Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sanusi diserang kerana ‘hebat’ pimpin Kedah-Tuan Ibrahim

    Sanusi diserang kerana ‘hebat’ pimpin Kedah-Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa serangan berterusan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dibuat lawan kerana kehebatannya mentadbir negeri.

    Menurutnya, serangan terbaharu Sanusi dituduh menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu terpaksa memohon ampun kepada baginda.

    “Tumpuan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan seolah-olah di Kedah sahaja, manakala Kelantan dan Terengganu yang turut ditadbir Pas sunyi tanpa ada sebarang aktiviti ceramah.

    “Seolah-olah pilihan raya ini hanya (sebab) Sanusi sahaja, pasal apa? hebat kepimpinannya dan pencapaiannya sampai ke Kedah (serangan PH-BN).

    “Mereka tak fokus Kelantan, saya turun ke sana tiada ceramah PH dan begitu juga di Terengganu…mereka cuba serang Kedah,” katanya dalam ceramah yang turut dihadiri Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi, lapor FMT.

    Baru-baru ini, Sanusi didakwa menghina dan menyentuh perkenan Sultan Selangor berkait pelantikan Menteri Besar.

    Susulan itu, beliau disiasat atas kesalahan isu 3R (kaum, agama dan raja) dan polis setakat setakat semalam telah menerima 57 laporan terhadap menteri besar Kedah itu.

    Pada Jumaat, Sanusi telah mengutuskan warkah memohon keampunan kepada Sultan Selangor dan menjelaskan maksud sebenar ucapannya.

    Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mempertahankan Sanusi kerana ucapannya bukan menghina institusi raja, sebaliknya diputar belit lawan.

    Namun beliau menyambut baik tindakan Sanusi memohon maaf segera kepada Sultan Selangor dengan segera.

  • Tesla : Shahril minta umum jumlah pelaburan, KJ kata buka pejabat dah lama orang tahu

    Tesla : Shahril minta umum jumlah pelaburan, KJ kata buka pejabat dah lama orang tahu

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mengumumkan jumlah pelaburan yang bakal dilakukan syarikat terkemuka, Tesla Inc dan SpaceX terhadap negara ini dalam masa terdekat.

    Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia disebabkan ketika ini banyak pihak menyindir beliau kerana tidak memberikan penjelasan berkenaan pelaburan setelah melakukan pertemuan bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk.

    “Yang diumumkan hanyalah ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman yang mana kita sudah tahu sebelum ini. Ini bukan baharu. Sekarang ini orang sindir sebab tiada penjelasan tentang apa pelaburan.

    “Tetapi, harapan (saya) adalah mungkin apa yang tidak diumumkan dalam masa kehadapan adalah ada pelaburan. Saya rasa, (ini) penting. Kalau tidak, setelah tiga atau enam bulan tiada pengumuman konkrit daripada segi pelaburan berkaitan dengan Tesla, SpaceX dan sebagainya, maka sindiran yang kita lihat di Twitter hari ini akan menjadi kenyataan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian menerusi Program Keluar Sekejap kelolaan bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Jumaat lalu Anwar telah mengadakan pertemuan secara maya bersama Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

    Menurut Anwar, kerajaan mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat berkenaan ke Malaysia dan juga kesediaan Elon untuk datang ke negara ini.

    Katanya, ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla juga akan dibuka di Selangor tahun ini.

    Sementara itu, Khairy berkata, meskipun mendapat kecaman kerana melakukan pertemuan secara maya, perkara yang lebih penting adalah hasil daripada perbincangan tersebut.

    “Mesyuarat dan pertemuan ini telah mengundang pelbagi reaksi terutamanya yang mempersoalkan, mempertikaikan format pertemuan tersebut iaitu secara maya. Bagi saya, tiada masalah. Hasil yang lebih penting.

    “Saya nampak hasilnya diumumkan beberapa perkara lama, iaitu Tesla nak buka pejabat, buka bilik pameran. Ia dah lama kita tahu. Jadi dari segi pengumuman, ia tidak dari segi berbilion-bilion (pelaburan), kilang Tesla. Penyelidikan dan pembangunan pun tidak sebut,” ujarnya.

