Author: Wartawan WartaRakyat

  • Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    SEORANG kanak-kanak lelaki berhadapan saat cemas selepas terperangkap di dalam bahagian pengering mesin basuh di rumahnya di Kuala Paka, Dungun, malam tadi.

    Bagaimanapun suasana getir itu berakhir apabila mangsa berusia 4 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, 9.30 malam tadi.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba mengambil lampu suluh miliknya yang terjatuh ke dalam mesin basuh itu.

    Lalu katanya, mangsa masuk ke dalam mesin basuh tersebut sebelum tersangkut pada bahagian pengering mesin basuh separa automatik itu.

    “Mangsa didapati tersangkut dari bahagian kaki hingga paras pinggang, menyebabkan pihak kami terpaksa memotong dram mesin basuh terbabit menggunakan peralatan khas,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian.

    Katanya, mangsa tidak tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.

  • 12 kontena musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Barat

    12 kontena musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Barat

    SEBANYAK 12 kontena berisi pelbagai barangan musnah dalam kebakaran, di Pelabuhan Barat, semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 5.37 petang.

    Katanya, sepasukan 34 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    BBP terbabit adalah Pelabuhan Barat, Andalas, Kota Anggerik, Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Puchong, Subang, Serdang dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

    “Laporan awal, kebakaran membabitkan lapan unit kontena yang disusun secara empat tingkat.

    “Sehingga 9.30 malam tadi, 12 unit kontena dengan lapan muatan telah dikenalpasti iaitu alat ganti, alatan muzik, kapas, baby walker, minyak pelincir, benang, amionik dan sistem pemasangan bumbung.

    “Muatan empat lagi unit kontena masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Norazam berkata, kerja-kerja mengalihkan kontena yang belum terbakar sedang dilakukan.

    Katanya, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa.

  • Lelaki warga Malaysia dipercayai dibunuh kartel dadah di Australia

    Lelaki warga Malaysia dipercayai dibunuh kartel dadah di Australia

    MAYAT seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai dibunuh, ditemui polis berdekatan Bathurst di New South Wales, Australia.

    Mayat lelaki itu yang dipercayai Jacky Chong, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam selepas polis memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

    Menurut laporan news.com.au, polis berkata, mayat itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan ujian DNA untuk koroner menyediakan laporan.

    Penemuan mayat itu menyusul tiga lelaki berusia 22, 28 dan 33 tahun yang didakwa pada hujung bulan lalu berhubung kematian Chong.

    Chong, 24, menetap di Sydney sejak 2016, namun dilaporkan tidak berhubung dengan keluarganya sejak 28 Dis lalu, lapor FMT.

    Keluarganya memberitahu polis, mereka percaya Chong mungkin bekerja di New South Wales sebelum dia hilang.

    Minggu lalu, Komander Skuad Dadah dan Senjata Api, John Watson berkata, Chong didakwa terbabit dalam sindiket jenayah terancang sebelum dia “dibunuh dengan kejam”.

    “Kami tahu Jacky bekerja untuk satu perusahaan jenayah membabitkan penanaman ganja di wilayah NSW (New South Wales) sekitar masa didakwa dia dibunuh. Keadaan kematiannya amat mengerikan.

    “Kumpulan penjenayah ini terkenal menyasarkan individu muda dengan janji wang mudah, yang sering menyebabkan mereka bekerja di rumah penanaman haram di hartanah terpencil.”

  • Arab Saudi mula edar bantuan untuk umat Islam serata dunia sempena Ramadan

    Arab Saudi mula edar bantuan untuk umat Islam serata dunia sempena Ramadan

    INISIATIF Ramadan “Eta’am” Arab Saudi bertujuan untuk mengedarkan 159,993 bakul makanan yang seberat 8,430 tan kepada 19 negara dan sebanyak 900,000 indivdu ketika bulan Ramadan.

    Portal arabnews.com melaporkan Inisiatif tersebut ialah sebahagian daripada projek kemanusiaan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang dikendalilkan oleh KSrelief kepada negara miskin.

    Di Albania, Albanian Islamic Sheikhdom bekerjasama dengan King Salman Humanitarian Aid and Relief Center untuk melancarkan projek pengedaran bakul makanan bulan Ramadan.

    Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Duta Saudi di Albania, Abdullah Al-Shehri, Presiden Albanian Islamic Sheikhdom, Sheikh Bujar Sepahiu, Mufti Besar Albania Sheikh Sina Lachini, pasukan KSrelief dan beberapa pegawai Albania.

