Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas ketua pemuda UMNO Machang umum sertai Bersatu

    Bekas ketua pemuda UMNO Machang umum sertai Bersatu

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang, Eriandi Ismail pengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Probumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan membuat penampilan pertama di pentas ceramah Perikatan Nasional (PN), malam tadi.

    “Langkah yang diambil ini bukan keputusan dibuat sehari dua tetapi selepas sekian lama difikirkan selain bertanya pandangan pelbagai pihak.

    “Ringkas ceritanya saya bukan buat keputusan sehari dua hari ini untuk menyertai Bersatu tetapi dah lama, tanya pandangan orang tua, orang alim dan orang pelbagai peringkat untuk saya membuat keputusan malam ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berceramah sempena program Ppakat Pertahan peringkat parlimen Machang, malam tadi.

    Program itu turut menampkan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim

    Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan meninggalkan parti yang disertainya lebih 20 tahun lalu.

    “Saya bukan tokoh besar, kecil saja. Paling tinggi pun jadi Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan sahaja dan jadi calon dua kali.

    “Cuma oleh kerana ada sedikit pengalaman dalam konteks politik di Machang ini, maka saya ambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN). Saya jumpa dan tanya ibu bapa, kerana ibu saya masih ketua wanita Umno bahagian Machang,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Eriandi sebelum ini pernah ditampilkan sebagai calon bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kemuning pada 2013 dan 2018 bagaimana tewas kepada calon Pas, Mohd. Roseli Ismail.

    Sementara itu, Eriandi berkata, keputusannya keluar daripada UMNO bukan disebabkan tawaran tertentu sebaliknya menolak kerjasama antara parti itu dengan DAP.

    “Tatkala UMNO ambil keputusan bergabung dengan DAP, saya ambil keputusan mohon izin daripada ibu bapa untuk meninggalkan UMNO dan BN (Barisan Nasional).

    “Jangan marahkan saya, saya tak rela tangan ini mengundi logo dacing dalam PRN (pilihan raya negeri (PRN) kerana di sebalik logo itu terselit DAP. Maka saya ambil keputusan bersama PN,” katanya yang mendakwa lebih 200 penyokongnya turut menyertai Bersatu.

  • Warga asing kelar leher rakan sehingga mati

    Warga asing kelar leher rakan sehingga mati

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki warga negara asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga mengkelar leher seorang rakan senegaranya sehingga maut dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru malam tadi.

    Penduduk setempat yang menyedari kejadian itu menghubungi Balai Polis Desa Cemerlang pada pukul 11.15 malam berkenaan pergaduhan itu yang di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihak polis menemui seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa disahkan telah meninggal dunia. Bertindak atas maklumat pada 12.10 tengah malam tadi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang membuat dua tangkapan lelaki warga asing.

    “Dua suspek berusia 39 dan 40 tahun itu ditahan sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    Pihaknya merampas tiga bilah pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras selain menemukan 13 ‘swab’ kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.

    Jelasnya, siasatan mendapati semua yang terlibat dalam pergaduhan itu bekerja di kedai dan kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan.

    Katanya, akibat pergaduhan itu mangsa telah meninggal dunia disyaki dikelar pada bahagian leher sebelah kanan sebelum mayat mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Ismail (HSI) Johor Bahru.

    Menurutnya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

    Tambahnya, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula Ahad sehingga Sabtu ini.

  • PRN Pulau Pinang: UMNO, DAP ‘berebut’ kerusi DUN Seri Delima

    PRN Pulau Pinang: UMNO, DAP ‘berebut’ kerusi DUN Seri Delima

    KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima disandang DAP menjadi rebutan antara DAP dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.

    Sumber BN berkata, menerusi rundingan awal sebelum ini, kerusi itu sepatutnya ditandingi MCA selepas diberi laluan oleh DAP yang menguasai Seri Delima sejak 2008.

    “Tetapi MCA telah putuskan tak bertanding, jadi kita merasakan kekosongan itu sepatutnya diisi UMNO.

    “Kalau boleh kita mahu tambah satu lagi kerusi di bahagian pulau, setakat ini hanya dapat Teluk Bahang.

    “Perbincangan masih berjalan dan siapa wakil BN-PH (Pakatan Harapan) akan diputuskan pucuk pimpinan dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dari DAP yang menang Seri Delima pada PRU14 dengan majoriti 16,553 undi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.

