Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

    Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang, esok.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dipercayai akan didakwa berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

    Carian menerusi laman sesawang mahkamah, mengesahkan pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Pendakwaan terhadap Sanusi ditetapkan untuk didengar pada pukul 9 pagi, lapor Berita Harian.

    Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

  • Syarikat JV Berjaya, Naza saman Kementerian Kewangan

    Syarikat JV Berjaya, Naza saman Kementerian Kewangan

    SYARIKAT usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu.

    Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

    “Mereka (kerajaan) telah menamatkan perkhidmatan kami dan memberikannya kepada Spanco. Kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).

    “Kerajaan berfikiran bahawa Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami telah memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya.

    “Anda akan mendengar lebih lanjut mengenai perkara ini selepas ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perjanjian penjualan saham di antara Berjaya Corporation Bhd dengan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menerusi perjanjian itu, Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melupuskan 100 kepentingan dalam anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Enviro Holdings Sdn. Bhd. (BEnviro) kepada Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. (Naza) untuk pertimbangan tunai RM700 juta.

    Mengulas lanjut, Tan berkata, bidaan yang dilakukan oleh JV terbabit ketika itu adalah yang paling rendah dalam kalangan semua pembida.

    Katanya, ketika itu Naza memiliki 51 peratus kepentingan di dalam JV dan 49 peratus oleh Berjaya.

    “Pegangan kepentingan dalam JV ini telah berubah, dengan Berjaya kini memegang 40 peratus kepentingan. Harapannya supaya kami akan mendapat keputusan yang memihak daripada mahkamah nanti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Spanco menyelenggara barisan kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.

    Kerajaan ketika itu membuat tender secara terbuka dengan meminta pihak yang berminat untuk mengemukakan permohonan cadangan (RFP) mengenai konsesi berkenaan.

    Selain Spanco serta JV antara Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza, syarikat lain yang menyertai bidaan itu ialah DRB-Hicom Bhd. dan Samling Group.

  • Vape: ‘Malaysia seolah-olah sudah memasuki era ‘Wild Wild West’-KJ

    Vape: ‘Malaysia seolah-olah sudah memasuki era ‘Wild Wild West’-KJ

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyuarakan kebimbangan berhubung penjualan berleluasa vape tanpa kawalan di Malaysia.

    Dakwa beliau, keadaan tersebut sehingga menarik minat media antarabangsa menghasilkan satu laporan khas tentang isu itu.

    Melalui laman Twitter, beliau memberi reaksi mengenai laporan khas, Al Jazera dalam program berjudul, 101 East yang mempaparkan bukti produk itu mudah dibeli oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.

    Beliau menganggap Malaysia seolah-olah sudah memasuki era ‘Wild Wild West’ selepas penjualan bahan nikotin itu didakwa tidak lagi dikawal oleh undang-undang.

    “Tiada penguatkuasaan di Malaysia kerana tiada undang-undang di Malaysia,” dakwa Khairy, lapor Astro Awani.

    Dalam laporan penyiasatan berkenaan krew Al Jazera dilaporkan mengunjungi enam buah kedai menjual vape di ibu negara.

    Laporan itu menyebut, tiada satu kedai yang meminta kad pengenalan bagi pengesahan umur walaupun terdapat notis yang memaparkan bahan itu hanya boleh dibeli pada usia 18 tahun ke atas.

    Khairy turut memohon maaf kerana penjualan vape tanpa kawalan sehingga orang ramai, terutama ibu bapa terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu.

  • Pertembungan Muda-PH dalam PRN:Kerusi milik rakyat, kata Syed Saddiq

    Pertembungan Muda-PH dalam PRN:Kerusi milik rakyat, kata Syed Saddiq

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu leka dengan berfikir bahawa undi rakyat merupakan deposit tetap mereka dalam pilihan raya akan datang.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi adalah milik rakyat dan bukan milik mana-mana parti.

    “Kerusi ialah milik rakyat. Kebanyakan pemimpin kini terlalu selesa dan beranggapan tiada siapa boleh bertanding di kawasan berkenaan.