    Bagaimanapun, menurut beliau, pertemuan pertama di antara Anwar dan juga Elon Musk itu dipercayai akan membuka ruang kepada perbincangan seterusnya.

    “Saya tengok semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun hadir. Mungkin dari sini akan ada perbincangan lanjutan daripada pegawai Tesla, Starlink yang lebih konkrit,” ujarnya.

  • Aura Sanusi mampu tarik sokongan rakyat – Hashim

    Aura Sanusi mampu tarik sokongan rakyat – Hashim

    AURA  Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat mampu menarik sokongan rakyat kerana beliau boleh melakukan pelbagai kerja.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Sanusi seorang MB yang mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi dan mudah mesra dengan semua golongan.

    “Allah menghantar ke Kedah seorang MB yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, walaupun beliau bukan berlatar belakang agama tetapi mampu membaca khutbah pada hari Jumaat,” katanya lapor HarakahDaily.

    Baru-baru ini Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan Sanusi sebagai ‘wow factor’ yang mampu menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Hashim juga berkata, walaupun jawatan Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas di Kedah dipegang individu berbeza, namun mereka mampu bergerak sealiran.

    Sedangkan katanya menjadi kebiasaan di negeri-negeri yang diterajui PAS Pesuruhjaya akan dipilih sebagai Menteri Besar.

    “Sanusi seorang yang boleh bekerja 24 jam. Auranya di Kedah khasnya sangat kuat walaupun bahasa yang digunakan agak kasar bagi sesetengah orang. Rakyat boleh terima dia. insya-Allah saya berkeyakinan tidak mudah bagi parti lain untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) di kedah,” katanya.

    Beliau juga berkata, sokongan rakyat kepada PN dilihat semakin melonjak menjelang PRN pada 12 Ogos tidak lama lagi.

    Menurutnya kemeriahan suasana PRN semakin terasa terutama di negeri Pantai Timur termasuk di Terengganu.

    “Jumaat lepas ketika ke Terengganu saya lihat bendera-bendera Pas sudah dipasang dengan meriah seolah-olah pilihan raya akan berlaku esok. Ceramah-ceramah juga mendapat sambutan luar biasa menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin hari semakin bertamah,” katanya

  • Zahid Hamidi anggap Sanusi ‘pelawak politik’

    Zahid Hamidi anggap Sanusi ‘pelawak politik’

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor tidak lebih daripada ‘pelawak politik’.

    Presiden UMNO itu berkata,  seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka beliau serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di  Kedah.

    “Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya UMNO/BN di Merbok dekat sini hari ini.

    Mengulas keyakinan Pengerusi PH Kedah Datuk Seri Mahfuz Omar bahawa PH dan BN mampu menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada pilihan raya negeri nanti, beliau berkata kedua-dua gabungan perlu bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu.

    “Yang penting kita bekerja keras dahulu baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri terutama di Kedah ini,” katanya.

    Beliau juga menegaskan setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ walaupun berbeza pendapat.

    Beliau berkata perbuatan tersebut hanya akan memberi gambaran yang negatif bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga rakyat keseluruhannya lebih-lebih lagi jika membabitkan pemimpin parti berasaskan agama. 

    Ahmad Zahid berkata antara perkara yang perlu dielak disentuh sepanjang kempen ialah isu 3R (agama, raja dan kaum) bagi menjaga keharmonian serta ketenteraman dalam kalangan masyarakat dan mana-mana pihak yang ingkar, perlu dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

    “Apatah lagi jika menghina… terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya Ahmad Zahid.

    Beliau berkata memaki hamun, mencaci serta memfitnah kemudian memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima dan harus ditolak oleh rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun agama yang dianuti.

  • ’’Kerajaan PN adil, usah risau Gelombang Hijau’’ – Muhyiddin

    ’’Kerajaan PN adil, usah risau Gelombang Hijau’’ – Muhyiddin

    KERAJAAN yang bakal dipimpin Perikatan Nasional (PN) dijamin akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai tidak perlu risau berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-seolah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai pemerintahan kumpulan Taliban.

