Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRK: PN kemuka calon terbaik, kata Takiyuddin

    PRK: PN kemuka calon terbaik, kata Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Perikatan Nasional (PN) mengemukakan calon terbaik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dengan menampilkan Dr. Mazri Yahya.

    “Kita yakin Dr. Mazri mampu melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik.

    “Kali ini, kita telah kemukakan calon yang terbaik… malah profession beliau juga memberikan perkhidmatan kepada semua orang.

    “Kita tampilkan beliau sebagai calon di Simpang Jeram ini dan harap dapat sambutan daripada pengundi.

    “Lagi pun, prestasi kita dalam PRN Johor pun agak memberangsangkan dan kita yakin dengan gelombang kebangkitan rakyat terutamanya sokongan yang diberikan menjadi petanda baik kepada kita,” katanya.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan, Muar, hari ini.

    Mengulas mengenai ulasan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menulis dalam kolum Minda Presiden, Takiyuddin berkata, pihaknya akan melihat dahulu pihak yang memberikan alasan tersebut.

    “Jika kenyataan itu sememangnya bercanggah kepentingan dengan kami, memang kami tak ambil kira.

    “Tetapi kami akan ambil kira jika ulasan yang dibuat itu adil, ada fakta-fakta yang cukup atau pandangan pihak yang tidak bercanggah, kami akan berikan perhatian.

    “Apa pun, apa juga ulasan yang diterima, ia nyata tidak memberikan kesan kepada kempen Pas pada PRK kali ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRK:Sambutan Islam, bukan Islam baik-Dr. Mazri

    PRK:Sambutan Islam, bukan Islam baik-Dr. Mazri

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr. Mazri Yahya mengakui memikul amanah yang berat untuk menang tetapi tidak tidak mustahil.

    Beliau akan cuba sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sebaik-baiknya kelak.

    “Saya nak ucap terima kasih kepada Tuan Guru (Tan Sri Hadi Awang) Presiden, dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) yang berikan Amanah berat ini kepada saya.

    “Memang berat untuk saya terjemahkan cita-cita dan wawasan yang di bawa ke seluruh Johor.

    “Kita lihat sokongan daripada orang Islam dan bukan Islam agak baik dan ia memberikan petanda baik untuk kita bawa gelombang PN ke selatan tanah air,” katanya.

    Dr. Mazri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan di Muar, hari ini.

    Untuk rekod, kerusi DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, Mazri dilihat sebagai calon pilihan terbaik ditampilkan PN pada PRK kali ini.

    “Saya juga melihat bahawa calon kita kali ini merupakan calon terbaik, seorang doktor dan merupakan golongan profesional.

    “Bagi saya, ia juga satu perkembangan yang baik untuk penduduk di Simpang Jeram ini yang perlukan seorang doktor bagi membantu rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRK:Calon Bebas tidak serik bertanding lagi, mahu bawa suara NGO

    PRK:Calon Bebas tidak serik bertanding lagi, mahu bawa suara NGO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Bebas bagi kerusi Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi, 47, sedar peluangnya untuk menang amat tipis pada 9 September ini tetapi tetap mahu meneruskan hajatnya untuk bertanding.

    Ini kerana Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu mahu suara yang dibawakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut didengari.

    Beliau akui tidak ‘serik’ bertanding lagi dalam pilihan raya walaupun pernah tewas semasa menjadi calon di kerusi Parlimen Putrayaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau sudah nekad pada kali ini apabila menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai yang akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) iaitu
    Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Jaafar.

    “Saya pernah bertanding di Parlimen Putrayaja pada PRU15 dan tidak serik untuk bertanding lagi walaupun berkemungkinan tinggi akan hilang deposit.

    “Hasrat untuk bertanding kerana saya melihat lebih banyak perebutan kedudukan berlaku berbanding perjuangan isu rakyat selepas berakhirnya PRU15.

    “Saya rasa sudah sampai masanya kita perlu wujudkan blok ketiga dalam Parlimen untuk membawa suara rakyat sebab saya pun sudah jemu dengan permainan isu politik.

    “Ini kerana banyak melibatkan isu perebutan kerusi dan isu rakyat sekarang semakin ke belakang, saya rasa perlu ada blok ketiga iaitu daripada pihak NGO ke dalam Parlimen,” katanya.

    Samsudin yang menggunakan logo kunci itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, hari ini

    Samsudin berkata, setiap calon ada kelebihan masing-masing tetapi beliau bertanding kerana mahu membawa isu antaranya membabitkan pemotongan gaji kakitangan awam oleh syarikat peminjam wang tidak berlesen.