    Rabu lalu, Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Seri Delima antara 19 kerusi akan ditandingginya pada PRN 12 Ogos depan.

    Bagaimanapun, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ada dua kerusi masih dirunding dengan PH selepas enam kerusi telah dimuktamadkan kepadanya iaitu Teluk Bahang, Sungai Dua, Bertam, Penaga, Permatang Berangan dan Sungai Acheh.

    Sumber itu berkata sebelum ini BN turut meminta bertanding di DUN Batu Maung yang disandang Exco Pulau Pinang Abdul Halim Hussain dari PKR.

    “Tetapi berdasarkan rundingan, PKR nampaknya akan kekal di sana,” katanya.

    Selain Pulau Pinang, pilihan raya juga diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

  • Warisan tetap heret 11 ADUN keluar parti ke mahkamah

    Warisan tetap heret 11 ADUN keluar parti ke mahkamah

    PRESIDEN Parti Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pihaknya tetap akan mengambil tindakan mengheret 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada parti itu ke mahkamah.

    Jelas Ahli Parlimen Semporna itu, tindakan akan diambil atas kesalahan melanggar syarat perjanjian yang telah ditandatangani bersama parti Warisan.

    “Kita membayar ADUN-ADUN yang telah melompat, bayar deposit, bayar peguam dan perbelanjaannya dalam kempen, tetapi begitu senang dia melompat.

    “Apabila berlaku terhadap Zuraida (bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin) di mana mahkamah putuskan beliau perlu bayar RM10 juta walaupun mereka katakan tiada tandatangan.

    “Ada tandatangan tetapi mungkin tidak memenuhi beberapa syarat-syarat yang termaktub, tetapi kalau saya dengar keputusan hakim itu, dia melompat, hukuman perlu ada kerana bukan mereka yang berbelanja tetapi kita (parti) yang mengeluarkan wang untuk bendera dan deposit,” katanya dalam sidang akhbar di Flat Tanjung Aru, Kota Kinabalu semalam.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan tindakan mahkamah terhadap 11 ADUN yang keluar daripada Warisan.

    Mohd. Shafie menegaskan bahawa kesemua ADUN itu telah melanggar kontrak perjanjian dan pampasan perlu diberikan kepada parti.

    “Bon kami ada, bukan hanya berbentuk kewangan dan ia bukan hanya mengenai wang tetapi kita mahu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dikosongkan dan itu yang menjadi keutamaan kita.

    “Tetapi sejak ada keputusan pampasan juga perlu diberikan kepada parti dan jika boleh diberikan kepada yang lain kenapa tidak diberikan kepada kita,” katanya.

    Mohd. Shafie berkata, kes pertama membabitkan ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg. Amir setakat ini dalam proses rayuan.

    “Kes lain, oleh kerana sudah ada keputusan terhadap Zuraida maka kita akan lihat bagaimana keadaannya. Mungkin bila dikatakan tiada bon tetapi bon bukan hanya tentang wang dan itu yang harus dilihat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sepuluh lagi ADUN keluar daripada Warisan ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob, Datuk Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) dan Rina Jainal (Kukusan).

    Selain itu, ADUN Kunak, Norazlinah Arif, Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas) dan Hiew Vun Zin (Karamunting).

  • Payang Walk dalam versi, nafas baharu

    Payang Walk dalam versi, nafas baharu

    SUDAH agak lama penulis tidak berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan atau pementasan kesenian popular yang terdapat di daerah-daerah di negeri Terengganu.

    Seperti sedia maklum, Terengganu sememangnya cukup terkenal dengan kesenian tradisi dan mempunyai pertalian rapat dengan sektor pelancongan negeri.

    Sebab itulah, dalam memajukan sektor pelancongan, kerajaan negeri pernah memperkenalkan slogan Negeri Cantik, Budaya Menarik lalu ia menjadi ‘trademark’ dan sebutan ramai hingga sekarang.

    Antara kesenian popular yang sering menjadi tumpuan ramai ialah Ulek Mayang, Rodat, Tarian Balai, Tarian Saba, Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Silat Kura-Kura, Main Puteri, Tarian Abang, Gendang Besar, Tumbuk Emping serta lagu-lagu rakyat.

