    “Ia akan membantu kami bukan sahaja mengekalkan pelanggan di Malaysia tetapi juga membantu meneroka pasaran lain di Asia Tenggara dan Asia Barat,’’ katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai satu-satunya pakar acuan pemotong di Asia Tenggara yang diperakui oleh Bobst Mex SA, peneraju global dalam pembekalan mesin dan perkhidmatan kepada industri pembungkusan dari Switzerland, pihaknya merancang pasca-penyenaraian untuk meluaskan operasi dan perkhidmatan pembuatan di pasaran sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan CEKD di Asia Tenggara dan Asia Barat.

    “Kami percaya bahawa terdapat banyak peluang yang kami boleh terokai di pasaran-pasaran ini berikutan pertumbuhan dalam industri E&E, plastik dan pembungkusan, automotif dan juga tekstil serta kulit.’’ tambahnya.

    Antara produk CEKD ketika ini dihantar ke pasaran di Australia, Vietnam, Thailand, Filipina dan Asia Barat, Malaysia merupakan 85 peratus perolehan keseluruhan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021.

    Pelanggan-pelanggan CEKD ketika ini kebanyakannya dari industri percetakan dan pembungkusan, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

    Susulan dari penyenaraian hari ini, M&A Securities Holdings Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin tunggal dan agen penempatan bagi proses IPO syarikat.

  • 9 peruncit kantoi jual beras Siam seludup

    9 peruncit kantoi jual beras Siam seludup

    SEMBILAN peruncit ditahan bersama 6,345 kilogram (kg) beras Siam pelbagai jenama bernilai RM25,380 dalam serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di 10 kedai runcit di sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pagi semalam.

    Penahanan itu dibuat dalam operasi khas bermula pukul 6.30 pagi sehingga 8 pagi.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi, sembilan peruncit tersebut merupakan warga tempatan, iaitu empat lelaki dan lima perempuan berusia antara 43 hingga 69 tahun.

    Katanya, mereka merupakan peniaga yang menjalankan perniagaan di sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu.

    “Mereka ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti penjualan beras Siam yang diseludup daripada negara Thailand,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sebahagian daripada beras Siam seludup yang dirampas.

    Menurut Azhari, berdasarkan hasil risikan maklumat dan pemerhatian, kesemua bekalan beras itu dihantar oleh individu yang diupah (runner) bagi mengangkut beras seludup itu dari sempadan Malaysia-Thailand kepada peniaga-peniaga terbabit.

    Beliau berkata, difahamkan runner tersebut diberikan upah antara RM20 hingga RM30 bagi setiap trip penghantaran bekalan beras ke destinasi ditetapkan.

    Selain itu katanya, kenderaan yang digunakan bagi aktiviti penyeludupan beras adalah membabitkan kereta dan motosikal di mana bekalan beras dihantar dalam skala kecil ke lokasi ditetapkan setelah diseludup di sempadan,” jelas beliau.

    Azhari memberitahu, kesemua bekalan beras diperoleh dari beberapa pangkalan haram di sekitar kawasan Pengkalan Kubor.

    Menurut beliau, operasi khas itu dibuat selepas seminggu risikan dan pemerhatian ke atas aktiviti penyeludupan tersebut.

    Menurut beliau, operasi itu melibatkan empat pegawai dan 25 anggota.

    Katanya, barangan kes akan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

  • Hanya 5 menteri dengar Anwar bahas dalam dewan

    Hanya 5 menteri dengar Anwar bahas dalam dewan

    HANYA lima menteri dan timbalan menteri dikatakan berada dalam sidang Dewan Rakyat hari ini ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mendakwa, situasi itu dapat dilihat di blok penyokong kerajaan yang kebanyakannya didapati kosong.

    Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tentang kehadiran menteri dan timbalan menteri yang lain.

    “Selaku Ketua Pembangkang, saya rasa adalah penting dalam aspek transformasi Parlimen. Ini apabila Ketua Pembangkang berucap (dewan kosong). Mengambil kira populasi, negara kita mempunyai Kabinet yang paling besar di dunia dengan 69 menteri dan timbalan menteri.

