Author: Wartawan WartaRakyat

  • Guna perisian cetak rompak, 3 syarikat didenda RM26,000

    Guna perisian cetak rompak, 3 syarikat didenda RM26,000

    TIGA buah syarikat masing-masing syarikat kejuruteraan, hiasan dalaman dan membuat komponen elektronik diserbu kerana disyaki menggunakan perisian cetak rompak bagi menjalankan perniagaan mereka.

    Serbuan secara berasingan itu dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut, Pulau Pinang bermula Selasa hingga semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan dijalankan bersama pihak pengadu iaitu Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai salinan langgaran.

    Menurut beliau, kesemua salinan langgaran yang digunakan oleh syarikat terbabit didapati mempunyai hak cipta.

    “Dalam operasi ini, kita menyita lima komputer meja dan tiga komputer riba bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan bagi ketiga-tiga serbuan kira-kira RM26,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Ahrazzuddin berkata, antara salinan langgaran yang digunakan itu termasik Windows 10 Pro; Office Home and Business 2016; Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019.

    “Kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987, dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak boleh melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Ebit Lew didakwa di mahkamah Tenom

    Ebit Lew didakwa di mahkamah Tenom

    PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew hari ini dihadapkan ke mahkamah di Tenom dipercayai membabitkan 11 pertuduhan termasuk berkaitan gangguan seksual.

    Ebit, 37, tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, di Tenom, kira-kira jam 9 pagi tadi dengan menaiki sebuah Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu lain, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, perkarangan Pejabat Daerah Tenom turut dikawal polis sejak awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan turut dijadualkan membuat sidang media berhubung kes itu selepas selesai proses pertuduhan terhadap Ebit.

    Difahamkan, Ebit kini berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal.

  • Gangguan seksual: Pendakwah terkemuka didakwa di mahkamah hari ini

    Gangguan seksual: Pendakwah terkemuka didakwa di mahkamah hari ini

    SEORANG pendakwah terkemuka dipercayai akan dihadapkan ke mahkamah, hari ini susulan kes gangguan seksual yang dihadapinya.

    Difahamkan, pendakwah berkenaan akan menghadapi bacaan kes kali pertama berhubung kes gangguan seksual itu di Mahkamah Tenom, Sabah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

    Menurut Abd. Jalil, kenyataan akhbar akan dikeluarkan selepas pertuduhan terhadap pendakwah terkemuka itu selesai.

    “Ya, saya berada di Tenom untuk selia kes ini. Akan buat kenyataan akhbar selepas pertuduhan,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp, lapor portal UtusanTV.

    Ogos tahun lalu, portal itu melaporkan seorang pendakwah terkenal dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan melibatkan kes gangguan seksual.

    Pendakwah berusia lingkungan 30-an itu dipanggil untuk merakam percakapan.

    Siasatan membabitkan pendakwah terbabit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    3 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasata kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal hampir lengkap.

    Abd. Jalil dilaporkan berkata, pihaknya hampir melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk semula kepada pejabat Peguam Negara (AGC).

    “Kita telah hantar ada yang perlu diperbetulkan sebelum dihantar semula ke AGC dalam masa terdekat.

    “Proses itu memang di peringkat akhir dan kita akan selesaikan secepat mungkin,” ujarnya.

  • Cabul kehormatan: Pembantu khas Speaker jalani hukuman penjara 30 bulan

    Cabul kehormatan: Pembantu khas Speaker jalani hukuman penjara 30 bulan

    BEKAS pembantu khas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Khor Khan Khai, terpaksa menjalani hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita hampir empat tahun lepas.

    Ini kerana beliau gagal memperoleh kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara.

    Khor, 43, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan mengikut Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana kesnya dari Mahkamah Majistret.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah menolak permohonan kebenaran Khor hari ini.

    Pada 23 Nov 2020, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mendapati Khor bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang ketika itu berumur 31 tahun dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan.

    Khor dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Sungai Rambai, daerah Seberang Prai Pulau Pinang pada 11.15 malam, 24 Ogos 2018.

    Dia merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara namun Mahkamah Tinggi Butterworth menolaknya pada 21 Dis tahun lepas yang menyebabkan dia memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Rayuan.