    Inisiatif ini meletakkan sasaran sebanyak 5,514 bakul makanan untuk diedarkan kepada 31 bandar di Albania yang akan memberikan faedah kepada seramai 27,570 warganegara mereka.

    Ia dilancarkan di ibu negara Tajik, Dushnbe dan bertujuan untuk menyedarkan 9,925 bakul makanan kepada 51,400 orang di beberapa kawasan.

    Ia juga telah mengedarkan 1,000 bakul makanan Ramadan di kawasan-kawasan ibu negeri Niger. Bakul makanan tersebut mengandungi keperluan makanan asas yang cukup untuk menapung sebuah keluarga selama sebulan.

    Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan diwakili oleh Duta Arab Saudi di Afrika Selatan melancarkan program untuk mengedarkan hadiah daripada Raja Salman kepada orang yang berpuasa.

    Pelancaran program itu dihadiri oleh duta Arab Saudi di Afrika Selatan, Sultan Bin Abdullah Al-Anqari dan beberapa pegawai rasmi dan para pendakwah yang lain.

    Ia bertujuan untuk mengedarkan sebanyak 2,500 bakul makanan dan 11 tan buah kurma kepada keluarga yang miskin di Afrika Selatan dan negara kejiranannya sepanjang bulan Ramadan.

  • Nik Nazmi minta MUDA bertanding kerusi sukar

    Nik Nazmi minta MUDA bertanding kerusi sukar

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu bersikap lebih berani dengan bertanding di kerusi yang dianggap sukar pada pilihan raya akan datang.

    Pandangan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam wawancara yang disiarkan Malaysiakini hari ini.

    Beliau berkata, MUDA harus menerima situasi apabila diperuntukkan ‘kerusi sukar’ sebagai sebahagian daripada proses politik.

    “Saya rasa apa yang penting untuk disedari, adakah kita (PKR) telah melalui tempoh itu apabila terpaksa mengambil kerusi ‘jin bertendang’ (luar bandar).

    “Sebenarnya tidak ada yang salah dengan itu. Jadi saya fikir jika MUDA ingin terus terlibat bagi jangka masa panjang… tidak apa jika anda mahu satu atau dua kerusi yang bagus, tetapi anda juga perlu mengambil kerusi yang sukar,” katanya.

    Kemunculan MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu telah mencetuskan krisis dengan PKR apabila parti setahun jagung itu mendesak supaya diberikan lebih banyak kerusi.

    Rundingan antara PKR dan MUDA menemui jalan buntu apabila parti pimpinan Syed Saddiq itu bertegas mahu meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Gambir dan Larkin.

    PKR pula sedia memberi kerusi Sri Medan, Semarang dan Benut yang ditandingi oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walau bagaimanapun, MUDA tetap berdegil lantas mengakibatkan calon parti itu dan PKR bertembung dalam persaingan enam penjuru di DUN Larkin.

    Kedua-dua parti hanya mendapat ‘habuk’ apabila kerusi DUN Larkin dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

    MUDA pula hanya mampu menang satu daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu DUN Puteri Wangsa.

    Sebelum hari penamaan calon, beberapa pemimpin akar umbi PKR menyatakan mereka tidak berpuas hati apabila Parti Amanah Negara (PAN) menyerahkan kerusi tersebut kepada MUDA.

    Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis mengungkit tentang gerak kerja yang dilakukan jentera PKR bagi memastikan pengundi di kawasan tersebut menyokong Pakatan Harapan (PH).

    PKR yang bertanding menggunakan logo parti sendiri mempamerkan prestasi buruk pada PRN Johor apabila hanya menang satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.

  • 2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    POLIS Pulau Pinang menyelamatkan dua wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, wanita berusia 27 dan 28 tahun berkenaan diselamatkan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kontijen Pulau Pinang.

    Dalam serbuan sama ujar beliau, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen turut ditahan.

    “Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang.

    Menurut Rahimi, kedua-dua mangsa yang diselamatkan bersama suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek lelaki pula ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

    Jika disabitkan kesalahan ujar beliau, boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh didenda.

    “Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.

  • ‘’Pertemuan dengan Dr. Mahathir diatur pemimpin kanan pejuang’’ – Muhyiddin

    ‘’Pertemuan dengan Dr. Mahathir diatur pemimpin kanan pejuang’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang datang menemui beliau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menyuarakan pandangan lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional (BN) merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong BN yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi.

