Author: Bernama

  • Warga emas, remaja ditemukan lemas ketika memancing

    Warga emas, remaja ditemukan lemas ketika memancing

    DUA lelaki ditemukan lemas ketika memancing di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok di Seremban, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Mohd Syazwan Saidy berkata mangsa dikenali sebagai A. Vijay, 16, yang beralamat di Ladang Kombok dan kenalannya G. Chantiran, 60, beralamat di Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam sebelum 10 anggota dari balai Rantau dengan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.

    “Mayat remaja berkenaan ditemukan abangnya berusia lingkungan 20-an pada 7.15 malam, dia sebelum itu mencari mangsa di kawasan sungai tersebut selepas dia tidak pulang ke rumah sejak petang.

    “Abangnya mendapati hanya keperluan peribadi kedua-dua mangsa sahaja berada berhampiran sungai itu. Dia cuba menghubungi adiknya dan terdengar deringan telefon di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba ternampak jala di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Syazwan berkata abang mangsa kemudian menarik jala tersebut dan mendapati Vijay dalam keadaan terbelit namun adiknya itu sudah tidak bernyawa.

    Beliau berkata mayat warga emas itu pula ditemukan oleh PPDA di dasar sungai kira-kira 11 malam iaitu dengan jarak 10 meter dari tebing.

    Beliau berkata anak mangsa C. Sivam, 36, sebelum itu turut mencari ayahnya di lokasi tersebut namun tidak menemukan mangsa.

    Katanya, mayat kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tujuan bedah siasat.

  • Kesemua jenazah mangsa pesawat terhempas selamat dikebumikan

    Kesemua jenazah mangsa pesawat terhempas selamat dikebumikan

    KESEMUA baki sembilan jenazah mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lepas dikebumikan hari ini. 

    Semua jenazah telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang secara berperingkat untuk dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah yang terletak hanya kira-kira dua kilometer.

    Selesai mandi dan solat jenazah di masjid itu, kesemua jenazah kemudian dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumikan.

    Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2 Kuala Lumpur sebaik sahaja jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun tiba. 

    Jenazah Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anak Allahyarham sendiri iaitu Muhammad Hafiz Naqiuddin.

    Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Semalam jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, seorang lagi mangsa dalam tragedi pesawat terhempas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, pada 4 petang.

    Sementara itu, jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira 12.50 tengah hari. 

    Terdahulu, jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin dengan dipimpin Imam Saudi Jusoh yang kemudian turut membacakan talkin. 

    Lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga menunaikan solat jenazah berkenaan. 

    Seorang lagi mangsa Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana kira-kira 1 tengah hari ini.

    Sebelum dikebumikan, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan Pegawai Khas kepada Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang.

  • Pesawat ringan tergelincir semasa latihan

    Pesawat ringan tergelincir semasa latihan

    SEORANG pelatih yang sedang menjalani latihan penerbangan berdepan detik cemas, apabila pesawat ringan yang dipandunya hilang kawalan semasa mendarat.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar 12.16 tengah hari tadi, di landasan RWY 21 Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam .

    “Pesawat itu dikendalikan oleh pelatih wanita berusia 23 tahun dan melibatkan sebuah pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC) jenis Piper 28, dalam latihan penerbangan sebelum ia hilang kawalan semasa mendarat di RWY 21.

    “Tindakan telah diambil di Post 1 untuk ketibaan ambulans,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

    Jelasnya pesawat tersebut berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi pada 12.50 tengah hari, manakala juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan dan dihantar ke Hospital Melaka,” katanya.

    Beliau berkata setakat ini, masih belum ada laporan polis secara rasmi dibuat kepada pihak polis. 

  • Nahas Elmina: Perakam suara kokpit dihantar untuk analisis

    Nahas Elmina: Perakam suara kokpit dihantar untuk analisis

    ALAT perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR) yang ditemui daripada pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam telah dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) awal pagi tadi untuk analisis.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata BSKU yang merupakan biro di bawah kementerian itu, telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci sebelum hasil siasatan diumumkan secepat mungkin.

    “Segala hasil siasatan akan diumum secara telus…kita tidak akan sembunyi apa-apa fakta, segala fakta diperoleh nanti akan diumum pada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Dan Pembiayaan antara Yinson, RRJ dan Farosson hari ini.

    Anggota polis menutup kawasan bangkai pesawat dengan kanvas di lokasi tragedi kapal terbang terhempas di Elmina Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu maut.

    Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi mangsa masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.

