Author: Bernama

  • ADUN kerajaan, pembangkang di Kelantan akan terima peruntukan sama

    ADUN kerajaan, pembangkang di Kelantan akan terima peruntukan sama

    MENTERI Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud memberi jaminan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan menerima peruntukan sama daripada kerajaan negeri.

    Beliau berkata pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada pembangkang kerana mereka dipilih rakyat.

    “Walaupun aliran politik berbagai-bagai, pilihan raya telah selesai, yang ada ialah wakil rakyat iaitu wakil kepada rakyat,” katanya pada sidang media bagi Pengumuman Senarai Portfolio Exco Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PAS dan Bersatu menang 43 daripada 45 kerusi DUN dipertandingkan, manakala dua kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan Dr Hafidzah Mustakim (DUN Kota Lama) dan calon Barisan Nasional Mohd Syahbuddin Hashim (DUN Galas).

    Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya akan merapatkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan atas prinsip memenuhi kebajikan dan keperluan rakyat, terutama dalam menangani masalah air.

    Beliau berkata kerajaan negeri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

    Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memanfaatkan kepakaran anak-anak Kelantan dan meningkatkan hubungan strategik dengan negara luar dalam bidang pendidikan serta ekonomi.

    Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan 2023-2028:

    1. Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Pentadbiran Awam, Kewangan, Ekonomi dan Tanah).
    2. Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang).
    3. Wan Roslan Wan Hamat (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi).
    4. Mohd Asri Mat Daud (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta).
    5. Datuk Md Anizam Ab Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawan).
    6. Hilmi Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar).
    7. Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi).
    8. Datuk Dr Izani Husin (Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar).
    9. Rohani Ibrahim (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita).
    10. Datuk Kamarudin Md Nor (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).
    11. Zamakhshari Muhamad (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat).
      — BERNAMA

  • PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    SEBANYAK 22 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah dijual setakat semalam.

    Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua borang berkenaan dibeli oleh parti Amanah, PAS, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

    “Bagi DUN Simpang Jeram, tiga set (borang penamaan calon) dibeli Amanah, PAS (dua), PN (lima) dan Bebas (satu), manakala bagi Parlimen Pulai, PN membeli lima set, Amanah (empat) dan Bebas (dua),” menurut kenyataan itu di sini.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini berkata pada hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) dari 9 pagi hingga 10 pagi.

    Beliau berkata PPC bagi Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, manakala PPC bagi DUN Simpang Jeram ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

    “Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Selain itu, bakal calon juga disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, kata beliau.

    “Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” kata Ikmalrudin.

    Beliau juga mengingatkan, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC, selain penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jenis kenderaan tidak dibenarkan pada hari penamaan calon kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon pula dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC ditetapkan.

    Selain itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

    “SPR menyeru kepada bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar,” kata Ikmalrudin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA

  • Budak 9 tahun maut tercekik rambutan

    Budak 9 tahun maut tercekik rambutan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai akibat tercekik buah rambutan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata mangsa Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Pekan Tajau, Maran sekitar 8 malam.

    “Doktor di klinik berkenaan mengeluarkan buah rambutan dari mulut mangsa sebelum jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

    “Bedah siasat pada awal pagi tadi mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek,” katanya semasa dihubungi di Kuantan hari ini.

    Norzamri berkata polis mengklasifikasikan kematian mangsa yang beralamat di Kampung Sungai Ling Luar, Maran sebagai mati mengejut.

    Jenazah mangsa yang jga pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pagi tadi.

  • Bekas PM Thailand Thaksin Shinawatra dijatuhi hukuman penjara 8 tahun

    Bekas PM Thailand Thaksin Shinawatra dijatuhi hukuman penjara 8 tahun

    MAHKAMAH Agung Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin Shinawatra sekembalinya bekas perdana menteri itu ke negara ini selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

    Dalam satu kenyataan, Mahkamah Agung berkata hukuman itu dijatuhkan tanpa kehadiran Thaksin.

