Author: Wartawan WartaRakyat

  • KKM jalankan siasatan dalam kes kematian Dea Maisarah

    KKM jalankan siasatan dalam kes kematian Dea Maisarah

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden kanak-kanak berusia 10 tahun, Dea Maisarah Bada Hussein, 10, yang didakwa akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini.

    Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, siasatan itu termasuk berkenaan dakwaan pengelasan kematian palsu ‘Brought in Dead’ (BID) seperti laporan polis yang dibuat bapa kanak-kanak berkenaan, Bada Hussein, 48.

    Menurut beliau, siasatan dalaman itu merupakan prosedur biasa yang dijalankan untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci berhubung kes berkenaan.

    Bagaimanapun, jelasnya, kejadian itu kini juga masih dalam siasatan polis dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan, justeru tidak boleh mengulas lebih lanjut sehingga siasatan kes tersebut selesai.

    ”Namun, kita sendiri menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui lebih lanjut dan secara terperinci berhubung kes itu dengan memanggil pihak berkaitan.

    ”Ini adalah prosedur biasa dan apa-apa kes yang berlaku memang kita jalankan siasatan dalaman jika ada aduan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (HBP), di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Zaliha mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Bada berhubung pengelasan kematian BID dalam sijil atau permit pengebumian anaknya itu yang didakwa palsu dan tidak benar.

    Bada dilaporkan berkata, anaknya masih hidup dengan dia mempunyai bukti termasuk resit pembayaran dan berharap pihak berkuasa menyiasat berhubung pengelasan kematian BID tersebut.

    Dalam perkembangan berkaitan, Zaliha berkata, dua lagi kes dakwaan kecuaian iaitu membabitkan fasiliti kesihatan kerajaan di Pahang dan Melaka ketika ini juga sedang dalam penilitian dan siasatan pihaknya.

    ”Kita kena tengok kes tersebut bagaimana, kerana bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medical legal’ dan ada disebabkan prosedur biasa.

    ”Bila ada aduan kita akan jalankan siasatan dan bagi kedua-dua kes ini siasatan terperinci juga sedang dijalankan,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang mendakwa tangan anak saudaranya yang berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM).

    Sementara itu dalam kes berasingan di Pahang pula, seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan awal daripada doktor yang bertugas di klinik kesihatan.

  • PRK Kuala Terengganu serentak PRN enam negeri pada 12 Ogos

    PRK Kuala Terengganu serentak PRN enam negeri pada 12 Ogos

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu (P036) akan diadakan pada 12 Ogos ini serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani berkata, PRK Kuala Terengganu membabitkan 123,575 pemilih.

    Katanya, sebanyak RM465,000 diperlukan bagi pelaksanaan PRK terbabit.

    Pada 27 Jun lalu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd. Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

    Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

    Pada 8 Julai lalu Pas memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu, lapor Berita Harian.

    Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

  • MCA-MIC berisiko lenyap dengan langkah hanya sokong UMNO

    MCA-MIC berisiko lenyap dengan langkah hanya sokong UMNO

    KEPUTUSAN MCA dan MIC hanya menyokong calon UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan menyebabkan mereka berisiko lenyap jika kerajaan perpaduan meraih kemenangan besar, kata penganalisis.

    Mereka berkata, langkah luar biasa MCA dan MIC itu adalah protes secara tidak langsung terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana tidak memperuntukkan kerusi selamat untuk mereka bertanding, terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Menurutnya lagi, keputusan itu juga boleh dilihat sebagai menentang Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, gabungan tersebut akan menyokong calon kerajaan perpaduan.

    Kemenangan besar bagi parti dalam kerajaan perpaduan akan menjadikan MCA dan MIC tidak relevan daripada segi politik, kata penganalisis itu.

    Sebelum ini, Ketua MCA Selangor, Ng Chok Sin mengisytiharkan parti itu tidak mempunyai tanggungjawab untuk menyokong calon PH kerana PH tidak memenuhi ‘semangat kerajaan perpaduan’.

    Penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tindakan MCA-MIC pasti akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan kongsi kerajaan perpaduan pada masa setiap undi dikira pada PRN 12 Ogos ini.

    “Sikap ini bukan sahaja dilihat menggugat kepimpinan BN dan Presiden UMNO, Zahid, mereka juga menentang semangat Barisan Nasional (BN) dan kerajaan perpaduan.