    Loke berkata pihaknya sedar analisis berkenaan perlu dibuat segera kerana ia melibatkan kepentingan ramai dan menarik perhatian banyak pihak, malah beliau sendiri ingin tahu punca nahas tersebut secepat mungkin.

    Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat komponen pesawat yang terpelanting ketika melakukan pembersihan di tapak kejadian tragedi pesawat terhempas di Elmina Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Berhubung identiti dua mangsa orang awam yang terlibat dalam nahas itu, Loke berkata kementerian menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti individu berkenaan.

    “Setakat bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam, kami telah melakukan apa yang sepatutnya iaitu mendedahkan kepada umum manifest penerbangan, siapa penumpang terbabit, tetapi identiti semua mangsa bidang kuasa polis,” katanya.

    Dalam pada itu, Loke turut meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung nahas pesawat berkenaan, dan memohon ruang privasi diberikan kepada ahli keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi itu.

    Anggota polis forensik mencari cebisan mayat di tapak kejadian tragedi pesawat terhempas di Elmina Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya ketika ini, pihak berkuasa seperti polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) seharusnya diberi ruang untuk menjalankan siasatan mereka secara terperinci dan menyeluruh.

    Dalam nahas semalam itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara yang berada dalam senarai penumpang pesawat berkenaan.

    Turut tersenarai adalah dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

  • SPR: Lapan borang pencalonan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dibeli

    SPR: Lapan borang pencalonan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dibeli

    LAPAN borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, di sini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, telah dibeli setakat hari ini.

    Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor Nor Nekman Jaimon berkata dua set daripada borang pencalonan itu adalah bagi Parlimen Pulai dan enam borang pencalonan lagi melibatkan DUN Simpang Jeram.

    Beliau berkata borang pencalonan berkenaan boleh dibeli hingga hari penamaan sebelum pukul 10 pagi.

    “Setakat ini, berdasarkan borang pencalonan yang dibeli hanya seorang calon sahaja yang telah membayar deposit sebanyak RM5,000 untuk DUN Simpang Jeram,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Petugas Media bagi PRK P161 Pulai dan N13 Simpang Jeram di Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Johor Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia Mohamad Fauzi Ishak.

    Nor Nekman berkata persiapan SPR bagi kedua-dua PRK itu telah mencapai 80 peratus dengan 2,674 petugas akan ditugaskan bagi Parlimen Pulai dan 674 petugas bagi DUN Simpang Jeram.

    Beliau berkata mesyuarat penyelarasan SPR bersama agensi berkaitan bagi persediaan bencana di DUN Simpang Jeram telah dibuat pada 14 Ogos, manakala Parlimen Pulai dua hari lepas.

    Setakat 23 Julai, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan bagi DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK pada 26 Ogos ini, manakala pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.

    PRK itu dilaksanakan berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

  • SRC: Najib hantar representasi mohon gugur tuduhan ubah wang haram

    SRC: Najib hantar representasi mohon gugur tuduhan ubah wang haram

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapinya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu, Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy bahawa surat representasi itu telah dihantar kepada AGC pada 31 Julai lepas dan diterima pada 2 Ogos.

    Ini merupakan representasi pertama Najib berhubung kes SRC keduanya.

    Mohd Ashrof berkata, AGC memerlukan tindakan dalaman untuk mengkaji representasi itu dan pihak pendakwaan memohon tarikh pengurusan kes lain bagi tempoh tiga bulan untuk mendapatkan semua isu yang dibangkitkan peguam dan menyediakan jawapan bertulis untuk representasi tersebut.

    “Terdapat beberapa isu berkaitan yang dibangkitkan peguam bela tertuduh, terutamanya selain dokumentasi yang akan dibentangkan dalam perbicaraan ini berbanding dokumen yang telah dikemukakan dalam SRC asal,” katanya.

    Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan dokumen setebal 51 muka surat telah dikemukakan kepada AGC.

    “Dokumentasi dalam kes ini sama dengan kes terdahulu (kes SRC pertama). Saksi dan dokumen hampir sama,” kata peguam itu.

    Hakim Muniandy kemudian menetapkan 1 Disember untuk pengurusan kes itu.

    Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Bekas perdana menteri itu kemudian memfailkan permohonan untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan dan panel baharu Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya pada 31 Mac.

  • Pesawat terhempas di Elmina: Kapal terbang layak terbang – CAAM

    Pesawat terhempas di Elmina: Kapal terbang layak terbang – CAAM

    PESAWAT yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam di Selangor semalam memiliki semua lesen dan pendaftaran yang sah termasuk sijil kelayakan terbang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Norazman Mahmud.