    “Terdapat beberapa kebimbangan bahawa kerajaan Pas atau PN akan berbeza sama sekali, malah ada yang mengatakan lebih teruk daripada kerajaan Taliban. Saya tak tahu pun apa yang dimaksudkan Taliban itu, saya pernah mendengar mengenainya.

    “Ia (PN) akan menjadi kerajaan yang adil,” katanya ketika dalam sesi soal jawab Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini, lapor SInar Harian.

    Dalam pada itu, ujar Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan warna logo Pas.

    “Jangan risau tentang gelombang hijau. Saya tidak tahu dari mana datangnya istilah itu. Tidak mengapa kerana saya boleh katakan sekarang gelombang hijau dan biru bersama itu kita ada, iaitu di bawah PN,” ujarnya.

    Istilah ‘Taliban’ sering digunakan untuk menggambarkan pentadbiran Islam yang ketat di Afghanistan.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos ini. PN akan mengekalkan logo Pas untuk Kelantan dan Terengganu manakala logo berwarna biru gabungan itu pula digunakan untuk empat negeri lain.

  • “Menang dulu baru bincang pasal siapa MB” – Mohamad

    “Menang dulu baru bincang pasal siapa MB” – Mohamad

    TIMBALAN Presiden UMNO Mohamad Hasan hari ini menggesa semua parti dalam kerajaan supaya menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya negeri sebelum berbincang mengenai calon Menteri Besar mereka.

    Mohamad turut mengingatkan bahawa keputusan muktamad calon Menteri Besar terletak di tangan Sultan di negeri-negeri berkenaan atau di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar.

    “Pastikan menang dulu. Kalau minta-minta tapi tak menang pun tak guna juga. Janganlah kita berebut sangat jawatan, tapi pastikan kita boleh tubuh kerajaan dulu,” kata Mohamad yang juga bekas MB Negeri Sembilan, seperti dipetik Harian Metro.

    Pengerusi BN Negeri Sembilan itu dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH Negeri Sembilan Anthony Loke bahawa DAP akan menyokong Menteri Besar sementara Aminuddin Harun untuk kekal memegang jawatan itu selepas PRN.

    “Dah tubuh kerajaan nanti, kita runding elok-elok siapa yang kita putuskan misalnya dalam Barisan Nasional (BN), siapa yang kita rasa paling layak. Selepas itu kita berunding antara BN dan PH jika kedua-dua parti boleh tubuhkan kerajaan,” kata Mohamad.

    Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan bagaimana BN Johor semasa pilihan raya negeri berkempen supaya ADUN Benut Hasni Mohammad dikekalkan sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memilih untuk melantik ADUN Machap Onn Hafiz Ghazi.

    “Itu parti tak boleh buat apa-apa kerana dalam Perlembagaan, hak mutlak pelantikan Menteri Besar terletak kepada kuasa raja atau sultan,” jelasnya.

  • Amiruddin pelik Sanusi kata kenyataan diputar belit tapi minta maaf

    Amiruddin pelik Sanusi kata kenyataan diputar belit tapi minta maaf

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pelik mengapa rakan sejawatnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun sebelum ini beliau tidak mengaku bersalah dan mendakwa kenyataannya diputar belit.

    Bagaimanapun, Berita Harian melaporkan Amiruddin berkata, apa yang berlaku itu sebenarnya boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika berucap di hadapan orang ramai.

    “Akhirnya dia minta ampun walaupun tak mengaku bersalah, itu yang pelik. Bila kita tegur, dia kata tak ada (keluarkan kenyataan) dan kemudian minta ampun. Tapi tidak mengapalah, biar polis jalankan siasatan dan kita juga perlu lebih berhati-hati.

    “Kerajaan juga ada mengeluarkan peringatan untuk tidak terlalu menunggang isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana ia akhirnya akan memakan diri sekiranya pandangan yang dikeluarkan itu disalah erti oleh masyarakat.

