Author: Wartawan WartaRakyat

  • MyCC bantah kenaikan yuran guaman pindah hak milik

    MyCC bantah kenaikan yuran guaman pindah hak milik

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) membantah kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hak milik dalam keadaan rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

    Menurut Pengerusi MyCC, Hishamudin Yunus, walaupun Seksyen 13, Akta Persaingan 2010 mengecualikan perintah pindaan daripada pemakaian akta itu, tindakan yang diambil oleh Majlis Peguam adalah bertentangan prinsip persaingan.

    Jelasnya, kenaikan yuran guaman itu bukan yang pertama kerana Majlis Peguam sebelum ini pernah meningkatkan yuran guaman untuk pemindahan hak milik melalui Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2017

    Katanya, MyCC juga mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu membabitkan isu yuran tetap oleh badan profesional sejak 2013.

    Selain itu pihaknya mahu memberi tumpuan kepada Majlis Peguam yang dilihat boleh menjadi ikutan kepada badan profesional lain jika mereka setuju menghapuskan penetapan yuran guaman bagi pemindahan hak milik.

    “Pendekatan diambil MyCC sejajar dengan amalan negara maju seperti United Kingdom, Singapura, dan Australia, di mana badan profesional termasuk Majlis Peguam mereka tidak lagi mengamalkan penetapan yuran.

    “Pandangan MyCC ini juga disokong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang sebelum ini pernah beberapa kali membincangkan isu berkenaan penetapan yuran guaman dalam mesyuarat mereka yang lepas,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, penetapan yuran guaman itu dilihat tidak konsisten, terutama apabila mengambil kira yuran litigasi di Malaysia tidak tertakluk kepada kadar tetap.

    Tindakan tersebut juga ujarnya, dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan membantu rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

    “Inisiatif kerajaan melalui Memorandum Pemindahan (MOT) dan pelepasan atau diskaun cukai setem, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), selain dari dilaksanakan untuk menggalakkan industri perumahan, ia juga bertujuan mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kumpulan yang disasarkan,” katanya.

    Hishamudin berkata, MyCC juga mengimpikan untuk mewujudkan struktur yuran lebih fleksibel bertepatan amalan terbaik antarabangsa dan percaya pengguna akan dilindungi dengan lebih baik apabila variasi terhadap dasar industri mengambil kira prinsip persaingan.

    Pihaknya mengakui bahawa usaha MyCC sebelum ini untuk memujuk Majlis Peguam tidak berjaya.

    “Namun, kami ingin menyeru Majlis Peguam dengan penuh hormat untuk mempertimbangkan semula, atau sekurang-kurangnya, menangguhkan pelaksanaan perintah pindaan ini dan meneruskan balik perbincangan dengan kami,” katanya, lapor FMT.

  • Shahidan Kassim sahkan tidak tanding PRN

    Shahidan Kassim sahkan tidak tanding PRN

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, bulan depan.

    Sebelum ini tokoh politik berusia 71 tahun itu dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan bertanding sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

    Katanya, ia bagi memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding di negeri berkenaan.

    “PN perlu mengetengahkan lebih ramai calon muda untuk bertanding di Selangor.

    “Apa yang paling penting sekarang ini, kita dapat memerintah Selangor,” katanya ketika ditemui selepas ceramah pasca bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Kambing, di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya itu nanti dan akan berbincang dengan parti sekiranya beliau dipilih sebagai calon di Selangor.

    “Kalau nama saya naik pun (menjadi calon), saya nak bincang (dengan pimpinan PN). Tumpuan saya kini adalah untuk membantu berkempen bagi calon PN di enam negeri menjelang PRN ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bulan lalu Shahidan dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PN untuk meletakkannya sebagai calon pada PRN.

    “Itu terpulang kepada kepemimpinan. Saya tiada masalah (bertanding dalam PRN). Saya yang nak tolong supaya enam negeri ini, PN mencapai kejayaan,” kata Shahidan.

  • Lelaki ditahan menyamar polis

    Lelaki ditahan menyamar polis

    PERBUATAN seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis mengundang padah, apabila dia ditahan polis di sekitar bandar Keningau, semalam.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, suspek warga tempatan berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

    “Suspek ditahan ketika menjalani penugasan Op Samseng Jalanan, pada pukul 2 petang. Suspek ditahan menggunakan pakaian preman dan vest warna hijau tertera tulisan ‘polis’.

    “Ketika diminta untuk menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

    “Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pasukan polis turut membuat rampasan beberapa barangan lain serta motosikal yang ditunggang suspek.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Human Rights Watch dakwa aktivis pelarian Myanmar diculik di Malaysia

    Human Rights Watch dakwa aktivis pelarian Myanmar diculik di Malaysia

    HUMAN Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Malaysia.

    Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu berkata, Thuzar Maung dan suami Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka diculik dari rumah di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.

    HRW memetik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar merupakan penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.

    “Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka,” kata Pengarah Asia HRW, Elaine Pearson dalam kenyataan.

    Kumpulan itu mendakwa sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka kira-kira 4.30 petang 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis.

    “Dua jam kemudian, Thuzar ketika bercakap telefon dengan kawannya, yang terdengar Thuzar menjerit kepada suaminya, lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka sebelum panggilan terputus.

    “Kemudian, kereta sama dan dua kereta milik keluarga Thuzar dilihat meninggalkan kawasan itu,” dakwa HRW, lapor FMT.

    Menurutnya, rakaman CCTV dari pondok keselamatan merakam nombor plat kereta ‘polis’ itu dan mendakwa polis tempatan mengenal pastinya sebagai palsu.

    Thuzar menyokong demokrasi di Myanmar serta hak pelarian dan migran di Malaysia sejak sekian lama.

    Beliau mempengerusikan Komuniti Pelarian Islam Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar, selain bekerjasama rapat dengan pembangkang Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar.

    Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015. Beliau dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.

    FMT sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk mengulas.

  • DAP berisiko ikut jejak MCA-Ronnie Liu

    DAP berisiko ikut jejak MCA-Ronnie Liu

    BEKAS veteran DAP, Ronnie Liu mendakwa, pemimpin tertentu parti itu sudah melupakan nilai teras parti dan berisiko menjadi tokoh seperti dalam MCA.

    Beliau yang bersama DAP selama 41 tahun sebelum keluar bulan lalu berkata tingkah laku mereka sangat mirip MCA.

    Tanpa menamakan mana-mana individu, Ronnie berkata, perkara tersebut berlaku tanpa disedari.

    “Mereka mungkin tidak tahu, (tetapi) mereka mula kata (perkara seperti) ‘kita perlu berkompromi’, ‘kita perlu melihat gambaran lebih besar’, ‘kita akan cuba tangani masalah itu secara dalaman’,” kata Liu kepada FMT.

    “MCA pernah kata ini (perkara sama) sekian lama,” katanya menjawab pengkritik DAP yang membandingkan parti itu dengan MCA, selepas menyertai kerajaan dengan MCA sekian lama dikritik bertolak ansur dengan rakan kongsi Barisan Nasional lebih besar, UMNO.

    Pengkritik parti itu termasuk bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Kua Kia Soong berkata, prinsip parti itu terjejas dengan sikap suka mengambil kesempatan ditunjukkan sesetengah pihak selepas menjadi kerajaan.

    Liu dalam responnya berkata, penting untuk ahli DAP terus bersuara dan menyuarakan pandangan mereka secara terbuka, khasnya dalam isu seperti rasuah dan salah guna kuasa.

    “Saya harap DAP tidak akan lupa mengenai ini. Kami mahu keadilan, demokrasi, kebebasan dan hak sama rata.”

    Sesetengah pemimpin DAP mula melupakan idea itu, katanya, apabila mereka dikuasai ‘3P’ (kuasa, kedudukan dan manfaat).

    “Mereka (yang) merasai kuasa, kedudukan dan manfaat sudah melupakan nilai dan kebaikan (mereka) serta mengapa mereka menyertai politik. Ini bukan caranya,” katanya lapor Malaysiakini.

    Liu keluar DAP bulan lalu kerana ada banyak insiden ‘di luar jangkaannya’.

  • Dulu alergi dengan DAP sekarang jadi kawan, kata Ahmad Zahid

    Dulu alergi dengan DAP sekarang jadi kawan, kata Ahmad Zahid

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta jentera UMNO termasuk BN mengenepikan persengketaan untuk memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.

    Beliau yang suatu ketika dahulu alah melihat bendera roket (DAP) kini mengenepikan perkara lama demi memperkukuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini UMNO dan DAP sudah menjadi kawan kerana sudah berada dalam kerajaan perpaduan.

    “Dulu saya alergi (alah) tengok roket dan dulu juga lawan tetap lawan tetapi sekarang buat apa kita terus berlawan yang masa ini kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

    “Oleh itu, jentera UMNO BN diminta ketepikan persengketaan dengan tutup buku lama dan buka buku baru.

    “Saya ingin berterima kasih kepada jentera UMNO Pulau Pinang yang mengatakan di mana sahaja calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di situ jentera UMNO akan membantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di Butterworth malam tadi.

    Ahmad Zahid berkata, BN mahu turut membantu kerajaan negeri Pulau Pinang apabila menang pada PRN nanti.