    Kesemua kesenian ini pernah penulis kumpul dan persembahkan dalam program tahunan, bulanan dan mingguan sewaktu penulis bersama Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu (MKNT) beberapa tahun lalu.

    Antara program tersebut termasuklah Pesta Pantai, Pekan Budaya daerah, KT Walk, Payang Walk serta program Hujung Minggu di Pantai Batu Burok dan Teluk Ketapang.

    Selain bertujuan untuk mengekal serta mengembangkan kesenian popular negeri, menerusi aktiviti ini secara tidak langsung mampu menjana ekonomi peniaga dan penduduk setempat.

    Apa yang membanggakan penulis, ada di antara program berkenaan masih diteruskan sehingga kini, cuma pendekatanya sahaja yang berbeza.

    Dengan erti kata lain, hanya konsep dan format persembahannya sahaja dalam versi yang berbeza.

    Sebagai contoh, setiap persembahan kesenian yang diadakan di negeri ini perlu patuh syariah di samping tidak dibenar melibatkan penari lelaki dan wanita.

    Ini bermakna, kesenian Ulek Mayang, Mak Yong, Tarian Saba dan Main Puteri yang mengandungi unsur ritual tidak boleh dipersembahkan secara terbuka.

    Bercakap mengenai program Payang Walk yang dilancarkan pada tahun 2012, penulis yang mewakili MKNT pernah berada dalam Urus Setia Persembahan.

    Program yang diadakan tiga hari seminggu, berjaya menghidupkan suasana malam di Bandaraya Kuala Terengganu yang sebelum itu kelihatan sepi tanpa pengunjung.

    Program dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), MKNT dan persatuan peniaga itu melibatkan laluan pejalan kaki bermula dari Pejabat Pos Besar Terengganu sehingga ke Simpang Jalan Banggol.

    Sepanjang tiga hari program berlangsung, iaitu Jumaat hingga Ahad, pelbagai acara kesenian dari setiap daerah serta pameran dan jualan secara ‘bundle’ dibuka sepanjang laluan ‘Payang Walk’.

    Selain itu, ia turut memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan di lokasi satu hentian yang memberi keselesaan kepada pelancong tanpa kekangan kesesakan lalu lintas di Kuala Terengganu.

    Melalui aktiviti ini juga ia dapat menjenamakan semula destinasi pelancongan di bandaraya ini seperti Istana Maziah, Bukit Puteri, Dataran Shahbandar, Bazar Warisan dan Pasar Besar Kedai Payang.

    Kemudahan pengangkutan beca turut disediakan bagi membawa dan menurunkan penumpang.

    Kini, selepas 10 tahun berlalu Payang Walk kembali semula dilokasi asalnya dengan versi dan nafas baharu.

    Program anjuran Kerajaan negeri melalui MBKT ini turut menekankan operasi beca warisan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu usaha untuk memperkasa destinasi ikonik itu yang juga merupakan aset pelancongan utama Negeri Terengganu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman pada Sidang Medianya minggu lalu berkata, Payang Walk yang berkonsepkan jualan dengan pendekatan aktiviti pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu (setiap Jumaat) di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang) akan dilancarkan pada 21 Julai ini.

    Katanya, antara segmen jualan dan aktiviti tersebut termasuklah barangan tempatan, makanan tradisional serta persembahan kebudayaan dan kesenian.

    Beliau turut mengharapkan Payang Walk dan laluan beca warisan di Pesisir Payang ini merupakan ‘pilot projek’ untuk melihat sejauhmana keberkesanannya sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan.

    Program yang turut melibatkan seramai 100 peniaga ini akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samuri Mokhtar.

    Justeru, penulis berharap Payang Walk yang diadakan kali ini mampu mencipta fenomena baharu dalam sektor pelancongan negeri.

  • PRN: Kesal dengan kenyataan Tok Mat, kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN

    PRN: Kesal dengan kenyataan Tok Mat, kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN

    PARTI Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng milik parti itu dan bukannya Barisan Nasional (BN).

    Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan BN telah bersetuju yang prinsip pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

    “Jika ada perubahan sekali pun ia semestinya diputuskan dalam Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kemudian akan dimaklumkan kepada ketua setiap parti.

