Author: Hassan Sulaiman

  • ‘You orang Tan Sri Muhyiddin, kita akan sokong’

    ‘You orang Tan Sri Muhyiddin, kita akan sokong’

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil melihat perubahan yang luar biasa dari segi penerimaan pengundi khususnya kaum Cina terhadap wakil PAS.

    Beliau yang bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya sejak 2004 sebelum ini mendapati agar sukar bagi kaum Cina memberi sokongan terhadapnya lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Namun kali ini, situasi agak berbeza apabila Khairul Faizi dan calon-calon PAS yang lain bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket PN.

    Malah, berdasarkan pemerhatiannya semasa turun padang bertemu pengundi di sekitar kawasan DUN Senggarang semalam, sebahagian besar pengundi Cina berjanji akan menyokongnya kerana beliau ialah ‘orang Tan Sri Muhyiddin Yassin’.

    “Bila turun tadi bila mereka lihat kepada profil calon, mereka lihat risalah-risalah yang kita edarkan, ada seorang uncle tanya, ‘You orang Tan Sri ah?’

    “Saya kata ‘ya’. Saya orang Tan Sri Muhyiddin. Kalau you orang Tan Sri, kita akan support sama you dan PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    Khairul Faizi dijangka mengatasi calon-calon lain yang turut bertanding di kerusi DUN Senggarang iaitu Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO), Baharudin Bin Abdullah (Bebas), Abd Hamid Jamah (PH-Amanah) dan Zalihah Jaffar (Pejuang).

    Khairuddin A Rahim yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 dengan majoriti 809 undi.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dalam ucapannya berkata, ‘graf’ sokongan rakyat Johor terhadap PN telah naik.

    “KIta berharap PN akan menumbangkan dan menafikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kita menang PRN Johor,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dalam ucapannya menyifatkan UMNO seperti ‘Belanda diberi tanah’.

    Beliau menjelaskan, walaupun Bersatu telah memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu, pemimpin-pemimpin masih tamak kuasa.

    “Lepas jadi kerajaan, UMNO dan BN kini tak ingat janji siapa yang mengangkat mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan,” ujarnya.

  • Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

    Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

    BERANIKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO meletakkan poster Pengerusi dan Presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor?

    Cabaran itu diutarakan oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    “Hei UMNO! Kita tak halanglah kamu letak poster Zahid Hamidi tepi jalan tu. Letaklah. Berani?” soalnya.

    BN dan UMNO mungkin terpaksa berfikir berjuta kali untuk menyahut cabaran itu memandangkan Ahmad Zahid sedang berdepan 87 pertuduhan berkaitan kes rasuah di mahkamah.

    Seperti yang didakwa oleh Wan Ahmad Fayhsal, UMNO kini tidak berani menegur pimpinannya yang melakukan kesalahan.

    Walau bagaimanapun, situasi adalah berbeza ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu di mana beliau berani ‘berkata benar meskipun pahit’.

    Muhyiddin juga tidak gentar dengan tekanan yang dihadapi sehingga akhirnya beliau dipecat dari UMNO kerana lantang bersuara menegur Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Pimpinan-pimpinan UMNO dan BN, saya cukup pelik. Dulu masa Tan Sri dalam UMNO, apa dia buat? Apakah mereka mempertahankan Tan Sri?

    “UMNO dan pimpinannya tidak berani menegur orang yang salah kecuali orang seperti Tan Sri. Kerana apa?

    “Kerana mereka sudah biasa dengan kepimpinan yang membodek. Ini benih-benih kehancuran orang Melayu,” jelasnya.

    Tambah beliau, keputusan mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam kes membabitkan SRC International membuktikan Muhyiddin berada di pihak yang benar.

    “UMNO yang salah kerana bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang rosak dan mengajar anak-anak kita bahawa rasuah itu tidak apa,” ujarnya.

    Wan Ahmad Fayhsal percaya anak muda zaman sekarang tidak terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu kerana mereka lebih bijak menilai dan membuat pilihan.