    “Mereka mengambil pendirian berisiko. Jika UMNO dan PH berjaya mencapai kemenangan lebih besar, ini akan memakan diri kerana mereka tidak akan diperlukan sama sekali pada masa hadapan.

    “Kita tahu langkah mereka adalah satu bentuk protes terhadap DAP kerana tidak memberikan mereka sebarang kerusi selamat di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor. Saya percaya MCA dan MIC akan membuat langkah seterusnya selepas melihat bagaimana undian berjalan,” katanya kepada FMT.

    Awang berkata, kedua-dua parti boleh hilang segala-galanya jika terus protes.

    James Chin dari Institut Asia University of Tasmania berkata, langkah kedua-dua pihak itu semata-mata untuk cuba dan kekal relevan ketika nasib mereka semakin merudum.

    Beliau berkata, realitinya kedua-dua parti itu mempunyai sedikit sokongan dalam kalangan masyarakat Cina dan India.

    “MCA dan MIC hidup pada masa lalu, mereka tidak mampu melakukan pembaharuan. Mereka tidak mempunyai apa-apa kecuali bergantung kepada model lama BN dan berharap UMNO kembali berkuasa. Kemudian mereka boleh memainkan peranan sebagai Kapitan Cina dan Kapitan India.

    “Mereka sebenarnya tidak begitu relevan dalam politik hari ini. Sekarang, politik bukan Melayu tertumpu kepada DAP dan PKR. Melainkan ada perubahan besar dalam PRU akan datang, inilah realitinya,” katanya.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia mempersoalkan rasional protes MCA-MIC.

    “Mengapa DAP perlu memberikan kerusi selamatnya kepada MCA?” katanya.

    “Peraturan parti penyandang untuk mempertahankan kerusi yang mereka pegang adalah munasabah dan perjanjian terbaik untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakan gabungan.”

  • Amirudin kekal MB Selangor jika PH-BN menang-Anwar

    Amirudin kekal MB Selangor jika PH-BN menang-Anwar

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Datuk Seri Amirudin Shari kekal sebagai Menteri Besar Selangor jika gabungan itu dan Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    “Ini berikutan prestasi baik Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepanjang menerajui Selangor, dengan membawa banyak pelaburan masuk,” ujarnya yang juga Perdana Menteri.

    “Ini kali pertama saya umum (Amirudin kekal MB), dia pun terkejut,” kata Anwar ketika berucap pada majlis sentuhan agro Madani di Sekinchan, lapor FMT hari ini.

    Minggu lalu, dalam wawancara bersama Bernama, Amirudin yang memegang tampuk pentadbiran negeri pada 2018 membayangkan terus menerajui kepimpinan negeri.

    Wakil rakyat tiga penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu berkata, secara umumnya kepimpinan PH di peringkat negeri sepakat dan bersetuju beliau terus mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar.

    Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun 2018 selepas Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

  • Pertuduhan petanda kerajaan takut, kata Sanusi

    Pertuduhan petanda kerajaan takut, kata Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa tindakan undang-undang yang dikenakan ke atasnya menandakan kerajaan hari ini sedang ‘ketakutan’.

    Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perkatan Nasional (PN) berkata, ketakutan itu berpunca daripada sokongan orang ramai kepada pembangkang sekarang.

    “Ini adalah satu petunjuk atau petanda bahawa mereka sebenarnya sedang ketakutan, dan segala aparatus negara dan agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan, kehangatan sokongan rakyat,” katanya ditemui media di luar mahkamah Selayang hari ini.

    Sanusi yang juga anggota Jawatankuasa Pas Pusat hari ini dikenakan dua pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang berkaitan dengan kenyataannya dalam sebuah ceramah pada minggu lalu.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

    Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak 11 Julai lepas.

    Untuk rekod kenyataan tersebut turut mendapat kemurakaan Sultan Selangor.

    Ekoran kenyataan Sanusi itu juga anggota Dewan Diraja Selangor membuat laporan kepada polis bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau.

    Sultan Selangor sendiri mengakui kes tersebut belum selesai walaupun Sanusi mengutus surat memohon maaf kepada baginda.

    Menurut Sanusi, pendakwaan ke atasnya dibuat bagi menjejaskan peluang dia bertanding dalam pilihan raya negeri pada bulan depan.