    Dalam permohonan kebenaran merayunya itu, Khor,  turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Peguam M. Athimulan yang mewakili Khor memohon mahkamah memberikan kebenaran atas alasan terdapat beberapa persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang mewakili pendakwaan berkata persoalan yang dibangkitkan pihak pembelaan bukan persoalan undang-undang dan kebenaran itu tidak sepatutnya diberikan kepada Khor.

    Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan bahawa rayuan terhadap mana-mana keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret akan terhad kepada persoalan undang-undang sahaja.

    — BERNAMA

  • Warga emas pitam sebelum kereta terbabas rempuh kubur

    Warga emas pitam sebelum kereta terbabas rempuh kubur

    SEORANG wanita warga emas yang memandu Perodua Myvi dan terbabas dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang di Seremban, didakwa mengalami kekurangan gula dalam darah dan pitam sehingga gagal mengawal kenderaan dipandunya.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, warga emas itu secara tiba-tiba pitam di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya telah bergerak ke hadapan.

     “Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu kenderaan itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah sebelum pitam di dalam kenderaannya.

    “Situasi itu menyebabkan kereta yang dipandu bergerak ke hadapan secara tidak sengaja dan melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, tular beberapa gambar yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas di dalam kawasan tanah perkuburan Islam.

    Mengulas lanjut Nanda berkata, insiden itu menyebabkan dua tapak perkuburan mengalami kerosakan manakala wanita warga emas terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kereta dipandu itu juga hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan dan pemandu wanita telah pun menerima rawatan yang sewajarnya.

    “Anak kepada wanita warga emas itu juga telah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk membaiki segala kerosakan melibatkan tapak perkuburan terjejas,” katanya.

  • Pemandu tunjuk gari kepada pemandu lain disahkan anggota polis

    Pemandu tunjuk gari kepada pemandu lain disahkan anggota polis

    PEMANDU kereta yang menunjukkan gari kepada pemandu lain susulan salah faham, disahkan seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, individu terbabit merupakan anggota berpangkat Lans Koperal dan bertugas di IPD itu.

    “Saya sahkan anggota itu dari IPD Wangsa Maju berpangkat Lans Koperal. Siasatan tatatertib telah dibuka atas salah laku dari aspek disiplin dan integriti,” katanya lapor FMT.

    Baru-baru ini, rakaman kamera dari sebuah kenderaan yang bergerak di lorong kanan sepanjang Jalan Tun Razak tular di media sosial.

    Ia menunjukkan sebuah kenderaan enggan memberi laluan kepada kenderaan lain yang cuba menukar laluan dari lorong kiri.

    Pemandu kereta kedua kemudiannya menurunkan cermin tingkap dan menayangkan gari.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, polis merakamkan kenyataan daripada enam individu berhubung kes itu.

    “Kita sedang menyiapkan siasatan,” katanya.

  • Motif lelaki tetak leher ibu tiri hingga putus masih disiasat

    Motif lelaki tetak leher ibu tiri hingga putus masih disiasat

    MOTIF pembunuhan seorang wanita yang ditetak leher hingga putus oleh anak tirinya di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang, Kelantan petang semalam kini dalam siasatan polis.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek yang tampil menyerah diri di Balai Polis Bertam sejurus selepas kejadian pada pukul 4.55 petang itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Februari.

    Beliau berkata, tangkapan sudah dibuat semalam dan siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu kurang siuman dan ketika kejadian dia berada di bawah pengaruh dadah.

    Justeru katanya, polis akan membuat siasatan lanjut untuk mengetahui motif kejadian sama ada terdapat salah faham atau mempunyai perasaan tidak puas hati.

    “Kita percaya ia mungkin turut membabitkan kes antara keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Semalam media melaporkan seorang wanita berusia 54 tahun ditemukan mati dengan keadaan leher putus dipercayai dibunuh oleh anak tirinya menggunakan parang.

    Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya manakala senjata yang digunakan juga dijumpai di lokasi.

    Terdahulu, Shafien hadir di perumahan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Terbak di sini, melawat empat pegawai dan anggota polis yang cedera diserang lelaki kurang siuman dalam kejadian malam Sabtu lalu.