    ‘’Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah. Ini menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat.

    ‘’Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa. Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

     Oleh itu, kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, beliau telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU-15.

    ‘’Ini adalah langkah awal untuk dapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat.

    Pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini,’’ katanya.

    Kenyataan itu sekaligus menjawab dakwaan Dr.Mahathir yang menyatakan Muhyiddin menemui beliau bagi meminta sokongan menjadi Perdana Menteri sekali lagi manakala Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin menghubungi beliau selepas rundingan dengan Dr.Mahathir gagal.

  • Pengundi atas pagar beralih kepada PN – Rafizi

    Pengundi atas pagar beralih kepada PN – Rafizi

    TIBA masa untuk Pakatan Harapan (PH) meneliti tentang peralihan pengundi atas pagar yang kini dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, terdapat data-data yang dikumpulkan menunjukkan golongan itu kini melihat  Barisan Nasional (BN) dan PN merupakan dua kuasa politik utama di negara ini menyebabkan ada antara mereka beralih kepada gabungan PN.

     “Dalam keadaan begini, kalau PH dan PKR tidak berhati-hati, dia ada kemungkinan di mana kawasan pengundi Melayu lebih tinggi bahawa perebutan itu berlaku antara BN dan PN.

    “Itu akan menyebabkan PH berada di tempat ketiga. Kalau itu berlaku dalam dinamik politik pelbagai parti di negara lain, parti ketiga akan kurang mendapat tempat kerana pengundi atas pagar sebenarnya menentukan siapa yang menang.

    “Pengundi atas pagar hanya memberikan tumpuan kepada dua persaingan, yang ketiga itu tidak beri kesan,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat malam tadi, lapor portal Malaysia Gazette.

    Justeru, PH kata Rafizi perlu segera bangkit dan memberikan perhatian sepenuhnya mengenai isu ini sekiranya mahu diangkat kembali sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

    “Ada tanda-tanda disebabkan peralihan pengundi PH kepada PN. Itu perlu diambil perhatian dengan teliti sebab itu bagi saya,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Rafizi berkata, undi terhadap BN dan UMNO masih kekal kepada 40 peratus bersandarkan kepada beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

    Katanya, itu hanya merupakan sentimen yang dicanang semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat BN dan UMNO mula diterima rakyat.

    “Daripada beberapa PRN yang lalu, nampak seperti pengundi atas pagar terutamanya pengundi Melayu di mana pada PRU-13 sebenarnya mengundi PH dan tidak ada tanda-tanda  mereka beralih atau kembali ke BN kerana undi UMNO tidak meningkat.

    “Dalam semua PRN undi UMNO BN kekal sekitar 40 peratus, lebih kurang sama ketika PRU-13 cuma dengan kehadiran Bersatu selepas Langkah Sheraton bergabung dengan Pas walaupun jumlah pengundi tegar mereka sebenarnya kecil pada awalnya tetapi atas kelemahan PH dan PKR, segala perebutan politik yang berlaku pada tahun yang lalu, saya nampak ada peralihan pengundi-pengundi atas pagar yang sebelumnya mengundi PH ke arah PN.

    “Ini mewujudkan tiga gabungan yang lebih kurang sama kuat,” katanya lagi.

  • Kejayaan PICK bolehkan aktiviti Ramadan dilaksana – Muhyiddin

    Kejayaan PICK bolehkan aktiviti Ramadan dilaksana – Muhyiddin

    KEJAYAAN Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membolehkan semua aktiviti mengimarahkan masjid pada Ramadan tahun ini dilaksanakan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Perikatan Nasional telah mengambil langkah pantas dan berani dengan menempah lebih 87 juta dos vaksin membabitkan perbelanjaan RM 4.36 bilion dan beliau sendiri merupakan antara individu pertama yang menerima dos vaksin pada 24 Februari 2021.

    ‘’PICK kini telah menyaksikan lebih 98 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos vaksinasi lengkap manakala lebih 67 peratus populasi dewasa sudah menerima dos penggalak,’’ katanya dalam ucapan sempena Ramadan yang bermula esok.

    Beliau berkata, sambutan Ramadan pada tahun ini sudah tentunya berbeza dengan sambutan dua tahun lalu iaitu pada 2020 dan 2021.

