Author: Wartawan WartaRakyat

  • Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan

    Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan

    “KAMU tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah.

    “Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,” itulah teguran Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 218 tahun serta 75 sebatan terhadap seorang bapa selepas mengaku bersalah merogol dan amang seksual anak kandung hingga bersalin, sejak 2020.

    Tertuduh berusia 41 tahun bekerja kampung membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua lapan pertuduhan dengan tujuh daripadanya membabitkan kejadian rogol yang bermula ketika anak kandungnya berusia 12 tahun.

    Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam tahun 2020.

    Selepas itu, tertuduh melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa pada Oktober tahun sama dengan merogolnya dan kejadian terakhir berlaku pada jam 8 pagi, 5 Jun lalu.

    Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya, memberitahu tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol namun gagal.

    Kejadian terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.

    Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.

    Tertuduh pertama kali didakwa pada 14 Jun dan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan. Semua kejadian berlaku di sebuah rumah di Semerah, dekat Muar.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

    Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.

    Sebaik mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.

    Bagi kesalahan merogol pula, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh ditahan 8 Jun lalu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Danial meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kelakuan tertuduh terhadap anak kandung yang masih mentah ketika kejadian serta tidak pernah menyesal malah mengulangi kesalahan hingga ditangkap.

  • Sanusi kekal pengarah pilihan raya PN

    Sanusi kekal pengarah pilihan raya PN

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

    Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifakan pertuduhan terhadap Sanusi tidak menjejaskan kempen pilihan raya PN.

    “Perikatan akan mengekalkan Muhammad Sanusi sebagai pengarah pilihan raya bagi enam pilihan raya negeri. Banyak persiapan telah disiapkan.

    “Kami akan mengekalkan strategi kami dengan pendekatan mendedahkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan (BN) di negeri yang mereka kuasai sekarang – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    “Perikatan memutuskan untuk menyediakan manifesto yang akan menarik sokongan daripada pengundi dan kami percaya apa yang dihadapi oleh Muhammad Sanusi (di mahkamah hari ini) tidak akan menjejaskan jentera kempen,” katanya seperti dilaporkan TheStar.

    Sanusi didakwa di mahkamah pagi ini atas dua pertuduhan berhubung ucapannya pada 11 Julai ketika ceramah PN di Selayang, Selangor.

    Kedua-dua pertuduhan dihadapinya berhubung tindakannya mengeluarkan kata-kata yang mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketidaksetiaan terhadap seorang pemerintah.

    Jika sabit kesalahan, Sanusi boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

    Ketika perbicaraan hari ini, Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah memerintahkan dia membayar ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

    Kedua-dua hakim juga membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan perintah gag ke atas Sanusi, menghalangnya daripada membincangkan perbicaraan secara terbuka.

    Sementara itu, Sanusi hari ini membayangkan yang beliau akan terus bertanding pada pilihan raya negeri Kedah bulan depan walaupun berdepan pertuduhan di mahkamah.

    Kedua-dua kes ditetapkan untuk prosiding praperbicaraan pada 4 Okt.

    “Alhamdulillah, (mahkamah menetapkan tarikh pada) Oktober, jadi saya boleh bertanding dalam pilihan raya negeri dahulu,” katanya dipetik Bernama.

  • Lepas Sanusi ditangkap pemimpin Pas ajak penyokong baca qunut nazilah

    Lepas Sanusi ditangkap pemimpin Pas ajak penyokong baca qunut nazilah

    SUSULAN penangkapan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, seorang ahli Jawatankuasa Pas Pusat Riduan Mohamad Nor meminta orang ramai membaca qunut nazilah bagi membantu Menteri Besar Kedah itu.

    Beliau turut meminta penyokong Pas supaya berdoa kepada Allah agar ‘perancangan licik’ yang didakwanya didalangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) digagalkan.

    Menurutnya, beliau pernah bersama-sama dengan Sanusi dalam misi mereka membantu warga Rohingya di Myanmar.

    “Teruskan membaca qunut nazilah teman-teman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Untuk rekod qunut nazilah merupakan amalan yang dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti peperangan, wabak dan kemarau.