    Thaksin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana meluluskan pinjaman daripada Export-Import Bank of Thailand (EXIM Bank) kepada kerajaan Myanmar untuk projek telekomunikasi.

    Beliau turut dijatuhkan hukuman penjara dua tahun untuk kes berkaitan keputusan skim loteri kerajaan dan lima tahun penjara kerana mengubah kontrak bagi syarikatnya, SHIN Corp, dengan niat untuk memberi kelebihan kepada syarikat itu.

    Hukuman dikurangkan kepada lapan tahun kerana dijalankan serentak.

    Thaksin, 74, kemudian telah dibawa ke Penjara Reman Bangkok.

    Sementara itu, sekumpulan penyokong Thaksin berkumpul di luar pekarangan penjara untuk melihat bekas perdana menteri itu.

    Terdahulu, Thaksin yang kembali menjejakkan kaki di Thailand buat kali pertama sejak 2008, tiba di terminal jet peribadi Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang kira-kira 9 pagi (waktu tempatan).

    Anak perempuannya, Paetongtarn, yang juga seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai memuat naik gambar Thaksin bersama ahli keluarganya dan tujuh cucunya di laman sosial Facebook.

    “Selamat kembali ke Thailand daddy.

    “Bapa telah kembali ke Thailand dan telah menjalani proses undang-undang yang sepatutnya,” tulisnya.

    Kepulangan Thaksin bertepatan dengan pengundian untuk memilih perdana menteri baharu pada Selasa, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei.

    Parti Pheu Thai, sebuah parti yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Thaksin, mengetuai gabungan 11 parti, termasuk dua parti yang disokong oleh tentera dalam usaha untuk membentuk kerajaan dan menamatkan kemelut politik.

  • PAC sasar bentang laporan pengurusan COVID-19 pada sidang Parlimen Okt-Nov

    PAC sasar bentang laporan pengurusan COVID-19 pada sidang Parlimen Okt-Nov

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) komited untuk membentangkan laporan berhubung Pengurusan Wabak COVID-19 untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023, yang dijadual bersidang mulai 9 Okt hingga 30 Nov ini.

    Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata lima saksi telah memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding kedua yang diadakan pada hari ini.

    Beliau berkata mereka yang memberi keterangan dan penjelasan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Norazman Ayob, mantan Ketua Setiausaha (KSU) KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, mantan KSU KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, mantan Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan mantan Ketua Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan KKM Datin Seri Dr Asmah Samat.

    “PAC ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada saksi-saksi yang hadir pada hari ini terutamanya saksi utama yang telah bersara daripada perkhidmatan awam.
    Seterusnya, PAC akan memanggil pihak Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd bagi memberi keterangan dan menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung peralatan ventilator yang tidak dapat digunakan,” katanya.

  • Pemandu lori maut, 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan

    Pemandu lori maut, 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan

    SEORANG pemandu lori maut, manakala 22 penumpang bas terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohamad berkata dalam kejadian pada 10.40 malam itu, pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian serta dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

    “Siasatan awal mendapati bas yang membawa 22 penumpang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Seremban, Negeri Sembilan, manakala lori itu pula dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

    “Apabila tiba di lokasi, lori terbabit telah bertembung dengan bas dan kemalangan itu mengakibatkan bas itu bergerak ke sebelah kiri jalan lalu melanggar penghadang keselamatan,“ katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Suzaimi berkata kelindan lori dan pemandu bas mengalami kecederaan ringan, manakala 22 penumpang bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa oleh pihak syarikat bas berkenaan ke lokasi dituju dengan selamat.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Maritim Malaysia bantah pencerobohan PCG Singapura

    Maritim Malaysia bantah pencerobohan PCG Singapura

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tindakan agensi penguatkuasa Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang telah memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu.

    Dalam kejadian pada 14 Ogos itu, jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan turut dilanggar dan tersangkut di bebaling bot penguat kuasa negara itu.

    Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, nelayan terbabit telah membuat laporan polis tentang insiden yang berlaku di kedudukan 0.2 batu nautika di barat daya Tuas Checkpoint.

    “Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, Maritim Malaysia telah merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979.

    “Pihak JUPEM mengesahkan lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

    “Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi atau lokasi biasa bagi nelayan tempatan di Johor menangkap ikan dan menjaring udang,” jelasnya.

    Menurut Saiful Lizan, Maritim Malaysia kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu dan merosakkan peralatan nelayan tempatan selain menunjukkan sikap tidak menghormati kedaulatan maritim Malaysia.

    “Insiden terbabit telah mengakibatkan nelayan berkenaan terpaksa menanggung kerugian yang agak tinggi.

    “Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

    SPF dalam kenyataannya memaklumkan, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

    SPF berkata, kejadian itu berlaku pukul 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

    Pada Rabu lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Jambatan Linkedua itu, sebuah bot berkuasa negara jiran didakwa secara tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

    Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata, ketika kejadian dia bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

  • Perhilitan tahan enam individu, rampas pelbagai bahagian hidupan liar di Sik

    Perhilitan tahan enam individu, rampas pelbagai bahagian hidupan liar di Sik

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah melumpuhkan satu sindiket pemburuan hidupan liar yang beroperasi di Hutan Simpan Ulu Muda dekat Sik, selepas menahan enam lelaki tempatan dan merampas pelbagai bahagian hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM103,350 dalam operasi bermula 18 Ogos hingga semalam.

    Pengarahnya Jamalul Nasir Ibrahim berkata kesemua suspek berusia 40 hingga 63 tahun ditahan secara berasingan di rumah masing-masing di Kampung Landai, Kampung Belantek, Kampung Galau dan Kampung Bukit Berangan di Sik.

    Menurutnya, serbuan di kesemua rumah suspek menemukan pelbagai bahagian badan haiwan seperti kijang, pelanduk, rusa yang telah disejukbekukan bertujuan untuk dijual kepada pelanggan yang dikenali.

    “Antara suspek yang ditahan mempunyai pertalian persaudaraan iaitu sepupu, ini rangkaian mereka dan mereka boleh hidup dengan menjadikan sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga dari sumber pendapatan memburu ini.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas pelbagai jenis burung murai, tiong mas, ruak-ruak dan rusa sambar yang tergolong dalam haiwan eksotik dan bernilai tinggi,” katanya pada sidang media di Sik, hari ini.

    Jamalul Nasir berkata selain itu pihakya turut merampas dua laras senapang patah termasuk satu buatan sendiri dan busur serta beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan dalam aktiviti pemburuan haram yang dipercayai beroperasi sejak 10 tahun lepas.

    Menurut beliau modus operandi sindiket ialah dengan menjual bahagian haiwan berkenaan kepada pelanggan terdiri daripada ahli atau kenalan menerusi kumpulan WhatsApp dan hanya individu tertentu sahaja yang boleh berurus niaga dalam kumpulan media sosial itu.

    “Sindiket itu juga menawarkan pakej pemburuan haram di dalam hutan tersebut kepada ahli-ahlinya dengan bayaran tertentu. Mereka melakukan kerja-kerja menembak, menjerat atau memanah binatang lalu memproses dengan memotong bahagian-bahagian haiwan itu di dalam hutan sebelum dibawa pulang dan disimpan di dalam peti sejuk rumah dan apabila ada tawaran, barulah dijual,” katanya.

    Katanya haiwan yang dilindungi seperti pelanduk dan kijang mendapat permintaan tinggi dan dijual antara harga RM100 hingga RM200 bagi setiap kilogram, manakala pelanduk hidup dijual RM1,000 seekor.

    Katanya, semua suspek disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 dan tiga daripada suspek turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

  • 10 angkat sumpah exco Selangor, Umno dapat satu wakil

    10 angkat sumpah exco Selangor, Umno dapat satu wakil

    SEPULUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada gabungan Pakatan Harapan-BN mengangkat sumpah sebagai anggota exco kerajaan negeri petang tadi.

    Mengetuai senarai itu ialah Menteri Besar Amirudin Shari, yang telah mengangkat sumpah menteri besar di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah awal hari ini.

    Ahli-ahli exco lain yang mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang adalah:

    • Ng Sze Han (Kinrara)
    • Izham Hashim (Pandan Indah)
    • Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat)
    • Ng Suee Lim (Sekinchan)
    • Rizam Ismail (Sungai Air Tawar)
    • Mohd Najwan Halimi (Kota Anggerik)
    • Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama)
    • Papparaidu Veraman (Banting)
    • Mohammad Fahmi Ngah (Seri Setia)
    • Anfaal Saari (Taman Templer)

    Berdasarkan senarai itu, DAP diberikan empat wakil, PKR, tiga, manakala Amanah, dua dan Umno, satu.

    Ia juga menyaksikan lebih separuh daripada senarai kabinet negeri baharu Amirudin adalah ahli exco kali pertama, termasuk tiga yang adalah ADUN penggal pertama.

    Selain Amirudin, hanya tiga daripada 10 yang dikekalkan itu adalah daripada barisan exco lama iaitu Ng, Izham dan Borhan.

    Bagaimanapun, Amirudin berkata, portfolio mereka akan diumum pada Rabu ini selepas selesai Mesyuarat Exco pertama yang akan dijalankan pada hari sama. akan diumum pada Rabu ini selepas selesai Mesyuarat Exco pertama yang akan dijalankan pada hari sama.

    “Rabu nanti saya akan adakan Mesyuarat Exco yang pertama dan pada tengah hari pula saya akan maklumkan portfolio para Exco tersebut sekitar jam 12 atau 12.30 tengah hari,” katanya di Istana Alam Shah, di Klang hari ini. 

    Amiruddin juga dipetik sebagai berkata PH dan BN telah berjaya melepasi ujian pertama semasa pilihan raya lepas walaupun gagal mencapai kemenangan dua pertiga. 

    “Tetapi kita mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding pihak lawan dan ini adalah permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkan lagi (kerjasama PH-BN) pada masa depan,” katanya. 

    Gabungan PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lepas. 

    Baki 22 kerusi lagi dikuasai Perikatan Nasional (PN).

    Berkenaan proses pelantikan menteri besar, beliau berkata selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat tiba di tanah air pada Selasa lalu usai mendapat rawatan di luar negara, surat calon menteri besar daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah disampaikan kepada Tuanku keesokan harinya.

    “Sebanyak tiga nama diletakkan termasuk nama saya dan pada Khamis, baginda Sultan telah mengesahkan bahawa saya akan diberi tugas sebagai menteri besar dan diikuti dengan perbincangan senarai exco yang akan mengangkat sumpah pada hari ini,”  katanya. 

    Terdahulu, pengerusi PH Selangor itu secara rasmi dilantik sebagai menteri besar negeri itu bagi penggal kedua pada hari ini.

    Amirudin mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Sharafuddin yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di Klang pada 11.23 pagi.

  • Speaker Pahang serah notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR

    Speaker Pahang serah notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR

    SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini menyerahkan notis perisytiharan kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

    Notis diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang pada 11.20 pagi.

    Zamree ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan SPR mungkin akan mengadakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada minggu ini juga.

    Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, penyerahan notis itu ialah prosedur ditetapkan sekiranya terdapat mana-mana kerusi DUN kosong, antaranya disebabkan berlaku kematian.

    “Hari ini kita telah serahkan notis kepada SPR untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Pelangai selepas Johari meninggal dunia pada 17 Ogos,” katanya.

    Johari, 53, antara 10 yang maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, Khamis lepas.

    Pada PRU15, Johari yang pertama kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

    Sehingga Mei lepas, DUN Pelangai mempunyai 16,475 pengundi berdaftar.