    ‘’Ketika itu kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19. Oleh kerana pergerakan terbatas, kita tidak dapat melakukan ibadah di masjid atau di surau.  Bagi mengekang penularan wabak ini, hanya sebilangan kecil ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan solat tarawih berjemaah masjid atau surau. Aktiviti-aktiviti mengimarahkan masjid lain seperti majlis berbuka puasa, tadarus dan tadabur serta moreh juga tidak dibenarkan.

    ‘’Tahun ini kita  bersyukur kerana semua aktiviti tersebut sudah dibenarkan seperti biasa walaupun dalam norma baharu dan masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,’’ katanya.

    Keadaan itu juga kata Muhyiddin membolehkan hampir kesemua sektor kehidupan termasuk sektor ekonomi dibuka seperti biasa temasuk aktiviti-aktiviti di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat lain.

    ‘’Malah atas cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), Malaysia sudah berpindah daripada pandemik memasuki fasa endemik dan pintu sempadan negara juga telah dibuka sejak 1 April lalu. Inilah nikmat besar yang kita perolehi daripada program imunisasi tersebut,’’ katanya.

    Beliau berkata, peluang untuk berbuka puasa, menunaikan solat sunat tarawih dan menyertai aktiviti-aktiviti ihya Ramadan di masjid atau di surau pada tahun ini adalah satu nikmat yang tidak dapat kita rasakan pada Ramadan tahun lepas.

    ‘’Dalam pada kita menjalani ibadah sepanjang bulan ini, jangan sesekali kita lalai untuk mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal, tidak bersalaman serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berada di masjid atau surau.

    ‘’Marilah kita gunakan peluang ini untuk berlumba-lumba meningkatkan amalan seperti bersedekah, solat sunat, membaca al-Quran dan qiamullail sepanjang Ramadan ini bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.  Semoga setiap amalan kita di bulan penuh berkat ini diterima Allah hendaknya,’’ kata beliau.

  • Dua kilang proses makanan diarah tutup kerana kotor di Pulau Pinang

    Dua kilang proses makanan diarah tutup kerana kotor di Pulau Pinang

    BEKAS berisi kacang soya diletakkan di atas lantai di dalam tandas manakala kawasan kilang berbau hancing dengan air kencing tikus.

    Itu situasi di sebuah kilang yang menghasilkan produk berasaskan soya di Batu Lanchang, Pulau Pinang ketika diserbu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) hari ini.

    Lebih menjijikkan, najis tikus turut dijumpai di kilang itu selain sarang lipas di dalam tempat penyimpanan kacang soya manakala bekas penutup soya pula didapati sudah berkulat.

    Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM, Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya mengarahkan kilang tersebut ditutup selama 14 hari bagi kerja-kerja pembersihan selain dikenakan kompaun sebanyak RM5,500.

    Jelas beliau, kilang yang sudah beroperasi kira-kira 10 tahun itu pernah diserbu dua tahun lalu dan turut diarahkan tutup ketika itu manakala pemiliknya dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

    Bagaimanapun ujarnya, selepas beberapa intipan, kilang yang menghasilkan produk seperti air soya, taufufa dan tauhu untuk pasaran di sekitar Georgetown itu diserbu sekali lagi hari ini dan didapati masih beroperasi dalam keadaan menjijikkan.

    “Keitka serbua dilakukan, dapat dilihat dengan jelas tikus berkeliaran di kilang ini manakala najis haiwan perosak itu pula boleh dijumpai di merata-rata tempat,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Tegar Siri 2 di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu Mohd. Wazir berkata, pemilik kilang tersebut memberi alasan tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kilang tersebut kerana hanya ada tiga pekerja termasuk dua warga asing.

    Bagaimanapun tegas beliau, alasan itu tidak boleh diterima kerana aspek kebersihan dan keselamatan tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pemilik premis penghasilan makanan.

    “Pemilik premis makanan perlu sedar kehadiran makhluk perosak seperti tikus amat merbahaya kerana boleh menyebabkan pencemaran silang serta menjadi punca penyakit kencing tikus,” katanya.

    Sementara itu tambah Mohd. Wazir, dalam satu lagi serbuan di kilang pembuatan mi dan kuetiau di Jalan Perak, pihaknya turut mendapati premis tersebut beroperasi dalam keadaan kotor.

    “Selain peralatan membuat mi dan kuetiau yang dipenuhi habuk, kita turut mendapati peralatan di kilang itu dipenuhi lendir yang dipercayai tidak pernah dibasuh,” katanya.

    Sehubungan itu jelasnya, kilang itu juga diarahkan tutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan manakala pemiliknya turut dikenakan kompaun sebanyak RM5,500.