    “Saya telah melawan kes tersebut sejak 2017 sehingga sekarang di mahkamah dan isu-isu pemberi pinjaman tidak terkawal sehingga membebankan rakyat dan juga isu harga barang semakin naik.

    “Walaupun kami telah beritahu kerajaan banyak kali tetapi suara NGO tidak berapa didengari, kita juga akan fokus pada isu rakyat,” katanya yang mempunyai kekuatan jentera seramai 10 orang.

  • PRK:Calon PN Pulai dekati seramai mungkin pengundi, cari penyelesaian masalah rakyat

    PRK:Calon PN Pulai dekati seramai mungkin pengundi, cari penyelesaian masalah rakyat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar akan menggunakan kelebihan sebagai anak kelahiran Tampoi, Johor Bahru untuk berdamping dan mendekati pengundi.

    “Saya akan memanfaatkan tempoh kempen sepanjang 14 hari untuk fokus masalah rakyat.”

    Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai itu berkata, beliau akan bergerak bersama jentera mengikut jadual yang sudah disusun dan berharap mampu berkempen ke seluruh pelusuk Pulai.

    “Saya akan lihat pelbagai masalah seperti banjir kilat serta isu rakyat yang lain.

    “Kelebihan sebab saya lebih mengenali mereka (pengundi) dan sebelum ini saya juga banyak bertemu dengan masyarakat khususnya semasa pendemik Covid-18, insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru hari ini.

    Ini adalah kali pertama Zulkifli yang merupakan seorang usahawan dan aktif sebagai Timbalan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Pulai bertanding dalam pilihan raya.

    Terdahulu lebih 1,000 penyokong PN hadir memberikan sokongan dengan berarak mengiringi Zulkifli dengan paluan gendang, sorakan dan kibaran bendera parti di samping selawat.

    Antara pemimpin parti yang hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Turut hadiri Naib Presiden Bersatu serta Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin.

  • PRK: PN bertemu PH dan calon Bebas di DUN Simpang Jeram

    PRK: PN bertemu PH dan calon Bebas di DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas pada 9 September ini.

    Pengumuman tersebut dibuat sebaik sesi penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar, hari ini.

    PN meletakkan pakar bedah, Dr. Mazri Yahya manakala PH mempertaruhkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ir. Nazri Abd. Rahman manakala S. Jegananthan mewakili Bebas.

    Pegawai Pengurus PRK DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah mengumumkan kedua-dua calon sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup tepat pada 10 pagi selepas dibuka 9 pagi tadi.

    Terdahulu, Dr. Mazri tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.40 pagi manakala Nazri 8.50 pagi dan Jegananthan pula tiba pada pukul 8.55 pagi.

    Kedua-dua calon itu diiringi penyokong masing-masing dengan turut kedengaran laungan ‘Allahuakbar’ dan reformasi yang menunggu di luar dewan terbabit.

    PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.

  • PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

    PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam yang akan berlangsung 9 September nanti.

    Perikatan Nasional (PN) menampilkan Zulkifli Jaafar manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat.

    Selain itu, calon Bebas pula adalah Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi.

    Nama-nama calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.

    Terdahulu, Miswan mengumumkan SPR menerima kertas pencalonan daripada tiga calon berkenaan dengan tiada pencalonan yang ditolak di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

    PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram bermula hari ini.

    Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 9 pagi ini.

  • Hamzah nafi PN syok sendiri, sebaliknya UMNO yang syok sendiri

    Hamzah nafi PN syok sendiri, sebaliknya UMNO yang syok sendiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan gabungan politik itu syok sendiri berkenaan dakwaan UMNO bahawa gelombang rakyat menyokong PN akan berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Beliau berkata, itu hanya
    satu bentuk sindrom penafian UMNO yang sekadar cuba menafikan hakikat sebenar seperti yang mereka lakukan semasa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

    “Pada PRN sebelum ni pun dia cakap sama juga, jadi ayat syok sendiri adalah perbualan daripada mulut mereka, jadi kita tak ambil kisah tentang apa yang mereka cakap sebab rakyat pun tau apa mereka cakap rakyat tak lupa pun.

    “Jadi pada saya biarlah sindrom penafian yang ada dengan mereka itu sesuatu yang mereka boleh bawa untuk masa depan mereka syok sendiri, sindrom penafian itu adalah syok sendiri mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, hari ini.

    Terdahulu beliau mengetuai perarakan mengiringi calon PN, Zulkifli Jaafar untuk penamaan calon kerusi Parlimen Pulai menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Suhaizan Kaiat serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

    Turut hadir Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin.

    Berkenaan calon PN yang merupakan muka baharu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemilihan Zulkifli kerana parti yakin beliau akan mampu berkhidmat selain tahu tanggungjawab serta memahami kepentingan rakyat.

