Author: Bernama

  • Pesawat terhempas di Elmina: Menantu Presiden JCorp antara mangsa nahas

    Pesawat terhempas di Elmina: Menantu Presiden JCorp antara mangsa nahas

    MENANTU lelaki kepada Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim adalah antara mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam.

    Perkara itu disahkan Johor Corporation (JCorp) dalam perkongsian menerusi Facebook rasmi syarikat itu, namun tidak menyatakan nama mangsa.

    “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham serta seluruh mangsa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

    “Kami juga ingin memohon semua pihak untuk menghormati privasi keluarga dalam menghadapi ujian yang sukar ini,” menurut hantaran itu.

    Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.

    Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di situ semasa kejadian.

    Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan selain Johari, turut berada dalam senarai penumpang ialah dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim, serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

    Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi hantaran dalam Facebook turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa nahas berkenaan.

  • Allahyarham Johari tokoh korporat berjaya, dilantik Exco Pahang

    Allahyarham Johari tokoh korporat berjaya, dilantik Exco Pahang

    PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam Selangor hari ini, merupakan tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas. 

    Ketokohan dan pengalaman luas dimilikinya membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya itu.  

    Pada PRU15, Johari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).  

    Anak jati Pahang yang dilahirkan pada 20 Jan 1970 itu merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Sungai Besi dan siswazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Gading Group Berhad. 

    Penglibatan beliau dalam bidang politik bermula secara rasmi apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong pada tahun 2008 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 2018.

    Beliau kemudiannya menerajui kepimpinan UMNO Bentong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Mac lepas, mengambil alih tampuk kepimpinan itu daripada Tan Sri Adnan Yaakob yang memilih untuk bersara daripada politik.

    Pada masa itu Johari menyatakan hasrat mahu mengunakan segala kudrat, idea dan pengalaman untuk memperkukuhkan parti dengan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memandangkan parti sedang berdepan situasi politik yang semakin mencabar. 

    Johari juga dilihat sebagai pelapis untuk menerajui kepimpinan UMNO Pahang, berdasarkan penglibatannya yang aktif di lapangan selain mempunyai keperibadiannya melaksanakan tugas dengan baik.

    Selain politik, beliau juga aktif dalam bidang lain termasuk pendidikan kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Ahli Lembaga Penasihat Industri Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selain berperanan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Bentong.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengesahkan berita kematian Johari akibat nahas berkenaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

    Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas. 

    Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

  • Arab Saudi sarankan jemaah umrah pakai pelitup muka di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Arab Saudi sarankan jemaah umrah pakai pelitup muka di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    ARAB  Saudi menyarankan pemakaian semula pelitup muka kepada jemaah umrah yang mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi mencegah penularan penyakit berjangkit di kawasan sekitarnya.

    Menurut infografik yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi di laman X pada Isnin, saranan itu dibuat bagi memelihara tahap kesihatan jemaah umrah dan para pengunjung kedua-dua masjid suci umat Islam berkenaan.

    Saranan itu juga merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dikuat kuasakan Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah 1445 Hijrah bagi warganegara dan penduduk tetap Arab Saudi serta negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

    Saranan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai ‘varian yang menjadi perhatian’.

    Media Arab Saudi sebelum ini melaporkan Jabatan Hal-Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Julai lalu telah mengedarkan hampir dua juta pelitup muka kepada para tetamu al-Rahman. – Bernama

  • Pas pertimbang fail petisyen pilihan raya beberapa kerusi DUN

    Pas pertimbang fail petisyen pilihan raya beberapa kerusi DUN

    PAS akan meneliti keputusan dan laporan pilihan raya bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertikaikan pada PRN enam negeri, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata, parti itu juga tidak menolak kemungkinan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap keputusan berkenaan dalam waktu terdekat, namun tidak menyatakan kawasan berkenaan.

    “PAS percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur, dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.

    “Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya dalam kenyataan.

    Dalam PRN kelmarin, Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu dengan menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu, selain memenangi 43 daripada 45 kerusi di Kelantan dan 33 daripada 36 kerusi di Kedah.

    Takiyuddin berkata, PAS bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri berada bawah pentadbiran PN.

    “Pada masa sama PAS akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab serta konstruktif di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

  • Tiada laporan babitkan isu 3R sepanjang PRN – Timb IGP

    Tiada laporan babitkan isu 3R sepanjang PRN – Timb IGP

    TIADA sebarang laporan membabitkan isu 3R (Bangsa, Agama dan Raja) yang diterima berlaku di sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dikesan di sepanjang PRN ini adalah membabitkan kesalahan khianat.

    “PDRM paling banyak terima laporan khianat seperti kerosakan poster, fitnah, flash mob atau perhimpunan tanpa permit polis.

    “Sebanyak 131 kertas siasatan pelbagai kesalahan PRN dibuka di enam negeri dan 1,770 laporan polis diterima sehingga tempoh malam tadi,” katanya dalam sidang media khas selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di DUN Hulu Kelang, hari ini.

    Ayob Khan berkata setakat ini proses pengundian di enam negeri terkawal dan tiada sebarang insiden berlaku.

    “Orang ramai diminta keluar mengundi awal hari ini kerana cuaca tidak menentu, selain mengelakkan kesesakan trafik serta diminta mematuhi arahan polis yang bertugas di pusat-pusat pengundian,” katanya.

  • Lebih 9.67 juta pengundi di enam negeri mengundi hari ini

    Lebih 9.67 juta pengundi di enam negeri mengundi hari ini

    LEBIH 9.67 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Turut diadakan hari ini adalah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

    Kesemua pusat pengundian di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan termasuk di Kuala Terengganu dijadual dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup pada 6 petang.

    Pengundian PRN bakal menyaksikan 9,674,456 pemilih berdaftar mengundi di 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran, manakala 122,160 pengundi akan terlibat dengan proses pengundian di PRK Parlimen Kuala Terengganu melalui 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran.

    Pada Selasa (8 Ogos), pengundian awal PRN telah berlangsung yang menyaksikan 72,554 anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi di Kedah adalah 96.02 peratus, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90).

    Pengundian awal pada hari sama bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula melibatkan seramai 1,286 pengundi atau 95.47 peratus anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing.

    Selepas proses penamaan calon 29 Julai lepas, sebanyak 570 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya enam negeri manakala PRK Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dan PAS.

    Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 29 Julai selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan berakhir pada 11.59 malam tadi.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi menerusi laman sesawangnya semalam meramalkan cuaca hujan di satu dua tempat di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pagi ini.

    Hujan turut diramal berlaku di Kedah, yang melibatkan banyak kawasan pantai, manakala cuaca mendung di Terengganu dan Kelantan dijangka cuaca baik.

    PRN ini melibatkan pertandingan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Terengganu (32) dan 45 DUN di Kelantan.

    PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.

  • PRN: SPR jangka peratusan keluar undi capai lebih 85 peratus

    PRN: SPR jangka peratusan keluar undi capai lebih 85 peratus

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok melebihi 85 peratus, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    Beliau berkata jika jumlah peratusan itu tercapai, ia melebihi peratusan keluar mengundi sebanyak 74.7 yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), November lepas.

    Abdul Ghani turut menyeru semua pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi negara serta menasihatkan mereka jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali selain daripada petugas SPR untuk tujuan semakan.

    “Kita (SPR) bersama pasukan keselamatan telah pun bersedia untuk menangani apa-apa masalah dan saya telah berbincang dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang isu berkaitan esok. Jadi jangan bimbang dan keluar mengundi macam biasa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Semarak Hall Cyberjaya yang juga pusat penjumlahan rasmi undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Cyberjaya hari ini.

    Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    Abdul Ghani berkata SPR telah memberi cadangan waktu mengundi yang digalakkan untuk mengelak kesesakan di pusat mengundi serta mengingatkan pengundi tidak berpusu-pusu di awal pagi ke pusat mengundi memandangkan pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang.

    Beliau berkata persiapan di semua pusat mengundi PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu dari segi peti undi, kertas undi dan peralatan lain berjalan dengan baik dan tiada perkara yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

  • Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    SEORANG ibu dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, bulan lalu.

    Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.

    Mereka didakwa bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di sebuah rumah di Jalan Panglima 5, Taman Panglima Assam Kumbang, antara 10 pagi, 29 Julai dan 10.52 pagi, 30 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

    Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah jika tidak dihukum dengan hukuman mati dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Oktober ini untuk laporan kimia, bedah siasat, forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

    Pada 31 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah dan atas maklumat orang awam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.

    Polis kemudian menahan ibu mangsa dan teman lelakinya yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Warga Malaysia ditahan cuba seludup 4.7kg dadah ke Singapura

    Warga Malaysia ditahan cuba seludup 4.7kg dadah ke Singapura

    PIHAK berkuasa Singapura menumpaskan cubaan menyeludup lebih 4.7 kilogram (kg) heroin menggunakan sebuah kenderaan didaftarkan di Malaysia di pusat pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun yang berada dalam kenderaan berkenaan ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah.

    Menurut kenyataan mengenai penahanan itu di laman sesawang ICA semalam, pihak berkuasa menemui sebuah guni di ruang simpanan barang ketika memeriksa kenderaan terbabit.

    “Guni besar dipercayai mengandungi dadah ditemui. Pegawai CNB dimaklumkan dan sejumlah 10 bungkusan kecil heroin seberat 4,723 gram (g) ditemui dalam guni berkenaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

    Pihak berkuasa menganggarkan rampasan 4,723g heroin bernilai lebih SGD$331,400 itu boleh dibekalkan kepada 2,240 penagih untuk kegunaan seminggu.

    “Siasatan mengenai kegiatan penyeludupan dadah suspen berkenaan masih diteruskan,” katanya.

  • Undi awal 4 negeri catat lebih 80% setakat 1 tengah hari

    Undi awal 4 negeri catat lebih 80% setakat 1 tengah hari

    EMPAT negeri merekodkan peratusan keluar mengundi lebih 80% bagi undi awal PRN serta PRK Parlimen Kuala Terengganu setakat 1 tengah hari.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Terengganu merekodkan peratusan tertinggi iaitu 85%, diikuti Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing dengan 83% manakala Kedah 81%.

    Sebahagian daripada pegawai dan anggota polis beratur untuk membuang undi awal pada Pilihan Raya Negeri 2023 di Dewan D’Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pulau Pinang pula merekodkan 80%, Selangor 78% manakala peratusan undi awal PRK Parlimen Kuala Terengganu direkodkan sebanyak 80%.

    Undi awal membabitkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri terlibat PRN.

    Sementara, seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu.

    Sebahagian daripada pegawai dan anggota polis beratur untuk membuang undi awal pada Pilihan Raya Negeri 2023 di Dewan D’Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi ini.

    Turut dibuka tiga pusat mengundi awal di IPK Terengganu bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.