    “Mereka beranggapan itu adalah kerusi selamat mereka dan tidak boleh dikacau. Itu tak adil,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Muda di Petaling Jaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai sembilan dari sepuluh kerusi DUN yang bakal ditandingi Muda kini disandang Pakatan Harapan (PH).

  • Insiden KLIA: Polis serah kertas siasatan dalam masa terdekat

    Insiden KLIA: Polis serah kertas siasatan dalam masa terdekat

    POLIS akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan telah lengkap.

    “Kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat ini untuk tindakan lanjut.

    “Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana tidak memberi kerjasama kepada penjawat awam,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

    Dilaporkan pada 2 Julai bahawa polis telah membuka kertas enkuiri polis (KEP) untuk menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak terbabit dalam kejadian itu.

    Polis juga merakam percakapan 22 saksi, terdiri daripada empat pengadu, 12 pegawai imigresen, empat pegawai polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan pekerja syarikat ejen pelancongan.

    Dalam kejadian bulan lepas itu, Tiong dikatakan mencetuskan kekecohan di KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita terbabit.

    Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

  • Bekas eksekutif didenda RM100,000 kesalahan kemuka dokumen palsu

    Bekas eksekutif didenda RM100,000 kesalahan kemuka dokumen palsu

    SEORANG bekas eksekutif bahagian keselamatan dan kebakaran Petronas Chemicals MTBE didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi pembekalan peralatan keselamatan kebakaran bernilai RM41,760 kira-kira dua tahun lalu.

    Mohd. Hafez Manap, 38, yang menghadapi 10 pertuduhan pilihan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang diputuskan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

    Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, tertuduh didakwa secara curang menggunakan invois sebut harga atas nama sebuah syarikat yang diketahui sebagai palsu di Petronas Chemicals MTBE, Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada 11 Mac 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, sembilan lagi pertuduhan pilihan di bawah seksyen sama dikemukakan pihak pendakwaan yang diakui tertuduh telah dipertimbang dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

    Bagi sembilan tuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di lokasi sama antara 26 Januari hingga 21 September 2021 membabitkan nilai invois keseluruhan RM278,383.

    Sebelum itu, peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menetapkan denda RM80,000 mengikut kemampuan anak guamnya.

    Menurutnya, pengakuan bersalah tertuduh membuktikan anak guamnya telah mengakui dan insaf atas kesalahan dilakukan.

    “Pada masa sama, pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan kos dan masa semua pihak termasuk mahkamah.

    “Selain itu, mahkamah juga perlu pertimbangan kesalahan itu adalah yang pertama selain keadaan ekonomi tertuduh yang terjejas selepas dibuang kerja,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, Mohamad Fadhly memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 terhadap tertuduh memandangkan kerugian besar RM320,143 yang ditanggung syarikat.

    “Selain mengambil kira kepentingan awam, denda yang lebih tinggi satu pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

  • Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

    Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

    AKAUN  terbaru aplikasi TikTok milik Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sudah meraih lebih 160,000 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam, sebagai tanda populariti ahli politik PAS itu susulan serangan terhadapnya oleh pemimpin Pakatan Harapan dan Umno.

    Semakan portal MalaysiaNow di aplikasi itu mendapati akaun dengan nama @sanusimdnor74 itu kini mempunyai lapan klip video dengan 164,300 pengikut dengan hampir 100,000 sukaan setakat ini. 

    Akaun baharu itu diwujudkan bagi menggantikan akaun asalnya di bawah nama pengguna @sanusimdnor yang nampaknya disekat, mendorong Sanusi menuding jari kepada kerajaan yang katanya cuba menutup mulutnya menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dipetik dalam satu ceramah di Baling, Sabtu lalu. 

    Akaun asal TikTok Muhammad Sanusi Md.Nor

    Difahamkan bahawa akaun TikTok asal telah dipulihkan dan boleh diakses semula pagi ini.