    “Jadi, diharapkan ketika pilihan raya kelak tidak lagi timbul isu seperti ini, marilah kita bincang mengenai fakta, data dan bagaimana untuk bangunkan negara atau negeri pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda #IniMasaKami oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), di Petaling Jaya hari ini.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi menjelaskan sudah mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

    Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat itu semalam.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

    Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan memaparkan surat berkenaan di laman sosial Facebooknya untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.

    Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

  • ‘’Mereka serang dia cukup-cukup sebab tak mahu Sanusi berjaya’’ – Hamzah

    ‘’Mereka serang dia cukup-cukup sebab tak mahu Sanusi berjaya’’ – Hamzah

    KRITIKAN dan kecaman politik bertali arus diterima Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, Menteri Besar Kedah itu telah membawa banyak pencapaian dan pembangunan membanggakan di negeri jelapang padi itu hingga sukar ditangkis parti lawan.

    “Mereka merasakan Kedah ini sebuah negeri yang mereka kena tunjuk kuat, mereka tidak mahu menerima satu keputusan yang menyedihkan kepada penyokong-penyokong mereka. Pada saya YB (Yang Berhormat), Sanusi ini seorang berkhemah dan baik, tetapi dalam ceramah-ceramah tertentu, mereka serang dia secukup-cukupnya kerana mereka tidak mahu melihat kejayaan Sanusi yang begitu menggalakkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Makan Malam bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama, malam tadi.

    Hamzah bagaimanapun mengakui, budaya taktik menyerang pemimpin tertinggi di peringkat negeri menjelang pilihan raya negeri (PRN) adalah perkara biasa yang dilakukan semua peringkat parti.

    Seperti di Selangor katanya, PN turut mengkritik pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Tak salah kerana ini kempen, mereka ‘attack’ pemimpin tertinggi kita di peringkat negeri, kita juga attack pemimpin mereka di peringkat negeri,” katanya.

  • Cabaran getir bina semula negara akibat dipimpin ‘kakistokrasi’ – Muhyiddin

    Cabaran getir bina semula negara akibat dipimpin ‘kakistokrasi’ – Muhyiddin

    MALAYSIA berada dalam tempoh getir bagi pembinaan semula negara kerana keadaan politik yang masih tidak menentu dan kepemimpinan kakistokrasi (tidak sesuai dan tidak cekap).

    Ketika menegaskan perkara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akibatnya ia memberikan kesan negatif kepada aspek sosial dan ekonomi negara.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata ketika ini kepimpinan negara tidak mempunyai hala tuju jelas, tidak dapat memberikan penyelesaian terhadap masalah yang dideritai rakyat.

    Malah, katanya saban hari kelihatan semakin bercanggah di antara sesama mereka.

    “Hal ini berlaku kerana tiada agenda ekonomi dan pembangunan negara yang jelas dan meyakinkan untuk meredakan kebimbangan kita semua,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika  berucap di Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Shah Alam, hari ini.

    Konvensyen itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Jabatan Profesional Muda (JPro).

    Muhyddin berkata, akibatnya rakyat kini mengeluh kos sara hidup yang semakin tinggi, ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar, ramai golongan pekerja kelas menengah yang menanggung kos kewangan yang tinggi susulan kenaikan lima kali Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak tahun 2022.

    Sehubungan itu, beliau menggariskan lima cabaran utama yang perlu diberi tumpuan iaitu ketidaktentuan ekonomi, transformasi digital, keseimbangan keja-kehidupan dań kesihatan mental, peluang pekerjaan terhada dan rakyat menghadapi kekangan dan cabaran kewangan akibat kenaikan kos sara hidup dan kadar upah yang rendah. 

    ‘’Melihat kepada lima cabaran utama yang sedang kita hadapi ini, golongan profesional perlu mengambil peranan proaktif untuk membantu rakyat mendepani situasi yang saya sebutkan. Saya sering tekankan bahawa dalam aspek ekonomi, kita perlu berusaha supaya pencapaian kita menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik,’’ katanya.