    “Apakah ada kemungkinan untuk kita tetapkan kehadiran mereka untuk mendengar bahas Ketua Pembangkang sebagai salah satu usaha transformasi Parlimen?

    “Saya sedih, hanya ada lima menteri dan timbalan menteri yang hadir, mana yang lain?” katanya ketika mencelah perbahasan tersebut.

    Kor Ming seterusnya meminta Ketua Whip penyokong kerajaan mengambil langkah sewajarnya agar situasi serupa tidak berulang.

    Ketika menyambung semula perbahasannya, Anwar berkata, beliau tidak pernah ketinggalan mendengar ucapan Ketua Pembangkang semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.

    “Saya semasa Menteri Kewangan, setiap kali Ketua Pembangkang berucap saya akan hadir di depan dengar sampai habis walaupun ‘sakit telinga’ (hanya) Tuhan yang tahu.

    “Waktu itu Ketua Pembangkang adalah Yang Berhormat Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri), ini etika Parlimen.

    “Kita dengar ucapan Perdana Menteri walaupun kita tak bersetuju, kita tidak ganggu kerana dia agak sopan berbanding sebelum-sebelumnya,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, beliau berpandangan mungkin menteri dan timbalan menteri mengikuti sesi perbahasan dari bilik mereka di Dewan Rakyat.

    Walau bagaimanapun, Anwar berkata, ia tidak sama dengan hadir secara fizikal semasa perbahasan berlangsung.

  • Program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan jaga kebajikan warga kementerian

    Program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan jaga kebajikan warga kementerian

    Kementerian Pertahanan melaksanakan program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan bagi memelihara kebajikan warga kementerian itu termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata program itu merupakan satu daripada inisiatif dalam memudahkan proses mendapatkan vaksinasi kepada veteran ATM.

    Beliau berkata ia diuruskan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kesihatan ATM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menggunakan kemudahan ATM sedia ada seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    “Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangat mengambil berat mengenai situasi semasa warga Kementerian Pertahanan sepanjang negara dilanda isu pandemik COVID-19, khususnya ke atas warga Veteran ATM.

    “Justeru, kementerian melancarkan beberapa program dan sedang giat berusaha untuk mendukung hasrat Kerajaan dalam usaha untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi COVID-19 sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ikmal Hisham berkata program yang diterajuinya itu turut berhasrat untuk memanjangkan pemberian vaksinasi kepada Veteran ATM dan keluarga termasuk anak atau cucu berumur 12 tahun ke atas.

    Jelasnya bagi memudahkan proses pendaftaran semasa di PPV kepada anak atau cucu, hanya ibu bapa atau wakil perlu hadir bersama tanpa kehadiran veteran ATM itu sendiri. 

    “Menerusi program ini pasukan vaksinasi ATM telah merancang program vaksinasi kepada veteran ATM bermula 4 Okt hingga 8 Okt ini di 59 PPV yang terdapat di dalam kem tentera di seluruh negara. Pemakluman awal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pemvaksinan adalah bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi di setiap PPV yang dipilih,” katanya.

    Beliau berkata veteran ATM dan keluarga diminta untuk mendaftar melalui pautan yang terdapat di media sosial JHEV ATM (https://tinyurl.com/vaksinveteranatm atau https://tinyurl.com/vaksinkeluargaveteran).

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyelaras iaitu Mej Hazamiah Mohd Gazali di talian 019-2980412 atau hotline JHEV ATM di talian 03-20508173.

  • Kanak-kanak empat dikhuatiri lemas jatuh longkang, Shah Alam dinaiki air

    Kanak-kanak empat dikhuatiri lemas jatuh longkang, Shah Alam dinaiki air

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, di Shah Alam  hari ini.

    Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima maklumat   berhubung kejadian itu daripada pihak polis sekitar 6.18 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.