    Jelasnya, kelebihan Zulkifli sebagai aktivitis masyarakat sebelum ini akan turut membantu dalam usaha merampas kerusi Parlimen Pulai daripada PH.

    Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan persediaan dan momentum jentera PN yang dilihat berjalan lancar serta licin semasa berkempen nanti.

    “Ini bagi memastikan rakyat dapat memahami apa tanggungjawab dan apa yang kita perjuangkan,” ujar Ahli Parlimen Larut itu.

    Hamzah berharap, rakyat terutama pengundi akan membuat pilihan yang tepat dalam PRK itu nanti dan boleh merujuk kejayaan PN semasa menjadi kerajaan Persekutuan sebelum ini.

    Menurutnya, semasa menjadi kerajaan, PN tidak mencari kesalahan pihak lawan sebaliknya mencari penyelesaian masalah rakyat sekali gus membantu mereka dan ini boleh dibuktikan semasa pandemik Covid-19.

    Katanya, pemerintahan PN amat cemerlang namun apabila diambil alih kerajaan pada hari ini, ekonomi menurun malah analisis berpendapat pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan lima peratus pada tahun ini tidak akan berlaku.

    Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan kehadiran penyokong PN dianggarkan lebih 1,000 yang menunjukkan sokongan sekali gus menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan hari ini.

  • Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

    Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 1,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) mengiringi calon mereka, Zulkifli Jaafar diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiba untuk penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada pukul 8.45 pagi.

    Turut mengiringi Zulkifli ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Radzi Md. Jidin.

    Zulkifli yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai menjadi calon untuk kerusi Parlimen Pulai menentang calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

    Kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 September.

  • Rafizi perlu berjiwa besar, kata MB Terengganu

    Rafizi perlu berjiwa besar, kata MB Terengganu

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menasihati Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya berjiwa besar dalam menguruskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

    Katanya, walaupun mempunyai pandangan yang hebat, Rafizi juga perlu terbuka mendengar pandangan orang lain.

    “Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar. Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata.

    “Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah,” katanya menerusi Facebook miliknya.

    Samsuri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rafizi mengenai kurangnya pelan ekonomi di empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Rafizi, walaupun Putrajaya memberi tumpuan kepada kepada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis daripada segi peruntukan pembangunan, tetapi negeri itu tidak ada sebarang pelan untuk ekonomi dan meminta lebih peruntukan lagi.

    Samsuri berkata, isu yang dibangkitkan oleh Rafizi, adalah umpama ‘mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri’.

    “Hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri.

    “Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri ini,” kata Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.

    Samsuri berkata, perlu ada hubungan harmoni antara Putrajaya dan kerajaan negeri dengan semangat federalisme yang mengukuh terutama selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

    Katanya, sekiranya Rafizi marahkan penduduk Terengganu kerana memilih Pas, beliau sanggup menjadi sasaran kemarahan itu bukannya rakyat negeri itu.

    “Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka,” katanya memetik laporan FMT.

  • Bukan salah Muhyiddin gagal tawan NS, pemimpin Bersatu jawab Chegubard

    Bukan salah Muhyiddin gagal tawan NS, pemimpin Bersatu jawab Chegubard

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertahankan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didesak ahli parti itu supaya bertanggungjawab ke atas kegagalan menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

    Desakan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin selepas Perikatan Nasional (PN) hanya menang lima daripada 36 DUN iaitu Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang, dan Labu.

    Dakwa Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu, tindakan Muhyiddin melantik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi PN negeri menjadikannya daripada kawasan berpotensi dimenangi bertukar kepada ‘mudah kalah’.

    Mengulas desakan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, prestasi PN di Negeri Sembilan sebenarnya harus dibanggakan kerana menang lima berbanding jangkaan ramai ia bakal tewas di semua kerusi.

    “Setiap perancangan bukan dibuat semberono, sebaliknya bincang di peringkat majlis tertinggi…Ahmad Faizal dilantik bukan keputusan Muhyiddin tetapi parti.

    “Kita buat kerja seolah-olah boleh menang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun tak berjaya lagi bentuk kerajaan tetapi dapat keputusan baik,” katanya kepada FMT.

    Bagaimanapun, Razali berkata, Bersatu meraikan setiap kritikan termasuk dibuat Badrul atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard.

    “Kritikan ahli parti kita tak boleh halang dan tak boleh marah mereka sebab itu perasaannya, Chegubard bukan pimpinan top 5.

    “Beliau boleh bercakap tetapi kena lihat juga kedudukannya (jawatan parti),” katanya.