Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN : Bekas pegawai tinggi kerajaan jadi calon PN

    PRN : Bekas pegawai tinggi kerajaan jadi calon PN

    BEBERAPA bekas pegawai tertinggi kerajaan akan mewakili Perikatan Nasional (PN) sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri Ogos depan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, individu yang diketengahkan itu bukan sahaja pernah memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri, malah jabatan Persekutuan.

    “Kita akan ketengahkan calon berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman antaranya sebagai pegawai tertinggi kerajaan. Jadi tak perlu risau kerana dari segi pengalaman cukup dan boleh menguruskan kerajaan negeri yang ada dalam PRN kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Makan Malam bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama, Perak malam tadi lapor Sinar Harian.

    Tanpa mendedahkan nama-nama calon berkenaan, beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.

    Katanya, pemilihan kalangan bekas pegawai kerajaan itu antara strategi PN mendapatkan sokongan dan kepercayaan selain dapat diterima baik rakyat.

    “Menang itu sesuatu yang kita fikirkan perlu bukan hanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin rakan kita daripada PN, tetapi juga di tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH). Kita merasakan mampu untuk ambil alih (Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang). Ada strategi-strategi tertentu contohnya menerusi calon yang kita ketengahkan nanti,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, satu jawatankuasa masyarakat India telah ditubuhkan dalam PN untuk membantu mengenal pasti masalah komuniti itu yang dihadapi di peringkat akar umbi.

    Menurut Ahli Parlimen Larut itu, jawatankuasa baharu tersebut ramai dianggotai bekas pemimpin muda MIC termasuklah P Punithan yang meletak jawatan Ketua Pemuda MIC Selangor, Jun lalu.

    “Saya telahpun bertemu dan menggariskan apa yang mereka rasakan perlu untuk kita bawa dalam pilihan raya kali ini. Sudah tentu jawatankuasa ini akan turun ke bawah berjumpa dengan masyarakat India dan maklumkan spesifik memorandum supaya mereka tahu kita tidak meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.

  • DAP Negeri Sembilan sokongan Aminudin Harun kekal MB 

    DAP Negeri Sembilan sokongan Aminudin Harun kekal MB 

    DAP Negeri Sembilan menyatakan pendirian menyokong Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun supaya dikekalkan sebagai menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberikan mandat menerajui Negeri Sembilan pada PRN, 12 Ogos ini.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata ini kerana Aminuddin yang juga pengerusi PH negeri telah membuktikan kemampuannya memimpin kerajaan negeri dengan baik, malah pendirian itu juga akan disampaikan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

    “Malam ini bagi pihak DAP saya isytiharkan bahawa DAP akan tetap sokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar (MB) …ini sokongan dan komitmen kami kepada beliau.

    “Kita sokong Aminuddin kerana beliau telah buktikan beliau seorang menteri besar yang bukan sahaja taat kepada perjuangan, kasih dan prihatin kepada rakyat, negeri, malah adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persediaan PRN DAP negeri, semalam, lapor FMT.

    Dalam pada itu, beliau berkata semua ADUN PH juga telah memberikan komitmen yang baik termasuk menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan PH akan meneruskannya sekiranya terus diberikan mandat.

    Justeru, Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata masyarakat perlu untuk terus menyokong kerajaan perpaduan yang sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

    Dalam pada itu, beliau berkata semua pihak juga perlu memastikan kestabilan kerajaan pada masa ini sekali gus memastikan pelaburan akan terus masuk ke negara ini sekiranya mempunyai kerajaan yang kuat.

    Sementara itu, Aminuddin meluahkan rasa terima kasihnya atas sokongan dan cadangan DAP Negeri Sembilan supaya beliau dikekalkan sebagai menteri besar sekiranya diberikan mandat selepas PRN.

    “Terima kasih DAP atas pendirian yang tidak berubah sejak awal. Bagaimanapun, pucuk pimpinan yang akan menentukannya,” katanya.