  • Mas Ermieyati lepas geram, gelar UMNO ‘musibat’

    Mas Ermieyati lepas geram, gelar UMNO ‘musibat’

    NAIB Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melepaskan geram terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang digelarnya sebagai ‘musibat’ kerana menjadi dalang yang mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    Beliau kesal kerana rakyat di kedua-dua negeri terbabit diheret dalam kancah politik tidak berkesudahan akibat sikap rakus kuasa UMNO dan BN.

    “Musibat mana yang meruntuhkan kerajaan negeri Melaka, bagitahu saya? Orang UMNO, yang jatuhkan kerajaan di Melaka, siapa?

    “Dalam pandemik, dalam kepayahan ekonomi, dalam kepayahan kita nak cari sesuap rezeki, orang dibuang kerja, nah dia buat perangai sekali lagi di bumi Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) mengecam kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO kerana gagal memberi sumbangan signifikan selepas menang PRN Melaka.

    Justeru, beliau menasihatkan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar tidak mengulangi kesilapan sama memberikan UMNO kuasa seperti mana yang berlaku pada PRN Melaka pada 20 November lalu.

    Beliau juga berkata, tindakan UMNO yang mendesak pilihan raya diadakan di kedua-dua negeri bukan sahaja telah menyusahkan rakyat tetapi juga telah menaburkan pelbagai janji manis kepada pengundi, namun apabila telah mendapat kuasa melupakannya.

    “Selepas 100 hari memerintah Melaka dan menaburkan pelbagai janji manis kepada rakyat negeri itu apa sumbangan yang telah UMNO berikan?

    “Satu-satunya kejayaan UMNO dalam memerintah Melaka selama 100 hari selapas PRN ialah menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka,” jelasnya.

    Jelas beliau, UMNO amat berbeza dengan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin yang setakat ini belum lagi pernah memungkiri janji-janji yang telah diberikan baik ketika pilihanraya mahupun di luarnya.

    Menurut Mas Ermieyanti, semua janji yang ditunaikan telah terbukti dengan perlaksanaan dan faedahnya yang dapat dinikmati rakyat selama ini baik ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan selepas itu.

    Jelas beliau, kesemua itu membuktikan bahawa berbanding UMNO dan BN, pilihan yang terbaik untuk mentadbir Johor adalah PN.

  • Lelaki menyamar ‘penguat kuasa wanita SPR’ sabotaj kempen PN

    Lelaki menyamar ‘penguat kuasa wanita SPR’ sabotaj kempen PN

    KURANG seminggu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung dan calon-calon Perikatan Nasional (PN) menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada Bangsa Johor.

    Perkembangan yang luar biasa itu menyaksikan kebangkitan Bangsa Johor yang inginkan perubahan dan bebas daripada cengkaman UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Mereka juga tidak mahu kembali mengalami igauan ngeri hidup menderita di bawah kekuasaan rejim Pakatan Harapan (PH).

    Namun, pihak lawan dipercayai cuba menggunakan taktik kotor bagi mensabotaj kempen yang dianjurkan PN di Johor.

    Seperti yang didedahkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi, pihak lawan tergamak menggunakan beberapa individu untuk menyamar sebagai ‘penguat kuasa Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR)’.

    Beliau berkata, insiden memalukan itu berlaku pada program anjuran PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani malam kelmarin.

    “Saya duk mempengerusi majlis kat atas. Ada pulak dua tiga orang perasan kenapa saya duk pandang kiri dan kanan.

    “Saya duk nampak kat belakang tu ada dua tiga orang masuk. Dan apabila dua tiga orang masuk ni dia macam duk tercari-cari sana sini, macam nak buat kacau sikit.

    “Tapi pakai baju penguat kuasa. Dan apabila saya duk nampak kat belakang tu saya bagitau tengok apa tengah jadi tu.

    “Rupa-rupanya ada dua orang datang dan mengatakan mereka mewakili SPR, mengarahkan supaya program kita dihentikan serta-merta.