    Beliau berkata penerbangan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), yang didaftarkan di luar negara dan menggunakan lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara, untuk perjalanan dari Langkawi ke Subang itu mematuhi tatacara penerbangan (rules of the air) Malaysia.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat diperolehi, semua lesen yang dimiliki syarikat pengendali pesawat yang terhempas iaitu lesen kru penerbangan, sijil pendaftaran serta sijil kelayakan terbang pesawat berkenaan adalah sah.

    “Penerbangan pesawat tersebut patuh kepada rules of the air Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam ketika dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2:08 petang.

    Menurut Norazman semalam, hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang ialah pada pukul 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2:48 petang.

    Beliau juga berkata tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut.

    Nahas itu mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.

    Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

    Ditanya sama ada operasi Jetvalet Sdn Bhd dihentikan sementara, Norazman berkata:”Buat masa ini, tidak. Operasi adalah operasi persendirian (private category) yang digunakan oleh pemilik dan bukan untuk hire and reward (commercial)”.

    Norazman berkata CAAM akan membantu Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan menjalankan siasatan mengenai tragedi nahas pesawat itu dari sudut teknikal iaitu operasi penerbangan.

  • Menteri arah CAAM siasat semua pesawat Beechcraft 390

    Menteri arah CAAM siasat semua pesawat Beechcraft 390

    KEMENTERIAN Pengangkutan akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.

    Menterinya, Loke Siew Fook, berkata pada masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penangguhan operasi model pesawat tersebut.

    “Saya akan minta CAAM untuk buat siasatan terhadap model tersebut dan apa sahaja keputusan perlulah kita buat secara teliti selepas siasatan oleh pihak teknikal dan pihak berkuasa.

    “Pada ketika ini belum ada apa-apa keputusan terburu-buru diambil, jadi pihak CAAM sudah tentu akan buat siasatan terperinci terhadap semua model yang sedang digunakan di Malaysia berkenaan dengan pesawat tersebut,” katanya selepas majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Pembiayaan antara Yinson, RRJ dan Farosson.

    Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 lelaki maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

    Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.

    Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

  • Kes Ebit Lew: Bukan semua gambar tangkap layar diteliti – Saksi

    Kes Ebit Lew: Bukan semua gambar tangkap layar diteliti – Saksi

    MAHKAMAH Majistret di Tenom hari ini diberitahu bahawa bukan semua gambar tangkap layar yang diperoleh daripada telefon bimbit seorang pengadu wanita dalam kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, diteliti.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata terdapat sebanyak 436 gambar tangkap layar dipercayai mengandungi unsur lucah diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang merujuk kepada perbualan dengan tertuduh di aplikasi WhatsApp.

    Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam Ram Singh, yang mewakili Ebit Lew, bahawa ia adalah sebahagian daripada 156,789 gambar yang terdapat dalam telefon bimbit itu.

    Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata bagaimanapun, gambar lain tidak mempunyai kaitan dengan permohonan pegawai penyiasat dalam kes tersebut.

    Latifah berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam itu pada perbicaraan kes Ebit Lew di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

    Katanya beliau menggunakan perisian di makmal forensik PDRM bagi mengeluarkan keseluruhan data daripada barang kes sebelum menjalankan analisis pemerhatian seperti dalam permohonan pegawai penyiasat.

    Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung esok. 

  • Keputusan kes saman kerajaan terhadap National Feedlot Corporation 13 Oktober

    Keputusan kes saman kerajaan terhadap National Feedlot Corporation 13 Oktober

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 13 Okt untuk keputusan kes saman kerajaan terhadap National Feedlot Corporation (NFC) untuk mendapatkan semula RM253.6 juta pembayaran pinjaman dan faedah daripada syarikat itu berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

    Hakim Anand Ponnudurai menetapkan tarikh itu selepas prosiding klarifikasi kes saman tersebut oleh kedua-dua pihak.

    “Mahkamah menetapkan keputusan kes saman ini pada 13 Okt, pukul 3 petang secara fizikal,” katanya.

    Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Asliza Ali yang mewakili kerajaan manakala peguam Datuk K. Kirubakaran mewakili 11 defendan.

    Dalam saman itu, kerajaan selaku plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, manakala Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, serta tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.

    Perbicaraan itu bermula 2021, dengan plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Mohamad Salleh untuk memberi keterangan.

    Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Dis 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi NFC Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

    Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.