  • Perenang maut dibaham jerung di timur Sydney

    Perenang maut dibaham jerung di timur Sydney

    SELEPAS 58 tahun, serangan jerung kembali berlaku di Sydney mengakibatkan seorang perenang maut selepas kecederaan amat serius.

    Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengeluarkan maklumat berhubung mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 4.35 petang semalam di pantai Buchan Point Malabar di timur Sydney itu.

    “Pegawai dari Eastern Beaches Police Area Command dengan bantuan dari Marine Area Command and Surf Life Saving NSW mengesan mayat mangsa di dalam air,” kata seorang pegawai polis.

    Sementara itu, jurucakap ambulans NSW berkata, petugas kesihatan yang hantar ke tempat kejadian memberitahu mangsa mengalami kesan kecederaan amat serius.

    Media tempatan melaporkan, kali terakhir kejadian seumpama itu berlaku di Sydney ialah pada tahun 1963 mengakibatkan pelakon Marcia Hathaway maut di Sugarloaf Bay.

    Hathaway,32 yang ketika itu berlayar bersama beberapa rakannya pada 28 Januari dipujuk untuk berenang. Namun nasib beliau malang apabila tergelincir dan terjatuh ke dalam mulut seekor jerung.

    Tunangnya, Frederick Knight bergelut dengan ikan tersebut sebelum ia melepaskan peha Hathaway namun kakinya dikatakan “seperti dicincang oleh sebuah jentera berat.”

  • Wanita mati, leher putus ditetak dengan parang oleh anak tiri di Gua Musang

    Wanita mati, leher putus ditetak dengan parang oleh anak tiri di Gua Musang

    SEORANG wanita ditemukan mati dengan leher putus dipercayai dibunuh oleh anak tirinya menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang tadi.

    Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, mayat mangsa berusia 54 tahun ditemui di ruang tamu rumahnya.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata suspek berusia 39 tahun yang juga pesakit mental selain penagih dadah tampil ke balai polis menyerah diri selepas kejadian.

    “Suspek hadir di Balai Polis Bertam memaklumkan sudah membunuh ibu tirinya di rumah menggunakan parang. Pemeriksaan di sebuah rumah di lokasi kejadian menemui seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dengan leher putus akibat tetakan menggunakan parang.

    “Suspek seorang penagih dadah selain pesakit mental dan kini ditahan untuk siasatan lanjut. Pihak polis turut menemui parang dipercayai yang digunakan suspek di lokasi kejadian,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita masih menyiasat punca kejadian sama ada berlaku pergaduhan atau sebaliknya,” katanya.

  • Pesakit mental dituduh serang 4 anggota polis dengan pisau panjang

    Pesakit mental dituduh serang 4 anggota polis dengan pisau panjang

    SEORANG lelaki sakit mental didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini atas pertuduhan mencederakan empat anggota polis termasuk dua pegawai dengan sebilah pisau panjang, Sabtu lalu.

    Tertuduh yang juga merupakan penganggur, Mohamad Azizi Seman, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli.

    Memetik laporan Harian Metro, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Chong Yeong Ren, Mohd Afifi Jamaludin, Mohamad Firdaus Mohd Jamil dan Muhammad Anuar Saidi Azmi dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau panjang lebih kurang 18 sentimeter yang boleh menyebabkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sedar, kira-kira jam 9 malam, pada 12 Februari lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh didapati mengamuk di sebuah rumah selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

    Bertindak atas maklumat itu, Inspektor Chong dan Inspektor Mohd Afifi bersama dua anggota polis, Koperal Mohamad Firdaus serta Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi ke lokasi kejadian.

    Namun, tertuduh tidak memberi kerjasama kepada polis sebelum melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan pegawai serta anggota polis cedera pada bahagian kepala, belakang badan lengan dan tangan.

    Kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Tumpat di sini untuk rawatan lanjut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Muhammad Sharil memohon tertuduh supaya dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikiatri kerana lelaki itu adalah pesakit mental.

    Muhammad Sharil tidak menawarkan sebarang jaminan sementara pihak pendakwaan menunggu laporan psikiatri dari pihak hospital.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.