    “Bila diperiksa betul-betul oleh pegawai-pegawai kita, pembantu-pembantu, petugas-petugas kita, rupa-rupanya yang datang tu dah la berjanggut berjambang rambut panjang tapi kad kuasanya namanya ‘Halina’.

    “Nama ayu, gambarnya putih melepak tapi datang lelaki, kad kuasa perempuan,” katanya dengan disambut gelak ketawa daripada hadirin.

    Sehubungan itu, Wan Saiful mengingatkan pihak lawan agar ‘menyambung wayar otak’ mereka betul-betul kalau ingin mensabotaj program kempen PN.

    “Jangan datang sini, datang program kita dengan niat tak baik. Bukan sekali, berkali-kali sebelum ini pun ada lagi,”

    Beliau turut menerima laporan dan gambar-gambar daripada Bilik Gerakan Utama PN tentang insiden tersebut.

    Antara kegiatan sabotaj yang dilakukan termasuk menjatuhkan dan mengoyakkan poster PN serta menampal kain putih dengan tulisan ‘Rakyat Johot tolak PN’ pada kain rentang PN.

    “Ini adalah kerja-kerja yang umurnya puluhan tahun. Bagi saya, ini menunjukkan bahawa di sebelah sana sedang bimbang dengan kebangkitan rakyat Johor,” jelasnya.

  • Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berseloroh berkata, beliau terlupa untuk mengingatkan penduduk Bukit Kepong menutup pintu semasa Datuk Seri Najib Tun Razak datang melawat ke sana beberapa hari lalu.

    Beliau dalam nada sinis memberitahu mereka patut berbuat demikian kerana ‘pencuri’ sudah datang ke kampung mereka.

    “Hari tu dia sampai kat Bukit Kepong, kampung saya, saya lupa nak beritahu orang kampung tutup pintu dan tingkap rapat-rapat.

    “Saya tak takut cakap ni pasal kita cerita yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis santai bersama beliau di Kompleks PAS Batu Pahat malam ini.

    Majlis tersebut turut disertai pemimpin-pemimpin PN yang lain iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Ali Biju dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri bimbang jika rakyat Johor membuat kesilapan dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada 12 Mac ini.

    “Zaman dacing sudah berlalu, sekarang adalah masa PN,” ujarnya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa usaha menghalang penyelewengan dan salah guna kuasa yang membarah dalam UMNO dan BN adalah satu jihad.

    “Saya berjanji kita nak membentuk kerajaan yang bersih, berintegriti dan prihatin di Johor. Itu azam saya,” tegasnya.

  • Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Menurut Pengerusi PN itu, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir.

    “Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19.

    “Ini termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmen PN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.

    Muhyiddin turut menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.

    “Hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.

    “Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” jelasnya.

    Seorang tetamu yang hadir bertanya kepada Muhyiddin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.

    “Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” ujarnya.

    Beliau menambah, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    Muhyiddin memberitahu, tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya.

    “Ini komitmen saya dan PN,” katanya.

  • Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersarapan pagi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru hari ini.

    Berikut adalah hantaran penuh yang dikongsikan dalam Facebook:

    Hari ini saya singgah ke Medan Niaga Kampung Melayu Majidee untuk bersarapan pagi.

    Turut bersama saya ialah calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin,  Zulkifli Bujang.

    Medan niaga ini menempatkan pasar awam dan medan selera dan menjadi salah satu tempat tumpuan para penduduk setempat untuk membeli barang keperluan harian, bersarapan dan makan tengah hari.

    Saya mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar dengan para peniaga kecil di bahagian pasar dan gerai makan.

    Beberapa peniaga yang saya temui di situ turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Peniaga Sup Meletop SZ,  Syukur Ahmad , 75, memberitahu dia adalah antara penerima Bantuan Khas Prihatin ketika PKP dan bantuan  tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup ketika itu.

    Pengusaha Warisan Pak Atan Sate Salleh, Nurwahidah Salleh
    pula bersyukur kerana menerima Geran Khas Prihatin  (GKP) yang begitu besar maknanya kerana semua perniagaan ditutup dan tidak ada langsung sumber pendapatan  langsung.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa untuk sesi minum petang bersama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, Dewan Perniagaan Cina dan ketua-ketua masyarakat di Restoran Adam Kitchen, Bandar Indahpura, Kulai.

    Selepas majlis tersebut saya ke Restoran 7 Beradik, Bandar Putra Permai bagi menghadiri sesi Yok Ngeteh bersama ketua-ketua NGO dan pemimpin komuniti setempat.

    Undilah Perikatan Nasional.

  • Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sifar rasuah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Pengerusi PN itu berkata, negara akan musnah jika para pemimpinnya tidak ada integriti.

    Menurut beliau, Malaysia sudah ada contoh yang buruk apabila bekas pemimpin negara terlibat dengan rasuah, dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman bersalah.

    “Saya sentiasa berpendirian, setiap pemimpin perlu ada sifat amanah dan kesalahan rasuah adalah satu masalah besar kepada negara.

    “Bagi mencapai sasaran sifar rasuah pula, sikap benci rasuah perlu ditanam dalam jiwa setiap anak kita dan mereka perlu dididik tentang nilai integriti, moral dan akhlak dari peringkat muda lagi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkongsi jawapan yang diberi kepada Pengarah Malaysia Youth Diplomacy, Liaw Ying Yang pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Johor Bahru hari ini.

    Ying Yang bertanya bagaimana Malaysia boleh mencapai sifar rasuah dan meningkatkan integriti dalam kalangan masyarakat.

    Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pemulihan Negara dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin belia, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

    Mengenai soalan M Thenesh dari Universiti Teknologi Petronas, berkaitan belia dan peluang pekerjaan, Mohamed Azmin menjelaskan, sistem pendidikan perlu dirombak bagi mewujudkan situasi ‘graduan mencipta pekerjaan dan bukan mencari pekerjaan.’

    Muhyiddin pula menjelaskan, kerajaan PN sebelum ini telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran kesan daripada pandemik Covid-19.

    “Saya juga banyak kali membangkitkan keperluan membuka segera sempadan  bagi membolehkan ekonomi berkembang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

    “Saya percaya penerangan dan penjelasan panjang lebar  termasuk oleh YB Azmin dan YB Mustapa itu membuktikan sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengembalikan kehidupan selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

  • 5 sebab mengapa Bangsa Johor jangan undi PH

    5 sebab mengapa Bangsa Johor jangan undi PH

    BANGSA Johor mesti mengelakkan diri daripada mengundi Pakatan Harapan (PH) dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali berkuasa di negeri tersebut.

    Terlalu banyak kerosakan yang dilakukan semasa rejim PH berkuasa selama 22 bulan dahulu.

    Berikut adalah lima sebab mengapa Bangsa Johor tidak sepatutnya mengundi PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini:

    1. Gagal menunaikan janji dalam manifesto

    Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH menabur janji-janji manis kononnya akan menghapuskan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan banyak lagi.

    Selepas menang, lain pula ceritanya. Bila tak dapat ditunaikan, terus kata manifesto bukan kitab suci. Memang jelas terbukti PH hanya menabur janji-janji palsu.

    1. Ekonomi negara merudum selepas rejim PH perintah negara

    Pemimpin-pemimpin PH memang banyak memberi kritikan dan pandangan tentang situasi ekonomi negara sebelum mereka menjadi kerajaan. Macam-macam idea yang timbul sehingga ada yang kelihatan seperti tidak masuk akal.

    Ekonomi negara melalui episod hitam selepas rejim PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kegagalan mereka menguruskan ekonomi negara dengan baik telah menjejaskan keyakinan pelabur asing yang kini lebih berminat untuk bertapak di negara-negara jiran.

    1. PH gagal menguruskan peringkat awal krisis COVID-19 dengan berkesan

    Walaupun rakyat semakin bimbang apabila pintu sempadan negara masih belum ditutup semasa pandemik COVID-19 mula dikesan di China dan negara-negara lain, rejim PH masih membenarkan warga asing memasuki Malaysia.