    “Jadi buat masa ini kita tetap dengan pendirian yang Amanah akan bertanding kerusi DUN Lenggeng kerana secara prinsipnya semua parti telah bersetuju pembahagian kerusi dibuat secara status quo,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Kata beliau, pihaknya sudah pun merujuk dengan Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu berhubung perkara itu dan turut mengesahkan Amanah akan bertanding mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Jelasnya, tiga kerusi berkenaan adalah di DUN Lenggeng, Kuala Klawang dan Paroi.

    Malah katanya, parti juga telah menamakan calon di tiga DUN berkenaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

    Penyokong BN pekik ‘pakatan hancing’ manakala penyokong PH jerit ‘hancur BN’ semasa kedua-dua pihak itu bergaduh di pusat pengundian SJKC Chung Hua, Rantau, pada 2019 dan keadaan tegang selama 10 minit

    Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan memberikan kerusi itu kepada UMNO.

    “Bagi saya itu kenyataan provokasi dan boleh mengundang persepsi tidak baik terhadap PH dan BN yang seolah-olah menunjukkan kita berpecah-belah. Semestinya ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan.

    “Selagi bukan Perdana Menteri yang umumkan, saya tidak akan percaya yang kerusi Lenggeng diberi kepada UMNO,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Amanah Negeri Sembilan bertanding di tiga kerusi DUN termasuk Lenggeng selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah.

    Semalam, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kuala Pilah berkata, BN Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi DUN termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

    Katanya, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 yang lalu manakala Pakatan Harapan (PH) 19 kerusi.

  • Akaun TikTok saya disekat, negara sedang menuju menjadi Korea Utara: Sanusi

    Akaun TikTok saya disekat, negara sedang menuju menjadi Korea Utara: Sanusi

    SELEPAS berdepan tindakan pihak berkuasa, terbaharu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa akaun media sosialnya pula disekat dan tidak boleh diakses lagi.

    Menteri Besar Kedah itu membidas tindakan kerajaan campuran yang menyekat kebebasan bersuara dengan menjadi akaun media sosial ahli politik pembangkang sebagai sasaran dengan pelbagai tindakan.

    “…Tapi mereka padam akaun TikTok saya, saya buka-buka akaun saya dah tidak ada dah… Baharu popular kan?

    “Itulah medan kita nak jawab, kita tidak boleh masuk tv sebab mereka tak beri, tak boleh masuk radio dan kita pakai TikTok serta Facebook,” katanya dipetik dalam satu video yang dikongsikan di akaun Dewan Pemuda Pas Kawasan Baling.

    Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan campuran sangat takut dengan media yang bebas dan membuat perbandingan dengan negara Korea Utara yang menyekat sebarang laporan berita dibaca rakyat.

    “Takutnya mereka kepada media yang bebas, itulah zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan campur dengan Barisan Nasional, negara Malaysia ini sedang bergerak menjadi Korea Utara.

    “Korea Utara negara Komunis, dia sekat semua media… Dia tak beri rakyat dia tahu apa, tak boleh tengok media… Kamu dengar saya cakap saja,” katanya lagi.

    Sanusi kini berdepan siasatan pihak polis kerana mengkritik Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kerana mengaitkannya dengan isu sensitif menyentuh institusi Raja.

    Bagaimanapun, Sanusi sudah mengutus warkah memberi penjelasan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan kontroversinya yang dijadikan modal politik PH-UMNO.

    “Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda tuanku sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

    “Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya dalam kenyataan.

    Tambah beliau, warkah tersebut tidak akan dikongsi kepada umum demi memelihara kemuliaan Sultan Sharafuddin serta bagi menjaga adat dan adab berurusan dengan istana.

    Sementara itu, Sanusi memaklumkan beliau telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada pukul 2 pagi kelmarin.

    Keterangan tersebut untuk melengkapkan siasatan terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh pelbagai pihak berhubung isu yang sama.

    “Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” kata Sanusi berkias, lapor Agenda Daily.

  • Kalah di Gombak tak bermakna akan kalah PRN, kata Azmin

    Kalah di Gombak tak bermakna akan kalah PRN, kata Azmin

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diingatkan agar tidak sombong dengan kemenangan yang diperolehinya di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang lalu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana kekalahannya di Parlimen itu kepada Amirudin tidak bermakna beliau akan tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Saya kalah di Gombak, Amirudin sahabat saya dengan angkuh dan sombong mengatakan beliau telah menghumban saya di Gombak.