    Terdahulu Sanusi dilaporkan ditangkap pihak polis kira-kira pukul 3 pagi di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau kemudian dihadapkan di dua mahkamah sesyen berasingan di Selayang pagi atas pertuduhan menghasut.

    Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd. Shalleh.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melambaikan tangan kearah penyokong-penyokongnya selepas menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Penyandang kerusi dewan undangan negeri Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Riduan mengajak penyokong parti itu tetap berdoa dan tidak terlibat dalam sebarang situasi provokasi.

    “Mohon mendoakan agar Allah patahkan perancangan licik kerajaan PH-BN ini, jangan terlibat dengan apa jua situasi provokatif.

    “Insya-Allah kita berikan kekalahan memalukan untuk semua kerusi majoriti muslim dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini kepada pakatan mereka,” katanya.

    Sementara itu Setiausaha Politik Sanusi, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan tindakan terhadap bosnya itu dilakukan dengan hanya satu tujuan.

    “Tujuannya hanya satu, menghalang Sanusi daripada kembali menjadi Menteri Besar Kedah selepas PRN (pilihan raya negeri) nanti.

    “Langkah itu dimulakan denga melonggokkan segala macam persepsi buruk kepada Sanusi,” katanya dalam Facebook.

  • Bekas jurulatih Harimau Malaya Sathianathan meninggal dunia

    Bekas jurulatih Harimau Malaya Sathianathan meninggal dunia

    BEKAS pengendali skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan meninggal dunia, hari ini.

    Perkembangan itu disahkan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga pengurus skuad bawah 17 tahun negara, Christopher Raj.

    “Berehatlah dengan aman, Anna. Anda sudah berjuang dengan baik,” tulis Christopher ringkas dalam ciapannya mengenai pemergian jurulatih berpangalaman itu di Twitter, lapor Berita Harian.

    Christopher ketika dihubungi memaklumkan Sathianathan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.25 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Musim lalu, Sathianathan, 65, dilaporkan terpaksa berehat daripada arena bola sepak bagi menjalani rawatan kesihatan selepas dinasihatkan oleh pegawai perubatan.

    Mendiang yang juga bekas pengendali beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) menjadi antara individu yang banyak memberi pandangan mengenai pembangunan bola sepak negara.

    Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu turut menjadi rujukan kepada media dalam mengulas pelbagai isu berkaitan bola sepak berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimilikinya.

  • Di Malaysia tak boleh cakap apa-apa, dakwa Sanusi

    Di Malaysia tak boleh cakap apa-apa, dakwa Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa kerajaan menyekat kebebasan bersuara susulan dua pertuduhan menghasut terhadap raja yang dihadapinya hari ini.

    Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan hasutan di mahkamah berasingan berkaitan ucapannya dalam sebuah ceramah di Gombak pada 11 Julai lalu.

    Kedua-dua hakim turut melaksanakan perintah larangan bersuara bagi menghalang Sanusi membuat sebarang komen berhubung kes itu.

    Bercakap di luar mahkamah, Sanusi mendakwa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik menjelang PRN enam negeri pada 12 Ogos ini.

    “Nampaknya di Malaysia ini tak boleh cakap apa-apa.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melambaikan tangan kearah penyokong-penyokongnya selepas menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kalau di medan politik, biasanya orang selesaikan masalah politik dengan memberikan hujah balas. Tetapi di Malaysia pada hari ini, kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita.

    “Semua agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan dan kehangatan (perbincangan) rakyat.

    “Saya yakin dengan pendakwaan ini, rakyat Malaysia memahami tujuan, hasrat sebenar mereka (kerajaan),” katanya.

    Sanusi mendakwa siasatan kesnya dipercepatkan dengan hanya mengambil masa tiga hari.

    Katanya, beliau hanya tahu akan didakwa di mahkamah melalui media, selain pihak berkuasa menahannya awal pagi tadi walaupun selepas memaklumkan dirinya akan hadir ke mahkamah.

    “Saya dah maklum kepada beberapa pihak, saya akan hadir di mahkamah pagi ini, tapi mereka tetap nak buat tangkapan pada pukul 3 pagi di apartmen yang saya diami di Kuala Lumpur.