    Pada masa sama, kata beliau golongan profesional  perlu sentiasa menerapkan etika dan nilai profesionalisme dalam segala urusan kerja secara rutin, termasuk nilai prihatin dan empati, bersih dan berintegriti, berdaya tahan (resilience) serta kebolehsuaian (adaptability)

    ‘’Justeru, saya ingin mengajak para anak muda untuk menyahut cabaran untuk menerapkan nilai-nilai taqwa dan amanah, kebersamaan, keprihatinan dan integriti dalam diri, keluarga dan organisasi masing-masing,’’ kqtqnyq.

  • Apa yang dilakukan Elon Musk sewaktu ‘pertemuan’ 25 minit dengan Anwar?

    Apa yang dilakukan Elon Musk sewaktu ‘pertemuan’ 25 minit dengan Anwar?

    SEJAUH manakah “pertemuan” antara Elon Musk dan Anwar Ibrahim semalam berjalan lancar? 

    Perdana menteri membina momentum untuk pertemuan itu beberapa hari sebelum ini, mengatakan jutawan itu meminta untuk mengadakan sesi pertemuan dengannya. 

    Yang sebenarnya terjadi pertemuan itu hanyalah secara maya dalam bentuk sidang video. 

    Menurut Pejabat Perdana Menteri, telesidang itu bermula pada 9.30 pagi dan berlangsung selama 25 minit, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. 

    Ia diikuti dengan kenyataan tidak lain dan tidak bukan daripada Anwar sendiri, yang menyenaraikan apa yang beliau sampaikan kepada Musk, serta mengucapkan tahniah kepadanya kerana membuka pejabat jualan Tesla di Selangor, lapor MalaysiaNow.

    Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri itu tidak menyebut apa yang Musk katakan semasa telesidang itu.

    Tidak sabar untuk mengetahuinya, seorang jurutera perisian tempatan memutuskan untuk menyemak sama ada Musk mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertemuan itu di platform media sosial milik jutawan itu, Twitter. 

    Colin Charles mengecilkan pencariannya antara 9.30 pagi dan 9.55 pagi, ketika pertemuan secara maya dengan kerajaan Malaysia dikatakan sedang berlangsung. 

    Beliau mendapati beberapa ciapan daripada Musk membalas subjek yang tidak berkaitan, dan menyenaraikan lima daripadanya dengan memberikan “timestamp” atau cap masa setiap satu. 

    “Elon jelas bosan dengan perbincangan ketika beliau menulis di Twitter, cap masa tidak berbohong,” menurut Colin. 

    Ciapan Musk termasuk satu baris seperti “You can do that too” (Anda juga boleh lakukannya), “cool” dan satu lagi, “Good summary” (Ringkasan terbaik) sebagai pujian terhadap ulasan yang membandingkan Twitter dan Meta.

    Dalam pada itu, hanya tiga minit sebelum pertemuannya dengan Anwar berakhir, Musk menyiarkan emoji wajah tersenyum dengan air mata sebagai reaksi kepada ciapan gembira.

    Colin ketika dihubungi oleh MalaysiaNow untuk menghuraikan lebih lanjut, membandingkan tingkah laku Musk semasa pertemuannya dengan Anwar dengan cara dia bertindak balas selepas bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo pada Mei tahun lalu.

    “Ia adalah satu penghormatan untuk bertemu di Starbase dan membincangkan projek masa depan yang menarik!” tulis Musk dalam kiriman di Twitter selepas bertemu Jokowi di tapak SpaceX miliknya di Texas.

    Sebaliknya, Colin berkata sesi Anwar dengan Musk adalah hanya “telesidang selama 25 minit, dan bukan pertemuan secara bersemuka”. Beliau turut mengingatkan Anwar bahawa usaha memikat Musk untuk melabur di Malaysia dimulakan oleh kerajaan terdahulu.

    Pada Mei tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi perdagangan tertinggi ke Washington, di mana beliau menjemput Tesla untuk melabur dan menghasilkan kereta elektriknya di Malaysia.

    Semasa lawatan itu, menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika itu Mohamed Azmin Ali turut bertemu dengan wakil daripada syarikat gabungan SpaceX Starlink dan membuat lawatan ke kemudahan SpaceX di Los Angeles.