    “Tak apalah, saya reda dengan kekalahan saya di Gombak. Mudah-mudahan ini peluang kepada saya untuk melakukan muhasabah.

    “Tetapi saya nak ingatkan kepada Amirudin, kalah satu pilihan raya tidak bermakna kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada rapat perdana Pidato Kebangkitan Rakyat Gombak di Taman Samudera, malam tadi.

    Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; bekas ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa; bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar; Yang Dipertua Pas Gombak, Salehhuddin Nasir dan penyandang Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN), Gombak Setia, Hilman Idham.

    Azmin menang di Parlimen Gombak pada PRU ke-14 dengan majoriti 48,721 undi.

    Bagaimanapun, Azmin yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2020 tewas di kerusi Gombak tahun lalu kepada anak didiknya, Amirudin.

    Sementara itu, Azmin yang juga Ketua Penerangan PN turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berbohong dalam isu kerjasama kerajaan Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk.

    Dakwa Azmin, perjanjian dengan Musk itu terlebih dulu dibuat sewaktu dia menjadi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran PN sebelum ini.

    “Semalam dia umum dia jumpa Elon Musk, minggu depan dia punya cerita macam Elon Musk nak datang (Malaysia) dan belajar dengan dia.

    “Tengok-tengok, melalui maya sahaja. Itu pun 25 minit saja dan dalam 25 minit itu terbukti Elon Musk dok main telefon dia, tak peduli pun apa kau (Anwar) cakap.

    “Saya ini, yang kononnya saya pengkhianat dan nak humban saya… Anwar Ibrahim, aku dah pergi ke ibu pejabat Elon Musk di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun lepas.

    “Saya dah berunding dengan SpaceX, pengurusan tertinggi di bawah Elon Musk dan kita telah berbincang untuk membawa pelaburan berkualiti ini kepada Malaysia. Aku lebih awal daripada kau,” katanya.

    Mengulas lanjut, Azmin berkata, disebabkan itu beliau telah memuat naik semula hantarannya di media sosial berhubung perkara tersebut.

    Kata Azmin, ini termasuk pelaburan sebanyak RM25.5 bilion dari Amazon Web Services (AWS) di Malaysia.

    “Begitu dengan dengan (pelaburan daripada) AWS yang saya bawa ke negeri Selangor bernilai RM25 bilion.

    “Tetapi Perdana Menteri yang ada sekarang sanggup berbohong dalam Parlimen. Dia kata apa…AWS dah telefon saya, dia kata AWS nak melabur di Malaysia ini hanya setelah kerajaan Madani terbentuk.

    “Mana Amazon tahu Madani ini binatang apa. Tapi dia berbohong muka dia selamba (tiada perasaan) saja,” katanya.

    Dakwa Azmin, beliau juga telah memeterai perjanjian degan AWS sekitar Julai 2022.

    “Saya bukan nak berbohong, saya pergi ke AWS pada Mei tahun lepas dan berbincang dengan mereka. Mereka mahu melabur RM25 bilion tetapi ketika itu beliau sedang mencari negara-negara yang bersesuaian termasuk Malaysia.

    “Saya terpaksa yakinkan, datanglah ke Malaysia, dasar pelaburan kita mesra perniagaan, kita akan berikan dukungan, insentif, kita nak rakyat Malaysia dapat pekerjaan yang berkemahiran. Akhirnya, dia setuju. Kemudian dia tanya nak pergi Melaka atau Selangor?

    “Saya kata kalau boleh datanglah Selangor, walaupun Amirudin menjadi Menteri Besar saya tidak mengambil sikap bermusuh dengan beliau dan saya tetap membawa AWS ke negeri Selangor pada tahun lepas dengan nilai RM25 bilion.

    “Maka, AWS bentangkan kepada NCI pada Julai 2022 dan saya menelitinya sebab ia dipengerusikan oleh Miti. Bila kita sudah teliti pelaburan dan jumlah pelaburan kerajaan memberikan insentif kepada AWS. Maka diluluskan pada Julai 2022,” katanya.

    Jelas Azmin, ketika itu kerajaan Madani belum wujud lagi dan Anwar belum menjadi Perdana Menteri kesepuluh.

    “Apa nak jadi dengan ketua negara hari ini? Boleh bohong, AWS bohong, Elon Musk bohong, SpaceX pun bohong. Cukup-cukuplah,” kata Azmin.