    “Saya beri kerjasama sepenuhnya daripada awal proses ini berjalan sehingga siasatan,” katanya lapor FMT.

  • Bekas calon BN Parlimen Kuala Terengganu sedia tanding semula

    Bekas calon BN Parlimen Kuala Terengganu sedia tanding semula

    BEKAS calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Zuber Embong menyatakan kesediaan bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, 12 Ogos depan.

    Bagaimanapun, katanya, keputusan itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Jika diputuskan bertanding, kita akan bertanding, jika keputusan sebaliknya, kita akan turun padang membantu calon yang dipilih bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    “Kita sudah menang petisyen untuk membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bagi membolehkan PRK diadakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani mengumumkan PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos depan.

    Pada PRU15 November lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi majoriti sebanyak 40,907 undi.

    Ahmad Amzad memperolehi undi sebanyak 63,026, manakala Mohd Zuber (22,109), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (AMANAH) mendapat 10,946 undi manakala calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda (481).

  • Pelajar tingkatan 2 didakwa bunuh adik

    Pelajar tingkatan 2 didakwa bunuh adik

    SEORANG pelajar Tingkatan Dua didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan membunuh adiknya di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka awal bulan ini.

    Tertuduh yang memakai baju-t biru dan berseluar sukan hanya menunduk dan kelihatan tidak memahami sejurus dibacakan pertuduhan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dengan kehadiran ibu bapanya.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada juvana berusia 14 itu.

    Mengikut pertuduhan dia didakwa menyebabkan kematian adiknya berusia sembilan tahun, di sebuah rumah di Jalan Bukit Piatu, Kampung Bukit Piatu, Melaka, pada 5 Julai lalu, antara jam 11.30 pagi hingga 12.35 tengah hari.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika disabitkan membawa hukuman mati.

    Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Ogos depan lapor BH.

  • Tindakan ke atas Muhammad Sanusi merupakan pendakwaan terpilih

    Tindakan ke atas Muhammad Sanusi merupakan pendakwaan terpilih

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PAS Kedah menyifatkan tindakan mahkamah terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan satu bentuk pendakwaan terpilih di bawah pemerintahan ala diktator kerajaan Madani.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya kekal dengan prinsip mempertahankan Muhammad Sanusi dan yakin bahawa pendakwaan itu merupakan proses bagi membersihkan nama baik Menteri Besar itu yang menjadi sasaran politik kotor oleh sebahagian pihak berkepentingan.

    “PAS Kedah ingin bertegas bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah pendakwaan terpilih yang dilakukan di bawah Kerajaan Madani ala diktator sedangkan beberapa tokoh parti PH dan BN sendiri pernah menghina Sultan dengan tohmahan yang lebih dahsyat.

    “Malangnya, hari ini mereka masih bebas bersuara. Kesalahan yang dilakukan itu belum terpadam daripada ingatan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, situasi politik negara kian meruncing dengan tindakan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) yang tidak henti-hentik menyerang Muhammad Sanusi.

    “Segala ruang dan peluang dieksploitasi semahunya bagi memastikan perjuangan Muhammad Sanusi khasnya, dan Perikatan Nasional (PN) amnya dipadam daripada pentas politik.

    “Tidak cukup dengan serangan peribadi dalam isu banglo, akaun media sosial beliau disekat bahkan pelbagai siri rangkaian fitnah dicipta bagi memastikan karakter Muhammad Sanusi dibenamkan,” katanya.

    Ahmad Yahaya dalam pada itu turut mempersoalkan sama ada PH dan BN benar-benar akan membawa wacana politik kotor sedemikian di sebalik pelbagai slogan kebebasan dan demokrasi yang dilaungkan sebelum ini.

    “Itulah pembohongan terbesar PH BN kepada rakyat Malaysia. Suatu ketika mereka mahu menghapuskan akta-akta yang mereka anggap sebagai ‘akta zalim’ termasuklah Akta Hasutan dan hari ini akta tersebut digunakan untuk menjatuhkan lawan politik.