    “Kerajaan Pulau Pinang, 15 tahun BN tak bersama tetapi kemajuan pembangunan perindustrian berteknologi tinggi amat dikagumi selain Selangor. Asas kemajuan (Pulau Pinang) asal BN suatu ketika dahulu tetapi hakikatnya selepas 15 tahun Pinang semakin maju.

    “Jadi, BN mahu turut mahu membantu melalui menteri dari UMNO supaya dapat tarik pelabur ke Pulau Pinang termasuk mendokong Perdana Menteri yang kita mahu noktahkan kemiskinan tegar menerusi KKDW (Kementerian Desa dan Wilayah),” katanya, lapor Harian Metro.

  • MH17 ditembak:Kerajaan tak henti usaha tegak keadilan

    MH17 ditembak:Kerajaan tak henti usaha tegak keadilan

    KERAJAAN akan terus berusaha untuk mendapatkan keadilan bagi 298 mangsa tragedi MH17 walaupun keputusan kes tembak jatuh pesawat itu sudah diputuskan Mahkamah Daerah The Hague, Belanda pada 17 November tahun lepas.

    Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada mesyuarat 17 Mac lalu memutuskan untuk meneruskan pendengaran mengenai penyelesaian perbezaan antara pihak yang berkonflik.

    “Malaysia bertekad bahawa proses itu mesti membuktikan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

    “Keputusan mahkamah pada 17 November itu mendedahkan kebenaran dan memberi keadilan kepada semua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan, lapor FMT.

    Mahkamah Daerah The Hague pada 17 November menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

    Digor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

    MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK ketika terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

    Semua 298 penumpang dan kru dalam pesawat malang itu, membabitkan 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia terkorban.

  • Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

    Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas kerana memukul ibunya yang berusia 91 tahun sehingga cedera di muka dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Selangau.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 60 tahun itu ditahan pukul 3 petang semalam.

    “Penahanan suspek dibuat selepas kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Selangau pada 11 malam, 14 Julai lalu.

    “Tangkapan sudah dibuat dan kes masih dalam siasatan.

    “Mangsa juga sudah diberi rawatan di Klinik Kesihatan Selangau dan kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

    “Polis turut mengesan video berdurasi 26 saat yang tular di Facebook semalam memaparkan suspek memukul mangsa menggunakan tangan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PH, BN gali kubur sendiri dengan bawa naratif fitnah

    PH, BN gali kubur sendiri dengan bawa naratif fitnah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ibarat menggali kubur sendiri apabila terus memainkan naratif fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, fitnah tersebut yang dihamburkan satu demi satu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanyalah semata-mata untuk menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

    Namun katanya, semua itu ibarat memakan diri mereka sendiri dengan segala tohmahan tersebut dijawab satu persatu oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Jawapan tersebut mengambarkan Menteri Kerajaan Perpaduan tidak tahu selok-belok pentadbiran.

    “Seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH dan BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri. Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal, bahkan sokongan kepada Muhammad Sanusi pula semakin melonjak naik,” katanya.

    Ahmad Yahaya menambah, naratif dimainkan kononnya Muhammad Sanusi tidak berbuat apa-apa selaku Menteri Besar sebenarnya hanya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

    “Hakikatnya gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PH serta BN semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung. Malah, tidak mustahil negeri-negeri selesa dikuasai kedua-dua gabungan itu akan diambil alih PN.

    “PAS Kedah yakin PH serta BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Muhammad Sanusi,” katanya.

    Tegasnya, ketika ini rakyat di keenam-enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia memastikan PH dan BN tersungkur.

    “Kebangkitan itu sebenarnya sedang dipimpin oleh Muhammad Sanusi,” katanya.

  • Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

    Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

    SWATCH Malaysia menfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan kerajaan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ jenama itu, pada Mei lalu.

    Rampasan dibuat pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kedai Swatch yang dibuat kerana jam tangan terbabit dikatakan mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    Dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman, syarikat itu mendakwa rampasan berkenaan tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

    Menurutnya, berdasarkan akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

    “Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa untuk memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya memetik laporan FMT.

    Swatch Malaysia berkata beberapa model antara 172 jam tangan yang dirampas telah dijual di Malaysia selama lebih setahun dan tiada notis aduan atau aduan mengenainya.

    Syarikat itu berkata, peguamnya pada bulan lalu juga telah memohon KDN memulangkan jam dirampas, namun sehingga kini agensi itu belum berbuat demikian.

    Menurut notis itu, pemohon juga menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik memadangkan PRN bakal diadakan tidak lama lagi.

    Susulan itu, Swatch menuntut jam tangan itu dikembalikan semula dan ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

    Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan semakan kehakiman itu pada 20 Julai.