    Awal Mac lalu, Anwar dilaporkan berkata, AWS bakal membuka infrastruktur serantau baru di Malaysia dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

    Kata Anwar, AWS telah komited kepada pelaburan teknologi antarabangsa terbesarnya setakat ini di Malaysia.

    Baru-baru ini, Anwar turut dilaporkan mengadakan pertemuan secara maya dengan jutawan Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

  • PN boleh jadikan Selangor ‘super state’-Saifuddin

    PN boleh jadikan Selangor ‘super state’-Saifuddin

    SELANGOR akan dibangunkan sepenuhnya jika Perikatan Nasional (PN) memenangi mandat dalam PRN akan datang, kata Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah gagal merealisasikan visi ‘super state’.

    Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu harus menumpukan perhatian kepada membangunkan negeri dan bukannya bermegah-megah dengan kemenangannya ke atas DatuK Seri Azmin Ali, bekas mentornya yang kini seteru politik.

    “Visi untuk membina Selangor sebagai ‘super state’ sudah wujud semasa Azmin Ali menjadi Menteri Besar, tetapi Amirudin, penggantinya, gagal merealisasikannya.

    “Jadi ini adalah sesuatu yang PN akan lakukan jika kita diberi mandat,” kata Saifuddin dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu PN malam tadi.

    Katanya, Selangor harus dilihat sebagai ‘super state’ dan untuk itu, pengundi harus memilih Menteri Besar yang layak dan bukan orang yang berbangga kerana telah mengalahkan bekas Menteri Besar.

    “Itu bukan naratif untuk membina Selangor,” kata Saifuddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang.

    Pada pilihan raya umum (PRU) November lalu, Aminuddin menewaskan Azmin yang mempertahankan bekas kubu kuatnya di Gombak.

    Azmin memegang kerusi itu selama tiga penggal, setelah memenanginya ketika menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Saifuddin berkata, Selangor tidak seharusnya dibandingkan dengan negeri-negeri Malaysia yang lain kerana ia berpotensi untuk setanding dengan ekonomi hebat di rantau ini.

    “Kita sepatutnya membandingkan Selangor dengan Singapura, Taiwan, Hong Kong. Jika tidak, kita tidak melakukan keadilan terhadap apa yang Selangor boleh capai,” tambahnya, lapor FMT.

  • Hanya mahkamah boleh putuskan kesalahan 3R, Azalina diberitahu

    Hanya mahkamah boleh putuskan kesalahan 3R, Azalina diberitahu

    BEBERAPA peguam menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said supaya bentuk tindakan alternatif diambil terhadap mereka yang dituduh membuat kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).

    Haniff Khatri Abdulla berkata cadangan itu disifatkan cacat, sambil menambah hanya mahkamah undang-undang yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kesalahan 3R telah dilakukan.

    “Pada akhirnya, anda tidak boleh berkompromi (mengenai) keadilan. Ia tidak dilakukan mengikut sesuka hati dan kehendak pegawai penguat kuasa atau kuasa yang ada untuk mengeluarkan denda,” katanya memetik laporan FMT.

    Pada forum baru-baru ini, Azalina mencadangkan agar pesalah 3R ditangani di luar sistem mahkamah, seperti denda.

    Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, sebarang cadangan sedemikian mesti dinyatakan dengan jelas, dengan perlindungan untuk memastikan ia tidak salah guna bagi tujuan politik atau menyekat wacana awam.

    Beliau berkata, cadangan seperti itu tidak boleh dibiarkan samar-samar, kabur atau boleh digunakan sewenang-wenangnya terhadap apa-apa yang dianggap sebagai pelanggaran oleh pihak berkuasa.

    “Parameter yang jelas mesti diwujudkan, supaya pihak berkuasa dan orang ramai jelas mengenai perkara yang dilarang,” katanya, lapor FMT.

    Pada sidang media baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sedang menyiasat 61 kes berkaitan isu 3R yang berlaku sejak Mac tahun ini.

    Senarai ini termasuk aduan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang didakwa menghina Sultan Selangor semasa berucap baru-baru ini.

    Beberapa pemimpin politik lain, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, turut disiasat polis berhubung kenyataan terbaru yang didakwa menyentuh isu 3R.