    Pun begitu beliau yakin orang ramai memahami langkah berkenaan.

    “Disegerakan pendakwaan hari ini, tiga hari siasatan saja…. Saya diambil (ditangkap) pukul 3 pagi tadi tanpa sebarang notis.

    “Saya hanya mengetahui saya didakwa melalui media dan saya bersedia menghadapi kes ini,” katanya.

    Tambah Sanusi, walaupun sudah memaklumkan kepada beberapa pihak yang beliau akan hadir ke mahkamah pada pagi ini, pihak berkuasa tetap membuat tangkapan.

    Kata Sanusi, beliau ditangkap di sebuah apartmen yang didiaminya di Kuala Lumpur.

    “Saya harap dalam PRN (pilihan raya negeri) akan datang akan dimenangi PN,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Peniaga online mengaku tak bersalah miliki dua keping RM100 palsu

    Peniaga online mengaku tak bersalah miliki dua keping RM100 palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG peniaga pakaian ‘online’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu pada awal bulan ini.

    Cheoh Chuan Wang yang berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang suspek yang masih bebas didapati memiliki dua keping RM100 palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai wang tulen.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 4 petang di sebuah stesen minyak di Batu 21, Kulai pada 1 Julai lalu.

    Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong manakala tertuduh diwakili peguam, Omar Kutty Abd. Aziz.

    Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi berjumlah RM15,000 dikenakan kerana tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan seorang lagi suspek kes tersebut masih bebas.

    Omar Kutty seterusnya menjelaskan bahawa tiada alasan untuk tertuduh untuk melarikan diri selain anak guamnya itu telah memberikan kerjasama yang baik apabila tampil menyerah diri ke balai polis.

    Peguam terbabit memohon jaminan yang rendah kepada tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kerana perlu menanggung ibunya yang berusia 60 tahun dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

    Mahkamah membenarkan lelaki itu dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

  • Jadikan ibu, kakak tebusan:Dua pegawai polis cedera ditetak

    Jadikan ibu, kakak tebusan:Dua pegawai polis cedera ditetak

    DUA pegawai polis cedera ditetak seorang lelaki disyaki kurang siuman dalam kejadian di kediamannya di Taman Jaya Manggatal, Kota Kinabalu semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.30 petang yang mengakibatkan kedua-duanya cedera pada bahagian lengan, kepala dan bahu.

    “Suspek yang berusia 42 tahun bertindak menetak anggota polis tersebut dengan menggunakan pisau pemotong daging.

    “Sebelum itu aduan diterima daripada orang ramai mengenai seorang lelaki mengamuk di rumahnya.

    “Suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging telah mengurung ibu dan kakaknya di dalam bilik selain turut mengasari kakaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota termasuk dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Manggatal bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, suspek telah dipujuk untuk menyerahkan diri namun enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya.

    Menurutnya, selepas itu suspek bertindak menguncikan diri bersama ibunya di dalam bilik tidur.

    “Selepas usaha memujuk suspek selama hampir dua jam gagal dan tiada tanda suspek mahu bekerjasama untuk menyerahkan diri, pihak polis bertindak memecahkan pintu bilik berkenaan,” katanya.

    Mohd. Zaidi berkata, pasukan polis kemudian bertindak menyerbu masuk bilik berkenaan dan berjaya menyelamatkan ibu suspek.

    “Bagaimanapun, dalam kejadian itu suspek telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan.

    “Suspek bertindak menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan seorang anggota berpangkat Sarjan sehingga menyebabkan kedua-duanya cedera manakala suspek hanya cedera ringan di bahagian muka dan ibunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

    Mohd. Zaidi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu perbuataan cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pennara sehingga 20 tahun.

    “Siasatan lanjut juga mendapati suspek merupakan bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN:Dua pemimpin Bersatu Kelantan bertanding luar kawasan

    PRN:Dua pemimpin Bersatu Kelantan bertanding luar kawasan

    DUA pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan akan menjadi calon di luar kawasan mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Menurut sumber, Ketua Bersatu Kota Bharu, Mohamed Farid Zawawi dijangka menjadi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas.

    Katanya, Bersatu Kelantan terpaksa melakukan transisi membawa pimpinan yang dianggap sebagai calon wibawa untuk bertanding di kerusi bukan bahagian diketuainya.