    “Pencarian sedang giat dijalankan oleh pihak bomba. Kita khuatiri kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras dipercayai menuju ke arah Sri Muda akibat terjatuh ke dalam longkang 4×5 kaki itu (1.2 meter x 1.5 meter) ” katanya.

    Sementara itu, sebuah kenderaan terkandas dalam banjir setinggi 1.22 meter di sekitar kawasan Stadium Shah Alam Seksyen 13.

    Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang.

    Menurutnya, seramai sembilan anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kejadian pada jam 5.17 petang.

    “Pihak bomba mendapati kawasan sekitar stadium tersebut dinaiki air setinggi 1.22 meter di beberapa kawasan dan menyebabkan sebuah kenderaan terkandas. Bagaimanapun pemandu kereta itu berjaya menyelamatkan diri,’’ katanya.

  • MEDAC sasar bantu lebih 192,000 usahawan terjejas akibat Covid-19

    MEDAC sasar bantu lebih 192,000 usahawan terjejas akibat Covid-19

    KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan untuk membantu seramai 192,541 usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam masa terdekat.

    Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata bantuan itu adalah dengan cara mempermudahkan usahawan tersebut mendapatkan pinjaman yang disediakan oleh pelbagai agensi di kementerian berkenaan.

    “Kita akan berusaha untuk membantu semua usahawan daripada usahawan informal (peniaga kecil tidak berdaftar dan tiada syarikat) yang mungkin memerlukan pinjaman sekitar RM5,000, usahawan mikro yang mungkin memerlukan pinjaman RM10,000 atau RM20,000 sampailah ke usahawan industri kecil dan sederhana yang mungkin memerlukan pinjaman sehingga RM500,000.

    “Sebelum ini Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mahu semua menteri untuk mempunyai KPI yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari. Jadi sasaran untuk membantu lebih 192,000 usahawan ini adalah KPI saya,” katanya dalam sidang media selepas program penyerahan sumbangan kepada usahawan dan keluarga terjejas banjir pada 18 Ogos lepas di Yan hari ini.

    Katanya, agensi yang menawarkan pinjaman di bawah MEDAC juga telah diminta untuk tidak terlalu bergantung kepada rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dalam menentukan kelayakan usahawan yang memohon pinjaman.

    Dalam pada itu, Noh berkata pihaknya juga sedang menyusun semula semua 11 agensi di bawah MEDAC yang menyediakan kemudahan pinjaman agar peranan setiap agensi tersebut dapat dioptimumkan dan lebih fokus kepada golongan sasar.

    “Semua agensi ini menawarkan kemudahan pinjaman dan ada had pinjaman tersendiri…ini yang sedang kita susun supaya agihan ataupun pembahagian pinjaman ini dapat diselaraskan supaya tidak mengelirukan rakyat dan benar-benar dapat melahirkan ‘bangsa usahawan’,” katanya.

    Terdahulu pada majlis tersebut, Noh menyampaikan sumbangan daripada Bank Rakyat berjumlah RM168,000 kepada 168 usahawan di daerah ini yang terjejas banjir ekoran fenomena kepala air pada 18 Ogos lepas.

    Selain itu, bank berkenaan juga menyumbang sejumlah RM40,000 untuk diagihkan kepada 200 keluarga di daerah ini yang terkesan akibat bencana itu. – BERNAMA

  • Bayaran BPR Fasa 3 dikredit mulai Selasa – PM

    Bayaran BPR Fasa 3 dikredit mulai Selasa – PM

    PEMBAYARAN Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembayaran itu yang akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR dijangka selesai pada 30 Sept. 

    “Bayaran Fasa 3 dan rayuan BPR ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata untuk Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima.

    Bayaran dibuat mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak, katanya.

    Ismail Sabri menjelaskan pembayaran Fasa 3 adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima oleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

    Perdana menteri berkata kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela.

    Katanya antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak pada Oktober hingga Disember 2021.

    “Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

    “Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – BERNAMA