    “Yang (akaun baru) dibuat semalam apabila TikTok asal disekat.  Tapi yang asal pun dah okay balik dah pagi ni. Depa takut,” kata Setiausaha Akhbar Sanusi, Muhamad Mat Yakim kepada MalaysiaNow.

    Kerajaan menafikan bahawa telah menyekat akaun TikTok Sanusi, mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan mana-mana akaun pengguna di negara ini kerana platform media sosial itu dimiliki oleh firma teknologi China, Bytedance Ltd. 

    Bagaimanapun, sejurus selepas gabungan PH-BN membentuk kerajaan tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan TikTok kerana aplikasi itu dikatakan memberi manfaat kepada Perikatan Nasional semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15. 

    Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menulis surat kepada syarikat media sosial meminta kerjasama untuk menghapuskan siaran oleh pengkritik kerajaan.

    Sekurang-kurangnya dua permintaan sedemikian kepada Twitter telah ditolak oleh platform itu dalam tempoh dua minggu lalu. 

    Twitter berkata ia tidak dapat memenuhi permintaan sedemikian oleh agensi kerajaan kerana platform itu mempunyai dasar untuk melindungi hak kebebasan bersuara.

  • Isu Sanusi belum selesai, titah Sultan Selangor

    Isu Sanusi belum selesai, titah Sultan Selangor

    PERKARA berhubung kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dianggap menghina institusi diraja dengan memperlekeh pelantikan Menteri Besar masih belum selesai, walaupun beliau sudah memohon ampun, titah Sultan Selangor.

    Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian selepas pertemuan berasingan bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

    “Pertemuan secara berasingan ini membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.

    “Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” menurut kenyataan Istana Selangor di Facebook, lapor FMT.

  • SPRM kenal pasti penguat kuasa sekongkol seludup sisik tenggiling

    SPRM kenal pasti penguat kuasa sekongkol seludup sisik tenggiling

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti pegawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

    SPRM menerusi kenyataan memberitahu, pihaknya giat memperoleh maklumat dalam siasatan kes itu dan menahan seorang lagi individu menjadikan jumlah ditahan setakat ini seramai lapan orang.

    “Dalam perkembangan terkini berhubung Ops Jaguar, SPRM merakam pernyataan individu dan membuat penggeledahan di kediaman serta premis terlibat,” katanya.

    Sehubungan itu, SPRM juga mengesan seorang lelaki, Sheikh Biman Sheikh Ahmad, 43, beralamat terakhir di Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Siti Norazirah Ramli di talian 03 88700249 atau 019 8557290,” katanya, lapor FMT.

    Pada 15 Julai lalu empat lelaki direman SPRM selepas disyaki menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

  • Kes kurang duti kereta mewah:Tujuh ejen kastam dibebaskan dengan jaminan

    Kes kurang duti kereta mewah:Tujuh ejen kastam dibebaskan dengan jaminan

    TUJUH ejen kastam yang ditahan terbabit sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

    Mahkamah mengarahkan tiga orang membayar wang jaminan RM5,000 manakala empat lagi perlu membayar wang jaminan RM10,000 setiap seorang.

    Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini dan perlu menyemak beberapa dokumen yang dirampas dalam operasi itu.

    “Setakat ini sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah sehingga mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

    “SPRM juga sedang mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, kereta mewah itu semuanya datang dari Langkawi, Kedah yang dibawa keluar sebelum dikurangkan duti secara tidak sah.

    “Mereka ini ditahan kerana bersubahat mengemukakan maklumat palsu sedangkan kenderaan mewah itu tidak layak mendapat pengurangan penilaian duti kastam,” ujarnya.

    Antara jenis kenderaan mewah yang terbabit dan dirampas setakat ini adalah jenis McLaren dan Ferrari, namun difahamkan terdapat banyak lagi kenderaan mewah lain.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai, ketika dihubungi mengesahkan tujuh individu terbabit dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah selepas tamat tempoh tahanan reman hari ini.

    Menurutnya, mereka perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali.