Author: Bernama

  • Pasangan kekasih ditahan disyaki edar dadah, miliki senjata api

    Pasangan kekasih ditahan disyaki edar dadah, miliki senjata api

    SEPASANG  kekasih warga tempatan yang disyaki terlibat menyeludup dan mengedar dadah di daerah ini ditahan di sebuah hotel bajet di Kuantan, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek lelaki berusia 25 tahun dan teman wanitanya yang berumur 23 tahun itu ditahan sekitar 12.30 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang.

    Beliau berkata tangkapan berkenaan telah membawa polis ke bilik sewa suspek di sebuah rumah di Panching di sini, dan menemukan dadah disyaki jenis ganja dengan anggaran berat 1.9 kilogram selain 279.1 gram (g) dadah jenis syabu dan 14.35 g pil yaba, dengan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM41,635.

    “Jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 1,525 penagih dan kedua-dua suspek yang menganggur ini dipercayai mula aktif melakukan kegiatan itu awal tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini yang turut dihadiri Ketua JSJN Pahang Supt Azmi Awang Lah.

    Polis turut merampas sepucuk pistol model Zoraki M906-TD bersama kelopak, lima butir peluru dan sepasang sarung tangan di rumah itu, selain menyita kereta Proton Iriz bernilai RM32,800 dan wang tunai RM1,000 milik sindiket itu.

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan ahli sindiket lain.

    Menurutnya kedua-dua suspek yang negatif ujian saringan urin itu kini direman tujuh hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seskyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

    Selain itu, suspek lelaki tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

    — BERNAMA

  • Empat rakan termasuk pasangan suami isteri dituduh edar 99.26 kg dadah

    Empat rakan termasuk pasangan suami isteri dituduh edar 99.26 kg dadah

    EMPAT rakan termasuk sepasang suami isteri dituduh secara bersama di Mahkamah Majistret Jasin  hari ini atas dua pertuduhan mengedar 99.26 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine dan 3, 4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

    Mohd Nor Fadzli Kamarudin, 38, Mohd Najib Jaafar, 44, serta pasangan suami isteri Muzairi Mustapa, 44, dan Rozita Ab Wahab, 41, menggangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan.

    Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 82.64 kg di sebuah rumah di Jalan Serkam, Taman Serkam Jaya, Merlimau pada pukul 3 petang, 4 Jan lepas.

    Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah jenis 3, 4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 16.62 kg pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Izuddin Said dan peguam Salim Bashir mewakili Mohd Nor Fadzli manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Tan Chai Wei menetapkan 14 Mac bagi sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Kes pinda laporan audit 1MD: Nasib Najib,Arul bebas atau bela diri pada 3 Mac

    Kes pinda laporan audit 1MD: Nasib Najib,Arul bebas atau bela diri pada 3 Mac

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 Mac ini untuk keputusan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Sebelum ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Jan untuk menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi, mengesahkan tarikh baharu keputusan itu dan memaklumkan pihaknya menerima e-mel daripada mahkamah hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan e-mel itu, Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas menyatakan keputusan kes yang ditetapkan pada 30 Jan dilapangkan dan semua pihak tidak perlu hadir pada tarikh berkenaan.

    “Tarikh baharu untuk keputusan telah ditetapkan semula pada Jumaat, 30 Mac jam 9.30 pagi,” katanya.

    Pada 7 Sept 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

    Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA   

  • Datuk didakwa tipu pembelian milikan pegangan pesawat, helikopter lebih RM7 juta

    Datuk didakwa tipu pembelian milikan pegangan pesawat, helikopter lebih RM7 juta

    SEORANG  ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua pertuduhan menipu berhubung pembelian pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta, enam tahun lepas.

    Datuk Ismail Hassan, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa beliau hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) dengan harga RM7,092,995.

    Tertuduh telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada mangsa sedangkan beliau mengetahui bahawa kedua-duanya tidak boleh ditunaikan.

    Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, Sentul pada 21 Feb 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Ismail didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 Nov 2017 dengan lelaki sama bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi pada 29 Nov 2017 mengikut Seksyen 109(1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Datuk Zainal Omar, yang mewakili Ismail, memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah muflis.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan kes.

    — BERNAMA

  • Tiga warga Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat pulang ke tanah air

    Tiga warga Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat pulang ke tanah air

    TIGA lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air pada hari hari ini.

    Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 33 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut. 

    “Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand dan PDRM yang telah bersama-sama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dalam membantu menyelamatkan mangsa sindiket jenayah ini,” kata kenyataan itu. 

     Kenyataan itu menyebut sehingga semalam, Kementerian telah menerima sebanyak 519 laporan melibatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

    Daripada bilangan itu, seramai 373 orang telah berjaya diselamatkan dengan 346 orang dibawa pulang ke Malaysia dan 27 lagi masih berada dalam depoh tahanan.

    “Kementerian melalui Kedutaan-kedutaan Besar Malaysia di negara-negara yang terlibat bersama dengan PDRM akan terus melipatgandakan usaha bagi menyelamatkan baki 146 orang mangsa sindiket jenayah ini,” menurut kenyataan itu.

  • Wanita warga emas kerugian RM140,000 ditipu Macau Scam

    Wanita warga emas kerugian RM140,000 ditipu Macau Scam

    SEORANG warga emas mengalami kerugian RM140,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

    Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata wanita berusia 66 tahun dan tidak bekerja itu membuat laporan polis semalam berhubung kejadian tersebut.

    “Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama ‘Puan Rohani’ dengan mendakwa kononnya mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan akan ditangkap. 

    “Mangsa mendakwa telah ditipu oleh suspek sejak Oktober hingga Disember tahun lalu dan apabila membuat semakan semalam mendapati wang dalam akaun banknya telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Omar berkata modus operandi sindiket itu ialah meminta mangsa memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke akaun bank mangsa dan menyerahkan maklumat bank kepada suspek.

    “Suspek telah bertindak memindahkan wang di dalam akaun mangsa ke dalam akaun individu yang tidak dikenali,” katanya.

    Dalam pada itu, Nor Omar berkata sebanyak RM2.4 juta membabitkan 87 kes Macau Scam direkodkan di daerah Manjung sepanjang tahun lepas.

    “Polis mendapati antara modus operandi penipuan Macau Scam adalah suspek menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, polis, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mahkamah, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak melayan panggilan telefon oleh individu yang tidak dikenali selain  tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya.

  • Dua rakan termasuk warga Singapura didakwa beri rasuah RM90,000 kepada pegawai polis

    Dua rakan termasuk warga Singapura didakwa beri rasuah RM90,000 kepada pegawai polis

    DUA rakan termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis berjumlah RM90,000, tahun lepas.

    Mengikut kertas pertuduhan, Law Wen Xiang, 32, dan Donavan Sia Qi Xun, 27, didakwa mencapai niat bersama memberi suapan kepada pegawai risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di hadapan sebuah restoran di Taman Suria Johor Bahru, pada 5.45 petang, 17 Okt tahun lepas.

    Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas Sia yang merupakan warga Singapura kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Bagi pertuduhan itu, Law dan Sia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Law dan Sia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan memberi suapan kepada individu sama dengan jumlah yang sama sebagai balasan untuk tidak menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas Sia kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi, waktu dan hari yang sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor diri ke pejabat SPRM Johor di Johor Bahru setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 19 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Chan Choon Yew, manakala peguam K. Veeranesh Babu mewakili Law sementara peguam Mohamad Isa Mohamad Basir mewakili Sia.

  • Wang bantuan persekolahan hilang: Wujud pelanggaran SOP kewangan-Fadhlina

    Wang bantuan persekolahan hilang: Wujud pelanggaran SOP kewangan-Fadhlina

    TERDAPAT pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor semalam.

    Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata itu antara maklumat awal yang diterima pihaknya dan kes itu kini dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000.

    “Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar.

    “Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kita umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, hari ini.

    Dalam kejadian 10 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.

    Fadhlina berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

    Beliau berkata kementerian akan mengembalikan semula wang itu kepada sekolah berkenaan memandangkan ia hak yang perlu dipulangkan kepada murid sekolah melalui proses yang sepatutnya.

    “Tindakan kepada guru besar pula kita serahkan kepada JPN dan pihak polis. Ini untuk memberi jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” katanya.

    Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung, Tanjung Rambutan sebelum ke Sekolah Kebangsaan Chepor dan mengumumkan peruntukan untuk sekolah masing-masing sebanyak RM400,00 serta RM150,000 bagi tujuan penambahbaikan termasuk penyelenggaran sekolah.

  • Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah ugut bunuh polis

    Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah ugut bunuh polis

    SEORANG pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tiga pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap pegawai dan anggota polis pada November dan Disember tahun lepas.

    Muhamad Hafidz Azrul Mat Nizan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, lelaki terbabit secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat mengancam kepada pegawai dan anggota polis dengan niat untuk mengugut menggunakan aplikasi WhatsApp pada 22 Nov, 3 Dis dan 24 Dis tahun lepas.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan, jika disabitkan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din dan tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

  • Ahli perniagaan sekali lagi didakwa buat tuntutan palsu RM1.26 juta

    Ahli perniagaan sekali lagi didakwa buat tuntutan palsu RM1.26 juta

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM1.26 juta.

    Mengikut keenam-enam pertuduhan itu, M Karthikesan, 44, pemilik syarikat Fajaa Murudana Sdn Bhd didakwa memberikan borang pengesahan pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu bertarikh 12 dan 26 Mei serta 4 Jun 2021 kepada tiga pegawai Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program berkenaan.

    Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan borang pengesahan itu yang mengandungi pernyataan palsu mengenai maklumat pekerja baharu sedangkan 34 orang dalam senarai pekerja tidak bekerja dengan syarikat itu (Fajaa Murudana).

    Karthikesan didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur dan di Persiaran Perdana Presint 2, Putrajaya, antara 19 Mei hingga 3 Ogos 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai.

    Peguam S Vijaya mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak yang masih bersekolah, selain perniagaannya kini terjejas selepas didakwa di mahkamah.

    Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai selain menetapkan sebutan kes pada 1 Mac ini.

    Pada 13 Jan lalu, Karthikesan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas sembilan pertuduhan sama membabitkan jumlah lebih RM1.4 juta, pada 2021.