    “Semua ini hanyalah hipokrasi perjuangan PH dan BN yang semakin luput sokongan rakyat saban hari,” katanya.

    Tegasnya, PAS Kedah sentiasa mendoakan yang terbaik buat Muhammad Sanusi dan mengharapkan proses perundangan akan dilaksanakan secara adil.

    Dalam masa sama katanya, PAS Kedah tekal berpegang teguh pada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada sebarang cengkaman atau pengaruh politik.

    “PAS Kedah mengharapkan untuk semua ahli serta penyokong PAS bertenang, tidak dipengaruhi dengan emosi dan sentiasa patuh pada undang-undang negara.

    “Dalam masa yang sama, perbanyakkan doa serta munajat agar pemimpin yang kita kasihi ini, yang ikhlas dan amat bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Kedah sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. Semoga Muhammad Sanusi mendapat keadilan yang selayaknya sepanjang proses undang-undang dilaksanakan, insya Allah,” katanya.

  • Tak wajar tangkap Sanusi pada 3 pagi – Sim 

    Tak wajar tangkap Sanusi pada 3 pagi – Sim 

    SEORANG ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) polis dan mahu ia dikaji semula berhubung penahanan suspek, susulan tangkapan pukul 3 pagi ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, hari ini.

    Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Sanusi adalah Menteri Besar yang tidak menimbulkan risiko akan melarikan diri.

    “Negara ini mempunyai perundangan yang lengkap. Yang salah disiasat pihak berkuasa, bukti kukuh Peguam Negara akan mendakwa. Kalau dibukti bersalah di mahkamah, hukuman akan dijatuhkan.

    “Itu proses perundangan.

    “Ceramah Sanusi celupar, hina institusi Raja, memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Beliau harus disiasat, jika bukti kukuh, harus didakwa,” kata Sim dalam satu hantaran dalam Facebook, hari ini lapor, Malaysiakini.

    Bekas timbalan menteri itu berkata, walaupun beliau menghormati bidang kuasa polis yang bebas dan professional dalam menjalankan tugas, SOP tangkapan polis harus dijalankan dengan lebih baik. 

    “Tangkapan pada pukul 3 pagi bukanlah satu tindakan yang wajar. Sanusi seorang Menteri Besar. Beliau bukan suspek yang akan melarikan diri.

    “Penangkapan boleh dijalankan awal pagi atau petang. Tak wajar dilaksanakan tengah malam. 

    “SOP polis yang ditetapkan zaman darurat wajar dikaji semula, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang didukung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Malaysia adalah negara hukum (Rule of Law), Malaysia juga adalah negara Madani,” kata Sim.

    Sanusi yang juga adalah pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi hari ini.

    Sanusi dikatakan ditahan ketika berada dalam sebuah bilik di tingkat 33A, di hotel berkenaan dan kemudiannya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

    Beliau kemudiannya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, pada 11 Julai lalu.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Lelaki didakwa bunuh, kekasih tidak mengaku abai anak

    Lelaki didakwa bunuh, kekasih tidak mengaku abai anak

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun, pada awal bulan ini.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki itu antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, pada 6 Julai lalu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Paya Emas, Cheng, menurut Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala Peguam Datuk Hanif Hassan mewakili tertuduh memberitahu pihaknya akan mengeluarkan satu surat permohonan kepada pihak pendakwaan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental.

    Tambah Hanif, tertuduh memaklumkan dia telah dipukul termasuk ditampar oleh anggota polis ketika dalam tahanan.

    Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan juga menasihati pihak pembelaan membuat laporan polis berhubung dakwaan pukul oleh anggota polis.

    Dalam pada itu, ibu kandung kanak-kanak malang itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di Melaka atas tuduhan melakukan pengabaian ke atas mangsa.

    Nurasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak sama telah didapati melakukan pengabaian terhadap mangsa.

    Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi dengan membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Muhammad Firman.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, tarikh, masa dan sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan, manakala Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu jaminan dibenarkan kerana tertuduh menanggung ibu yang tidak sihat bersama kakaknya.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 23 Ogos sebagai sebutan semula kes.