    Pada PRU14, Negeri Sembilan, yang memiliki 36 kerusi, menyaksikan PH menguasai 20 kerusi; DAP (11); PKR (6); Amanah (tiga); manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (Umno 15 dan MIC satu).

  • Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

    Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.

    Melalui kenyataan bertajuk ‘Apa gunanya Menangguk di Air Nan Keroh’, Sanusi berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks ucapannya.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    Apa gunanya Menangguk Di Air Nan Keroh…. 

    Sebaik mengetahui ucapan saya telah  dispin (diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah) oleh agen-agen Pakatan Harapan /Barisan Nasional (PH/BN), saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang telah sengaja diputar belit itu. 

    Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.  Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.

    Saya dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa DYMM Tuanku Sultan Selangor telahpun memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya itu pada hari Jumaat 14/7/2023.

    (Warkah tersebut tidaklah molek untuk diperturunkan di sini bagi memelihara kemuliaan DYMM Tuanku Sultan  dan menjaga adat dan adab berurusan dengan Istana).

    Berkaitan itu juga, saya telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat PDRM dari Bukit Aman pada jam 2.00 pagi (14/7/2023)  untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas laporan-laporan yang telah dibuat oleh AMK PKR dan lain-lain. Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. 

    Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu.

  • Suspek tikam polis ketika operasi dadah ditahan

    Suspek tikam polis ketika operasi dadah ditahan

    SEORANG suspek yang melarikan diri selepas dipercayai menikam anggota polis dalam kejadian 10 Julai lalu ditahan kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu berusia 30-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari di sekitar Johor Bahru.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek direman hingga esok dan polis akan memohon perintah sambung reman bagi meneruskan siasatan.

    Terdahulu dilaporkan seorang anggota polis parah selepas ditikam seorang lelaki dalam operasi membanteras dadah di sekitar Johor Bahru.

    Konstabel berusia 22 tahun itu mengalami luka dalaman di rusuk kiri akibat ditikam pisau dalam kejadian ketika Ops Tapis Khas.

    Mangsa ditikam apabila berlaku pergelutan ketika pegawai penguat kuasa dan polis melakukan pemeriksaan terhadap tiga individu. Suspek kemudian melarikan diri.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas anggota polis.

  • Dewan Rakyat umum kekosongan kerusi Kuala Terengganu

    Dewan Rakyat umum kekosongan kerusi Kuala Terengganu

    SPEAKER Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengumumkan kekosongan luar jangka bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen P.36 Kuala Terengganu.

    “Saya telah menerima suatu surat bertarikh 13 Julai lalu daripada Pengerusi SPR yang memaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P036 Kuala Terengganu.

    “Ini berikutan penyandang jawatan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang tidak mengemukakan sebarang rayuan yang berakhir pada 11 Julai lalu selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada pihak Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Sehubungan itu, Johari berkata, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh enam puluh dari tarikh kekosongan berkenaan.

    Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu  membatalkan kemenangan  Ahmad Amzad yang mewakili Pas.

    Keputusan dibuat Hakim Mohd. Firuz selepas pihak pempestiyen iaitu calon BN Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

    Hakim berkata, walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungannya sebagai ahli Parlimen Kuala Terengganu.

    Namun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mereka memutuskan untuk tidak merayu atas keputusan mahkamah itu atas pertimbangan memikirkan nasib rakyat.

    Katanya, jika rayuan dikemukakan,  masa yang lama sehingga enam bulan diperlukan untuk diselesaikan pula di peringkat Mahkamah Persekutuan.

    Sepanjang tempoh itu, katanya, rakyat di Kuala Terengganu mungkin terabai apabila tiada ahli parlimen yang mewakili mereka.

    Tambah Takiyuddin, Pas juga berpendapat berdasarkan keputusan mahkamah pada 27 Jun lalu tidak ada halangan untuk calon yang sama, Ahmad Amzad Hashim bertanding sekali lagi di kawasan itu.

    Katanya hakim hanya membatalkan kemenangan Pas namun tidak melibatkan calon terbabit.

    Justeru katanya, Pas tidak ada masalah untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan kemungkinan besar Ahmad Amzad akan kekal sebagai calon di situ.