    “Misalnya Mohamed Farid akan menjadi calon di DUN Kok Lanas di bawah Parlimen Ketereh dalam usaha untuk merampas kerusi milik BN itu.

    “Beliau terpaksa meninggalkan bahagian Kota Bharu walaupun sudah bekerja kuat di situ sebelum ini,” kata sumber dalaman PN yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini, hari ini.

    Semakan mendapati Mohamed Farid yang juga pernah menjadi setiausaha politik bekas menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah memulakan langkah untuk mendekati pengundi di DUN berkenaan.

    Terdahulu media melaporkan PN Kelantan yang bertanding menggunakan logo Pas akan mengumumkan calon mereka pada 27 Julai ini.

    Pas dilaporkan akan bertanding di 39 kerusi manakala Bersatu di enam kerusi.

    Selain itu, sumber berkata Ketua Bersatu Pasir Puteh, Kamaruddin Md. Nor dijangka akan diletakkan di DUN Ayer Lanas di Jeli.

    Menurutnya, Kamaruddin yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan akan bertanding di kerusi yang disandang Mustapa Mohamed, yang sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.

    “Langkah transisi ini terpaksa diambil memandangkan persetujuan dengan Pas bahawa Bersatu hanya akan bertanding di kerusi yang dimenangi BN pada PRU 2018.

    “Pada peringkat awal Bersatu Kelantan diberikan lapan kerusi, namun perbincangan lanjut dan dengan permintaan Pas akhirnya hanya enam kerusi menjadi taruhan Bersatu.

    “Empat lagi kerusi membabitkan Gual Ipoh, Paloh dan Nenggiri manakala satu kerusi lagi belum diputuskan, sama ada di DUN Bukit Bunga atau DUN Kuala Balah,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

  • Sanusi didakwa kerana PRN, kata Awang Hashim

    Sanusi didakwa kerana PRN, kata Awang Hashim

    AHLI Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilakukan kerana tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

    Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah proses undang-undang dan pernah dihadapi parti itu sejak dahulu.

    “Kita serah kepada proses undang-undang. Tidak ada masalah. Cuma, kita nak bagi sokongan solidariti di atas pentas politik yang kita tengah hadapi PRN enam negeri ini, yang jadi klimaks.

    “Kita tengok sekarang di Kedah, punca kepada ini disebabkan oleh PRN. Bab jejas (sokongan kepada PN) atau tidak, kita tidak mahu komen, kita serah kepada proses undang-undang,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata demikian ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Selayang, di Selayang, hari ini.

    Katanya, dakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah itu bukan berkisar kepada ‘kawal mulut’.

    “Ini bukan masalah kawal mulut atau apa. Tidak ada apa. Apabila kita bertemu dalam pentas politik, selesai cara politik. Ini biasa.
    “Dulu PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum jadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pun sama.

    “Dia (Muhammad Sanusi) sudah minta maaf. Tetapi apabila ada tekanan… Menteri Undang-Undang boleh buat kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Dalam Negeri buat kerja Menteri Undang-undang. Semua ini hanya proses.

    “Kalau kita tengok dahulu pun, PMX pernah ditarik balik pingat dia,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Katanya, apa yang berlaku adalah pengajaran, bukan hanya untuk Muhammad Sanusi tapi untuk orang lain juga.

    Muhammad Sanusi didakwa berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

    Menerusi semakan sistem laman mahkamah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu didakwa di dua mahkamah iaitu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd. Shalleh pagi ini.

  • Sanusi ditahan polis, Pas minta ahli bertenang

    Sanusi ditahan polis, Pas minta ahli bertenang

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah ditahan oleh polis sekitar pukul 3 pagi tadi di sebuah hotel di ibu negara.

    Menteri Besar Kedah itu difahamkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor dengan menaiki sebuah kenderaan multi guna (MPV).

    Penahanan Muhammad Sanusi turut dirakamkan dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial. Beliau dikatakan ditahan selepas beberapa jam kembali daripada mesyuarat Perikatan Nasional.

     Muhammad Sanusi juga difahamkan akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang pagi ini dipercayai berkaitan kenyataan beliau menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih Menteri Besar negeri itu.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan meminta semua pihak khususnya ahli dan penyokong supaya bertenang dan menghormati proses perundangan.

    Berita lanjut menyusul