    Pentadbiran rejim PH juga dilihat kelam-kabut dan gagal melaksana langkah konkrit bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini. Mujurlah, PH tumbang tidak lama kemudian.

    Rakyat Malaysia sememangnya beruntung apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengawal penularan COVID-19 serta mengambil langkah padu lagi jitu untuk memulihkan ekonomi negara.

    1. Politik rejim PH huru-hara dan caca-marba

    PH sendiri gagal bermuafakat dalam menentukan soal logo yang digunakan semasa PRN Johor. DAP dan Amanah guna logo PH tetapi PKR guna logo parti sendiri.

    Kalau soal yang asas begitu pun tidak sepakat, bagaimana pula keadaannya jika menjadi kerajaan negeri nanti. DAP, Amanah dan PKR semua cakap lain-lain. Akhirnya Bangsa Johor juga yang jadi mangsa akibat pentadbiran rejim PH yang penuh kacau-bilau.

    1. PH dan sekutu berebut kerusi

    Selain DAP, PKR dan Amanah di bawah PH, payung pembangkang yang lebih besar turut disertai Warisan, Muda dan Pejuang. Tetapi mereka tidak sebulu dalam soal pembahagian kerusi.

    Contohnya di kerusi DUN Larkin, Pejuang, Muda dan PKR meletakkan calon-calonnya sendiri. Begitu juga dengan DUN Bukit Batu yang turut ditandingi calon-calon PKR dan Warisan.

    Pembahagian kerusi pun sudah kucar-kacir. Kalau menang nanti, entah apa yang akan jadi semasa hendak menentukan pemimpin dari parti mana yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Johor.

    Senang cerita, memang serabut kepala bila memikirkan tentang PH. Lebih baik jangan undi mereka. Selesai masalah.

  • Dr Din sudah cukup bagus, buat apa nak tukar?

    Dr Din sudah cukup bagus, buat apa nak tukar?

    “KAMI memang sangat berpuas hati dengan Dr Din sejak dia dipilih jadi wakil rakyat. Bagi kami, memang tiada calon lain yang akan kami pilih.

    “Biarlah Dr Din terus jadi YB Bukit Kepong lepas pilihan raya nanti,” kata seorang pengundi selepas ditanya tentang prestasi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

    Semasa program turun padang bertemu orang ramai di sekitar pekan Pagoh petang semalam, dapat dilihat Sahruddin yang lebih popular dengan gelaran Dr Din menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

    Beliau yang diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memang seorang tokoh yang mudah mesra dan diterima dengan baik oleh rakyat pelbagai kaum.

    Melihat kepada ‘perang bendera’ yang meriah antara PN dan Barisan Nasional (BN) di pekan Pagoh, dapat dijangka Dr Sahruddin bakal berdepan persaingan yang sengit daripada calon BN, Ismail Mohamad.

    Dua lagi calon iaitu Nur Afiqah M Zulkifli (Muda) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang) boleh diabaikan.

    Dalam banyak perkara, Dr Sahruddin adalah jauh lebih baik berbanding Ismail dan calon-calon lain yang bertanding merebut kerusi DUN Bukit Kepong yang mempunyai seramai 37,495 pengundi.

    Walaupun pernah bergelar Menteri Besar Johor, beliau mudah didekati rakyat dan sentiasa bersedia mendengar keluh-kesah mereka.

    Banyak jasa dan bakti yang ditaburkan Dr Din sejak bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong empat tahun lalu dan banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh pemimpin muda tersebut apabila dipilih semula nanti.

    Selain itu, rakyat di Bukit Kepong tidak melupakan betapa prihatinnya kerajaan PN yang diketuai Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Faktor tersebut pasti memberi kelebihan kepada Dr Din yang berjaya beroleh 1,273 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Kejayaan serupa bakal diulangi pada 12 Mac ini sekali gus memberi ruang kepada PN untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor setelah membentuk kerajaan negeri yang baharu kelak.