    Takiyuddin juga yakin mereka tidak bermasalah untuk mengekalkan kerusi tersebut berdasarkan kepada jumlah undi yang ‘tidak banyak’ diterima Ahmad Amzad pada 19 November tahun lalu.

    Untuk rekod dalam PRU lalu Ahmad Amzad mengalahkan tiga calon lain dengan meninggalkan pencabar terdekanya, Mohd. Zuber Embong, dengan perbezaan 40,907 undi.

    Mohd. Zuber memperoleh 22,109 undi manakala pula Ahmad Amzad mendapat 63,016 undi.

  • ‘Terimalah hakikat Tun dah kalah’, Ahli Parlimen Langkawi nafi rasuah

    ‘Terimalah hakikat Tun dah kalah’, Ahli Parlimen Langkawi nafi rasuah

    AHLI Parlimen Langkawi, Suhaimi Abdullah nafi terbabit dengan rasuah pengundi, susulan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kekalahannya di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menjawab dakwaan Mahathir bahawa kekalahannya di Parlimen Langkawi disebabkan amalan rasuah, Suhaimi berkata, beliau tiada perlu memberi rasuah kerana menyangka akan kalah di tangan bekas Perdana Menteri itu.

    Mahathir menang Parlimen Langkawi apabila meraih 18,954 undi pada PRU14, menewaskan dua pencabar dengan majoriti 8,893 undi.

    “Saya calon dan saya tahu sama ada rasuah berlaku atau tidak. Lebih-lebih lagi saya tahu nak kalah kalau dengan Tun.

    “Jadi kenapa saya perlu belanjakan wang lagi? logik ke (dakwaan Mahathir)? Saya ‘Mr Nobody’ dan tak pernah fikir untuk menang dengan dia,” kata wakil rakyat Perikatan Nasional itu kepada FMT.

    Pada PRU15, Mahathir tewas apabila mempertahankan Langkawi dalam pertembungan lima penjuru.

    Beliau sekadar meraih 4,566 undi, sekaligus hilang deposit, Suhaimi menang dengan majoriti 13,518 undi.

    Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Mahathir sebagai berkata, beliau hilang lebih 14,000 undi ‘hanya kerana rasuah’ pada pilihan raya lalu, dan mendakwa seorang pengundi memberitahunya bahawa dia dapat duit.

    “Tun (Mahathir) kena terima hakikat dia kalah. Dia tidak mempunyai fakta sebenar apa yang katakan,” jawab Suhaimi.

    “Kadangkala bila kita kalah kita bagi macam-macam alasan sebab kita tak boleh terima hakikat kita kalah. Kita kena lihat sendiri (sebab kekalahan yang sebenar).”

  • Sanusi dakwa ucapan diputar belit, cubaan bunuh karakter

    Sanusi dakwa ucapan diputar belit, cubaan bunuh karakter

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menggunakan politik murahan untuk ‘membunuh’ karakter beliau sebagai pemimpin politik pembangkang.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mendakwa, ucapan beliau dalam ceramah telah diputar belit pihak tertentu bagi mengheret orang ramai supaya memahami ucapan tersebut secara salah untuk meraih kepentingan politik PH-BN.

    Menurutnya, tidak ada walau sepatah pun ucapan berkenaan memberi maksud menghina Sultan Selangor seperti yang didakwa.

    “Pemahaman mereka yang salah itu mahu dipaksakan ke atas orang lain semata-mata untuk raih laba politik daripada isu tersebut sambil ‘membunuh’ saya.

    “Semua orang melompat masuk dalam satu isu yang mereka reka sendiri daripada plot 3R (agama, kaum, institusi raja),” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Setakat Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor.

    Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu pada Rabu.

    Muhammad Sanusi percaya, strategi larangan menggunakan isu 3R ibarat tembok yang sengaja dibina untuk melindungi pemimpin politik lawan secara ‘reverse strategy’, bukan melindungi aspek sebenar 3R.

    “Semua usaha kini ditumpukan untuk ‘bunuh’ beberapa pemimpin PN, kerana PH dan BN tidak ada agenda pembangunan sendiri.

    “Tidak ada program untuk bangunkan ekonomi, atasi masalah ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan harga barang, inflasi pula meningkat, gagal menarik pelaburan baharu selain kesan-kesan kegagalan menteri untuk berfungsi,” jelasnya.

    Menurutnya, tiada seorang pun kalangan menteri melahirkan produk baharu untuk negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan hanya sibuk berpidato menjatuhkan lawan politik, bukan menumpu kepada pembangunan negara.

    “Mungkin PH dan BN telah muflis idea dan keupayaan sebagai kerajaan baharu yang dijaja atas nama perpaduan, sebaliknya semua usaha, masa, rancangan termasuk jentera kerajaan digunakan untuk kepentingan politik,” ujarnya lagi.

    Muhammad Sanusi berkata, apa yang dilakukan PH-BN hanya menumpukan kepada usaha untuk menyelamatkan diri.

    “Mereka tak ada modal baharu, yang ada senjata ‘membunuh’ lawan saja. Negara sedang kerugian, rakyat dalam kesusahan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menempelak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa cuba bertindak hebat mahu mengajar beliau membangunkan Kedah.

    “Isu pokoknya beliau nak tunjuk hebat, nak sekolahkan saya bagaimana membangunkan Kedah. Amirudin gagal mematahkan hujah saya sebelum ini, bahawa PH mewarisi Selangor yang telah maju sebelum PH ambil alih kerana adanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran, ekonomi dan pembangunan negara dalam negeri itu,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, Amirudin ibarat mencuci tangan dan kaki setelah mengambil alih pentadbiran Selangor.

    “Tak ada nilai tambah dibawa PH selain menyedut nikmat limpahan ekonomi dan pembangunan dari Kuala Lumpur.

    “Selangor maju disebabkan dasar ‘The Greater Klang Valley’ dilaksanakan oleh Persekutuan. Sama seperti di Pulau Pinang yang mendapat nikmat daripada ‘The Greater Penang’. Bukan disebabkan PH lebih bijak memerintah berbanding parti lain,” tegasnya.

    Sebelum ini, Amirudin menyifatkan Muhammad Sanusi bersikap ‘bermuka-muka’ apabila memperlekeh institusi diraja Selangor dan tindakan itu menggambarkan sikap sebenar pemimpin Pas itu yang kononnya memperjuangkan isu Melayu selain didakwa tidak menghormati institusi raja.

  • Bukan niat Hadi nak sakiti hati, kata Dr. Halimah

    Bukan niat Hadi nak sakiti hati, kata Dr. Halimah

    AHLI Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali tampil memohon maaf jika ada yang tersinggung dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa orang bukan Melayu harus bersyukur mereka diberi kerakyatan Malaysia.

    Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bagaimanapun percaya bukan niat Hadi untuk menyakitkan hati sesiapa dan Presiden partinya itu hanya menyatakan fakta.

    “Saya rasa (kenyataan itu) menyakitkan hati orang, terutamanya apabila mereka sudah mempunyai gambar dia tidak begitu mesra dengan orang bukan Islam.

    “Untuk meletakkannya dalam konteks, mungkin dia mengatakannya secara fakta. Dia tidak bermaksud untuk menyakiti orang.

    “Dia mengambil berat tentang semua orang dan saya boleh mengesahkan ini kerana saya telah melihatnya dalam keadaan berbeza.

    “Saya perlu memohon maaf jika itu telah membuatkan orang bukan Melayu tidak berpuas hati dengannya tetapi saya rasa dia tidak bermaksud begitu,” katanya pada wawancara bersama stesen radio BFM semalam.

    Halimah ditanya mengenai kenyataan Hadi baru-baru ini, apabila beliau berkata orang bukan Melayu harus bersyukur mereka diberi kerakyatan Malaysia kerana tidak banyak negara akan menganugerahkan perkara yang sama.

    Ahli Parlimen Pas itu turut ditanya bagaimana kenyataan sebegitu serta dakwaan Abdul Hadi bahawa bukan Melayu bertanggungjawab terhadap rasuah di negara ini, sepadan dengan dakwaan Halimah bahawa Presiden Pas itu mengakui identiti Malaysia majmuk.

    Dalam ulasannya yang diterbitkan lidah rasmi Pas, Harakah pada bulan lepas Abdul Hadi berkata:

    “Oleh itu, sepatutnya kalangan bukan Islam itu menghargai sumbangan negara ini yang memberikan tempat kepada mereka.

    “Bahkan, mereka wajib menerima hakikat bahawa kebanyakan negara di dunia tidak memberikan tempat kepada sesiapa yang bukan penduduk asal dan tidak menganut ideologi negaranya, namun sebaliknya Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara,” kata Presiden Pas itu.

    Perbandingan Melayu dengan Orang Asli Australia

    Menjelaskan lebih lanjut, Halimah, yang berpendidikan di Australia, menarik perbezaan antara orang Melayu di Malaysia dengan Orang Asli Australia.

    “Orang Asli adalah minoriti dan pendatang yang berhijrah membina kehidupan, berkembang dan makmur di sana adalah majoriti.

    “Sedangkan di Malaysia, orang Melayu kerana ia tanah Melayu, Malaysia adalah tanah Melayu, mereka masih majoriti dan pendatang yang berhijrah kemudian adalah minoriti,” kata pakar perubatan kelahiran Sarawak itu.

    Halimah berkata, walaupun ramai orang bukan Melayu boleh menerima Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun allahyarham hanya Mursyidul Am Pas manakala Hadi menerajui kuasa eksekutif parti.

    Ini, jelasnya walaupun ketika Allahyarham Nik Abdul Aziz masih hidup.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pemimpin-pemimpin PN ketika hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Menara PGRM, Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Bagaimanapun, Halimah mengakui Hadi mungkin kurang arif bergaul dengan bukan Melayu sebagaimana Allahyarham Nik Aziz.

    Kata Halimah, Biro Perpaduan Nasional Pas yang diketuainya membantu Abdul Hadi mengenai perbezaan budaya.

    Menurutnya, biro itu membelikan Abdul Hadi beberapa pakaian tradisional etnik Cina untuk dipakai pada Tahun Baru Cina dan Presiden Pas itu menerimanya tanpa sebarang tentangan.

    “Saya telah melihat dia dalam kapasiti parti dan dalam kapasiti peribadinya semasa berehat atau semasa dia sakit, dan saya cuba menjelaskan…

    “Ketidakselarasan tentang hubungannya dengan orang Islam atau bukan Islam. Saya perlu mengesahkan, dia pastinya sangat jujur,” katanya.

    ‘PAS lebih pentingkan ekonomi dari nak kawal keseronokan’

    Sementara itu, Halimah berkata walaupun Pas dilihat sebagai ‘antikeseronokan’ dan ‘anti hak individu’, namun beliau percaya sebahagian besar dakwaan itu berlebih-lebihan.

    Halimah juga berkata, Pas percaya ada ruang untuk bergembira tetapi ada cara untuk berbuat demikian tanpa mendatangkan bahaya dan gejala sosial.

    Menurutnya, walaupun orang ramai menganggap perkara seperti konsert sebagai sangat penting, perkara ini bukanlah perkara yang paling dibimbangkan oleh Pas.

    Parti itu lebih mementingkan perkara utama seperti tadbir urus yang baik, pembangunan belia dan kemajuan ekonomi.

    Jelas Halimah lagi, jika Pas membantah apa-apa isu, maka ini kerana Perlembagaannya terikat dengan al-Quran dan pasti itu mesti mengikut apa yang dinyatakan dalam al-Quran.

    “Beberapa perkara yang Pas terkenal (dengan imejnya) tidak semestinya keperluan rakyat. Mungkin kehendak tetapi bukan keperluan.

    Mencegah ekstremisme

    “Kami bergerak untuk keperluan asas. Kami mahukan kemakmuran, mempunyai negara yang diberkati, untuk menggembirakan orang ramai,” katanya.

    Halimah juga berkata, bahawa bukan ciri sebenar Pas untuk memanggil dirinya konservatif.

    Sebaliknya, parti itu berlandaskan asas-asas ajaran Islam.

    “Mungkin tafsiran pemimpin Islam tertentu mungkin berbeza dengan Pas tetapi kita ikut asasnya,” katanya.

    Halimah memetik Hadi, yang berkata dalam arena politik, Pas berperanan untuk ‘mencegah ekstremisme’.

    “Pas bukan Isis, Pas bukan Daesh. Pas tidak mahu orang Islam di negara ini menjadi begitu. Sebenarnya Pas sangat sederhana,” katanya lapor Malaysiakini.

  • SPRM tahan tiga individu termasuk penguat kuasa seludup warga asing

    SPRM tahan tiga individu termasuk penguat kuasa seludup warga asing

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu termasuk anggota penguat kuasa kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing di negeri itu.

    Ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 50-an itu ditahan selepas diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah pada pukul 6 petang semalam.

    Menurut sumber, anggota penguat kuasa terbabit disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM12,000.

    Suspek yang bertugas di Tawau dipercayai bersubahat dengan dua lelaki sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    Difahamkan, warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau untuk ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Semua suspek akan ditahan selama 24 jam bagi tujuan siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, tangkapan terbabit dilakukan dengan kerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Saman fitnah Tun M, Zahid mungkin tak selesai luar mahkamah

    Saman fitnah Tun M, Zahid mungkin tak selesai luar mahkamah

    DUA kes saman fitnah membabitkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan akan dibicarakan hujung tahun ini memandangkan peluang untuk kedua-dua pihak menyelesaikan kes di luar mahkamah dilihat tipis.

    Peguam mewakili Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, buat masa ini, tiada tanda-tanda menunjukkan kes-kes itu akan dapat diselesaikan tanpa pertikaian.

    “Oleh itu, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan lebih awal akan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas sidang pengurusan kes dalam talian di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff hari ini, lapor FMT.

    Mior berkata, hakim meminta pihak-pihak untuk memaklumkan kepada mahkamah sekiranya terdapat perkembangan sebelum perbicaraan bermula.

    Sharul Fazli Kamarulzaman dan Intan Hanis Afiqah Razali tampil selaku peguam bagi pihak Zahid.

    Pada 14 April, mahkamah mencadangkan agar Mahathir dan Zahid meneroka kebarangkalian dua saman fitnah antara mereka diselesaikan, berbanding menjalani perbicaraan.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan empat hari bermula 11 Sept untuk mendengar saman Mahathir terhadap Zahid berhubung dakwaan Zahid menggunakan nama ‘Kutty’ dengan tujuan menghina untuk merujuk kepada Mahathir.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya semasa mesyuarat bahagian UMNO di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

    Beliau mendakwa kenyataan itu bertujuan membayangkan bahawa beliau tidak dilahirkan sebagai orang Melayu atau Islam, dan bahawa nama asalnya ialah ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

    Dalam pembelaannya, Zahid berkata, nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat daripada sekeping salinan lama kad pengenalan.

    Zahid juga berkata, beliau tiada kawalan ke atas penerbitan semula kenyataan itu di mana-mana platform media.

    Dalam saman kedua, Zahid menyaman Mahathir berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa Zahid meminta bantuannya agar tuduhan rasuah terhadapnya ‘digugurkan’.

    Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan empat hari untuk saman itu bermula 6 November.

    Pada sidang akhbar 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu lain berjumpa dengannya di rumahnya sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke (PRU14) pada 2018.

    Mahathir didakwa berkata, Zahid mahu ‘berbaik-baik’ dengannya sebelum beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada Mei 2018.

    Zahid mendakwa kata-kata Mahathir itu tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

    Mahathir, dalam pembelaannya, tetap dengan kenyataannya dan berkata, beliau akan melawan saman itu.

    Kedua-dua saman itu dijadualkan didengar di hadapan Rozana.